Tetapi, bagaimana dengan perkongsian gambar-gambar percutian mewah (hotel lima bintang, menikmati makanan di restoran ternama atau membeli belah di pavilion ‘orang kaya-kaya’ dan sebagainya)?
Jika ditujukan kepada ‘rakan-rakan sekelas status sosio ekonomi’ ia tidak menjadi masalah. Tetapi, bagaimana jika pendedahan itu juga ditontoni atau dilihat oleh sekumpulan rakan-rakan yang kedudukannya tidak setaraf?. Dari satu perspektif, ia boleh meningkatkan keinginan dan harapan walaupun dirasakan ‘tidak mampu’.
Dari perspektif lain, apa yang dipaparkan itu membuktikan sumbernya (orang yang memuat naik) sedikit sebanyak disaluti oleh ‘ rasa bangga’ yang lahir daripada ego. Itulah yang saya maksudkan perlakuan yang menarik tetapi dalam masa yang sama ada sedikit sebanyak unsur-unsur riak, suatu perlakuan yang dilarang dalam cara hidup Islam.
Kita kembali kepada ‘komunikasi dalam keluarga’. Jika kita meneliti faktor-faktor penceraian dalam kalangan pasangan Islam, sama ada perkahwinan di bawah lima tahun atau lebih berusia, faktor utama adalah ‘masalah komunikasi’. Masalah komunikasi menjadi faktor yang cukup dominan, dan sangat mengjengkelkan kerana komuniksi sudah dikenalpasti sebagai ramuan yang cukup hebat dalam mempertautkan sesuatu perhubungan, juga suatu anugerah yang cukup besar Allah SWT kepada manusia. Komunikasi menjadi landasan mencari makna dan memahami makna, bukan kaedah memperbesar-besarkan perbezaan atau mempertahankan ego masing-masing.
Saya teringat dengan salah satu rencana ‘komunikasi keluarga’ yang pernah ditulis oleh Profesor Abdullah Hassan, bekas pensyarah bahasa di Pusat Bahasa Universiti Sains Malaysia dan professor komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tersiar dalam Utusan Malaysia beberapa tahun lalu.
Ilustrasi yang diberikan cukup mudah, seorang isteri (prejudement) bertanyakan apa masakan yang hendak mereka makan selanjutnya nanti. Dalam pemikiran si isteri, sudah ada cadangan untuk menggoreng mi dan bila ditanyakan kepada suami, si suami menjawab menu yang lain. Di situ bermula percanggahan aspirasi, dan jika si suami bertekad dengan pilihannya, maka ia boleh mengakibatkan konflik.
Situasi pernah berlaku dalam kehidupan pasangan suami isteri, tetapi, ia bukanlah bermakna tidak ada toleransi yang mungkin berlaku. Mungkin si isteri membuat cadangan, dengan memberikan alasan ‘tidak cukup bahan mentah’ atau sebagainya, makanan yang disebut itu ditangguhkan ke besok atau bila ‘cukup bahan mentah’.
Untuk hari itu, mungkin dengan alasan yang munasabah ‘lojik’ boleh diterima, maka suami bersetuju dengan harapan masakan kegemarannya akan dimasak besok atau lusa. Bagaimana jika tiada kompromi? Itulah yang dinamakan ‘tidak persetujuan’ walaupun untuk sementara, yakni harapan akan terpenuhnya keinginan yang ditangguhkan itu. Kenapa wujudnya ‘masalah komunikasi dalam keluarga”?
Ada beberapa faktor dominan, atau apa yang dikatakan oleh John Gray, Men From Mars, Women From Venus. Ia bermula dengan pertemuan lelaki dari ‘planet Mars’ dengan seorang wanita dari ’planet Venus’ . Pertemuan itu memercikkan ‘rasa tertarik’ dan akhirnya mereka berkahwin, walaupun antara mereka cukup berbeza (fizikal, mentaliti, pembawaan peribadi, dan penampulan) dengan harapan perbezaan-perbezaan itu dapat dirapatkan (kecuali bentuk fizikal) saling berkongsi kekuatan dengan harapan ‘mengurangkan perbezaan’ dan saling melengkapi.
