Selain tidak melakukan perbuatan syirik (asas tauhid dan keyakinan beragama yang terkeluar daripada kalimah dua syahadah), Islam menetapkan dua posisi yang kadangkala dalam tindakan kita sangat bercanggah, atau paradoks. Dua dimensi yang ditegaskan itu ialah menjaga hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia. Dimensi pertama bersifat individu atau diri masing-masing (hablum min-Allah) manakala dimensi kedua bersifat kemasyarakatan atau kemanusiaan (hablum min-Nas). Dimensi yang bersifat individu dijelmakan dalam bentuk ibadat dan ketakwaan, Dimensi bersifat kemasyarakatan atau kemanusian dijelmakan menerusi tindakan dan perilaku terhadap orang lain dan juga antara makhluk.
Dalam dimensi individu, kita diajarkan bagaimana menanamkan rasa syukur, dan membalas terima kasih kepada Allah SWT yang mencipta, memberikan kehidupan sehingga dapat kita rasakan momen-momen indah menyedut udara segar secara percuma selagi kita bernafas. Biarpun penduduk dunia sekarang dilihat cukup sesak dan bumi semakin tua, udara segar yang kita hirup setiap hari tidak berkurangan, masih ada bekalan untuk kita bernafas. Bumi yang sudah tua ini masih mampu membekalkan minuman dan makanan untuk kita meneruskan hidup asal kita mampu berusaha mengambil, memproses dan menggunakan akal fikiran bagaimana menumbuhkan sumber makanan.
Kita sangat bernasib baik kerana tidak tertekan oleh perubahan lanskap bumi walaupun setiap hari ada tanah digondolkan untuk didirikan pelbagai tujuan, seperti membina bangunan, tapak kediaman, lahan pertanian, pusat rekreasi dan kawasan industri.
Ia berbeza dengan habitat lain yang semakin diancam kepupusan akibat penggondolan hutan dan penjarahan sumber alam oleh manusia. Akibat punca makanan semakin berkurangan, habitat-habitat tersebut mengalami kekurangan makanan, dan di antaranya mati kebuluran. Akibat tidak dapat menyesuaikan diri perubahan persekitaran, habitat-habitat itu semakin mandul dan tidak mampu melahirkan zuriat. Ada habitat sudah hilang daripada senarai fauna dan flora, selain perlukan usaha daripada manusia untuk membantu membiaknya agar tidak kepupusan.
Berbeza dengan manusia kerana ada di antaranya cukup agresif untuk menghapuskan manusia lain menerusi pelbagai tindakan yang bersifat benci, marah, kecewa, dendam, tamak dan keras kepala. Sifat-sifat itulah mendorong manusia untuk berperang, bermusuh, berkonflik, membunuh dan seterusnya diistilah sebagai ‘penghapusan etnik’ jika diperluaskan dalam konteks terorisme negara.
Kita tidak tahu bilakah sejarah pertama yang tepat dapat dikaitkan dengan penghapusan etnik (ethnic cleansing). Tetapi, kisahnya sangat menonjol apabila orang-orang Yahudi mula memperkatakan genosid dan holocaust. Genosid dan holocaust itulah dijadikan modal oleh Pakatan Yahudi Antarabangsa untuk kembali ke tanah yang dijanjikan, dengan memitoskan bahawa penganut Islamlah yang menghalau mereka daripada Palestin. Sempadan sejarah telah mereka bentuk, ia bermula apabila Islam berjaya menguasai Jerusalem, sebuah kota yang menjadi rebutan tiga agama samawi (wahyu) – Yahudi, Kristien dan Islam – selepas diserahkan kepada Salahudin al-Ayubbi oleh Tentera Salib pimpinan Richard the Lionheart menyerah kalah pada bulan Oktober 1187. Sebelumnya, tentera Salib mengalami kekalahan teruk dalam Perang Hittin (Julai 1187) yang dipimpin oleh Salahudin al-Ayubbi.
Tentera Salib tidak berpuas hati dengan penyerahan tersebut dan seterusnya melakukan serangan balas sehingga berjaya menawannya semula menerusi kesepakatan negara-negara Barat selepas Perang Dunia II. Pakatan Yahudi Antarabangsa memainkan sentimen genosid dan holocaust yang dilakukan oleh Adolf Hitler untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin barat bahawa pembentukan sebuah negara Israel bakal mengakhiri diaspora Yahudi serta memberi ruang kehidupan yang lebih baik.
