“Daripada Abdullah bin Amru R.A katanya, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sebaik-baik Sahabat di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap Sahabatnya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap jirannya.” (Sunan al-Tirmizi, no.2070 Hadis Hasan)
Islam menggalakkan hubungan baik antara sahabat handai dan jiran tetangga. Hal ini dapat dilaksanakan dengan sentiasa berhubung, bertanya khabar dan bantu-membantu dalam perkara kebaikan.
Bersahabat kerana Allah adalah sebaik-baik jenis persahabatan. Perkara ini semakin terhakis dari muka bumi ini kerana sifat materialistik dan mementingkan diri sendiri yang menguasai diri manusia. Persahabatan yang diikat dan dijalin kerana Allah itu sentiasa di dalam kebaikan dan pahala yang besar.
Menurut Muhaddith Abu Ya’la R.H: Sahabat yang baik akan mengingatkan kita kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya mengingatkan kita kepada mati.
Berbuat baik kepada jiran termasuklah mengambil berat kesusahan yang menimpanya, memberi pertolongan di saat dia memerlukan dan tidak menyakitinya sama ada dengan kata-kata dan perbuatan kita. Sabda Nabi S.A.W:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (Sahih Muslim, no.77)
Oleh itu, dalam menghadapi suasana kita semua sedang diuji pada hari ini, marilah kita menjadi orang yang menjaga kebajikan Sahabat handai dan jiran tetangga agar kita semua sentiasa mendapat kemuliaan di sisi Allah S.W.T.
Sumber: A Marzuk Shaary, https://harakahdaily.net/index.php/2021/07/25/jenis-sahabat-ketika-susah/
Recent Comments