BAHAGIA BILA KITA ‘TERSENYUM DAN BERSYUKUR’
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” (Surah asy-Syura: 20)
*****
Al-Ghazali dalam Mizanul Amal, salah sebuah kitab tasawuf terawal yang ditulisnya ketika period pertama sebagai tenaga pengajar di Universiti Nizamiyyah di Baghdad (478-488) menyatakan:
“Manusia itu diciptakan dalam darjat pertengahan antara binatang dan malaikat. Manusia itu mempunyai sejumlah kekuatan dan sifat-sifat.
“Manusia itu dari segi melakukan makan dan berkembang biak adalah bagaikan tanaman. Dari segi [….], ia dapat merasa dan bergerak adalah binatang. Dari segi bentuk dan rupa sikapnya adalah gambaran yang diukir di atas dinding.
“Ada pun keistimewaan yang kerananya ia diciptakan adalah kekuatan akal dan kekuatan menemukan hakikat segala perkara. Maka barangsiapa yang menggunakan seluruh kekuatannya sesuai jalan yang untuk mencapai ilmu dan pengamalannya, maka ia telah menyerupai malaikat. Maka pantaslah ia menyamai malaikat, dan pantas pula ia dinamai malaikat yang mengenal Tuhan.”
(Imam al-Ghazali, Timbangan Amal: Menuju Kebahagiaan Akhirat, (terjemahan Mizanul Amal oleh M Ali Chasan Umar dan A Chumaidi Umar), Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd., cetakan ke-4 1991: hal.40. […] terdapat penanggalan ‘perkataan’ dari barisan ayat tersebut yang mungkin berpunca dari kesilapan pembaca peruf atau cetakan).
Dalam kata pengantar al-Ghazali menjelaskan bahawa: ‘Oleh kerana kebahagiaan yang menjadi cita-cita orang-orang dahulu dan orang-orang kemudian itu tak dapat dicapai kecuali dengan ilmu dan amal shaleh, masing-masing dari keduanya itu saling memerlukan pada lainnya dengan meliputi hakikat dan kadarnya, dan wajib juga mengetahui ilmu serta membezakan antara suatu ilmu dan lainnya dengan suatu ukuran, dan kamipun telah selesai daripadanya, maka wajiblah mengetahui amal perbuatan yang membawa kebahagiaan serta membezakan antaranya dan antara amal perbuatan yang mengakibatkan kesengsaraan.” (Al-Ghazali, 1991: hal.12)
Ada beberapa konsep yang perlu kita fahami, sebagaimana diperkatakan oleh al-Ghazali, dan untuk sementara waktu saya cuba membincangkan frasa-frasa yang terkandung dalam petikan tersebut, yang sengaja dihitamkan sebagai penekanan. Sebelum itu, saya cuba menarik minat pembaca kepada satu temuan yang sangat mempengaruhi pemikiran manusia sekarang ialah mengenai teori hirarki ‘keperluan manusia’ yang dihasilkan oleh Abraham Maslow (1908-1970) kira-kira 67 tahun lalu (1954).
Maslow membahagikan teori hirarki kepada lima tahap yang diilustarikan seumpama sebuah pyramid yang berbentuk tiga segi . Di bahagian dasar (atau bawah) ialah hirarki keperluan paling rendah, tetapi ia adalah yang sangat mustahak bagi kelangsungan hidup manusia, kerana tanpanya manusia akan pupus, iaitu keperluan fisiologi (makanan, minuman, kesihatan, seks dan udara). Keperluan kedua ialah lebih berbentuk keselataman, iaitu perlindungan daripada bencana atau penyakit, tempat tinggal (ancaman binatang buas) dan pakaian (kesejukan atau penampilan). Keperluan ketiga ialah kasih sayang kerana manusia disifatkan sebagai ‘makhluk sosial’, yang tidak boleh hidup bersendirian dan ‘terasing’. Keperluan keempat ialah ‘esteem’ iaitu keyakinan diri, dihormati, pencapaian diri (atau cita-cita) dan rasa bangga. Keperluan terakhir ialah ‘pengukuhan kendiri’ seperti penilaian moral, kreativiti, prasangka, penerimaan fikiran dan sikap (acceptance of facts), pengiktirafan dan sebagainya.
Ini bermakna, selepas memperolehi sesuatu kedudukan, manusia akan meningkatkan kehendaknya kepada tingkatan yang seterusnya sehinggalah memasuki ‘pengukuhan kendiri’ atau self esteem yang menjadi puncak keperluan. Namun, dalam memenuhi keperluan tersebut, manusia masih belum menemui kemuncak kebahagiaan kerana apa yang dibentangkan oleh Abraham Maslow itu masih bersifat luaran, yakni tidak memenuhi ‘makna kebahagiaan’ yang diperkatakan oleh al-Ghazali. Dalam pemahaman Abraham Maslow, keperluan puncak manusia walaupun merupakan kehendak bersifat psikologi, makna dan tujuannya hanya sekadar penghormatan dan pengukuhan kendiri yang tidak menyentuh destinasi akhir manusia, yakni hanya ketika manusia itu masih hidup atau bernyawa.
