Secara jujurnya, berapa ramai rakyat Malaysia hauskan kerajaan selain daripada Perikatan Nasional sekarang? Saya sengaja mengajukan pertanyaan tersebut kerana sudah muak mendengar celoteh Anwar Ibrahim, bukan sekali beliau berkata ‘Mahiaddin sudah tumbang’. Seingat saya dalam tempoh terdekat, yakni sejak kurang daripada setahun sebanyak tiga kali Anwar berkata perkara yang sama, realitinya kerajaan pimpinan Mahiaddin belum juga tumbang.
Pertama kali kita dengar Anwar Ibrahim berkata Mahiaddin tumbang ialah bulan September 2020 selepas beliau dibenarkan menghadap Yang di Pertuan Agong bagi mempersembahkan senarai wakil rakyat yang menyokongnya. Selepas pertemuan tersebut, Kenyataan Media Istana Negara mengesahkan Anwar ada menyertakan ‘dokumen’ tetapi tidak lengkap kerana tidak ada senarai nama wakil rakyat yang menyebelahinya.
Slogan ‘cukup nombor’ meniti dibibir setiap pengamat politik tanah air, yang kemudiannya disusuli dengan permohonan Mahiaddin untuk mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong bagi mendapatkan keputusan Proklamasi Darurat, tetapi ditolak dengan alasan, tiada keperluan ketika itu (bulan Oktober 2020).
‘peluang menjatuhkan Mahiaddin’
Sebelumnya turut heboh berkenaan siapa sebenarnya calon Perdana Menteri yang bakal dipilih oleh PH sekiranya ada peluang menjatuhkan Mahiaddin. Sekurang-kurangnya berlaku perebutan antara dua tokoh, Anwar dan Dr Mahathir, yang kemudiannya Anwar mendapat kepercayaan PH untuk memilihnya sebagai calon tunggal setelah beliau menduduki jawatan Pengerusi PH. Tiada siapa lagi yang berani menentang, kerana Anwar sudah dinobatkan sebagai ‘maharaja’ yang menghampiri tabie Justice Bao dalam kisah legenda China Klasik.
Dr Mahahir tidak pendek akal, maka diumumkan solusi ‘terbaik’ di mana Shafie Afdal adalah calon yang cukup layak manakala Mukhriz dan Anwar bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya resolusi itu diterima. Hal ini menyebabkan situasi politik semakin panas. Keluar pula idea cemerlang Dr Mazlee Malik dengan analogy galah pendek dan galah sedikit panjang.
Namun galah sedikit panjang itu tidak cukup jolok buah yang hampir ranum di dahan atas. Maknanya, jika dua galah itu disambungkan belum tentu sampai mengait buah yan dikatakan hampir ranum itu. Peluang yang ada ialah tunggu buah yang hampir ranum itu gugur, hingga sekarang belum juga gugur. Macam tangkai jering, kulit dan isi di dalam sudah lama kering.
Kali kedua sayup-sayup kedengaran ‘Mahiaddin tumbang’ ialah beberapa bulan lalu apabila ada cerita semua ketua parti akan dipanggil menghadap YDPA bagi membolehkan apa yang terbuku, tidak dapat dikeluarkan dipersembahkan untuk pertimbangan baginda. Selepas pertemuan itu muncul pula isu kerjasama yang sudah dirintis dan hampir memperoleh kejayaan dengan UMNO. Dikatakan Presiden UMNO mengatur surat sokongan agar Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri jika Perikatan Nasional tumbang.
Setelah terdedahnya surat tersebut, ia menjadi ‘senjata yang cukup berbahaya’ untuk Zahid Hamidi sehingga beliau akhirnya mengumumkan ‘gencatan politik’. Bagaimanapun, ‘gencatan politik’ itu kekal lama, kembali diserang seumpama gencatan senjata antara Hamas dan Israel yang dilaksanakan selepas sebelas hari berperang dalam bulan Mei 2021. Beberapa hari lalu muncul keadaan yang menampakkan Israel sedang melakukan provokasi sekali lagi walaupun kali ini dibawah teraju Naftali Bennet, yang berjaya menyingkirkan penguasaan Benjamin Neetanyahu selama dua belas tahun melalui pembentukan gabungan baharu, yang kemudiannya diluluskan oleh Knesset.
