Drama politik Malaysia belum menutup episod terakhir walaupun dua siri yang mengambil tempoh tayangan selama 39 puluh sembilan bulan telah bertukar tiga aktor utamanya sebelum sampai ke tarikh muktamad PRU ke-15, yang masih berbaki kurang lebih 20 bulan lagi.

Siri pertama cukup blockbuster kerana mampu bertahan selama 22 bulan dengan karakter tokoh utamanya terpaksa ‘terjun dari bangunan tinggi’ tanpa membuat perhitungan yang wajar dengan rakan-rakan yang memberikannya kepercayaan sebagai peneraju. Tokoh utama kecewa dengan apa yang berlaku; sekaligus gagal membendung konflik dan perpecahan.

Kata orang, merry tetap go around, maka itulah hasil akhir yang cukup mengelirukan rakan-rakan dan sahabat, tetapi kemujuran bagi yang tahu ambil kesempatan. Sebab roda itu bulat, dan sebelum boleh berpusing-pusing ia dibantu oleh pelbagai komponen bagi menggerakkan roda secara harmoni atau cascading, maka bila beberapa bilah lidi basikal mula ‘patah’, gerakan berpusing-pusingnya roda akan tergendala. Kendala itulah yang menyebabkan tokoh kita yang cukup berpengalaman ‘kecewa’ dan kepeningan sehingga tidak mampu lagi kembali ke ruang pemesyuaratan.

Walaupun dicuba beberapa kali, ia tetap gagal. Kali terakhir – mesyuarat terakhir- cukup tegang, tiada keputusan boleh dibuat. Akhirnya, sebahagian yang merasakan ada sesuatu yang tidak kena membuat pertaruhan baharu, mereka bergerak ke arah penjajaran semula dalam episode konflik Langkah Sheraton.

Selepas itu, bergantilah siri lain tetapi sebahagian watak-watak pembantu dalam episod  awal dikekalkan untuk melakarkan drama sangat bagi tujuan mengejar rating. Sayangnya, bukan rating yang tokoh kedua dapat. Biarpun tokoh kedua tidak menunjukkan sikap berlawanan secara terbuka, ajudan-ajudannya cukup kuat mengumpul langkah: mana yang boleh ‘ditelan’, akan ditelannya; yang tidak dapat ditelan, dibiarkan bermutasi dengan harapan rumah itu terbelah dua atau tiga. Rumah yang terbelah itu ada bahagian yang cenderung condong dan tentu juga ada yang tegak berdiri. Namun, bahagian yang cenderung condong membuat sanggahan balik sehingga harapan antagonis terhumban kecewa.

Selepas 17 bulan bercengkerama, asmaradana dan tumbuk menumbuk, siri itu berakhir dengan tokoh kedua meletakkan jawatan, maka tokoh ketiga muncul untuk menerajui episod terbaharu yang bakal ditayangkan di slot “Lestary” yang berslogankan “Drama Sangat” mulai Isnin ini (30 Ogos 2021). Promonya sudah dipromosikan sejak hari peletakkan ‘batu asas’ dimasyhurkan.

Namun, sebaik sahaja promo itu tersiar, watak-watak yang akan menjayakan episod baharu adalah pelakon-pelakon lama, ada pelbagai risiko yang terpaksa dihadapi. Tidak salah bila ramai yang berspekulasi, pelakon-pelakon lama sama ada kekal dengan posisi, berubah dan dibawa masuk kembali selepas tiada dalam episode 22 bulan dan 17 bulan, bakal mengulangi tabiat lama. Jika tabiat atau perilaku lama itu baik, hebat dan cukup berwibawa, ia adalah sesuatu yang sangat terpuji. Yang dibimbangkan ialah mengulangi kesilapan, kedunguan dan pendirian poyo kerana episod drama kali ini penonton sangat mengharapkan kekesanan wataknya, bukan sahaja dilihat baik tetapi juga bersikap dan bertingkahlaku baik.

Baik dalam erti kata tidak ‘menghina’, memperlekeh, mempersenda dan bergurau senda melampaui kedungunan Rowan Sebastian Atkinson dalam lakonannya di siri Mr Beans, Mr Beans Holiday, Johny English, Johnny English Reborn atau  Johnny English Strikes Again. Penonton ingin melihat drama musim ketiga kali adalah pelakon-pelakonnya cukup serius melakarkan kehidupan penuh harapan, bukan harapan penuh kehancingan.

