Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itulah laungan keramat yang bergema di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi 31 Ogos 1957. Ia adalah sambungan dari mercu tanda yang cukup bersejarah pada detik 12.00 malam, iaitu turunnya bendera Union Jack dan dinaikkan Jalur Gemilang berkibar megah menyapu awam serta menerjah horizon kebebasan daripada kolonial.

Kolonial,diertikan sebagai kuasa-kuasa penjajahan,  kuasa yang datang dari luar dengan kepentingan gold, god dan glory – ekonomi, agama dan politik- mula memasuki wilayah timur sejak diketahuinya jalan laut ke timur. Atas misi agama misalnya, kita kenali dua istilah yang cukup besar. Pada zaman sebelum masihi, ada istilah Indianisasi (Indianisation) penduduk-penduduk Asia Tenggara (atau Alam Melayu) dengan agama yang berpusat di India. Hasilnya, ia cukup memberikan kesan yang mendalam, sehingga beberapa pola budaya dan adat resam Hindu dipertahankan hingga kini, termasuk dalam kalangan umat Islam sendiri. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam budaya dan kehidupan masyarakat Pulau Bali.

Selepas proses pengindiaan mengalami kelunturan pegangan, Buddha yang juga berasal dari India berkembang ke Asia Tenggara. Kini penganut agama Buddha merupakan bilangan penganut majoriti di Thailand, Kampuchea, Laos, Vietnam dan Myanmar. Islam yang hadir di Alam Melayu pada Abad Pertama Hijrah (Zaman Khalifah ar-Rasyidin), yakni menerusi aktiviti penyebaran dan perdagangan mendapat perhatian masyarakat setempat. Ia kemudiannya menjadi cara hidup yang cepat berkembang selepas pendakwah-pendakwah gigih melaksanakan misi dengan proses pendidikan dan penukaran gaya hidup berasaskan keperluan tauhid. Agama Islam cepat diterima kerana ia berbeza dengan bentuk dan kaedah penyampaian, dari kaedah pemahaman hinggalah kepada perubahan sikap rohani.

Islam mengajar bahawa manusia adalah makhluk sosial yang hidup dalam persekitaran persaudaraan, dan tiada masyarkat berkasta. Perbezaan yang ketara itu menyebabkan ajaran agama Hindu mula diketepikan oleh masyarakat tempatan, manakala beberapa nilai budaya yang bercanggah mula disesuaikan dengan prinsip Islam. Namun, tidak semua berjaya disesuaikan, bahkan masih ada amalan-amalan yang bersebati dengan kehidupan masyarakat dikekalkan, dengan syarat ia tidak mencabar prinsip syariah.

Seperti dijelaskan oleh Thomas W Arnold, Islam  cepat berkembang dan mudah diterima kerana sifat agama itu sendiri yang tidak menjadikan golongan elit dan agama penentu segala-galanya. Islam hanya membezakan seseorang dengan seseorang yang lain berdasarkan prinsip dan amalan seharian yang dikenali sebagai iman. Ertinya, walaupun seseorang itu berasal daripada kelas masyarakat paling rendah, mereka bukanlah kumpulan yang wajar dihina, sebagaimana berlaku dalam masyarakat Hindu yang cukup tebal dengan kesedaran kasta. Cara Islam disebarkan juga menarik perhatian masyarakat setempat, kerana Islam datang bersama kitab suci yang boleh dirujuk, dipegang sebagai panduan. Kerana itu, Islam hadir bersama proses ilmu. (Thomas W Arnold, The Preaching of Islam, edisi pertama 1896, edisi terjemahan Sejarah Lengkap Penyebaran Islam, 2019).

Ia berbeza dengan cara agama Hindu disebarkan, ia hadir  dengan cara yang cukup elitis. Kehidupan pendakwah mereka berisolasi dengan penduduk tempatan dan hanya menghabiskan masa di kuil-kuil tanpa bergaul bebas sebagai batas keimanan. Hal itu, menyebabkan agama Hindu tidak benar-benar bersifat kemasyarakatan, di mana sami-sami mereka dilihat sebagai ‘manusia suci’, tidak bekerja dan mengharapkan sumbangan orang lain untuk menampung keperluan seharian, seperti makanan dan minuman. Hal yang sama juga berlaku dalam budaya hidup pendakwah Buddha, seharian tugas ialah beribadat manakala keperluan makanan dan minuman disumbangkan oleh masyarakat setempat.

Kuasa kolonial, yang ditandai dengan kedatangan Portugis pada awal kurun ke 16 atas keinginan untuk menguasai perdagangan dan pengembangan agama Kristian dengan kaedah peperangan. Ia kemudiannya disusuli dengan Sepanyol, dan pada Abad ke-18, Inggeris mula menunjukkan sikap yang sama.  Namun, akhirnya di Asia Tenggara, kuasa-kuasa penjajahan terpaksa melakukan perjanjian bagi mengelakkan antara mereka saling berseteru dan berperang. Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 misalnya, dua kuasa itu  bersetuju untuk tidak saling menyerang di wilayah-wilayah yang dipersetujui. Belanda di Indonesia manakala Tanah Melayu (termasuk Borneo) milik Inggeris. Masing-masing menjaga dan mengeksploitasi apa yang ada dalam wilayah jajahan yang dikuasai.

