Perang, atas alasan apa pun menunjukkan krisis kemanusiaan. Ia seperti juga pergaduhan dua kelompok yang cukup besar kesannya ke atas masyarakat. Dalam sejarah Islam, kita menyedari akibat perbezaan pandangan dan pendirian menyebabkan munculnya dua kelompok utama, yang bermula dengan asas pelantikan khalifah bagi meneruskan kepimpinan umat Islam selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW.
Krisis bermula apabila sekelompok penduduk Madinah bermesyuarat di Balai (Syafiqah) Bani Saadah untuk memilih siapakah di antara mereka untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW, walhal pada masa itu jenazah Rasullullah SAW sedang dipersiapkan untuk pemakamannya. Berita itu diketahui oleh Abu Bakar as-Sidek dan Umar al-Khattab, mereka terus ke sana untuk mengambil bahagian. Peristiwa itu dianggap sebagai krisis pemula kepada kepimpinan Islam selanjutnya dan dalam konteks politik moden, ia dilihat sebagai krisis perlembagaan.
Bagaimanapun, krisis itu tidak berlanjutan terlalu lama. Mereka akhirnya bersetuju dengan pilihan yang dibuat, iaitu melantik Abu Bakar as-Sidek sebagai khalifah. Selepas itu, Abu Bakar melantik Umar al-Khattab sebagai pengganti. Umar al-Khattab pula melantik Usman bin Affan. Namun, dalam masa Khalifah Usman Affan, timbul semula krisis yang akhirnya membawa kepada pembunuhannya. Pembunuhan ke atas Khalifah Usman Affan diakibatkan tersebarnya fitnah berlakunya nepotisme dan kronisme. Usman dituduh melantik ahli keluarganya menduduki beberapa jawatan penting disamping membahagi-bahagikan pemilikan tanah dalam kalangan ahli keluarga.
Selepas kematian Usman, Ali bin Abi Thalib dilantik sebagai khalifah. Ali berhadapan dengan reaksi besar daripada Muawiyah bin Abi Sufyan, gabenor Syria dan Palestin (Syam) yang dilantik oleh Usman bin Affan bagi menggantikan saudaranya yang terbunuh, Abu Ubaidah bin Jarrah. Ali berusaha untuk meredakan keadaan lantas bercadang untuk menggantikan mana-mana gabenor yang dilantik oleh Usman. Muawiyah menentang cadangan Ali. Muawiyah melakukan desakan yang kuat agar Ali mengambil tindakan ke atas pembunuh sepupunya itu. Ini kerana Muawiyah merupakan waris Usman yang terdekat.
Krisis itu kemudiannya menjadi punca berlakunya Perang Siffin. Di akhir peperangan tersebut, Amr bin Ash yang menjadi panglima perang bagi pihak Muawiyah mencari helah untuk menamatkannya apabila merasakan tentera pimpinannya semakin hilang semangat dan hampir kalah. Antara strategi Amr ialah meletakkan al-Qur’an di hujung tombak, yang akhirnya memerangkap tentera Ali bin Abi Thalib untuk menerima cadangan melakukan gencatan senjata. Bagaimanapun, Ali menerima tekanan daripada banyak pihak kerana bersetuju dengan majlis tahkim, yang keahlian daripada kelompok Muawiyah adalah diragui tujuan perdamaian tersebut.
Proses tahkim (arbitrase) ini kemudian menjadi faktor terbunuhnya Ali bin Abi Talib oleh sekelompok gerakan yang diasaskan oleh Abdullah bin Saba’, yang pada awalnya membuat keputusan menolak semua khalifah kecuali Ali bin Abi Thalib. Bagaimanapun, kelompok ini kemudian berpecah kepada dua kumpulan, Syi’ah dan Khawarij. Syi’ah masih kekal dengan idealisme politiknya, hanya yang berhak memimpin umat Islam ialah Ali bin Abi Thalib dan keturunannya. Khawarij akhirnya membuat keputusan tidak lagi mengehadkan Ali dan keluarganya sebagai pemimpin umat Islam.
Usman dibunuh (656M) oleh pengikut Khawarij dan selepas Ali dipilih sebagai khalifah. Puak Khawarij menyusup masuk ke kem Ali bin Abi Thalib kerana takutkan ancaman Muawiyah yang mahukan pembunuh Usman diadili secepat mungkin. Muawiyah berpendirian, semua orang yang terbabit dengan pembunuhan Usman wajib dibunuh manakala Ali pula berpendapat ‘yang wajib dibunuh ialah orang yang membunuh’ berdasarkan hukum qisas. Akibat tidak bersetuju dengan majlis tahkim, kelompok Khawarij akhirnya mengambil keputusan tidak lagi berada dalam kem Ali.
