Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Intitiut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) perlu memainkan peranannya dengan berkesan sebagai pihak yang menjadi benteng pertahanan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini agar mazhab tersebut tidak diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu.
Jelas bahawa kesederhanaan yang dipamerkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan kepercayaan dan amalannya berjaya menyatukan umat Islam dalam komuniti yang besar lagi majmuk dan ia berjaya dalam menyelesaikan masalah ketegangan agama dalam masyarakat Islam sehingga mewujudkan keharmonian yang berpanjangan hingga kini.
Dalam pada masa yang sama kita menghadapi pelbagai serangan dengan kemasukan naratif-naratif sesat yg cuba mengugat akidah umat Islam dinegara ini yang majoritinya menganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Justeru itu dalam konteks ini kita perlu kemukakan satu pendekatan iaitu Naratif Nusantara Asha’irah-Syafiyah-Ghazaliyah yang membina kerangka Epistemologi, Ontologi, Praksiologi dan Aksiologi kehidupan umat yang stabil dan berhikmah dalam mengungkapkan persoalan agama.
Bukan dengan pendekatan gang-ho, terburu-buru, populis, retorik dan tidak kosmopolitan seperti yang sedang berlaku ketika ini di negara kita. Perlantikan pegawai-pegawai AGAMA dalam kerajaan harus di pastikan tidak dari golongan yang menolak fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Inilah akibatnya bila artikulasi agama dibuat oleh mereka yang tidak memahami epistemologi, ontologi, praksiologi dan aksiologi yg mantap. Agama menjadi bahan lawak jenaka, agenda politik kepartian dan modal berniaga agama. Agama menjadi alat kepentingan golongan atau puak-puak mereka sahaja tanpa menpedulikan aliran-aliran yang sah disisi agama yang berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Memanglah tradisi Asha’irah-Syafi’iyah-Ghazaliyah tidak menyebut Epistemologi, Ontologi, Praksiologi dan Aksiologi tetapi hakikatnya itulah yang mereka bina dan sediakan untuk kita semua demi ketahanan, kestabilan dan kesinambungan umat dalam menghadapi cabaran pemikiran dan peradaban pada setiap zaman.
Dan yang menyedihkan agensi-agensi Islam saperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Intitiut Kefahaman lslam Malaysia (IKIM) mahupun Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) juga NGO-NGO Islam yang bernaung dibawah Jabatan Perdana Menteri dan lain-lain gagal menawarkan sebarang Naratif Islam yang boleh memandu visi dan imaginasi umat dalam kemelut semasa. Mereka masih bermain dengan konsep dan makna wasatiyyah yang tidak berakar atau berkembang dari tradisi Asha’irah-Syafi’iyah-Ghazaliyah yg sepatutnya.
Malah tiada satu pun agensi-agensi tersebut yang boleh dan berani mengungkapkan secara jelas tentang Naratif Nusantara sebagai panduan atau gagasan kesejahteraan umat. Hakikatnya ia memerlukan kefahaman massa yang akan berakulterasi dengan norma dan dasar nilai dari naratif nusantara. Penghamparan pemikiran, kefahaman dan manifestasinya dalam penghayatan seharian baik cetusan fiqh, akhlaq dan lain-lain dari cernaan epistimologi, ontologi dan aksiologi terokaan Shafi’iyyah serta 3 mazahib lainnya, As Sya’ariyyah Wal Maturidiyyah hingga ke al Ghazali mesti mampu di rekayasa dan prakarsa di seluruh penjuru nusantara sebagaimana ianya memuncak sebelum kedatangan kolonialis kafir laknatullah.
Jelas apa yang kita lihat hari ini wujud pelbagai siri percubaan daripada beberapa individu atau golongan tertentu yang cuba memporak-perandakan fahaman yang telah lama diamalkan di negara ini dengan membawa fahaman-fahaman baharu yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Waljamah. Mereka benar-benar mencabar kewibawaan pihak berkuasa agama. Mereka bergerak dengan licik sekali melalui pengedaran risalah-risalah secara tidak bertanggungjawab di sekitar masjid-masjid dan menyampaikan ceramah tertutup bagi menyebarkan fahaman mereka.Melalui penyebaran video, youtube, twitter mereka menyebarkan fahaman yang nyata bertentangan dgn fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Paling tidak mereka telah berjaya menpengaruhi pemikiran anak-anak muda yang sememangnya tidak ada asas pengetahuan agama. Dan nyata sekali sasaran mereka adalah golongan ini.
Dalam konteks negara kita Malaysia, para ulama dan cendekiawan Islam telah pun menegaskan perlunya Islam sebagai agama rasmi negara yang berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan pegangan majoriti umat Islam sepanjang zaman yang merangkumi aliran salaf dan khalaf. Ia bersendikan empat mazhab, iaitu Hanafi, Maliki, Shafie dan Hambali.
Dan kita yakin dari segi kesepaduan budaya `akliah’ silam, melalui bahasa Melayu (jawi) yang merupakan lambang keutuhan jamaah Nusantara dengan Islam adalah hasil perjuangan ulama pembela dan penegak konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Justeru, roh dan konsep Ahli Sunah Waljamaah harus dipertegaskan kembali. Tanggunjawab ini harus di pikul oleh JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam negeri. Mereka harus mendekati semula hikmah ini. Dan menjadikan ia tapak ke arah kegemilangan berilmu dan berbudaya. Kita harus menegaskan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan sekadar mazhab. Ia suatu konsep yang luas lagi murni dan berjaya menyerap hubungan persaudaraan dan kekuatan umat Islam.
Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara.
Kiranya pendekatan harmoni Ahli Sunnah Wal Jamaah ini, cuba diceroboh oleh pendekatan lain maka di khawatiri keharmonian dan kesejahteraan selama ini, akan hilang dan lesap dari masyarakat, dan budaya luar akan mencengkam dan mengambil alih tempatnya . Kemudian kenikmatan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini, akan hilang dan sukar untuk kembali lagi.
Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah berjaya memartabatkan Islam daripada sebarang ancaman yang bersifat ideologikal dan mempunyai pengaruh yang mendalam dalam kalangan masyarakat nusantara sehingga proses penjajahan terpaksa akur dengannya. Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai kekuatan dalam budaya hidup masyarakat yang bersifat wasatiyyah berbanding dengan pelbagai aliran pemikiran lain yang extrem berkembang dalam masyarakat Islam di negara ini. Fahaman-fahaman tersebut bukan sahaja keterlaluan dalam berakidah, bahkan menutup pintu ijtihad dan kejumudan. Semoga Allah melindungi umat Islam di negara ini dari gugatan akidah yg salah dan sesat ini.
Catatan : Ibnu Majid
Recent Comments