“Saya meriwayatkan hadis dari 1000 syeikh bahkan lebih. Tidak satu pun hadis yang saya riwayatkan kecuali saya sebutkan sanadnya.”
Kenyataan di atas adalah penegasan Imam Bukhari mengenai kredibilitinya sebagai penghimpun hadis sahih yang masyhur. Sebuah ungkapan yang menggambarkan ramai guru yang beliau datangi bagi menimba ilmu dari mereka. Guru-guru yang sebenarnya tentu saja, lebih dari 1000 orang dan mereka semua tinggal di seluruh Jazirah Arab.
Imam Bukhari pernah berguru kepada Ibrahim bin Hamzah az Zubaidi, Ibrahim bin Mundzir al Khuzami, Ahmad bin Hambal, Ahmad bin Thayyib al Marwazi, Abun Nashr Ishaq bin Ibrahim al Faradisi, Ishaq bin Rahawaih, Ali bin al Madini. Nama-nama di atas baru sebahagian kecil guru dan ulama yang pernah mendidik dan mewariskan ilmu hadis pada Imam Bukhari.
Bukhari menjadi dewasa sebagai seorang anak yatim. Dengan tegas beliau menjelaskan siapa dirinya, “Aku memang anak yatim, tapi dunia akan tahu siapakah aku.”
Dalam usianya yang sangat muda, iaitu pada 16 tahun, beliau memiliki tujuan hidup yang jelas dan cita-cita yang khusus dan luhur. Bukhari ingin merealisasikan harapan gurunya yang menginginkan agar orang Muslim menghimpun hadis sahih. Beliau berazam harapan gurunya itu menjadi satu kenyataan.
Pada suatu hari Bukhari mendengar gurunya, Ishak bin Rahawaih, menggesa muridnya dengan berkata, “Mengapa kalian tidak menghimpun ringkasan kitab hadis Rasulullah?”
Mendengar saranan itu Bukhari berjanji, “Aku bertekad untuk menghimpun hadis dalam satu kitab al-Jami’ al-Sahih.” Beliau menghabiskan waktu dengan mengumpul, meneliti, menapis, mentashih dan menghimpunkannya selama 16 tahun.
Dalam masa yang sama Imam Bukhari adalah seorang pemuda yang berwatak periang dan dilimpahi kebaikan hati. Pada usianya yang sangat muda, cita-cita dan sikap hidupnya tergambar dalam syair yang ditulisnya:
Manfaatkanlah keutamaan rukuk (solat)
Kerana boleh jadi kematianmu mendadak
Berapa banyak orang sihat yang kau lihat sakit
Jiwanya yang sihat pergi tanpa pulang
Sejak muda, Bukhari sering mengembara untuk menuntut ilmu. Beliau mengambil sikap sangat berhati-hati dengan semua ilmu yang dipelajarinya. Beliau mengulangkaji satu ilmu sebanyak 20 kali dalam satu malam. “Aku menulis hadis dari 1080 orang ulama. Dari Hijaz, Iraq, Syam (Syiria) hingga Mesir. Semuanya ahli hadis. Aku tidak akan menulis hadis kecuali dari orang yang mengatakan bahawa iman adalah ucapan dan perbuatan. Ketika aku menulis hadis daripada seseorang, aku selalu menanyakan namanya, kauniyahnya, nisbahnya dan caranya mendapatkan hadis tersebut. Jika orang itu faham, aku mengambil hadisnya. Jika tidak, aku memintanya kembali merujuk kepada sumber asal dan naskhah di mana hadis itu ditulis,” kata Bukhari.
Beliau menegaskan, “Aku hanya memasukkan hadis sahih ke dalam kitab ini. Aku meninggalkan beberapa hadis sahih agar kitab ini tidak terlalu panjang. Daripada 600,000 hadis yang ada, aku pastikan hanya hadis sahih yang ada di dalam kitab ini. Aku menyusunnya selama 16 tahun, dan aku akan menjadikannya hujjah antara aku dan Allah SWT. Dulu aku mengumpul dan mencatat hadis ini dari berbagai tempat, sampai ketika aku tiba di Makkah al-Mukarramah. Aku menulis hadis-hadis sahih yang aku pilih di Baitullah yang suci. Dan setiap kali aku meletakkan hadis dalam kitab ini, terlebih dulu aku mandi, beristikharah kepada Allah, solat dua rakaat sehingga aku merasa yakin. Aku benar-benar hafal kitab ini, dan tidak ada sedikit pun isi kandungannya yang terlepas dari pengamatanku.”
