Berita kekalahan Tentera Salib di tangan Salahudin al-Ayubbi dalam Perang Hattin akhirnya sampai kepada pemimpin-pemimpin Barat. Ia diberitakan oleh Archbishop Joscius dari Tyre (bandar yang didiami oleh saki baki tentera Salib dan menjadi sasaran seterusnya) yang belayar ke Eropah selesai Perang Hattin.
Berita kekalahan Tentera Salib turut diketahui oleh Paus Urbanus III (mula dilantik pada 25 November 1185) dan ia sangat mengejutkan. Paus Urbanus III pengsan dan seterusnya meninggal dunia pada 20 Oktober 1187. Ia kemudiannya tersebar pula berita kekalahan tentera Salib di Baitul Maqdis. Deretan kekalahan itu akhirnya membangkitkan lebih banyak seruan untuk berperang bagi menghapuskan Salahuddin.
Kalau dalam Perang Salib II, sasaran Tentera Salib ialah membunuh Nurudin Mahmud Zanki, maka dalam siri selanjutnya ialah membunuh Salahuddin. Salahuddin diisytiharkan ‘musuh yang sangat dituntut’ (most wanted). Bagi membiayai misi itu, England melancarkan satu kutipan dana menerusi pengenalan cukai yang dinamakan ‘Cukai Salahuddin’.
Salahudin sangat dikehendaki kerana beliau berjaya memerangkap dan beberapa orang pemimpin Tentera Salib menerusi strategi perang yang cukup menjadi, yakni mengepong pasukan Tentera Salib dalam situasi haus (tiada sumber air) dalam kawasan panas. Salehudin juga berjaya membunuh Raynauld dari Chatillon, yang merupakan seorang yang jahat dan tidak mematuhi perjanjian yang dibuat sebelumnya termasuk menyerang rombongan jemaah haji.
Menariknya mengenai Raynauld dari Chattilion ialah kejahatannya bukan sahaja dibenci oleh Salahudin dan umat Islam, bahkan dalam kalangan pemimpin masyarakat Frank (kaum penjajah yang menguasai dan memerintah bandar-bandar di Timur Tengah). Beliau datang di Timur Tengah pada tahun 1147, dengan harapan untuk mengaut kekayaan selepas jatuhnya Edessa ke tangan tentera Salib.
Beliau kemudiannya berkahwin dengan janda Raymond, sahabat Eleanor of Aquitaine. Eleanor ialah permaisuri Perancis dari tahun 1137-1152 dan beberapa tahun selepas Perang Salib II bercerai dengan King Louis VII. Eleanor kemudian berkahwin dengan King Henry II dari England dan ditabalkan menjadi Ratu England dari 11 Disember 1154 hingga 6 Julai 1189 dan meninggal pada 1 April 1204.
Eleanor adalah puteri bangsawan yang memiliki kekayaan yang cukup banyak di wilayah Barat Daya Perancis, khususnya di Wilayah Poitiers. Eleanor dipenjarakan selama 16 tahun di beberapa tempat di England (1173-1189) setelah mengetahui sikap buruk King Henry yang suka berfoya-foya dan mempunyai ramai gundik. Semasa dalam ‘perintah kurangan’ Eleanor dijauhi dengan anak-anaknya termasuk Richard the Lionheart yang menjadi putera kesayangannya.
Eleanor juga turut dikaitkan dengan kematian salah seorang gundik King Henry II, Rosemund Clifford (1173) dan menjadi punca beliau dipenjarakan. King Henry II meninggal pada 6 Julai 1189.
Richard the Lion Heart adalah wira yang diagung-agungkan oleh pihak Barat sebagai pahlawan yang dapat memulihkan maruah umat Kristian selepas mengalami kekalahan dalam Perang Hittin.