Dalam konteks agama, manusia bukanlah sekadar hidup di dunia kerana selepas beberapa tahun mengumpul ‘kebahagiaan’ mahupun ‘kegagalan’, manusia mempunyai ‘kehidupan kedua’ yang lebih kekal dan abadi, yakni kehidupan di alam roh setelah berpisah daripada jasad. Dalam memenuhi dan menentukan ‘kebahagiaan’ semasa hidup itulah manusia kadangkala ‘tersilap’ dan ‘sengsara’ walaupun semua tahap keperluan yang dirumuskan oleh Maslow boleh digapainya. Ertinya, konsep dan makna kebahagiaan itu sendiri sangat subjektif dan spekulatif dari seseorang dengan seseorang yang lain, ia bukan satu konsep dalam sebuah pemaknaan yang mantap dan boleh dipertahankan secara sejagat.
Kita boleh melihat keperluan-keperluan itu secara terpisah berdasarkan situasi dan persekitaran kehidupan itu sendiri. Pada masa ini, sebahagian besar penduduk dunia, berjuang bermati-matian untuk menyelamatkan diri daripada wabak dan pandemik COVID-19 kerana ia telah menimbulkan pelbagai kesan kepada kehidupan manusia itu sendiri. Kesan yang cukup jelas ialah akibat wabak tersebut aktiviti kehidupan manusia menjadi ‘sangat terhalang’ di mana sekatan pergerakan terpaksa dilakukan bagi mengelakkan wabak itu terus berjangkit.
Akibat COVID-19 turut menimbulkan pelbagai tekanan sehingga memunculkan fenomena kesihatan mental seperti kemurungan dan meningkatkan percubaan membunuh diri dan membunuh diri. Selain tekanan kepada paramedik yang terpaksa bekerja keras untuk menguruskan pesakit, memberikan bantuan perubatan dan mendiagnosiskan tahap kesihatan pesakit, tekanan juga turut melibatkan ahli keluarga pesakit, anggota masyarakat dan pihak berkuasa dalam menguruskan beberapa perkara, seperti kawalan jangkitan, pengurusan jenazah dan sokongan psikologi. Bahkan, pengurusan jenazah semakin menjadi kritikal apabila jumlah ruangan penyimpanan mayat tidak cukup, permintaan kepada kereta jenazah meningkat, khidmat pengurusan pengkebumian bertambah, dan pembabitan masyarakat terpaksa dihadkan.
Cukup sedih apabila kita mendengar cerita duka keluarga tidak dapat menguruskan pengkebumian ‘orang-orang yang disayangi’, menatap wajah buat kali terakhir, orang tersayang mati keseorangan tanpa ada ahli keluarga di sisi (ketika nazak), dan paling memilukan apabila mendapat khabar ‘orang tersayang terpaksa ditidurkan’ oleh doktor, selain trauma dan kutukan sosial oleh mereka sangat prejudis. Ertinya, makna kebahagiaan itu juga sudah bertukar setelah berlakunya ‘kehilangan’ dan ‘kesengsaraan’ yang begitu cepat dalam kehidupan manusia.
Secara fizikal dan mudah, seseorang yang dikatakan meraih kebahagiaan ialah mereka yang tersenyum kerana bagi seseorang yang ‘tidak bahagia’ gambaran air muka dan bahasa badannya cukup berbeza. Apabila seseorang itu bersedih, kita akan dapat membaca pergerakan bahasa badannya, seperti memencilkan diri (bersendirian atau mengurung diri di dalam bilik), tidak bercakap, hilang selera makan, dan tiada tanda pesona wajah (masam mencuka, resah dan panik).
Dalam pemahaman manusia beragama, kebahagian itu dibahagikan kepada dua: (1) kebahagiaan hidup; dan (2) kebahagiaan abadi. Kebahagiaan hidup adalah kebahagiaan yang diraih oleh manusia semasa hayatnya, yakni apa yang berjaya diraihnya menerusi kerja keras atau usahanya dalam memenuhi lima keperluan asas yang digariskan oleh Maslow. Bagaimanapun kebahagiaan itu tidak akan kekal, kerana ia bukan sahaja subjektif dan spekulatif bahkan belum tentu meperoleh ‘kebahagiaan’ pada kehidupan kedua. Dalam konteks Islam, kehidupan kedua ialah kehidupan di alam barzah, iatu selepas jasad dan nyawa berpisah.