‘dilema Zahid’
Hari ini, menurut laporan media Anwar bercakap di Dataran Merdeka mengatakan Muhyiddin Yassin ‘telah hilang sokongan majoriti di parlimen’. Dan, kerana itu, ‘Perikatan Nasional telah tumbang apabila anggota parlimen menarik sokongan’. Setakat itu sahaja Anwar mengulas, tidak disebutkan siapakah ahli parlimen yang menarik sokongan tersebut? Setahu ramai, hanya ada kenyataan daripada Presiden UMNO, tetapi sifatnya masih tidak boleh dimuktamadkan kerana Zahid juga sedang berdilema, sama ada terlucut kedudukannya dan beberapa minggu lalu tersebar berita bakal menyertai PKR.
Dalam satu laporan, Anwar mendakwa dirinya memilik sokongan daripada 107 ahli parlimen, (Sinar Harian, 2 Ogos 2021) dan jika benar dakwaan itu, Anwar masih belum mampu menumbangkan Perikatan Nasional. Berdasarkan jumlah kerusi Dewan Rakyat sekarang, iaitu 220 (dua kerusi masih kosong ekoran penyandangnya meninggal dunia dan belum diadakan PRK), untuk melepasi majoriti mudah diperlukan lagi empat sokongan.
Secara mudah, Mahiaddin masih ada 113 kerusi (termasuk dirinya sendiri), ertinya dengan kelebihan 6 sokongan. Jika ditolak dengan pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah yang enggan berada di barisan kerajaan, bermakna Mahiaddin masih ada 112. Secara rasmi, Zahid masih belum berani menyatakan permohonan untuk berada di blok pembangkang mahupun sebagai anggota berkecuali seperti Tengku Razaleigh. Selagi kedudukan ini tidak berubah dengan rasmi dan jelas, bermakna Anwar ‘lebong’ lagi dan ramai mendengar dakwaah Mahiaddin ‘tumbang’ hanya retorik politik yang cukup sinonim dengan budaya politik Presiden PKR itu.
Laporan Agenda Daily (2 Ogos 2021) menyebut hanya sekitar 64 orang MP hadir berhimpun di Dataran Merdeka namun dalam senarai lengkap, jumlah yang hadir ialah 53 MP, iaitu : PKR 24 (bukan 35 orang), DAP 22 (daripada 42), PAN 8 (daripada 11), Pejuang 3 (daripada 4), Warisan 4 (daripada 9), Bebas 2 (daripada 6) dan tiada wakil daripada PSB, Sarawak (2 MP). Jika diambil kira 64 MP, bermakna Anwar sebenarnya masih jauh daripada’lebong’ berjaya menumbangkan Perikatan Nasional. Itulah cara propaganda yang Anwar lakukan sejak sekian lama, dan paling kita ingati ialah bagaimana permainan angka telah melontarkan ‘mitos tumbangnya BN pada 16 September 2008’ dalam Langkah ke Putrajaya.
‘gunakan platform’
Ada netizen menyindir, patutlah MP yang gila kuasa itu berarak ke Dataran Merdeka selepas tidak dibenarkan berhimpun di Parlimen kerana mereka memang nak gunakan platform itu bagi menggambarkan Perikatan Nasional ‘sangat teruk’, walaupun yang sebenarnya, pakatan pembangkang yang sangat teruk, termasuk Anwar Ibrahim yang memang terkenal dengan jolokan ‘Bapa Demonstrasi’ dan juga ‘Bapa Cukup Nombor’ selain retorik ‘Jika Berkuasa, Pagi-Pagi Lagi Esok Harga Minyak Turun’, ‘Hapuskan PTPTN’, atau ‘Ini Negeri Bukan Melayu Punya, Malaysia Kita Punya’.
Tidak juga ada mula membuat perhitungan berapa lamakah Anwar merupakan ‘PM Tepi?’ Kalau diambil kira pemecatannya pada tahun 1998 kerana sebelumnya ada dakwaan sedang melakukan ‘grand design’ untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr Mahathir yang sudah bocor (rakaman audio), bermakna telah ada percubaan sejak 1997 lagi. Makna, perancangan Anwar telah gagal sejak itu, ‘Sebuah Agenda Perjuangan, Belum Lagi Selesai Setelah 24 Tahun’. Kalau mereka yang lahir pada 1997 (Generasi Milenium) membuka sejarah, maka mereka akan ketawa. Mereka ketawa bukan kerana gigihnya Anwar berjuang merebut jawatan itu dengan slogan Kalau Saya PM, Semua Masalah Selesai dan semakin tidak lagi mempercayai dakwaan seumpama mitos ‘Menteri Kewangan Terbaik’ yang diberikan oleh media antarabangsa (jika betul) atau dakwaan juak-juaknya.