Sepanyol yang menguasai Filipina, kemudiannya digantikan dengan Amerika Syarikat. Wilayah-wilayah lain, Vietnam menjadi milik Perancis, Myanmar (Burma) dibawah penguasaan Inggeris. Thailand secara langsungnya tidak dijajah oleh mana-mana kuasa asing, tetapi, secara tidak langsung pengaruh penjajahan turut dirasai. Misalnya, pada tahun 1909, Thailand terpaksa menerima saranan British mengenai pembahagian wilayah-wilayah yang bersempadanan, Negeri-Negeri Melayu utara (Kedah, Kelantan, Perlis dan sebahagian Perak) diserahkan kepada Inggeris manakala Inggeris bersetuju menyerahkan wilayah-wilayah selatan Thailand. Wilayah-wilayah itu asalnya  adalah sebahagian daripada negeri-negeri Melayu-Islam.  Bahkan pada suatu ketika pernah wujud istilah Greater Patani (Patani Raya). Kelantan pernah berada di bawah naungan Patani Raya.

Perjanjian Bangkok 1909 telah menyebabkan negeri-negeri Melayu-Islam yang cukup terkenal pada Abad ke-17 hingga awal Abad ke-20, iaitu Patani semakin jauh dengan rangkaian pemerintahan Melayu-Islam. Pemimpin-pemimpin Islam di Patani ditangkap dan sebahagian besar daripada mereka melarikan diri ke Tanah Melayu, Indonesia dan sebahagian daripada ilmuannya berhijrah ke Haramain, turut menghidupkan sistem pendidikan tradisi Islam, yang ketika itu sudahpun berkembang sebagai pusat pendidikan Islam yang penting. Nama besar seperti Sheikh Daud bin Abdullah al-Fatani (1769-1847), Syeikh Wan Ahmad al-Fatani (1856-1908), Pak Da’ El Patani (1882-1965), Syeikh Nik Mat Kecik Patani (1844-1915) menjadi penyumbang kepada pengukuhan dan pemantapan ilmu-ilmu Islam. Ia kemudiannya dikembangkan oleh pelajar-pelajar mereka sebaik sahaja tamat pengajian, sama ada di Mekah atau dibawah sistem pemondokan di Patani. (Ahmad Fathy al-Fatani, Ulama Besar Dari Patani, 2002; Farid Mat Zain, et.al., Ulama Patani: Ketokohan dan Keilmuan, 2016; Muhamad Abu Bakar, penyunting, Orang Terengganu: Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju, edisi kedua, 2018; Abdul Razak Mahmud @ Ahmad Fathy al-Fatani, Kelantan-Patani: Ulama’ dan Intelektualisme Melayu Wilayah Timur, 2018; dan Abdul Razak Mahmud, et.al, Bunga Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur: Sejarah, Pemikiran dan Karya, 2009).

Selepas berlakunya krisis politik di Selatan Thailand, sebahagian daripada guru-guru agama dari Patani yang berhijrah ke Tanah Melayu turut meneruskan tradisi pendidikan di beberapa buah negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung, terutama dalam kategori Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Ia berlaku kerana Inggeris tidak memberikan perhatian yang begitu besar berbanding di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Pantai Barat (Negeri-Negeri Melayu Bersekutu) disebabkan tidak mempunyai sumber ekonomi yang besar. Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perlis tidak mempunyai kawasan lombong bijih timah sebagaimana Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Atas sebab itulah Inggeris sengaja mengabaikan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu sehinggalah mula menunjukkan minat selepas Perjanjian Bangkok, apabila berlakunya keperluan kepada hasil-hasil pertanian untuk menampung keperluan Revolusi Perindustrian, dan penghasilan produk daripada getah, tanam-tanaman lain seperti kelapa, koko dan hasil-hasil hutan.

Hari ini, selepas mengalami kemerdekaan selama 64 tahun muncul pula pelbagai aliran pemikiran yang sangat tidak menjurus kepada pemantapan kehidupan bermasyarakat. Politik menjadi suatu seruan kepada perpecahan dan perbalahan besar. Secara umumnya, proses politik di Malaysia sangat cenderung kepada perkauman, dan kerana itu usaha ke arah menjadi Bangsa Malaysia benar-benar menjadi cabaran dan bermasalah. Secara teorinya, oleh kerana Malaysia terpaksa menerima warisan penjajah British yang berkuasa selama 171 tahun (1786-1957), kuasa kolonial berjaya mengkucar-kacirkan nilai budaya dan politik Tanah Melayu. (Mohamed Mustapha Ishak, Politik Bangsa Malaysia: Pembinaan Bangsa Dalam Masyarakat Berbilang Etnik, 2014).

