Saya mulakan ulasan buku kali dengan memperkatakan dua buku yang berbeza tajuk dan pendekatannya tetapi berasal daripada satu sumber, iaitu tulisan Imam Al-Ghazali dalam bab pertama jilid pertama magnum opusnya, Ihya Ulumuddin. Buku pertama ialah terjemahan Bab Ilmu (Ihya Ulumuddin) yang memakai tajuk Strategi Belajar Mengajar (SBM) yang diusahakan oleh Ustaz Hamim, HR dan diterbitkan oleh Santri Salaf Press, Pondok Lirboyo, Kediri, Indonesia. Menurut pandangan saya, buku ini diterbitkan tahun 2018 berasaskan sambutan penyusun dan pengantar pengasuh Pondok Pesantren Lirboyo bertarikh 20 Julai 2018. Kalaupun sedikit terlewat, ia mungkin dicetak awal tahun 2019. Ini kerana tidak dicatakan tahun penerbitannya secara tepat.
Buku kedua ialah Khulasah Faham Ilmu:Kitab al-‘Ilm Imam al-Ghazali yang dilaksanakan oleh Wan Suhaimi Wan Abdullah, seorang pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia, kampus Kuala Lumpur. Buku Khulasah Faham Ilmu (KFI) disusun berdasarkan sesi talaqi yang berlangsung selama 29 siri bermula 9 Oktober 2016 hingga 10 Disember 2017 (setiap Ahad secara tidak berkala) yang disampaikan oleh pengarang dengan tujuan “mengetengahkan gagasan besar ilmuan Islam dalam kaitannya dengan cabaran masakini demi memdekatkan jurang pemisah di antara dua tradisi—kaedah pendidikan moden dan kaedah pendidikan tradisi (talaqi).” (KFI, 2020, hal. 5).
KFI diterbitkan oleh Pertubuhan Pendidikan Futuwwah, Kuala Lumpur. Edisi yang saya gunakan adalah cetak ketiga (2020). Ini bermakna, KFI mendapat sambutan hangat kerana dalam tahun 2019, dicetak sebanyak dua kali. Bagaimanapun, menurut keterangan, Penerbitan Futuwwah menerbitkan buku-buku berasaskan konsep infaq, di mana para penulis digalakkan menginfaqkan karyanya manaka mereka yang lain boleh menginfaqkan apa sahaja termasuk kewangan bagi membantu menyebarkan ilmu untuk pembangunan insan. Buku hanya dicetak sebanyak 500 naskhah, di mana 15 peratus (75 naskhah) diagihkan sebagai wakaf awam dan selebihnya 85 peratus (425 naskhah) dijual dengan harga minimum. Naskhah yang ada di tangan saya, saya membelinya secara dalam talian, termasuk naskhah SBM yang harga di pasaran Malaysia cukup mahal.
Naskhah SBM dalam tinjauan saya diletakkan harga asal RP 110,000 (RM 33.00) di Pulau Jawa, tetapi dijual oleh pengimport buku di tanah air dengan harga sehingga mencecah RM 95. Menerusi tempahan Shopee, saya membelinya sekitar RM 37 termasuk kos penghantaran (RM 4 –standard delivery) dari Malang, Indonesia. KFI juga saya tempah secara dalam talian, kerana tidak berpeluang ke kedai buku pada bulan Ogos sebabnya operasi kedai buku masih tertangguh akibat PKP dan Proklamasi Darurat belum ditarik balik.
Al-Ghazali (505-1111) menulis Ihya Ulumudin setebal 4 jilid, mengandungi 40 kitab memulakan dengan penjelasan berkaitan ilmu, yang merupakan Bab pertama dalam jilid pertama magnum opusnya yang sudah memasuki period sejarah yang panjang. Ihya Ulumuddin dikatakan ditulis antara tahun 489H dan 485H, iaitu pada awal period ‘menyendiri’ selama 10 tahun (meninggalkan Universiti Nizamiyah, Baghdad) bermula pada tahun 488H. Beliau ‘menyendiri’ kerana berhadapan dengan ‘kemelut spiritual’ berhubung matalamat ilmu yang diraihnya, iaitu dilema antara ‘mencari kedudukan’ dan ‘mendekatkan diri dengan Allah SWT’.
