“Terkadang, kita terlalu sering berbicara perihal persatuan tetapi hal fundamental lain jelas jelas dilupakan yakni memiliki akhlak yang beradab. Muhammad Hifni Sahila Rizqy, dalam “Bagaimana Mau Beradab Jika Bersatu Saja Ruwet?’, https://www.qureta.com/

HARI INI, 5 Ogos 2021, sudah hampir empat puluh bulan rakyat Malaysia ‘tidur, bangun dan mengigau’ tentang politik. Politik bukan lagi  menggiurkan seumpama melihat ‘gadis manis’ yang gedik, gebu dan genit  berselfie di media sosial, tetapi cukup menyampah dengan  kisah pemuda dan orang tua yang semakin ‘gatal’. Bukan setakat ‘miang-miang keladi’ , yang tidak bersongkok dan berjubah juga seumpama orang yang mendapat lonjakan sekelumit ‘viagra’; asalkan nafsu dapat dipuaskan walaupun sekadar bercakap atau khayal.

Kata kuncinya adalah kuasa:  bagaimana mendapatkan kuasa, menggunakan kuasa, mempertahankan kuasa dan melumpuhkan kuasa. Bagi mendapatkan kuasa, banyak tindakan bermula dengan kaedah yang cukup mual dan merosakkan adab. Apabila sudah berkuasa, adab juga dilanggar. Ketika kuasa dipersoalkan, adab pula membentuk  ‘kemalangan tragik’;  organisasi berpecah-belah dan berperang sesama sendiri seumpama kisah Habil dan Qabil.

‘kehendak dan hasrat’

Bila bercakap mengenai politik, kuasa dan aksi politikus  sering bertemu  dengan pelbagai istilah :   bohong, eksploitasi, manipulasi dan anarki. Bohong setiap hari berlaku, sama ada atas nama kesetiaan atau pemberontakan, mahupun atas nama mempertahankan prinsip dan  personality cult. Eksploitasi sangat identik dengan ‘kehendak dan hasrat’, dari bersifat peribadi kepada peluasan kepada pemanfaatan ruang, menguasai rakyat dengan slogan ‘win heart and mind‘.   Manipulasi muncul dalam erti keupayaan dan ketidakupayaan melaksanakan janji sebelum berkuasa. Personality cult muncul selepas seseorang pemimpin itu dipilih, maka orang yang mengangkatnya, akan dipertahankan walaupun jelas ada kelemahan dan kesilapan atau terjerat dalam pelencongan adab. Juga kerana ada rasa ‘terhutang budi‘.

Itulah  dinamiknya politik: setiap saat, hari, minggu bahkan cukup psikologi dalam tempoh   seratus hari pertama. Janji diukur, manifesto diteliti. Janji manis  cukup menarik sebelum mendapat kuasa, tetapi selepas berkuasa janji manis bukan lagi satu kemestian untuk dikotakan. Jika boleh,  akan ditempatkan di bawah karpet gebu agar sesiapa yang memijaknya tidak terasa ada benjolan mahupun ketulan, sedaya upaya dicuba dengan kemahiran ‘flatten the earth’.

Akhirnya, karpet gebu juga tidak boleh tahan, benjolan semakin banyak berkumpul  dan sesekali air air kopi tertumpah di permukaan yang sangat bercorak, gebu, dan melekat di antara bulu-bulu sehingga berbau masam. Untuk mengelakkan ‘berbau’ tidak tahu berapa banyakkah semburan telah dihalakan, dari febreeze hinggalah dihantar ke kedai dobi untuk dinyahkan baunya. Seperti kita ketahui, meskipun bau dapat dilenyapkan, kesan tumpahan kopi hilang, proses pereputan karpet gebu itu berlanjutan tanpa siapa pun yang sedar. ada tindak balas kimia berlaku. Ada ingatan yang membeku dan tidak mampu dipadamkan.

boleh jatuh dan tersemban’

Ketika karpet yang gebu itu warnanya makin pudar, maka muncullah tindakan baharu sama ada karpet gebu itu ditukar atau dibuang  atau kembali kepada keadaan sebelumnya, lantai tanpa karpet, cukup dengan marmar yang licin, bersinar dan perlu hati-hati bila memijaknya, tersilap langkah boleh jatuh dan tersemban.