Perjalanan intelektual Imam Bukhari sepertimana yang diceritakan di atas ketika usianya baru 32 tahun. Satu peringkat umur yang dianggapnya benar-benar berat tidak saja dari sudut beban perjalanannya, tapi juga dari sudut tanggungjawabnya di hadapan Allah SWT. Bukhari menghimpun hadis sahih daripada lima peringkat ulama hadis yang terkemuka dan terpercaya.
Pertama, adalah peringkat ulama hadis daripada generasi para tabi’it tabi’in seperti Muhammad bin Abdillah al-Anshari, Makki bin Ibrahim, Abu Ashim an-Nabil, dan lain-lain. Kedua, adalah orang-orang yang hidup sezaman tapi belum pernah mendengar hadis dari para tabi’in seperti Adam bin Abi Iyas, Abu Mashar Abdul A’la bin Mashar, dan lainnya. Ketiga, adalah guru senior yang mengambil hadis dari para tabi’it tabi’in senior yang mengambil hadis langsung dari para tabi’in. Keempat, adalah teman sezaman dengan Bukhari atau orang yang terlebih dulu mendengar. Kelima, murid Bukhari sendiri. “Seseorang tidak dianggap sebagai ahli hadis yang sempurna sehingga ia menulis hadis dari generasi di atasnya, generasi sezaman dan generasi di bawahnya,” ungkap Bukhari.
Kelima tingkat sumber hadis Bukhari ini tersebar di serata tempat. Selama lima tahun Imam Bukhri berada di Baghdad, dihabiskan dengan berkelana ke segala penjuru ibu kota Iraq. Dalam kurun waktu itu, beliau berguru pada ramai ulama di kota besar seperti Kufah, Basrah dan Baghdad. Di kota-kota ini, Bukhari tidak hanya menjadi murid, tapi sekaligus menjadi guru. Di manapun beliau tinggal, umat Islam Iraq selalu mengelilingi dan menyediakan segala keperluannya. Pada masa yang sama, kaum muslimin memanfaatkan kehadirannya dengan selalu menimba dari telaga pengetahuan yang ada dalam dirinya.
Di Baghdad, ketika Bukhari mengadakan majlis ilmu, tidak kurang dari 20,000 orang menghadiri kuliah dan ceramahnya. Mereka terdiri daripada para ulama, ahli fiqh, pelajar dan orang-orang awam. Disebabkan terlalu ramainya hadirin yang datang, suara Bukhari tidak sampai ke telinga semua orang. Bagi mengatasi kesulitan ini, diperlukan tiga orang lain untuk mengucapkan dengan kuat, mengulangi dan meneruskan kata-kata yang disampaikan Bukhari.
Penduduk Baghdad sangat mencintainya. Salah seorang ada yang menulis surat menyanjung Bukhari dan menulis kepadanya , “Kaum Muslimin akan baik-baik saja selama engkau ada. Sebaliknya tdak ada lagi kebaikan jika engkau tiada.”
Di Basrah, Bukhari menetap selama lima tahun lamanya. Selama menetap di Basrah, beliau menunaikan ibadah haji setiap tahun dan berdoa di hadapan Ka’abah agar Allah memberi dan melimpahkan berkah pada ilmu dan kitab-kitab yang ditulisnya.
Betapapun selesa menjalani hidup di Iraq, negeri ini harus ditinggalkannya bagi meneruskan perjalanan dan pengembaraan ilmu yang masih jauh daripada selesai. Bagi meneruskan misi itu, Bukhari bertolak menuju Mesir melalui Syam, Jazirah, dan Hijaz. Tugas mencari dan menghimpun hadis, bukanlah suatu tugas yang ringan. Mimpinya bertemu dengan Rasulullah menjadi semangat yang terus menyalurkan tenaga pada diri Bukhari.
Pada suatu malam, beliau bermimpi duduk di hadapan Rasulullah. Dalam mimpi itu, Bukhari sedang memegang kipas dan mengipasi Rasulullah SAW. Dari seorang ahli ta’bir mimpi, Bukhari mendapatkan penjelasan tentang mimpinya. “Engkau sedang menjauhkan fitnah daripada baginda (Rasulullah),” ujar ahli ta’bir itu.
Pedihnya Perjalanan
Bagi memenuhi keperluan hidupnya, Bukhari biasa menanam saham secara mudharabah di kota-kota yang disinggahinya. Hasil daripada pelaburan yang ditanam, keuntungan yang didapatkan dibahagi dengan adil untuk membiayai keperluannya.