Kemelut itu akhirnya membuahkan konsep ilmu yang cukup berpengaruh dalam hirarki menurut pandangan al-Ghazali. Al-Ghazali sedar, pada permulaan pemahamannya, disebabkan oleh percanggahan sudut pandangan maka timbul suasana tegang antara ahli feqah dan ahli sufi mengenai kepentingan ilmu, ianya perlu didamaikan dengan segera. Atas kesedaran itulah al-Ghazali banyak membincangkan pelbagai unsur tasawuf dan meletakkan faham ilmu dalam Bab Pertama Jilid Pertama Ihya Ulumuddin terbahagi kepada dua, ilmu zahir dan ilmu batin. Ilmu Zahir meliputi ibadah dan muamalah, manakala ilmu batin untuk membersihkan hati daripada sifat-sifat tercela (mazmumah) agar hati (qalb) sentiasa dihiasi dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah).
Sifat-sifat tercela mengenai ilmu, menurut al-Ghazali setelah berakhirnya para ulama pewaris Nabi, muncul orang-orang ‘yang cuma diseragamkan ulama’. Mereka ini merupakan kumpulan majoriti yang ‘ telah dikuasai syaitan dan disesatkan olehnya. Masing-masing dari mereka sangat senang dan puas mendapatkan kemanfaatan duniawi yang sesaat. Sehingga ia melihat kemungkaran sebagai hal yang baik, dan melihat kebaikan sebagai kemungkaran hingga bayang-bayang ilmu agama menjadi hilang dan tanda-tanda petunjuk yang benar di penjuru bumi menjadi terhapus.” (SBM, hal.3).
Dalam KFI, Wan Suhaimi menjelaskan bahawa Imam al-Ghazali ‘betapa ramai di kalangan para penggiat ilmu yang keliru dan seakan tidak mampu mengenalpasti yang mana dan apakah ilmu yang benar dan mana pula yang sebaliknya sehingga wujud pelbagai kecelaruan. Ada yang menganggap kejahilan sebagai ilmu lalu mereka mempertahankannya, dan dalam masa yang sama ada kelompok yang sedar dan insaf tentang hakikat ilmu dan kesannya yang sebenar, lalu ikhlas berusaha memahami dan menghayatinya, tapi malangnya golongan sebegini dilihat di mata umum seabagai golongan yang tersasar dan tersisih.” (KFI, hal.10).
Ilmuan palsu, menurut Al-Ghazali sebagaimana dikupas oleh Wan Suhaimi adalah “suatu penyakit yang merebak, bukan hanya dalam kalangan para ‘ilmuan’ bahkan dalam kalangan masyarakat awam. Golongan yang berpenyakit ini, tidak mampu menyedari cabaran sebenar yang menghalangi jalan menuju Akhirat. Tambahan pula, Ulama Pewaris Nabi SAW yang boleh dijadikan rujukan dan panduan pula semakin berkurangan. Di samping itu, lahir para ilmuan palsu dan keliru saban hari, yang diangkat dan ditampilkan, lalu mempengaruhi dan berpengaruh dalam masyarakat yang jahil, sehinggakan sesuatu yang munkar diangkat sebagai makruf dan sebaliknya suatu yang makruf pula dibayangkan sebagai munkar. Hasilnya ilmu-ilmu keagamaan serta sinarnya menjadi lesu dan pudar. Hakikat sebenar ilmu dan kefahaman yang sempurna tentang agama dilupakan dan tidak diusahakan secara tepat.” (KFI, hal. 11).
Secara tepatnya, al-Ghazali membincangkan persoalan ilmu dalam tujuh bab: (1) Perihal kelebihan ilmu, belajar dan mengajar; (2) Persoalan Ilmu daripada perspektif Fardhu Ayn, Fardhu Kifayah, takrif Feqah dan Kalam serta penjelasan mengenai ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat; (3) Maksud ilmu agama dan jenis serta sifat-sifat ilmu yang tercela; (4) keburukan debat dan sebab-sebab manusia terkhilaf dan berdebat; (5) Adab guru dan penuntut semasa belajar dan mengajar; (6) keburukan ilmu dan ulama serta sifat-sifat yang membezakan antara ulama Dunia dan ulama Akhirat; dan, (7) Mengenai akal, kelebihan dan pembahagian serta perihal yang berkaitan dengannya.