Dengan dasar pecah dan perintah yang diamalkan Inggeris telah berjaya memetak-metakkan masyarakat Tanah Melayu. Inggeris tidak melakukan pertentangan dan dominasi yang ketara di dalam kehidupan politik dan agama orang Melayu, tetapi berusaha memberikan tekanan ke atas elit politik Melayu di negeri-negeri yang menjadi lubuk ekonominya. Itulah dikotomi sistem yang berlaku, dan dua kesan pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur. (Khoo Kay Kim, Negeri-Negeri Melayu Pantai Barat 1850-1873:Kesan Perkembangan Dagang Terhadap Politik Melayu, 1984). Ia bukan sahaja membawa kesan ekonomi yang berbeza, bahkan menjadi kisah politik perkauman yang cukup berdengung hingga ke hari ini. Dua kelompok imigran yang dibawa masuk sebagai pekerja buruh (lombong bijih, pelabuhan dan ladang-ladang) semakin menunjukkan sikap untuk membentuk hegemoni dan dominasi. Dalam bidang ekonomi, mereka sudah berjaya dan kini menuju kepada hegemoni politik. Bunga-bunga ke arah itu semakin terasa bahangnya ketika Malaysia diperintah oleh Pakatan Harapan selama 22 bulan (10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020).

Semasa rundingan kemerdekaan, sebagaimana direkodkan oleh Tunku Abdul Rahman (Tunku Abdul Rahman, Looking Back: The Historic Years of Malaya and Malaysia,  1977; Tunku Abdul Rahman, Malaysia: The Road to Independence, 1984), tiga pemimpin utama yang mewakil tiga kaum –Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC) – bersetuju untuk kekal hidup bersama-sama di Tanah Melayu. Asas kepada persetujuan itu membentuk Manifesto Perikatan 1955, yang kemudiannya menjadi dokumen penting dalam pembentukan masyarakat di Tanah Melayu, dan bukti kepada British sebagai pertimbangan memberikan kemerdekaan. Dokumen itu kemudiannya menjadi sebagai teras Perlembagaan Tanah Melayu, dan dikelasifikasikan sebagai Kontrak Sosial. (Mohd Rizal Yaakub dan Shamrahayu Abdul Aziz,  Kontrak Sosial: Perlembagaan Persekutuan 1957, Pengikat Jati Diri Bangsa Malaysia Merdeka, 2015 dan Abdul Manaf Ahmad, Kontrak Sosial, 2009).

Situasi politik Malaysia antara kaum tidaklah berjalan mulus, sentiasa berlaku konflik dan ia berada di kemuncaknya apabila tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Parti-parti pembangkang yang diterajui oleh pemimpin bukan Melayu mula mempamerkan kesombongan mereka selepas berjaya menguasai pengundi di bandar-bandar besar. Sebelumnya, tiga parti utama yang membentuk Perikatan tidak mempunyai masalah yang besar, tetapi selepas menerima kemasukan Singapura dalam gagasan Malaysia, elemen merebut kuasa politik dalam kalangan pemimpin bukan Melayu mula berlaku. Dalam PRU 1964, PAP (People’s Action Party) yang diasaskan oleh Lee Kuan Yew memenangi satu kerusi di Bangsar, Kuala Lumpur.  Pada bulan 21 Julai 1964, berlaku perselisihan kaum yang mengakibatkan 23 orang terbunuh berhampiran Kallang Gaswork, Singapura semasa sambutan Maulidir Rasul. Ia kemudiannya merebak kepada beberapa insiden lain sehingga bulan September 1964. Singapura kemudiannya menetapkan tarikh 21 Julai setiap tahun sebagai Hari Keharmonian Antara Kaum (https://ms.wikipedia.org/wiki/Singapura_dalam_Malaysia)

Selepas itu, PAP pimpinan Lee Kuan Yew berhadapan dengan cabaran yang besar di Singapura, apabila munculnya gerakan politik sosialis dan kebangkitan kaum pekerja. PAP tewas dalam beberapa pilihan raya kecil Singapura, manakala sikap Lee Kuan Yew ke atas Perikatan juga menunjukkan diskriminasi yang cukup besar. Namun, disebabkan oleh kedudukan politik PAP cukup mencabar, Lee Kuan Yew menukarkan pendekatan politiknya dengan harapan dapat meraih kembali sokongan masyarakat Cina di Tanah Melayu. Ia kemudiannya menyelar kedudukan MCA dalam Perikatan, dan melontarkan ideologi politik dengan slogan Malaysian Malaysia yang mahukan tindakan dan dasar kerajaan berteraskan meritokrasi (termasuk penggungguran dasar afirmatif dalam bidang pendidikan dan jawatan sektor awam).

Singapura juga menunjukkan keangkuhannya. Lee Kuan Yew merasa kedudukannya sudah kukuh di mana tidak lagi perlu berdepan dengan kerajaan British untuk menjadikan Singapura sebagai sebuah negara yang merdeka. Lee Kuan Yew boleh menggunakan kedudukannya sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu yang sudah pun mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Pada 7 Ogos 1965, Singapura mengisytiharkan dirinya sebagai sebuah negara yang berdaulat. Akhirnya, hubungan antara Malaysia dan Singapura disifatkan sebagai ‘duri dalam daging’ menyebabkan Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan yang berat, mengeluarkan Singapura daripada gagasan Malaysia pada 9 Ogos 1965. (Rosli Mohd Yusoff, Singapura Dalam Malaysia 1963-1965: Perkongsian Tidak Serasi, 2019; dan Mohamad Nordin Sopiee, From Malayan Union to Singapore Separation: Political Unification in the Malaysia Region 1945-1965, 2013).