Mereka turut merancang untuk membunuh tiga orang yang dianggap punca kepada masalah dalam umat Islam, iaitu Ali bin Abi Talih, Muawiyah bin Abi Sufyan dan Amr al-Ash. Bagaimanapun, hanya Ali bin Abi Thalib berjaya ditikam oleh Abdul Rahman bin Muljam, pengikut Khawarij pada 26 Januari 661M di Masjid Agung Kufah dan meninggal dunia dua hari selepas itu.
Sebelumnya, Abdul Rahman Muljam bertemu dengan dua orang Khawarij di Mekah, iaitu Al-Burak bin Abdillah dan Amru bin Bakr at-Tamimi. Dalam pertemuan itu, Muljam menegaskan bahawa krisis umat Islam berlaku disebabkan kesalahan Ali, Muawiyah dan Amru al-Ash. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk membunuh ketiga-tiganya bagi menamatkan kemelut umat Islam di samping membalas dendam di atas kematian rakan-rakan mereka di Nahrawan.
Dengan hasrat membunuh Ali, Abdul Rahman Muljan kemudiannya memulakan langkah menuju Kufah. Abdul Rahman Muljam sangat bermotivasi untuk membunuh Ali atas sebab kejayaan membunuh Ali membolehkannya berkahwin dengan seorang wanita Nahrawan. Wanita itu telah kehilangan saudara dan ayahnya setelah terbunuh di dalam pertempuran di Nahrawan dengan penyokong Ali bin Abi Talib.
Wanita itu meletakkan syarat, sedia berkahwin sekiranya Abdul Rahman Muljam berjaya membunuh khalifah, yang sangat didendaminya. Bagaimanapun, setelah berjaya menikam Ali, Abdul Rahman bin Muljam berjaya ditangkap. Beliau kemudiannya dihukum bunuh dan Hasan bin Ali mengambil tempat sebagai pengganti ayahandanya.
Abdul Rahman Muljam awalnya merupakan seorang yang kuat beribadat dan pernah diberikan tanggungjawab untuk membantu Amru bin al-Ash, yang ketika itu adalah gabenor Mesir pada era pemerintahan Umar al-Khattab. Umar al-Khattab semasa mengutus surat kepada Amru al-Ash menjelaskan: Aku telah mengirim kepadamu seorang yang shâlih, ‘Abdur-Rahmân bin Muljam. Aku merelakan ia bagimu. Jika telah sampai, muliakanlah ia, dan buatkan sebuah rumah untuknya sebagai tempat mengajarkan Al-Qur`ân kepada masyarakat”
Abdul Rahman pernah menjadi guru al-Qur’an, tetapi akibat terpengaruh dengan pendirian dan pemikiran kelompok Khawarij, akhirnya menjadi seorang yang ganas dan anarkis. Dengan membunuh Ali, Abdul Rahman merasakan dirinya mendapat redha Allah, yakni membantu menyelesaikan masalah umat Islam. Abdul Rahman telah membuat tafsiran yang silap terhadap firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya karena mencari keridhaan Allah; dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya”. (al-Baqarah:207). Dia dengan penuh yakin, dengan membunuh Ali akan memperoleh redha Allah.
Mengulas hal tesebut, Imam Dzahabi rahimahullahberkata: Ibnu Muljam “Sebelumnya, adalah seorang ahli ibadah, taat kepada Allah SWT. Namun, di akhir kehidupannya ditutup dengan keburukan (su`ul khâtimah). Dia membunuh Amirul-Mu’minin ‘Ali RA dengan alasan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui titisan darahnya. Semoga Allah SWT memberi ampunan dan keselamatan bagi kita”
Ertinya, bagi hidup lebih aman, harmoni dan penuh nilai-nilai kemanusiaan, hindarilah kebencian dan berhentilah daripada perkara-perkara yang dikategorikan sebagai buruk sangka. Tatkala hati dan perasaan kita bermuarakan kebencian, tuduh menuduh, kita sebenarnya sedang dihasut oleh syaitan. Semoga hidup kita dilindungi Allah SWT dan dijauhi daripada godaan syaitan.
