Semakin hari semakin benci, bukan semakin sayang. Lantunan mendayu-dayu suara Uji Rashid tidak menarik minat lagi walaupun berkali-kali dikumandangkan.  Bila memandang gambarmu, hatiku rasa terharu, senyum dibibirmu, menawan kalbu. Ia seolah-olah sudah hilang sentuhan emosi melankolik, bukan lagi seperti ‘rasa cinta’ bagaikan Layla dan Majnun. “Rasa benci’  menusuk ke dalam hati, bukan sahaja tidak mahu melihat gambar, bahkan dengarkan suaranya kalau boleh mahu dielakkan.

Itulah agaknya yang sedang berkumandang dalam dengungan politik Malaysia masakini. Sejak kempen PRU ke-14, belum ada lagi sehari pun ‘rasa tenteram di jiwa’ dan ‘bertambah sayang’. Di hati rakyat telah lama berubah: dari euforia kepada ilusi, baik semasa pemerintahan Pakatan Rakyat ataupun Perikatan Nasional.

Semasa Pakatan Harapan, euforia begitu cepat berubah . Dalam gabungan itu sendiri seperti ‘anjing dengan kucing’, sentiasa muncul salakan dan ngiauan. Kalau kucing mengiau lebih kuat, kucing akan dilihat menang. Tetapi, kucing tidak sedar, semasa ngiauannya, timbul rottweller, walaupun sedikit tua, salakannya cukup menakutkan. Kucing lari menyorok  dan muncul semula bila suara suara rotweller sepi seketika. Tiba-tiba muncul kucing kacukan (kucing ekor kontot (cukan certot) dengan kucing hutan), yang kelakuannya memang terkenal garang.

Kucing kacukan itu jarang mengiau, tetapi terus terkam. Apa yang diterkamnya? Bukan tikus. Bukan cicak. Bukan Pak Belalang.  Yang diterkamnya ialah seekor anjing gebu dan putih melepak. Anjing itu adalah dari baka yang cukup mahal, iaitu baka Shih Tzu. Shih Tzu bukan anjing pemburu, sangat disayangi oleh pemiliknya kerana bukan sahaja manja bahkan sangat sayangkan manusia. Sebab itulah bila tuannya akan membawa berjalan-jalan, menikmati santai angin  petang, kadangkala didukungnya anjing itu seperti bayi.

Kucing baka kacukan menerkam Shih Tzu dan  Shih Tzu tergamam.  Salakannya yang lembut tidak kedengaran malah tenggelam oleh ngiauan kucing. Tiba-tiba Shih Tzu benar-benar nak marah, dan terus meloncat ke tanah sehingga badannya melekat rumput-rumput kering.  Tuannya mula mengatur langkah, menangkap Tsih Tzu.  Bukan takut kucing dibaham Shih Tzu, tetapi takut Shih Tzu dibaham kucing.

Saya andaikan itulah situasi politik Malaysia sekarang.  Akibat perebutan kuasa, selepas kuasa di tangan terlucut begitu mudah atas kesalahan sendiri. Bukan tidak tahu menggunakan kuasa, tetapi akibat rasa kerdil maka dibiarkan kuasa itu jatuh. Merajuk dan patah hati. Bila terasa ada orang lain diberikan kuasa, kehilangan itu mula dikesali. Ttapi apakan daya kerana ‘nasi sudah basi’. Nasi  sudah basi itu pun  tidak mahu di makan ayam, terjemur sehingga kering. Ia kemudian dihumban ke perdu pokok, mungkin  cukup dijadikan baja kompos. Pokok boleh hidup subur, maka dengan kesuburan itulah pokok itu pula cuba digoncang, akarnya tidak lagi memasak bumi.

Setelah pokok digoncang, maka gugurlah beberapa helai daun  dan ada ranting yang patah. Pokok tidak mengeluarkan tunas yang baharu, hanya bertahan dengan daun dan dahan yang ada, biarpun sebahagiannya nampak seperti ‘nak gugur’ dan sedikit patah. Sayangnya, dahan yang sedikit patah itulah yang meraung setiap ketika untuk ‘pergi’ dan hidup menyendiri. Sampai sekarang belum juga jatuh ke tanah dan juga pergi hidup sendirian. Dahan-dahan itu muncul sebagai antagonis, bertindak seumpama gunting dalam lipatan: mulut berkata tidak, hati berselimut sangsi. Siang malam melalak dan menyalak, sampai tidak cukup tanah nak diligannya.

jatuhnya Pakatan Harapan’

Sejak jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan, orang Melayu-Islam terasa ada kelegaan yang cukup besar kerana bukan Melayu sudah semakin mengecil dalam kabinet Perikatan Nasional. Andaiannya, dengan kedudukan tersebut, barisan kabinet Perikatan Nasional akan terus membawa agenda ketuanan Melayu dan ketuanan Islam kerana ramai pak lebai dilantik sebagai menteri. Rupa-rupanya pak lebai pun hanya gemar bersilat, bukan lagi mengotakan apa yang pernah diperjuangkan ‘menghapuskan taghut’ dan saki baki perlakuan yang tidak menepati kehendak Islam. Rakyat pun menyoal, kenapa judi masih dibenarkan?  Kenapa kilang-kilang arak masih boleh mengeluarkan arak? Kenapa itu dan kenapa ini?