Biarpun Anwar sudah dibebaskan dengan pengampunan di raja, sejarah tetap mencatatkan bahawa beliau dua kali berada dalam penjara Sg Buloh. Kalaupun dimarahi dipanggil ‘bekas banduan’, Anwar tetap bukan seorang pemimpin yang maksum, maka sebahagian tingkah politiknya turut mencerminkan tahap moral yang diperjuangkan, sekurang-kurangnya ada dua hal yang sangat menjolok: berbohong dan anarkis.
Kisah bohongnya cukup banyak. Bohong pasal ‘nak turun harga petrol’, ‘hapuskan PTPTN’, ‘cukup nombor’ dan menyindir gaya mewah kehidupan pemimpin. Sudah jelas dan nyata, ketika menghadap YDPA, Anwar dilihat ‘sangat mewah’ apabila menggunakan kereta Jaguar XJ masuk ke Istana Negara. Juga rakyat ingat bagaimana Anwar turut menggunakan jet sewa khas (walaupun katanya ditaja) untuk hadir dalam jeyawaryanya beberapa ketika dahulu. Pernah juga ada cerita semasa ‘berkuasa’ yakni ketika berjawatan Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, beliau terkenal dengan jenama Zegna, yang cukup mewah.
Budaya anarkis sudah lama bersarang dalam ‘qalb’ dan menguasai nafs Anwar, yakni sejak zaman mahasiswa Universiti Malaya lagi. Tahun 1974, menjadi penggerak utama Demonstrasi Baling, yang pada asasnya secara rasmi tidak ada petani yang mati kelaparan kerana ‘tidak ada makanan’. Kemudian, menggunakan ‘demonstrasi’ untuk memburuk-burukan pentadbiran Dr Mahathir kerana memecatnya sebagai ‘tindakan zalim’ atas alasan terbabit dengan kes seks di luar tabi’e. Biarpun kes itu memberikan kemenangan bagi Anwar, salah seorang juri memberikan komen bahawa ‘tidak bermakna kes berkenaan tidak berlaku’. Kes tersebut tidak berakhir dengan ‘kebenaran’, ia diputuskan menerusi keputusan juri.
Bagaimana pun Anwar dihantar ke penjara kerana didapati bersalah dalam kes salah laku. Semasa ditangkap, isterinya membuat komen yang cukup ‘bohong’ bahawa suaminya telah disuntik dengan arsenik dan juga virus HIV/AIDS. Jika benar Anwar telah disuntik, menurut jangkaan Wan Azizah, Anwar akan mati secara perlahan-lahan, dan hingga kini, Anwar belum lagi mati. Memang setiap manusia percaya, setiap yang hidup akan mati.
Bagi orang Islam, mati itu pasti dan Allah SWT yang tentukan. Kita tahu, ada bekas penyiasat Rusia (yang berpaling tadah) meninggal dalam tempoh kurang setahun atau lebih selepas terkena racun arsenik. Ertinya, dari segi lojik, Anwar sangat kebal dengan arsenic sehingga lebih 24 tahun daripada dakwaan telah disuntik belum lagi meninggal.
‘Anwar sepatutnya sudah lama meninggal’
Tetapi, jika mengikut lojik Wan Azizah, Anwar sepatutnya sudah lama ‘meninggal’ dan mungkin tidak sempat dihantar ke penjara semula (kali kedua) pada tahun 2014, iaitu beberapa jam sebelum MH370 dilaporkan hilang, yang sampai sekarang belum dapat dikesan di mana dan bagaimana ‘burung besi’ itu berakhir.
Sekurang-kurangnya, sejak dibebaskan kali pertama semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, ada tiga langkah yang cukup sinonim dengan kegagalan PM tepi. Langkah pertama ialah Road to Putrajaya yang dihebohkan semasa kempen PRK Permatang Pauh (Ogos 2008) yang cukup bersejarah dari mahalnya pembiayaan kempen PKR dan bagaimana bekas pembantu Imam Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dieksploitasi bagai menutup kes liwat II yang dibuat Sumpah Laknat oleh bekas pembantu peribadinya, Saiful Bakhari Azlan. Kes ini kemudiannya menyebabkan Anwar dihantar ke Penjara Sungai Buloh, yang menjadikan Langkah Kajang berubah maksud.
