Situasi ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan amir-amir yang lain, sehingga ada yang mendakwa Saadudin bakal menggunakan Al-Salih untuk datang dan menguasai Damsyik. Amir Damsyik kemudiannya memohon perlindungan daripada Saifuddin dari Mosul dengan menjemput Saifudin agar mengambil alih kekuasaan. Saifuddin enggan berbuat demikian, akhirnya, dimohon pula bantuan daripada Salahudin, yang kemudiannya diterima dengan baik sebagai satu kebaikan bagi Dinasti Zankiyyah dan untuk kebaikan al-Salih.
Salahudin memasuki Damsyik pada 28 Oktober 1174, lalu mengisytiharkan dirinya ‘Aku adalah mamluk (hamba) kepada Malik al-Salih dan kedatangan aku hanya untuk membantu dan berkhidmat kepadanya dengan mengembalikan semula tanah dan wilayah yang diambil daripadanya.’ Kata-kata itu menimbulkan pelbagai tafsiran dalam kalangan penduduk Damsyik, namun apa yang menjadi hasrat Salahudin ialah ‘mentaati perintah Nurudin’ bagi menjaga integriti wilayah kekuasaan dan meneruskan matlamat jihad dari penaung atau mentornya. Ramai yang mengharapkan Salahudin akan berusaha menyingkirkan al-Salih atas pelbagai alasan, termasuk pengalaman dan usia pengganti Nurudin itu masih sangat mentah.
Salahudin terpaksa membantu al-Salih bagi meneruskan cita-cita Nurudin, yakni menyatukan seluruh wilayah kekuasaan Islam dan meneruskan semangat jihad untuk membebaskan Baitul Maqdis. Mengenai al-Salih, Salahudin menegaskan: Sekiranya Nurudin masih hidup, beliau tidak akan memberikan hak menjaga anak dan kedudukannya kepada sesiapa kecuali aku. Aku melihat bahawa kamu semua memberi pengaruh yang buruk kepada Tuanku (al-Salih) dan cuba memutuskan hubungannya dengan aku. Ingat, aku pasti akan datang kepada kamu untuk melaksanakan amanah ayah Tuanku (Nurudin) dan menghukum kamu di atas kegagalan menjaga amanah ini dan wilayah kekuasaannya.”
Akibat ketaatan kepada pewaris Nurudin itu, Salahudin berhadapan beberapa percubaan bunuh. Misalnya insiden yang berlaku antara tahun 1175 dan 1176, iaitu percubaan yang dilakukan oleh Kumusthakin yang mengupah pengikut Batinniyyah yang dikenali sebagai kelompok hasysyasin. Ia disusuli dengan percubaan kedua ketika Salahudin sedang berkhemah di Aleppo dan percubaan kali ketiga oleh kumpulan yang sama menyebabkan berlaku kecederaan kecil di leher. Kerana bimbangkan ancaman bakal berulang dan mengancam lain-lain pemimpin, Salahudin melancarkan serangan ke atas pengikut Batinniyyah di Masyaf.
Dalam serangan itu, Salahudin kemudiannya mengarahkan tenteranya agar segera berundur sebaik sahaja mendapat berita bahawa ketua kumpulan Batinniyyah, Rashidudin Sinan telah mengugut bapa saudaranya, Shihabuddin al-Harimi bahawa mereka akan membunuh seluruh keluarga Salahudin sekiranya tidak menghentikan serangan ke atas kubu tersebut. Sikap itu bukan memperlihatkan kebimbangan Salahudin, tetapi sebagai satu kaedah diplomasi untuk menjaga penyatuan umat Islam dan dalam diri Salahudin tetap tersemai keyakinannya bahawa ‘Allah memelihara kita kerana Dia mempunyai kehendak dan hikmah yang tidak kita ketahui.”
Al-Salih meninggal dunia pada bulan Disember 1181 semasa berusia 19 tahun. Dengan kematian al-Salih, Salahudin mampu menyelesaikan usaha memperkukuhkan penyatuan wilayah Islam di mana beliau seterusnya mengambil alih kepimpinan. Ini membolehkan Salahudin mengukuhkan semangat jihad dalam kalangan umat Islam untuk membebaskan Baitul Maqdis. Pada bulan Julai 1174, berlaku serangan tentera Salib dari Sicily berhampiran Alexandaria (Iskandariah) dan berita itu diketahui oleh Salahudin. Salahudin menggerakkan tenteranya menuju Iskandariah dan mengerahkan tentera dari Damienta untuk segera membantu. Ini bererti, Salahudin telah berjaya menguasai kerajaan Fatimiyyah dan seterusnya Dinasti Zankiyyah yang diasaskan oleh ayah Nurudin Mahmud Zanki, Imanudin Zanki.