Lebai pun beritahu, yang penting bukan tutup kilang, tetapi, orang Islam tidak minum dan berjudi nasib untuk mendapat hadiah Special Draw yang semakin bertambah cabutannya. Jadi, pak lebai sekarang ini tidak boleh dipakai lagi, kadangkala otaknya berada di lutut tetapi mulutnya cukup mahir berfatwa. Sebahagian yang tidak belajar agama pun ternganga dengar pak lebai cakap pasal monyet dan tupai lebih bijak daripada manusia yang diberikan kelebihan otak untuk berfikir.

Lebai memecut dengan kenderaan Mercedes yang baharu dibeli dengan harga mahal, tetapi ramai rakyat tidak cukup wang nak beli minyak kapcai sebabnya ‘tiada kerja’. Seperti juga perangai orang baharu dapat Mercedes, bukan sahaja tidak boleh didekati kereta baharunya, sindir guna Mercedes pun cukup kuat ‘angin dalam badan’. Air oh Air di mana kau. Ada banyak dalam sungai, tetapi paip di rumah tetap keluar angin. Bil kena bayar, nak mandi fikir sepuluh kali, tapi pak lebai cakap, mandi air telaga pun boleh jadi wakil rakyat. Basuh berak tepi telaga pun tidak ada masalahnya, asalkan basuh dengan air, bukan tayamum.

Sehari dua ni pun makin geger dengar cakap dia. Pak lebai kata, semuanya kerana masalah teknikal, bila teknikalnya diperbetulkan maka semuanya boleh settle. Mudah benar pak lebai buat kesimpulan, walhal masalah teknikal itulah menyebabkan seseorang itu kadangkala merengkok dalam penjara. Masalah teknikal juga menyebabkan Mercedes masuk parit dan penumpangnya maut di tempat kejadian. Salah masuk lorong juga adalah masalah teknikal, sebab salah masuk lorong itu kerana nak elakkan Mercedes kesayangan terlanggar penghadang jalan akibat mengantuk. Kalau nak ikut lojik, mengantuk pun adalah masalah teknikal sebab mata tidak boleh buka, tiba-tiba terlelap.

‘masalah teknikal’

Lojik teknikal boleh dibicarakan dalam banyak perkara, termasuk teknikal yang menyebabkan merebaknya virus corona sehingga seluruh negara terpaksa berkurung dalam edah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak lagi dibenarkan rentas negeri, daerah serta ziarah rumah ke rumah walaupun sudah dua kali Aidil Fitri dan Aidil Adha. Anak-anak di perantauan tidak lagi menunjuk handal di lebuh raya, kerana mereka tidak boleh balik kampong. Cuma wakil rakyat sahaja dibenarkan ke sana ke mari kerana ada lesen besar ‘hantar bantuan’ dan melihat masalah rakyat, untuk dihulurkan sekilo gula, sekampit beras 5 kg, sebotol minyak masak, dan beberapa tin sardin yang tidak diketahui status halalnya. Logo halal entah dari planet mana tidak diketahui, asal ada tulisan jawi, boleh sahaja. Kira betul-betul halal kerana ‘darurat’.

COVID-19 meningkat naik selepas Pilihan Raya Sabah bulan September 2020. Awal Oktober angkanya melonjak naik sehingga ramai yang cemas memikirkan bagaimana nak meneruskan kehidupan dalam keadaan bimbang dan resah. Esok adalah 1 Ogos 2021, yang sepatutnya darurat yang dikuatkuasakan mulai 12 Januari 2021 berakhir. Tetapi, darurat sudah ditamatkan lebih awal, tanpa ada bahasan di Dewan Rakyat mahupun mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong. Maka, gegerlah mamak, Mamat, Minah, Muniandy, Mei Ling, Mutusamy, mentadak dan mentadu, sana sini mahukan Perdana Menteri yang dilantik mengundur diri. Keluarlah pelbagai teori yang cukup terror dengan alasan, dan ulasan mengenai ‘penderhakaan’ sedangkan kisah perderhakaan pun dipersoalkan kepada Timbalan Perdana Menteri adakah beliau tahu maksudnya.

