Ramai pihak cukup simpati dengan nasib pegawai-pegawai perubatan, farmasi dan pergigian yang tidak ada keputusan untuk penyerapan ke jawatan tetap meskipun ada di antara mereka ‘menghentak kaki’ melakukan tindakan ‘berhimpun secara aman’ ketika pandemik COVID-19 masih mengganas dengan jangkitan harian membumbung setiap hari.
Menariknya, sekumpulan politikus Pakatan Harapan cuba menjadikan ‘hartal’ dan tuntutan tersebut untuk mencari ‘laba politik’ dan dijadikan isu menekan Perikatan Nasional, yang mana akhirnya, jika tuntutan tersebut berjaya diselesaikan, secara automatiknya mereka mendapat satu lagi ‘laba politik’.
Jika kita membuka lembaran sejarah, kes ini sebenarnya sudah berlanjutan sejak tahun 2019 apabila Dr Zulkifli Ahmad, bekas Menteri Kesihatan (yang dianggap terbaik) menyatakan: Tawaran akan dibuat sekiranya ada kekosongan dan memenuhi syarat. (Free Malaysia Today, 5 Disember 2019). Itu jawapan lazim yang kita dengar, tetapi dalam masa yang sama Dr Zulkifli tidak berjaya menambahkan jumlah jawatan tersebut dalam sektor awam walaupun sedar, jumlah para pelajar dalam tiga pengkhususan tersebut sudah melebihi keperluan yang digariskan.
Atau sepanjang beliau memegang jawatan Menteri Kesihatan selama 22 bulan (Mei 2018 hingga 24 Mac 2020), saya tidak membaca laporan berapakah jumlah jawatan dalam tiga bidang tersebut berjaya diwujudkan dalam sektor awam. Kita juga tidak mendapat gambaran berapa kalikah KKM yang diterajui oleh Dr Zulkfili mengadakan perundingan dengan dua agensi –Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia –untuk mewujudkan lebih banyak jawatan bagi tiga bidang pengkhususan itu.
Tahun 2016, oleh kerana berlakunya lebihan siswazah dalam bidang tersebut, kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional memperkenalkan lantikan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dalam tiga kategori: kontrak selama lima tahun (UD41 bagi Pegawai Perubatan), tiga tahun (UG41 Pegawai Pergigian) dan tiga tahun (UF41 Pegawai Farmasi). Lambakan graduan perubatan, pergigian dan farmasi mula berlaku akhir dekad pertama tahun 2000 apabila berlakunya peningkatan pengkhususan tersebut di beberapa IPTS (Institut Pendidikan Tinggi Swasta), penambahan pengkhususan di IPTA (UiTM, UPM dan permohonan UPSI pernah ditolak oleh KPM pada suatu ketika), kemasukan para pelajar tempatan di beberapa buah universiti luar negara (sebahagian kecil dibiayai oleh kerajaan manakala sebahagiannya dibiayai oleh keluarga atau pinjaman pendidikan). Ia berlaku selepas wujudnya Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
Sebagaimana dilaporkan, terdapat sekitar 23,000 para medik yang berijazah (perubatan, farmasi dan pergigian) diambil secara kontrak, dan tentunya, mereka yang menerima tawaran tersebut sedar dalam ‘terma dan syarat’ tidak termaktub ‘akan dilantik secara tetap’ oleh kerajaan baik sebelum atau selepas sesuatu kontrak itu tamat. Jadi, secara asasnya, tuntutan agar diserapkan ke jawatan tetap bukanlah ‘hak’ dan ia merupakan prerogatif kerajaan. Dan, kerajaan amat tertakluk kepada jumlah perjawatan yang kosong atau jika berlaku penambahahan jawatan, ia mungkin boleh dipertimbangkan selepas lulus temudaga. Ia bukan proses penyerapan secara automatik.
Maka, tidak sebab para politikus boleh jadikan isu ini untuk memberikan tekanan kepada kerajaan. Setakat ini, kerajaan sedia mempertimbangkan ‘penyambungan kontrak’ dan bersedia membuka peluang untuk mendapatkan kemudahan sebagaimana penjawat awam yang lainnya, termasuk peluang menyambung pelajaran ke peringkat kepakaran. Ia sudah merupakan sesuatu rahmat yang patut disyukuri kerana masih ‘ada kerja’ bukannya terpaksa dibuang kerja oleh kerana keadaan ekonomi dan kekangan akibat pandemik COVID-19.