Tentera Salib mula berasa gembira setelah ada petunjuk bahawa mereka akan menang. Namun, semangat pejuang Islam semakin memuncak seolah-olah melihat Salahudin berada bersama mereka. Belum pun tentera Salahudin sampai ke Iskandariah, tentera Salib berjaya dihalau dan ditewaskan, kapal-kapal musuh yang berlabuh di pelabuhan Iskandariah berjaya ditenggelamkan. Dari situ Salahudin memperoleh banyak pengajaran: penyatuan ummah, memberikan perhatian kepada Mesir sebagai laluan strategik yang penting dan menghapuskan pengkhianatan dari dalam kelompok Islam sendiri (Fatimiyyah, yang bermazhab Syiah). (Abdullah Nasih Ulwan, Pembaharuan Salahuddin al-Ayubi, edisi terjemahan, 2009; dan, John Mann, Salahudin al-Ayubbi: Sang Penakluk, edisi terjemahan, 2020).
Akhir bulan Muharam 583 H (April 1187) Salahudin mula bersiap sedia menggerakkan bala tenteranya untuk membebaskan Baitul Maqdis. Tindakan pertama yang dilakukan ialah mengutus surat kepada semua pemimpin wilayah Islam – Mosul, Irak, Mesir dan Syria –mengajak mereka menyertai kempen atas semangat jihad. Berita persiapan Salahudin sampai ke pengetahuan Tentera Salib, dan mereka mula merasa bimbang kerana mengetahui mengenai kekuatan gabungan tentera Islam dan kecekapan Salahudin dalam merancang peperangan. Kebimbangan itu menyebabkan tentera Salib mula memperkuatkan penyatuan antara mereka, dan bersedia melupakan konflik antara Count Raymond dan seterusnya merujuk semula kepada Raja Guy, Raja Baitul Maqdis. Raja Guy kemudiannya mengambil tanggungjawab mengumpulkan kekuatan di Saffuriya dan menggunakan wang yang dihantar oleh Raja Henry II dari England untuk membiayai kos dan kelengkapan senjata perang.
Bermula dari Ra’s al-Ma’, Salahudin bersama tentera Islam dari Syria menyusun beberapa pasukan kecil untuk melancarkan serangan ke kawasan yang dikuasai oleh tentera Salib sebagai tindakan menghuru-harakan keadaan. Al-Afdal, anak Salahudin dihantar ke Acre untuk menimbulkan suasana panik di sana bagi melemahkan persiapan Tentera Salib. Pemimpin tentera Muzafaruddin Kukburi pula ditugaskan di Safuriyya bagi menghalang pasukan elit – Templar dan Hospitallers. Tentera pimpinan Muzafaruddin akhirnya berjaya menewaskan pasukan elit tersebut dan sebahagian kecilnya berjaya melarikan diri.
Dalam keadaan trauma dan perasaan kelam kabut, akhirnya Tentera Salib yang dipimpin oleh Raja Guy berundur dari Safuriyya ke Tiberia. Pengunduran tersebut diketahui oleh Salahudin, maka dibuat satu perancangan baharu untuk menunggu ketibaan Tentera Salib di Uqhuwanna, iaitu bagi memerangkap musuh dalam kawasan yang tidak mempunyai sumber air. Tentera Islam menguasai Tasik Tiberia, satu-satunya kawasan bekalan air yang ada di situ. Tentera Salib yang diketuai oleh Guy dan membawa tanda salib asal (salib kayu yang menyalibkan Nabi Isa AS) mula berkhemah di Safuriyya. Setelah lima hari tanpa berlaku apa-apa serangan oleh Tentera Salib, Salahudin membuat keputusan untuk melakukan serangan pada waktu malam terhadap Tiberia.
Serangan itu menyebabkan Tentera Salib marah dan mereka mula berada dalam ketakutan apabila ramai penduduk ditawan. Akibatnya berlaku perbalahan antara pemimpin Salib, manakala Count Raymond memberikan nasihat kepada Guy agar bersabar dan menunggu di situ kerana Tentera Salib tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan tentera Salahudin walaupun ada dalam kalangan ahli keluarga (isteri dan anak-anak) telah berjaya ditawan.
Reynald dan Gerard yang memimpin Templars tidak bersetuju dengan nasihat tersebut cuba untuk mempengaruhi Guy agar menyerang Tentera Islam. Dua pandangan yang berbeza itu menambahkan lagi tekanan ke atas Guy, apatah lagi bila ada pandangan mengatakan bahawa Raymond adalah seorang pengkhianat kerana melanggar perjanjian damai dengan Salahudin untuk tempoh selama 40 tahun.