Secara fizikalnya, lelaki mempunyai kekuatan (otot) manakala wanita mempunyai kekuatan ‘perasaan’. Perasaan tidak boleh ditentang dengan perasaan, dan otot tidak dapat ditentang oleh kekuatan otot. Kita hidup bukan zaman purba seperti negara polis atau demokrasi dalam sejarah awal peradaban manusia, misalnya di Athens dan Sparta (Yunani kuno).
Kita hidup di zaman yang cukup memerlukan ‘kemahiran berfikir’ dan beradaptasi dengan pelbagai persekitaran. Bahkan kerana itulah manusia disarankan agar menggunakan kemampuan berfikir, termasuk mengatasi apa sahaja masalah yang sedang membelenggui dirinya.
Tetapi, dalam cara hidup Islam, selain kemampuan berfikir, manusia juga diminta untuk ‘tahu bersyukur’ dan melihat kedudukannya sebagai ‘hamba’, yakni bersabar dan tidak putus-putus memohon doa kepada Allah SWT, kerana sifat dan peranan-Nya dalam ‘menentukan nasib insan’.
Menurut John Gray, disebabkan oleh perbezaan-perbezaan itu maka ia cukup menyebabkan perselisihan antara lelaki dan wanita walaupun mereka hidup bersama, berkongsi sekian lama dalam perhubungan (rumahtangga). Beliau memberikan senarai atau suasana yang berbeza antara lelaki dan wanita bermula lelaki sebagai penopang manakala wanita sebagai pembantu.
Hal ini tidak berbeza dengan pandangan Islam, bahawa lelaki adalah ketua keluarga manakala wanita adalah ketua ‘di rumah’, tetapi tidak bermakna, wanita perlu menetapkan peraturan keras yang mesti dipatuhi ketika ‘di dalam rumah’.
BACA JUGA: SEORANG LELAKI KETIKA DIHIMPIT PKP, https://omiw.com.my/Web/2021/07/18/seorang-lelaki-ketika-dihimpit-pkp/
Akibat peraturan yang dikawal oleh wanitalah maka muncul situasi “lelaki masuk gua” dan “wanita berleter”, atau lelaki seperti ‘gelang getah’ manakala wanita seumpama ‘gelombang’. Di situlah perlu kembali kepada asas dan prinsip yang diajar oleh Islam jika tidak mahu rumahtangga berantakan.
“Mana ada wanita sekarang yang sanggup menderita?” tiba-tiba ungkapan itu diterjah secara spontan dengan ungkapan yang lain: “no women no cry”. Beberapa baris lagu yang cukup popular dendangan Bob Marley (1974) menggamit ingatan lelaki itu. Walaupun lirik lagu itu menyentuh tentang kegagalan pemerintahan (government), ia juga berkaitan dengan kesedihan dua orang wanita: Miss Greene yang sedih apabila anaknya (Jefrey) ditangkap dan didakwa terbabit dengan keganasan bersenjata; dan Miss Punchy yang setiap hari dipukul oleh teman lelaki (seorang nelayan) sendiri.
Al-Ghazali (1058-1111) dalam kitabnya, Nasihat Pernikanan: Menuju Keluarga Samawa (terjemahan dari Adab an-Nikah wa Kasyr as-Syahwatain), 2021 menulis terdapat lima manfaat pernikahan (perkahwinan antara lelaki dan perempuan): (1) memperoleh zuriat (anak); (2) meredam atau memlihara syahwat (nafsu); (3) menguruskan rumah tangga (kehidupan); (4) berkasih sayang antara pasangan; dan (5) berjihad melawan hawa nafsu. Ini bermakna, secara fitrahnya, manusia digerakkan oleh kehendak nafsu, sebab itu bila seseorang itu tidak berkahwin, ramai di antara kita membuat spekulasi “tidak bernafsu”, yang mana digelar sebagai ‘mati pucuk’ atau sebagainya.