Namun, gambaran imej atas pemenuhan sebahagian besar watak itu adalah ‘kitar semula’, dan ‘kitar semula’ sangat identik dengan manusia buang atau menjadi sisa, maka sisa-sisa itu perlu dipergunakan untuk menghasilkan perkara yang cukup positif. Dalam dunia kerjaya, kita pernah mendengar cerita seorang pengutip sampah akhirnya menjadi jutawan.

Promo buku Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan (terbitan Maleq Rezki Enterprise 2020), cukup memberansangkan. Biarpun melalui kehidupan yang susah, Mohamad Azlan al-Amin cukup bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana melimpahkan kasih sayang-Nya sehingga mampu bergelar jutawan dalam usia 24 tahun bila ditunjukkan jalan menjadi seorang pemaju hartanah. Cukup menyeronokkan, dan motivasi itu boleh memberikan inspirasi kepada sesiapa sahaja yang sanggup berusaha, bekerja keras dan tidak melupakan Allah SWT, kerana Dia-lah yang menentukan segala-galanya, manusia hanya merancang dan menterjemahkan aspirasinya sebagai tindakan. Manusia wajib percaya kepada rezeki, Dialah yang telah menyediakannya, tetapi, manusia perlu berusaha untuk meraih, bukan berpeluh tubuh menanti rezeki datang bergolek.

Begitu juga apabila ada yang menamakan barisan kabinet “Keluarga Malaysia” yang baharu dibentuk Jumaat lalu (27 Ogos 2021) selepas Ismail Sabri Yaakub mengangkat sumpah sebagai PM ke-9 (20 Ogos 2021) sebagai “Lori Sampah” hanya kerana ramainya tokoh lama yang dikitar semula. Episod ini mungkin akan kekal dilihat sebagai drama “Lori Sampah” manakala pemandunya, yakni Ismail Sabri Yaakub adalah “Pemandu Lori Sampah”. Saya tidak terkejut dengan panggilan sedemikian, kerana mereka yang memvisualkan itu terikut-ikut dengan pengetahuan sebelumnya, pengetahuan yang menjadi kerangka rujukan sehingga merumuskan pelabelan sedemikian. Tetapi, yang pastinya, orang yang memvisualkannya sudah disaluti dengan nilai-nilai sepunya dengan mereka yang kecundang, atau dengan kata mudah, cenderung provokatif dan sangat prejudis.

Seperti kita ketahui, dalam politik cukup sinonim dengan kaedah ‘tiada kawan dan lawan yang kekal (abadi), yang kekal (abadi) ialah kuasa’. Sebab itulah politik sangat erat dengan kuasa: dari memperoleh kuasa, melaksanakan kuasa hinggalah mengekalkan kuasa. Tidak ada hal yang lebih besar daripada apa puan, kecuali kuasa, kuasa, kuasa, kuasa dan kuasa. Tetapi, kadangkala seseorang itu lupa, bila ‘sangat berkuasa’, ia boleh menyebabkan malapetaka dan cenderung salah guna kuasa.

Kita mungkin ingat kepada kata-kata seorang sejarawan dan negarawan Inggeris (beragama Katholik) Lord John Emmerich Edwar Dalberg-Acton (1834-1902): Antaranya, (1) Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely: (2) Liberty is not the power of doing what we like, but the right to do what we ought: (3) History is not a burden on the memory but an illumination of the soul; dan, (4) Opinions alter, manners change, creeds rise and fall, but the moral laws are written on the table of eternity.

Saya tidak perlu menghuraikan lebih dalam kata-kata Lord Acton tersebut. Sebaliknya, adalah lebih baik untuk saya memberikan tafsiran terhadap konsep sampah, lori sampah dan pemandu lori sampah. Dalam bahasa mudah, sampah bermakna sesuatu yang sudah menjadi sisa. Sifat sisa ialah sesuatu yang tidak ada lagi faedahnya. Sifat sisa adalah sesuatu yang memburukkan keadaan dan juga menyesakkan pandangan mata, menyucuk bau dan boleh menyebabkan persekitaran menjadi tidak selesa. Kerana adanya sisa-sisa itu, kita perlukan memusnahkannya, sama ada secara lumrah dengan mencampakkan ke tempat longgokan sampah (midden), atau diproses secara moden (insinerator) dan dikitar semula menjadi bahan yang boleh digunakan untuk tujuan-tujuan selainnya. Seperti memproses semula sampah menjadi bahan yang boleh menghasilkan tenaga ataupun diproses menjadi bahan binaan yang boleh menggantikan penggunaan jongkong batu.