Semalam, sebaik sahaja petunjuk hari bertukar, Mahiaddin atau Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa dirinya masih mempunyai sokongan terbanyak dan tidak ada sebab terpaksa meletakkan jawatan walaupun dipersoalkan sejak hari pertama dilantik sebagai PM ke-8. Awalnya, Mahiaddin dipersoalkan kerana tidak mendapat sokongan rakyat, yakni bukan rakyat yang memilihnya sebagai PM. Lucu juga dakwaan itu, kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia. Pelantikan seseorang PM diputuskan secara langsung oleh rakyat, pilihan raya di Malaysia tidak memilih PM sebagaimana diamalkan di kebanyakan negara.

Amerika Syarikat dikenali sebagai negara demokrasi utama, mengamalkan sistem pemilihan presiden secara langsung. Indonesia juga begitu, tetapi Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi yang dikerangkakan tradisi politik Britain, memilih wakil rakyat berdasarkan dua ketetapan, nama calon dan parti manakah yang diwakili seseorang calon. Setelah kesemua jumlah kerusi yang dipertandingkan dijumlahkan, parti yang melepasi markah majoriti itulah diberikan peluang untuk melantik PM.

‘dengan syarat’

PRU ke-14, tiada parti secara individu melepasi tahap majoriti mudah -112 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat- tetapi PH sebagai sebuah parti gabungan baharu – PKR, DAP, PAN dan PPBM – diisytiharkan menang kerana memperoleh 124 kerusi. PH  melantik Dr Mahathir sebagai PM setelah dipersetujui oleh Anwar Ibrahim dan sekutunya dengan syarat, Dr Mahathir adalah PM (interim), yakni akan menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim apabila mantan TPM itu layak, yakni mendapat pengampunan di raja dan sudah bergelar Yang Berhormat.

Selepas mendapat pengampunan, saga peralihan kuasa dalam PH pun bermula – di kanan, di kiri dan dari bawah – Dr Mahathir ditekan agar peralihan kuasa dipercepatkan. Tetapi Anwar sangat licik, pura-pura mengendurkan hasrat, dirinya tidak terdesak dan boleh menunggu sehingga Dr Mahathir memperoleh masa yang sesuai . Alasannya, tidak mahu peralihan kuasa menjadi proses yang penuh kontroversi dan menimbulkan banyak ketegangan.

Seumpama ‘mengharapkan panas hingga ke petang’, Namun yang berlaku ialah ‘ribut’ pada suatu malam sebelum pagi, ada bantahan, ada selisih pendirian dan ketegaran yang jelas. Tidak ada apa yang boleh dikompromikan lagi kerana masing-masing bundar dengan pendirian masing-masing. Detik itu kemudiannya memuntahkan perpecahan, dan kumpulan yang tidak mahukan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim memulakan Langkah Sheraton. Sehari selepas Langkah Sheraton walaupun gagal menghasilkan keputusan yang diharapkan, Dr Mahathir membuat keputusan mengejut,  menghantar surat peletakan jawatan sebagai PM ke-7 dan Pengerusi PPBM. Maka, Mahiaddin yang menjadi pemimpin terkanan dalam PPBM ketika itu mengutuskan surat kepada PH menyatakan PPBM tidak lagi bernaung di bawah PH.

‘sasaran krtikan’

Kemelut itu berlangsung selama seminggu. Akhirnya 1 Mac 2020, Mahiaddin mengangkat sumpah sebagai PM ke-8 walaupun diperlekehkan dan wakil-wakil rakyat PH mempersoalkan keabsahan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional selepas itu. Sejak itu, Mahiaddin menjadi sasaran kritikan, cemuhan dan ‘pembantaian politik’ oleh bekas sekutunya dalam PH. Mahiaddin menjadi musuh dan mangsa untuk digodam.

Sehingga semalam, Mahiaddin masih kekal sebagai PM ke-8 walaupun banyak persoalan yang dikaitkan dengan kepimpinannya sejak 19 bulan berkuasa. Ada isu yang dihumbankan kepada Mahiaddin bersifat rasional dan tidak kurang juga yang cukup emosional. Namun, rasional dan emosional ada ketikanya tidak dapat dipisahkan dengan jelas, terlalu banyak benang merah yang perlu dirungkaikan.