Dalam kehidupan manusia, ada seseorang bertanya: sebab apakah manusia berkahwin? Tentunya perkara pertama ialah kerana manusia mempunyai nafsu, maka perkahwinan itu dapat memlihara kedudukan nafsu agar tidak disalahkan penggunaannya. Ia boleh dipenuhi secara beradab, dan menurut lunas-lunas yang ditetapkan; yakni bukan dalam bentuk zina atau perhubungan tanpa ikatan pernikahan yang sah. Ini kerana, hasil perhubungan itu akan menyebabkan pasangan tersebut memperoleh anak-anak yang menjadi penyambung generasi atau penyambung zuriat keluarga.
Dalam kehidupan berkeluarga, sebagai ayah dan ibu, seluruh masanya adalah untuk membolehkan anak-anak membesar dengan sihat dan seterusnya hidup dalam persekitaran yang sempurna. Anak-anak bukan sahaja disediakan tempat yang selamat untuk membesar, diberikan makanan yang sihat, dipakaikan dengan pakaian yang bersih, diajar dengan pelbagai kemahiran asas, dan dijaga sebaik-baiknya sehingga mampu berdikari. Setelah anak-anak berkahwin, sepatutnya kedua orang tua tidak lagi terbeban menanggung kehidupan anak-anak lagi, kecuali diberikan pertolongan bila berada dalam kesusahan.
Ketika pandemik COVID-19, kos sara hidup meningkat tanpa diketahui apakah faktor sebenar yang mempengaruhinya, walaupun sektor yang terbabit dengan pengeluaran makanan dibenarkan beroperasi. Sektor pengangkutan yang membawa hasil-hasil dan produk makanan dibenarkan manakala premis-premis perniagaan runcit dan borong tidak ada masalah.
Kerajaan sering memberikan pengumuman, rakyat tidak perlu bimbang kerana stok bekalan makanan mencukupi, tetapi, kerajaan juga gagal mengawasi kenaikan harga. Lebih mahal daripada sebelum ‘total lockdown’ atau PKP.
Rakyat digalakkan membeli secara dalam talian, tetapi ramai peniaga tidak jujur, da nada produk yang dijual dalam talian lebih mahal daripada harga di pasar kerana pengguna dikenakan bayaran ‘delivery’. Tak mengapa, kerana ingin ‘selamat’, pembelian dalam talian menjadi cukup popular, walaupun secara jelasnya tidak melihat produk itu secara fizikal sebelum menempah.
Akhirnya, bukan sahaja kecewa, bahkan terasa seperti ditipu. Contohnya, menempah ‘goreng sukun’, bila diterima ia lebih nipis daripada potongan ‘keropok cips’. Bayangkan apa perasaan anda bila menerima kepingan goreng sukun itu ‘terlalu keras’ walaupun masih panas, seolah-olah menggigit kepingan kayu. Menyumpah sendirian, dan apakah peniaga itu tidak makan yang dijualnya sebelum menjual kepada orang ramai?
Saya mengira itu adalah satu penipuan yang sangat besar, kerana harga sekeping goreng sukun tidak berbaloi, dan sangat menyiksakan untuk digigit biarpun masih mempunyai susunan gigi yang baik. Saya namakan ‘goreng sukun kayu’. Cukup sekali menempahnya, dan selamat berniaga semoga ‘cepat kaya’.
Itulah juga dalam realiti kehidupan sebagai pasangan keluarga, jika tidak hati-hati ia boleh menyebabkan apa yang dibina dan dipertahankan sekian lama boleh runtuh dalam sekelip mata, juga tidak semua apa yang kita inginkan akan dapat diraih secara mudah, tanpa perlu ada keazaman dan pengorbanan.
Dan, tentunya dalam tempoh pandemiknya bagi pengorbanan yang terpaksa kita buat, dan banyak resam kehidupan lama terpaksa ditukar bagi disesuaikan dengan normal baharu, bukan sekadar memakai memakai pelitup muka, sentiasa ‘sanitize’, menjaga jarak, bahkan menjaga perasaan, percakapan agar tidak dilihat ‘menghina pasangan sendiri’ dan cukup mesra dengan ‘orang lain’.
Agak cliché bila kita bercakap soal tanggungjawab; tanggungjawab suami dan tanggungjawab isteri, kerana pasangan sudah memahami hak dan tanggungjawab masing-masing sehingga mampu bertahan puluhan tahun hidup bersama. Kalau bercakap mengenai tanggungjawab kepada pasangan yang bakal berkahwin. ia cukup berguna sebagai asas pengetahuan berumahtangga.