Anwar ketika itu sangat terilham daripada kejayaan Recep Taiyaib Erdogan, dari menguasai Istanbul dan kemudiannya menjadi Perdana Menteri Turki, selepasnya ditukarkan kedudukan sebagai Presiden Turki, mahu menggunakan ‘laluan serupa’, yakni melompat dari Kajang-Shah Alam dan kemudiannya menguasai Malaysia. Anwar juga mendapat ilham daripada kejayaan Joko Widodo (Jokowi) yang bermula dengan baik sebagai Gabenor Jogjakarta, kemudian berjaya menguasai politik Indonesia dan menang Pilihan Raya Presiden pada tahun 2016.
Biarpun ketika Anwar didapati bersalah, Jokowi masih belum lagi Presiden Indonesia, namanya sudah cukup harum untuk diundi sebagai presiden yang boleh menggantikan Susilo Bambang Yudhiyono (SBY), petunjuk dari bawah membuktikan parti mana pun yang memilih Jokowi sebagai calon presiden, parti itu akan menang, kecuali Golkar yang belum pulih daripada imejnya yang dikaitkan dengan perilaku politik Suharto yang terkait dengan KKB (kronisme, korupsi dan nepotisme).
Imej buruk Suharto dan kedudukan BJ Habibie tidak dapat memulihkan Golkar, sehingga parti yang pernah dilihat terkuat di Indonesia memberikan sokongan kepada Gus Dur daripada PKB (Parti Kebangkitan Bangsa) dalam pilihan raya 1999. Ertinya, BJ Habibie merupakan presiden Indonesia yang paling singkat berkuasa (21 Mei 1998-20 Oktober 1999). Disebabkan tuduhan yang dilemparkan ke atasnya, termasuk pro Suharto dan anak didik Suharto, BJ Habibie mengambil keputusan tidak bertanding pada tahun 1999, dan Golkar memberikan sokongan kepada Gus Dur.
Ekoran Krisis Kewangan 1997/1998, Anwar cuba menguji pengaruhnya untuk memperlihatkan perbezaan pandangannya dengan Dr Mahathir dalam menyelesaikan masalah tersebut. Anwar mendapat sokongan badan kewangan antarabangsa, agar menaikkan kadar faedah pinjaman dan menerima bantuan dana asing untuk mengekang krisis nilai matawang, namun hal itu tidak dipersetujui oleh Dr Mahathir.
Mahathir menggunakan pendekatan ‘menambat nilai ringgit dengan kadar RM 3.80 bagi setiap dolar’, membatalkan dominasi mata wang ringgit dalam nilai 500 dan 1,000, menurunkan kadar faedah dan ‘membeli hutang-hutang lapok daripada bank-bank perdagangan’ diletakkan di bawah pentadbiran Khazanah, menyebabkan Anwar tidak berpuas hati.
‘enggan meletakkan jawatan’
Anwar merasakan formulanya lebih berkesan, tetapi Dr Mahathir kemudiannya berjaya memulihkan keadaan. Akhirnya, Anwar dipecat dan kerana Dr Mahathir tidak boleh menerima seseorang yang mempunyai masalah moral, di mana Anwar ketika itu dilaporkan ada kes semburit yang cukup meloyakan. Anwar dipecat kerana beliau enggan meletakkan jawatan apabila diminta, dan bagi Anwar, dirinya akan tertap melawan ‘konspirasi politik’ itu dengan turun ke jalan raya menjelaskan keburukan Dr Mahathir dan dakwaan ke atasnya yang ‘tidak berhati perut’.
Waktu itu cukup hebat gegarannya, tetapi tidak cukup kuat untuk menjatuhkan kepimpinan negara walaupun PAS bersedia memberikan ruang kepada Anwar dan DAP mula memberikan sokongan kepada Anwar. Pilihan raya 1999, Parti Keadilan Nasional (yang ditubuhkan dengan tujuan ‘pembebasan Anwar’ dan ‘keadilan untuk Anwar’) tidak cukup kuat, BN masih berkuasa. Namun, tahun itu juga menyaksikan Najib hampir kalah di Pekan.
Sebelum dibebaskan kali pertama, Tun Abdullah mengambil kepimpinan politik daripada Dr Mahathir manakala Najib dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila dibebaskan, Anwar menuntut jawatan Perdana Menteri kerana menganggap dirinya adalah ‘orang yang paling layak’ tetapi kerana kezaliman yang berlaku –konspirasi politik- kedudukannya tersingkir. Suasana itu menyelebungi iklim politik Malaysia sekitar tahun 2004 sehinggalah PRK Permatang Pauh (Ogos 2008) atau sebelumnya, Perhimpunan di Kg Baru sempena malam ‘pembebasan Anwar (14 April 2008)’, yakni tarikh tersebut beliau bebas untuk aktif berpolitik.