Benang merah pertama ialah mengenai penularan COVID-19. Saat Mahiaddin menggelupur, kes jangkitan harian memecah rekod harian. Misalnya, semalam kes telah melebih 19,000 dan beberapa hari lagi mungkin meningkat kepada 20,000 kes sehari. Ketika ura-ura ‘total lockdown’ mahu diperkenalkan, Mahiaddin didakwa gagal walaupun sudah dikuatkuasan darurat lebih empat bulan, kes mencanak kepada 9,020 (29 Mei 2021). Rakyat boleh terima alasan, muncul kebimbangan tambahan bahawa itu adalah langkah penyelesaian yang mungkin berkesan.

Nampaknya, ‘total lockdown’ tidak menjadi.  Ada banyak perlakuan yang turut menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan, dari menteri, wakil rakyat, pemimpin kerajaan hinggalah rakyat jelata. Mahiaddin seterusnya dihadapkan dengan peraturan ‘dua darjat’, dan membuka laluan kritikan dasar yang lebih pedas. Kebenaran yang diberikan oleh MITI yang sinonim dengan ‘buka pintu belakang’ menjadikan Mahiaddin dilihat sebagai seorang ‘PM bodoh’ dan dakwaan itu diterimanya dengan penuh insaf. Tetapi ramai yang mentafsirkan ‘penerimaan’ itu sebagai sesuatu yang cukup jelas, Mahiaddin tidak kompeten menangani penularan COVID-19. Akhirnya desakan untuk Mahiaddin semakin garang dan terbuka.

‘alasan dan lojik’

Mahiaddin juga berhadapan dengan persoalan hakisan sokongan daripada UMNO. Rakyat melihat puncanya ialah pembahagian jawatan dalam kabinet dan tiada jawatan TPM diberikan kepada pemimpin UMNO. Juga padahnya apabila Presiden UMNO tidak dipilih berada dalam kabinet. Apa pun alasan dan lojik yang dipertimbangkan oleh Mahiaddin,  ia tetap membangkitkan ‘kemarahan’ . UMNO sepanjang masa beranggapan kedudukannya ‘masih kuat’ dan ‘jenteranya begitu lengkap’  seumpama legenda dinosaur.  UMNO tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan realiti politik baharu, politik yang tidak lagi berdasarkan penaungan atau budaya warlord.

Hampir sebulan lalu, Mahiaddin berusaha mengurangkan kemelut yang berpunca daripada rasa tidak puas hati dari dalam UMNO. Dua menteri dinaikkan pangkat, Ismail Sabri Yaacob diberikan jawatan tambahan sebagai TPM, yang pernah dipertikaikan apabila jawatan itu ditiadakan dan memperkenalkan kaedah empat menteri kanan. Tetapi menteri kanan daripada UMNO dan lainnya tidak dibolehkan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya PM berhalangan. Itu bermakna,  ada diskriminasi kuasa dan wewenang di antara menteri kanan dan dari dalam Perikatan Nasional.

Semalam, selain mengumumkan masih cukup majoriti, Mahiaddin menjelaskan salah satu usaha menjatuhkannya berlaku dalam kalangan pemimpin UMNO,  kerana keengganan campur tangan bagi memebaskan pemimpin-pemimpinnya yang sedang didakwa di mahkamah. Isu itu menyebabkan ramai yang mencabar Mahiaddin untuk membuktikannya, kerana rahsia itu tidak dibongkar secara jelas. Apa yang rakyat faham ialah kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Datuk Ahmad Maslan, sebaik sahaja  dilantik sebagai Setiausaha Agong BN menggantikan Anuar Musa pada awal Januari lalu. Akibat pemecatan itu turut terdedah  hubungan kerjasama beberapa orang pemimpin UMNO untuk menobatkan Anwar Ibrahim sebagai PM, jika  berjaya menjatuhkan PN.

‘meneruskan kezaliman’

Menurut Ahmad Maslan, ada dua sebab kenapa UMNO tidak menyokong Mahiaddin. Sebab pertama ialah soal pelantikan dan pembahagian jawatan dalam kabinet. Tetapi, yang lebih penting ialah ‘kezaliman yang diteruskan oleh PN’  walaupun ianya dimulakan oleh kerajaan terdahulu, yakni PH.

Kata Ahmad Maslan, “Satu lagi rasa tidak puas hati ialah bukan kerana jawatan sangat, tetapi kerajaan sekarang meneruskan kezaliman kerajaan dahulu. Ini tak wajar dibuat. Kes-kes yang dibawa ke mahkamah ini ialah kezaliman zaman (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad, (bekas peguam negara)Tommy Thomas dan (bekas ketua pesuruhjaya SPRM) Latheefa Koya. Mahathir dah tak ada dalam kerajaan, Tommy Thomas tak tahu ke mana, Latheefa Koya pun tak tahu pergi mana. Tetapi kenapa kes yang mereka bawa ini diteruskan?”. (Malaysiakini, 6 Januari 2021).