Persoalan politik perkauman dan konflik yang berlaku, walaupun selepas perpecahan dalam MCA dan pemisahan Singapura tertubuhnya parti-parti yang merentasi etnik dan agama masih belum dapat melahirkan konsep politik bebas perkauman. Penubuhan DAP dan perkembangannya sehingga kini masih belum dapat mewajahkan politk Bangsa Malaysia kerana secara jelasnya ia dikuasai dan ditentukan oleh bukan Melayu. Begitu juga dengan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM) dengan ambisi bukan Melayu, Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya dinamakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan penguasaan Anwar dan keluarga, dan beberapa parti serpihan dari UMNO (PPBM) dan PAS (PAN) masih kekal berteraskan Melayu-Islam. Selepas berlakunya perpecahan dalam PPBM, tertubuhnya Pejuang juga turut merebut pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu. (Johan Sarawanamutu Abdullah, Power Sharing In The Divide Nation: Communalism and Politics in Six Decades of Malaysia’s Elections, 2016; KJ Ratnam,  Faham Perkauman dan Proses Politik di Malaya, 1969; dan Mohd Fitri Abdul Rahman dan Mohd Foad Sadkan, Konflik Politik Perkauman: Strategi dan Penyelesaian Cara Malaysia, 2013; dan Mohd Noor Yazid, Percaturan Kuasa dan Politik Pilihan Raya, 2011).

Ertinya, setakat ini isu perkauman tidak dapat dibendung dalam pemikiran masyarakat Malaysia walaupun lahirnya beberapa buah parti politik yang cuba membuka keahliannya merentasi kaum. Misalnya, dalam perjuangan dan tindakan politik DAP, meskipun semakin mendapat sokongan segelintir anak muda Melayu, ia belum bebas sepenuhnya daripada penguasaan bukan Melayu dalam penentuan hala tuju parti dan aktivitinya. Ini jelas kelihatan daripada desakan-desakan yang ada ciri-ciri perkauman, misalnya kes penanam durian haram di Raub, Pahang; gesaan M Kulasegaran terhadap kematian seorang pegawai keselamatan berketurunan India yang didakwa dilakukan oleh seornag pemuda Melayu di Ipoh; keputusan Peguam Negara menggugurkan dakwaan ke atas aktivis DAP dalam mempromosikan LTTE; tekanan ke atas kematian Beng Hock dan sebagainya sangat berbeza dengan apa yang berlaku ke atas kematian Mohamad Adib Mohamad Kassim. Adib disahkan meninggal dunia selepas 21 hari tidak sedarkan diri (17 Disember 2018) semasa rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya (27 November 2018); dan sekarang ialah perlecehan Pulau Pinang terhadap cadangan Kedah untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim. Ia bakal mencabar kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ia berbeza dengan sikap dan pendirian DAP dalam pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai, Terowong Dasar Laut dan Empat Pulau Buatan, dikritik sebagai tindakan yang boleh menganggu alam sekitar. Dengan alasan boleh menjejaskan alam sekitar, terutama pencemaran Sungai Muda, Pulau Pinang mengkritik tindakan Kedah. Sebelum itu,  timbul persoalan tuntutan bayaran menyedut lebih 80 peratus air mentah dari Sungai Muda. Kedah menagih bayaran daripada Pulau Pinang ekoran pengambilan air untuk keperluan air bersih oleh Pulau Pinang, Alasannya,  air itu mengalir memasuki Sungai Muda di kawasan Pulau Pinang daripada sungai-sungai yang bermula di Kedah. Kedah juga bercadang untuk membangunkan kawasan hulu Sungai Muda dan mengugut akan membina ‘empangan pemisah’ untuk melencongkan aliran air sungai agar tidak mengalir ke kawasan sempadan dengan Pulau Pinang. Hal seperti ini pernah dilakukan oleh Israel bagi menampung keperluan air mentahnya. (Muhamad Hasrul Zakariah, British dan Perang Enam Hari 1967 Arab-Israel, 2017).

Isu-isu sedemikian bukan sahaja menjadikan situasi politik Malaysia dikaitkan dengan konflik perkauman. Pada tanggapan umum, bila tanah-tanah di pesisir pantai dimajukan, bererti semakin ramai orang Melayu Pulau Pinang terpaksa meninggalkan laman tradisi kehidupan mereka  ekoran tidak mampu membeli rumah-rumah yang bakal dibangunkan. Pulau Pinang memang terkenal dengan pembinaan rumah-rumah mewah dan tidak mampu diberli oleh orang Melayu. Sebaliknya, pemaju-pemaju swasta bukan milik Melayu menggunakan pelbagai kaedah untuk membeli tanah-tanah milik orang Melayu sejak sekian lama, yakni diperintah oleh BN lagi (era Lim Chong Eu dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia atau Gerakan).  Ketika dalam era pentadbiran PH, kerajaan Pulau Pinang terdesak untuk memohon kelulusan menurunkan had minimum harga rumah  bagi membolehkan lebih ramai rakyat asing (khususnya dari Hong Kong dan Taiwan) membelinya (daripada RM 1 juta kepada RM 500,000) dengan alasan, membantu masalah rumah-rumah tidak terjual. Begitu juga dengan tindakan yang dapat dikaitkan dengan usaha ‘menjual MyKad’ kepada rakyat asing, yang membabitkan orang tengah bukan Melayu di Pulau Pinang (kes masih dalam perbicaraan).