MElalaklah kununnya, dialah yang cukup handal. Tap tik tuk, keluar pula tinjauan lama dalam talian oleh Sinar Harian, Anwar adalah calon yang paling layak ‘ditabalkan sebagai Perdana Menteri ke-9’.  Nak ketawa pun ada, nak menyanggah pun ada. Nak ketawa kerana dah lama tahu arah manakah kecenderungan Sinar Harian sekarang, sebab buat cerita kontroversi sebegitu naiklah edarannya. Nak meyanggah memang banyak teori dan keyakinan orang ramai terhadap Anwar Ibrahim yang sudah empat kali gagal dan kekal sebagai Perdana Menteri Menunggu paling lama. Lebih kecewa daripada Dr Mahathir, dua kali jadi Perdana Menteri, sekali jadi Perdana Menteri (interim) untuk tempoh kurang seminggu (24-29 Februari 2020), yakni sebelum Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin angkat sumpah pada 1 Mac 2020.

Lagi nak menyanggah ialah bagaimana Anwar boleh dilantik sebagai PM ke-9? Apakah Anwar sudah ‘cukup nombor’ sekurang-kurangnya 111 kerusi (wakil rakyat yang menyokong) kerana ‘akuan bersumpah (SD) politikus’ terlalu ‘gumbira’ sampai terbelahak-lahak ketawa. Rakyat mula persoalkan, apakah PM dipilih menerusi SD? Kalau SD itu bukti yang cukup kuat, maka tidak perlulah rakyat mengundi. Dari manakah sokongan itu diperoleh? Kalau sekadar tinjauan secara dalam talian, ia bukanlah satu versi fakta yang kukuh hanya daripada sekumpulan responden.

Kalau dilihat daripada desakan untuk Azmin meletakkan jawatan atau dipecat masih berkali ganda mahukan beliau dipecat, Azmin masih lagi menteri kanan, tidak juga dipecat kerana ‘buka pintu belakang’. Zaman PH juga lebih hebat, tinjauan dalam talian Malaysiakini cukup menampakkan ada bias kerana semua menteri daripada DAP dan PKR lebih berprestasi daripada Perdana Menteri dan lain-lain menteri daripada Bersatu.

nak kahwin puteri jelita’

Siapa nak jadi PM kumpullah banyak-banyak SD, maka  gunakanlah SD itu sebagai bukti sudah cukup nombor. Senang sedikit kerja, tak payah kerajaan keluarkan belanja menguruskan pilihan raya, dan rakyat tidaklah ‘sakit telinga dengar manifesto mahupun buka aib itu dan ini’. Kalau begitu, cakap politik pun tidak jadi riuh seriuh-riuhnya sepanjang masa, 24/7 atau sampai mengingau ‘nak kahwin dengan puteri jelita’ walaupun ‘giginya rongak’. Sampai ada yang berani bergurau, Malaysia ada dua orang PM, masing-masing masuk kerja ikut shift, Anwar shift malam dan Mahathir shift siang. Macam ngiau kucing dan salakan Shih Tzu.

Dalam ‘ketakutan orang ramai terhadap pandemik’, politikus cukup kebal menularkan pandemik politiknya sehingga perkataan ‘derhaka’, ‘pengkhianat’ sudah tidak ada apa-apa makna yang cukup negatif lagi seperti hilangnya resah kepada perkataan ‘brutal’ pada suatu ketika. Derhaka jadi mainan percakapan sehari dua ini kerana membatalkan darurat tanpa perkenan Yang di Pertuan Agong. Pengkhianat menjadi siulan ketika ‘katak-katak melompat’ dan seterusnya diberikan kuasa dalam kabinet Perikatan Nasional.

Kalau Langkah Sheraton dilabelkan sebagai ‘pengkhianatan’ maka memansuhkan darurat pula adalah mercutanda ‘derhaka’. Ramailah para pentafsir undang-undang membuat tafsiran, maka berserabutlkah rakyat untuk mendengar mana satu tafsiran yang betul dan tepat. Ada kata apa yang dijelaskan oleh PM ke-8 adalah betul dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan kerana ‘tidak perlu tanda tangan Yang di Pertuan Agong’. Ianya cukup dengan hanya kerajaan membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Ram Sri, ‘perkara sebegitu pernah terjadi dalam kes pada tahun 1963 melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Kelantan dengan Ketua Hakim pada waktu itu, Sir James Beveridge Thomson. Dalam kes itu, Thomson membuat penghakiman yang memberikan kuasa eksekutif kepada Kabinet untuk bertindak atas nama Raja.” (Astro Awani, 30 Julai 2021).