Mengenai kelebihan ilmu, al-Ghazali membincangkannya berdasarkan petunjuk daripada beberapa nas yang terpilih. Antaranya, kedudukan ilmuan (al-Mujadalah:11); mereka yang berilmu mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak berilmu (az-Zumar: 9); dan, mereka yang berilmu adalah mereka yang paling takutkan Allah SWT (Fatir:28). Ini bermakna nilai ilmu yang dimiliki seseorang akan menentukan kedudukan dan kemuliaan seseorang, yang diukur daripada perspektif taqwa dan bukannya kepemilikan semata-mata.
Al-Ghazali mengutip sebuah pertanyaan daripada seorang ulama: Saya ingin tahu, apa yang didapat oleh seseorang yang tidak memiliki ilmu. Dan apa yang tidak diperoleh seseorang yang telah memiliki ilmu itu.”
Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda: Orang yang telah diberi al-Qur’an kemudia ia merasa bahawa salah seorang diberi sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diberikan kepadanya, maka sesungguhnya ia telah merendahkan apa yang telah dimuliakan oleh Allah SWT.” (SBM, hal.27).
Selain mengutip nas, al-Ghazali turut menggunakan hadis dan disokong oleh sejumlah Atsar dan kata-kata hikmah. Antara atsar yang dipetik ialah kenyataan Saidina Ali bin Abi Talib KW. Ali menegaskan bahawa ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu akan memelihara manusia (seseorang) tetapi seseorang perlu menjaga harta; Ilmu mentadbir tetapi harta sebaliknya ditadbir; Ilmu bertambah apabila disebarkan manakala harta akan berkurangan selepas dibelanjakan.
Lainnya, Saidina Ali KW berkata: Seseorang alim lebih baik daripada orang suka berpuasa, mendirikan solat, dan berjuangl (kerana) apabila meninggal seseorang alim, akan wujud suatu kelompongan dalam Islam yang tidak dapat ditutup melainkan oleh pengganti (khalaf) yang terkemudian daripadanya.”(KFI, hal. 17).
Contoh kata-kata hikmah ialah pandangan Imam as-Syafi’e mengenai bukti kemuliaan ilmu di mana setiap orang akan gembira apabila dikaitkan dengan ilmu walaupun dengan ilmu yang paling rendah nilainya, sebaliknya seseorang akan merasa sedih apabila dinafikan daripada ilmunya.
Mengenai kelebihan menuntut ilmu, al-Ghazali menjelaskan antaranya: (1) Barang siapa yang memilih jalan menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memandunya ke arah jalan syurga. Bahkan orang yang bertanya dalam proses menuntut ilmu, akan memberikan manfaat kepada empat pihak: (1) orang yang bertanya; (2) ilmuan yang mengemukakan pertanyaan kepadanya; (3) orang yang mendengar pertanyaan tersebut; dan (4) orang yang sukakan ilmu dan majlisnya. Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Nu’aym).
Para hukuma, menurut al-Ghazali sebagaimana dikhulasah oleh Wan Suhaimi menggambarkan betapa mereka amat bersimpati dengan dua golongan: (1) golongan yang berusaha menuntut ilmu namun tidak dikurniakan kefahaman; dan , (2) golongan yang mampu memahami ilmu namun disebabkan alasan tertentu mereka enggan menuntut ilmu. Ertinya, masalah kefahaman bukanlah milik semua orang, kerana mencari kefahaman itu bukanlah mudah, ia memerlukan ketekunan dan bersedia melakukannya berkali-kali. Umpama peribahasa Melayu, belakang parang kalau diasah dan diasah, ia akan tajam jua.
Kepada mereka yang mudah memahami, yang diberikan kecerdasan, jangan sesekali bersikap angkuh dan sombong dengan tahap pencapaian yang rendah oleh orang lain, kerana itulah dunia pendidikan sangat memerlukan kekuatan semangat, dedikasi dan ketekunan belajar dan mengajar. Guru tidak sepatutnya merasa bosan dan melenting apabila ada pelajarnya lambat memahami atau mencerap nilai yang diinginkan dalam setiap kata-katanya.