Strategi politik untuk mengecualikan  visa kepada pelancong dari China (termasuk Hong Kong, Taiwan dan Macau) dan India turut ditafsirkan sebagai langkah politik yang menguntungkan parti politik bukan Melayu. Ini kerana, beberapa tahun sebelumnya, jutaan pelancong asing (dari India dan China) yang memasuki negara ini tidak dapat dikesan di mana mereka, tiada rekod kepulangan ke negara asal. Begitu juga dengan desakan parti-parti politik bukan Melayu agar proses pengeluaran dokumen warganegara dapat dilaksanakan oleh kerajaan meskipun pemohon tidak mempunyai dokumen lengkap, termasuk sijil beranak di Malaysia. Jika hal ini berlaku dalam kalangan masyarakat kawasan pedalaman (remote area), ia mungkin boleh dipertimbangkan atas alasan budaya hidup kelompok-kelompok tersebut masih lagi bersifat nomad.

Ia berbeza dengan kehidupan di beberapa buah negeri di Semenanjung. Terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ada kesangsian, apakah benar mereka yang memohon kerakyatan tanpa dokumen itu benar-benar berasal dari Malaysia, sama ada dilahirkan oleh pasangan yang berkahwin dengan rakyat tempatan ataupun mereka yang berhijrah atau menyusup masuk sebagai pelancong, kemudian bersembunyi buat beberapa ketika. Setelah mendapat perlindungan daripada komuniti mahupun kelompok tertentu, mereka menggunakan parti politik untuk membantu mendapatkan proses kerakyatan. Ia juga termasuk dalam kalangan buruh-buruh yang memasuki negara ini sebagai PATI, tinggal lebih tempoh dan berkahwin dengan masyarakat tempatan atas kepentingan ekonomi dan politik.

Terlalu banyak kesangsian dalam kehidupan politik di Malaysia, dan kesangsian semakin bertambah besar selepas PRU ke-14. Ekoran berubahnya tampok kuasa, arus politik Malaysia semakin bergema dengan Ketuanan Politik Melayu-Islam bakal kehilangan di mana isu-isu yang selama ini berjaya disekat daripada terus menjadi polemik diperlekehkan secara terbuka. Asas-asas yang membentuk Kontrak Sosial mula dipersoalkan, dan lebih mendukacitakan ialah muncul politikus Melayu turut merasakan ia senjata yang cukup tajam  bagi meraih sokongan politik. UMNO menjadi Ketuanan Melayu sebagai senjata untuk memperkuatkan kedudukan, manakala PAS menggunakan Ketuanan Islam untuk mengalir darah perjuangan politik bagi mempengaruhi negeri-negeri majoriti Melayu (Kelantan, Terengganu dan Kedah).

Bagi parti-parti yang lain, DAP, Gerakan dan juga MCA, mereka sentiasa berusaha memperkuatkan kedudukan orang Cina, termasuk bersatu dalam mempertahankan budaya, bahasa dan sastera Cina walaupun sebahagian besar aktivis tersebut tidak pernah mengecapi pendidikan Cina. Kisah perjuangan badan-badan pendidikan Cina cukup memberatkan liabiliti politik Malaysia sehingga sekarang. Usaha ke arah memperlekehkan Dasar Pelajaran Kebangsaan terus dilakukan, termasuk tindakan DAP untuk mendapat pengiktirafan UEC dan memasukkan pendidikan Cina dalam arus sistem pendidikan utama negara. (Thock Ker Pong, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina, 2005; Tan Yao Sua, Pendidikan Cina di Malaysia: Sejarah, Politik dan Gerakan Perjuangan, 2014; Choeng Yuen Keong, Gerakan Pendidikan Cina di Malaysia: Satu Kajian Tentang Perjuangan Dong Jiao Zong (1970-2002), 2013; dan, Ibrahim Saad, Pendidikan dan Politik di Malaysia, 1986). Sedikit sebanyak perjuangan mereka diterima, termasuk ada kerajaan-kerajaan negeri mengiktiraf UEC untuk memasuki perkhidmatan awam negeri dan asas kemasukan ke universiti. Malah keenggan kerajaan pusat menerima UEC dianggap sebagai ‘bodoh’ oleh salah seorang pemimpin negeri.

Belum pun berakhir kisah penghinaan Melayu Malas dan Melayu Mudah Lupa, kini muncul pula naratif pembentukan kerajaan baharu (angkat sumpah PM ke-9, Jumaat 20 Ogos;   pengumuman barisan kabinet ‘Keluarga Malaysia’, Jumaat 27 Ogos 2021; dan Angkat Sumpah Jawatan, 30 Ogos 2021) kedengaran suara-suara sumbang daripada bekas ahli politik yang boleh dianggap ‘menopaus’. Rafidah Aziz yang terselamat dengan keputusan Tun Abdullah Badawi tidak melanjutkan siasatan kes pembahagian AP semasa pentadbiran Dr Mahathir, mengeluarkan kata-kata yang cukup menjengkelkan.

