Menarik untuk dibahas. Menarik juga untuk ditolak ‘kecondongan’ penulisan Hafizul Faiz yang membuat kesimpulan bahawa pemimpin yang zalim segera bertaubat. Tidak ada yang menolak pandangan bahawa pemimpin sesebuah negara, tentunya dalam konteks ‘Negara Islam’ atau yang dipimpin oleh ‘orang Islam’ wajar memerintah berasaskan prinsip ‘takwa’ dan litaarafu agar  tidak wujud politikus Islam yang self-pious dan arrogance. (Hafizul Faiz, “Pemerintahan Terkutuk Menurut Hamka”, Malaysiakini, 14 Ogos 2021). Tidak bererti saya menolak betapa perlunya dua asas itu – takwa dan litaafaru – dalam kerangka pemerintahan oleh orang Islam atau Negara Islam, jika konsep tersebut benar-benar ada atau hadir dalam sejarah peradaban Islam.

Perdebatan panjang mengenainya tidak pernah surut, bahkan ketika Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, isunya belum berakhir hingga kini. DAP mencabar, Malaysia adalah negara sekular berdasarkan apa yang difahami dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia). PAS juga pernah mempersoalkannya kerana negara masih mengekalkan perlembagaan penjajah, yang katanya masih dipenuhi budya taghut.

Hafizul mengambil beberapa pandangan Hamka setelah beliau cukup terkesan dengan pembacaannya selama beberapa jam sebelum ‘tertidur’ buku Negara Islam yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1946, yakni ketika era politik Islam cukup kuat bergema di Indonesia mengangkat nasionalisma negara yang akhirnya dipolitikkan oleh rejim pemerintah sebagai alat.

Versi yang dibaca oleh Hafizul ialah terbitan Malaysia oleh Jejak Tarbiah (2020) yang diberikan kata pengantar oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, seorang tokoh agama yang semakin ‘hilang arah’ setelah menduduki kerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) dan hingga kini belum memuktamadkan ‘siasatan JAKIM’ siapakah yang mengeluarkan arahan ‘memadamkan fatwa Haji Hadi Awang’ yang cukup ‘mengeliru dan mencelarukan umat Islam’ pada suatu ketika (1980-an hingga 1990-an).

Saya tidak tahu apa yang sudah dan sedang dirancang oleh Menteri Hal Ehwal Islam itu kerana banyak kenyataan-kenyataan yang dibuat seumpama masih bertugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, bahkan cukup tidak menarik ialah apabila menyusun tuala wanita yang menjadi salah satu barangan untuk membantu golongan yang tersiksa akibat pandemic COVID-19.

Saya bercakap mengenai realiti bukan idealisme. Pada suatu ketika, Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmud Zuhdi pernah berkata, idealisme itu penting tetapi realitinya manusia tidak dapat hidup sempurna berdasarkan hanya idealisme. Saya lupa bila tarikh yang tepat Pengerusi Majlis Dakwah Negara itu bercakap, tetapi secara subjektifnya ialah majlis pelancaran buku kopilasi tulisan Dr Aziz Jamaludian Muhd Tahir, Air Dicincang Tak Akan Putus, di Restoran Riverside, Pusat Dagangan Dunia Putra (kini Pusat Dagangan Dunia –WTC- di mana istilah Putra digugurkan selepas UMNO bukan lagi sebuah parti dominan dalam kerajaan, yakni selepas tewas PRU ke-14).

Idealisme memang cukup menarik untuk dibincangkan sebagai wacana, atau sekadar pengetahuan yang hanya bersifat akademik kerana kadangkala ia sangat bertentangan dalam praktis, termasuklah praktik politik yang pernah kita belajar, baca, atau membentuk teorinya.

Kita memahami banyak konsep yang unggul dalam tradisi pemikiran dan perbincangan teori politik baik sejak mula istilah itu membentuk kerangkanya. Dalam pemikiran falsafah pada zaman dominasi pemikiran falsafah rasional, ada konsep Negara Utopia, kemudian diulang semula oleh ahli falsafah Islam,  Al-Farabi dengan diktum Negara Ideal, al-Madinah al-Fadhilah.

Asas Al-Farabi, Negara Ideal atau Negara Unggul itu menggambarkan masyarakat yang saling bekerjasama, saling membantu untuk mencapai kebahagiaan, ertinya adu-domba politik kalau adapun sangat minimum. Adu domba politik, daripada pengalaman sejarah tidak pernah terpadam bahkan ketika Nabi Muhammad SAW memulakan sistem pemerintahan di Madinah ia memerlukan pengakuan antara kelompok masyarakat yang berbeza agama, etnik dan sebagainya terhadap satu sistem yang berpandukan Islam menerusi satu perjanjian yang dikenali sebagai Perlembagaan Madinah.

Setiap penduduk Madinah tidak akan dikenakan apa-apa tindakan selagi mereka ‘menerima Islam’ atau dengan kata lain ‘tidak menghina Islam’. Haknya tidak akan sama dengan mereka yang beragama Islam, kerana Islam itu berada di kedudukan yang tinggi dan menjadi kerangka sistem pemerintahan berteraskan al-Qur’an, dan keakuran terhadap apa yang diputuskan oleh Rasullullah SAW.

Tetapi tidak bermakna bukan Islam dizalimi, dihalang untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan disekat untuk menguruskan kehidupan menurut keyakinan masing-masing. Pola kehidupan bermasyarakat kelihatan cukup harmoni sehingga model pemerintahan tersebut dianggap yang terbaik dan menjadi impian politik yang mendasari diktum masyarakat madani yang kita kenali sekarang.

Namun semuanya berubah dan mula mencetuskan perdebatan hangat pada hari wafatnya Nabi Muhammad SAW sehingga dilihat bermulanya krisis perlembagaan dalam proses politik Islam selanjutnya. Perbincangan pengangkatan pemimpin untuk menggantikan Nabi Muhammad SAW di Syiqah Bani Saadah itu akhirnya berjaya diselesaikan apabila Abu Bakar as-Siddik diterima sebagai penerus kepimpinan Islam dan urusan pengkebumian Nabi Muhammad SAW dapat disempurnakan beberapa jam kemudiannya.

Permulaan itu cukup menarik, kerana bibit-bibit perpecahan politik mula berlaku sehinggakan berlanjutan munculnya kelompok khawarij dan syi’ah. Dua kelompok ini kemudiannya cukup mempengaruhi iklim politik Islam dan masih terus memperlihatkan pertentangan dari dalam Islam sendiri hingga kini. Inilah yang patut kita soroti dengan jelas, kerana pertembungan dalam perjalanan politik Malaysia sekarang sedang diwarnai oleh garis-garis pemisah yang boleh diteliti daripada kelompok sunni dan syiah, walaupun secara jelasnya tidak label tersebut terlihat di permukaan politikus yang sedang berjuang untuk mencapai tujuan masing-masing sehingga melupakan asas politik Islam dan cenderung kepada matlamat menghalalkan cara yang sangat identik dengan Nicolio Machiavelli.

Siapakah yang dinamakan khawarij? Siapa pula kelompok ‘syi’ah’ walaupun semua sedar bahawa di Malaysia hanya kelompok sunni, yakni golongan yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah kelompok yang sah menurut Majlis Fatwa Kebangsaan. Tetapi, ia tidak bermakan tidak ada kelompok syi’ah sama ada secara terang-terangan mahupun bersembunyi untuk merebut kuasa politik dalam negara.

Kelompok ini cukup bijak dan berstrategi, bukan sahaja melakukan tindakan dan desakan, bahkan menguasai badan-badan pertubuhan bukan kerajaan dan juga meresapi secara diam-diam dalam agensi kerajaan. Mereka inilah yang sepatutnya Hafizul Faiz selidiki, dan jika boleh menasihati agar tidak merosakkan Islam dengan ‘corrupted element’ agar kembali kepada politik mulia sebagaimana dianjurkan oleh manhaj politik Islam.

Sejak buku Negara Islam dicetak, polemik politik Islam di Indonesia, yakni negara kelahiran Buya Hamka dan bergelut dengan pengangkatan Islam dalam sistem pemerintahan kita mempunyai rangkaian sejarah kegagalannya baik ketika era pemerintahan Sukarno (yang memenjarakan Buya Hamka), era Suharto yang sinonim dengan orba – order baru –hinggalah munculnya gandingan yang memenangkan Jokowi untuk penggal kedua, kaedah pemerintahan Islam masih terpinggir walaupun Maaruf Amin adalah Naib Presiden Indonesia masa kini.

Pergolakan politik Islam di Indonesia cukup memberikan kita pengetahuan bahawa ia bukan sahaja digunakan sebagai alat mendapatkan kuasa, bahkan juga alat untuk mengukuhkan kuasa. Pada era awal – khususnya zaman order baharu – gambaran bagaimana politik Islam menjadi acuan kuasa dapat kita baca daripada analisis yang cukup baik oleh Robert W Hefner dalam Islam Dalam Politik & Pendemokrasian di Indonesia (edisi asal berbahasa Inggeris, Civil Islam: Muslims and Democratization in Indonesia, Princeton Unversity Press, 2000), edisi terjemahan bahasa Melayu, IBDE Ilham Sdn. Bhd., 2017.

Tulis Hefner: menjelang akhir 1980-an, semua pemain politik di pentas kebangsaan menyedari yang keadaan sudah berubah; kebangkitan semula [Islam] itu telah mengubah peraturan-peraturan permainan politik. Sejak itu, pergelutan untuk meraih kesetiaan Muslim menjadi ciri utama politik kebangsaan.” (hal. 141). Suharto melaksanakan dua langkah pengekangan, pertama ialah memecahbelahkan parti-parti yang berjuang atas platform Islam sehinga Mohamad Natsir mengutuskan surat pada 24 Oktober 1967 ‘tidak akan terlibat dalam mana-mana parti baru’ yang ketika itu kelompok modenis sedang berusaha menubuhkan Parti Muslimin Indonesia (Parmusi) setelah Masyumi berjaya dikembirikan. Suharto sudah memberikan isyarat sebelumnya bahawa ‘tidak akan mempertimbangkan pemulihan Masyumi” dan pada 20 Februari 1968, penubuhan Parmusi disahkan oleh Suharto (hal.142-143).

Kemudian, kerajaan akan mengatur pemilihan yang saling bersaing, yang kemudiannya digunakan oleh Megawati Soekarnoputri pada tahun 1996. Ertinya, setelah berlakunya krisis dalam parti-parti Islam, langkah kedua yang dilakukan oleh Suharto ialah “kerajaan masuk campur untuk ‘memulihkan ketertibaban’ dengan melantik seorang pemimpin yang tidak disokong oleh kedua-dua pihak yang bersaing’ sehingga mereka yang berusaha ‘untuk memulihkan parti’ tidak berjaya. (hal.144).

Hal yang hampir sama turut berlaku dan dilakukan oleh BJ Habibie, yang kemudiannya menjadi presiden interim selepas Suharto digulingkan. BJ Habibie menjadikan ICMI –Ikatan Cedekiawan Muslim Indonesia –sebagai platform untuk melemahkan pertubuhan-pertubuhan politik Indonesia. Namun ICMI tidak dapat membantu BJ Habibie untuk bertanding merebut jawatan presiden, yang kemudiannya menyaksikan Gus Dur adalah pemenangnya. Namun Gus Dur juga tidak kekal lama walaupun didokongi oleh Nahadatul Ulama, kerana politik Indonesia cukup kuat dipengaruhi oleh aliran politik sekular, Megawati Sukarnoputri menggantikan Gus Dur dalam satu usaha penyingkiran yang cukup bersejarah selepas reformasi. Akhirnya politik Indonesia menjadi sedikit tenang apabila Susilo Bambang Yudiyono (SBY) menang pilihan raya presiden pada tahun 2004.

Malaysia mempunyai sejarah politik yang cukup berbeza, sekurang-kurangnya untuk kita melihatnya fenemona perebutan kuasa selepas tewasnya BN dalam PRU ke-14. Kemenangan Pakatan Harapan, sedikit sebanyak disumbangkan oleh kejayaan menyebarkan fitnah dan politik kebencian, tetapi akhirnya, Pakatan Harapan juga tersungkur akibat pembelotan dari dalam, bukan disebabkan saingan daripada UMNO dan PAS.

Pakatan Harapan yang dibentuk dengan tujuan untuk menjatuhkan Najib dan BN tidak mempunyai ideologi politik yang jelas, akhirnya pemuafakatan sudah mula menimbulkan masalah kerana masing-masing parti berusaha untuk menjadikan kedudukannya lebih hegemoni. Ia bermula dengan PPBM, sebuah parti kerdil (dengan 13 wakil rakyat), secara lojiknya sangat mudah diturunkan kuasanya, dan kerana itu, sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir perlu melakukan tindakan yang cepat untuk mengukuhkan kedudukan PPBM.

PPBM mempertimbangkan kemasukan wakil rakyat dari parti-parti yang kehilangan tampuk kuasa, dan penerimaan itu mendapat tentang daripada DAP dan PKR. PKR pula sentiasa memanaskan isu ‘peralihan kepimpinan’ dengan menuntut Dr Mahathir segera melaksanakannya kerana beliau hanya dipersetujui sebagai perdana menteri sementara.  Dr Mahathir, sebagai seorang tokoh politik berpengalaman, melaksanakan dua langkah untuk tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim: menyokong dan mengasah kedudukan Azmin Ali kerana memang diketahui hubungannya dengan Anwar Ibrahim sudah berlaku keretakan – halangan bertanding jawatan presiden PKR (dua kali), kekecewaan Anwar bila pencalonan Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor ditolak (termasuk oleh PAS) dan digantikan oleh Azmin, dakwaan Rafizi bahawa Azmin gagal menyediakan peruntukan pilihan raya bagi PKR, dan kekecewaan pelantikan Azmin dalam kabinet oleh Dr Mahathir—dan mencipta beberapa kali alasan untuk melengah-lengahkan proses peralihan kuasa – enam bulan, setahun dan kemudian selepas November 2020 (APEC)- yang akhirnya mencetuskan konflik dalam PKR.

Dr Mahathir sedar, untuk kekal penguasaannya ia perlu kembali bergantung harap kepada orang Melayu, dan atas alasan terebut, dua parti Melayu yang dominan perlu dipecahbelahkan terlebih dahulu. Apa yang dilakukan ialah memberikan tekanan yang cukup kuat kepada UMNO, menyegerakan dakwaan-dakwaan rasuah dan salah laku walaupun bukti untuk proses pendakwaan itu belum jelas. Dr Mahathir melakukan tindakan tersebut dengan mengharapkan sebelum akhir tahun 2018 atau selewat-lewatnya pertengahan 2019, dakwaan ke atas Najib mengenai skandal 1MDB dapat diselesaikan, yakni hukuman ke atas Najib. Rupa-rupanya, bukti belum cukup termasuk untuk menangkap dalang utamanya, Low Theak Jo (Jho Low).

Kini, masyarakat mula mempersoalkan tindakan Dr Mahathir, kerana dalang utama skandal tersebut belum berjaya ditangkap dan semakin dipersoalkan apabila berkata: ‘Ada negara baik dengan kita, ada negara yang tidak, kita terpaksa terima keadaan itu, kita boleh ‘perang’ (dengan negara yang melindunginya) tetapi kita akan kalah dan kita tak dapat Jho Low.” (Astro Awani, 7 November 2019).

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majisteret mengeluarkan waran tangkap Jho Low namun lokasi sebenar di mana beliau bersembunyi tidak dapat dikenal pasti dengan jelas, dan kerana itu Dr Mahathir terpaksa mengakui ‘bukan mudah’ memburunya, lokasinya berubah-ubah dan sebahagiannya adalah ‘khabar angin’. Lebih menarik lagi bila Dr Mahathir menyakinkan bahawa membawa balik ‘jet Jho Low’  jika berbaloi walhal kapal Equaminity dah dijual dengan harga RM 514 juta kepada taikun judi Genting Berhad. .

Kini, politik Malaysia semakin kecamuk setelah Muhyiddin dilantik sebagai PM ke-8, yang menyaksikan masih berlaku perebutan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dengan pengakuan yang cukup berbohong. Daripada pengiraan sokongan yang tanpa merujuk kepada formula matematik yang betul, hinggalah kepada seruan percantuman dua galah, tidak ada nilai yang muktamad.

Mutakhir, muncul pula godaan mengutus surat kepada Yang di Pertuan Agong untuk menunjukkan Muhyiddin sudah tiada majoriti, walhal jika dikira secara hukum matematik, kelompok yang dimiliki oleh Muhyiddin masih mendahului daripada lain-lain kelompok. Biarpun Anwar mendakwa ‘cukup nombor’, ia mungkin juga silap kerana tidak semestinya wakil rakyat UMNO yang menolak Muhyiddin berada di pihaknya, termasuk juga penyokong-penyokong Dr Mahathir sendiri.

Seeloknya, perlu disorot apakah muncul budaya dan tindakan khawarij dalam politik Malaysia sekarang, dalam kalangan Melayu-Islam sendiri. Kalau diperhatikan situasinya, ciri-ciri khawarij memang ada, dan seterusnya elemen syi’ah pun mungkin boleh dilihat dengan jelas. Ertinya, dalam sejarah memang kita ketahui, yang benar-benar merosakkan Islam ialah orang Islam sendiri, bahkan ketika jatuhnya Empayar Abasiyyah, beberapa kerajaan kecil memohon bantuan Mongol untuk menamatkan pemerintahan.

Begitu juga dengan artikel Lim Hong Siang ‘ Riwayat Sebuah Kerajaan Gagal’, Malaysiakini 15 Ogos yang cuba melihat perspektif ‘gelas separuh kosong’ ke atas Perikatan Nasional mula daripada pembentukannya dengan menjadikan Langkah Sheraton sebagai batu tanda pengkhianatan. Sebenarnya, kebatilan atau kemungkaran sudah berlaku ketika pembentukan Pakatan Harapan, dan sebahagian kemenangannya disebabkan oleh manipulasi fakta yang dilihat BN sangat buruk.

Sepatutnya Lim Hong Siang boleh meneliti arus sejarah, UMNO menjadi rosak ialah ketika era pentadbiran Dr Mahathir sebagai PM ke-4. Politik wang atau kata Dr Mahathir kleptokrat sudah pun bermula sebaik sahaja beliau membuka ruang kemasukan golongan korporat ke dalam UMNO dan boleh diperhatikan bagaimana pemimpin-pemimpin UMNO melabur wang besar dalam setiap kali pemilihan, termasuklah tatkala berlakunya perebutan jawatan pada tahun 1987.

Jika sekelompok pemimpin dalam PPBM dan PKR berpecah adalah disebabkan kedudukan Perikatan Nasional itu saling ‘tikam menikam’, termasuklah apa yang dilakukan oleh DAP. Lim Kit Siang beberpa kali mengancam membawa parti itu keluar daripada PH sekiranya matlamat Malaysia Baru gagal dilaksanakan, tetapi dalam masa yang sama ‘menikam Dr Mahathir’ dan cuba mengkianati entiti bumiputera seperti pemindahan aset TH, penjualan saham Khazanah (dalam Axiata, IHH dan sebagainya), penjualan aset Boustead yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan sebagainya. Persoalannya kenapakah aset-aset yang sebahagian besarnya dimiliki oleh bumiputera (Melayu-Islam) cuba dijual?

Begitu juga dengan pemberian peruntukan khas kepada sekolah-sekolah swasta vernakular termasuk Kolej New Era yang tidak mematuhi asas Dasar Pelajaran Kebangsaan. Kesemuanya itu adalah bentuk-bentuk pengkhiatan, dan ini menampakkan DAP sudah mula ‘mengawal’ PH. Hal sedemikian juga menyebabkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan akhirnya membuat pendirian, tidak akan bekerjasama dengan mana-mana gabungan yang bekerjasama dengan DAP.

Tatkala PAS dan UMNO menjalinkan kerjasama membentuk Muafakat Nasional, apakah ulasan yang sama Lim Hong Siang lakukan untuk melihat betapa rasisnya Lim Guan Enga bila mendakwa ‘permulaan gendang perang kepada bukan Melayu’ dan Nga Kor Ming menyamakannya seperti Taliban sekiranya negara ini diperintah oleh Muafakat Nasional. Nampaknya Lim Hong Siang tidak melihat prinsip politik secara adil, hanya lebih menyindir dan menampakkan apa yang tidak disukai oleh DAP, itulah yang dikupas. Kenapa Lim Hong Siang tidak berani mengupas tindaka ‘terdesak Anwar’ sehingga mengisytiharkan dirinya sebagai ‘calon PM’ yang diputuskan oleh PH yang sedang dikawal oleh Anwar sendiri.

Apakah tidak ada calon lain sedangkan Anwar sudah dianggap sebagai liabiliti dalam politik Malaysia. Rakyat juga sudah bosan dengan kerenah Anwar, sejak tahun 1998 berusaha melakukan pelbagai rencana ‘grand design’, menggunakan media asing untuk mengecam kepimpinan negara dan beberapa kali meratib kononnya beliau adalah ‘anugerah dari Tuhan’ yang kata Mohamad Sabu, sangat patut dan layak kerana sudah ‘lulus pelbagai ujian’.

Kenapa Muhyiddin mengkhianati Dr Mahathir? Kenapa Azmin mengkhianati Anwar? Kenapa ‘katak-katak UMNO’ melompat ke PPBM? Sepatutnya Lim Hong Siang mampu melihat ‘pengkhianatan’ itu adalah reaksi yang tidak lagi dapat dikawal dan ia adalah pilihan yang ada kerana mereka yang menguasai PKR ataupun PPBM ‘tidak mahu mendengar’ dan enggan berkompromi. Kenapa Anwar cuba menyingkirkan kelompok Azmin di pelbagai peringkat? Bukankah itu strategi Anwar untuk mengukuhkan kedudukannya, dan membenarkan diktum PKR hanyalah parti keluarga dan rakan-rakan, bukan milik semua ahli yang mendokongnya. Berapa ramai pejuang-pejuang awal sudah meninggalkan PKR?

Siapakah sebenarnya memulakan politik kebencian? Siapakah yang mencetuskan kebatilan, dan akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di atas kebatilan yang dilakukan? Apakah makna kebatilan yang difahami oleh Lim Hong Siang? Tidak harus meneutralkan makna kebatilan itu hanya berdasarkan akal rasional, kerana ia bukan saja berselirat dengan hukum moral, bahkan juga hukum agama. Apakah bila bukan Melayu minum arak, berjudi, dan mengumpul kekayaan bukan cara halal itu bukan bermakna kebatilan?  Semua agama mengharamkan arak dan judi, kenapa masih mahu melakukannya?

Kalau pelanggaran itu diistilahkan kebatilan, kita boleh terima. Tetapi, bila elit yang berkuasa ‘mahu menang sendiri’ ia bukan boleh dilihat dalam perspektif kebatilan, ia adalah kebejatan politik yang cukup mual, jelek dan perlu dinyahkan, sebab tegaknya sesebuah organisasi adalah kerana norma yang dipersetujui secara konsensus oleh ahli-ahlinya. Kenapa Anwar dua kali ‘menyekat’ Azmin daripada bertanding  jawatan presiden PKR? Kenapa timbul ‘konflik’ bila Azmin dipilih sebagai Menteri Besar Selangor? Kenapa Anwar ‘sakit hati’ bila Azmin dan penyokongnya dipilih menduduk kabinet 22 bulan? Kenapa Anwar ‘menyapu bersih’ penyokong-penyokong Azmin, sedangkan Azmin adalah timbalan presiden PKR yang berjaya mempertahankan jawatan tersebut? Kenapa anaknya sendiri, Nurul Izzah menolak pelantikannya mengetuai PKR Pulau Pinang?

Biarpun hari ini sudah berlaku peletakan jawatan semua barisan kabinet Perikatan Nasional, dan Muhyiddin dilantik sebagai PM ‘caretaker government’, Anwar menunjukkan rasa kecewanya ‘tidak cukup nombor’ manakala Lim Kit Siang membuat komen Malaysia memerlukan Anwar, sebenarnya yang lebih memerlukan Anwar ialah DAP. Rakyat Malaysia sebahagian besar sudah muak mendengar nama Anwar. Punca perpecahan yang menyebabkan terbentuknya Langkah Sheraton adalah kerana Anwar, dan DAP turut mendesak agar proses peralihan kuasa disegerakan oleh Dr Mahathir.

Itulah sebenarnya punca pengkhianatan yang berlaku. Bukan kerana mereka tidak sukakan Dr Mahathir, tetapi kerana permainan politik DAP cukup hebat dan mempengaruhi perjalanan Pakatan Harapan – siang malam  bertelagah – seolah-olah politik seumpama homo homini lupus, (manusia ibarat serigala) yang kemudian terbawa-bawa untuk menjatuhkan Perikatan Nasional. Setiap hari berlaku kecaman sesama sendiri, setiap hari ada sengketa yang tidak berpenghujung, akhirnya karma tiba menyebabkan Dr Mahathir buat keputusan sendiri dalam keadaan ‘migrain’. Semuanya tempias ‘migrain’.

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin, sekurang-kurangnya kabinetnya mengetahu dan sama-sama meletakkan jawatan. Bukan mengejutkan sebagai Dr Mahathir lakukan pada tanggal 24 Februari 2020, tanpa merujuk kepada Majlis Pakatan Harapan, atau sekurang-kurangnya mempengerusikan mesyuarat kabinet, sehingga ramai menteri-menteri seumpama ‘anak ayam kehilangan ibu’.

MONOSIN SOBRI

Translate »