Selepas kematian King Henry II, Richard the Lion Heart (1157-1199) dipilih menaiki takhta (3 September 1189) dengan gelaran King Richard 1. Semasa Perang Salib II, King Loius VII merasakan adalah tidak selamat untuk meninggalkan Eleanor hidup di Perancis dan kerana itu beliau dibawa bersama-sama dalam misi tersebut. Namun, hubungan antara keduanya tidaklah begitu mesra atas beberapa sebab, antaranya sikap dan pendirian King Louis VII yang kurang layanan ke atas Eleanor atas sikapnya yang dilihat cukup alim.
Atas ‘kesepian’ yang dialami itulah Eleanor dikatakan melakukan hubungan sulit dengan Raymond. Eleanor dan King Louis VII bercerai pada tahun 1152. Alasan lainnya ialah kerana Eleanor tidak
dapat melahirkan zuriat lelaki yang sangat diharapkan bakal mengambil alih tampok kekaisaran Perancis.
Mereka bercerai sekembalinya daripada Perang Salib II, walaupun ketika itu, Eleanor baharu sahaja bersalin anak kedua, seorang puteri. Semasa Perang Salib II Eleanor tidak tinggal bersama King Louis VII. Dengan sebab itulah King Lious VII merasa marah, dan mula curiga dengan kecurangan Eleanor.
Selepas bercerai Eleanor kembali ke wilayah asalnya dan pada bulan Mei 1152, berkahwin dengan King Henry II dari England. Dua tahun kemudiannya, King Henry II dilantik sebagai Raja dan Eleanor sebagai Ratu England. Seperti juga semasa menjadi Permaisuri Perancis, Eleanor turut mempengaruhi dasar dan pentadbiran King Henry, seringkali campur tangan dan membuat keputusan mengenai pengurusan gereja.
King Richard I, sebaik sahaja menduduki takhta membebaskan ibunya. Perkahwinan Eleanor dengan King Henry II memperoleh tujuh anak, lima lelaki dan dua perempuan. Dua anaknya, Richard dan John kemudiannya meneruskan takhta Britain.
Pada tahun 1173 hingga 1174, Eleanor merancang pemberontakan bersama dua puteranya, iaitu Richard dan Geofrey II (meninggal 1186) ke atas Henry atas alasan curang dalam perkahwinan, termasuk memiliki gundik bernama Rossemund Clifford.
Setelah merasakan kedudukannya mulai lemah, Eleanor mula memohon pertolongan daripada bekas suaminya, King Louis VII. Bagaimanapun, Eleanor berjaya ditangkap dan dijatuhkan hukuman tahanan di rumah, sentiasa dipindahkan dari sebuah istana ke sebuah istana sehinggalah King Henry II meninggal dunia.
Semasa Richard I mengambil bahagian dalam misi Perang Salib III, Eleanor memainkan peranan sebagai pentadbir England. Selepas kematian King Richard I(1199) tidak berapa lama sebaik sahaja kembali daripada Perang Salib III, John dinobatkan sebagai pengganti.
Selepas kematian King Louis VII (18 September 1180), Perancis dikuasai oleh Philip Augustus (Philips II), seorang lagi watak penting dalam edisi Perang Salib III menentang Salahudin al-Ayubbi. Philip dilahirkan pada tahun 1165 hasil perkahwinan King Louis VII dengan Adela of Champagne.
Philip berkahwin dengan Isabelle pada tahun 1180, puteri Count Baldwin II of Haunaut. Isabelle meninggal pada tahun 1190.
Philip Augustus (Raja Perancis), Richard I (Raja England) dan Frederick Barbosa (Kaisar Rom) adalah tiga orang raja yang ikut serta dalam Perang Salib III.
Eleanor sekali lagi mempengaruhi King Richard I yang dikatakan kurang berminat terhadap perempuan. Sebelumnya, King Richard I yang masih kecil (kanak-kanak) telah ditunangkan dengan adik Philip Augustus, anak King Louis VII yang berlainan ibu.