Tapi tidak jarang, Bukhari mengalami kesulitan ekonomi dalam perjalanannya. “Suatu ketika, aku mendapat keuntungan sebesar 500 dirham sebulan. Lalu aku menggunakannya untuk keperluan menuntut ilmu. Pada hari yang lain pula, hasil keuntungan itu terlambat datang kepadaku sehingga aku terpaksa makan rerumputan selama beberapa hari. Sampai pada hari ketiga, datang seorang laki-laki yang tidak kukenal dan memberiku sebuah kantung wang berisi dinar,” tuturnya.
Pernahkah kita melakukan perjalanan untuk menuntut ilmu sehingga memaksa kita memakan rumput kerana kehabisan bekal? Tentu tidak pernah. Bahkan perjalanan para ulama hari ini, jauh lebih selesa dan lebih ringan dengan kemudahan naik kapal terbang dan tidur di hotel berbintang.
Tidak hanya bergelut dengan kekurangan dalam perjalanannya, Bukhari juga berperang melawan dirinya sendiri. Dilawannya rasa mengantuk, malas, lapar, dahaga dan rasa lelah.
Dalam semalam, Bukhari terjaga dari tidurnya dan menyalakan lampu untuk kemudian menulis hadis berulang-ulang sampai 20 kali. Ketika hendak berbaring untuk berehat, beliau teringat hadis dalam lintasan fikirannya. Lalu beliau terjaga semula dan memulai menyalakan pelita dan menulis hadis yang diingatinya.
Salah seorang sahabat karib sekaligus muridnya pernah menuturkan kisah Bukhari. “Aku pernah bermalam di rumah Muhammad bin Ismail (Bukhari), lalu aku membuat kiraan berapa kali beliau terjaga dan menyalakan lampunya dan mengingat-ingat sesuatu sampai 18 kali dalam semalam.”
Pemuda Dari Kota Bukhara
Kota Bukhara adalah sebuah daerah yang kini termasuk dalam wilayah barat Uzbekistan, Asia Selatan. Bukhara adalah kota paling terkenal di wilayah seberang sungai Turkistan. Dulu, kota ini dikuasai oleh bangsa Cina sampai pada masa Khalifah al-Walid bin Abdul Malik dari Dinasti Umayyah. Sejak itu, Bukhara dikenal sebagai kota yang menghasilkan ulama dan sasterawan yang melakukan pengembaraan ke kota-kota yang jauh. Melalui merekalah nama Bukhara menjadi terkenal dan harum ke seluruh jagat dunia.
Nama kota ini diambil daripada kata bukhar yang memiliki erti kata ilmu yang banyak. Salah satu sebab yang menjadikan kota ini memiliki erti demikian adalah ulama-ulama besar yang dihasilkannya.
Salah seorang penduduk kota ini bernama Ismail bin Ibrahim al Ju’fi, pernah berguru kepada Imam Malik. Suatu ketika dalam perjalanannya menunaikan ibadah solat Jumaat, beliau teringat isterinya yang ketika ditinggalkan dalam keadaan hampir bersalin. Lalu beliau berdoa dan memohon kepada Allah agar sentiasa melindungi dan menjaganya di samping menganugerahkan keturunan yang baik dan mulia.
Setibanya di rumah, Ismail bin Ibrahim al-Ju’fi mendapati isterinya telah melahirkan seorang anak lelaki. Ulama yang juga dikenali sebagai ahli hadis terpercaya ini mengucapkan tahmid dan takbir. Kecintaannya kepada Rasulullah menyebabkan beliau memberi nama bayi laki-laki itu dengan nama Muhammad, dengan doa agar anaknya meneladani pemilik risalah mulia.
Bagaimanapun, Ismail bin Ibrahim al-Ju’fi tak lama menjaga dan mendidik anaknya. Tanggungjawab pendidikan anaknya, Ibnu Muhammad bin Ismail (Bukhari kecil) diserahkan kepada isterinya. Sejak kecil, si ibu mengirim anaknya ke tempat belajar menghafal al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Pada masa belajar, Bukhari kecil mengalami penyakit rabun. Ibu dan kakak dirundung kesedihan yang sangat dalam mengetahui hal itu. Mereka menangis dan berdoa, tak henti mengharapkan kesembuhan Bukhari. Sampai suatu malam, ibunya bermimpi bertemu dengan Nabi Ibrahim yang berkata, “Hai kamu, Allah telah mengembalikan penglihatan anakmu kerana banyaknya tangis dan doamu.”
Pada usianya yang ke 15 tahun, Bukhari telah mampu menghafal 70,000 hadis Rasulullah. Sehingga gurunya sendiri memberi kepercayaan kepadanya untuk memilih seluruh kitab yang dimilikinya. “Jika kau temukan di antara kitab-kitabku ada yang salah, maka buanglah,” kata gurunya.