Dengan menggunakan kekayaan yang mereka miliki, kepintaran berunding dan kelicikan strategi, akhirnya terbentuklah negara haram Yahudi pada tahun 1947 dan kemudiannya diisytiharkan secara sah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 29 November 1947 melalui undian 33 negara menyokong, 13 menentang dan 10 berkecuali. Pada 15 Mei 1948, British berundur daripada Palestin dan seterusnya menamatkan Mandat British ke atas Palestin yang dibuat pada 1922 selepas jatuhnya Empayar Uthmaniyyah. Bermula daripada detik itulah kisah pembantaian etnik berterusan hingga ke hari ini, di mana Israel terus menjarah, menghalau dan membunuh keturuan Palestin tanpa belas kasihan atau mempedulikan harkat kemanusiaan.
Ini tidak bermakna pembersihan etnik tidak berlaku di wilayah-wilayah lain, tetapi ia menimbulkan persepsi berbeza oleh PBB kerana pengurusan dan pentadbirannya sangat dikawal oleh kuasa-kuasa besar, terutama Amerika Syarikat dan Barat. PBB tidak pernah mengisytiharkan laporan pembunuhan oleh rejim Israel ke atas penduduk Palestin sebagai ‘penghapusan etnik’, yang cukup berbeza dengan pendiriannya terhadap pembantaian etnik Ughur di China dan Rohingya di Myanmar.
Sebaliknya, walaupun tragedi rakyat Palestin mendapat simpati antarabangsa, PBB masih tidak melakukan tindakan tegas ke atas Israel hanya sekadar menyeru kepada perundingan damai yang hingga sekarang tidak kesampaian. Israel sentiasa mencari jalan untuk melakukan pembersihan etnik kerana baginya, Israel adalah negara untuk orang Yahudi. Pemimpin-pemimpin mereka melakukan pelbagai provokasi untuk menunjukkan kepada dunia bahawa rakyat Palestinlah yang mencetuskan krisis walaupun realitinya, Israellah yang ghairah menghalau dan membunuh.
Tanah milik penduduk Palestin sebagaimana diputuskan dalam pembahagian oleh PBB pada tahun 1948: 11,782.8 kilometer persegi untuk Palestin dan 14, 401.2 kilometer persegi untuk Israel. Kini, Palestin hanya dua kawasan iaitu di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. Keluasannya semakin mengecil akibat penjarahan Israel untuk membina petempatan haram Yahudi, jumlah penduduk keturunan Arab turut menurun dengan drastiknya kepada 20 peratus (2008) sedang pada tahun 2002, ia berjumlah 40 peratus.
Ini bermakna dalam tempoh enam tahun, keturunan Arab yang menjadi warganegara Israel telah menurun lebih daripada separuh. Penurunan ini disebabkan oleh faktor pembunuhan oleh Tel Aviv, serangan tentera sehingga menyebabkan ramai daripada mereka menjadi pelarian di beberapa buah negara dan kemasukan keturunan Yahudi yang dianjurkan oleh kerajaan.
Menurut data PEW Research 2016, penduduk Israel beragama Islam sekitar 17.6 peratus dan jika dicampur keturunan Arab yang lain (Kristian 2 peratus dan Druze 1,6 peratus). Secara
keseluruhannya, keturunan Arab hanya membentuk sekitar 21.2 peratus/ Selebihnya adalah berketrunan Yahudi (78.2 peratus): 49 peratus Hiloni (secular); 29 peratus Masorti (traditional); 13 peratus Dati (religious) 9 peratus Yahudi Heredi (ultra othordox). Heredi dijangka meningkat kepada 20 peratus pada tahun 2028.
Selepas bertahun-tahun bermusuh dengan negara-negara Arab, Donald Trump berjaya melaksanakan plan normalisasi, di mana-mana beberapa buah negara Arab mula menjalin hubungan diplomatik dengan Israel. Kejayaan tersebut akan diingati sebagai tindakan tidak langsung mengiktiraf Israel hanya kerana ingin menjaga kepentingan ekonomi masing-masing.
Hal ini menjadikan sebahagian pemikir melontar pandangan kritis, bahawa unsur-unsur sekular telah berjaya mempengaruhi kepimpinan negara-negara Arab, yakni lebih pentingan kemakmuran ekonomi daripada mempertahankan agama. Ia berbeza dengan semangat yang ditunjukkan oleh negara-negara Arab sehingga membangkitkan permusuhan besar dengan Israel, termasuk tercetusnya Perang Enam Hari pada tahun 1967 (5 Jun 1967).
Perang Enam Hari berlaku atas faktor kebiadaban Israel yang menimbulkan pelbagai krisis dengan tetangganya. Isu penguasaan air di Sungai Jordan (termasuk mengubah aliran air dengan membina terusan bagi menampakkan ia mengalir dalam kawasan Israel), dakwaan Syria bahawa Israel cuba memusnahkan Damsyik dengan persiapan rapi untuk menyerang dan pengunduran askar UNEF (United Nations Emergency Force) dari sempadan Israel-Arab, dan kemunculan askar UAR (United Arab Republic) yang mengambil alih kawalan pos UNEF.