Menurut ajaran Islam, matinya seseorang tidak bererti berakhirnya kehidupan. Kehidupan pertama adalah bersifat sementara, manakala kehidupan kedua adalah kekal dan abadi kerana tidak ada lagi kematian selepasnya. Kehidupan kedua adalah kehidupan di peringkat roh, bukan lagi jasad. Bagaimana pun, kehidupan pertama mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kehidupan kedua. Hal ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah SWT bahawa, setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas perbuatan (tindakannya) semasa jasad dan nyawa bersatu dalam menjalani kehidupan pertama di dalam kehidupan kedua.
Al-Ghazali menjelaskan bahawa kehidupan pertama (dunia yang fana’) seumpama ‘ladang’. Di ladang itulah manusia menanam pelbagai ‘pokok buah-buahan’ yang hasilnya akan dapat dituai di akhirat. Ertinya, pencapaian atau pun kegagalan yang diraih dalam hidup ada wajaran dan nilai yang setimpal apabila diadili di Padang Masyar, iaitu tempat di mana amal dan kebajikan itu diadili.
Sebab itulah para ahli sufi menggambarkan, kebahagiaan di dunia adalah kebahagian yang bersifat material tetapi kebahagiaan sebenar yang wajib diraih oleh manusia ialah kebahagiaan jiwa. Untuk mencapai ‘kebahagiaan jiwa’ manusia memerlukan pengetahuan dan dengan pengetahuan itulah manusia wajib beramal. Itulah yang diistilahkan sebagai timbangan amal oleh al-Ghazali.
Istilah ‘bahagia’ secara mudahnya digambarkan menerusi perasaan, iaitu ‘rasa bahagia’, ‘rasa senang’, atau ‘rasa tenteram’. Semua rasa itu hadir dari dalam diri seseorang, dan sebab itulah mereka yang mempunyai atau mengalami rasa bahagia sangat mudah tersenyum, wajahnya ceria dan pergerakannya cukup harmoni. Menurut istilah, dalam bahasa Arab kata bahagia itu sa’adah (شعادة), yang bermaksud ‘tiada derita’ (خلاف الشقاوة).
Sebab itulah al-Ghazali menginterpretasikannya dalam dua dimensi, dimensi dunia dan dimensi akhirat. Dan, kebahagiaan yang lebih kekal ialah kebahagiaan di dimensi kedua, iaitu kebahagiaan akhirat. Bagi al-Ghazali, nikmat kebahagiaan di akhirat ‘tidak perlu difikirkan’, tetapi ia cukup meyakinkan kerana dengan ‘meyakininya’ ia akan memberikan kebahagiaan.
Maksudnya, dengan meyakini adanya kehidupan ‘selepas mati’, manusia akan merasakan dirinya cukup bahagia walaupun sepanjang hidup di dunia ia cukup menderita kerana dihimpit oleh pelbagai masalah yang bukan dalam kawalannya. Misalnya, diuji dengan penyakit, kelemahan fizikal, ditekan oleh sistem dan menjadi mangsa keadaan dalam sistem pemerintahan yang zalim, ekonomi kapitalistik dan pemulauan oleh masyarakat.
Menurut Joko Kurniawan, dalam al-Qur’an istilah ‘bahagia’ boleh dirujuk dengan pelbagai istilah, antaranya: ‘pemberian taufik ke jalan yang mudah’ (QS. Al-A’la: 8), ‘tempat yang disenangi’ (QS. Al-Qamar: 55), ‘negeri akhirat’ (QS. Al-Qasas: 83), ‘darus salam’ (QS. Yunus: 25), ‘hasil yang baik’ (QS. Al-An’am: 135), dan masih banyak lagi tentang istilah dalam al-Qur’an yang menggambarkan tentang kebahagiaan. (rujuk: http://afi.unida.gontor.ac.id/2020/03/07/nasihat-imam-al-ghazali-tentang-makna-kebahagiaan/)
Sebelum ini, saya pernah menulis beberapa rencana mengenai bagaimana ‘kebahagiaan’ itu dipersepsikan dan juga dilihat oleh manusia, termasuk memberikan komentar terhadap tulisan Eric Weiner (Geography of Bliss, 2009), memoir Elizabeth Gilbert (Eat, Pray, Loves 2006 dan dipindahkan ke filem, 2010), Gretchen Rubin (The Happiness Project, 2009) mahupun laporan-laporan yang dibuat oleh organisasi tertentu terhadap “happiness index”. Ada banyak cara seseorang itu memahami erti kebahagiaan, tetapi apa yang dimaksudkan ‘kebahagiaan’ itu tidak kekal, semuanya berubah kerana manusia mempunyai banyak peralihan dan kehendak. Misalnya, bagaimana Elizabeth ‘mencari kebahagiaan’ dengan berjalan-jalan di tiga negara yang berbeza, Itali (bahagia dengan keenakan makanan), India (hidup bermeditasi dan mempelajari spiritual klasik) dan akhirnya ‘menemui cinta’ di Bali.