Biarpun apa yang dijelaskan oleh Ahmad Maslan merujuk kepada dirinya dan beberapa orang lain yang didakwa menerima dana daripada 1MDB, selagi kisah 1MDB tidak selesai, ia akan terus menjadi sejarah skandal korporat dan politik yang terbesar. Biarpun proses pendakwaannya dilihat berlaku secara terpilih, ia tetap menjadi ‘parut hitam’ dalam politik Malaysia.

Tentunya, yang sangat boleh membantu ialah mencari Jho Lo walaupun ‘ke lubang cacing’ . Selagi beliau tidak ditangkap, diadili dan disahkan bersalah, maka ‘parut hitam politik Malaysia’  dianggap belum sembuh, masih berdarah. Itulah kaitan terbesar yang akan menyebabkan UMNO dianggap sebagai sebuah parti penuh perlakuan tidak beradab. Adab dihubungkan dengan integriti dan budaya warlord, adab yang dikerangkakan dengan budaya rasuah, politik wang dan salah guna kuasa.

Mungkinkah kenyataan Ahmad Maslan itu salah satu bukti desakan agar Mahiaddin campur tangan dalam badan kehakiman negara?  Apakah ia akan mengulangi apa yang pernah berlaku pada zaman Dr Mahathir yang cukup berang apabila kes-kes yang dihadapkan ke mahkamah berkeputusan tidak menyebelahi kerajaan? Semuanya itu mengingatkan sebahagian rakyat Malaysia tentang apa yang berlaku: pemecatan Tun Salleh Abas (Allahyarham), video VK Lingam, pindaan Perlembagaan (1983, 1993), dan kes pengharaman UMNO (1998).

tafsiran darurat

Mahiaddin turut dipersoalkan dengan adab berpolitik apabila berlakunya pelencongan adab ketika barisan kabinetnya mengumumkan bahawa telah tamat Proklamasi Darurat pada 21 Julai 2021. Enam ordinan yang berkait dengan darurat telah ditamatkan enam hari sebelum Dewan Rakyat bersidang, yang proses penentuan persidangannya terpaksa dilakukan setelah ditekan. Sebelumnya, Mahiaddin enggan melakukannya kerana berpegang kepada tafsiran darurat, hanya boleh dilaksanakan selepas ianya tamat.

Ia menimbulkan tekanan yang cukup kuat sehingga Mahiaddin didakwa ‘biadab’ bila Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang mengeluarkan huraian bahawa ‘secepat’ mungkin adalah berbeza dengan ‘segera’. Pandangan YDPA tidak memberikan tarikh yang jelas, masih terikat dengan budi bicara PM, tetapi ramai politikus mentafsirkan ‘secepat mungkin’ itu seumpama ‘besok’. Akhirnya, Mahiaddin terpaksa mengalah, dan berusaha memulakan sidang Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021, yang juga turut menuai kritik kerana mengehadkan perbincangan dan perbahasan, lebih berbentuk taklimat.

Setelah tiga hari berlangsung, Dewan Rakyat ditangguhkan kepada 2 Ogos 2021, kemudian ditangguh lagi tanpa memberikan tarikh penggantiannya. Akibatnya, bukan sahaja Mahiaddin dikecam bahkan ada di antaranya turut mengecam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). KKM didakwa dijadikan sebagai alat untuk Mahiaddin melepaskan diri daripada  undi percaya atau tidak percaya di Dewan Rakyat.

‘bukan lagi alasan’

Mahiaddin dikatakan menggunakan kes COVID-19 yang dijangkiti oleh warga parlimen sebagai menutupi kelemahannya, termasuk kegagalan menangani penularan pandemik biarpun langkah kawalan telah dibuat – PKP, PKPD, PKPB dan darurat sehingga bertukar kepada PPN (Pelan Pemulihan Negara) – kes jangkitan tidak menunjukkan penurunan ketara. Seolah-olah program vaksinisasi ‘tidak berkesan’ dan COVID-19 bukan lagi alasan untuk segala-galanya, ekonomi merudum, kehidupan rakyat terjejas dan halangan melaksanakan ‘check and balance’.