“Enam puluh tahun dahulu, waktu saya berusia 14 tahun, ayah dan emak saya telah keluar rumah pukul lima pagi, pada 31 Ogos 1957, memakai baju baru yang dibeli, dan dijahit khas untuk pergi ke Stadium Merdeka. Mereka ingin bersama-sama dengan pembesar-pembesar negara dan ribuan rakyat jelata di situ, untuk menyaksikan penyerahan kuasa dari penjajah British, kepada kerajaan Tanah Melayu, yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan.

“Negara memang akan terus merdeka. Tetapi kita, rakyat, perlu memerdekakan diri kita, dari dikongkong, dibelenggu, disusahkan, oleh kelam kabut politik toksik dan haluan yang tidak menentu.

Sudah sampai masanya. Kita perbetulkan kompas negara. Kita kikis unsur-unsur negatif perosak masyarakat dan negara. Kita tetapkan semula atau ‘reset’ haluan kita.

“Kita pupuk kembali, nilai-nilai dan prinsip di semua lapisan masyarakat, yang boleh mengukuhkan ketahanan rakyat dan negara. Kita bina semula negara yang bermaruah dan yang dihormati.

Sayangnya, sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan ekonomi dan berpengalaman luas sebagai seorang menteri dalam kabinet Barisan Nasional (1987-2008) selama 21 tahun di MITI, tidak merumuskan ‘kabut politik’ yang cukup besar itu sebenarnya mula berlaku pada zaman Dr Mahathir. Sebagai penyokong Dr Mahathir yang taksub, Rafidah hanya mula menyelongkar  ‘kabut politik’ selepas terbokehnya Pakatan Harapan oleh sebab pengkhianatan dari dalam, dan turut bersama untuk mempersalahkan kepimpinan BN. Rakyat Malaysia masih ingat adegan memujuk Rafidah Aziz ketika Dr Mahathir melafazkan ucapan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dalam perhimpunan UMNO pada tahun 2002.

Ertinya, jika ‘kabut toksik’ itu bermula pada era selepas kejatuhan PH, kita boleh terima. Tetapi, jika ‘asap’ yang mengabutkan politik Malaysia sudah bermula pada tahun-tahun sebaik sahaja UMNO membuka ruang golongan korporat menguasai parti, maka tidak seharusnya Rafidah menggelapkan sejarah tersebut. Jangan cuba pusingkan sejarah sebagaimana hasrat Mazlee Malik ingin memasukkan 1MDB sebagai sebahagian kurikulum sejarah dan segelintir politik mahukan perjuangan politik kiri sebagai pejuang kemerdekaan. Semua orang masih ingat dakwaan Mohamad Sabu bahawa Mat Indera yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah seorang wira yang perlu diangkat dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu.

Jangan jadi seperti DAP mahu lenyapkan sejarah Pulau Pinang dengan memesongkan fakta, orang keturunan Cina yang merupakan penduduk awal negeri tersebut. Ia seolah-olah Pulau Pinang sebelum dibuka oleh Inggeris ‘negeri yang tidak berpenghuni’ dan kehidupan di sana seolah-olah bermula dengan kemasukan buruh-buruh imigran dari China. Dakwaannya, kerana ada sebuah tempat bernama Kongsi, yang terletak di Balik Pulau. Sedangkan di Balik Pulau juga ada nama seperti Pondok Upeh, Kampung Terang, Sungai Burung dan sebagainya.

Sebahagian besar kerosakan budaya UMNO dimulakan oleh Dr Mahathir. Sejarah telah mengukir faktanya sejak kalah PRU ke-3 (1969), beliaulah merupakan pengkritik Tunku Abdul Rahman walhal semasa berkempen sangat tidak mengharapkan pergantungan undi oleh pengundi Cina. Yusuf Rawa bijak menggunakan peluang itu, akhirnya beliau menang dan Dr Mahathir kecundang. Rasa marah itu menjadi umpatan seumpama dinamit. Tun Razak membawa masuk semula ke dalam UMNO dengan bantuan Datuk Harun Idris.

Dinamit itu kemudian cuba dihidupkan, dan akhirnya meletup apabila UMNO diharamkan pada tahun 1988, yakni hampir setahun Rafidah berada dalam kabinet UMNO lama dan dua puluh tahun lagi ialah dalam kabinet UMNO (Baru). UMNO (B) benar-benar berubah, membawa kabut politik yang cukup melemahkan orang Melayu, kerana perjuangan kepada bangsa, agama dan negara hanya sekadar mainan slogan, hakikatnya, kepentingan diri dan kelompok. Cuba Rafidah renungkan, gunakan analisis ilmiah kepakaran ekonomi yang ada, kedudukan orang Melayu cukup kuat selepas DEB ditetapkan? Apakah Dr Mahathir dengan angkuhnya tidak mahu menyambung tempoh DEB yang tamat pada tahun 1990 kerana ada agenda besar yang mahu dilaksanakan? Bagaimana UMNO diruntuhkan dari dalam oleh Dr Mahathir, dapat kita baca dalam tulisan Ahmad Mustapha Hassan, Membina dan Meruntuh Malaysia: Sebuah Imbasan Orang Dalam Tentang UMNO, Razak dan Mahathir, 2008).

