Barisan Kabinet yang diharapkan bertompok ‘Keluarga Malaysia’ tidak menjadi kenyataan setelah diumumkan oleh PM ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dua jam setengah sebelum waktu sembahyang Jumaat tiba (11.00 pagi, 27 Ogos 2021).  Akibat tidak bersifat ‘Keluarga Malaysia’ muncullah pelbagai komen, termasuk juga kecaman setelah didedahkan kabinet baharu itu masih mengekalkan format yang pernah dibuat oleh bekas PM ke-8 semasa membariskan mereka yang akan ‘berperang dan menguruskan’ masalah rakyat kira-kira 17 bulan yang lalu (9 Mac 2020), yakni lebih semingga selepas mengangkat sumpah (1 Mac 2020).

Era pentadbiran Muhyiddin Yassin secara langsung sudah berlalu dengan pelbagai kepayahan dan dakwaan ‘kelemahan yang ketara’ walaupun beliau hanya sekadar menerima kecaman sinis : Saya sedar kerajaan saya ‘kurang sempurna’ dan ‘bukan pilihan rakyat’; dan, Saya terima, saya adalah “PM bodoh’. Muhyiddin sebenarnya telah cuba ‘melakukan yang terbaik dan termampu’ untuk ‘memutuskan rantaian COVID-19’, tetapi apakan daya ‘nasib tidak menyebelahinya’ sehingga ditunjuk ‘jalan keluar’ dengan lantang sebaik sahaja mengumumkan ‘exit policy’ yang dikenali sebagai Pelan Pemulihan Negara (PPN) pertengahan Jun lalu dengan menggunakan ‘garis masa empat fasa’, yang mana peralihan Fasa 1 ke Fasa II akan berlaku sekiranya jumlah kes jangkitan baru harian kurang 4000, penggunaan katil di wad ICU berada di paras sederhana dan sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal.

Secara spekulatifnya perubahan ke Fasa IV dijangka berlaku pada atau sebelum akhir tahun (Oktober atau November) di mana semua sektor akan dibuka sepenuhnya. Namun realitinya, langkah yang diatur oleh Muhyiddin –Proklamasi Darurat (12 Februari hingga I Ogos 2021), PKP 3.0 sejak 1 Jun 2021, melipatgandakan pemberian vaksinisasi, perketatkan SOP (sekatan jalan raya, larangan merentas daerah dan negeri), dan sebagainya – tidak menunjukkan kejayaan yang diharapkan sehingga rakyat menjadi semakin gelisah dan sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Kes-kes yang berkaitan dengan kesan ‘emosi terperuk’ meningkat tinggi. Bilangan mereka yang hilang pekerjaan bertambah. Jumlah keluarga miskin semakin meningkat. Bilangan penganggur dalam kalangan siswazah bertambah besar. Kes-kes keganasan rumah tangga akibat ‘tekanan psikologi’ mengakibatkan pelbagai situasi negatif cukup meresahkan. Ia bertambah merisaukan apabila laporan kes cuba bunuh diri dan bunuh diri bertambah. Beberapa insiden cuba bunuh diri, mati tergantung, sekeluarga menamatkan kehidupan mereka dengan meminum racun, terjun dari bangunan tinggi dan sebagainya menambahkan ‘beban sejarah kegagalan’ semua pihak, tetapi yang sangat dipersalahkan ialah kerajaan Perikatan Nasional.

Kerajaan dipersalahkan secara langsungnya terpercik dalam sandiwara politik yang tidak berpenghujung sejak COVID-19 diisytiharkan sebagai pandemik dan Muhyiddin mengambil langkah kawalan dengan memperkenalkan PKP 1.0, dipersepsikan seolah-olah ‘lockdown’ dengan tafsiran ada kereta kebal mengawal pergerakan orang ramai, rondaan pihak berkuasa sehingga kelompok yang bersembang di pintu pagar rumah pun disaman. Banyak cerita, anekdot yang dipaparkan sehingga media sosial menjadi ‘lebuhraya maklumat tersesak’ dalam peradaban manusia, kerana seorang orang berusaha menjadikan dirinya ‘wartawan lokasi’ dan ‘penyebar maklumat’. Lebih menyedihkan, ‘penyebar maklumat’ yang tidak sahih meningkat, dan ada cerita fitnah, palsu, hoax dan pembohongan berkembang seumpama cerita Mak Teh berkenaan ‘kematian jururawat selepas disuntik vaksin’.

Gambaran cerita bohong, fitnah dan spekulasi politik cukup menjadi senjata tajam yang berjaya ‘menikam Muhyiddin’ tetapi pada peringkat itu beliau masih belum meletakkan jawatan sehinggalah berlaku ‘pembelotan tajam’ sekelompok 15 orang pemimpin UMNO. Mereka menggerutu dengan ratib ‘menarik sokongan kepada Muhyiddin’ yang secara zahirnya cukup memaksa keputusan meletakkan jawatan dan ia benar-benar berlaku apabila tertularnya visual mesyuarat Jemaah Menteri terakhir pada 15 Ogos 2021 dan seterusnya pengumuman Muhyiddin sendiri pada 16 Ogos 2021. Bagaimanapun, Muhyiddin terus diberikan kepercayaan sebagai PM sementara sehingga PM ke-9 berjaya dilantik.

Ismail Sabri dilihat ‘cukup bertuah’, dalam kemelut yang melanda UMNO oleh dua kelompok –Kelompok Zahid Hamidi dan Kelompok Pro Perikatan Nasional– telah dipilih sebagai PM ke-9 selepas kelompok yang tidak menolak Muhyiddin akhirnya membuat keputusan seumpama ‘gencatan senjata’. Ismail yang dijolokkan sebagai Abang Long akhirnya diisytiharkan sebagai calon tunggal UMNO/BN untuk disampaikan kepada YDPA, yang kemudiannya berjaya menarik sokongan 114 wakil rakyat, kurang daripada 115 yang dijangka (Tengku Razaleigh menjadi calon berkecuali) dan dengan itu, barisan yang menjadi pencabarnya terpaksa akur dengan hanya 105 sokongan.

Setelah Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai ‘strategi terakhir Muhyiddin’ untuk memujuk kelompok penentangnya daripada UMNO pada 7 Julai 2021 menjadi fokus calon yang mungkin akan dipilih sekiranya tidak berlaku konsep ‘PM Interim’. Kisah PM interim mula kedengaran ketika Dr Mahathir diberikan tanggungjawab sementara PM baru dilantik ekoran perletakan jawatannya. Konsep PM interim kemudian muncul sekali lagi apabila YDPA berkenan menerima pemimpin parti pembangkang menyatakan pendapat mereka sebelum akhir tahun lalu, dan perjumpaan dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pertemuan itu ada kaitan dengan dakwaan Anwar Ibrahim terhadap kerajaan Muhyiddin yang dianggap ‘telah tumbang’ kerana dirinya sudah ‘cukup nombor’. Juga yang menyebabkan Muhyiddin terpaksa ‘memintas’ dengan percubaan memohon pengisytiharan darurat kali pertama (Oktober 2020). Percubaan itu tidak mendapat perkenan, bahkan YDPA berpendirian, tiada keperluan dan yakin kerajaan mampu melakukannya dengan mengharapkan kerjasama semua pihak dengan mengetepikan ‘ideologi politik’.

Percubaan kedua pada awal 2021 mendapat perkenaan YDPA. Namun, sebagaimana sifat dan tabie pembangkang, apa sahaja akan dibangkang maka Proklamasi Darurat dilihat sebagai langkah Muhyiddin ‘untuk memanjangkan hayat berkuasa’. Lebih teruk lagi ialah apabila Muhyiddin didakwa sebagai ‘kerajaan gagal’ disebabkan kes-kes jangkitan baharu COVID-19 semakin meningkat dan kelembaban program vaksinisasi di peringkat awal. Setelah proses vaksinisasi diperhebatkan, Malaysia merupakan antara negara yang paling cepat melakukannya, tetapi ia tidak berjaya menukarkan pendirian parti-parti pembangkang.

Masih banyak isu lain yang dibangkitkan. Ada isu beberapa buah PPV (Pusat Pemberian Vaksin) bakal ditutup akibat kekurangan bekalan. Namun, sebahagian rakyat tidak menjadi tidak rasional dengan dakwaan pembangkang, kerana negeri-negeri yang dikuasai oleh PH menunjukkan jumlah jangkitan meningkat dengan banyaknya, terutama Selangor yang mempunyai kaedahnya sendiri. Kalau KKM memperkenalkan MySejahtera, kerajaan Selangor memperkenalkan SELangkah.

Namun, yang menjadi persoalannya ialah kegagalan Task Force untuk menurunkan jumlah kes, maka Selangor menduduki carta teratas untuk tempoh yang lama (hingga kini). Alasannya, nampak lojik: jumlah penduduk yang ramai, jumlah pekerja dalam sektor perkilangan yang besar, maka jumlah kes tidak mencerminkan reality kerana kadar kebolehjangkitannya adalah lebih rendah daripada beberapa negeri yang angka sebenarnya adalah lebih rendah.  Anekdot terbaik mengenai vaksin COVID-19 ialah kecaman Lim Guan Eng apabila derma dua juta vaksin ‘ditolak’ dan rasa kesal itu dihamburkan sumpahan “kepala otak dia”. Biarpun Ketua Menteri Pulau Pinang memohon maaf kerana kenyataan kasar, Lim Guan Eng tidak bersedia memohon maaf sebaliknya beberapa hari lalu kembali dengan kemungkinan akan berlakunya penutupan beberapa buah PPV di Pulau Pinang akibat kekurangan bekalan vaksin.

Sebagaimana rakyat ketahui, negara bukanlah pengeluar vaksin. Vaksin dikeluarkan oleh tiga negara utama, Eropah, Amerika Syarikat, Rusia dan China. Awalnya, Kesatuan Eropah membolot pembelian vaksin, bahkan ada negara membeli melebihi keperluan. Kesatuan Eropah juga kadangkala mengamalkan pendirian berbeza antara negara, bahkan ada negara-negara bekas komunis di Eropah terpaksa membatalkan pesanan membeli vaksin Pfizer BioNTech akibat ‘kerenah birokrasi’, termasuk perlu mendapat kelulusan pihak mereka. Itulah yang juga pernah disuarakan oleh Khairy Jamaludin, yang kemudiannya dijawab oleh Duta EU di Malaysia. Pandangan itu kemudiannya distatuskan antara ‘durian dan rambutan’; Khairy bercakap mengenai ‘durian’ tetapi duta EU bercakap mengenai ‘rambutan’.

Anekdot dan cerita COVID-19 sepanjang 15 bulan cukup memberikan pengalaman besar kepada Ismail Sabri kerana sejak dilantik sebagai Menteri Penyelaras (Keselamatan) tidak pernah berhenti memberikan pengumuman sehingga ada wakil rakyat pembangkang melihatnya daripada sudut ketertarikannya ‘pakaian batik’ seumpama ‘catwalk’. Namun, yang paling diingati ialah ‘sengketa’ antara ‘tutup pintu depan’ dan ‘buka pintu belakang’ oleh seorang lagi menteri kanan PN yang dikatakan paling kanan sebelum membuka ‘pintu hati Muhyiddin untuk melantik Ismail Sabri sebagai TPM’.

Azmin digambarkan sebagai antagonis dalam PN untuk mengawal COVID-19, yang kemudiannya membawa kepada pengumpulan persetujuan secara dalam talian agar digugur atau meletakkan jawatan. Namun, apa yang terjadi, Azmin terus dikekalkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan sebagai menteri kanan. Ertinya, dalam kabinet baharu ‘Keluarga Malaysia’. Azmin terselamat. Azmin terselamat kerana Ismail perlu berhati-hati, jika langkah awalnya sumbang, bermakna kepimpinannya akan mendapat ‘political bashing’ dari dalam, terutama dalam kelompok ‘katak PKR yang melompat ke Bersatu’. Bersatu menyokong pencalonan Ismail Sabri bersama-sama ‘katak UMNO’.

Pengumuman Ismail turut mengekalkan Dr Radhi Jidin (Menteri Pendidikan), Zuraidah Kamarudin (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi), Rina Harun (dikekalkan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri), Dr Adham Baba (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), Saifudin Abdullah (Menteri Luar Negeri), Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air), Takiyudin Hasan (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Dr Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Khairy Jamaludin (Menteri Kesihatan), Hishamudin Hussin (Menteri Pertahanan), Anuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Reezal Marican Naina Merican (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Hajah Nancy Shukri (Menteri Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan), Alexander Nanta Linggi (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Mustapha Mohamad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri –Menteri Ekonomi), Dr Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan), Dr Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan), M Saravanan (Menteri Sumber Manusia), Dr Maximus Johnnity Ongkili (Menteri di JPM –Hal Ehwal Sarawak dan Sabah), Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (JPM –Hal Ehwal Parlimen dan Undang-undang), Dr Abdul Latif Ahmad (JPM- Tugas-tugas Khas), Halimah Saddique (JPM –Menteri Perpaduan Negara), Fadhilah Yusuf (Menteri Kerjaraya), dan Tengku Mohd Zafrul Tengku Aziz (Menteri Kewangan).

Nama-nama baharu (orang lama) ialah Mahadzir Khalid (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Noh Omar (Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Shahidan Kassim (Menteri Wilayah Persekutuan). Nama yang benar-benar baharu ialah Idris Ahmad, Naib Presiden PAS (Ahli Dewan Negara sejak 16 Jun 2020).

Mereka yang digugurkan ialah Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (Menteri di JPM –Hal Ehwal Agama), Dr Khairudin Aman Razali (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi), Dr Shamsul Anuar Nasrallah (meletak jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dari kem Zahid Hamidi pada 3 Ogos 2021) dan Datuk Redzuan Yusuf (Menteri di JPM yang sinonim dengan Menteri Kereta Terbang dalam kabinet PH). Datuk Abdullah (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan) digantikan dengan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Zawawi Salleh, yang juga merupakan keponakan bekas Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat (1931-2015).

Menariknya, selepas pengumuman dibuat, kelompok pembangkang melahirkan rasa kecewa kerana barisan kabinet Ismail Sabri mengekalkan lebih sepertiga menteri-menteri daripada kerajaan Perikatan Nasional. Pelantikan semula yang dianggap sebagai ‘recycled’ daripada ‘kerajaan gagal’ dikhuatirkan tidak mampu memberikan impak yang besar dalam pemulihan ekonomi dan kesihatan negara. Ini kerana sebahagian besar menteri-menteri ‘recycled’ tersebut tidak menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang sepanjang tempoh 17 bulan dalam PN. Hanya beberapa orang sahaja yang menampakkan kerja keras mereka, Khairy Jamaludin, Hishamudin Hussein, Ismail Sabri Yaakub, Nancy Shukri dan sesekali muncul Hamzah Zainuddin (grand designer PPBM menumbangkan PH di Johor, Perak, Kedah dan paling diingati ialah di Sabah, serta ‘menggoncang UMNO’).

Menteri Hal Ehwal Pengguna dikatakan ‘sangat gagal’ untuk mengawal kenaikan harga barangan semasa pandemik, dari harga ayam hinggalah kepada peningkatan minyak kelapa sawit yang cukup merisaukan rakyat yang semakin ramai terhimpit akibat COVID-19. Bekas Menteri Kesihatan yang terkenal dengan penawar COVID-19 ‘minum air suam’ masih diberikan peranannya dalam kabinet “Keluarga Malaysia” tetapi bertukar selari dengan Khairy Jamaludin. Menariknya, pelantikan Khairy Jamaludin sebagai Menteri Kesihatan mendapat perhatian bekas Menteri Kesihatan era PH, yang cukup sinonim dengan ‘bayangan kepakaran menangani COVID-19 ketika wabak itu dikesan di peringkat awal’ tetapi ketika ia menjadi pandemik dan selepas PRN Sabah, Dr Zulkifly dilihat ‘gagal’ menguruskan ‘task force’ di Selangor, yang kadangkala berseberangan dengan pendekatan KKM.

Komen bekas Menteri Kewangan (Najib memanggilnya Menteri Kewayangan) yang beberapa bulan awal mendakwa ‘tidak dapat tidur malam’ cukup menarik untuk diberikan perhatian sebagai ‘lelucon politik’ yang muncul selepas beliau tidak diberikan peluang kembali ke kabinet ‘Keluarga Malaysia’. Menurut Lim Guan Eng (mungkin silap baca laporan atau keliru antara nokhtah dan koma) meletakkan barisan kabinet “Keluarga Malaysia” sebagai ‘lebih menjuruskan kepada survival politik’ kerana tidak mencerminkan apa yang dipersetujui dengan pemimpin parti pembangkang (PKR, DAP dan PAN) dalam pertemuan dua hari sebelum itu, dan disifatkan sebagai ‘old wine in the new bottle’, oleh Timbalan Presiden PAN sebelumnya, Salehudin Ayub.

Sebenarnya, Lim Guan Eng dan Salehudin Ayub meninggalkan ‘imej buruk’ dalam politik Malaysia setelah diberikan tanggungjawab dalam kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Dua orang pemimpin tersebut bukan sahaja tidak berusaha mengekalkan ‘harapan petani dan nelayan’ agar bantuan dan subsidi ditambah, bahkan dikurang dan ada yang dihapuskan. Kededua mereka juga terpalit dengan ratib ‘sabotaj peniaga’ kerana harga barangan dan perkhidmatan tidak turun. Begitu juga dengan dakwaan politik yang cukup memualkan sekiranya PAS dan UMNO membentuk kerajaan dalam kempen PRK Tanjung Piai.

Imej yang terlekat dalam minda rakyat ialah Salehudin menangis di atas pentas apabila seorang petani membaca warkah ‘pengurangan dan penghapusan subsidi’ manakala Lim Guan Eng akan dibukukan dalam catatan sejarah sebagai ‘rakyat dapat e-wallet RM 30’ dan  ‘kek tahi’ dalam episod  High Chaparal di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor, Pulau Pinang (8 Disember 2011) sempena ulangtahun kelahirannya ke-51.

Dr Mahathir yang tidak pernah menamatkan ‘hasrat untuk kembali berkuasa berselindung di sebalik pelbagai alasan’ turut memperlekehkan barisan kabinet “Keluarga Malaysia’ dengan berkata: Semuanya politik, (isu-isu) berkenaan masalah rakyat yang menderita, yang mati begitu ramai, tak nampak satu pun tindakan diambil atau diberi perhatian oleh mereka” dan kerana itu: “Saya kecewalah dengan kerajaan ini kerana tak ada perubahan selain daripada (seperti) di bawah Muhyiddin dulu.”

Kata-kata itu mengingatkan sebilangan kecil rakyat Malaysia komen Dr Mahathir apabila Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan mengharamkan buku kontroversinya, Malay Dilemma. Buku tersebut ditulis sebagai kritik dan kecaman Dr Mahathir terhadap pentadbiran Tunku Abdul Rahman akibat kekalahannya dalam PRU ke-3 (1969) diharamkan kerana ‘tidak membaca isi kandungannya’. Ini bermakna, Dr Mahathir membuat penilaian berdasarkan persepsinya sendiri, kerana kabinet “Keluarga Malaysia” belum lagi berfungsi. Ianya akan bermula selepas mengangkat sumpah jawatan dan menyimpan rahsia pada 30 Ogos 2021 (sehari sebelum ulangtahun kemerdekaan ke-64).

Dr Mahathir hanya berdasarkan kepada ‘pengetahuan lama’, pengetahuan yang membentuk persepsi ‘bermusuh’nya terhadap UMNO dan mereka yang tidak sehaluan pemikiran politik sejak beliau ‘talak tiga’ serta gagal ‘membunuh UMNO’. Biarpun Dr Mahathir membuat generalisasi UMNO sebagai ‘parti yang rosak’ dan ‘dipimpin oleh kleptokrat’, sebahagian daripada ‘wabak’ itu sebenarnya dicetuskan oleh pendiriannya sendiri untuk mengekalkan survival politik sehingga mampu berkuasa selama 22 tahun (1981-20023). Pada zamannya, terbongkar kisah ‘politik wang’, pemberian kontrak rundingan terus, pencairan aset dan harta milik parti, permulaan rangkaian kroni dan nepotisme (menerusi dasar penswastaan dan persyarikatan Malaysia), bailed-out dan sebagainya.

Sehingga kini, Dr Mahathir masih kekal dan belum terhapus dakwaan daripada pemimpin DAP, sebagai ‘pemimpin korup’ (dan ‘ahli politik murahan’ bila keluar dari UMNO hanya bertujuan ‘mengugut kerajaan [BN]’ (Malaysiakini, 19 Mei 2008). Lim Guan Eng pernah berkempen mengenai perilaku pentadbiran Dr Mahathir dengan mempersoalkan bagaimana anak-anaknya cuku kaya berbanding Tan Sri Vincent Tan, yang juga ada kaitan dalam rangkaian proksi politik era Dr Mahathir. Biarpun Lim Kit Siang pernah menafikan “dia seorang yang korup [Dr Mahathir]…saya kata ada berlaku penyalahgunaan kuasa dan seumpamanya” yang dilihat berlaku sepanjang pentadbiran PM ke-4 (1981-2003).

Jika diperhatikan daripada kenyataan tersebut, kita dapat memahami secara langsung apa yang dimaksudkan ‘ada berlaku penyalahgunaan kuasa dan seumpamnya’ kerana ia merujuk kepada zaman Dr Mahathir sebagai perdana menteri. (Malaysiakini, 14 Julai 2019). Kenapakah penafian itu hanya dilakukan pada tahun 2019, yakni tahun perkongsian kuasa kerajaan Pakatan Harapan? Kenapakah penafian itu tidak dibuat sebelum terbentuknya kerjasama yang membentuk Pakatan Harapan?  Persoalan itu tidak dapat mematikan imej buruk yang dikaitkan dengan pentadbiran Dr Mahathir selama 22 tahun, termasuk ‘pembuktian berani’ oleh seorang wartawan akhbar Asia Wall Street Journal, Barry Wain yang boleh dibaca secara terbuka dalam bukunya, Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times (Pelgrave Macmillan, 2009) dan juga penataran secara kreatif oleh Shahnon Ahmad, ketika krisis pemecatan Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dalam novel Shit. (Pustaka Reka, 1999).

Jika Najib dikaitkan dengan IMDB (dalam proses perbicaraan) yang dijadikan senjata oleh Pakatan Pembangkang untuk menyerang UMNO dengan ‘klepktokrat’, sekarang DAP juga tidak akan bebas daripada masalah integriti apabila Lim Guan Eng didakwa dengan kes Lebuhraya Pesisir Pantai dan Terowong Dasar Laut. Kesemua isu terbabit akan menjadikan politik Malaysia cukup banyak tersalut ‘lumpur’ dan ‘kekotoran’. Ini bermakna, setiap ahli politik hendaklah tidak mencari peluang tertentu dalam ranjau perpolitikannya, kerana sesebuah parti politik itu menjadi rosak disebabkan pemimpinnya.

Jadi bila seseorang yang sudah terjejas imej dan integriti menilai ‘orang lain’ dengan penilaian tertentu, orang yang mendengar dan memahami etika politik akan membalas dengan tanda soal yang cukup besar, termasuk cuba ‘ukur baju yang pernah dipakai’ dan ‘cuba dibuang’ tetapi tetap tersimpan dalam khazanah diri. Itulah yang berlaku sekarang, Dr Mahathir tidak sepatutnya membuat penilaian terlalu awal, berikanlah peluang Ismail Sabri menguruskan kabinet “Keluarga Malaysia” sekurang-kurangnya untuk 100 hari pertama. Rakyat sanggup menunggu 10 Janji 100 Hari pertama PH, walaupun akhirnya PH mengeluarkan kenyataan pedih “Manifesto bukan Kitab Suci ” dan metafora “Malaikat pun buat Silap”, yang kemudiannya ditambah beban daripada kenyataan Khalid Samad, “Nabi pun Berbohong”.

Ertinya, baik Lim Guan Eng, Salehudin Ayub, Dr Mahathir dan Dr Mujahid Yusuf Rawa, mereka masih ada liabiliti imej dalam pemikiran rakyat Malaysia, maka pandangan dan kritikan awal terhadap kabinet “Keluarga Malaysia” hanya berupa ‘kritikan balas dendam akibat hilang kuasa.’ Bagi Anwar Ibrahim, apapun kritikannya terhadap ‘recycled’ yang berlaku dalam kabinet “Keluarga Malaysia” tidak dapat menghapuskan imejnya yang sudah 10 kali gagal dalam perjalanannya melangkah ke Putrajaya dan menukarkan kerajaan. Beliau akan terus dikenang sebagai “PM angkat sumpah di hadapan potret YDPA”, mengelap bingkai potret PM ke-9, turun-naik menggelonsor menemani cucu-cucu dan senandung jiwa kacau dalam mitos ‘cukup nombor’.

Kini, terpulanglah kepada Ismail Sabri untuk membuktikan ‘kecekapan’ dan ‘kecemerlangan’ kabinet “Keluarga Malaysia” untuk mendayung sampan agar tidak terus tenggelam dalam pandemik COVID-19 yang disebut bakal menyaksikan ia juga akan terus hidup sebagai ‘endamik’. Langkah untuk menetapkan KPI (key performance index) tidak seharusnya mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh Najib ketika melaksanakan pelbagai program transformasinya yang cukup indah dan cemerlang dari perspektif pelaporan. Ismail perlu tidak menjarakkan indeks dengan realiti, kerana akibat penjarakan itulah menimbulkan sedikit sebanyak ‘mual’ penjawat awam terhadap pentadbiran BN sehingga berjaya dijatuhkan pada PRU ke-14 lalu.

Tidak mengapa, walaupun dituduh ‘recycled’, kerana sesuatu yang diperbaharui semula itu ada kelebihannya seandainya kabinet “Keluarga Malaysia” sanggup belajar daripada kesilapan sejarah dan tidak mengulanginya secara ‘poyo dan dungu’. Recycled akan tetap menjadi sebahagian daripada ‘budaya hidup’ kerana tidak semuanya yang baharu itu cukup baik dan berkesan walaupun dilihat ‘menarik dan menawan’. Pengalaman dan iltizam ‘memperbaharui’, membaiki kesilapan dan bangkit dengan tindakan yang proaktif sangat diperlukan dalam situasi politik, ekonomi dan sosial yang sangat dipengaruhi oleh pandemik, kerana akibatnya, belum ada mana-mana kerajaan di dunia yang dianggap cukup berjaya dan berjaya menundukkan virus corona, bahkan virus dikatakan semakin mudah bermutasi.

Dari bentuk asalnya (virus Wuhan) sudah bercambah pula Alfa, Beta, Delta, Lambda dan kemungkinan akan hadir pula virus COVID-22 yang lebih bahaya. Kalau setahun lalu, ramai yang berbangga dengan ‘kejayaan Thailand’ mengawal COVID-19, kini Thailand juga diambang krisis politik akibat cepatnya virus varian Delta mengganas. Indonesia juga begitu. Namun, yang lebih penting ialah bagaimana kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ bakal menyusun semula dasar, program dan tindakan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia hilang ‘ketakutan dan kekalutan emosi’ akibat serangan COVID-19 dalam tempoh 100 hari pertama, walaupun pada hari barisan kabinet diumumkan (27 Ogos 2021) turun kepada 22, 070 dengan 335 kematian kemuncak sehari sebelumnya (26 Ogos 2021) dengan 24,599 kes baharu harian dengan 393 kematian.

Angka jangkitan baharu makin membimbangkan, bahkan beberapa buah negeri yang sebelumnya ‘kurang membimbangkan’ telah bertukar cemas akibat peningkatan mendadak. Sehingga semalam (27 Ogos 2021), lapan buah negeri mencatatkan kes baharu melebihi empat angka, biarpun kedudukan di Lembah Klang (Selangor 5,920 kes dan Kuala Lumpur 1,068 kes) ada penurunan kes, di Johor (1,809 kes) Sabah (3,010 kes), Sarawak (2,224 kes), Pulau Pinang (1,829 kes), Kelantan (1,051 kes) dan Kedah (2,072 kes) tidak bermakna negeri-negeri lain tidak ada kembimbangan yang sama.

Sebelum mempertimbangkan pembukaan semua sektor, kebenaran rentas negeri dan daerah, pemberian vaksin perlulah dipastikan menepati sasaran yang ditetapkan manakala mereka yang menolak dan antivaksin wajar diberikan penerangan agar dapat menerimanya dengan baik biarpun dianggap terlewat. Inilah sebenarnya menjadi tanggungjawab besar ahli politik, jika tidak dinilai sebagai pensabotaj ‘Keluarga Malaysia’ kerana pertarungan ini adalah pertarungan antara ‘jihad politik’ yang cukup besar, bukan persoalan kuasa ketika ini. Untuk apa kuasa sekiranya rakyat tidak bermaya dan lemah. Untuk apa menjadi kerajaan Keluarga Malaysia jika hanya setiap hari berusaha merancang ‘grand design’ yang lain pula, kerana rakyat sebenarnya bukan sahaja bosan dengan perilaku politikus, dalam tempoh tiga tahun berlaku tiga pertukaran PM.

Harap-harap tidak berlaku lagi sebelum penentuan sebenar dibuat, yakni PRU ke-15 yang edahnya akan sampai pada bulan Jun 2023, masih tersisa hampir dua tahun lagi. Kabinet ‘Keluarga Malaysia’  mesti bekerja kea rah itu, bukan membina gerombolan seumpama ‘serigala’ dalam peradaban ‘animal politics’.

 

MONOSIN SOBRI

 

 

Translate »