Mengenai ilmu dalam perspektif hakikat kelebihan (fadilah) dan nilai sebenar ilmu, Wan Suhaimi memerihalkan dua perkara: (1) Faham dan Hakikat Kelebihan (Fadilah) dan (2) Nilai Sebenar Ilmu. Mengenai fadilah, mertilah merujuk kepada “ma’na dan nilai sesuatu, nilai yang menjadikan sesuatu lebih dan berkelebihan berbanding yang lain seumpamanya. Dalam maksud ini, kelebihan manusia adalah pada ilmu dan keruhaniannya, bukan pada sisi zahiriahnya, kerana ilmu dan keruhanian inilah yang menjadikan seseorang lebih baik daripada orang lain yang kurang ilmu dan nilai keruhaniannya.”
Nilai Sebenar Ilmu, “bergantung kepada nilai kenapa ia dituntut, kerana sesuatu yang dituntut demi kebaikan mutlak yang ada padanya adalah lebih baik berbanding dengan sesuatu kebaikan yang dituntut demi kebaikan lain. Duit dan kekayaan misalnya dituntut kerana dengannya manusia mampu memiliki keperluan zahirnya. Kesihatan dituntut demi kesihatan itu sendiri dan demi menikmati kehidupan yang baik. (KFI, hal. 23-24)
Menuntu ilmu adalah fardhu (wajib bagi setiap orang), tetapi seseorang itu perlu memilih ilmu yang akan dipelajarinya, kerana setiap ilmu itu ada kelebihan dan kekurangan, yakni kebaikan dan keburukan. Pada awalnya, al-Ghazali membahagikan ilmu kepada dua, ilmu Mu’amalah dan ilmu Mukafashah. Ilmu Mu’amalah ialah ilmu yang berkaitan dengan pegangan (I’tikad), suruhan (fi’l) dan larangan (tark). Ilmu Mukafsah ialah ilmu yang dituntut untuk diketahuinya sahaja.
Ertinya, ilmu Mu’amalah merupakan bukan sahaja dituntut untuk dipelajari, juga dituntut untuk dipraktiskan. Bagi al-Ghazali, ilmu Mua’amalah adalah ‘jalan menuju kepada ilmu Mukafashah, di mana “para nabi AS tidak pernah berbicara dengan para makhluk kecuali di dalam ilmu thariq (ilmu mu’amalah) dan menunjukkan ke sana….kecuali dengan rumus dan isyarat dengan caara mencontohkan dan menyebutkan secara global. Kerana mereka mengetahui bahawa pemahaman manusia tidak mampu menjangkaunya.” (SBM, hal.9-10)
Menariknya, kedua buku ini saling melengkapi. SBM menterjemahkan secara langsung kitab Ilmu yang merupakan bab pertama jilid pertama Ihya Ulumuddin, manakala KFI menghuraikannya dalam perspektif yang sama, dengan menggunakan nalar bahasa dan gaya bahasa Melayu moden. Dengan saling merujuk, sama ada merujuk untuk semakan dan menambahkan pemahaman, ia membantu bagi pembaca yang tidak memahami jalur dan gaya bahasa Arab kerana Wan Suhaimi berusaha melengkapkan penerangannya dalam konteks persekitaran budaya Melayu.
Semoga lebih ramai lagi ilmuan Islam terutama dalam kalangan cerdik pandai Melayu dapat melakukan kaedah yang sama, mengumpul bahan syarahan bertalaqi mereka menjadi buku untuk bacaan umum mengenai gagasan besar daripada ilmuan Islam yang besar. Namun, ia perlu disesuaikan dengan persekitaran budaya dan nalar bahasa Melayu, kerana banyak buku-buku yang dikumpulkan daripada siri syarahan atau khulasah terasa sukar dan cukup berbelit, masih terkongkong dengan laras dan gaya bahasa asal. Saya tidak berniat menghina atau mendeskreditkan mereka yang menterjemahkan sesebuah buku atau kitab besar, tetapi saya meminggirkannnya kerana penterjemahnya seolah-olah syok sendiri.
Inilah sebenarnya kita impikan sebagai alternatif dakwah, menerbitkan buku-buku secara infaq dan menggunakan pendekatan ‘down to earth’ atau membumi. Bagi saya, Wan Suhaimi berjaya membumikan bab ilmu dalam Khulasah Faham Ilmu dan untuk melihat kepada tulisan asal yang sudah diterjemahkan, saya harus berterima kasih kepada Ustaz Hamim HR kerana terjemahannya mudah difahami.
KAMARUN KH.
Recent Comments