Benar, ada cua agenda besar yang cukup menjengkelkan hasilnya. Hingga kini rakyat Malaysia terasa ‘ditipu dan dimanipulasi’ dengan dasar Penswastaan dan Persyarikatan Malaysia. Rakyat Malaysia cukup sedar bagaimana ‘bail-out’ berlaku? Bagaimana beberapa aset parti UMNO dicairkan oleh individu dan difaraidkan menjadi entiti individu dan kelompok tertentu. Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana politik wang sangat berkuasa dalam UMNO sehinggakan untuk bertanding dan mengekalkan kedudukan sebagai Ketua Bahagian memerlukan perbelanjaan yang besar. Begitu juga dengan sikap Dr Mahathir terhadap warisan Tun Razak mengenai keharmonian masyarakat, Rukunegara. Ia cuba digantikan dengan Wawasan 2020. (Cheah Boon Kheng, Malaysia: The Making of a Nation, 2003).

Sebab itulah UMNO cukup berkonflik, konflik antara semangat parti dan kepentingan peribadi, atas alasan memperkukuhkan parti. Bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO melobi kontrak, melobi AP, melobi pink-form, dan seterusnya berlumba mendapatkan projek rundingan terus? Apa kisah dengan turnkey-project, BOT dan sebagainya? Bagaimana dengan kegagalan makmal komputer, projek sekolah bestari (termasuk Telekom SmartSchool), Koridor Raya Multimedia (MSC) dan sebagainya, semuanya dicetuskan oleh agenda besar Dr Mahathir. Akhirnya, inilah yang menjadi kabut politik Malaysia apabila mula mengeluarkan asap, dan menjadi sedikit kelam bila timbulnya isu kroni, korupsi dan nepotisma pada era Reformasi (1998). Bukankah itu zaman Dr Mahathir? Usah ditambah lagi asap kelam, kerana asap kelam itu boleh melemaskan jika punca api dicari, digali dan diteliti. Jangan melihat ‘kabut politik’ hanya muncul selepas PH hilang kuasa, PN mengambil alih dan kini seolah-olah ‘bakal dilanjutkan’ oleh Keluarga Malaysia.

Nasihatlah baik-baik, sebab sebahagian daripada barisan kabinet Keluarga Malaysia bukan tidak kenal siapa Rafidah Aziz, dan siapa dia Dr Mahathir yang sangat didokongnya. Benar, Dr Mahathir membuat jasa yang cukup besar kepada Malaysia, tetapi Dr Mahathir juga banyak melakukan kesilapan dan kerana itulah pada suatu ketika digambarkan sebagai seorang diktator, mahazalim dan dengan dahsyatnya diberikan taraf Mahafir’aun. Dalam sejarah Islam, imej fir’aun bukan sahaja buruk kepada manusia, juga buruk daripada nilai agama. Soal betul atau salah, itu adalah penentuan Allah SWT, tetapi di mata manusia, ada banyak kesalahan yang dilakukan sehingga politik Malaysia cukup berkabut bahkan ada manusia yang sangat alergik bila nama Dr Mahathir disebut. Kenapa? Tentunya ada pengalaman dengan pengalaman buruk, sikap besar kepala dan perilaku angkuh, bukan menunduk seumpama resmi padi, sentiasa menegak seumpama resmi lalang.

Seharusnya, zaman keemasan politikus veteran sudah berlalu. Dr Mahathir kalau tidak terus berambisi untuk dilantik semula untuk kali ketiga sebagai PM, tentunya akan dihormati sebagai tokoh dan negarawan. Begitu juga dengan Rafidah, tidak wajar mengkritik dan bertindak seperti ketam, jalanan yang diarahkan lurus tetapi sendiri berbengkang-bengkok. Berikan peluang dan sokongan moral untuk kabinet Keluarga Malaysia menghapuskan ‘kabut politik’dengan nasihat dan pandangan yang jujur, bukan dengan cara menyindir, dan mengecam. Mereka baharu sahaja nak bermula, walaupun sebahagian besarnya adalah mewarisi kelemahan besar PN. Mereka lemah kerana persekitaran tidak kondusif, ada percekcokan dari dalam untuk merebut ruang dominasi, sebagaimana PH juga hadapi dalam tempoh 22 bulan berkuasa.

Kita berikan mereka peluang, bahkan PM ke-9 sudah pun memberikan amaran. Mereka perlu buktikan melakukan perubahan yang siginifikan dalam tempoh 100 hari pertama, yakni kurang daripada separuh daripada masa belajar oleh kabinet PH. Enam bulan pertama, kabinet PH masih belum cukup pandai, masih merangkak-rangkak dan akhirnya berlalu dengan bau yang cukup hancing. Enam kedua, masih belum ada pendirian dasar pembinaan negara yang jelas, belum ada kaedah penyelesaian ekonomi yang komprehensif sehinggalah PH dituntut agar meletakkan jawatan. Ia kemudian menjadi suatu fenomena yang lain, wujud penilaian yang tidak adil sehingga dilaporkan hanya menteri-menteri daripada DAP dan PKR yang cukup berprestasi. Menteri-menteri daripada PPBM berada dalam skor di bawah ‘cut off’ lulus, bahkan Dr Mahathir sendiri berada dalam skor yang cukup mengecewakan.

Skor terendah juga diraih oleh menteri dari PPBM. (“Prestasi Menteri- Ini Penilaian Pembaca Kami”, Malaysiakini, 30 Disember 2019). Muhyiddin meraih skor tertinggi dalam kalangan menteri PPBM (36 peratus) manakala Dr Mahathir sekadar mampu memperoleh skor 26 peratus, bahkan lebih buruk daripada Wan Azizah (53 peratus). Lagi teruk ialah Redzuan Yusuf (10 peratus, alahai Menteri Kereta Terbang) berbanding Mohd Sabu (59 peratus), dan Mohamadin Ketapi (16 peratus) yang menyamai pencapaian menteri ‘stoking dan kasut hitam’, Mazlee Malik.

Begitu juga kajian sebelumnya, kajian Emir Research, Indek Kepuasan Kerjaan (GSI) hanya sekadar 0.53 (“Rakyat Nilai Kerajaan 0.53 GSI”, Berita Harian, 12 Disember 2019), dan akhirnya ada yang membuat kesimpulan bahawa secara keseluruhan dikatakan kerajaan PH setakat 55 peratus.  (Tun M Kongsi Kisah Setahun PH Jadi Kerajaan, Berita Harian, 8 Mei 2019). Pencapaian tersebut bagaimanapun semakin merudum apabila calon-calon PH mula mengalami kekalahan dalam PRK, bermula dengan PRK Cameron Highlands, DUN Semenyih, DUN Rantau, Tanjung Piai, dan Kimanis. Setelah itu, PH terpukul lagi kerana tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Tasik Cini (4 Julai 2020) setelah gabungan tersebut hilang kuasa (24 Februari 2020).

Seorang lagi pemimpin PH, pendokong kuat Dr Mahathir ialah bekas Setiausaha Agung PPBM yang pernah tersandung dengan ‘ijazah palsu’, Marzuky Yahya (bekas Timbalan Menteri Luar) yang seolah-olah cukup prejudis terhadap kemampuan kabinet Keluarga Malaysia. Anwar Ibrahim yang cukup ‘parah dengan kegagalan meletakkan dirinya sebagai PM’ mengeluarkan kenyataan yang sangat ironi. Kemerdekaan bukan sahaja membebaskan daripada penjajahan, juga wajar membebaskan kepentingan diri, yang akhirnya terpercik ke mukanya. Kalau bukan kerana ‘kepentingan diri’, tentunya Anwar tidak akan memasuki perlumbaan politik yang cukup meletihkan, sebanyak sepuluh kali disahkan gagal. Kalau bukan ada ‘kepentingan diri’, tentunya Anwar tidak sanggup melaksanakan ‘grand design’ sehingga PKR berpecah, kelompok Azmin Ali meninggalkan perjuangan politik yang dilaksanakan untuk ‘menuntut keadilan untuk Anwar’ sejak dipenjarakan pada tahun 1998.

Ramai rakyat Malaysia tahu, Azmin merupakan bekas pegawai khas Anwar. Azmin cukup setia dengan Anwar, tetapi disebabkan Anwar ingin mengawal PKR untuk dikuasai oleh ahli keluarganya, perseteruan antara keduanya mula tercetus. Ia bertambah parah apabila Anwar terkilan apabila isterinya Wan Azizah gagal dilantik sebagai Menteri Besar Selangor, dan seterusnya,  Azmin bukan senarai pilihan PKR untuk dilantik menduduki barisan kabinet PH. Namun, Dr Mahathir membawa masuk Azmin, kemudiannya, Azmin dilihat sebagai tokoh yang perlu dididik dan dilatih sebagai pemimpin pelapis.

Melihat kepada gerakan tersebut, kelompok Anwar mula cemburu. Akhirnya, mereka memberikan tekanan kepada Dr Mahathir  mempercepatkan proses peralihan kuasa. Tekanan itu telah membunuh PH, di mana kelompok Azmin sangat tidak bersetuju. Akhirnya, Azmin mencari peluang baharu, memulakan kerjasama di luar PH. Beliau merintis kerajsama dengan UMNO dan PAS atas doktrin ‘Ketuanan Politik Melayu-Islam’ yang turut dipersetujui oleh Muhyiddin dan wakil rakyat UMNO yang melompat ke PPBM. Itulah yang menyebabkan PH terpaksa menelan pahit, yang hingga kini masih belum mampu membuah ‘perdah’ yang tersangkut di kerongkong.

Oh! Sempena Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-64, marilah kita bersama memberikan sokongan agar kabinet Keluarga Malaysia boleh menghapuskan ‘kabut politik’ dan membebaskan ‘politik toksid’ bukan hanya bertempik ‘jalan lurus’ sedangkan jalan sendiri ‘berbengkang-bengkok’ seumpama tayar depan kereta rosak ‘chamber’. Biarpun kereta dipasang ‘tayar celup’, kalau chambernya baik, alignment dan balancingnya cukup, tidak perlu khuatir dengan istilah ‘kabinet recycled’.

MONOSIN SOBRI

Translate »