Dalam kajian psikologi (sebahagian daripada falsafah), al-Ghazali sangat prihatin terhadap pembangunan  peribadi dan pembinaan watak dalam  menangani masalah spiritual manusia di mana kaedah yang dilaluinya sendiri dikagumi oleh ramai pakar psikologi dan falsafah barat. Psikologi pada awalnya berkembang dalam tradisi pemikiran falsafah Yunani dan mula lahir sebagai bidang ilmu secara terpisah pada Abad ke-17 apabila Rene Descartes (1596-1650) memperkenalkan ‘teori kesedaran’ berdasarkan pendekatan refleksi.  al-Ghazali,  menerusi autobiografinya, Munqidz wal-Dhalal menggunakan pendekatan skeptisme, dan pendekatan itu dikenali sebagai ‘teori keraguan’, sifat awal dalam kajian psikologi.

Dalam bidang psikologi (spiritual dan intelektual), al-Ghazali diiktiraf sebagai mujtahid (mempunyai kemampuan untuk mengkaji) dan mujaddid (pembaharuan). Seperti dikutip oleh Dr Yusuf Qardhawi, Ibnu Najar menilai bahawa al-Ghazali adalah ‘iman para fuqaha secara mutlak tanpa kecuali. Seorang Rabbani umat ini tanpa perdebatan. Mujtahid masanya…dia bangkit membela Sunnah dan memenang agama Islam.” Syeikh Musthafa al-Maraghi (1881-1945) pula memuji al-Ghazali: “…ketika nama al-Ghazali yang disebut, dalam hati kita bukannya muncul satu tokoh, melainkan banyak tokoh yang masing-masing memiliki keunggulan tersendiri. Dalam fikiran kita akan muncul al-Ghazali ahli ilmu ushul yang cerdas dan mahir, al-Ghazali ahi fiqih yang berfikiran terbuka, al-Ghazali sebagai ahli kalam, al-Ghazali sang filosof, atau pembangkit ilmu filsafat, al-Ghazali sebagai pendidik, atau katakanlah muncul di kepala kita adalah seorang tokoh yang merupakan ensiklopedia zamannya.” (Dr Yusuf Qardhawi, Al-Ghazali Antara Pro dan Kontra, edisi terjemahan, 1997).

Ishaq Musa al-Husaini (1904-1990) menyifatkan al-Ghazali sebagai ‘pencinta ilmu sejati’ dan ‘kebenaran hakiki’ manakala  Prof H N Rafiabaldi memberikan gelaran ‘pembela Islam’ dan ‘penemu hebat yang berani’: Ghazzali has set an example of a unique nature of human experience which open before a man a method and way of discussion, discovery, renunciation and innovation. In this way Ghazzali is not only the proof of Islam (Hujjat al-Islam) but also a proof a greater brave discoverer man.” (HN Rafiabadi, al-Ghazzali and the Western Thought, 2000, hal. 22)

Ramai pengkaji berpendapat, al-Ghazali berjaya mempengaruhi pemikiran ilmuan (ahli falsafah) barat misalnya, Thomas Aquinas (1225-1274), Dante Alighieri (1265-1321), Rene Descartes (1596-1650), Blaise Pascal (1623-1662), David Hume (1711-1776), Emanuel Kant (1724-1804) dan ramai lagi. (Margaret Smith, Pemikiran dan Doktrin Mistis Imam al-Ghazali, edisi terjemahan, 2000; Zainal Abidin Ahmad, Riwayat Hidup Imam al-Ghazali, 1968; Mahbub Djamaludin, Al-Ghazali: Sang Ensiklopedi Zaman, 2015; dan HN Rafiabadi, al-Ghazzali and the Western Thought, 2000).

Orientalis, sejarawan dari Universiti Harvard, Philip K Hitti (1886-1978)  mengakui kehebatan al-Ghazali: al-Ash’ari was followed by al-Ghazzali (Lat al-Gazel) unquestionably the greatest theologian of Islam and one of the noblest and most original thinker. It was al-Ghazzali who fixed the ultimate from the Ash’ariyah and established its dictat as the universal creed of Islam…This father of the church in Islam has since become finally authority for the Sunnite orthodhoxy. Moslems say that if there could have been a prophet after Muhammad, al-Ghazali would have been the man.” (Philip K Hitti, History of the Arabs, 1937, hal.431).

Secara umumnya, psikologi adalah ilmu yang mengkaji perihal apa sahaja perkara yang membentuk pemikiran, jiwa dan unsur yang mempengaruhi emosi manusia. Istilah psikologi dikesan berasal gabungan dua perkataan Yunani, iaitu psike ((ψυχή) atau dalam bahasa Inggeris, psyche  dan logi (λογία). Psike bermaksud ‘jiwa, nafas, semangat’ manakala logi ialah ‘kajian’ atau ‘penyelidikan’. Hasil gabungan tersebut psikologi diertikan sebagai: (1) kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia atau haiwan; (2) pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu; (3) (bahasa percakapan) kebijaksanaan memahami sifat manusia. (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007, hal. 1237).

Menurut AS Hornby, makna psikologi ialah: (1) sains atau kajian minda dan bagaimana caranya berfungsi; psikologi; (2) ciri mental orang atau kumpulan; psikologi;   Sebagai kata sifat, istilah psyochological bermaksud: (1) berkenaan atau mempengaruhi minda; perkembangan psikologi kanak-kanak; (2) berkenaan atau berkaitan psikologi; kaedah, penyelidikan psikologi manakala maksud psychological warfare sebagai (melancarkan peperangan dengan) melemahkan semangat musuh atau dengan mencuba mengubah sikapnya, kepercayaannya, dan sebagainya; perang saraf. (AS Hornby, Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary, 2007, hal. 1170-1171).

Dalam bahasa Latin, istilah  psikologia pertama kali digunakan oleh Marko Marulic (akhir abad ke-15 atau awal abad ke-16) dalam satu tulisannya yang bertajuk Psichiologia de Ratione Animae Humanae dan dalam bahasa Inggeris ditemui tulisan Steven Blankaart (1694),  The Physical Dictionary pada  bab “Anatomi, yang merawat Tubuh, dan Psikologi, yang merawat Jiwa.” (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Psikologi).

Al-Ghazali (1058/1059-1111) menghasilkan beberapa buah buku yang dapat dikaitkan dengan sifat-sifat manusia dan hal-hal yang mempengaruhinya, yang menepati ruang lingkup psikologi.  Apa yang menarik ialah al-Ghazali memberikan kaedah perawatan ‘hati’ atau ‘jiwa’, yang merupakan bidang kajian  psikologi terapan (applied psychology) dan dikenali sebagai psikiatari atau kaunseling. al-Ghazali turut dikaitkan sebagai pelopor pendekatan kaunseling berasaskan penerapan spiritual melangkaui ‘kaedah moral’ Rene Descartes, ‘empirisme-materialimse’ Thomas Hobbes, ‘modernisme-rationalisme’ Wilhiem Gottleib Leibiniz dan  ‘falsafah etika’ Emmanuel Kant. Al-Ghazali mendahului pemikir-pemikir tersebut lebih setengah milenia.

Bagaimana idea-idea dan ilmu-ilmu itu dikembangkan kepada masyarakat barat? Sekurang-kurangnya terdapat dua situasi: (1) perubahan cara berfikir masyarakat barat untuk berhadapan dengan kekuatan tentera Islam ekoran beberapa siri kekalahan mereka (tentera Salib) terutama selepas  kejayaan Salehudin al-Ayubbi menakluki Jerusalem pada tahun 1187; dan (2) pengaruh keilmuan Islam (akidah) yang membentengi tentera Islam dengan kekentalan semangat jihad. Setelah mengalami kekalahan cara fizikal (perang terbuka secara langsung), masyarakat barat mula mengalihkan pandangan untuk mencari kekuatan semangat umat Islam dari perspektif spiritual dan psikologi.

Hasil penemuan itu, masyarakat barat menukarkan strategi perangnya dengan menyerang menggunakan tekni perang pemikiran. Sebelum melakukan serangan pemikiran, mereka mengkaji ajaran-ajaran Islam, dengan melihat ke dalam ilmu-ilmu itu apa yang boleh dilakukan untuk menggugat keyakinan (pegangan) umat Islam. Mereka mencari apa yang boleh dijadikan ‘kambing hitam’ seperti mempertajamkan sengketa antara mazhab –syiah dan sunni- dengan membentuk teori sekte dan mendefinisikan semula makna keyakinan sebagai bersifat taksub dan otordoks.

Dalam masa yang sama, masyarakat barat menemukan semula asas peradaban mereka yang dicetuskan ribuan tahun dahulu, yang dimulakan oleh masyarakat Yunani. Ia kemudiannya dirangkakan semula kaedah rasional melawan kaedah ilmu Islam dan mengangkat ilmuan Islam yang  cenderung kepada pendekatan rasional. Dari situlah juga mereka ikut mula memahami pemikiran al-Ghazali yang cukup kental dengan semangat pembaharuan (mujtahid) akidah sunni berasaskan kerangka asy-Sya’riyyah dan Mutudiriyyah yang menjadi teras pembangunan karakter, pembinaan watak dan mengatasi kerancuan tujuan, yang kemudiannya mereka olah  dan memberikan tafsiran dalam konteks pemikiran rasional, di mana kaedah moral cuba digantikan bagi meneutralkan peranan agama, manakala etika dicanangkan untuk menggantikan tema akidah secara halus dan berselindung.

Jiwa agama yang dibahas oleh al-Ghazali dalam  Ihya Ulumuddin menjadi pembangkit semangat (mempertahankan akidah Islam) dan penyuntik kekentalan jiwa ketika berhadapan dengan tentera Salib,  yang menjadi tunjang kekuatan perjuangan  Mahmud Nurudin Zanki dan Salehudin al-Ayubbi. Ketika membangkitkan semangat menterjemahan ‘pertembungan peradaban dengan Islam’,  George W Bush menghidupkan semula Perang Salib sebaik sahaja berlakunya kejutan pada 11 September 2001.

Semangat ‘perang salib’ itu dihidupkan semula untuk mendapat sokongan rakyatnya sendiri yang mula menyindir perilaku Bush dan seterusnya meraih sokongan sekutunya untuk mempercayai musuh sebenar mereka ialah Islam dengan tudingan ekstremisme atau pengganas. Istilah itulah yang kemudiannya digunakan dan membantu Akta Patriot diluluskan, yang kemudiannya memberikan kuasa kepada Amerika Syarikat sebagai ‘polis dunia’, yang boleh memasuki mana-mana negara atas alasan ‘memerangi keganasan’ tanpa perlu mendapat kebenaran daripada pemerintah negara berkenaan.  (Karen Armstrong,  Perang Suci: Dari Perang Salib Hingga Perang Teluk, edisi terjemahan, 2003; dan Carole Hilenbrand, Perang Salib: Sudut Pandang Islam, edisi terjemahan, 2005).

Masyarakat barat mengangkat Ibnu Rusyd sebagai ahli falsafah hebat walaupun kedudukannya tergugat di Andalusia (Sepanyol) kerana idea-ideanya yang bercanggah dengan dasar pemerintah. Menurut  Chase F Robinson, Ibnu Rusyd adalah pengagum ‘monoteis pengikut Aristoteles’, dan daripada beliaulah masyarakat barat mula memperoleh semula pemahaman ke atas falsafah Yunani (neo-Platonisme), yang kemudiannya dijadikan  ‘laluan berfikir’ rasional di mana akhirnya mencetuskan konflik dengan  kuasa gereja.  Selepas berjaya mengetepikan kuasa gereja, kerangka yang sama mereka gunakan untuk melawan Islam dan dikembangkan menerusi penjajahan,  sekularisme, dasar imperialisme dan kini digunakan pendekatan globalisasi berdasarkan diktum kebebasan dan hak asasi bagi mengelirukan umat Islam.

Idea-idea Ibnu Rusyd yang menentang penolakan al-Ghazali terhadap falsafah kemudiannya dipersalahkan sebagai punca kemunduran umat Islam. Ibnu Rusyd mengambil masa bertahun-tahun untuk menyusun atau menyanggah pandangan al-Ghazali mengenai 20 perkara yang ditolak mengenai falsafah kerana bercanggah dengan Islam. Ibnu Rusyd membincangkan isu itu dalam  Tahafut at-Tahafut yang disifat oleh  boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar akidah. (Dr Abdul Rahman Haji Abdullah, Pemikiran Islam Klasik:Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid, 2004, hal.119-121).

Menurut Chase F Robinson: ‘materi filosofis Arab mulai masuk ke dunia Latin pada abad ke-11, tetapi pada paruh kedua Abad ke-12, khususnya di Sepanyol (Toledo) dan Sisilia, projek penterjemahan yang sistematik telah dimulai. Dalam satu generasi setelah kematiannya pada tahun 1198, beberapa karya Ibnu Rusyd telah beredar luas dalam bahasa Latin di Paris, dan pada pertengagan abad ke-13, Aristoteles menjadi bahan bacaan wajib- secara harafiah – …Ibnu Rusyd menaturalisasikan pemikiran Yunani ke dalam pandangan dunia yang moniteis.” (hal.222). Tahafut at-Tahafut telah diterjemahkan ke bahasa Latin pada tahun 1328, dan ini bermakna, ia turut membuka ruang kepada penelitian karya-karya al-Ghazali khususnya dalam bidang falsafah, serta psikologi, kerana psikologi ketika itu masih merupakan sebahagian daripada perbincangan falsafah.

Rene Descartes yang menulis sebuah buku berjudul Passion of the Soul (Keghairahan Jiwa), menegaskan:  “seolah-olah tiada orang yang pernah menulis tentang perkara ini dahulu“. Setelah diseludiki, menampakkan ada hal ingin disembunyikan, sedangkan beliau sangat dipengaruhi oleh pemikiran Aristotele dan sangat mengagumi pemikiran  St Augustine (354-430). Dalam pandangan teologi, Rene Descartes mempunyai kecenderungan yang sama dengan al-Ghazali, iaitu menggunakan pendekatan skeptisme (teori keraguan) dan menegaskan kebebasan mutlak terhadap penciptaan Tuhan. Ertinya, Rene Descartes bukanlah orang pertama mengupas mengenai persoalan jiwa, al-Ghazali telah menyempurnakan teori jiwa lebih lima ratus tahun lebih awal.

Menurut al-Ghazali, diri manusia mempunyai empat unsur utama, iaitu tubuh (anggota badan), akal, nafsu dan hati. Setiap komponen tersebut tidak dicipta tanpa tujuan, sebaliknya setiap komponen memainkan peranan dan fungsi yang saling mempengaruhi kehidupan manusia. Anggota badan (tubuh) menjalankan peranannya bagi setiap aktiviti harian manusia – misalnya kaki untuk melakukan pergerakan (beranjak atau berjalan), tangan untuk memegang atau menyuapkan makanan, mulut untuk makan dan minum, telinga untuk mencerap bunyi, mata untuk melihat apa yang ada di depan dan sebagainya –yang tentunya, jika salah satu anggota badan tiada, ia akan menyebabkan terhadnya sesuatu aktiviti harian.

Akal digunakan untuk berfikir, merancang dan mengimbas semula pengetahuan-pengetahuan yang tersimpan di dalamnya (memori). Nafsu memainkan peranan untuk menyatakan keinginan dan penolakan, manakala hati pula akan menentukan sesuatu keputusan, yang bersifat lembut atau keras (sayang atau benci, simpati, empati atau tidak peduli). Hati memainkan peranan yang cukup penting dalam kehidupan manusia.

Menurut Prof Dr Mahmoud Hamdi Zaqzouq yang membuat kajian perbandingan antara al-Ghazali dan Rene Descartes semasa mempertahankan ijazah kedoktoran diUniversiti Munich, Jerman (1968) walaupun berbeza penekanan (orientasi bidang), ahli falsafah kebanggaan Perancis itu sangat dipengaruhi oleh pemikiran al-Ghazali. Kajian tersebut diterbitkan dengan judul Manhaj al-Syak Bayna al-Ghazali wa Decart’ (edisi terjemahan, Al-Ghazali: Sang Sufi Sang Filosuf, 1987). Rene Descartes, ahli falsafah matematik dan sains itu menggunakan teori skeptisme membentuk teori skeptisme (al-Syak), yakni mengadaptasikan kaedah al-Ghazali dalam  Munqizd min Dhalal.  

Prof Cemil Akdogan pula  menyatakan pengaruh al-Ghazali terhadap pemikiran Renee Descartes bukan berlaku kebetulan, ia sengaja diambil kerana teori keraguan al-Ghazali sudah tersebar secara meluas dan diterima oleh sebahagian besar  ahli falsafah  Eropah. Bagi al-Ghazali kerana keraguan itulah menjadikan dirinya lebih memahami tujuan mencari ilmu pengetahuan, iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT, manakala Rene Descartes hanya mengsintesiskan pandangannya berlandasakan keputusan rasional yang kadangkala menimbulkan pandangan yang paradok mengenai ‘kemuliaan Tuhan’.

Bagi Rene Descartes, manusia mempunyai ‘masalah tentang Tuhan’  dalam pandangan dominasi rasional, maka akal rasional perlu digunakan untuk membebaskan ‘masalah tentang Tuhan’. Bagi al-Ghazali, manusia walaupun mempunyai kecerdikan akal tidak sepatutnya  meletakkan keseluruhan keputusan hidupnya berdasarkan keputusan rasional kerana ia tertakluk kepada peraturan syariah. Al-Ghazali meletakkan akidah sebagai korpus teori manakala syariat ialah amalan yang wajib diberikan perhatian sebagai panduan melaksanakan apa sahaja aktiviti kehidupan.  Jadi, di sinilah berlakunya perbezaan yang jelas, syariat dibenarkan menggunakan kecerdikan akal dalam perkara-perkara yang tidak jelas ada hukumnya (al-Qur’an dan sunnah) terutama masalah-masalah baharu yang muncul tetapi keputusan yang perlu dilakukan ialah dengan berijtihad. Ijtihad perlu dilakukan oleh orang yang mempunyai kepakaran dan kemahiran khusus.

Dalam pemikiran falsafah barat, oleh kerana kecerdikan akal –kebebasan dan hak asasi- menjadi tunjangan utama, sekiranya sesuatu keputusan itu tidak mengganggu atau melangkaui hak dan kebebasan orang lain, ia boleh diterima. Inilah yang berlaku apabila masyarakat barat boleh membenarkan perilaku seks bebas, perkahwinan sesama jenis dan bersekedudukan tanpa ikatan perkahwinan yang sah, kerana semua itu dikerangkakan dalam konteks tanpa paksaan, termasuk pilihan untuk beragama dan tidak beragama, ateis dan agnostik serta membenarkan sistem ekonomi berasaskan riba.

Bagi al-Ghazali, ada beberapa perkara yang tidak mampu, bahkan dilarang dibincangkan oleh manusia kerana sifat akal itu sendiri yang bukan sahaja tidak mampu (terhad kapasiti –membina korpus pengetahuan dan mencari sebab akibat) terhadap sesuatu, misalnya mempersoalkan mukjizat nabi-nabi seperti peristiwa isra’ dan mikraj. Akibat pemikiran umat Islam pada zaman al-Ghazali berkecamuk dengan pelbagai bentuk pemikiran sama ada yang membentuk ideologi politik (seperti syi’ah, ahli ilmu kalam dari kelompok muktazilah), persoalan isra’ dan mi’raj turut dibangkitkan sebagai kepercayaan yang perlu dan harus ditolak. Bagi mereka, peristiwa tersebut adalah mustahil ataupun berada di luar lojik pemikiran rasional. Ertinya, dalam Islam sesuatu hal yang menimpa, seperti penderitaan bukanlah merupakan masalah Tuhan, ia adalah masalah manusia. Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa sesuatu itu ditentukan oleh Allah SWT, sebagai ujian ketaatan atau kesetiaan manusia terhadap penciptaan-Nya.

Atas penalaran fikiran rasional itulah Rene Descartes kadangkala mengalami paradoks dengan pendapatnya sendiri, misalnya meletakkan konsep ‘masalah tentang Tuhan’ sebagai manusia halangan atau mengikat pola kehidupan, menentukan pilihan dan kerana itu, manusia perlu berfikir untuk tidak melepaskan diri daripada-Nya. Bagi masyarakat Islam, Allah SWT sebenarnya tidak mempunyai apa-apa kepentingan ke atas manusia, tetapi manusia mempunyai kepentingan dari Tuhan-Nya, kerana Tuhanlah menentukan segala-galanya. Falsafah yang dianjurkan oleh Rene Descartes telah gagal membuktikan keberadaan Tuhan walaupun sebelumnya membuat pengakuan bahawa Tuhan Mahabaik, yang dalam ketetapan nalar al-Ghazali ia merupakan satu bentuk penipuan dan merupakan petunjuk ‘ketidaksempurnaan’ akal rasional atau kelemahan manusia. Teori keraguan Descartes benar-benar menimbulkan keraguan, tidak mencapai satu keputusan tentang kebenaran, kerana kebenaran itu dibentuk berdasarkan spekulasi akal.  (Cemil Akdogan, Science in Islam and the West, 2008, hal. 102-103 dan 112).

Bagi al-Ghazali, skeptisme yang dijadikan kerangka penulisan buku al-Munqizd adalah pengalamannya, yakni keraguan sebelum menemui kebenaran (keyakinan). Al-Ghazali sampai kepada kebenaran setelah melalui fasa keraguan apabila munculnya nur (cahaya dari) Allah, bukan kerana keputusan akal atau rasional: Kemungkinan juga kehidupan di dunia ini seperti tidur jika dibandingkan dengan hari akhirat, maka apabila seseorang itu mati, jelas baginya semua perkara yang ia saksikan berbeza dengan apa dia saksikan sekarang

Persoalan itu [keraguan dan penafian semua jenis pengetahuan berdasarkan pancaindera] membingungkan, dan ia berlarutan selama dua bulan…Sepanjang dua bulan itu, aku menjadi seorang peragu, iaitu seorang peragu dari segi hal-keadaan, bukan secara teori mahupun dari segi percakapan. Akhirnya Allah Ta’ala menyembuhkanku daripada derita itu; jiwaku kembali sejahtera dan seimbang. Aku kembali menerima akal dharuriy [ilmu yang boleh dikecapi dengan dalil akal secara langsung atau serta-merta] sebagai sesuatu yang boleh diterima dan dipercayai secara menyakinkan.

Keadaan aku pulih bukan menerusi pembuktian yang tersusun ataupun hujahan yang teratur, sebaliknya dengan cahaya yang Allah SWT campakkan ke dadaku. Cahaya itulah menjadi kunci kebanyakan pengetahuan. Sesiapa yang menyangka bahawa pemahaman tentang hal-hal ketuhanan bergantung pada dalil-dalil yang boleh menghuraikannya, maka dia sebenarnya telah menyempitkan rahmat Allah Ta’ala yang luas. (Imam al-Ghazali, Penyelamat dari Kesesatan, 2017, hal. 20-22) . (BERSAMBUNG)

Dr Alies Anor Abdul

 

Translate »