Sambung Gopal Ram Sri lagi, “Kes Kelantan itu mengatakan tandatangan tiga Menteri sudah cukup. Ia juga sah kerana Kabinet menjalankan tugas atas nama Raja, maka tandatangan rasmi daripada Raja tidaklah penting.” Maknanya, dalam sistem politik sekarang, kabinet lebih berkuasa daripada Raja atau Yang di Pertuan Agong. Ia merujuk kepada Kelantan yang mencabar Perjanjian Malaysia (MA63) dan mempersolaknan MA63 tidak mendapat persetujuan Sultannya berikut beberapa pertukaran dalam Perlembagaan.

ikut nasihat Jemaah Menteri

Menurut portal Malaysia Now (14 Jun 2021), yang memetik pandangan Gopal Sri Ram “Sebarang keputusan untuk menamatkan perintah darurat sememangnya terletak di tangan kerajaan pada ketika ini…Agong tidak memiliki kuasa budi bicara melainkan dalam tiga perkara: pelantikan perdana menteri,  pembubaran Parlimen dan  penganjuran Majlis Raja-Raja Melayu.” Tiga perkara tersebut termaktub dalam Artikel 40(2) Perlembagaan Malaysia.

Manakala dalam Artikel 40 (1) Perlembagaan Malaysia menyebut: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di Pertuan Agong berhak atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan perintah Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.”

Jadi kalau mengikut tafsiran tersebut, tidak perlu menyalak sana dan ngiau sini desak Mahiaddin meletakkan jawatan manakala Takiyudin Hasan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) dikenakan tindakan kerana menderhaka. Tetapi, dalam pemikiran segelintir politikus, hal itu berbeza kerana bagi mereka, selagi Mahiaddin kekal sebagai PM ke-8, selagi itulah mereka akan terus menyalak dan mengiau. Apa sebabnya kucing mengiau dan anjing menyalak, dan berlakunya serang menyerang? Rakyat dah malas nak ambil tahu sebab rosaknya politik kerana orang politik sendiri yang mencemarnya.

Bingkai politik bukan sahaja sudah musnah akibat terlalu banyak tikus yang membaikinya. Bukan setakat tikus rumah yang membaiki labu, bahkan ikut masuk campur ialah tikus tanah, tikus tikus atap (rattus rattus), tikus got (rattus norvegicus) dan tetikus (mouse) serta jari jemari yang cukup rancak mengetik skrin. Manusia semakin ramai berfikir seperti tikus, kerana sebahagian fikirannya membawa erti ‘mudarat’ ataupun ‘kemusnahan’ kepada rakyat. Maksudnya, pemikiran rakyat semakin celaru, celaru dengan tafsiran dan celaru dengan andaian-andaian yang kadangkala cukup seronok dibaca, tetapi tidak bernilai dan dipautkan dengan fakta yang jelas. Fakta ada, tetapi dipakai adalah separuh ataupun sangat, selebihnya adalah persepsi.

Dalam surat Istana Negara bertarikh 29 Julai 2021, yang dikatakan surat peribadi YDPA kepada Perdana Menteri turut menerangkan kronologi ‘permohonan bagi pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat’ dan Majlis Mengadap (YB Menteri Undang-Undang, Datuk Takiyudin Hasan ; YAB Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan YA Berbahagia Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun secara maya pada 27 Julai 2021, jam 12.00 tengah hari.

  • 23 Julai 2021- surat daripada YAB Tan Sri mengenai pembatalan Odinan-Ordinan Darurat yang dimasyurkan di bawah Proklamasi Darurat diterima oleh Istana Negara;
  • 24 Julai 2021 – surat itu diterima di Istana Sultan Abdul Aziz, Kuantan, Pahang;
  • 24 Julai 2021 –YDPA menitahkan Menteri Undang-Undang dan Peguam Negara menghadap sercara maya (jam 4.30 petang) ‘untuk mendapatkan apa-apa maklumat berkenaan apa-apa pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri’ selaras dengan Artikel 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut warkah (surat) itu lagi, semasa sesi menghadap maya, YDPA bertitah:

  • Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain keperluan lainnya diwartakan;
  • Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu;
  • Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan dirungkaikan di Parlimen selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan; dan
  • Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang telah dikeluarkan dibawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.