Pada 24 Mei 1967, UAR mengumumkan secara rasmi penutupan Selat Tiran bagi kapal-kapal Israel. Israel membalas tindakan tersebut dengan mendakwa penutupan Selat Tiran dan Teluk Aqaba sebagai mencabuli undang-undang antarabangsa sedangkan sebelumnya Israel telah banyak memulakan pencabulan, tidak dipedulikan oleh kuasa-kuasa besar dan PBB, hanya sekadar menempatkan UNEF. Bagi berhadapan dengan situasi itu, Israel turut memanggil 140,000 askar simpanannya dan menasihatkan rakyatnya bersiap sedia dengan kemungkinan perang.
Israel menghantar menteri luar, Abba Eban untuk mendapatkan sokongan daripada Amerika Syarikat, Perancis dan Britain agar memberikan tekanan kepada UAR menarik balik penutupan Selat Tiran dan Teluk Aqaba. Dalam masa yang sama, Amerika Syarikat mendesak Kesatuan Soviet agar memainkan peranan bagi mengelakkan perang daripada berlaku. Kesatuan Soviet tidak berganjak dengan sokongannya terhadap UAR dan berpendirian UAR mempunyai hak untuk memaksa UNEF keluar daripada Semenanjung Sinai dan turut mengkritik serangan ganas Israel terhadap Syria.
Soviet turut menafikan pembabitan Syria yang dituduh oleh Israel menaja keganasan fedayen (yang ditubuhkan oleh orang awam Palestin 1949 untuk menggerakkan semangat perjuangan gerila seperti yang berlaku di Vietnam, China, Aljeria dan Amerika Latin). Antara tahun 1949-1956, fedayen telah membunuh lebih 400 orang awam dan mencderkan lebih 900 orang rakyat Israel. Israel kemudian menubuhkan Unit 101 (1953) yang diketuai oleh Ariel Sharon atas arahan Perdana Menteri, Ben Gurion.
Semasa menubuhkan unit tersebut, Ariel Sharon menjelaskan bahawa Ben Gurion berkata: orang-orang Palestin mesti diajar bahawa mereka perlu membayar harga yang tinggi untuk menumpahkan darah orang-orang Yahudi Israel. Ariel Sharon dibantu oleh Shiomo Baum.
Selepas ditubuhkan, Unit 101 melakukan serangan ke atas perkampungan Palestin, kem pelarian (el-Bureij di Gaza) dan rumah-rumah orang Palestin. Serangan ke atas kem pelarian El-Bureij di Gaza adalah untuk memburu Kolonel Mustafa Hafez, ketua perisikan Mesir yang didakwa sebagai dalang serangan fedayen ke atas Israel. Menurut Mejar Jeneral Vagn Bennike, dari PBB, bom tangan dicampakkan ke dalam rumah semasa penghuninya sedang lena, dan mereka yang cuba melarikan diri ditembak dengan mesingan.,
Dua bulan kemudian, Unit 101 melakukan serang kampong Qibya (utara Tebing Barat) yang berada dalam wilayah Jordan di mana lebih 70 orang terbunuh. Mereka menggunakan cara yang sama dengan serangan ke atas kem pelarian el-Bureij dengan skala yang lebih besar. Dalam laporan pemerhati PBB, “…kesan peluru yang banyak pada mayat dan bingkai pintu menunjukkan mereka yang dibunuh setelah dipaksa berada di dalam bangunan sebelum diletupkan. ” Serangan tersebut (Qibya) menerima kecaman yang hebat dan akhirnya Israel memberikan jaminan tidak lagi menyerang ke atas kedudukan bukan tentera. Akhir tahun 1953 atau awal 1954, Unit 101 dibubarkan setelah bergabung dalam Briged Askar Payung Terjun. Bagaimanapun, Ariel Sharon dinaikkan pangkat dan menjadi pemerintah Briged Askar Payung Terjun.
Briged Payung Terjun hanya menjadi ‘perumah Unit 101’ atau termpat berselindung. Dalam tempoh tersebut Unit 101 terus melakukan keganasan selama 5 bulan sebelum aktivitinya disekat. Antara tahun 1955-1956, Unit 101 melakukan lebih 20 serangan secara berasingan d dan kemuncaknya ialah pada bulan Oktober 1956 ke atas kedudukan polis di Kalkiliya. Dalam serangan tersebut, 18 orang askar payung terjun Israel dan lebih 100 orang anggota Legion Arab terbunuh. Ia kemudiannya dibubarkan sepenuhnya selepas berakhirnya Perang Suez 1956 (Krisis Suez). (Bersambung)
Kamarun KH
Recent Comments