Bagi segelintir ahli politik, Mahiaddin telah dianggap gagal maka itulah sebabnya beliau tidak ada pilihan, kecuali meletakkan jawatan. Serangan terakhir dengan isu ‘derhaka’ cukup menyebabkan Mahiaddin ‘hampir tersungkur’ walaupun dilihat mula bangkit apabila kedudukannya diberikan sekali lagi peluang. Mahiaddin berjanji, kesemuanya akan ditentukan bulan September nanti, termasuk usul undi percaya atau tidak percaya ke atasnya, untuk ditentukan di Dewan Rakyat.

Ia masih belum dapat meredakan masyarakat politik. Bahkan semakin banyak cetusan kecaman dikeluarkan termasuk penambahan senarai wakil rakyat UMNO yang tidak menyokong Mahiaddin, dan lain-lain tindakan spekulatif yang mungkin berlaku. Ada yang mendakwa, dalam tempoh sepanjang Ogos ini akan berlaku lebih banyak percubaan ‘membeli’ di antara kedua-dua pihak, kerana sebahagian kelompok yang tidak menyokong Mahiaddin belum menyatakan pendirian dengan jelas. Usaha mengumpul persetujuan, atau akuan berkanun (SD)  terus berjalan, bahkan kedengaran ada tiga orang wakil rakyat di Sarawak sudah dihubungi oleh pihak tertentu, termasuk menyokong PH untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah.

‘kelompok berseberangan’

Hal ini berlaku kerana Malaysia mengamalkan sistem politik pelbagai parti, bukan sistem dua parti. Ini bermakna, seseorang wakil rakyat tidak secara automatik berada dalam kelompok berseberangan selepas menarik diri menyokong seseorang. Umpamanya, masih ada beberapa orang wakil rakyat tidak berparti (kekal sebagai wakil rakyat bebas) setelah mengisytiharkan diri keluar parti. Mereka ini mungkin menjadi ‘king maker’ sekiranya terdapat jumlah yang kecil dalam dua kelompok yang berebut kuasa.

Sekali pandang, meriahnya gelanggang politik Malaysia. Tetapi, kemeriahan itu tidak selama-lamanya menghiburkan. Ia bertukar menjadi kebencian dan tragedi jika keadaan kehidupan rakyat terjejas. Inilah yang berlaku sekarang, rakyat mula mempersoalkan apa dan mengapa politkus begitu ghairah mempersoalkan kuasa, bukan berusaha menyelesaikan kemelut kehidupan rakyat yang terhimpit akibat penularan wabak COVID-19.

Rakyat semakin sukar, tiada pekerjaan, tiada wang untuk menguruskan hidup sendiri dan keluarga. Akibat terhimpit, emosi mereka  terjejas dan lebih menyedihkan  bila kes cuba bunuh diri dan bunuh diri meningkat, bukan sahaja dalam kalangan bukan Islam bahkan orang Islam sendiri pun sudah mengambil jalan pintas kerana kebuntuan, kebencian mereka kepada situasi sangat tidak kondusif, ahli politik hanya tahu dan sepenuhnya menumpukan tujuan politik, kuasa, kuasa dan kuasa. Rakyat bukan sahaja dijadikan alasan, bahkan ada ketikanya dikambinghitamkan, dibuli dan dipersendakan kerana jiwa politik sekarang sangat berteraskan kepentingan duniawi, kedudukan dan menari dalam tempo denial syndrome dan politik semberono (impulsive politics).

‘retak dan menunggu belah’

Kini, lantai politik Malaysia semakin berdaki, daki yang sukar dihapuskan setelah karpet  berbau dibuang akibat tidak mampu menyembunyikan ‘sampah dan debu’ dan digantikan marmar berkilat, dan bersinar. Marmar itu bukan sahaja pudar percikan cahayanya, juga semakin retak dan menunggu pecah.

Politik Malaysia sekarang sangat mengharapkan seseorang yang jujur, cergas dan bermotivasi untuk menyental kesemua daki-daki yang melekat kemas di marmar, namun belum kelihatan siapakah yang benar-benar boleh jadi penyelamatnya. Dan, tentunya, pemimpin itu bukanlah yang sangat bergantung kepada ‘viagra’ dan pemuncakan libido politik, tetapi seorang yang  cukup bertenaga dan sedikit sebanyak ada ‘sentuhan ajaib’, walaupun tidak seajaib Aladin ataupun berangsakan telur emas.

Mahanor Saleha

 

Translate »