Seluruh dunia menjadi pentas,
Dan semua lelaki dan wanita hanyalah pemain. Mereka mempunyai jalan keluar dan pintu masuk mereka.Dan seorang lelaki pada masanya memainkan banyak peranan.
Demikian ungkapan menolog lelaki melankolis, Jacques dalam ‘As You Like It’ yang dihasilkan oleh penulis tersohor Britain, William Shakepeare. Sebagai seorang penulis yang cukup bervisi dan penuh kreatif, William Shakepeare yang hidup antara 26 April 1564 hingga 23 April 1616 telah menghasilkan sekurang-kurangnya 37 naskhah drama dan sebuah kumpulan puisi. Hasil tulisan dan ungkapan-ungkapan yang dilontarkan dalam pelbagai watak dikaji, diteliti dan dijadikan pelbagai bentuk sindiran tentang kehidupan:, kesetiaan, rasa benci, kasih sayang yang cukup berkesan hingga ke hari ini.
Bahkan, bagi mereka yang mempelajari bahasa Inggeris dan sastera Inggeris, tidak akan terlepas daripada membaca, menilai dan mengambil cuplikan-cuplikan ungkapan yang terkandung dalam naskhah dramanya yang tersohor, antaranya Romeo and Juliet, MacBetch, King Lear, Anthony and Cleopatra, Henry IV, King John, Richard II, Hamlet selain As You Like It.
Drama As You Like It memperkatakan tentang tujuh tahap kehidupan seorang lelaki, yang juga merupakan tujuh tahap kehidupan manusia: bayi, pelajar sekolah, kekasih, askar, hakim (seseorang yang mampu memberikan alasan), panthalone (orang yang tamak, dengan kedudukan yang tinggi atau darjat), dan akhirnya sebagai seorang tua yang sedang menunggu pengakhiran hidup (kematian). Drama komedi itu ditulis pada tahun 1599 dan diterbitkan pada tahun 1623 dalam ‘First Folio”, iaitu tujuh tahun selepas disahkan meninggal tanpa diketahui puncanya. Naskhah tersebut dikatakan dipentaskan di William House pada tahun 1603.
Selain renungan tajam Jacques mengenai kehidupan, ada beberapa lagi ungkapan terkenal dalam drama tersebut. Antaranya, “too much a good thing” dan “A fool! A fool!I meet a fool in the forest”. Manakala di batu nesannya, jasadnya yang dikebumikan di Gereja Holy Trinity di Stradford tertulis: Bless the man who cast these stones, and cursed be he that moves my bones.(Berkatilah dia yang meletakkan batu-batu ini, dan kutuklah dia yang memindahkan tulang-tulangku).
Tahun 2016 (sempena ulang tahun kematiannya ke-400 tahun), terbongkar kisah bahawa dalam liang lahat itu jasad Shakepeare kehilangan kepala. Tengkorak tidak dapat dikesan menerusi imbasan GPR, iaitu kaedah mengesan objek di dalam tanah tanpa perlu menggalinya. Ia kemudian membongkar kepada satu tulisan yang disiarkan dalam majalah Argosy edisi 1879, bahawa Frank Chambers bersetuju untuk mencuri tengkorak tersebut untuk mendapatkan habuan sebanyak 300 guineas, lalu diupahnya beberapa orang penggali kubur untuk melakukannya. Usaha penggalian itu dilaporkan berlaku pada tahun 1794, iaitu 85 tahun sebelumnya (rencana majalah Argonsy).
Shakepeare meninggal tiga hari sebelum sambutan ulangtahun kelahirannya pada 23 April 1616, iaitu sebulan selepas menandatangani sebuah dokumen yang mengisytiharkan dirinya sebagai ‘perfect health’. Lima tahun sebelum kematiannya, Shakepeare berhenti menulis dan dikuburkan di Holy Trinity Church, Stratford.
Kita tinggalkan sementara kisah dan ungkapan William Shakepeare untuk melihat lebih jauh lagi mengenai kehidupan manusia, kerana setiap daripada kita adalah ‘pelakon’, kerana kitalah sebenarnya telah, sedang dan akan terus mementaskan ‘drama kehidupan” itu. Kita menjeruk ke dalam untaian pemikiran, ungkapan nurani dan melihat sejarah asal-usul kita berdasarkan keyakinan sendiri, bahawa permulaan generasi manusia adalah berasal daripada satu pasangan yang dicampakkan ke bumi setelah melanggar larangan Allah SWT, iaitu Adam AS dan isterinya Hawa.
Usah kita terperangkap dengan andaian teori evolusi yang menaikkan nama Charles Darwin dengan hipotesis manusia berasal dari kumpulan primat dari species beruk, kera, chimpanzee dan sejenisnya. Teori ini terus diperdebatkan hingga kini, dan tiada kesimpulan yang dapat dipertahankan meskipun ada yang berpendapat habitat chimpanzee sangat mirip dengan habitat manusia.
Selepas Adam dan Hawa tercampak ke dunia, pasangan itu kemudiannya bertemu semula. Dari situ lahirkan keturunan manusia, dan kini dianggarkan berkembang menjadi jumlah yang cukup besar di mana pada tahun 2011 (31 Oktober 2021), ia mencecah 7 bilion orang. India dianggarkan menjadi negara yang mempunyai jumlah kelahiran tertinggi, iaitu 27 juta bayi setahun dan manusia pertama yang menjadi penanda aras 7 bilion bakal dilahirkan di Uttar Pradesh, India, yang ketika itu merupakan sebuah negeri yang paling padat dengan jumlah penduduk seramai 200 juta orang.
Jika ia dikira sebagai sebuah negara, Uttar Pradesh menjadi negara keenam paling padat di dunia selepas Brazil. Bagaimanapun, Uttar Pradesh bukanlah sebuah negara, ia adalah sebuah negeri dalam India yang penuh sejarah sandiwara kerana pementasan lakonan hidup terus berjalan setiap saat. Antara tahun 1991 hingga 2001, Uttar Pradesh menunjukkan kadar pertambahan penduduk sebanyak 26 peratus. Tahun 2011, penduduk Uttar Pradesh merupakan 16.2 peratus daripada keseluruhan penduduk India yang berjumlah 1.18 bilion, berada di tangga kedua selepas China (1.33 bilion).
Tahun 2021, populasi dunia dianggarkan berjumlah 7,916, 559,000 di mana China masih berada di tangga pertama (1,411, 778,224 orang), diikuti India (1,385,618,365), Amerika Syarikat (332,886,919), Indonesia (271,350,000), Pakistan (225,200,000) dan Brazil (214,086,012). Tahun 2027, India dijangka mempunyai jumlah penduduk teramai mengambil alih kedudukan China dan pada tahun 2050, jurang perbezaan akan menjadi lebih besar akibat penurunan kadar kesuburan dan proses penggantian yang terbantut dasar kependudukan sebelumnya, satu keluarga satu anak.
Jauh sebelum William Shakepeare memperkatan dengan habitat manusia – sebagai pelakon dan menyutradarai skrip kehidupan berdasarkan sudut pandangan tertentu – elok kita kembali kepada persoalan apakah tujuan sebenar kenapa manusia hadir di muka bumi ini. Selepas manusia berkembang biak, membina kehidupan bersosial, meneruskan kelangsungan berfikir, kita tidak sunyi menyaksikan drama yang cukup epic dan bersejarah, termasuk episod duka oleh tangan-tangan manusia sendiri.
Dalam sejarah manusia, disebabkan rasa kecewa, manusia sanggup melakukan apa sahaja atas apa sahaja alasan sama ada secara sedar atau tidak sedar. Secara sedarnya, manusia yang kecewa boleh bertindak ganas bagi memenuhi tuntutan geramnya. Secara sedar juga, manusia cukup kuat bercita-cita untuk menguasai dan menjadi pemilik kepada sesuatu, termasuk material dan psikologi. Ia bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan survival, tetapi lebih besar daripada itu, hegemonik dan monopoli. Dari situlah berkembangnya pelbagai tindakan yang bersifat radikal, agresif, anarkis dan sebagaimana. Kita bukan sahaja banyak menyaksikan sejarah kehidupan manusia dengan petunjuk revolusi yang cukup revolusioneer dan melupuskan emosi kemanusiaan.