Titah YDPA itu adalah: “selaras dengan cabutan Minit Mesyuarat Jemaah Menteri secara sidang video pada 21 Julai 2021 (muka surat 22) bahawa…’kesemua Ordinan berkenaan hendaklah dibentangkan (laid) di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen seperti mana ditetapkan di bawah Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. Ianya juga selaras dengan prinsip akauntabiliti Kerajaan kepada Parlimen di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan’

ketetap diluluskan’

Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan adalah perkara yang berkaitan Proklamasi Darurat di mana dibawah peruntukan (3) menjelaskan: Proklamasi Darurat dan apa-apa  ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan dihadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika terhenti jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjelaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru dibawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan dibawah Fasal (2B).

Pada hari yang sama (29 Julai 2021), Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa: Apabila darurat tidak bersambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa”. Terdapat tiga ketetapan yang diputuskan oleh kabinet: Pertama, Mesyuarat Khas Parlimen diadakan setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong; Kedua, Jemaah Menteri tidak akan menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021; dan Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa tindakan membatalkan Ordinan Darurat telah dibuat secara ‘teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan’, dan kenyataan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) adalah ‘suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenar secara telus’. Perdana Menteri juga telah memaklumkan (kepada YDPA pada 27 Julai 2021) bahawa ‘kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen.’

‘menyembah maklum’

Kenyataan itu turut memberikan makluman bahawa Pejabat Perdana Menteri pada 22 Julai 2021 telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara di mana Ordinan ini memperuntukkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuat-kuasa pada 21 Julai 2021. Ini bermakna Ordinan Darurat telah dibatalkan pada 21 Julai 2021 walaupun Pejabat Perdana Menteri hanya menerima deraf tersebut sehari selepasnya (22 Julai 2021). Satu lagi fasal pertikaian timbul, yakni pembatalan sebelum ianya diwartakan. Perdana Menteri hanya mengutuskan warkah kepada YDPA pada 23 Julai 2021 ‘menyembah maklum’ dan ‘memohon limpah perkenan’ terhadap pembatalan Ordinan Darurat itu.

Jelas kenyataan itu lagi: “Pejabat ini mengambil maklum sebagaimana yang dizahirkan di dalam kenyataan media Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 40 (1) memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini.

Tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala Perkara 40 (1A) pula memperuntukkan: Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Itulah pada 24 Julai 2021, Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Menurut kenyataan PMO itu lagi: “Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan. Namun, ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.”  Satu lagi titik kontroversi yang muncul, yakni tindakan pemansuhan sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu di Parlimen dan mendapat kelulusan kedua-dua Majlis (Dewan Rakyat dan Dewan Negara).

penceraian pasangan

Ini bermakna terdapat beberapa isu yang boleh dikaitkan dengan integriti dan ketelusan Perdana Menteri khususnya dan kerajaan Perikatan Nasional amnya mengenai isu pemansuhan Proklamasi Darurat, biarpun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram ianya tidak memerlukan ‘tanda tangan YDPA’.

Ini bermakna kerajaan dibawah Perikatan Nasional tidak cukup bijaksana dalam tindakannya untuk membatalkan Proklamasi Darurat. Rakyat melihat seumpama ‘perceraian pasangan’ di mana si suami ‘melafazkan cerai’ tanpa mendapat persetujuan Mahkamah atau di hadapan kadi dan tidak ‘menghantar balik bekas isterinya kepada keluarga asal’. Walaupun lafaz cerai itu sah, secara beradabnya jangan dilepaskan ‘bekas isteri itu’ seperti ‘hantu raya tidak bertuan’.

Dan, semolek-moleknya sebelum mengeluarkan lafaz cerai, si suami patut berunding (atau memberitahu) dengan ahli keluarga untuk mendapatkan pandangan atau nasihat berhubung proses penceraian yang mungkin berlaku. Ertinya, desakan wakil rakyat terhadap ‘kemolekan adab’ itu wajar diberikan perhatian tetapi disebabkan hal itu tidak berlaku, maka dakwaan ‘derhaka kepada nasihat YDPA’ boleh dilihat mengena. Mungkin ada sedikit yang ‘tidak kena’ ialah mendesak Mahiaddin, Takiyudin dan seluruh anggota kabinet meletakkan jawatan sebabnya tiada nasihat seumpama itu dinyatakan secara jelas dalam Warkah Baginda Yang di Pertuan Agong bertarikh 29 Julai 2021 yang ditularkan dalam media sosial sejak semalam (30 Julai 2021).

Tengku Razaleigh Hamzah sebelumnya memohon agar tempat duduknya di Dewan Rakyat dipisahkan daripada barisan penyokong kerajaan atas pendiriannya bahawa kerajaan Perikatan Nasional adalah ‘tidak sah’ dan ‘tidak mendapat sokongan majoriti’. Beliau merupakan wakil pertama BN yang menunjukkan ‘keberanian’ dan menurut ulasa Raja Petra Kamarudian dalam kenyataan videonya, adalah menjadi harapan kemungkinan jika berlaku ‘keruntuhan kerajaan’,

Tengku Razaleigh boleh dilantik sebagai Perdana Menteri (interim). Alasannya, kerana kedudukannya yang berkecuali dan ‘boleh diterima oleh kedua-dua blok – kerajaan dan pembangkang’. Itu adalah andaian yang belum pasti, kerana Tengku Razaleigh secara sejarahnya terbukti pernah ditolak oleh UMNO sendiri, termasuk keputusan pemilihan jawatan Presiden UMNO tiga penjuru selepas Najib Tun Razak mengundurkan diri (2018). Bahkan, setakat ini tiada kelihatan dengan jelas wakil-wakil rakyat yang ‘berada di belakang’nya sebagaimana ditunjukkan ketika Tengku Razaleigh memutuskan pendirian menawarkan diri bertanding melawan Dr Mahathir pada tahun 1987.

‘kemelut politik’

Apa pun, nasihat Tengku Razaleigh agar barisan kabinet Perikatan Nasional dibubarkan dan menyerahkan kepada YDPA untuk menentukan kedudukan siapakah PM (interim) patut dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik dalam kemelut politik yang sedang berlaku. Ini kerana, selagi Mahiaddin memegang jawatan tersebut ia akan terus diberikan kecaman bukan sahaja oleh PH, sebahagian wakil rakyat UMNO bahkan juga oleh rakyat yang sudah bosan dengan tingkah politik sejak Mahiaddin dilabelkan sebagai ‘Perdana Menteri Bodoh’, ‘Perdana Menteri Tidak Cekap’ dan ‘telah menipu’ dalam banyak perkara, termasuk ketika sebelum membuat keputusan melaksanakan PKP 1.0 pada bulan Mac 2020.

Mahiaddin dikatakan lebih mengutamakan permainan golf daripada membincangkan masalah rakyat yang mula resah dengan peningkatan kes jangkitan COVID-19 (virus Wuhan sebelum ditukar kepada virus corona). Biarpun hari Ahad, sepatutnya Mahiaddin boleh memanggil mesyuarat Jemaah Menteri, bukannya menunggu keesokannya, atas alasan ia memerlukan tindakan segera.

Kedua, Mahiaddin pernah gagal dalam percubaan pertamanya untuk mendapatkan perkenaan YDPA bagi Proklamasi Darurat apabila Anwar menghadap Baginda dan menyatakan ‘cukup nombor’ serta ‘kerajaan Mahiaddin telah tumbang’. Permohonan tersebut dibuat kerana Mahiaddin didakwa untuk ‘menyelamatkan kedudukan politik’nya. Mahiaddin selamat kerana pembukaan Dewan Rakyat pada bulan Mei 2020 tidak diadakan perbahasan, dan usul ‘undi percaya’ atau ‘undi tidak percaya’ tidak berjaya dilakukan di Parlimen, biarpun usul daripada Dr Mahathir diterima. Tengku Razaleigh juga pernah menulis surat kepada YDP Dewan Rakyat berkenaan isu yang sama.

Akhir tahun 2020, Mahiaddin masih selamat kerana pembentangan Bajet 2021 berjaya mendapat kelulusan Dewan Rakyat walaupun pada awalnya dinyatakan bakal berhadapan penolakan daripada blok pembangkang ataupun tidak mencapai keputusan majoriti. Dalam keputusan tersebut, ramai yang melihat kesilapan itu adalah disebabkan keputusan Anwar Ibrahim tidak menetapkan ketegasan yang jelas, sebaliknya, mencadangkan Bajet 2021 disokong. Mungkin Anwar berfikir, jika Bajet 2021 ditolak, keadaannya menjadi lebih parah dan boleh menyebabkan rakyat bangkit mempersoalkan keputusan tersebut, yang akhirnya boleh menjejaskan imej PH sendiri. Rakyat melihat Bajet 2021 adalah penting bagi membolehkan negara keluar daripada pandemiK COVID-19 pada ketika itu.

Awal 2021, Mahiaddin kembali mendapat ilham untuk menggunakan Proklamasi Darurat dengan alasan membendung penularan pandemik COVID-19 kerana situasinya sudah mencecah empat angka, yang ada kaitannya dengan PRN Sabah, kluster tembok dan keingkaran segelintir rakyat mematuhi SOP, termasuk seorang pengusaha Nasi Kandar di Jitra, Kedah yang disahkan positif selepas kembali dari kampong di Sivagnana, India membuka restorannya.

COVID-19 seterusnya semakin ‘menggila’, berlaku semakin cepat melibatkan kluster pembinaan, kluster tembok sehinggalah PKP 3.0 diperkenalkan pada 1 Jun 2021 yang dilihat ‘total lockdown’ yang gagal. Akibatnya, selepas dua PKP (PKP 1.0 dan PKP 2.0) dan PKP 3.0 berkuatkuasa lebih sebulan (mulai 1 Jun 2021), kes jangkitan sudah melonjak ke lima angka (melebih 10,000 kes sehari) sejak pertengahan Julai 2021, momentum ‘Kerajaan Gagal’ makin membingitkan politik Malaysia. Mahiaddin juga dilihat gagal mendiamkan segelintir politikus UMNO apabila melantik Menteri Kanan Pertahanan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menaikkan pangkat Menteri Luar sebagai Menteri Kanan.

‘penderhaka’

Dengan keputusan terbaharu Mahiaddin membatalkan Proklamasi Daurat sebelum dibahas atau diungkaikan di kedua-dua Majlis Parlimen menyebabkan ‘beban Perikatan Nasional bertambah berat’. Dan, label Mahiaddin sebagai ‘penderhaka’ seolah-olah mengulangi semula krisis perlembagaan yang pernah berlaku ketika era pentadbiran Dr Mahathir. Jika Mahiaddin dianggap ‘derhaka’ maka kederhakaan itu ada kaitannya dengan tindakan PM ke-4 meminda Perlembagaan untuk mengurang atau menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu dan juga kuat kuasa sesuatu undang-undang atau pindaan undang-undang bila diluluskan oleh Jemaah Menteri, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Walaupun tidak mendapat perkenan YDPA, akan tetap menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari (Perkara 66- Perjalanan Kuasa Perundangan): Seksyen (4A) Jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang ditentukan dalam Fasal (4), Rang Undang-Undang itu hendaklah menjadi undang-undang apabila habis masa yang ditentukan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah dia telah memperkenankannya. (RUU Perlembagaan (Pindaan) 1984). (“Penyata Rasmi Parlimen”, Jilid 1 Bil 45, 10 Januari 1984, https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DN-10011984.pdf)

Sekali lagi pada tahun 1994, Pindaan Perlembagaan menjadi kontroversi apabila dihadkan kuasa kuasa YDPA dalam aspek meluluskan undang-undang. Menurut Datuk Seri Nazri Aziz ketika itu (Pengurusi MARA dan Pengerusi Biro Antarabangsa, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia) pada tahun 2016 (ketika menjawat jawatan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan menjelaskan): Kuasa untuk meminda apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan adalah dengan persetujuan dua pertiga Ahli Parlimen yang dipilih rakyat. ..Bagaimanapun, kalau masih ada kumpulan yang nak bincang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan 1994, ia masih memerlukan kuasa Ahli Parlimen untuk menentukan keputusan sama ada boleh dipinda atau sebaliknya.” (Berita Harian, 30 Ogos 2016)

Pindaan Perlembagaan 1994 menurut Anwar Ibrahim diakui Dr Mahathir telah melakukan kesilapan kerana telah berlaku ‘salah guna kuasa oleh kerajaan’ dan pada 2 Januari 2018, Ketua Umum PKR itu memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan kuasa YDPA dalam meluluskan undang-undang. Anwar berbuat demikian bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang diluluskan tanpa perkenan YDPA. Menurut Nurul Izzah dalam ulasannya mengenai tindakan Anwar Ibrahim itu: Tentunya tidak, terutamanya dalam hal Majlis Keselamatan Negara, yang membolehkan hal seperti perisytiharan darurat dilakukan, yang dengan jelas sepatutnya merupakan bidang kuasa di Raja.” (Rujuk: https://sarawakvoice.com/2018/01/06/pindaan-perlembagaan-1994-kesilapan-itu-diakui-tun-dr-mahathir-sendiri/)

Sebelumnya, media banyak mendedahkan kesalahan perilaku yang membabitkan Raja-Raja Melayu serta ahli keluarga mereka bagi tujuan tersebut (meminda Perkara 32, 38, 42, 63, 72 dan 181 dalam Perlembagaan Malaysia yang dilaksanakan pada bulan Mac 1993. Pindaan itu dilihat semakin memburukkan lagi hubungan Istana dan Kerajaan, sejak 1980-an, yakni kemunculan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4. Atas sifat itulah Dr Mahathir kemudiannya digelar sebagai “Maharaja”, dan akhirnya dilihat sebagai satu bentuk ‘Krisis Perlembagaan’. Erttinya, ‘Krisis Perlembagaan’ telah muncul sebanyak tiga kali pada period pentadbiran Dr Mahathir (1981-2003) iaitu: 1983 (mengurangkan bidang kuasa Raja-Raja Melayu/YDPA), 1993 (imuniti Raja-Raja) dan 1995. (Rujuk: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pindaan_1993_kepada_Perlembagaan_Malaysia dan http://www.jmm.gov.my/files/Cabaran%20Institusi%20Beraja%20di%20Malaysia%20dari%20Dahulu%20Hingga%20Kini_1.pdf).

pemutusan pandemik

Menelusuri sejarah tersebut memberikan kita gambaran bahawa Malaysia mungkin akan memasuki tahap ‘Krisis Perlembagaan’ sekali lagi sekiranya Mahiaddin terus ‘berdegil’ untuk tidak ‘memohon maaf’ atau ‘sembah derhaka’ terhadap apa yang berlaku dalam tempoh seminggu ini. Pertengahan Julai (15/7/2021) seolah-olah telah ‘memintas’ Kenyataan Media Istana Negara apabila mengumumkan ‘exit policy’ atau dikenali sebagai Pelan Pemulihan Negara (PPN) sehari lebih awal pandangan YDAP (selepas merujuk kepada pertemuan dengan pemimpin-pemimpin parti dan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu) berkenaan keperluan mengadakan sidang Dewan Rakyat bagi membincangkan perkaitan dengan pemutusan pandemic COVID-19.

Isunya muncul apabila PMO membuat tafsiran terhadap istilah ‘secepat mungkin’ dan ditafsirkan oleh ramai pihak sebagai ‘segera’ memandangkan YDPA tidak menyebut dengan tepat tarikh atau tempoh masa. Muncullah tafsiran, sidang Dewan Rakyat hanya boleh dilaksanakan selepas 1 Ogos 2021, yakni selepas tamatnya kuatkuasa Ordinan Darurat.  Akhirnya, timbul pula isu sidang Dewan Rakyat hanya sebagai ‘majlis taklimat’ dan bukannya persidangan sebenar, maka Anwar Ibrahim menolak peraturan tersebut. Bagaimanapun, Anwar sekali lagi tidak menunjukkan tingkah yang sepadan dengan apa yang diucapkan apabila hadir dan mengambil peranan dalam beberapa perbahasan di Dewan Rakyat.

Selama dua hari (26 dan 27 Julai 2021) rakyat menyaksikan perilaku wakil rakyat dan tindak tanduk mereka sehingga tidak menghormati PM ketika menyeru setiap mereka yang hadir bertafakur dan membaca umul al-Qur’an (al-Fatihah) untuk dihadiahkan kepada mangsa COVID-19 yang meninggal dunia. Perlakuan ini seolah-olah menggambarkan ‘rasa hormat rakyat’ kepada parti pembangkang, terutama terhadap perilaku wakil rakyat DAP sangat mengecewakan.Wakil rakyat DAP sudah beberapa kali melakukan ‘kurang sopan’ sama ada di dalam sidang Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri misalnya, memakai songkok terbalik, tidak menghormati peraturan berpakaian dan sering mengganggu perbahasan dengan menggunakan perkataan ‘kasar’ dan ‘biadab’ sehingga terpaksa digantung penyertaannya. Ia juga turut berlaku dalam kalangan wakil rakyat UMNO pada era pentadbiran Pakatan Rakyat.

Rakyat pernah menyaksikan ‘budaya sarkas’ dalam Dewan Undangan Negeri Perak ekoran jatuhnya pentadbiran Pakatan Rakyat pada tahun 2009 ekoran tiga orang wakil rakyat (dua daripada PKR dan seorang dari DAP) berpaling menyokong BN. Ekoran pertukaran kerajaan, DUN Perak terpaksa ditangguh beberapa jam perasmiannya oleh Sultan Nazrin Shah, berlakunya sidang DUN di bawah pokok ketapang, kemudian ke hotel, keengganan menyerahkan uniform YDP DUN, dan cabar mencabar perihal kuasa budi bicara Paduka Sultan Perak berkenaan pemilihan Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

Kecelaruan politik, kelemahan program memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, akibat sekatan ekonomi (bertambahnya pengangguran, bertambahnya rakyat jatuh di tahap kemiskinan, kibar bendera putih, kibar bendera hitam, kes cuba bunuh diri dan bunuh diri, pertelingkahan politik dan sekatan pergerakan – selagrentas negeri dan daerah) semakin menyebabkan rakyat lantang bertanya bilakah permainan politik ini akan berakhir?. Rakyat sudah bosan, bukan bosan olok-olok tetapi sudah mencecah tahap meluat, benci dan tidak boleh menerima apa-apa alasan lagi kerana semuanya dilihat ‘gagal – dari PKP hinggalah darurat’.

MONOSIN SOBRI

Translate »