Fenomena berhutang oleh rakyat khasnya dalam kalangan umat Islam di negara ini cukup merisaukan. Malah di antara negara-negara Asia, menurut Bank Negara Malaysia kadar hutang isi rumah di Malaysia mencatatkan kadar yang tinggi iaitu 87% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Hutang isi rumah ialah merupakan hutang bagi tujuan pembelian rumah, kereta, pinjaman peribadi atau kredit kad. Jumlah ini jauh lebih tinggi daripada hutang yang dilakukan oleh kerajaan.
Akibat hutang yang tidak terkendali dan gaya hidup yang tidak sesuai dengan pendapatan, ramai yang diisytiharkan muflis (bankrap). Satu perkara yang cukup memperihatinkan ialah kaum Melayu mencatat kebankrapan tertinggi iaitu 40.72 % berbanding dengan kaum-kaum lain.
Soalannya ialah mengapa di dalam kalangan Melayu-Islam hutang ini terus menjadi barah dan seolah-olah tiada penyelesaiannya? Mengapa tiada kesedaran untuk mengurangkan kadar hutang ke peringkat minimum atau menghilangkan sekali gus? Mengapa hutang ini tidak dianggap sebagai perkara yang serius dan perlu diambil berat, padahal dengan hutang jualah seseorang boleh terhalang masuk syurga?
Dalam Islam, persoalan menjaga hubungan yang baik sesama manusia amat ditekankan pelaksanaannya. Dalam bahasa al-Qur’an, tuntutan menjaga hubungan baik ini diistilahkan sebagai hablun minannas (mengikat tali perjanjian dengan manusia). Perkataan ini setingkat dengan perkataan hablun minallah (menjaga tali atau agama Allah). Ini termasuklah bagaimana kita menjaga hubungan baik dengan kawan atau saudara dengan menyegerakan hutang-hutang kita yang tertunggak apabila ada keupayaan untuk menjelaskan hutang tersebut.
Dalam hadis disebutkan bahawa seseorang akan terhalang masuk syurga jika masih meninggalkan hutang yang belum dijelaskan. “Barangsiapa yang datang pada hari kiamat dalam keadaan bebas dari tiga perkara iaitu takabur, khianat dan hutang maka mereka akan masuk surga” (Hadis riwayat Nasai dan Ibnu Hiban).
Hakikatnya, apa yang berlaku di masyarakat hari ini terdapat satu amalan yang buruk iaitu melengah-lengahkan hutang. Padahal sebenarnya mereka mempunyai kemampuan untuk menjelaskan hutangnya. Namun kerana telah menjadi perangai dan tabiat buruk yang sudah mendarah daging, kebiasaan itu seolah-olah menjadi amalan biasa.
Berhutang menjadi satu trend dan gaya hidup khasnya di dalam kalangan orang bandar meskipun sebenarnya mereka mampu untuk tidak berhutang. Contohnya, kita mudah membeli barangan kecil seperti tilam, karpet atau baju dengan berhutang. Namun kerana penjual menawarkan bayaran dengan angsuran, kita mengambil cara seperti itu meskipun harga barangan itu tidak mahal dan tidak menjejaskan pendapatan bulanan kita. Disebabkan mengambil secara angsuran, memancing kita untuk barangan lain. Akibatnya, banyak angsuran yang tertunggak kerana terlebih hutang dan tidak dapat mengawal nafsu berbelanja.
Hal ini berlaku kerana di masyarakat sudah tertanam satu sikap untuk memandang enteng masalah hutang. Hutang dianggap masalah kecil. Padahal hakitatnya ia amat berkait rapat dengan menjaga hubungan dengan orang lain yang perlu dijaga dengan baik. Hubungan yang baik merupakan perkara yang wajib dijaga dalam Islam. Selagi hutang itu tidak dijelaskan, selagi itulah perkara itu menjadi bebanan sehingga ke hari akhirat kelak.
Disebabkan hutang, akan sia-sia segala kebaikan yang kita kerjakan di dunia ini. Segala ibadah seperti solat, puasa dan berhaji tidak bermakna selagi kita tidak dapat menjelaskan hutang di dunia. Begitu seriusnya masalah hutang ini sehingga diriwayatkan bahawa dosa orang mati syahid diampuni kecuali hutang. Hal ini berdasarkan kepada hadis Nabi yang bersabda: “Setiap dosa yang mati diampuni kecuali hutang” (Hadis Riwayat Muslim).
Fenomena hutang rumah yang semakin meningkat belakangan ini semakin melarat kepada generasi muda (Gen Y). Mengikut data yang dikeluarkan oleh Institut Kewangan Asia, 75 peratus generasi Y pada masa ini mempunyai hutang jangka panjang yang merangkumi pinjaman jual beli kereta, kad kredit, pembiayaan pendidikan dan gadai janji.
Perkara yang lebih memeranjatkan lagi ialah 40 peratus generasi muda membelanjakan wang mereka di luar kemampuan mereka. Ini bermakna, Gen Y terperangkap dengan gaya hidup berfoya-foya dan mudah membelanjakan wang tanpa memikirkan kesan terhadap keperluan mereka.
Begitu juga dengan gejala berhutang oleh pelajar di peringkat universiti. Ramai para pelajar yang berhutang kerana terjebak dengan gaya hidup di persekitaran mereka. Pada asasnya, keperluan asas pelajar seperti membayar yuran pengajian, membeli buku dan keperluan kuliah, sewa bilik atau asrama dapat diatasi dengan pinjaman yang diberikan oleh PTPTN, bantuan zakat atau beasiswa yang mereka terima.
Tetapi, ada sesetengah pelajar yang menyalahgunakan wang pinjaman itu dengan membeli barangan yang tidak diperlukan misalnya membeli handphone mahal dan berjenama. Oleh sebab itu, apabila tercetus pelajar kebuluran atau makan maggie yang didakwa akibat keadaan ekonomi yang lembab, bukan itu isunya. Melainkan disebabkan oleh gaya hidup dan tidak bijaksana menguruskan perbelanjaan wang mereka.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat juga di kalangan pelajar yang menggunakan wang bantuan atau pinjaman pendidikan untuk membantu kewangan keluarga di kampung. Justeru itu, kita tidak boleh menyamaratakan kes pelajar makan maggie atau makan sehari sekali dengan menuding pelajar berkenaan tidak amanah memegang wang pinjaman atau bantuan yang diberikan untuk belajar.
Oleh : Amin Fadillah
Recent Comments