Mahiaddin akhirnya terjerat dengan ‘darurat’, COVID-19 tidak menurun dan exit policy yang diumumkan pada 16 Julai 2021 tidak menampakkan ada kesan positif, proses peralihan ke fasa dua semakin jauh untuk mencapai nilai ambang di bawah 4,000 kes sehari. Desakan untuk Mahiaddin berlaku adil kepada negeri-negeri yang kes hariannya adalah rendah mula berlaku, maka negeri-negeri berkenaan kemudian ditarafkan semula, tetapi ia mungkin hanya sementara kerana kes harian memperlihatkan trend peningkatan semula hari-hari terakhir bulan Julai meskipun kadar pemberian vaksin meningkat dan dilaporkan melebihi 500,000 dos sehari.
Misalnya, berlaku peningkatan ke empat angka di beberapa buah negeri (Kedah-1511 kes, Johor-1,045 kes dan Sabah -1,002 kes) pada 1 Ogos 2021, yang sebahagiannya disumbangkan oleh sikap degil rakyat, tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Kerana ‘ikutkan hati’, maka ‘curi-curi ziarah Aidil Adha’ telah menaikkan kes jangkitan di Terengganu, seperti disuarakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Ia mengingatkan kita Kluster Ziarah Aidilfitri.
suntikan booster
Kini muncul pula isu pemberian vaksin dos ketiga, bagi berhadapan dengan kemunculan virus corona varian delta yang dikatakan cukup berbahaya. Pengeluar vaksin BioNTech-Pfizer sedang menunggu kelulusan cadangan pemberian dos ketiga. Dari satu perspektif, ia menunjukkan bahawa perniagaan vaksin adalah suatu permainan kapitalis di atas kesusahan dan penderitaan manusia akibat berkembangnya sesuatu wabak. China turut didakwa mengamalkan ‘charm strategy’ dalam proses penjualan dan pengagihan vaksin manakala negara-negara maju dengan keangkuhannya mewujudkan sistem birokrasi. Pfizer dan Moderna bersiap untuk melonjak keuntungan dengan kelulusan suntikan booster.
Pfizer yang berpengkalan di Amerika Syarikat dikatakan telah meraih keuntungan sebanyak RM 47 bilion (AS$11.3 bilion) untuk tempoh enam bulan (2021) dan seterusnya menaikkan unjuran keuntungan daripada RM109 bilion kepada RM 141 bilion sepanjang tahun ini. Begitu juga dengan Moderna, keuntungan suku pertama (Januari-Mac 2021) ialah RM 7.7 bilion. Ia berbeza dengan pendirian Astra Zeneca dan Johnson & Johnson, harga dos keluaran mereka tidaklah setinggi harga yang dijual oleh Pfizer dan Moderna. Ini jelas membuktikan, di sebalik ‘penderitaan ramai’, ada pihak mencari peluang mengautkan keuntungan berlipat kali ganda. Kadangkala, andaian bahawa sesuatu wabak penyakit ada kaitannya dengan teori konspirasi ada lojiknya, walaupun tidak dapat dibuktikan dengan jelas.
Misalnya, untuk pembelian vaksin yang dikeluarkan oleh Eropah, ia perlu mendapat kelulusan Kesatuan Eropah terlebih dahulu. Kesatuan Eropah pula membuat pengiktirafan terpilih, vaksin yang dikilangkan oleh negara lain walaupun menggunakan formula yang sama tidak diiktiraf dan ini menyebabkan lebih banyak negara berada dalam dilema. Bagaimanapun, China dilihat lebih mesra berbanding Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah dalam hal menjual dan mengagihkan vaksin keluarannya, Sinovac dan Sinopharm. Hal ini menyebabkan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat mula mengubah strategi, yakni menderma vaksin kepada beberapa buah negara tertentu, yang dilihatnya boleh membantu mengekalkan kedudukan hegemoni ekonomi dan politiknya, bagi menyaingi ‘charm strategy’ China. Bahkan Israel turut menawarkan sejumlah ‘bantuan vaksin’ daripada stoknya yang hampir luput tarikh.