Kita boleh saksikan bagaimana Habil dan Qabil, dua orang anak Nabi Adam AS memulakan tragedi hanya kerana kecewa apabila tidak dapat bernikah dengan salah seorang saudaranya yang lebih cantik. Qabil kecewa apabila dirinya tidak dijodohkan dengan Labuda, Qabil tidak menaruh hati kepada Iqlimah yang dikatakan tidak secantik Labuda. Labuda pula dijodohkan dengan Habil.
Biarpun kisah itu dirakamkan dalam al-Qur’an, Allah SWT tidak menamakan Habil dan Qabil, Labuda dan Iqlimah, penganut Islam boleh melatarinya dengan peristiwa tersebut: Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”(al-Maidah: 27).
Sesuai dengan profesyennya, Habil menghadiahkan kambing manakala Qabil mempersembahkan gandum sebagai barangan untuk upacara korban. Barangan korban itu pada awalnya untuk dijadikan asas dalam menyelesaikan kemelut perjodohan yang ditentang oleh Qabil. Dari situ membawa kita kepada kesimpulan, atas rasa ingin memiliki yang lebih cantik atau lebih baik, manusia sanggup membunuh hatta mangsanya adalah saudaranya sendiri.
Dalam pertarungan tersebut, Allah SWT menyambung episod dengan berfirman: Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.” (al-Maidah ayat 28).
Berkata Habil: Adakah berdosa aku kepada Allah kerana menerima korbanku dan menolak korbanmu”
Qabil merasa sekali lagi tercabar dengan pertanyaan itu.Tindakannya semakin kelihatan agresif. Habil yang lebih tenang dan bersabar kemudian berkata: Janganlah tergesa-gesa wahai saudaraku, mempertaruhkan hawa nafsu dan ajakan syaitan! Kawallah perasaanmu dan fikirlah masak- masak akan akibat perbuatanmu kelak! Ketahuilah bahawa Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa yang menyerahkan dengan tulus ikhlas dari hati yang suci dan niat yang murni.
Rasa hati Qabil terus membuak-buak, sehingga Allah SWT berfirman: Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan orang-orang yang zalim. Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.” (al-Maidah: 29-30).
Setelah berjaya membunuh Habil, Qabil dilanda kebingungan, mula mempertikaian kewajarannya untuk membunuh.Qabil hilang keupayaan berfikir setelah menyaksikan jasad saudaranya terbujur kaku, berlumuran darah dan buntu untuk menguruskannya.
Dalam kebuntuan itu, Allah SWT menghantarkan petunjuk daripada seekor burung gagak yang selesai berkelahi.Gagak yang menang dalam perkelahian itu mengusung jasad seekor gagak yang ditewaskannya, lalu menanamnya. Ini membuatkan Qabil berfikir dan menyesal.
“Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: “Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?”.Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.” (al-Maidah ayat 31)
Seperti kata peribahasa: Sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Biarpun kata sesal itu tidak boleh diukur secara langsung dengan pendapatan (ertinya wang), secara tidak langsung ia bermakna ‘kehilangan’. Kehilangan itu boleh dikaitkan dengan ‘apa yang kita ada’ sudah terlepas atau ‘yang hilang itu tidak akan ada gantinya.” Ini bermakna, sebagai seorang manusia, kita mestilah berfikir dalam konteks dan pertautannya, agar selepas membuat sesuatu keputusan kita tidak akan menyesal atau kehilangan apa yang pernah menjadi milik kita atau sesuatu yang dekat dengan diri kita.
Qabil kehilangan saudaranya sendiri kerana sikapnya yang panas baran, hegemonik dan terlalu menurut kehendak hati. Menghindari penyakit panas baran, monopolistik, hegemonik dan menurut kata hati sangat ditekankan oleh Islam, dan kerana itulah Islam meletakkan kedudukan yang jelas mengenai destinasi akhir manusia selepas memainkan peranannya sebagai pelakon di atas pentas dunia. (BERSAMBUNG)
Kamarun KH
Recent Comments