Elizabeth melakukan perjalanan mencari bahagia itu setelah bercerai dengan suami pertamanya (Michael Cooper, 1994-2002) dan sebagai sebahagian usaha ‘merawat hati yang terluka’, yang akhirnya menemui suami kedua (Jose Nunes, 2007-2016) ketika melihat keindahan matahari tropika di Bali. 7 September 2016, Elizbeth mengumumkan hubungan intimnya dengan rakan penulis wanita, Raya Elias dan ‘berkahwin’ pada 6 Jun 2017. Namun ‘perkahwinan’ itu tidak diiktiraf, 4 Januari 2018, Raya Elias meninggal akibat kanser. 25 Mac 2019, Elizabeth membuat pengumuman sedang intim dengan seorang juru gambar Britain, Simon McArthur, dan setahun (Februari 2020) kemudian mengumumkan ‘sudah berpisah’.
Buku Elizabeth berjaya dijual lebih 10 juta naskhah di seluruh dunia manakala filem yang dipindahkan dari buku tersebut berjaya mengutip hasil sejumlah US$204.6 juta manakala kos pembikinannya sekitar USD$60 juta. Biarpun Elizabeth sudah dikelompokkan sebagai penulis wanita kaya, hidupnya tidaklah bahagia seolah-olah seperti perjalanan mencari bahagia yang dilaluinya selama setahun (2006) dan kini, hidupnya meniti usia dalam ‘kekosongan sokongan’ atau hirarki ketiga teori Abraham Maslow, Loves and Belonging Needs.
Gretchen Rubin pula ‘meneroka formula bahagia’ dengan cara yang cukup berbeza, yakni mengambil cuti selama setahun untuk melaksanakan eksperimen ‘kaedah bahagia’ dalam rumahtangga, dengan memulakan perubahan dari dalam diri sendiri. Apa yang dilakukan ialah memenuhi tanggungjawab sebagai seorang isteri dan juga ibu, melupakan kerjaya kerana sangat mengharapkan hubungan dalam keluarga menjadi cukup bermakna dan sangat membahagiakan. Bagi Gretchen, kebahagiaan itu ‘apabila dapat memberikan kebahagiaan kepada orang lain’ maksudnya suami dan anak-anak ‘merasa bahagia’ menerusi ‘pengorbanan masa, fikiran dan tenaga’ serta mengubah paradigm dari seorang wanita berkerja kepada suri rumah dan ibu kepada anak-anak sepenuhnya. Cukup bangga dengan ‘pengorbanan’ itu yang akhirnya Gretchen memperoleh ‘kekayaan yang lebih besar’
Biarpun formula bahagia Gretchen itu dilihat ‘kecil’ dan kurang menarik oleh sesetengah orang, keluarga Gretchen terus bahagia. Gretchen kemudiannya menjual formula bahagia itu setelah bukunya, Happiness Project diterbitkan, dan sambutan begitu memuaskan sehingga berjaya dijual sebanyak 3.5 juta naskhah di seluruh dunia sehingga 2019 dan lebih 70 juta muat turun petua Projek Kebahagiaan menerusi podcast. Gretchen memperoleh kebahagiaan dan kini berada di kemuncak hirarki Maslow, Self Actualization.
Saya sengaja tinggalkan Wiener kerana pencarian bahagianya berdasarkan lokasi paling membahagiakan bagi seseorang yang sangat subjektif dan spekulatif. Bagi saya, di mana pun kita berada, tinggal kita akan menemui kebahagiaan sekiranya ‘kita mampu tersenyum’ dan sentiasa bersyukur’ sebagaimana diajar oleh Islam.
Saya petik beberapa ayat al-Qur’an yang merujuk kepada makna ‘bahagia’, iaitu:
“(Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah seorang pun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka di antara mereka ada yang celaka, daada pula yang berbahagia.” (QS. Al-Hud: 105)
“Ada pun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka ia di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi (yakni kekal selama-lamanya di Syurga dengan nikmat tanpa putus-putus), kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu (yakni apa yang dikehendaki oleh Allah untuk menambahkan lagi limpah kurnianya kepada mereka), sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus”. (QS. Al-Hud: 108).
(BERSAMBUNG)
KAMARUN KH
Recent Comments