BACA JUGA: NEGARA DALAM KRISIS: JANGAN DAKWA ‘KERAJAAN TAK PAYUNG’, https://omiw.com.my/Web/2021/08/01/negara-dalam-krisis-jangan-dakwa-kerajaan-tak-payung/
Ketika ini, dari perspektif politik dalaman, Malaysia masih bergelora dengan isu yang dilihat cuba dikaitkan dengan ‘krisis perlembagaan’. Ia bermula apabila ‘taklimat PM’ di Dewan Rakyat pada hari pertama persidangannya, proklamasi darurat sudah ditamatkan pada 21 Julai 2021, yakni lima hari sebelum Dewan Rakyat bersidang, dan dua belas hari sebelum tarikh sebenarnya tamat. Penamatan lebih awal ini mencetuskan perdebatan, perdebatan antara kuasa politik dan kuasa YDPA dalam sistem Raja Berperlembagaan.
perspektif nilai dan budaya
Semasa permohonan Proklamasi Darurat hendak dibuat (bulan Januari), PM dan beberapa orang tertentu (antaranya, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia) memberikan penerangan kepada YDPA, tetapi bila pemansuhan hendak dilakukan, kaedah yang sama tidak berlaku. Hal ini menampakkan suatu situasi yang ‘kurang molek’ daripada perspektif nilai dan budaya. Ia menjadi lebih tertekan ialah apabila YDPA menyatakan ‘dukacita’ terhadap pemansuhan yang dianggap sebagai ‘tergesa-gesa’ itu.
Biarpun menurut penjelasan Pejabat Perdana Menteri, kaedah pemansuhan dibuat secara teratur dan tidak melanggar peraturan, rakyat memandang antara kuasa politik dan Raja Berpelembagaan sedang menuju kepada krisis. Muncullah pelbagai tafsiran, termasuk tafsiran bahawa YDPA hanya mempunyai kuasa dalam tiga perkara, iaitu pelantikan Perdana Menteri, pembubaran Dewan Rakyat dan penganjuran Majlis Raja-Raja Melayu. Maknanya, pemansuhan Proklamasi Darurat dan 6 undang-undang berkaitan tidak memerlukan tanda tangan atau perkenan YDPA.
Di pihak satu lagi melihat keputusan yang dilakukan oleh Mahiaddin sebagai satu bentuk ‘derhaka’, maka melalaklah sebahagian politikus, termasuk yang pernah berusaha membelakangkan Raja Berperlembagaan pada suatu ketika. Antaranya Dr Mahahir yang dilihat sebagai ‘pemula’ kepada tidak menghormati kuasa Raja-Raja Melayu apabila meminda Perlembagaan untuk mengurangkan imuniti dan juga kuasa YDPA (pindaan atau penggubalan undang-undang, akan tetap sah (jadi undang-undang) selepas 30 hari walaupun tidak mendapat perkenan atau tidak ditandatangani).
Bahkan pada suatu ketika Dr Mahathir menggunakan media prokerajaan menyelongkar dan mendedahkan pelbagai kesalahan yang berlaku dalam kalangan keluarga di raja, termasuk kisah Sultan Kelantan ‘membawa lari’ sebuah kenderaan mewah, tafsiran terhadap amukan Prebet Adam di Chow Kit, dan pelbagai kisah yang mengaibkan institusi Raja-Raja Melayu. Ada juga kisah mengenai ‘kisah silam’ diketengahkan dalam naratif perebutan ‘wanita jelita’ walaupun kisah tersebut merupakan kisah daripada sastera hikayat ataupun cerita ‘tanah tergadai akibat kalah laga ayam’, seumpama kisah kebuasan (lagak samseng) anak tok penghulu zaman silam. Saya teringat bagaimana Adib Adam, Menteri Penerangan menjaja perihal kisah dalam Sejarah Melayu mengenai perilaku keluarga di raja ketika mempertahankan tindakan Dr Mahathir meminda Perlembagaan pada tahun-tahun 1980-an.
