Doktrin Perang Salib dibina atas tiga sebab: (1) berlakunya penindasan oleh satu pihak terhadap pihak yang lain; (2) peperangan diisytiharkan oleh pihak berwajib yang mempunyai kuasa; dan (3) para tentera yang menyertai peperangan hendaklah mempunyai niat yang baik dan benar. Iaitu kerana agama. Doktrin ini seperti terkandung dalam pandangan St Augustine (354-450), seperti diulas oleh Jonathan Riley-Smith:
“St Augustine’s definition of just violence, that it avenged injuries, presupposed a less passive attitude on the part of just than was later to be acceptable, especially in the notion of vengeance, which haunted canon lawyers until c.1200, after which it seems gradually to have been dropped, and in a wide interpretation of the injuries to be avenged, which could include any violation of , God’s laws or Christian doctrine. As late as the middle of the thirteenth century the great canon lawyer Hostiensis (d. 1271) seems to have believed that Chritendom had an instrinsic right to extend its sovereignty over any society which did not recognize the rule of the Roman Church or Roman Empire.” (Jonathan Riley-Smith, ibid, hal.9).
Akibat kekalahan Pasukan Salib Awam, hakikat Perang Salib sebagai ‘arahan Tuhan’ dipersoalkan yang kemudiannya dibuktikan berlaku banyak salah guna Gereja Roman Katholik dalam menghujahkan keputusan perang, termasuk doktrin yang diputuskan oleh Pop Urbanus II. Perang Salib sebenarnya mempunyai kaitan dengan politik, di mana ia memperlihatkan adanya kepentingan Gereja Roman Katholik dan peluasan Kerajaan Kristian Katholik Eropah dengan mengisytiharkan ‘balasan baik’ dan ‘pengampunan dosa’ oleh penguasa gereja. Hal ini sebenarnya tidak kedapatan dalam mana-mana pernyataan kitab suci Kristian, Bible sama ada versi Old Testament ataupun New Testament.
Perancangan menggunakan kekerasan mula dikesan daripada kenyataan Paus Gregory VII, iaitu mentor Paus Urbanus II. Ini bermakna, atas kepentingan politik dan sekularisme, Paus Gregory VII dilihat sangat terdesak. Pembabitan dalam Perang Salib I misalnya, bukan atas ‘arahan Tuhan’ atau permintaan Empayar Byzantium tetapi adalah perancangan Gregory VII yang disetujui oleh para pendita Roman Katholik yang terpengaruh dengan gerakan menguasai Gereja Otordoks Timur. Sebab itulah Perang Salib dianggap sebagai usaha Gereja Roman Katholik untuk menghapuskan umat Islam dan sangat berbeza dengan Gereja Otordoks Timur.
Itulah juga menjadi sebab kenapa Tentera Salib sanggup membunuh penganut-penganut Yahudi, Kristian Greek Otordoks, Kristian Syria dan Armenia yang sekian lama bermastautin di Baitul Maqdis semasa mereka berjaya menawan Gereja Suci Qiyama (Holy Sepulchre) dan tempat-tempat suci (sinogog) Yahudi. (John France, The Crusade and the Expansion of Catholic Christendom 1000-1714, 2005, hal. 48). Ia merupakan satu gerakan bersifat sekterian politik, Gereja Roman Katholik sudah diresapi pemikiran sekular.
Jika peperangan itu atas ‘kehendak Tuhan’ sudah tentu tidak akan berlaku pembunuhan kejam ke atas penganut Kristian yang lain, yang sekian lama menduduki bandar-bandar yang ditawan dan juga oleh Tentera Awam Salib dalam perjalanan Peter the Hermit dari Jerman ke Perancis sebelum menyeberang Selat Bosphorus.
Perang Salib juga membuktikan penganut Kristian bukanlah penganut agama yang taat. Sebaliknya mereka adalah kelompok yang zalim. Pola hidup masyarakat Kristian yang didakwa dipenuhi ‘kasih sayang’ tidak berlaku, dan kerana sifat zalim itulah mereka menyembelih wanita, kanak-kanak dan orang awam.
Ada catatan bahawa wanita-wanita dirogol sebelum disembelih oleh Tentera Salib. Ini bermakna, Tentera Salib bukanlah berperang demi tuhan, tetapi kerana nafsu dan keinginan untuk mencari ‘keselesaan baharu’ menerusi kaedah penjajahan sebagaimana dibuktikan daripada hasrat beberapa orang golongan bangsawan yang memimpin ketumbukan Tentera Salib.