Menurut James Reston Jr, perjanjian itu tercapai pada tahun 1184. Ketika itu, wilayah Levanth (khususnya Tiberia) mengalami suasana kemarau dan Raymond memohon diadakan perjanjian damai yang kemudiannya dipersetujui oleh Salahudin. Sebagai menghargai kesudian Raymond, Salahudin membekalkan air minuman dan makanan kepada penduduk Tiberia yang sedang berhadapan dengan masalah. Akibatnya, Raymond dijolokkan sebagai pengkhianat oleh Chattileon wakil penguasa Salin dan Gerard de Ridefront (ketua pelatih Templars) dan didakwa ‘telah menjadi Muslim dan berpihak kepada musuh’.(James R Reston Jr, Perang Salib III: Perseteruan Dua Kesatria Salahudin al-Ayubbi dan Richard si Hati Singa, edisi terjemahan, 2007, hal. 49 dan 70).
Guy bersetuju dengan pendapat Reynald dan Gerald. Akhirnya membuat keputusan meninggalkan Safuriyya dan menuju ke Tiberia, yang kemudiannya menjadi petaka besar apabila mendapati bahawa tentera Salahudin telah meninggalkan tempat tersebut serta sudah menguasai Uqhuwana. Ia merupakan strategi Salahudin untuk memerangkap tentera Salib agar meninggalkan Safuriyya dan menjangkakan akan berada di sebuah kawasan panas, tanpa sumber air manakala sumber air Tiberia sudah dikuasai oleh tentera Islam.
Dengan cara itu, Tentera Salib mudah lemah dan dapat ditewaskan dengan mudah. Ia benar-benar berlaku seperti diharapkan. Tentera Salib berhenti di situ dan terpaksa bergerak ke Tasik Tiberia untuk mendapatkan bekalan air, tentera Salahudin kemudiannya menggunakan kecekapan memanah menyebabkan ramai tentera Salib yang kehausan terbunuh. Untuk menakutkan Tentera Salib selebihnya, tentera Salahudin membakar rumput-rumput kering di kawasan tersebut sehingga menyebabkan mereka lemas dalam kepulan asap yang kebetulan angin panas mula bertiup.
Dalam suasana kelam-kabut dan kebingungan itu, Tentera Salib terpaksa melepaskan senjata dan mula keluar daripada keadaan cemas (terperangkap dalam asap) dan Tentera Islam menggunakan peluang untuk melakukan serangan. Tentera Salib bertindak balas, hanya beberapa orang sahaja Tentera Salib dapat melepaskan diri (termasuk Guy) daripada kepungan Tentera Islam menuju ke Bukit Hattin manakala mereka yang terkepung membuat pilihan terus berlawan atau menyerah diri.
Tanda Salib Asal akhirnya berjaya dirampas oleh Tentera Islam. Pertempuran seterusnya berlaku di Bukit Hattin, dan akhirnya Tentera Salib mengakui kekalahan. Ini bermakna kekuasaan Tentera Salib selama hampir 90 tahun (Julai 1099- 9 Julai 1187) berakhir dan Baitul Maqdis kembali ke tangan umat Islam.Raja Guy, Reynald dan Gerard berjaya ditawan bersama-sama anggota tentera elit, Templars manakala Count of Tripoli berjaya melarikan diri. James Reston menyifatkan ‘singa-singa’ tentera Salib ‘telah berubah menjadi landak’. (James Reston Jr, ibid, hal. 76).
Akhirnya, Salahudin membuat keputusan terhadap tawanan perang tersebut, termasuk menyenaraikan kesalahan Reynald melanggar perjanjian sebelumnya (seperti merosakkan dua kota suci, Mekah dan Madinah). Salahudin akhirnya memancung leher Reynald sebagai hukuman di atas kesalahan jenayah yang dilakukan, manakala penduduk awam di Acre dilayan dengan baik oleh Tentera Islam,
Tindakan yang sama dipraktikkan oleh Salahudin di bandar-bandar lain yang berjaya dikuasai semula oleh Tentera Islam. Tidak berlaku kezaliman sebagaimana dilakukan oleh Tentera Salib sebaik sahaja mereka berjaya menawan Baitul Muqaddis dalam Perang Salib I.
