Muhamad Ibrahim Salim, dalam buku Perempuan-Perempuan Mulia di Sekitar Rasulullah SAW’ (Terbitan Gema Insani Press, Depok, Jawa Barat, 2002) menukilkan salah sebuah kisah yang cukup menarik gambaran perwatakan Nabi Muhammad SAW berdasarkan apa yang dilihat dan digambarkan oleh Ummu Ma’bad al-Khuza’iyyah.
Umuu Ma’bad al-Khuza’iyyah adalah isteri kepada Tamim bin ‘Abdil ‘Uzza bin Munqidz bin Rabi’ah bin Ashram bin Dhabis bin Haram bin Habsyiyah bin Salul bin Ka’b bin ‘Amr dari Khuza’ah. Ummu Ma’bad dan Tamin adalah sepupu. Kehidupan mereka sekeluarga adalah hasil daripada pekerjaan membela kambing.
Nama penuh Ummu Ma’bad ialah Atiqah bintu Khalid bin Khalif bin Munqidz bin Rabi’ah bin Ashram bin Dhabis bin Haram bin Habsyiyah bin Salul bin Ka’ab bin ‘Amr dari Khuza’ah. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki dan diberikan nama Ma’bad.
Walaupun pendapatan harian mereka tidaklah mewah dan banyak, pasangan itu merupakan pasangan yang sangat dermawan dan sentiasa bersedekah. Ummu Ma’bad misalnya, sentiasa berada di serambi khemah mereka untuk menghulurkan bantuan (makanan dan minuman) kepada sesiapa sahaja yang melintasi khemah mereka di tengah padang pasir di Qudaid, yang terletak antara Mekah dan Madinah.
Pada bulan September 622M, Nabi Muhammad SAW bersama Abu Bakar, Amr bin Furairah (orang suruhan Abu Bakar) dan Abdullah bin Uraiqit al-Laithi (pemandu arah atau penunjuk jalan) telah singgah di Qudaid. Rombongan tersebut adalah dalam perjalanan ke Madinah dari Mekah, yakni dalam proses berhijrah untuk menghindari kepungan kaum Quraisy.
Pada period awal dakwah Islam, kaum Quraisy merupakan kelompok yang paling kuat dan radikal menentang Nabi Muhammad SAW. Penentangan itu dibuat kerana ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah bertentangan dengan kepercayaan dan keyakinan tradisi masyarkat Quraisy Mekah, yang juga merupakan jalur keturunan baginda.
Nabi Muhammad SAW bukan sahaja diperlekehkan dengan ajaran-ajaran yang dibawa, bahkan turut menerima ancaman bunuh oleh pemimpin-pemimpin Quraisy. Sebagaimana diketahui bahawa kehidupan masyarakat Mekah dan seluruh Semenanjung Arab pada masa itu sangat bergantung kepada penguasaan ekonomi di Mekah. Mekah menjadi pusat pelancongan ibadat yang cukup menghasilkan pendapatan kepada kelompok yang menguasainya.
Pada masa itu, masyarakat Quraisy merupakan kelompok penyembah berhala. Maka itulah tidak hairan terdapat beberapa patung besar yang dijadikan sebagai objek pemujaan mereka, antaranya ialah empat buah patung besar yang dinamakan al-Hubal, al-Latta, al-Uzza dan Mana. Hubal merupakan patung yang terbesar.
Sosok patung Hubal yang ditempa daripada batu akik merah dan dikatakan diukir oleh seorang pengukir sama ada berbangsa Yunani atau Syria. Patung tersebut merupakan seorang manusia yang patah tangan kanan, yang kemudiannya diperbaiki semula dengan sepuhan emas.
Dalam sesetengah sejarah, pada masa Jahiliyyah terdapat lebih daripada 360 berhala di sekitar Ka’abah. Kisah tersebut turut dirakamkan dalam al-Qur’an, surah al-Najm ayat ke 19 dan 20 yang bermaksud:
“(Setelah kamu- wahai kaum musyrik Mekah – mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa “al-Laat” dan “al-Uzza” (19)
“Serta “Manaat” yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?” (20)
Dalam buku Chiefdom Madinah: Kerucut Kekuasaan Pada Zaman Awal Islam, (Penerbit Alvabet, Jogjakarta, 2016), Abdul Aziz menjelaskan setiap kabilah (kelompok) Arab di Mekah walaupun mempunyai berhala masing-masing, mereka juga menyembah berhala daripada kabilah yang lain. Aktiviti itulah yang menjadikan Mekah sebagai pusat pelancongan agama setiap tahun dalam kalangan masyarakat Arab.