Itu adalah harapan kita, tetapi bagaimana menggapainya? Tentunya, kerana Islam adalah cara hidup yang lengkap, kita sepatutnya kembali menyelidik, mencari dan menggali ilmu-ilmu yang telah dibincangkan secara mendalam dan lengkap dengan praktisnya oleh para ulama klasik, termasuk ulama pada Abad Pertengahan.
Salah seorang ulama yang menghabiskan usianya untuk memulihkan kefahaman beragama dan membentuk peribadi seorang muslim yang shalih ialah Iman al-Ghazali al-Thusi atau juga dikenali sebagai Abu Hamid al-Ghazali. Al-Ghazali hidup pada zaman pemerintahan Dinasti Abbasiyah, dan merupakan seorang Parsi, pengikut Imam as-Syafi’e, dididik dalam tradisi keilmuan Imam Abu Hasan as-Sy’ari (semasa berguru dengan Imam al-Juwaini di Madrasah Nizamiyah, Naisabur).
Beliau juga terkenal sebagai ilmuan Islam ulong yang berjaya mengubah perspektif ilmu lojik, falsafah, kaedah pendidikan, memperkemaskan asas teologi, memperbaharui kaedah menyucikan diri (tasawuf) dan cukup inovatif dalam memperjelaskan hal-hal yang bersifat akademik (metodologi ilmu) serta sangat kental mempertahankan prinsip-prinsip Islam berdasarkan al-Qur’an dan sunnah.
Dengan ijtihad yang merentasi mazhab (fikiran terbuka), al-Ghazali bukan sahaja dikenali dalam kalangan penganut Islam bahkan idea-ideanya turut mempengaruhi ilmuan barat. Buku-buku tulisannya tersebar secara meluas, diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan dikaji tanpa henti oleh kelompok ilmuan yang mencari solusi bagi memperbaiki dan memperbetulkan nurani masyarakat.
Untuk tujuan ini, saya akan mendekatkan pembaca mengenai pandangan-pandangan al-Ghazali berkaitan bagaimana menguruskan emosi, kerana emosi itulah menjadi penentu kepada hampir kesemua masalah dan kemelut kehidupan. Pengurusan emosi adalah kerangka pengurusan diri, kerana manusia adalah makhluk yang berperasaan dan tidak boleh melepaskan dengan mudah perasaan, walaupun diyakini bahawa ‘menurut perasaan (hati)’ boleh menyebabkan ‘sakit hati’, ‘makan hati’ ataupun ‘keras hati’ dan ‘mati’..
Sebelum itu, kita merenung sejenak apa yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW semasa baginda berusia empat tahun. Masa itu, Nabi Muhammad SAW sedang bermain-main dengan rakan-rakannya di Kampung Bani Sa’id. Ketika itu Nabi Muhammad SAW diasuh dan dipelihara oleh ibu susuannya, Halimah as-Sa’diyyah.
Ketika asyik bermain, datanglah malaikat Jibrail kepada Muhammad. Malaikait Jibrail kemudian membelah dada Muhammad dan mengeluarkan hati. Hati itu diletakkan di dalam bejana emas. Hati itu kemudian dibasuh dengan air zam-zam dan dimasukkan kembali ke dada Muhammad. Melihat peristiwa itu, rakan-rakan sepermainan Nabi Muhammad SAW lari bertempiaran ketakutan dan berita itu disampaikan kepada Halimah as-Sa’diyyah.
Halimah bergegas mendapatkan Muhammad dan sebaik sahaja melihat keadaannya yang begitu pucat dan menggigil, dipeluknya Muhammad dengan begitu erat sekali. Peristiwa serupa berulang sekali lagi ketika Nabi Muhammad SAW berusia sepuluh tahun, atau memasuki fasa akil baligh (puberty) dan taklif (mukallaf, boleh menerima tanggungjawab).
Jibrail membedah dada Nabi Muhammad SAW untuk kali ketiga sebelum menerima wahyu kenabian, iaitu pada usia menginjak 40 tahun. Ketika itu, Muhammad SAW sudah pun 15 belas tahun berkahwin dengan seorang janda kaya berusia 40 tahun bernama Khadijah. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi, diceritakan ketika itu Nabi Muhammad SAW bermimpi suatu hal yang dahsyat, dadanya dibedah dan hatinya dibasuh berkali-kali dengan air zam-zam. Mimpi itu diceritakan kepada Khadijah dan Khadijah menafsirkannya sebagai ‘petanda kebaikan’. (Bersambung)
KAMARUN KH
Recent Comments