Dengan menuding jari, mereka mempersalahkan kelompok otordok Kristian, Yahudi dan juga kemunculan golongan fundamentalis Islam. Karen Armstrong menyimpulkan tindakan membunuh komuniti Yahudi di sepanjang laluan (Perang Salib Tentera Awam 1096-1099) di Lembah Rhine dan penduduk Jerusalem sebagai ‘terlalu kejam untuk mengadakan perjalanan sejauh 3,000 batu demi memerangi kaum Muslim yang sama sekali belum mereka kenal, pada saat orang-orang yang diduga betul-betul membunuh Jesus malah dibiarkan hidup dan diperlakukan dengan baik di depan mata mereka sendiri. Selama perjalanan panjang dan berat menuju Jerusalem, banyak di antara pasukan nyaris menemui akhir hayatnya. Mereka hanya dapat menggantungkan daya tahan mereka pada andaian bahawa merekalah bangsa pilihan Tuhan, yang telah memperoleh perlindungan khusus darinya. Tuhan telah membimbing mereka memasuki Tanah Suci seperti pernah dilakukannya terhadap orang-orang Israel kuno…Ketika akhirnya berhasil menaklukkan Jerusalem (Perang Salib I) pada musim panas 1099, mereka menumpas habis penduduk Yahudi dan Muslim di kota itu dengan semangat Yoshua dan membantai mereka dengan kebrutalan yang bahkan mencengangkan masyarakat sezamannya.’ (Karen Armstrong, Sejarah Tuhan, edisi terjemahan, 2001, hal. 266-267).
Kemenangan Tentera Salib dalam Perang Salib 1 membangkitkan sikap tamak dan haloba para bangsawan Eropah. Dua orang raja, yang merupakan dua pemerintah paling berpengaruh di Eropah- Conrad III dari Jerman dan Louis VII dari Perancis – yang diikut serta oleh Raja Bohemia dan Raja Poland bertolak ke Constantinopole pada bulan Mei 1147 melalui Hungary dan Balkan. Mereka tiba di Constantinopole pada pertengahan September dan ketumbukan pimpinan Raja Louis VII sampai pada awal Oktober 1147.
Conrad tidak pedulikan nasihat Raja Byzantium agar mengambil jalan pantai, akhirnya mereka diserang oleh tentera Saljuk sebaik sahaja tiba di Doryleum. Dalam pertembungan itu, hampir sembilan puluh peratus kekuatan tentera Conrad berjaya ditawan dan dibunuh oleh tentera Saljuk. Conrad dan saki baki tenteranya melarikan diri ke Nicea. Ketumbukan tentera pimpinan Louis VII turut mendapat tentangan daripada tentera Saljuk walaupun akhirnya mereka berjaya mendarat di pelabuhan Antioch pada pertengahan Mac 1148. Akibatnya, berlaku perbalahan besar antara Raja Louis VII dengan Raymond, penguasa Antioch, yang juga merupakan saudara kepada isteri Raja Louis, Eleanor (sebelum bernikah dengan King Henry II, ayah Richard the Lionheart).
Raymond mencadangkan tentera Salib menyerang Aleppo atau Shaizar, kubu kuat Nurudin Mahmud Zenki dengan alasan, jika dapat menguasai Aleppo dan Shaizar, kekuatan Nurudin dapat dilumpuhkan. Pendapat Raymond disokong ramai pemimpin Salib, termasuk bekas penguasa Edessa, Jocelyn.
Perbalahan antara Raymond dan Raja Louis VII sebenarnya bukan kerana perbezaan pemikiran strategik, ia berpunca daripada masalah peribadi. Raymond didakwa pernah melakukan ‘sumbang mahram’ dengan Eleanor, dan kerana itulah Louis VII sangat tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Sumbang mahram antara Eleanor dan Raymond turut menjadi punca penceraian mereka.
Eleanor pula dikatakan enggan ‘berpisah dengan Raymond’ sebaliknya mengharapkan Raja Louis VII menggunakan kekerasan untuk menariknya keluar. Cadangan Louis VII menyerang Damsyik dilihat tidak mempunyai alasan yang kukuh dan kurang bijak. Damsyik adalah rakan sekutu penguasa Baitul Maqdis yang turut membantu menentang kemaraan bala tentera Nurudin. Akhirnya, Raymond dan Jocelyn mengambil keputusan mengundurkan diri dari Perang Salib II.
Ini seterusnya menimbulkan rasa sangsi terhadap rasional Perang Salib mengenai doktrin ‘kehendak Tuhan’, bukan lagi berbentuk ‘perang agama’, ia membawa kepada pemenuhan cita-cita politik dan penjajahan. Perang Salib II kemudiannya dilihat bukan berdiri atas alasan ‘perang agama’ sebaliknya dianggap tidak memiliki sebab yang ‘benar’ dan tidak berdasarkan ‘niat yang ikhlas’. Ia memperlihatkan dua daripada sebab ‘perang agama’ telah dilanggar oleh tentera Salib.
“Berperang Demi Tuhan” itu juga menjadi tunjang kepada serangan Tentera Salib yang lebih besar dan terancang dalam siri berikutnya. Namun, disebabkan kepalsuan niat dan pembohongan hasrat, ketumbukan tentera Salib yang lebih besar dan terancang akhirnya dapat ditewaskan menerusi semangat jihad tentera Islam yang dipimpin oleh Nurudin Mahmud Zanki.