Hal ini diakui oleh Thomas Asbridge:“Even Latin sources admitted that ‘the people of Acre’ were presented with an opportunity to remain in the town, living under Muslim rule, ‘safe and sound, paying the tax which customary between Christians and Saracens’, while those who wished to leave ‘were given forty days in which to take away their wives and children and their goods’. Similar terms seem to have been given to any town or fortress capitulating without resistance and, crucially, these deals were upheld. By keeping his word and not simply ransacking the Levant, Saladin (Salahudin) quickly augmented his reputation for integrity anda honour.” (Thomas Asbridge, ibid, halm 354-355).
Setelah semakin banyak bandar-bandar berjaya dikuasai oleh tentera Islam, penganut agama Kristian yang berasal dari Eropah mula mengambil peluang untuk keluar dan berkumpul di Tyre. Melihat keadaan tersebut, Salahudin membuat keputusan untuk tidak menyerang Tyre dan membenarkan bandar itu kekal diperintah atau dikuasai oleh Tentera Salib. Sebaliknya, Salahudin mula merancang untuk mencapai matlamat jihadnya, yakni mendapatkan kembali kekuasaan di Baitul Maqdis.
Biarpun keputusan membenarkan Tyre dikuasai oleh tentera Salib dikritik, Salahudin mempunyai alasan yang cukup strategik termasuk tidak mahu membazir tenaga dan pengalihan tumpuan jihadnya, iaitu merampas kembali Baitul Maqdis. Salahudin tidak mahu tentera Islam kehilangan ‘semangat jihad’ kerana menghabiskan tenaga memburu Count of Tripoli dan orang-orangnya yang berjaya meloloskan diri dalam Perang Hattin.
Bagaimana pun, Count of Tripoli juga merasa bimbang kemungkinan akan diserang oleh Tentera Islam, yang kemudiannya meninggalkan Tyre dan digantikan oleh Conrad of Monferrad. Conrad mengambil inisiatif memperkuatkan pertahanan di Tyre, dan dalam keadaan seterusnya, sikap penguasa Tyre itu dianggap sebagai ‘duri dalam daging’. Salahudin bertekad akan menawan Tyre selepas berjaya merampas kembali Baitul Maqdis.
Pada 20 September 1187, tentera Salahudin sampai di perkarangan kota Baitul Maqdis. Salahudin memerhatikan bahawa pendirian dan semangat penduduk adalah tinggi. Mereka bersedia mempertahankan Baitul Maqdis daripada dirampas semula oleh Tentera Salib walaupun pemimpinnya telah ditawan semasa Perang Hattin.
Kuasa pemerintah Baitul Maqdis diambil alih oleh Sibylla, isteri Raja Guy. Sibyla pula menyerahkan sebahagian besar kuasa pemerintahan kepada salah seorang pahlawan Salib yang dikenali sebagai Balian of Ibelin. Balian merupakan salah seorang tawanan Perang Hattin yang dibebaskan oleh Salahudin bagi membolehkan beliau bertemu dan membawa isterinya, Maria Comena serta anak-anaknya keluar daripada Baitul Maqdis. Bailan mengkhianati persetujuan dengan Salahudin (keluar dari Baitul Maqdis) dan berusaha memperkukuhkan kedudukannya serta mempertahankan Baitul Maqdis daripada dirampas oleh Tentera Islam.
Antara tindakan yang dilakukan oleh Balian ialah menyuntik semangat penduduk Baitul Maqdis yang berusia 16 tahun ke atas agar menyertai pasukan tentera dan memperkukuhkan tembok pertahanan bagi membentengi serangan Tentera Islam. Ini terbukti apabila Salahudin dan Tentera Islam mengambil masa selama lima hari untuk mencari ruang dan tempat yang boleh dimasuki semasa menyerang kota Baitul Maqdis. Pada hari kelima (25 September 1187), Salahudin membuat keputusan mendirikan khemah di hadapan Pintu Damsyik dan Gereja Zion, dan mengarahkan anggota tentera siap siaga untuk memasuki kota menerusi dua arah tersebut.
Pada sebelah malamnya, pasukan tentera Islam mula memasang pelancar peluru manakala di keesokannya, pagi (26 September 1187), para tentera diarahkan melakukan serangan untuk meruntuhkan tembok tersebut. Selepas dua hari melakukan serangan (28 September 1187), tembok mulai berantakan dan para ‘penggali Muslim’ (membina laluan bawah tanah) berjaya merobohkan menara Gerbang St Stephen. Seolah-olah mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Tentera Salib ketika menakluki Baitul Maqdis atau Jerusalem (Perang Salib 1). (James Reston Jr, Perang Salib III: Perseteruan Dua Kesatria Salahudin al-Ayubbi dan Richard si Hati Singa, edisi terjemahan, 2007, hal.105-106).
Kamarun KH
Recent Comments