pertikai status persemadian
Begitu juga dengan DAP, menolak pemberian anugerah oleh Raja-Raja Melayu, dan pernah muncul dalam kalangan ahlinya yang mempersoalkan pemerintahan beraja, tanggungan perbelanjaan kerajaan dan paling memedihkan apabila mempertikaikan status persemadian seseorang Raja yang mangkat sebagai acara rasmi negeri atau negara). Kalau dilihat daripada perspektif undang-undang, tindakan tersebut juga boleh dianggap ‘derhaka’, tidak menghormati undang-undang dan melanggar kesetiaan yang dipersetujui semasa tolak-ansur ‘jus soli’ dalam kompromi politik sebelum Britain bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.
Jika dilihat daripada sejarah politik UMNO, permulaan budaya yang mengecohkan politik dapat ditelusuri daripada sikap dan pendirian Dr Mahathir sebaik sahaja beliau mendapat kuasa. Selepas Tun Hussein Onn bersetuju meletakkan jawatan dan memilih beliau sebagai pengganti, ada sesuatu tradisi yang cuba diubah oleh Dr Mahathir, yakni pembentukan regunya. Saya tidak pasti sama ada benar atau tidak perihal ada ‘pengakuan’ bahawa Dr Mahathir pernah berjanji untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai Timbalan Perdana Menteri memandangkan beliau mempunyai kedudukan yang cukup berpengaruh di antara tiga orang Naib Presiden UMNO ketika itu.
Cerita itu juga pernah saya dengar ketika menjelangnya kempen pemilihan UMNO pada tahun 1987. Kalau betul apa yang dikatakan oleh Ibrahim Ali dalam autobiografinya, Ranjau, Onak, Fitnah dan Cemburu: Perjuangan Tanpa Nokhtah, maka jelaslah bahawa Dr Mahathir merupakan seorang politikus yang cukup ‘gila kuasa’ dan sanggup menukarkan ‘janji’ hanya kerana sudah seronok merasai kuasa. Dalam pertandingan 1981, Dr Mahathir membuka laluan seluas-luasnya kepada Musa Hitam walaupun pada awalnya merasakan tidak berkemampuan untuk bertanding. Kemudian, pada tahun 1984, Dr Mahathir secara terang-terangan menyokong Musa Hitam yang ketika itu sedang semarak kisah keserasian ‘team 2M’.
Bagaimanapun, tahun 1986, Musa Hitam membuat keputusan meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti (kecuali sebagai KUB Segamat dan wakil rakyat) atas beberapa perkara yang tidak ‘beres’ dengan pendirian Dr Mahathir. Pada awalnya dihebohkan kerana Dr Mahathir masih mengekalkan Tengku Razaleigh dalam kabinet, dengan memindahkan jawatan Menteri Kewangan (1976-1984) kepada Menteri Perdagangan dan Perindustrian (1984-1987). Namun, selepas Musa Hitam menerbitkan biografinya, Frankly Speaking (2016) banyak cerita yang menampakkan masalah hubungan dengan Dr Mahathir yang selama ini terpendam dibongkarkan, termasuk kes yang sangat dipertahankan ialah Memali.
‘kemungkaran politik dan ekonomi’
Tahun 1987, Tengku Razaleigh, Musa Hitam, Rais Yatim dan Abdullah Ahmad Badawi membentuk kelompok untuk menentang Dr Mahathir dalam pemilihan UMNO yang disifatkan sangat banyak berlaku ‘kemungkaran politik dan ekonomi’ apabila golongan korporat mula menguasai parti dan UMNO kehilangan beberapa entiti ekonominya (termasuk saham dalam UMBC yang dikuasai oleh Daim Zainudin) dan krisis ekonomi 1986, kelapa sawwit dan getah tidak dapat dijual. Dua orang bekas Perdana Menteri, Tengku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn turut terkilan dengan cara Dr Mahathir mentadbir negara.
Selepas itu, UMNO mula berpecah dan seterusnya mengalami krisis yang sangat teruk apabila diharamkan pada tahun 1988. Kisah pengharaman UMNO ada kaitan dengan pendirian Dr Mahathir untuk mempertahankan kuasa, kerana bimbang dengan mengadakan pemilihan semula UMNO, ia mungkin boleh tumbang berdasarkan perhitungan pengaruh dan kelebihan undi hanya 43. Akhirnya, kumpulan 11 (asalnya 12 orang) membawa kes itu ke mahkamah dengan tujuan untuk ‘membatalkan keputusan pemilihan’, kerana terdapat beberapa perwakilan yang mengambil bahagian (sebagai pemilih) adalah daripada cawangan UMNO yang belum disahkan pendaftarannya. Keputusan berbeza, bukan keputusan pengundian dibatalkan, tetapi UMNO keseluruhannya menjadi sebuah pertubuhan haram (terbatal dengan sendirinya).
Terjadi perebutan untuk menghidupkan semula UMNO. Tengku Razaleigh berusaha untuk mengembalikan semangat UMNO asal, yakni semangat UMNO ketika ditubuhkan pada tahun 1946, manakala Dr Mahathir dengan semangat UMNO yang baharu, UMNO yang mengetepikan golongan guru dan lebih mengutamakan golongan korporat. Itulah sebabnya UMNO selepas berjaya dihidupkan dengan nama UMNO (Baru) dilihat sangat cenderung dengan politik wang dan budaya rasuah (perebutan tender kerajaan dan pemilikan saham semaa Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan).
Akhirnya, wanglah telah ‘membunuh UMNO’ dan yang ‘merancang pembunuhannya ialah Dr Mahathir’ setelah tidak berpuashati penggantinya ‘tidak mengendahkan nasihat’. Ramai rakyat membaca ‘nasihat’ itu ialah: semasa Tun Abdullah sebab membatalkan projek Jambatan Bengkok; dan Najib kerana dua sebab, enggan meneruskan Jambatan Bengkok yang dibatalkan oleh Tun Abdullah, dan tidak memberikan laluan kepada Mukhriz dalam percubaan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.
‘jalan yang mudah‘
Semasa Dr Mahathir sebagai PM dan Presiden UMNO, beliau pernah mengatakan tidak mahu terlibat dan menonjolkan anaknya dalam kepimpinan politik. Mukhriz perlu mencari jalan sendiri untuk berada dalam kelompok kepimpinan politik UMNO. Maknanya, Mukhriz hanya boleh berada dalam kepimpinan tertinggi politik selepas Dr Mahathir tidak lagi berada dalam kelompok kuasa politik UMNO. Menarik untuk difikirkan, tetapi, ia berubah dengan cepat setelah tidak bersedia menyediakan ‘jalan yang mudah’ dan tidak menyokong ‘hasrat’ itu, Dr Mahathir mula menyerang Najib.
Bila muncul laporan audit mengenai 1MDB, Dr Mahathir mendapat peluru baharu menyerang Najib. Digunakan media antarabangsa dan sebagainya untuk ‘mendera’ Najib, termasuk melaporkan kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dengan mengkudakan dua orang juak – Khairudin Abu Hassan dan Mathias Chang. Ia menjadi lebih menekan apabila Mukhriz akhirnya terpaksa meletakkan jawatan apabila berlaku ‘undi tidak percaya’ oleh UMNO Kedah sendiri yang diketuai oleh Datuk Ahmad Bashah. Akhirnya, Mukhriz terpaksa akur dan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah (3 Februari 2016). Ini bermakna Dr Mahathir menjilat balik apa yang pernah dikecamnya apabila Anwar Ibrahim dan juak-juaknya menggunakan media dan organisasi antarabangsa untuk memburuk-burukkan kepimpinannya serta imej negara tahun-tahun 1990-an (Era Reformasi).