Sebagai tradisi para bangsawan Perancis dan England, anak perempuan yang masih kecil jika bertunang, keluarga lelaki diberikan kebenaran untuk mendidiknya sebagai langkah penyesuaian dengan protokol dan tradisi keluarga lelaki. Alexis dipelihara dan dibesarkan di istana England, dibawah jagaan King Henry II.
Setelah meningkat remaja, Alexis dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan Henry, iaitu anak saudara Richard. Hubungan sulit itu turut melahirkan seorang anak luar nikah. Hal itu diketahui oleh Eleanor, dan akhirnya Eleanor mengawasi Alexis dengan mengurungnya. Hubungan sulit sehingga melahirkan’adik tiri’ itu telah menyebabkan King Richard I kecewa, lantas mula cenderung kepada homoseksual.
Richard menolak keputusan untuk berkahwin dengan Alexis sebagaimana mereka dijodohkan (ditunangkan) sejak zaman kanak-kanak. Bagi Richard I, Alais Carpet tidak layak menjadi Ratu England atau isterinya. Richard berjanji akan mendedahkan bukti bahawa Alais Carpet (saudara perempuan Philip Augustus) iaitu perempuan simpanan Henry, anak saudara Richard, Count of Champagne. Penolakan itu membawa kepada perselisihan peribadi dengan Philip Augustus dan sepanjang sejarah kekuasaan masing-masing. Mereka bermusuh sehingga akhir hayat. (James Reston, Jr, ibid, hal. 195).
Elaenor bimbang, jika Richard tidak berkahwin dan memiliki zuriat, kemungkinan takhta akan diwarisi oleh adiknya, John yang ketika itu masih kanak-kanak. Eleanor berusaha keras untuk menjodohkan Richard dan akhirnya berjaya mencari pengganti dari Sepanyol, iaitu puteri Raja Navaree, Berengaria. Walaupun Richard I telah bertolak menuju ke Palestin untuk menyertai misi Perang Salib, Eleanor berusaha memintasnya atau bertemu di Sisilia. Di Sisilia itulah diatur majlis perkahwinan antara Richard I dan Puteri Berengaria.
Persinggahan Richard I di Sisilia mempunyai tujuan tertentu, termasuklah penyesalan kemusnahan Sodom (sebuah tempat yang hidup dalam budaya homoseks) dan sebaik sahaja tiba, Richards I dikatakan cukup menyesal sehingga sanggup bertelanjang sambil memohon keampuan Tuhan di atas kesalahannya sebagai pengamal homoseksual. Perlakuan atau ‘pertaubatan’ tersebut mendapat pujian para uskup, bahkan melihat permohonan maaf Richard I adalah ikhlas dan selaras dengan kaedah ‘menebus dosa’.
Tidak berapa lama kemudian, Eleanor tiba bersama Puteri Berengaria di Sisilia. Ia kemudianya mengatur majlis pernikahan Richard I dan Berengaria, yang diuruskan oleh Joanna, Ratu Sisilia (Tancred adalah Raja Sisilia). Joana berkahwin dengan Tancerd. Raja Philip Augustus turut hadir walaupun sekejap tetapi ia tidak bermakna ‘konflik peribadi’ antara mereka sudah berakhir.
Philip masih ‘berdendam’ terhadap Richards yang menolak adik tirinya, Alais Capet dan sedia berkahwin dengan Puteri Berengaria yang diatur oleh ibunya, Eleanor. Majlis pernikahan itu diadakan di Pulau Aprodit dan Adonis. Mereka dikahwinkan oleh Nicolas, pendita peribadi Richard I (James Reston, Jr, ibid. hal. 203 dan 216-217).
Menurut James Reston, pada 30 Mac 1191, Raja Philip meninggalkan Sisilia untuk berangkat ke ‘tanah suci’ dengan perasaan kesal dan membuat keputusan tergesa-gesa meninggalkan majlis kerana tidak berhasrat bertemu dengan Puteri Bangaria, takut ‘menuai malu’. Philip tiba di Acre pada 20 April 1191. Raja Guys dari Jerusalem hadir sehari sebelum majlis pernikahan Richard dan Berengaria. Bagaimanapun, Guys tidak menunjukkan tanda gembira.
Dalam suasana sedih Guys yang empat tahun hidup dalam kesusahan, termasuk ditahan oleh Salahudin (selama setahun) selepas tentera Salib tewas Perang Hittin. Guys dibebaskan pada bulan Julai 1188, dengan mengangkat ikrar tidak berperang dengan orang-orang Islam. Bulan Julai 1189, Guys menyerang Acre selama dua tahun, tetapi tewas.
Guys bertambah sedih apabila isterinya, Sibylla meninggal akibat wabak penyakit yang melanda wilayah kekuasaannya. Tujuan kehadiran Guys ialah untuk mendapatkan simpati Richard, apatah lagi dengan tentangan yang bakal dihadapinya akibat sokongan Raja Philip kepada Conrad, saingannya di Acre. Kesannya, secara peribadi terbentuk pertentangan yang cukup ‘berdendam’, Richard I dan Guys berada dalam satu pasukan, manakala Philip dan Conrad di pasukan yang lain. Ia seolah-olah perang antara kroni atau ‘perang saudara’ dalam pasukan Salib.
Richard I bersama armada kapal berjumlah 209 buah kapal berlepas dari Sisilia pada 10 April 1191 dan Berengaria bersama saudara kakak iparnya, Joanna dalam kumpulan kapal barisan hadapan dalam lapan barisan yang bergerak sejajar. Permulaan pelayaran itu cukup menyenangkan, tetapi sebaik menjelang hari Jumaat Agung (Good Friday), ulangtahun penyalibapan Jesus juga dikenali sebagai
hari Jumaat sebelum Paskah (antara 22 Mac hingga 25 April menurut kalendar Julian dan antara 4 April hingga 8 Mei menurut kalender Gregorian), armada Richard mula dilanda ribut kuat menyebabkan susunan dan pergerakannya menjadi kelam-kabut. Ertinya, jika menurut perkiraan tersebut, armada mula dilanda ribut pada hari Jumaat, 19 April 1191, iaitu sehari sebelum tentera Salib pimpinan Philip sampai di Acre.
Dalam keadaan tersebut, James Reston menulis: “…armada terumbang-ambing dihempas badai dengan hebat. Susunan armada yang rapi dan geometric tercerai berai dan komunikasi mula terputus. Para kapten kapal tidak lagi mampu merpertahankan kapal dari satu jalur dan harus mengerahkan segenap kemampuan sekadar memastikan terus terapung. Tentera-tentera berusaha bertahan demi keselamatan hidup mereka, dan pada pendita dalam armada berpaling kepada Jeremiah kerana ini sudah pasti suara Tuhan ‘yang membumbungkan wap untuk naik dari hujung dunia…dan mengeluarkan angin dari hartanya…”
“Ketika laut akhirnya kembali tenang, armada Tentera Salib terpencar jauh hingga Richards memerlukan beberapa hari untuk mengumpulkan semuanya kembali. Seorang ahli tulis menggambarkan proses ini seperti seekor induk (ibu) ayam mengumpulkan anak-anaknya. Namun, beberapa tetap hilang – dan yang terpenting, ketiga kapal terdepan, yang membawa ratu masa depan Inggeris.
“Setelah sepuluh hari di laut, armada terpukul itu berlabuh di kaki gunung Ida di Kreta dam menghibur diri dengan fikiran bahawa tempat kelahiran Zeus itu merupakan titik pertengahan dari jalur Sisilia dan Palestin. Beberapa hari kemudian, armada berangkat lagi dalam terpaan angin kencang yang terus berlanjut sampai malam. Pagi harinya mereka menemukan diri mereka berada di pinggir pantai berbatu, Rhodes.
“…Richard menetap selama sepuluh hari. Sementara dia menunggu kapal-kapal tersesat untuk bergabung, dia menambah bekalan armada dari lahan subur di sekitarnya. Perjalanan kapal yang berat ini membuat raja muak, tapi suasana hatinya masih cukup baik untuk mengirim beberapa kapal terbaik dan tercepatnya guna mencari tunangannya (isteri). Pada waktunya, kapal-kapal pengintai ini berhasil menemukan yang dicari yang berjarak beberapa ratus kilometer di Cyprus. Badai hebat ini telah menyeret tiga buah kapal tersebut lebih jauh ke sekatab, Salah satu daripadanya hancur dibebatuan Aprodit, tidak jauh dari pelabuhan Limmasol. Namun kapal Berengaria masih sempurna dan berada baik di pelabuhan. Puteri selamat dan sekadar menderia akibat malu.” (James Reston Jr, ibid, hal. 204-206).
Armada Richard sampai ke Acre pada 8 Jun 1191.
Apa yang menyedihkan ialah penguasa Byzantium di Pulau Cyprus, Isaac Commnenus tidak mempedulikan armada tentera Salib yang tersesat bahkan telah merampas kalung kerajaan, wang dan apa sahaja yang boleh diambil daripada kapal, menawan mereka yang selamat, tidak mengizinkan Berengaria berlabuh di pelabuhan Limmassol serta menolak usaha tentera untuk mendapatkan bekalan air.
Richard menjadi cukup marah. Akhirnya mendapat tahu bahawa Isaac (anak saudara Kaisar Byzantium di Constantinopole) yang pernah ditangkap dan dipenjarakan bertahun-tahun dalam perang Armenia menjadi puncanya.
Isaac sangat bencikan orang Latin dan trauma bila melihat rantai. Penduduk Cyprus turut bencikan Isaac disebabkan tindakannya yang kejam dan mereka yang kaya kebanyakannya telah meninggalkan pulau tersebut berhijrah ke beberapa buah negara lain. Richard menggunakan dua buah kapal yang paling laju bersama tentera yang cekap segera menuju ke Cyprus, bukan sahaja berusaha melakukan tindakan menyelamat bahkan bercadang untuk mendesak agar Isaac membebaskan semua mereka yang ditawan dan mengembalikan semua harta yang dirampas.
Bagaimanapun, Isaac enggan bertolak ansur dan kerana itu, Richard mula mengenakan baju besi dan memerintahkan tentera agar segera melancarkan serangan anak panah ke arah tentera Cyprus. Akhirnya mereka berjaya naik ke darat dan Isaac berjaya melarikan diri.
Richard kemudiannya melancarkan perang psikologi, meminta penduduk tempat menyokong mereka. Richard melihat Cyprus merupakan sebuah pulau yang cukup strategik dan boleh dijadikan pengkalan tentera untuk menentang tentera Muslim, namun penduduk Cyprus melihat ia sebagai tindakan yang cukup ghairah dari Richard. Tindakan itu diibaratkan sebagai “Tuhan telah mengusir anjing-anjing dan membawa serigala-serigala sebagai pengantinya’. (James Reston, Jr, ibid, hal. 218).
Setelah berlaku beberapa serangan dan reaksi balas, akhirnya Isaac berjaya ditangkap di Tanjung St Andrea. Richard dengan rakusnya merampas kuda hebat milik kaisar itu, Fauvel. Isaac kemudiannya melutut agar Richard tidak merantainya, namun Richard memerintahkan agar dirantai dengan rantai perak. Isaac kemudiannya ditempatkan di sebuah kapal untuk diserahkan kepada Hospitaller di pesisir Syria. Sejak itu, Cyprus tidak lagi mempunyai kaisar, manakala puteri Isaac dijadikan pelayan dan teman kepada Berengaria.
Kamarun KH
Recent Comments