Berbeza dengan pembebasan awal beberapa hari pada tahun 2018. Anwar segera boleh melibatkan diri dalam politik kerana mendapat pengampunan di raja. Itu adalah janji Dr Mahathir ketika Anwar Ibrahim bersetuju memberikan laluan kepada bekas PM ke-4 sekali lagi menjawat jawatan PM ke-7 sekiranya PH menang. Namun, janji yang tidak ditunaikan oleh Dr Mahathir ialah menyerahkan jawatan itu kepada Anwar setelah bekas TPM itu layak, dan tarikh tentatif sentiasa berubaha-ubah. Perubahan terakhir ialah selepas APEX yang diadakan di Kuala Lumpur bulan November 2020.
Namun, juak-juak Anwar tidak boleh menerima sebarang penangguhan lagi, lantas mereka memberikan tarikh terakhir kepada Dr Mahathir, proses peralihan kuasa mesti berlaku selewat-lewatnya pada 10 Mei 2020. Sebelum tarikh tersebut, Dr Mahathir membuat keputusan lain, meletakkan jawatan atas alasan ‘tidak lagi mendapat sokongan’ dan menyebabkan PH terpinga-pinga seumpama ‘anak ayam kehilangan ibu’.
‘empat kali ‘terjelepuk’
Rentetan daripada ‘kehampaan’ itulah Anwar sangat ‘tergila-gila’ untuk mendapatkan jawatan PM untuk kali keempat. Sudah tiga langkah kecundang- Road to Putrajaya, Langkah Kajang dan terakhir Langkah Sheraton – dan dua kali dengan ‘cukup nombor’. Gambaran itu menunjukkan, Anwar sebenarnya sudah empat kali ‘terjelepuk’ dan bakal mengulangi sekali lagi selepas ini, walaupun mengakui ada 107 sokongan dan beberapa orang lagi sedang ‘berunding’.
Kalau tahun 2008, Anwar terpaksa ‘membeli masa’ bagi menjayakan ‘scheme of thing’, maka kali ini juga dikatakan akan ditakdirkan dengan karma baharu, yang mungkin lebih dahsyat daripada sebelumnya. Ini kerana, ketika gagal membuat perhimpunan di Parlimen pada 2 Ogos 2021, pengikut-pengikutnya berpindah ke Dataran Merdeka dalam situasi COVID-19 terus menggila.
Apakah pengumuman Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli ada kaitannya dengan hasrat untuk bersama kelompok Zahid Hamidi menyokong Anwar? Atau apakah maknanya bila ada yang mengatakan perjumpaan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob bahawa kesemua anggota BN menyokong Mahiaddin itu betul?
Apa yang dilaporkan bahawa mesyuarat yang dipanggil oleh Ismail Sabri hanya dihadiri oleh 19 orang wakil rakyat UMNO, itu juga menunjukkan sokongan kepada Perikatan Nasional? Ertinya, jika itu dijadikan asas, UMNO benar-benar terbelah, separuh bersama Zahid dan separuh lagi bersama penyokong PN, kecuali Tengku Razaleigh Hamzah yang dilihat bersendirian.
Pengunduran Dr Shamsul Anuar Nasarah turut menjawab sedikit sebanyak dakwaan bahawa keseluruhan 40 wakil BN menyokong Perikatan Nasional. Jika Dr Shamsul masih menyokong, bermakan beliau tidak akan meletakkan jawatan, ertinya apa yang dilaporak oleh AMT UMNO yang Timbalan Menteri Komunikasi danMultimedia adalah tidak tepat. Terbaharu beliau mengatakan 3 wakil rakyat PKR –termasuk Xavier Jayakumar (MP Kuala Langat) turut menyokong Mahiaddin dan Perikatan Nasional.
Ini bermakna, kedudukan Anwar sebagaimana dilaporkan ada 107 penyokong masih boleh dipertikaikan, selagi tidak ada bukti yang jelas. Sekiranya Anwar terus menggunakan ‘cukup nombor’ sebagai strategi politik untuk menampakkan sokongannya masih berpengaruh, lupakanlah. Mungkin selama-lamanya Anwar akan dikenang sebagai PM Menanti yang cukup epik dalam sejarah politik Malaysia moden.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments