Dari perspektif makna, krisis bermaksud: “keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yang boleh secara tiba-tiba menyebabkan sesuatu kejadian (perkembangan, perubahan dan lain-lain)’ keadaan yang lazimnya mendatangkan kesan buruk, keadaan yang genting, kegentingan, ketegangan, keributan” (Kamus Dewan, edisi keempat, cetakan 2007, hal.830).
Istilah krisis merupakan pinjaman daripada istilah Inggeris, crisis. Dalam bahasa Inggeris krisis bermakna:”masa menghadapi kesukaran besar atau bahaya, saat penentuan dalam keadaan sakit, kehidupan, sejarah, dan sebagainya; krisis.” (AS Hornby, Oxford Compact Advanced Learner’s English-Malay Dictionary, terjemahan Asmah Haji Omar, 2007, hal.326).
Educalingo, kamus dalam talian mendefinisikan krisis itu sebagai: keadaan tidak stabil atau tidak tenteram yg boleh secara tiba-tiba menyebabkan sesuatu kejadian, keadaan yg lazimnya mendatangkan kesan buruk, keadaan yg genting, kegentingan, ketegangan, keributan: pucuk pimpinan parti sedang berusaha menyelesaikan ~ yg timbul dlm parti itu; ~ akhlak kemerosotan budi pekerti yg sudah mencapai peringkat yg membimbangkan; ~ ekonomi keadaan ekonomi yg tidak stabil dan menyebabkan kehidupan menjadi sukar; ~ kelaparan keadaan buruk yg menyebabkan kebuluran; ~ kewangan keadaan yg sangat membimbangkan mengenai soal-soal kewangan; ~ politik ketegangan politik; berkrisis berselisih pendapat. (https://educalingo.com/ms/dic-ms/krisis).
Dalam pencarian lain, ditemukan rumusan seperti berikut: Krisis adalah perubahan negatif, situasi yang rumit, sukar dan tidak stabil semasa proses berlangsung . Dalam beberapa kes, ini juga merujuk kepada keadaan kekurangan dan / atau kekurangan. Kata krisis berasal dari krisis Latin , yang berasal dari Yunaniσισις. Sinonim krisis kita dapat mencari kata-kata: kesukaran, pecah, masalah dan kekacauan. Situasi krisis boleh merujuk kepada semua bidang seperti: krisis ekonomi, krisis politik, krisis eksistensial manusia, krisis tenaga persekitaran atau krisis sosial.
Krisis ekonomi: adalah tempoh atau keadaan negatif dalam ekonomi di mana terdapat banyak pemboleh ubah ekonomi yang memburuk. Krisis politik: susunan momen tertentu di sebuah negara dapat menimbulkan keretakan dan kekacauan dalam bidang politik yang pada gilirannya akan mempengaruhi warganya. Krisis eksistensial (psikologi) atau disebut krisis evolusi (Erik Erikson, 1902-1994): krisis yang dilalui oleh semua individu dalam hidup mereka dan merupakan bahagian penting dalam evolusi atau pertumbuhan peribadi. (https://ms.encyclopedia-titanica.com/significado-de-crisis)
‘kejangkitan seluruh dunia’
Secara mudah, krisis muncul bila terdapat percanggahan atau perubahan apa yang kita ada atau miliki atau percaya dengan masukan baharu atau peristiwa yang sedang berlaku, atau juga mungkin akan berlaku. Kita ambil contoh, selepas munculnya wabak selsema (bermula di Wuhan, China), ia merebak ke seluruh dunia sehingga menyebabkan lebih 4.23 juta orang meninggal daripada 198.5 juta orang dijangkiti setakat ini (31 Julai 2021). Di Malaysia, angka jangkitan sudah menjangkaui lebih 1.13 juta orang dengan kematian ialah 9,024 kes.
Apakah situasi tersebut menggambarkan sesebuah negara berada dalam krisis? Apakah COVID-19 benar-benar mencetuskan krisis bagi sesebuah negara? Maknanya, ia boleh jadi mungkin sekiranya kerajaan tidak melakukan apa-apa tindakan untuk mengawalnya. Ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah krisis kerana COVID-19 bukanlah merupakan hanya ancaman khusus di Malaysia sahaja. COVID-19 adalah masalah sejagat. Maka menggambarkan bahawa Malaysia sebagai sebuah krisis negara adalah tidak tepat, kerana kejangkitannya berlaku di seluruh dunia.
Kedudukan dalam carta COVID-19, Malaysia berada di tangga ke-28. Tangga pertama masih kekal milik Amerika Syarikat (jumlah kes 35,743,242 dengan jumlah kematian 629,314 orang) diikuti India (jumlah kes 31,654,584 dengan jumlah kematian 424,384 orang), Brazil, Rusia, Perancis, United Kingdom, Turki, Argentina, Columbia dan kesepuluh ialah Sepanyol. Di Asia Tenggara, Indonesia berada di tangga teratas (ke-14 dunia) dengan 3,409,658 kes dan kematian 94,119 kes; kedua, Filipina (ke-24 dunia) dengan 1,588,965 kes dan kematian 27,889 orang; ketiga ialah Malaysia; keempat, Thailand (ke-43 dunia) dengan 597,297 kes dan kematian 4,857 orang; kelima, Myanmar (ke-70 dunia) dengan catatan 299,185 kes dan kematian 9,334 kes; keenam, Vietnam (ke-92 dunia) dengan keseluruhan kes ialah 145,686 kes dan kematian 1,306 orang; ketujuh, Kampuchea (ke-111 dunia) dengan kumulatif 77,243 kes dan kematian sebanyak 1,397 orang; kelapan, Singapura (ke-114 dunia) dengan 64,981 kes dan kematian seramai 37 orang; kesembilan, Laos (ke-171 dunia dengan 6,299 kes dan 7 kematian; dan kesepuluh, Brunei (ke-204 dunia) dengan 337 kes dan 3 kematian.
‘situasi cukup cemas’
Daripada perspektif ini, kita boleh simpulkan bahawa jumlah penduduk sangat mempengaruhi jumlah mereka yang dikesan positif COVID-19, walaupun kedudukan Thailand adalah lebih baik daripada Malaysia (boleh dikecualikan sementara waktu). Thailand mempunyai jumlah penduduk seramai hampir 70 juta manakala Malaysia ialah 32.3 juta, jumlah kes adalah lebih rendah. Namun ia sedang menular dengan cepat ekoran kemunculan virus Delta yang cukup ganas dan menular secara sporadik (melalui udara).
Bahkan banyak kisah duka bagaimana pesakit COVID-19 dilayan atau tidak sempat dilayan oleh petugas kesihatan di Thailand sehingga memaksa kerajaannya bertindak tegas di atas penyebaran maklumat berkaitannya. Hal seumpamanya pernah heboh di peringkat awal di Malaysia, termasuk tafsiran sendiri yang berupa hoax ataupun permainan persepsi menerusi media sosial.
Berdasarkan kes jangkitan harian, semalam (31 Julai 2021) Thailand mencatatkan pertambahan sebanyak 18,912 kes dengan 178 kes kematian; Malaysia dengan 17,786 kes dan 165 kematian; Indonesia dengan 37,284 kes dengan 1,808 kematian ; dan, Filipina dengan 8,147 kes dan 167 kematian. Ini membuktikan gelombang ketiga COVID-19 cukup cepat berlaku dan sangat mudah berjangkit.
Beberapa buah negara sedang mengalami situasi yang cukup cemas, misalnya Thailand, Malaysia dan Indonesia sehingga menyebabkan situasi politik ikut terganggu. Keadaan menjadi lebih serius di Malaysia kerana apa yang berlaku sebelumnya adalah berbeza dengan apa yang berlaku di Indonesia, walaupun penyemarakan semangat dan keresahan rakyat kepada kepimpinan Joko Widodo semakin memuncak ketika ini.
Sebelum ini, kedudukan politik di Indonesia dilihat stabil, kerana Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi merupakan pilihan sah rakyat Indonesia. Jokowi menang dalam pemilihan presiden pada 9 Disember 2020 membolehkannya memerintah selama empat tahun lagi selepas menang kali pertama pada tahun 2016. Di Malaysia, selepas PRU ke-14 (2018) berlakunya perubahan kepimpinan politik di mana BN mengalami kekalahan teruk selepas memerintah selama 61 tahun (1957-2018). Buat pertama kalinya gabungan parti-parti pembangkang memperoleh kejayaan besar dan melakar perubahan pucuk pimpinan. Gabungan itu, Pakatan Harapan (dibentuk 2017) mengambil alih kuasa bermula 10 Mei 2018.
Bagaimanapun, hayat pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak panjang. Selepas 22 bulan memerintah, PH hilang kuasa ekoran berlakunya perpecahan dalam kalangan wakil rakyat dalam dua parti gabungan –PKR dan PPBM atau Bersatu – memunculkan satu gabungan baharu terbentuk selepas Langkah Sheraton (23 Februari 2020), di mana faktor tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan tidak mahukan Anwar Ibrahim sebagai pengganti Dr Mahathir. Mereka bersepakat menyuarakan sokongan kepada Mahiaddin Yassin atau dikenali sebagai Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengisi kekosongan yang dilepaskan oleh bekas Perdana Menteri (BN) ke-4 itu. Gabungan itu mendapat sokongan dan kerjasama daripada UMNO dan PAS.
‘hilang dalam transisi’
Dr Mahathir dua kali dilantik sebagai perdana menteri, iaitu ketika BN berkuasa (1981-2003) dan selepas lima belas tahun bersara, di bawah PH (2018-2020). Semasa memimpin UMNO/BN, Dr Mahathir memerintah selama 22 tahun sebelum menyuarakan peletakan jawatannya dalam tahun 2002, dan digantikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober 2003. Abdullah pula ditekan kerana ‘hilang dalam transisi’ selepas PRU ke-12 (2008) ekoran merosotnya prestasi BN walaupun pada PRU ke-11 prestasinya cukup kuat sehingga hampir melemahkan parti-parti pembangkang (menguasai 198 daripada 219 kerusi Dewan Rakyat) dan hampir menundukkan PAS di Kelantan.
Tun Abdullah menyerahkan kuasa kepada Najib pada bulan April 2009. Najib pula terpaksa berhempas pulas untuk memperbaiki kedudukan, namun dalam PRU ke-13 (2013), prestasi BN di bawah kepimpinannya tidak menunjukkan peningkatan walaupun UMNO dilihat sedikit pulih. PRU ke-12. BN memenangi 140 kerusi Dewan Rakyat (daripada 222 kerusi) dan tewas di DUN Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang, serta gagal merampas Kelantan. Ia menyusul dengan prestasi lebih buruk pada PRU ke-14 (2018) bila mana secara drastiknya BN tersingkir dan pakatan pembangkang (PH) diisytiharkan menang, menguasai 124 kerusi diikuti BN dengan 74 kerusi dan PAS dengan 18 kerusi. BN juga hilang penguasaan di DUN Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Terengganu. BN hanya menang di DUN Pahang dan Perlis.
Kesan daripada kekalahan tersebut, gabungan parti politik dalam BN mula berpecah –tinggal gabungan asal yang membentuk Perikatan (1955), iaitu UMNO, MIC dan MCA— termasuk parti-parti komponen dari Sabah dan Sarawak (PBRS kembali menyerai BN kemudiannya). Ini menjadikan kedudukan BN semakin mengecil akibat berlakunya ‘lompat parti’ , sama ada keluar sebagai wakil rakyat bebas ataupun menyertai parti-parti yang ada dalam kelompok PH. UMNO sangat terasa perubahan tersebut sehingga menjadikan kedudukannya tinggal 38 kerusi berbanding 54 kerusi semasa keputusan PRU ke-14. Seramai 16 wakil rakyat (peringkat Parlimen) berhijrah, yang kini menjadi sebahagian besar tulang belakang perjalanan parti PPBM (Bersatu) di bawah pimpinan Mahiaddin, yang menguasai pentadbiran politik Malaysia.
UMNO juga sedang diambang perpecahan secara serius. Sekurang-kurangnya terdapat dua kelompok besar yang tidak lagi sehaluan perjuangan politiknya. Dengan menggunakan kayu ukur sokongan kepada Perikatan Nasional, yang dipersetujui semasa mengambil alih teraju pemerintahan negara selepas Langkah Sheraton. Dua kumpulan besar itu ialah mereka yang berada di kem Presiden UMNO yang melihat bahawa UMNO secara implisitnya ditadbir seperti ‘sebuah syarikat sendirian berhad’ atau masih dalam gaya kepimpinan warlord. Mereka dalam kelompok ini adalah wakil rakyat UMNO yang sedang berhadapan dengan kes-kes yang dianggap berprofil tinggi, yakni penggubahan wang haram, salah guna kuasa dan sangat terkait dengan skandal 1MDB , punca terbesar tewasnya BN dalam PRU ke-14. Kecuali Zahid Hamidi, Presiden UMNO dengan kes berkenaan Yayasan Akal Budi yang ditubuhkan oleh beliau sendiri.
‘wewenang yang lebih baik’
Dari dalam pakatan Perikatan Nasional juga terdapat dua petunjuk yang jelas, tiada kesepakatan yang kuat antara parti-parti gabungan, yakni daripada tempias pergolakan dalam UMNO sendiri. UMNO melihat sepatutnya kedudukan parti itu diberikan wewenang yang lebih baik berdasarkan jumlah kerusi atau sokongan. Walaupun bersetuju dengan kedudukan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri ke-8, UMNO terus mengasak berkaitan dua perkara: kedudukan barisan kabinet (tiada jawatan Timbalan Perdana Menteri) dan mengetepikan kes-kes yang dibawa oleh PH membabitkan pemimpin-pemimpinnya.
Alasan terhadap faktor kedua, yakni sangat mempengaruhi tindakan Presiden UMNO sebagaimana disuarakan oleh Setiausaha Agong UMNO semasa dilantik sebagai Setiausaha Agong BN menggantikan Anuar Musa, ialah ‘tindakan zalim’ yang diteruskan oleh PN. Hal itu sepatutnya tidak diteruskan sebagaimana PH lakukan terhadap beberapa orang pemimpin dalam gabungan tersebut (menggugurkan kes membabitkan Lim Guan Eng, pemimpin-pemimpin PKR dan tidak mendakwa bekas pemimpin UMNO yang menyertai PPBM walaupun dalam senarai turut dikaitkan menerima dana 1MDB).
Itu adalah awalan kepada krisis politik yang berlaku selepas PRU ke-14. Namun keadaannya menjadi lebih besar selepas Mahiaddin Yasin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8. Mereka yang terlucut kuasa mula mempersoalkan ‘keabsahan kuasa’ yang boleh mendokong kedudukannya sehingga akhir penggal PRU ke-14. Persoalannya ialah kaedah pelantikan, yang hanya berdasarkan ketentuan ‘budi bicara’ YDPA, bukan ditentukan oleh rakyat menerusi pilihan raya. Akibatnya, muncul kempen menolak PN di mana bermulanya kempen ‘kerajaan pintu belakang’ dan seterusnya ditambah gemanya dengan kenyataan presiden PAS, ‘kerajaan tebuk atap’. Sedangkan apa yang diketahui umum bahawa ‘atap rumah PH sudah pun bocor’ sebelum Langkah Sheraton lagi.
‘proses peralihan kuasa’
Salah seorang pemimpin PAN pernah menyuarakan ‘kegilaan Dr Mahathir’ kerana meletakkan jawatan tanpa berunding dengan Majlis Pakatan Harapan, walhal sebelum dicalonkan sebagai calon PM bagi PH, ada persetujuan dan perbincangan yang jelas, termasuk mendapat restu Anwar Ibrahim. Dr Mahathir adalah PM (interim) sementara untuk tempoh tertentu (awalnya dikatakan selama enam bulan atau sehingga Anwar mendapat pengampunan di raja). Itulah adalah punca pergolakan dalam PKR, dan juga menjadi sebahagian ‘arus bawah‘ dalam DAP kerana mereka mahukan ‘proses peralihan kuasa‘ disegerakan. Mereka berkali-kali mendesak Dr Mahathir melakukannya atau menetapkan tarikhnya secara jelas.
Kempen tersebut tidak berjaya menjatuhkan Mahiaddin, tetapi kedudukannya sedikit tergugat apabila UMNO mula mempersoalkan tindakan Perikatan Nasional dengan cara ‘memperlekehkan’nya. UMNO mempersoalkan sikap PAS, parti yang bekerjsama membentuk Muafakat Nasional (September 2019) yang semakin memperlihatkan pendiriannya untuk menjadikan gabungan tersebut sebagai pertubuhan rasmi. UMNO tidak menyokong Perikatan Nasional ditubuhkan secara rasmi kerana sokongannya sekadar ‘membentuk kerajaan’ dan hanya kekal sebelum PRU ke-15. PAS pula ditafsirkan bukan sahaja gemar ‘berpoligami’ bahkan sangat sayang untuk meninggalkan keselesaan setelah memperoleh kedudukan di dalam kabinet. Hal itu kerana PAS tidak mungkin mampu memerintah Malaysia jika hanya atas sifatnya sebagai sebuah parti secara tunggal (bukan di dalam mana-mana gabungan).
Beberapa orang pemimpin UMNO mula merungkaikan kesepakatan baharu, merintis pakatan ketiga dengan hasrat menjadikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri atas alasan mahu menamatkan kes-kes mahkamah dengan segera. Rahsia ini kemudiannya terbongkar, maka tersebarlah pelbagai sarana yang digunakan untuk menjelaskan ‘gerakan’ tersebut termasuk rakaman audio, surat sokongan kepada Anwar Ibrahim dan plot pengumpulan ‘Akuan Bersumpah’. Kemelut itu menjadikan UMNO berpecah, dan muncul satu kelompok mahukan Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
‘langkah strategik’
Apabila Datuk Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (7 Julai 2021), yakni beberapa jam sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, masyarakat melihat pelantikan atau kenaikan pangkat dua orang menteri daripada UMNO (Ismail Sabri dan Hishamudin Hussein) sebagai langkah strategik Mahiaddin. Bagaimanapun, Zahid tidak terjejas dengan kritikannya terhadap Mahiaddin, lantas mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO menarik sokongan kepada Mahiaddin. Ia kemudiannya menimbulkan situasi boomerang.
Sehari selepas itu, muncul pula pelbagai penafian terhadap kenyataan Zahid, di mana bukan semua wakil rakyat UMNO bersetuju menarik sokongan kepada Mahiaddin, hanya mereka yang ada kaitannya dengan kes-kes di mahkamah. Daripada situ ramai yang membuat kesimpulan, Zahid sepatutnya dipecat, kerana tidak setia kepada keputusan yang dicapai secara sebulat suara bahawa ‘NO DAP, NO ANWAR’. Sejak itu Zahid kembali dilihat cukup setia dengan Anwar Ibrahim sebagaimana kesetiaannya mempertahankan Anwar ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat (1998). Ia menjadi semakin ‘kelakar’ apabila Nazri Aziz mengakui pembabitannya mengumpul SD dan menarik balik keputusannya tidak menyokong Mahiaddin.
Ketika Zahid menyerang Dr Mahathir dengan isu kronisme, korupsi dan nepotisme (KKN) tahun 1998, terdedah bagaimana bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu memperoleh banyak saham dalam beberapa syarikat korporat. Isu itu kemudian menyebabkan Zahid sedikit ‘lemah’. Pada suatu ketika Dr Mahathir mempersoalkan sekali lagi (hairan) bagaimana ada ‘seseorang pemimpin UMNO’ yang cukup kaya dan ‘sangat muda’ (ada ratusan juta ringgit aset) . Ramai yang mengandaikan pendedahan tersebut ditujukan kepada Zahid Hamidi. Ramai masih ingat bagaimana Dr Mahathir bersedia menurunkan sekatan ‘rahsia’ dokumen bagi membolehkan mereka yang mendapat saham dalam projek ‘pink form’ ketika Anwar Ibrahim adalah Menteri Kewangan Malaysia, yakni ketika isu KKN bergema sepanjang Reformasi. Isu ini sebenarnya menjadi isu utama di Indonesia sehingga memaksa Suharto meletakkan jawatan (21 Mei 1998) ekoran Krisis Kewangan Asia.
Bila kes ‘salah guna kuasa’ berlaku, Zahid sekali lagi dipersoalkan sehingga media sosial penuh dengan infografik pemilikan kenderaan dan jumlah bayaran tahunan cukai jalan serta insuran kenderaan-kenderaan tersebut. Hal ini memberikan imej bahawa Zahid memang benar memperoleh kekayaan setelah menyertai politik, dan sangat terdesak untuk mempertahankan kedudukannya, biarpun pernah bercuti dengan alasan menguruskan hal-hal peribadi pada peringkat awal dakwaan terhadap 47 kes (termasuk penggubahan wang haram).
‘reaksi keras’
Perkembangan seterusnya ialah bila wabak COVID-19 mula meresahkan rakyat Malaysia selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri Sabah (26 Oktober 2020). Kes jangkitan baharu melonjak sehingga PKP (PKP 2.0) diperkenalkan semula (disambung dengan PKP 3.0 mulai 1 Jun 2021) dan sebelumnya, dengan Proklamasi Darurat (12 Januari 2021). Kuatkuasa peraturan darurat itu mula mendapat reaksi keras daripada parti pembangkang, atas alasan dengan ketiadaan sidang Parlimen, proses ‘check and balance’ tidak akan berlaku, ia adalah strategi Mahiaddin untuk melanjutkan kuasa dan kedudukannya sebagai PM.
Sejak itu ‘darurat’ dilihat sebagai kaedah politik untuk memanjangkan tempoh kuasa bukan untuk tujuan mengawal penularan jangkitan COVID-19. Hentaman seterusnya menyasarkan pembukaan sidang Dewan Rakyat bagi membolehkan ‘check and balance’ dilakukan kerana di bawah peraturan darurat, kerajaan dikatakan cuba ‘menyembunyikan beberapa kegagalan pengurusan kesihatan awam’ dan rahsia mendapatkan pelbagai bekalan untuk tujuan memutuskan rantaian virus corona. Ia menjadi semakin meresahkan apabila jangkitan baharu COVID-19 setiap hari mula melepasi 10,000 kes (pertengahan Julai 2021) sehingga menimbulkan label ‘kerajaan gagal’. Ia kemudian berkembang secara meluasnya apabila Bloomberg melaporkan Malaysia sedang menuju tahap ‘negara gagal’, penurunan penarafan oleh agensi penarafan antarabangsa dan seterusnya munculnya kaedah lain melihat trend jangkitan COVID-19. University of John Hopkins, Amerika Syarikat membuat tafsiran berdasarkan per kapita: Jumlah jangkitan harian dibahagikan dengan jumlah penduduk. Asasnya telah melonjakkan kedudukan Malaysia sehingga muncul sebagai negara yang berada di kedudukan teratas carta COVID-19 perkapita.
Berdasarkan kayu ukur terbaharu itu, Malaysia berada di tangga teratas peringkat dunia, bahkan mengalahkan India. Hal ini menyebabkan Malaysia turut ditempelak oleh Indonesia, walaupun secara kumulatif dan angka sebenar jangkitan harian, Indonesia adalah lebih besar daripada Malaysia. Kemungkinan juga kaedah itu diperkenalkan kerana ada kaitannya dengan kemenangan Joe Biden, pseudo image kejayaan Amerika Syarikat menangani COVID-19 selepas Donald Trump menuduh ia adalah ‘not real’. Kaedah kawalan oleh Rumah Putih semasa Trump gagal, sehinggalah COVID-19 diyakini wabak yang benar-benar ada apabila Trump dan ahli keluarganya disahkan positif. (bersambung)
Mahanor Saleha
Recent Comments