Hubal menjadi berhala yang paling dimuliakan oleh seluruh kaum Quraisy dan juga bangsa Arab keseluruhannya. Di hadapan berhala itu, orang-orang musyrik daripada pelbagai strata masyarakat dan kabilah berada dalam posisi membungkuk sambil menadah tangan berdoa agar diberikan kesenangan dan perlindungan daripada pelbagai malapetaka. Antara doa-doa yang dibaca dan dilantunkan ialah Labbaikallahu ma labbaik (Sesungguhnya kami hanyalah debu, Engkau haramkan kami menggunakan anak panah (untuk berperang). Tetapi manusia menghalangi kami mencapai kemenangan).
Dalam surah al-Ankabut ayat ke-61, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka (orang-orang musyrik Makkah), ‘Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?’, tentu mereka akan menjawab, ‘Allah’, maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar).
Menurut Syed Qutb dalam Fi Zilalil Qur’an mentafsirkan maksud surah yang diturunkan di Mekah ini sebagai bukti bahawa bangsa Arab telah menyimpang dalam keyakinan beragama mereka sejak Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS sehingga pada zaman Nabi Muhammad SAW. Penyembahan berhala itu merupakan salah satu tindakan ‘berpaling dari tauhid’ sehingga sanggup menghina diri sendiri dengan menyembah berhala.
Bagi al-Ghazali, tindakan menyembah benda-benda (jisim) seperti berhala adalah satu tindakan yang salah dan tidak selaras dengan prinsip ‘kebenaran sejati’. Ini kerana, jisim atau makhluk adalah lebih rendah kedudukannya daripada Allah SWT. Manusia yang lemah, mengukir dan mencipta berhala, kemudiannya disembah (pagan). Perbuatan itu bermakna manusia tunduk kepada kelemahannya sendiri dan anehnya memohon kekuatan atau petunjuk daripada entiti yang lebih lemah daripada manusia sendiri.
Bagaimanapun, orang-orang musyrik itu sangat bangga dan mengakui bahawa sebagai keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, dua tokoh yang membina Ka’bah dalam area rumah ibadah pertama yang dibangun di Bumi, Masjidil Haram (QS Ali Imran: 96). Soal Syed Qutb lagi: Tidakkah mereka tahu kisah Nabi Ibrahim yang dengan gagah berani menghancurkan patung-patung yang disembah Raja Namrud dan pengikutnya?
Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan tentangan sepanjang dua belas tahun baginda menyebarkan Islam di Mekah. Bagi melepaskan diri daripada terus berkonflik dan diganggu oleh radikalisme Quraisy, Rasulullah ditunjuk jalan untuk berhijrah ke Madinah, sebuah kota yang cukup ramah menerima kedatangan para penghijrah.
Tidak mudah untuk berhijrah ke Madinah yang jaraknya sekitar 435 kilometer dari Mekah pada ketika itu. Selain berhadapan dengan keadaan padang pasir yang berdebu, melintasi pelbagai situasi, tentunya kabilah-kabilah Quraisy tidak berhenti untuk memburu dan membunuh Nabi Muhammad SAW, yang ketika itu sedang berlindung di Gua Tsur.
Sebelum berhijrah, Nabi Muhammad SAW berlindung di dalam gua selama tiga hari bagi mengelakkan dari dibunuh oleh Quraisy yang giat memburunya. Bagaimanapun, semasa berangkat menuju ke Madinah, dengan bantuan jurupandu bernama Abdullah bin Uraiqit, rombongan Rasulullah SAW tidak mengikuti jalan yang dilalui oleh kelompok penghijrah pertama yang bertolak lebih awal.
Kisah pengembaraan Rasulullah SAW diceritakan dengan menarik oleh Muhammad Hussain Heikal dalam bukunya, Hayat Muhammad SAW (edisi terjemahan bahasa Indonesia, Sejarah Muhammad SAW):
Setiap orang menunggang untanya masing-masing dengan membawa bekal makanan. Abu Bakar membawa lima ribu dirham dan itu adalah seluruh hartanya yang ada. Mereka bersembunyi dalam gua itu begitu ketat. Kerana mereka mengetahui pihak Quraisy sangat gigih dan hati-hati sekali mengesan, maka dalam perjalanan ke Yathrib (Madinah) itu mereka mengambil jalan yang tidak biasa ditempuh orang.
Abdullah bin ‘Uraiqit – dari Banu Du’il – sebagai penunjuk jalan, membawa mereka hati-hati sekali ke arah selatan di bawahan Mekah, kemudian menuju Tihama di dekat pantai Laut Merah. Oleh kerana mereka melalui jalan yang tidak biasa ditempuh orang, dibawanya mereka ke sebelah utara di seberang pantai itu, dengan agak menjauhinya, mengambil jalan yang paling sedikit dilalui orang.
Kedua orang itu beserta penunjuk jalannya sepanjang malam dan di waktu siang berada di atas kenderaan (unta). Tidak lagi mereka pedulikan kesulitan, tidak lagi mereka mengenal lelah (letih). Ya, kesulitan mana yang lebih mereka takuti daripada tindakan Quraisy yang akan merintangi mereka mencapai tujuan yang hendak mereka capai demi jalan Allah dan kebenaran itu!
Memang, Muhammad sendiri tidak pernah mengalami kesangsian, bahawa Tuhan akan menolongnya, tetapi “jangan kamu mencampakkan diri ke dalam bencana.” Allah menolong hamba-Nya selama hamba menolong dirinya dan menolong sesamanya. Mereka telah melangkah dengan selamat selama dalam gua.
Akan tetapi apa yang dilakukan Quraisy bagi barangsiapa yang dapat mengembalikan mereka berdua atau dapat menunjukkan tempat mereka, wajar sekali akan menarik hati orang yang hanya tertarik pada hasil materi(upah yang ditawarkan) meskipun akan diperoleh dengan jalan kejahatan. Apalagi jika kita ingat orang-orang Arab Quraisy itu memang sudah menganggap Muhammad adalah musuh mereka. Dalam jiwa mereka terdapat suatu watak tipu-muslihat, bahawa membunuh orang yang tidak bersenjata dan menyerang pihak yang tak dapat mempertahankan diri, bukan suatu hal yang hina.
Jadi, dua orang itu harus benar-benar waspada, harus membuka mata, memasang telinga dan penuh kesadaran selalu.
Bagi menghindari kekejaman kafir Quraisy, Rasulullah pun diperintahkan berhijrah ke kota Madinah. Tanpa membawa bekalan yang cukup, Rasulullah SAW berangkat menuju Madinah. Suatu perjalanan yang tidaklah mudah dan tidak juga ringan.
Pada hari Selasa, mereka sampai di Qudaid dan singgah di sebuah khemah tempat tinggal pasangan Ummu Ma’bad dan Tamin bersama anaknya Ma’bad. Ketika singgah, Rasulullah SAW dan Abu Bakar meminta untuk membeli daging dan kurma yang dimiliki oleh pasangan tersebut.
Mendengar permintaan itu, Ummu Ma’bad berkata: Jika kami memiliki sesuatu, tentulah kamu tidak akan susah untuk memperoleh makanan.”
Ketika itu adalah musim panas dan kemarau mengakibatkan kambing-kambing peliharan pasangan tersebut tidak dapat membiak dan mengeluarkan susu. Ia mungkin disebabkan kekurangan makanan untuk haiwan ternakan yang menjadi sumber rezeki mereka. Rasulullah SAW terpandang pada seekor kambing betina di tepi khemah yang berada dalam keadaan yang cukup lemah.
Rasulullah bertanya kepada Ummu Ma’bad: “Kenapa kambing itu?”.
Ummu Ma’bad menjawab: “Dia (kambing itu) tertinggal dari kambing-kambing yang lain kerana lemah.”
Tanya Rasulullah SAW lagi: “Apakah dia (kambing itu) masih mengeluarkan susu?”
Ummu Ma;bad menjawab: “Bahkan dia lebih payah (sukar) dari itu!”
Mendengarkan jawapan tersebut, Rasulullah meminta izin daripada Ummu Ma’bad:“Apakah engkau izinkan sekiranya kuperahkan susunya?”
“Boleh, demi ayah dan ibuku,” jelas Ummu Ma’bah, “Bila kau lihat dia masih boleh diperah susunya, perahlah!.”
Setelah diberikan kebenaran oleh Ummu Ma’bad, Rasulullah SAW memicit-micit (mengurut) lembut tetek kambing betina itu sambil menyebut nama Allah dan berdoa. Beberapa saat kemudian, Rasulullah merasakan kantong susu kambing itu mula membesar dan mengembang lalu diminta sebuah bekas untuk menadah susu kambing daripada Ummu Ma’bad.
Sebaik sahaja mendapat bekas untuk menadah susu, Rasulullah memerahnya sehingga bekas itu penuh. Rasulullah SAW kemudian menghulurkan susu kambing yang diperah itu kepada Ummu Ma’bad dan disuruh minum sehingga kenyang. Susu-susu yang diperah itu kemudiannya diberikan kepada orang lain sehingga kesemua mereka kenyang. Rasulullah SAW hanya meminum susu-susu tersebut semua orang kekenyangan. Rasulullah kemudian memerah lagi, tetapi perahan berikutnya diserahkan kepada Ummu Ma’bad untuk keperluan keluarganya dan meneruskan perjalanan menuju ke Madinah.
Selepas rombongan itu bergerak, suami Ummu Ma’bad pulang ke khemah bersama kambing-kambing peliharaan mereka. Kambing-kambing mereka masih lemah dan kurus. Sebaik kebuntuan itu, Tamin bertanya kepada isterinya: “Dari mana susu ini kau perolehi? Padahal kambing-kambing kita tidak beranak dan di rumah tak ada kambing yang boleh diperah!”
“Demi Allah,” jelas Ummu Ma’bad. “Tadi ada seseorang yang penuh berkat melalui di sini. Antara ucapannya, begini dan begini ….”
“Demi Allah,” sahut Abu Ma’bad, “Aku yakin, dialah salah seorang Quraisy yang sedang mereka cari-cari! Gambarkan padaku, bagaimana ciri-cirinya, wahai Ummu Ma’bad!”
Cerita Ummu Ma’bad:
“Dia sungguh tampan. Wajahnya berseri-seri. Elok perawakannya, tidak gemuk, tidak kecil kepalanya, tampan dan rupawan. Bola matanya hitam legam, bulu matanya panjang.
Suaranya agak terserak-serak, dan lehernya jenjang. Janggutnya lebat, matanya bercahaya bagaikan bercelak. Bulu keningnya panjang melengkung dengan kedua hujung yang bertemu, rambutnya hitam berkilat. Bila diam, dia nampak berwibawa, bila bercakap, dia sangat ramah. Sangat elok dan menarik dilihat dari jauh, amat tampan dipandang dari dekat. Lembut tutur katanya, tidak sedikit cakapnya, tidak pula berlebihan, percakapannya umpama manik-manik mutiara.
Perawakannya sedang, tidak dipandang remeh kerana pendek, tidak pula mendongak memandangnya kerana terlalu tinggi. Dia adalah pertengahan antara dua dahan, dia yang paling tampan dan paling mulia dari ketiga temannya yang lain. Dia memiliki teman-teman yang mengelilinginya. Bila dia bercakap, mereka mendengarkan tutur katanya baik-baik. Bila dia memerintahkan sesuatu, mereka dengan segera melayani dan mentaati perintahnya. Dia tak pernah menarik muka masam dan tak semberono percakapannya.”
Setelah mencerapi apa yang diceritakan oleh Ummu Ma’bad, dengan yakin Tamin berkata: Demi Allah, dia pastlah orang Quraisy yang sedang di cari-cari. Aku sangat berhajat bertekad untuk menemaninya, dan sungguh aku akan melakukannya jika kudapatkan jalan untuk itu!”
Setelah itu, pasangan Ummu Ma’bad ikut menapak jejak-jejak Rasulullah dan akhirnya mereka bertemu. Setelah bertemu dengan Rasulullah, pasangan itu secara ikhlasnya menucap dua kalimah syahadah dan berbai’ah terhadap keraulan Muhammad SAW.
Kambing yang diperah susunya oleh Rasulullah SAW bertambah panjang usianya dan semakin sihat. Dilaporkan bahawa usia kambing itu cukup panjang dan hidup sehingga zaman pemerintahan Umar al-Khattab, yakni sekitar tahun 12H. Tidak juga pernah kering susunya sejak diurut oleh Rasulullah SAW walaupun diperah dua atau tiga kali sehari.
Mahanor Saleha
Recent Comments