Syukurlah, sekurang-kurangnya kerajaan Perikatan Nasional ‘tidak zalim’ sebagaimana dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan sebaik sahaja mereka berkuasa. Semua pegawai-pegawai kontrak sama ada lantikan politik atau tidak ditamatkan perkhidmatannya, yang mana mengikut laporan membabitkan lebih 17,000 orang. Satu hal yang patut kita persoalkan ialah dasar Pakatan Harapan, sebaik sahaja memerintah memulakan usaha untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam, kerana saiz yang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung emolument yang merupakan lebih daripada separuh perbelanjaan mengurus tahunan.
Cuba kita lihat, biarpun sektor pendidikan merupakan sektor yang memperoleh peruntukan terbesar setiap tahun, berapa banyakkah perbelanjaan digunakan untuk emolumen (bayaran gaji, elaun dan bayaran tetap yang lain dalam kod siri 10000), bekalan alat-alat untuk penyelenggaraan (pejabat, kenderaan dan bahan mentah dalm kod siri 20000), dan pembelian aset (dalam siri kod 30000).
Misalnya, untuk Bajet 2021, KPM menerima peruntukan terbesar, iaitu RM 50.4 bilion (15.1 peratus daripada keseluruhan Bajet 2021 berjumlah. (Berita Harian, 6 November 2020). Cuba telitikan, dengan jumlah kakitangan seramai hampir separuh daripada jumlah penjawat awam (guru dan bukan guru), berapakah perbelanjaan bayaran emolumen yang menjadi tanggungan KPM sama ada di peringkat pengurusan pentadbiran (KPM, Pejabat Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, Pusat Kegiatan Guru, Institut Pendidikan Guru, dan sekolah) dan juga Institut Aminudin Baki (Latihan Kepimpinan Guru dan latihan dalam perkhidmatan). Ia adalah lebih besar daripada jumlah keperluan (peruntukan) menaiktaraf sekolah-sekolah daif, pembelian buku teks, pembangunan kurikulum dan pembelian bekalan serta bayaran utiliti.
Data KPM sehingga 31 Julai 2020 terdapat sejumlah 416,743 guru (236,993 guru sekolah rendah dan 179,750 orang guru sekolah menengah). Sebulan lalu, kita diberitahu bahawa KPM akan mengambil guru berjumlah 18,700 orang mulai 1 Julai 2021 bagi mengisi kekosongan yang berlaku. Itu adalah kejayaan yang cukup baik dilaksanakan oleh KPM bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sebenarnya, KPM pernah berhadapan dengan isu ‘pelantikan guru berijazah’ apabila ramai guru-guru tidak berijazah menyambung pendidikan mereka sama ada menerusi kaedah ‘pendidikan jarak jauh’ atau ‘pendidikan luar kampus’ yang ditawarkan oleh IPTA dan juga konsortium IPTA yang dikenali sebagai Universiti Terbuka Malaysia (OUM). Isu itu juga disalahfaham oleh sebahagian besar guru yang mendapat kelulusan belajar ataupun tidak, kerana ia bukan dapat dianggap sebagai ‘kenaikan pangkat secara automatik’ sebaik sahaja tamat belajar ke jawatan Pegawai Pendidikan Siswazah (DG41). Sebahagian besar guru yang menyambung pendidikan ialah mereka dalam kategori Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah (DG 29-DG 40).
Atas silap faham mengenai perkhidmatan, para guru berkenaan mendesak agar mereka diberikan peluang untuk ‘naik pangkat’ ke Pegawai Pendidikan Siswazah di mana syarat kemasukannya ialah memiliki ijazah. Dalam istilah perjawatan, seseorang boleh dilantik ke Pegawai Perkhidmatan Siswazah ialah apabila lulus temuduga dan mempunyai ijazah. Temuduga dapat dilaksanakan setelah mempunyai kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan. Ini kerana selain mempunyai kekosongan (bersara atau pertambahan jawatan oleh sebab pembukaan sekolah baharu atau perubahan norma), ia memerlukan peruntukan kewangan untuk emolumen.