Sampah juga boleh menghasilkan baja kompos yang cukup subur untuk kegunaan pertanian. Misalnya, dengan mengumpul minyak masak yang sudah digunakan, ia boleh diproses semula menjadi biodiesel. Kisah Mohamad Asyraf Mahamod cukup memberikan kita pengetahuan, dengan usaha dan kegigihannya, setiap bulan boleh memperoleh keuntungan antara RM 7,000 hingga RM 10,000, di mana dapat mengumpul sejumlah 15,000 kilogram. Minyak masak itu kemudiannya dijual kepada pengeksport untuk diproses sebagai biodiesel. (Harian Metro, 5 Mei 2021).

Lori Sampah, sangat mengingatkan kita kepada Alam Flora Sdn Bhd, sebuah syarikat yang mendapat kontrak mengutip dan melupuskan sampah yang ditubuhkan pada tahun 1995 Malakof Corporation Berhad sebagai subsidiari Independent Power Producer (IPP) yang sangat berkait rapat dengan era PM ke-4 dan juga 1MDB di zaman PM ke-6. Setiap tahun Alam Flora mengendali dan menguruskan sisa buangan sejumlah 1.01 juta tan. Rekod yang dikeluarkan, rakyat Malaysia menghasilkan 37,890 tan sampah sehari atau purat setiap orang menghasilkan 1.17 kg sampah sehari. Kos pengurusan sampah di bawah kelolaan SWCorp di tujuh buah negeri (WP Putrajaya dan Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, dan Perlis) mencecah RM 2 bilion setahun. (Berita Harian, 16 Jun 2019).

Jika dilihat daripada perspektif perniagaan, sampah bukanlah sesuatu yang jijik, mual dan tidak menguntungkan. Ia mungkin menjadi sesuatu yang busuk, mual dan jijik hanya bagi sesetengah individu yang perspektif pemikirannya cukup prejudis. Mereka inilah yang sedang kita saksikan dalam drama politik Malaysia, bukan sahaja penyumbang kepada longgokan sampah, bahkan ada ketikanya suka mencampakkan sampah di merata-merata walaupun tahun, tindakan begitu menyalahi undang-undang, peraturan moral dan agama. Sekurang-kurang dari perspektif agama ialah memperlekehkan ‘tokoh yang dikitar semula’ dalam kabinet “Keluarga Malaysia”.

Mungkin sengaja menutup ingatan kerana ada kepintaran politik kebencian setelah kumpulan yang disokongnya kecundang sebaik sahaja episod  kedua drama politik berakhir dengan pengumuman peletakan jawatan PM ke-8. Oleh kerana kekalahan disebabkan pilihan wakil rakyat tidak menyebelahi kelompok mereka, maka keluarlah pelbagai label untuk memperlekehkan pilihan PM ke-9 sehingga dirujukkan kisah pemandu yang akan memandu lori sampah.

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya kembali merujuk kepada etika yang sangat dituntut oleh Islam, yakni tidak memperolok-olokkan orang lain. Dalam al-Qur’an, Allah SWT memberikan peringatan dalam surah al-Hujurat ayat ke- 11 dan 12 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum (atau kelompok) memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olok) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olok), dan jangan pula wanita-wanita (memperolok-olok) wanita-wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita yang diperolok-olok lebih baik dari wanita yang memperolok-olok dan janganlah kamu mencela diri (saudara) kalian sendiri dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) panggilan yang buruk sesudah iman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

“Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Lalu janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian daripada kamu menggosip-gosipkan (memperburuk-burukkan) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertkwalah kepada Allah sesungguhnya Allah maha menerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Apatah lagi bila yang menghina dan dihina itu adalah sebangsa dan seagama. Secara langsungnya memperlihatkan orang sebangsa dan seagama sanggup menghina saudaranya sendiri walaupun secara lahiriahnya dilahirkan dalam keluarga yang berlain, atau tidak saling mengenali sebelumnya. Setiap mereka yang seagama adalah saudara, kerana Islam itu adalah agama persaudaraan. Jika seseorang itu ada kelemahan, kekurangan dan perilaku yang kurang baik, berikanlah nasihat secara berhemah dan berhemat, bukannya mencaci, melabelkan seumpama lori sampah dan pemandu lori sampah.

Dalam hal itu berikanlah mereka peluang untuk membuktikan, bahawa sampah yang mereka warisi itu akan bertukar menjadi permata yang berharga. Berikanlah mereka sokongan moral untuk mengutip sampah-sampah yang sudah lama bertimbun, mereka belum lagi menyinsing lengan untuk memungutnya. Isnin (30 Ogos 2021), mereka secara rasmi akan melaksanakan tanggungjawabnya, dan sebagai pemandu lori sampah, Ismail Sabri Yaakob sudah bertekad, dalam tempoh 100 hari pertama mereka akan berusaha sebaik mungkin. Doakanlah buat mereka agar dapat menjadikan aspirasi itu sebagai satu kenyataan, dan bukan menyergah seumpama ‘singa lapar’ dan menyalak seperti ‘serigala gagal mengawan di musim mengawan’.

Sepatutnya sebagai orang Melayu-Islam, setiap daripada membina kekuatan kerana masyarakat Islam sebenarnya sudah lama dikepong oleh pelbagai kekuatan luaran. Bahkan, kalau menelusuri sejarah peradaban Islam, sebab utama kehancuran adalah akibat perbalahan sesama sendiri, hanya kerana prasangka yang keterlaluan. Dalam zaman keemasan Islam, misalnya Empayar Abasiyah, al-Ghazali melihat taksub kepada sesuatu pendirian telah menyebabkan timbulnya kerajaan-kerajaan kecil yang saling berkonflik. Dari dalam umat Islam berpecah kepada persoalan fiqh, kerana mempertahankan sesuatu pendapat yang bersifat furu’, menjadikan kekuatan umat Islam semakin lemah.

Hanya kerana Ali bin Abi Talib tidak dilantik sebagai khalifah selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW, menyebabkan kelompok itu (Khawarij) kemudiannya membentuk pula sebuah mazhab yang cukup kuat mencatur politik dan pemerintahan Islam. Kelompok yang berkembang itu (Syi’ah) mengambil keputusan menolak kesemua khalifah, kecuali Ali bin Abi Talib. Namun, semasa pemerintahan Ali bin Abil Talib, mereka tidak juga menunjukkan wala’ yang diperlukan, mencari helah untuk mengelak dan berkonflik dengan khalifah keempat itu.

Mereka menguasai pemikiran para penguasa selepasnya di zaman Bani Umayyah. Akhirnya, empayar Umayyah hancur dan setiap pemimpin atau pendokongnya dibunuh oleh Abbasiyah, kecuali Abdul Rahman ad-Dakil yang sempat lari ke Afrika dan seterusnya mengasaskan Empayar Umayyah di Sepanyol (Andalusia). Abbasiyah yang dipimpin oleh kelompok sunni tidak juga menjadi lebih aman, bahkan kelompok Syiah terus mengenakan jarum politiknya untuk membunuh para pemimpin Islam yang beruihsaha memagari umat Islam dengan syariat yang berteraskan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ramai pemimpin sunni dibunuh oleh kelompok syi’ah termasuk khalifah, dan juga wazir-wazir yang menguasai wilayah-wilayah.

Situasi politik sedemikian menyebabkan al-Ghazali cukup merasakan kesan psikologi, yang kemudiannya mempengaruhi krisis pemikirannya. Dengan petunjuk Allah SWT, al-Ghazali berusaha melakukan petualangan rohaninya, dan akhirnya beliau berjaya merangka semula asas-asas pembentukan akhlak umat Islam selaras dengan syari’ah yang terdapat dalam al-Qur’an, sunnah, ijmai’ dan melakukan ijtihad. Kaedah penyelesaian kemelut umat dibentuk menerusi pemurnian semula nilai-nilai agama, dan prinsip terbesarnya ialah memahami asas ilmu sebagaimana dikehendaki oleh agama.

Ilmu bukan hanya sekadar ilmu. Ilmu menjadi bingkai kehidupan yang sesungguhnya menerusi amal. Amalan yang dimaksudkan ialah mendekatkan diri dengan Allah SWT, dan untuk mencapai tujuan tersebut, lupakan pesona kehidupan kebendaan atau pesona dunia, kerana pesona itulah yang menjadi punca terbesar ketidakharmonian masyarakat. Dalam hal itu, al-Ghazali turut mencela para ulama dan penguasa yang cenderung mencari kesenangan hidup (materialisme), yang mengakibatkan kehidupan rakyat terabai, kesempurnaan pemerintahan dan keadilan dalam membuat keputusan tercabut, sikap sombong, riya dan bangga diri berluasa.

Bagi sesetengah orang, kisah yang terpapar dalam peradaban Islam bukanlah sesuatu yang cukup menarik untuk dijadikan ikhtibar kerana ia adalah suatu sejarah yang patut dilupakan. Sejarah yang terukir itu tidak ada apa-apa lagi sumbangan untuk kehidupan masa depan, tetapi, ia perlu dikecam kerana ia juga adalah suatu kegagalan. Golongan inilah sebenarnya kumpulan yang lupa diri dan hilang jati diri, kerana sejarah itulah telah membentuk bagaimana kita memandang dan berusaha memilih, berkelakuan dan menetapkan sempadan moral.

Kita mungkin pernah mendengar ucapan seorang sejarawan Amerika Syarikat yang cukup terkenal, Goerge Santayana (1863-1952): (1) Those who do not remember the past are condemned to repeat it; dan (2) History is a pack of lies about events that never happened told by people who weren’t there. Mereka yang tidak menjadikan sejarah sebagai ikhtibar atau pengajaran, akan mengulangi kesilapan yang sama untuk kali kedua atau seterusnya. Ini kerana, sejarah itu bukan sekadar peristiwa, ia juga mengandungi tafsiran-tafsiran yang menawarkan kepentingan-kepentingan tertentu, kerana kebohongan sudah menjadi sebagai sesuatu yang perlukan untuk survival dalam sistem politik moden yang cenderung berslogankan demokrasi.

Demokrasi bukan berkembang semakin murni. Demokrasi semakin berkembang dibalut ilusi, dongeng dan naratif eksploitasi. Kita mungkin mengingati bagaimana eksploitasi telah menyebabkan sesebuah pemerintahan jatuh secara tidak sepatutnya. Kita mungkin memahami bahawa terbunuhnya Khalifah Uthman bin Affan kerana tersebarnya fitnah. Terbunuhnya Saidina Ali bin Abi Talib kerana prasangka keterlaluan. Seharunya, kita boleh belajar bagaimana cekapnya Ibnu Yassin (Abdullah bin Yassin bin Makuk bin Sair bin Ali al-Jazuli) membina asas pembentukan Daulah Murabittun (448-541H/1056-1147M) di Afrika Utara dan pewarisnya (Yusuf bin Ibnu Tasyfin, 480-500H/1078-1106M) membantu menyelamatkan Andalusia daripada dikuasai oleh Tentera Salib yang dipimpin oleh Alfonso VI (Kerajaan Kristien Leon-Castille). Yusuf Tasyfin merupakan penguasa Daulah Murabithun di Maghribi manakala Andalusia yang diasaskan oleh Abdul Rahman ad-Dakhil semakin berpecah-pecah sehingga membentuk hampir 30 kerajaan-kerajaan kecil (Muluk at-Tawa’if)  yang saling berperang sesama sendiri. Akibat perpecahan itu, satu-satu kerajaan Islam di Andalusia berjaya ditakluki oleh kerajaan Kristian Leon-Castille.

Sekitar tahun 1080, kerajaan-kerajaan kecil di Andalusia berhadapan dengan kemaraan tentera Alfonso VI, menyebabkan mereka memohon bantuan daripada Daulah Murabithun yang dipimpin oleh Yusuf Tasyfin. Dalam surat yang diutuskan, al-Mu’tamid memohon atas semangat jihad bagi mempertahankan Islam kepada kerajaan Murabithun bahkan bersedia menjadi pengambala unta di Afrika daripada menjadi penternak babi di Castille. Ini kerana pada peringkat muncul beberapa pandangan Muluk at-Tawa’if, sekiranya memohon bantuan daripada Murabithun bermakna sanggup berada di bawah kerajaan yang membantu. Namun, atas jihad untuk mempertahankan Islam, al-Mu’tamid berpendirian adalah lebih baik menjadi hamba kepada penguasa Islam daripada menjadi hamba pemerintahan kafir. Ia kemudiannya menarik perhatian Yusuf, bukan atas keinginan untuk menguasai Andalusia, tetapi demi mempertahankan kerajaan-kerajaan Islam, jihad agama.

Balas Yusuf: Wahai kaumku, aku sendiri saat ini dihadapkan dua hal: antara yakin dan bimbang.Tetapi aku harus memilih salah satu dari keduanya. Terkait bimbangku, jika aku  bertopang pada Ibnu Tasyfin atau Alfonso, maka kemungkinan dia menepati janjinya dan membiarkanku hidup dan boleh jadi hal itu bakal dilakukannya. Namun aku meragukan kemungkinan ini. Adapun tentang yakinku, jika aku bertopang pada Ibnu Tasyfin, bererti aku membuat redha dan jika aku bertopang pada Alfonso, ertinya aku membuat Allah murka. Jika keraguan ini memungkinkan untuk terjadi, maka dengan dasar alasan apa aku tidak melakukan hal yang boleh membuat Allah redha dan justeru melakukan sesuatu yang boleh dimukai-Nya. Pada saat itu juga, mereka berhenti mencela dirinya.” (Prof Dr Ali Muhammad Ash-Shallabi, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Murabithun (448-541H/1056-1147H), 2021. hal. 147-148).

Itulah hakikat sejarah, ikhtibar yang cukup memberikan kita makna tentang kehidupan. Biarpun ada kata-kata sinis sebagai ‘kitar semula’, dalam dunia yang semakin kompleks proses kitar semula dapat membantu bumi daripada timbunan sampah yang tidak berpenghujung. Bahkan, jika kita membaca laporan, temasya Olimpik Tokyo 2020 juga menggunakan bahan yang dikitar semula membuat pingat emas. Jepun berjaya menyelamatkan bahan berharga itu daripada timbunan sampah dan dibiarkan untuk lupus secara alami yang memakan masa beratus tahun. Daripada komponen komputer dan gajet yang rosak, dibuang sebagai sisa-sisa manusia, ia menjadi rebutan para atlet, kerana pingat emas itu menentukan statusnya akan berubah.

Kalau sejarah olimpik kuno, mereka yang menang dalam temasya tersebut bakal mendapat kuasa memerintah, maka dalam olimpik moden mereka yang memperolehi pingat emas boleh menukarkan status kehidupannya, dari seorang yang miskin kepada manusia yang dapat hidup sederhana. Ada pihak yang menawarkan hadiah cukup besar, termasuk tiket kapal terbang seumur hidup. Di situlah sebabnya, ada yang sanggup menjadikan sampah sebagai aset yang berharga, tetapi jangan pula kita hidup dalam rukun sampah yang loya dan memualkan. Bermakna walaupun dianggap sampah yang dikitar semula, pemandu lori sampah atau apa pun, hakikatnya peluang sedang terbuka untuk dibuktikan sampah bertukar menjadi ‘telur angsa emas’. Atau sekurang-kurangnya, sampah yang dikitar semula yang berjaya menyelamatkan bumi Malaysia daripada bersarangnya bakteria dan suburnya mikrob perosak alam sekitar.

Sampah yang dikitar semula lebih bernilai daripada sampah-sampah yang semakin berleluasa menyampah dan menyampahkan; bukan sahaja memburukkan persekitaran bahkan menyebabkan sesak bernafas dalam politik kebencian yang sedang didramatarikan oleh sekelompok manusia kecewa, rakus dan mencabar etika sahsiah yang pernah dilakukan sebelum kuasa dan kepintarannya menjadi tumpul, dan terkedu oleh sikapnya yang janggal atau songsang.

Selamat ‘mengutip sampah-sampah’ yang disampahkan oleh penyampah. Hakikatnya mereka yang sanggup ‘mengutip, menukarkan sampah adalah lebih mulia daripada mereka yang membuang sampah. Pedulikan mereka, kerana mereka adalah manusia-manusia yang cukup ujub dan tidak boleh menerima hakikat, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya, setiap kejayaan ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Laksanakanlah tanggungjawab itu dengan semangat dan keringat: berdoalah agar Allah SWT merahmati setiap apa yang sedang dan akan dilakukan sebagai ibadah, bukan mendabik dada: ‘Akulah Yang Menentukannya’ dan ingatlah Tuhan ada di mana-mana, tangan-Nya sentiasa menyinarkan Rahmat yang manusia tidak dapat ketahuan bagaimana ia hadir, sampai dan tentukan.

 

MONOSIN SOBRI

Translate »