Pada usia 16 tahun, bersama ibunda tercinta, Bukhari meninggalkan Kota Bukhara menuju Kota Suci Makkah. Setelah menunaikan ibadah haji, Bukhari tidak terus pulang, tapi sebaliknya pergi menimba ilmu dari para ulama yang ada di Masjidil Haram. Setelah mengumpulkan cukup banyak hadis dan bermukim cukup lama di Masjidil Haram, Bukhari meneruskan perjalanan menuju Syam. Setelah berapa lama tinggal di Syam, Bukhari kemudian menetap di Madinah dan menulis kitab bertajuk Qadhaya ash Shahabah wat Tabi’in wa Aqwalihim.
“Aku menyusun kitab ini di antara makam dan mimbar Nabi, ar-Raudhah. Aku menulisnya di malam hari ketika bulan bersinar terang. Aku mengetahui hampir setiap nama yang ada dalam sejarah. Hanya aku tidak ingin kitab ini terlalu panjang,” ungkapnya.
Selepas Madinah, kota Basrah menjadi tujuannya. Seperti yang sudah dijelaskan di atas, di kota ini Imam Bukhari menjadi sangat terkenal dan menjadi acuan ilmu pengetahuan, terutama tentang hadis. “Aku menghafal 100,000 hadis sahih dan 200,000 hadis yang tidak sahih,” katanya.
Imam Bukhari memiliki tiga sifat menonjol yang menjadi ciri khasnya. Pertama, beliau merupakan sosok yang sangat sedikit bercakap. Kedua, sentiasa ikhlas dan tidak mengharapkan sesuatu dari orang lain. Ketiga, tidak menyibukkan diri dengan urusan orang lain.
Imam Bukhari pernah tinggal di sebuah kota bernama Far-Far dan pernah menetap di kota Khawarizm. Beliau akan mendatangi setiap kota yang terdapat ahli hadis. “Aku telah bertemu dengan 1000 ulama dari Hijaz, Makkah, Madinah, Kuffah, Basrah, Wasith, Baghdad, Syam hingga Mesir. Aku bertemu dengan mereka berkali-kali dari masa ke masa. Aku mendapati hidup mereka lebih dari 46 tahun ” tuturnya.
Kitab Sahih Bukhari karya Imam Bukhari adalah sebuah kitab agung yang sangat dihargai dalam Islam setelah al-Quran. “Jika ada orang yang bersusah payah datang untuk menelaahnya dari jarak seribu farsakh pun, maka tidaklah sia-sia kedatangannya,” kata Zahabi, salah seorang ulama kontemporari.
Kitab Sahih Bukhari telah dikaji, disyarah, diterjemah dan diringkaskan oleh ramai penulis dalam sejarah. Dalam kitab Kasyfuz Zunun, syarah Sahih Bukhari mencecah 80 versi. Di antara empat syarah hadis Bukhari yang terkenal ialah syarah Imam Badruddin al-Zarkasyi, Syaikh al- Islam bin Hajar (wafat pada 852 H) dengan syarah yang diberi tajuk Fathul Bari dan ini adalah yang paling masyhur. Syarah al-Allamah al-Aini al-Hanafi (meninggal pada tahun 855H) bernama Ummadatul Qari dan syarah al-Jalal as-Sayuthi (meninggal pada tahun 911H) yang dikenal dengan al-Tausyih.
Betapa pun jauhnya Bukhari merantau, tetapi di penghujung usianya beliau memutuskan untuk beristirahat di kampung halamannya, di Bukhara. Berita kembalinya Bukhari didengar oleh orang ramai. Ketika sampai di kota Najsabur, Imam Bukhari disambut oleh 4000 orang yang menunggang keldai dan mereka yang berjalan kaki. Seorang sultan pun belum pernah mendapatkan sambutan yang sedemikian.
Bagaimanapun, di tanah kelahirannya beliau menerima fitnah yang luar biasa. Ada segolongan ulama yang merasa iri hati dengan kemasyhurannya. Imam Bukhari dituduh dengan tuduhan keji yang mendakwa beliau memberi pendapat bahawa al-Quran merupakan makhluk Allah. Bukan hanya ulama, penguasa bandar itu turut menaburkan fitnah yang sama.
Imam Bukhari akhirnya meninggalkan Bukhara dengan menanggung kesedihan dalam hati, menuju Khartank. Daerah berhampiran dengan kota Samarkand. Imam Bukhari meninggal pada usia 62 tahun kurang 13 hari, tepat di malam takbir menjelang perayaan Aidul Fitri tahun 256 Hijriah.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments