Negara dan rakyat Malaysia sedang berdepan dengan keadaan getir, dengan krisis pandemik dan krisis politik yang semakin membimbangkan. Meskipun kita insaf, akui dan berterima kasih dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan bagi meredakan kedua-dua krisis ini, tidaklah bermakna kita tidak boleh bermuhasabah secara kritis melihat tragedi yang sedang menimpa negara dan rakyat Malaysia dan merenung apakah makna disebalik musibah yang sedang melanda ini.
Tidak sesiapapun yang berakal waras boleh menafikan kejengkelan yang dirasakan ketika mana rakyat khususnya para pesakit yang dijangkiti virus COVID-19 dan para frontliners bertarung nyawa menyelamatkan satu sama lain; para pemimpin politik termasuk pemimpin kerajaan tanpa segan-silu bertarung kuasa bagi memastikan masing-masing lebih berhak menduduki Putrajaya.
Kegilaan apakah ini semua? Di manakah rasa simpati dan belas ihsan kepada lebih 10,000 rakyat yang telah terkorban nyawa setakat ini dan semakin hari semakin meningkat angkanya? Ucapan takziah kepada semua ahli-ahli keluarga yang telah kehilangan insan-insan yang mereka kasihi akibat pandemik COVID ini. Semoga para arwah yang terkorban ditempatkan bersama-sama para syuhada dan salihin di sisi Tuhan Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Ternyata lebih 60 tahun sistem demokrasi berparlimen yang telah diamalkan di Malaysia tidak dapat mendidik dan melahirkan para pemimpin politik yang matang yang menjadikan negara dan rakyat sebagai keutamaan mereka. Terlalu jauh lagi nampaknya para pemimpin politik Malaysia untuk memahami dan menghayati faham dan amalan politik dalam sistem demokrasi berparlimen yang bertujuan sebagai platform atau wahana perbincangan terbuka bagi mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat dan negara. Dalam kelasifikasi Ibn Khaldun tentang masyarakat Hadhari yang bertamadun dan masyarakat Badawi yang barbarik, para pemimpin politik Malaysia masih berada dalam kategori kedua.
Di mana nilai-nilai kemanusiaan para pemimpin politik kita dalam memenuhi amanah dan tanggungjawab kepimpinan mereka untuk bersungguh-sungguh berkhidmat kepada rakyat yang sedang ditimpa bencana wabak penyakit dan sengsara pendapatan dan sara-hidup? Bagaimana boleh berulang-ulang timbul gelaran keistimewaan kes-kes golongan kayangan dan nasib-malang kes-kes golongan marhaen dalam layanan perlanggaran PKP yang pelbagai itu? Dalam sebuah negara yang rakyatnya secara majoriti mengamalkan agama dan para pemimpin politiknya sentiasa menzahirkan penampilan bersifat keagamaan bagaimana perkara ini boleh berlaku?
Dalam sejarah peradaban manusia, rosaknya para pemimpin politik dan lebih dahsyat lagi rosaknya pemimpin agama memberi isyarat kepada akan berlaku kerosakan dalam masyarakat dan negara tersebut. Kerosakan para pemimpin politik dan agama akan menjadi lebih parah jika kedua-dua kelompok pemimpin politik dan agama ini seperti sudah lali dari keperihatinan dan kepekaan untuk memiliki dan menghayati nilai-nilai kemuliaan insan seperti jujur, amanah, tidak berbohong dan menipu, bermuka-muka, tikam belakang, membuang prinsip-prinsip keadilan dan mengkhianati semangat setia-kawan.
Bermula dengan hilangnya nilai-nilai kemuliaan insan atau maruah pada diri-individu pemimpin politik dan agama tersebut maka tiada apa lagilah yang rakyat dan negara boleh harapkan dari mereka. Semua tutur-kata dan tingkah-laku mereka menjadi tidak lebih seperti pertunjukan dan permainan semata-mata tanpa keinsafan dan kesedaran dari dalam jiwa mereka. Rakyat dipandang tidak lebih dari sekadar angka dan nombor atau agregat statistik bagi dilaporkan dalam mesyuarat atau pun untuk dipaparkan di skrin TV semata-mata.
Dalam era PKP ini dengan waktu yang berlebihan di depan skrin-skrin TV, setiap hari telah setahun lebih ini, kita setiap hari dipertontonkan dengan angka-angka dan analisis statistik yang semakin melalikan kita. Bila paparan angka dan statistik pada asasnya menyedihkan kita tidak menjadi kerisauan dan keprihatinan para pemimpin politik melihat kepada tingkah-laku mereka, apa yang rakyat dan negara ini boleh harapkan dari angka dan statistik tersebut dari sekadar menontonnya. Malah jika dilihat dari gaya dan lenggok para pengacara saluran-saluran TV membentangkan angka dan statistik harian jangkitan dan kematian pandemik tidaklah berbeza dengan pembentangan angka dan statistik harian pencapaian pingat Sukan Olimpik.
Rakyat dan negara Malaysia kini berasa marah dan kecewa dengan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan para pemimpin politik negara yang jelas sedang memberikan tumpuan sepenuhnya kepada survival politik masing-masing. Dan paling sadistik dan ironik dalam beberapa minggu ini kita menyaksikan tiga kategori pertarungan yang melibatkan angka. Pertarungan yang pertama, ialah di Sukan Olimpik Tokyo. Paling tidak para atlet kita yang bertarung pingat di Sukan Olimpik Tokyo jauh lebih terpuji kerana mereka bertarung untuk menjulang nama negara tercinta di persada sukan antarabangsa. Tahniah dan syabas bagi mereka yang menang pingat mahu pun yang tidak menang kerana mereka semua telah berusaha sedaya-upaya untuk menjadi juara mewakili Malaysia!
Tetapi dua lagi pertarungan ini akan terus menghantui kita untuk tempoh yang tiada siapa boleh menjangka. Pertarungan nyawa di kalangan pesakit jangkitan COVID-19 yang sudah sehabis kudrat cuba dibantu oleh golongan frontliners terutamanya para petugas sektor perubatan, kesihatan dan hospital untuk dikurangkan angka-angkanya yang sekarang mencecah lingkungan 20,000 kes sehari dan dalam lingkungan 200 kematian sehari. Tidak dilupakan juga para pengurus jenazah dan penggali kubur yang sudah tidak menang tangan menangani mereka yang terkorban dalam pertarungan nyawa ini.
Dan dengan memualkan sekali, kita akan terus menyaksikan sehingga paling lewat awal September ini, pertarungan kuasa para pemimpin politik kita dalam dan luar kerajaan dengan segala lobi dan instrumen politik dan parti bertujuan tidak lain untuk meningkatkan angka-angka kelompok masing-masing bagi menakluk Putrajaya. Dengan jumlah maksimum 222, setiap kelompok pemimpin politik cuba meningkatkan angka-angka masing-masing paling minimum 112 [111, sebab ada dua kekosongan tanpa diadakan PRK atas ‘darurat kesihatan]. Nampaknya kerajaan dan kepimpinan dalam sistem demokrasi berparlimen kita tidak lagi berdasarkan amanah, kepercayaan, mandat dan khidmat tetapi berdasarkan angka dan nombor. Inilah bentuk kerajaan bagi negara dan rakyat Malaysai selepas 60 tahun mengamalkan sistem demokrasi berparlimen – Kerajaan Angka dan Nombor!
Sumber: Dr Amran Muhammad, ISSI, https://www.facebook.com/profile.php?id=100006400096419
Recent Comments