Nurudin bukanlah seorang pemimpin yang kuat, bahkan dipandang lemah oleh pemerintah Byzantium. Dalam peperangan yang berlaku antara tentera pimpinan Nurudin dan tentera pimpinan Raymond di Inab pada 29 Jun 1149, selain daripada kecekapan strategi perang, kemenangan pasukan Saljuk adalah disebabkan semangat jihad yang cukup tinggi.
Raymond dilaporkan terbunuh dalam peperangan tersebut. Kekalahan itu membawa kepada tekad Nurudin seterusnya untuk menawan semula Baitul Maqdis setelah berjaya mengembalikan Edessa yang ditawan oleh tentera Salib (Perang Salib I) dan membunuh Raymond di Inab, Antioch.
Sebagai persiapannya, Nurudin berusaha untuk menyatukan Aleppo dan Damsyik, yang kebetulan ketika itu, pemerintah tentera Salib di Damsyik, Unur meninggal dunia dan tempatnya digantikan oleh Abaq. Awalnya, Abaq membuat rundingan untuk bersekutu dengan penguasa Baitul Maqdis, tetapi atas kebijaksanaan Nurudin, Damsyik diserahkan kepada Saljuk oleh Abaq.
Sebaik sahaja memasuki Damsyik, Nurudin mengumpulkan seluruh ulama, hakim dan pedagang dengan jaminan untuk terus mempertahankannya. Atas komitmen itu, Nurudin membawa masuk barang keperluan dan makanan, menghapuskan cukai dan meningkatkan kemudahan bekalan air bersih. Penduduk menyambut pembaharuan Nurudin itu dengan sujud syukur dan berdoa semoga perjuangan jihad mencapai kejayaan. Ketika itu, Nurudin baru berusia 37 tahun.
Bagi menyempurnakan seruan jihad, Nurudin memperluaskan kemudahan pendidikan dengan harapan semangat jihad yang tinggi disusuli dengan pemahaman ilmu agama secara mendalam. Bagaimanapun, cita-cita Nurudin untuk membebaskan Baitul Maqdis tidak kesampaian. Beliau berhadapan dengan dugaan besar apabila berlakunya gempa bumi di Syria pada bulan Ogos 1157. Bandar-bandar yang terbabit ialah Damsyik, Tripoli, Beirut, Tyre, Homs, Aleppo, Hama, Shaizar, Kafartab, al-Ma’ara, Hisn al-Akrad, Arqa, Lattakia dan Antioch.
Ini memaksa Nurudin memberikan perhatian membina semula puing-puing keruntuhan tersebut dan memulihkan kehidupan masyarakat setempat. Akhirnya, akibat kepenatan melampau Nurudin jatuh sakit dan selepas menderita selama setahun setengah, Nurudin dilaporkan semakin pulih. Dalam tempoh pemulihan kesihatannya, Nurudin menerima laporan bahawa tentera Salib sedang melakukan serangan di beberapa wilayah kekuasaan Islam.
Atas semangat jihad yang tinggi, Nurudin dikatakan semakin cepat sembuh dan berjaya memimpin pasukan tentera berperang di Harim pada tahun 1164. Tentera Salib dipimpin oleh tiga ketumbukan tentera, Bohemond III, Raymond III dan Jocelyn, yang turut dibantu oleh Thoros dari Armenia dan Gabenor Silicia (Sicily).
Dengan berbekalkan semangat jihad yang tinggi, barisan tentera Salib terpaksa mengaku kalah manakala Thoros cuba melarikan diri, namun terpaksa menyerah diri manakala Bohemond, Raymond dan Jocelyn berjaya ditawan dan dipenjarakan. Tulis Asbridge: “Thoros fled the field, Bohemond, Raymond and Joscelin all surrendered; chained liked the lowest slaves, they were led ignominiously to Aleppo, where they were cast into prison and became the sport of the infidels.” (Thomas Asbridge, 2010, ibid, hal.259).
Nurudin tidak sempat membebaskan Baitul Maqdis, beliau meninggal pada 15 Mei 1174 dalam usia 56 tahun. Selepas kematiannya, wilayah yang dikuasai oleh umat Islam di Asia Barat kembali berpecah kepada tiga akibat konflik dalaman yang berlaku: Mesir, Syria dan Mosul.
Dua kota besar di Syria – Damsyik dan Aleppo– berhadapan dengan konflik yang cukup besar, di mana Aleppo diserahkan kepada Shamsuddin ibn al-Daya manakala al-Salih yang menggantikan Nurudin memindahkan kota pentadbiran Saljuk ke Damsyik. Akibatnya, Aleppo kehilangan daya tarikan, kedudukan ekonomi dan politik menjadi semakin merosot.
Al-Daya kemudiannya cuba memujuk al-Salih agar berpindah semula ke Aleppo, melantik Saadudin Kumushtakin sebagai perunding. Saadudin akhirnya berjaya memujuk al-Salih, tetapi sebaik sahaja al-Salih tiba di Aleppo, Saadudin melancarkan serangan merampas kuasa daripada al-Daya. Al-Daya kemudiannya dipenjarakan.
Kamarun KH
Recent Comments