Muhyiddin pula dikeluarkan daripada kabinet – Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri- oleh Najib dalam penyusunan kabinet pada bulan Julai 2015. Tempatnya, Menteri Pendidikan digantikan oleh Mahadzir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Ahmad Zahid Hamidi, salah seorang Naib Presiden UMNO. Shafie Afdal digantung keahliannya dan seterusnya tempatnya sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Masyarakat diambil alih oleh Ismail Sabri Yaakob. Mahiaddin kemudian bersama Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM atau singkatannya Bersatu) manakala Shafie Afdal mengambil alih sebuah parti di Sabah dan kemudiannya dinamakan Parti Warisan.
‘semakin goyah’
PRU ke-14, PPBM bergabung dengan DAP, PKR dan PAN dalam Pakatan Harapan manakala Parti Warisan memberikan kerjasama untuk mencari kemenangan di Sabah. PH kemudiannya berkuasa di peringkat pusat manakala Warisan berkuasa di Sabah. Bila PH terlucut kuasa, kedudukan Warisan alami sedikit kegoncangan. Selepas Musa Aman dibebaskan, kedudukan Warisan menjadi semakin goyah sehinggalah DUN Sabah dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri yang baharu. Itulah permainan politik yang cukup licik oleh ‘katak-katak UMNO’ yang berkuasa dalam Bersatu selepas tertubuhnya Perikatan Nasional.
Awalnya mereka berjaya mengubahkan pentadbiran politik di Johor, Kedah, Perak dan Melaka tetapi tidak mampu berbuat tindakan yang serupa di Negeri Sembilan. Bersatu mula membuat percaturan di Sabah, dan percaturan itu menyebabkan timbul kesan yang lain, yakni peningkatan kes COVID-19 dalam bulan Oktober 2020. Kesannya masih terasa hingga kini, kes jangkitan COVID-19 tidak turun pada tahap sebelum PRN Sabah, yakni di bawah 300 kes sehari (3 Oktober 2020 -317 kes, 5 Oktober 2020 -432 kes, 17 Oktober -869 kes, 24 Oktober 1228 kes, 24 November -2,188 kes, 21 Disember -2018 kes, 7 Januari 2021- 3,027 kes, 16 Januari 2021-4,029 kes dan seterusnya membawa kepada lonjakan melebihi 10,000 hingga ke lebih 17,000 kes sehari).
Sebahagian besar rakyat melihat kenaikan tinggi ini disebabkan oleh sikap ahli politik, tidak ada komitmen dan tindakan bersama untuk menurunkan kadar jangkitan harian, sebaliknya, menyalahkan kerajaan yang melaksanakan proses membendung penularan COVID-19 sebagai ‘gagal’ dan seterusnya mentafsirkannya sebagai ‘negara gagal’ kepada ‘krisis negara’. Persoalannya, apakah kegagalan itu hanya disebabkan oleh tindakan kerajaan memperkenalkan PKP dan SOP yang berubah-ubah?
Di sini juga menampakkan, politikus yang menyerang Mahiaddin dengan istilah ‘derhaka’ juga melakukan penderhakaan kerana tidak mengendahkan seruan YDPA agar ‘berkerjasama’ merentasi ideologi politik untuk mengekang penularan virus corona semada memperkenankan Proklamasi Darurat mahupun sebelumnya ketika Mahiaddin gagal kali pertama mendapatkan keputusan yang sama pada bulan Oktober 2020 selepas Anwar mendedahkan ‘cukup nombor’ dan ‘kerajaan Mahiaddin tumbang’.
‘bukan sekadar berpesta’
Apakah benar dakwaan ‘penunjuk perasaan di Dataran Merdeka’ yang berpakaian serba hitam pada 31 Julai 2021 boleh dianggap lojik dan munasabah? Apakah penunjuk perasaan benar-benar mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai dakwaan ‘kerajaan gagal’ dalam menangani COVID-19? Ia sesuatu perlu dilihat secara berfakta dan jalan pemikiran yang rasional, bukan sekadar berpesta ketika sebahagian besar rakyat berada dalam situasi tenat. Apakah dengan berdemonrtasi COVID-19 akan berakhir dengan mudah? Apakah solusi sebenar yang dikehendaki oleh penganjur #kitalawan itu yakin dengan bertukarnya kerajaan, COVID-19 akan terus ‘mati’ dan virus corona lenyap? Siapakah pemimpin yang dilihat mempunyai ‘sentuhan ajaib’ seumpama ‘angsa emas’ yang dapat menghalau COVID-19 itu? Apakah bentuk kezaliman yang didakwa telah dilakukan oleh kerajaan sehingga Mahiaddin perlu meletakkan jawatan?
Sebenarnya, inilah ‘krisis pengetahuan dan tindakan’ yang cukup membingungkan. Sepatutnya mereka yang berdemonstrasi memahami apa makna #staysafe, bukannya terkinja-kinja ‘melalak’ dalam situasi yang diketahui umum bahawa virus corona varian Delta cukup mudah menular dan dijangkiti melalui bawaan angin. Sepatutnya setiap orang mengelakkan daripada berkumpul, walaupun setiap daripada kita memahami makna kebebasan dan hak asasi. Apa guna bercakap dan mempertahankan ‘hak dan kebebasan’ sekiranya virus corona telah memasuki dalam diri sendiri dan bolehkah kita katakan itukah harga yang patut dibayar bila ‘mempertuhankan hak dan kebebasan’, bila munculnya Kluster Dataran Merdeka atau Kluster Berbaju Hitam?
Jangan jadi seumpama wakil rakyat yang angkuh dan sombong. Bila sidang Dewan Rakyat ditangguhkan (2 Ogos 2021) akibat COVID-19 didakwa sengaja menggunakan KKM untuk ‘memadamkan aksi sarkas YB-YB’ dalam episod seterusnya. Dua hari pertama, cukup menghampakan dan hodoh perilaku sekumpulan YB-YB, bukan sahaja memekik dan memaki hamun, bahkan tidak menghormati saat bertafakur dan pembacaan al-Fatihah kepada mangsa COVID-19. Sepatutnya, jika ‘bencikan Mahiaddin’ janganlah sampai mengkhianati kekudusan makna tafakur dan sedekah al-Fatihah. Hormatlah nilai, budaya, dan amalan baik itu. Kalaupun nak membantah, menyergah, melalak buatlah selepas saat tafakur dan bacaan al-Fatihah itu selesai. Bahaslah secara berfakta bukan seumpama ‘terkaman singa lapar’.
‘buatlah apa yang patut asal bahagia’, tapi jangan menyesal
Apakah tidak cukup menakutkan apabila dilaporkan sudah 70 kes berlaku di Parlimen sepanjang empat hari Dewan Rakyat bersidang? Mungkin YB-YB itu akan sedar apabila salah seorang ‘pelakon tegar’nya meninggal dunia akibat COVID-19 dalam bilik air di Dewan Rakyat atau di ruang rehat?. Mungkinkah ketika itu mereka baharulah ‘terngadah’atau mencari ruang untuk menyalahkan ‘kerajaan gagal’?. Kalau itu yang diinginkan, buatlah apa yang patut ‘asalkan YB bahagia’ dan ‘tidak menyusahkan orang lain’. Nak hadir di Parlimen, walaupun tiada persidangan, hadirlah tetapi jangan tuduh ‘kerajaan tidak payung’.
Kerajaan sudah menghabiskan banyak peruntukan untuk membeli ‘payung’ – vaksin, peralatan rawatan, pemeriksaan kesihatan, penggembelingan sumber, menyebarkan pengetahuan dan langkah pembendungan—cuma dalam beberapa keadaan masih ramai yang sukar melindungi dari sendiri, masih degil melanggar SOP dan mencabar peraturan. Akhirnya, bukan ‘kerajaan’ sahaja gagal, rakyat juga akan disahkan sebagai pihak yang gagal. Itulah fenomena kehidupan yang perlu dilihat secara jujur, bukan mengamalkan budaya ‘telunjuk lurus, kelingking berkait’ dan sepatutnya saling bekerjasama. Sebabnya, COVID-19 bukan menyerang kerajaan, virus corona menyerang manusia dan berusaha menggagalkan sistem pernafasan seseorang.
Mahanor Saleha
Recent Comments