Kekosongan tidak dapat diisi jika tidak mempunyai peruntukan, manakala fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) ialah membantu dalam proses pengambilan guru. Ini bermakna SPP tidak dapat membuat pengambilan selagi tiada kelulusan dasar dan peruntukan kewangan. Maka, kerana tidak memahami situasi itulah Datuk A Kadir Jasin mengkritik KPM yang dianggapnya ‘tidak peka’ (dalam satu tulisannya di News Straits Times akhir 1990-an atau awal tahun 2000. Maaf, saya tidak menyimpan keratan akhbar tersebut secara personal).
Sepatutnya, sebagai sebuah kementerian yang mengendalikan urusan pengetahuan dan ilmu, KPM boleh ‘menyerap masuk’ guru-guru tersebut secara ‘automatik’ dan tidak membiarkan para guru yang ‘sudah banyak berkorban masa, kewangan dan emosi untuk melanjutkan pelajaran’ itu dilihat sebagai satu usaha untuk mempertingkatkan tahap pendidikan mereka. Atas alasan itu, Kadir menggunakan istilah ‘idiot’, yakni ‘bodoh, jahil, dungu, bebal’ dan seumpamanya kerana tidak membuat penyerapan secara automatik.
Kalau dilihat daripada perspektif prosedur, Kadir sebenarnya yang ‘idiot’, tidak memahami bagaimana proses pengambilan (terma dan syarat) sesuatu jawatan di peringkat ‘entry point’ (kemasukan baharu) itu diambil dan membezakannya dengan jawatan kenaikan pangkat. Dalam sektor awam, proses kenaikan pangkat dilaksanakan dengan pelbagai kaedah, antaranya Khas Untuk Penyandang (Time Based), fast-track mahupun lantikan biasa. Kebiasaannya, kenaikan pangkat tidak melangkaui ‘entry point’ yang lebih tinggi. Ertinya, Pegawai Pendidikan Siswazah adalah Gred DG 41, maknanya sehabis boleh kenaikan pangkat Pegawai Pendidikan Bukan Siswazah hanya setakat DG 40. Kini, sudah ada peluang Peagawai Pendidikan Bukan Siswazah mendapat ‘kenaikan pangkat’ dalam ‘entry point’ dan diberikan Gred DG 42, dengan syarat lulus temuduga dan mendapat penilaian tahunan yang cemerlang. Ia bukan pelantikan secara automatik walaupun sudah berijazah.
Ia cukup berbeza dengan isu doktor kontrak yang mendesak agar perkhidmatan mereka diserapkan kepada jawatan tetap. Masalahnya ialah ‘kekosongan jawatan’ yang diluluskan oleh dua agensi pusat (JPA dan Kementerian Kewangan), kerana tanpa keputusan tersebut, ia tidak mungkin dapat dilaksanakan oleh KKM, walaupun hartal berlaku beberapa kali. Apakah ‘lebihan siswazah perubatan, pergigian dan farmasi’, yang setiap tahun dikeluarkan oleh IPTA, IPTS dan program berkembar di luar negara perlu ‘dibebankan’ atau dipersalahkan kepada kerajaan?
Dari satu perspektif mungkin boleh diterima, terutama apabila berlakunya kekurangan atau penguncupan perjawatan atau peluang kerja. Daripada perspektif yang lain, kerajaan tidak boleh dipersalahkan kerana bukan tanggungjawab kerajaan untuk menyerapkan mereka ke dalam sektor awam. Sepatutnya asas tersebut difahami dengan baik, bukannya, saling menyalahkan sehingga kerajaan dilihat gagal dan membazir sumber dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Universiti bukannya kilang untuk mengeluarkan ‘pekerja berijazah’, kerana proses pembelajaran itu menjadi tanggungjawab kerajaan memperbanyakkan peluang, dan bukannya diserahkan kepada kerajaan untuk menyelesaikan ‘pengangguran siswazah’ sepenuhnya.
Sebelumnya, sebelum tumbangnya kerajaan Barisan Nasional, sudah ada beberapa perancangan untuk memberikan laluan kepada para siswazah, namun kesemua perancangan itu tidak dapat diteruskan kerana Pakatan Harapan mempunyai agendanya yang berbeza. Pembinaan hospital, klinik dan poliklinik baharu tidak berlaku sepanjang pentadbiran PH, kecuali jika ia sudahpun dimulakan beberapa tahun sebelumnya. PH juga berusaha memansuhkan lebih banyak Klinik 1Malaysia, walaupun pada namanya dikatakan ditukar kepada Klinik Komuniti. Kini, sudah tidak ada lagi Klinik 1 Malaysia yang pada akhirnya boleh ditingkatkan sekurang-kurangnya dikendalikan oleh seorang atau dua orang doktor, bukan lagi diuruskan oleh Pembantu Perubatan (atau dresser).
Semasa pemerintahan PH, saham IHH Healthcare Sdn Bhd yang dipunyai oleh Khazanah telah dijual kepada Mitsui & Co dari Jepun, dan ini menipiskan peluang graduan perubatan tempatan bekerja. Sebagai pemilik baharu, Mitsui boleh melakukan apa sahaja, termasuk tidak mengambil lulusan perubatan tempatan untuk bekerja di hospital-hospital kawalan mereka. Begitu juga, Mitsui & Co hanya akan mengambil doktor-doktor pakar sahaja, manakala siswazah baharu tidak berpeluang kecuali sudah mempunyai pengalaman beberapa tahun dan lulus dalam pengajian di peringkat kepakaran.
Sebelumnya, Kumpulan Perubatan Pantai adalah entiti perubatan tempatan, tetapi ia telah dijual oleh anak Dr Mahathir kepada sebuah firma daripada Singapura, Parkway Pantai Limited. Parkway, Khazanah Nasional, Citigroup, Mitsui dan KWSP adalah pemegang saham dalam IHH. IHH yang beribupejabat di Kuala Lumpur merupakan kumpulan penjagaan kesihatan yang terbesar di Asia (Malaysia, Singapura, China, Hong Kong, Brunei dan India) dan mempunyai fasiliti kesihatan (hospital) di Eropah (tengah dan timur) Afrika Utara dan Timur Tengah (Arab Saudi, Turki dan UAE). Sebelumnya, Khazanah mempunyai saham sebanyak 42. 05 peratus dalam IHH, dan dengan penjualan saham sebanyak 16 peratus, bermakna masih berbaki 26.05. Ertinya, Khazanah tidak lagi dapat mengawal IHH. Pelupusan kepada Mitsui & Co bernilai RM 8.4 bilion ia akan menjadikan Khazanah Nasional bukan lagi pemilik terbesar saham dalam IHH. (Berita Harian, 29 November 2018).
IHH yang dibentuk oleh Najib Razak itu berusaha untuk membeli balik saham dalam Kumpulan Perubatan Pantai yang dijual oleh anak Dr Mahathir kepada Singapura. IHH kemudiannya merupakan rangkaian hospital swasta kedua terbesar di dunia dengan 80 buah hospital di 10 buah negara dengan jumlah pekerjaan melebihi 65,000 orang. Selepas sahamnya dijual sebanyak 16 peratus, Mitsui & Co merupakan pemilik terbesar dengan 33 peratus. Ini bermakna, Mitsui & Co mempunyai kawalan terhadap IHH (rujuk: https://m.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951/10157873265630952/?type=3&source=57). Dan, tentunya dengan kepemilikan baharu itu menyebabkan peluang bekerja siswazah perubatan Malaysia menjadi semakin sempit dalam sektor penjagaan kesihatan swasta tersebut.
Kita tidak pasti, berapa ramaikah siswazah perubatan, farmasi dan pergigian yang sedang berkhidmat secara kontrak itu menyedari kesilapan mereka apabila mengundi PH dalam PRU ke-14 lalu. Apakah mereka tidak rasa ‘tertipu’ dengan janji dan manifesto PH dan perubahan dasar yang dibuat sepanjang menerajui negara selama 22 bulan? Apakah PH telah berjaya meningkatkan saiz ekonomi sehingga melangkaui apa yang berjaya dilaksanakan oleh BN sekurang-kurangnya pada tahun terakhir pentadbiran (2017), yakni sebelum PH menang dengan cara ‘politik fitnah’ dan ‘kebencian’?
Semalam (Berita Harian, 29 Julai 2021) menyiarkan pandangan seorang penulis bernama Nazirah dari Kedah, “Doktor lantikan kontrak biar berpada buat tuntutan”, cukup mengingatkan ramai siswazah lain yang juga sedang menganggur, kerana mereka (doktor kontrak) masih ada pendapatan bulanan. Bagi siswazah lain, mereka sudah lama ‘menunggu jawatan’ sama ada dalam sektor awam ataupun swasta, yang lebih ‘tersiksa’ daripada doktor kontrak dari segi pekerjaan. Bukan sahaja doktor kontrak menjadi ‘harapan keluarga’, siswazah yang sedang mengangggur tetap ada harapan kendiri dan keluarga, apatah lagi dalam situasi ekonomi yang sangat meruncing ini.
Hartal doktor kontrak mengemukakan empat tuntutan kepada kerajaan: kriteria pemilihan doktor lantikan tetap; menyediakan laluan pascasiswazah; menyediakan hak sama rata antara doktor tetap dan kontrak; dan, memastikan semua doktor kontrak mendapat jaminan pekerjaan tanpa mengira bangsa dan agama. Tuntutan pertama, secara mudahnya saya boleh gambarkan bahawa pelantikan ke jawatan tetap asasnya ialah kekosongan jawatan (diluluskan pengambilan dan adanya peruntukan), lulus temuduga oleh SPA (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), dan mendapat surat tawaran sebagai Pegawai Perubatan Tetap (sama ada berpencen atau tidak bergantung kepada syarata Skim Perkhidmatan dan peraturan perjawatan). Itu sahaja, secara terorinya cukup mudah, yakni bila berlaku kekosongan dan KKM memperoleh kelulusan, maka siswazah hendaklah memohon. Ini bermakna, tidak ada ‘penyerapan secara automatik’.
Bagi tuntutan kedua, menyediakan laluan pascasiswazah sudahpun diumumkan oleh kerajaan. Kerajaan bersetuju menyambung kontrak untuk tempoh maksimum kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama. Ini bermakna jika mereka melanjutkan pelajaran (kepakaran) selepas itu, ia tidak lagi diberikan pelanjutan kontraknya. Tuntutan ketiga, menyediakan hak sama rata antara doktor tetap dan kontrak, ada perkara yang tidak boleh dilaksanakan berdasarkan peraturan perkhidmatan, terutama daripada perspektif tanggungjawab dan autoriti (pengesahan surat menyurat, dan lain-lainnya).
Hal ini tidak dapat dilakukan kerana salah syarat perkhidmatan, lantikan tetap perlu melepasi beberapa keperluan yang membolehkan mereka disahkan dalam jawatan, yakni peperiksaan dalam perkhidmatan. Kedua, bidang kuasa yang sah dan jelas dari segi tanggungjawab pentadbiran. Ketiga, doktor kontrak bertanggungjawab dalam perspektif profesyennya sahaja (perubatan) maka, hal-hal yang lain tidak terikat dan mengikat secara legal.
Tuntutan keempat, sangat ‘melampau’ kerana tidak ada syarat dalam kontrak mengatakan ‘diberikan jawatan tetap’ oleh kerajaan. Doktor kontrak boleh merayu dan memohon untuk dipertimbangkan ke lantikan tetap sekiranya ada kekosongan, tetapi tidak boleh ‘memaksa’ dengan mengugut ‘akan meletakkan jawatan’ walaupun dibenarkan dalam syarat kontrak sebelum tempoh itu berakhir. Sama ada meneruskan sehingga tamat kontrak atau meletakkan jawatan sebelum tamat kontrak, itu adalah pilihan masing-masing.
Nazirah memberikan pandangan yang baik bila menyatakan bahawa ‘keputusan itu (tawaran ke lantikan tetap) hanya menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja akibat pandemic COVID-19. Soalnya, “apa akan terjadi selepas pandemik berakhir dan semua rakyat diberikan vaksin? Adakah kita masih memerlukan tenaga kerja sebanyak diperlukan ketika ini?”. Ia suatu ‘realiti’ dan jangan pula berlaku selepas ini, berlaku ‘lambakan doktor di hospital kerajaan’, kerana ia membazir sumber kewangan negara. Sepatutnya, lebihan sumber itu digunakan untuk tujuan lain seperti pembelian ubat-ubatan dan peningkatan kemudahan di hospital atau klinik-klinik kerajaan.
Seperti turut disoal oleh Nazirah: Apakah keputusan meminta jaminan pekerjaan ketika negara bergelut dengan pandemik adil dan tidak berlebihan? Sekali imbas, ia mungkin boleh ditafsirkan sedikit ‘melampau’ kerana ‘kerajaan tidak pernah memberikan apa-apa jaminan kepada mana-mana graduan bahawa mereka akan ditawarkan pekerjaan selepas tamat pengajian.” Ini cukup jelas, kerana era ‘kerajaan menyerap siswazah’ sudah tidak sesuai sebagaimana berlaku pada tahun-tahun 1960-an hingga akhir Abad ke-20. Sepatutnya para siswazah lebih memahami bahawa peranan kerajaan sebagai ‘engine of economic growth’ sudah semakin mengecil kerana sudah ditukarkan kepada pihak swasta. Sebab itulah munculnya pelbagai pusat perubatan swasta dan rangkaian penjagaan kesihatan yang diharapkan dapat mengambil mereka bekerja.
Apa yang berlaku sejak PH mentabdir ialah kekurangan peluang pekerjaan yang cukup ketara kerana sepanjang 22 bulan tidak ada perancangan ekonomi yang cukup kuat, bahkan negara mengalami defisit kepercayaan akibat politik dalam PH sendiri. Barisan kabinet PH cukup lama mengambil masa untuk belajar, dan sehingga tidak pernah memahami tanggungjawabnya secara jelas, melaksanakan tanggungjawab secara efisyen sehingga terjerumus dalam ‘kesilapan’ dan ‘terpelanting daripada kuasa’.
Hari ini, PH nampaknya cuba ‘mencari jalan untuk menempel’ di atas isu kerana sepanjang 22 bulan pentadbirannya, rakyat mempersoalkan apakah kejayaan dalam pengurusan sumber manusia (termasuk masalah pengangguran graduan) berjaya dilakukan? PH mempunyai masa selama lebih setahun sebelum pandemic COVID-19, tetapi, PH hanya bermain dengan retorik ‘membaiki kerosakan’, yang munculnya, ‘kerosakan bertambah besar’, bukan sahaja hutang bertambah, bahkan antara kementerian pun tidak mempunyai kerjasama yang baik, sentiasa berlaku ‘political bashing’. Masing-masing parti dalam PH berusaha menjadikan kedudukannya lebih berdominasi, bukan melahirkan kesepakatan dalam meneruskan agenda Malaysia Baru.
Itulah sebabnya, DAP beberapa kali membuat kenyataan seolah-olah amaran kepada PH, parti itu akan ‘keluar’ sekiranya objektif Malaysia Baru tidak dilaksanakan. Itu hanyalah kata-kata, bukan tindakan kerana DAP dalam masa yang singkat berjaya mengemas dan menterjemahkan ideologi politiknya, Malaysian Malaysia dengan jenama ‘kebersamaan’, yang sebahagian besar sasarannya ialah kepada bukan Melayu, termasuk mula memberikan peruntukan kepada sektor pendidikan sekolah vernakular yang tidak melaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan (Kolej New Era, sekolah-sekolah swasta di bawah kendalian Dong Zong dan Dong Jiao Zong) bahkan sangat terdesak untuk mendapatkan pengiktirafan UEC.
Rakyat Malaysia masih ingat apa kata Tony Phua dan Lim Guan Eng ketika mereka berada di Kementerian Kewangan terhadap dasar pengurangan penjawat awam. Rakyat Malaysia masih ingat penghinaan Tony Phua terhadap penjawat awam. Rakyat Malaysia masih ingat bagaimana formula Lim Guan Eng dalam usaha mengurangkan penjawat awam secara bertahap-tahap kerana jumlah melebihi sejuta orang adalah ‘langkah membazir’ tetapi dalam masa yang sama DAP sangat menentang untuk menutupi sekolah-sekolah yang dikategorikan sebagai ‘under enrolmen’ terutama bila kawasan ladang sudah berubah menjadi kawasan perumahan dan bandar baharu.
Dan, dalam masa yang sama berusaha menambahkan lebih banyak sekolah-sekolah jenis kebangsaan walhal sepatutnya diperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan jika ‘hati dan perasaan’ mereka berjiwa Malaysia, yakni tidak memperlekehkan sekolah kebangsaan dengan alasan “Islamisasi” ataupun ‘mengembangkan ektremisme agama’. BEgitu juga dengan pandangan bekas Menteri Kesihatan, sekarang ini Dr Zulkifly bukan sahaja dipersoalkan ‘kepakaran menangani COVID-19 di Selangor’ apabila menganggotai task-force bahkan apa yang dilakukan untuk menyelesaikan kemelut ‘doktor kontrak’ semasa berpeluang melakukannya selama 21 bulan lamanya.
Dalam tempoh itu, Dr Zulkifly juga gagal, gagal memperoleh keputusan untuk ‘menyerap doktor kontrak kepada jawatan tetap’ dan memperluaskan sektor kesihatan apabila menutupi sebahagian Klinik 1 Malaysia dan merancang pembinaan infrastruktur kesihatan bagai menambahkan bilangan perjawatan dalam tiga sektor tersebut (doktor perubatan, doktor pergigian dan pegawai farmasi). Jadi, sekarang Dr Zulkifly tidak perlu ‘melalak’ agar kerajaan Perikatan Nasional ‘menyerap kesemua 23,000 jawatan’ tersebut dalam jawatan tetap, kerana di mana mereka akan ditempatkan selepas pandemik COVID-19 reda. Bolehkah Dr Zulkifly menerima kenyataan bahawa adalah lebih mudah ‘mengecam’, kerana memangnya kerja parti-parti pembangkang begitu, tetapi bila diberikan kuasa, tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan dan efisyen. Bahkan, janji yang dibuat sebagai manifesto pun dikhianati dan diberikan alasan ‘macam-macam’. Apa reaksi dan tindakan Dr Zulkifly apabila Dr Mahathir memberikan penjelasan, “Manifesto bukan kitab suci’ dan ‘malaikat pun buat silap’?
Kerajaan Perikatan Nasional tidak ada ‘beban manifesto’ walaupun sebahagiannya berasal daripada pendokong Pakatan Harapan. Bagi mereka, PH bukan lagi rumah mereka, mereka tidak lagi berlindung di situ. Perikatan Nasional sebahagiannya mewarisi ‘dosa’ yang dilakukan oleh PH yang memerintah Malaysia dalam tempoh 22 bulan, maka sebahagian daripada masalah yang timbul sekarang adalah masalah yang juga berasal daripada kelemahan pentadbiran dan pembentukan dasar daripada PH.
Rakyat Malaysia masih ingat bila mana pintu sempadan tidak ditutup ketika COVID-19 mula dikesan kerana ‘dua juta pelancong dari China tidak tahu ke mana hendak ditempatkan‘ maka Perikatan Nasional juga bakal berhadapan dengan masalah di mana akan ditempatkan sekiranya kesemua ‘doktor kontrak diberikan jawatan tetap’ sebaik sahaja pandemik COVID-19 reda dan ‘herd immunity’ tercapai? Jangka pendeknya, Perikatan Nasional telah berusaha memanjangkan kontrak, tetapi, jangka panjang itulah antara faktor yang perlu dilihat dan dipertimbangkan – penempatan mereka jika diberikan jawatan tetap dan bagaimana menampung bayaran emolumen, bukan ‘one off’ ianya berpanjang selagi mereka berkhidmat dalam sektor awam. Apakah ‘tekanan’ yang diberikan itu tidak bercanggah dengan hasrat PH semasa berkuasa untuk mengurangkan jumlah penjawat awam?
Mahanor Saleha.
Recent Comments