Tetapi, kalau pasangan berusia, bukan tanggungjawab yang dipersoalkan tetapi bagaimana tanggungjawab itu difahami dan diterjemahkan dalam kehidupan bertahun-tahun lamanya. Itu persoalannya, bagaimana tanggungjawab itu sudah mula dibandingkan dengan hal-hal yang berbentuk fizikal, kemegahan dan kemewahan.
‘Tidak ada apa yang saya dapat’ itu antara luah kata seorang isteri kepada suaminya ketika mereka bergaduh. Cukup subjektf untuk ditafsirkan ‘apa yang’ sepatutnya ‘seorang isteri dapat’ sepanjang perkahwinannya untuk dijadikan apa sahaja nilainya, sebagai aset mahupun legasi fizikal, sebab memang dia memilih suami yang ‘tidak kaya’ dan hanya bekerja sebagai ‘makan gaji’ yang pendapatan bulanannya cukup sederhana walaupun dalam kumpulan B40.
Pada andaian lelaki itu, semasa bekerja beriktikad untuk menghabiskan masa-masa persaraan dalam situasi tenang, tidak lagi berfikir soal wang kerana secara teorinya, pencen bulanan sudah cukup untuk menampung kehidupan, kerana anak-anak sudah bekerja dan mempunyai keluarga masing-masing.
Tidak mengharapkan sumbangan bulan daripada anak-anak, sebab anak-anak juga mempunyai tanggungjawab kepada keluarga masing-masing. Pencen bulanan cukup, untuk hidup sederhana.
Disebabkan oleh persekitaran berubah daripada apa yang dijangka, lelaki itu tetap menanggung kehidupan anak-anak secara tidak langsung. Biarpun tidak menitipkan wang poket harian semana anak-anak masih belajar, segala keperluan makanan dan perbelanjaang rumah meningkat tanpa dirasai secara langsung oleh anak-anak dan isteri.
Kalaupun ada, kadangkala isteri hanya tahu merungtut: barang mahal. Apakah seorang isteri mampu berfikir bagaimana untuk mengurangkan perbelanjaan dapur dan bertanya sisuami berapa setiap pertengahan bulan masih berbaki pencen dalam bulan itu?
Akibat tidak pernah tahu itulah isteri tidak faham. Bukan suaminya kedekut, tetapi, tidak cukup untuk menambung keperluan, sumbernya adalah terhad. Apatah lagi dengan kenaikan harga barangan keperluan cukup tinggi. Begitu juga perbelanjaan utiliti juga bertambah, bukan kerana caj yang dikenakan meningkat, tetapi kuantiti penggunaanya telah meningkat sebab anak-anak masih tinggal bersama.
Anak-anak lebih cerdik, perbelanjaan makanan akan ditanggung oleh ayah ibu sekiranya tinggal bersama, dan cuba sesekali beli barang dapur sekadarnya. Bayaran utility turut meningkat kerana semasa PKP, mereka boleh memanjang masa tidur, dan menghidupkan penghawa dingin cukup panjang,
Seperti beritahu seorang anak, seorang kawan sebelum PKP: hari minggu (atau cuti) mesti balik ke rumah ayah dan ibu. Hari-hari itu boleh makan percuma dan tidak perlu ke pasar, kalau temankan emak, emak yang akan keluarkan belanja membeli barangan keperluan.
Baliknya, emak juga yang masak. Itulah sebabnya semasa PKP, seorang ibu tidak sanggup membiarkan anak-anak, menantu dan cucu-cucunya tidak makan, walaupun ‘kurang sihat’ tetap memasak.
Anak-anak boleh berehat, menonton televisyen mahupun menjelajah ‘maklumat di hujung jari’ dan berchatting. Itulah sebenarnya ‘keletihan melampau’ kerana jika hanya antara dirinya dan suami, tidak perlu masak untuk sepuluh orang makan. Juga belanja dapur, tidak perlu sehingga lebih dua ribu ringgit sebulan membeli pelbagai keperluan. ((BERSAMBUNG)
MAHANOR SALEHA
Recent Comments