“Pemuda pemudi di negara-negara yang merdeka dan maju kewajiban yang terutama melengkapkan diri untuk memenuhkan kerusi-kerusi atau tempat-tempat yang dikosongkan oleh orang-orang tua negaranya. Apakah kelengkapan yang terutama bagi pemuda-pemuda itu? Ialah pemuda mesti berpelajaran, pemuda mesti sihat, pemuda mesti insaf dan bersedia menyerahkan diri raganya untuk bangsa dan negaranya. Pemuda mesti malu membuat dan memenuhkan kerja-kerja yang boleh berhidup tidak menyusahkan kepada orang tuanya. Pemuda kita sekarang mahulah jangan lengah mempelajari hal membaiki ekonomi berniagalah walaupun kecil, walaupun menjual pisang goreng atau air batu, kacang goreng seperti mana yang diperbuat oleh pemuda-pemuda asing yang sentiasa terpampang di hadapan mata kita.” (Harun Aminurrashid (1907-1986), dikutip oleh  Azhar Ibrahim, Menyanggah Belenggu: Kerancuan Fikiran Masakini, 2106: 231)

*******

Dalam eseinya yang lain, Dr Azhar Ibrahim,  felo pelawat Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) menjelaskan bahawa “cendekiawan dan inteligensia zaman ini tidak boleh  berjubah kependetaan melangit, tetapi sebagai salah seorang warga yang membumi sifat dan sikapnya, dan sedar akan tanggungjawabnya terhadap masyarakat sekeliling.”

Tambah Azhar Ibrahim lagi  kesedaran sahaja tidak cukup dan kerana itu para cendekiawan memiliki “kemampuan dan keperihatinan” terhadap: (1) Menghargai dan kuat berpegang pada akar tradisi masyarakatnya; (2) Adanya rasa empati kepada masalah dan cabaran yang dihadapi masyarakat dan lingkungannya; (3) Kebolehan mengadun dengan baik perspektif dan pendekatan pedagogi transformatif dalam rencana pembaharuan mereka;(4) Dapat memanfaatkan komunikasi langsung dengan komuniti dan bukannya berkubu di menara gading; dan, (5) Tekad untuk melakukan perubahan dalam masyarakat dengan visi dan harapan yang kental, tanpa terikat dengan perasaan pasrah dan putus harap di saat masalah yang cuba ditangani itu semakin berat dan hebat.” (Azhar Ibrahim, Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi, 2014:5-6).

Akar tradisi masyarakat, dalam konteks Alam Melayu tidak boleh dipisahkan daripada Islam. Sejak ianya bertapak, berkembang dan diamalkan, Islam membentuk tenaga yang cukup besar dalam pembinaan jati diri penduduk , sekurang-kurangnya di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam (penduduk majoriti), dan sebahagian budaya masyarakat minoriti di Selatan Thailand (Patani dan Narathiwat), Kampuchea (sekitar Cham), selatan Filipina dan Singapura.

Kelahiran ‘negara kota’ di Alam Melayu bermula di Perlak, Pasai, kemudian Aceh, Melaka, Patani dan seterusnya di Pantai Timur Tanah Melayu cukup kuat dengan pengaruh ilmu-ilmu Islam. Ini dapat dibuktikan menerusi beberapa gelaran yang diberikan terhadap ‘negara kota’ tersebut, misalnya Aceh dihubungkan dengan istilah Dar as Salam dan Serambi Mekah, Patani dengan Darussalam, Terengganu dengan Cermin Mekah dan Kelantan pula dengan Serambi Mekah.

Setelah mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu menambahkan jolokan bahasa Arab misalnya, Kelantan Darul Naim, Selangor Darul Ehsan, Pahang Darul Makmur, Terengganu Darul Iman, Kedah Darul Aman, Johor Darul Takzim, Negeri Sembilan Darul Khusus, Perak Darul Reduan manakala dua negeri lagi tidak menggunakan istilah berbahasa Arab, iaitu Perlis Indera Kayangan dan Melaka Bandar Raya Bersejarah.  Dua lagi negeri yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Malaysia, Sarawak Bumi Kenyalang dan Sabah Negeri di Bawah Bayu. Walaupun tidak menggunakan tambahan istilah berbahasa Arab di hujung nama negeri, Islam tetap merupakan agama yang dominan. Hanya Pulau Pinang tidak ada gelaran tambahan.

Darul as salam bermakna “negeri yang damai atau aman’ dan  salah satu nama daripada tujuh lapisan syurga. Terengganu digelar Cermin Mekah kerana negeri itu menerapkan undang-undang Islam dan menjadi pusat perkembangan sistem pendidikan tradisi Islam yang cukup berpengaruh selepas Patani.

Kelantan digelar Serambi Mekah kerana memulakan integrasi sistem pemerintahan Islam dan penubuhan sebuah agensi yang mengawal selia perihal undang-undang Islam (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu 1915) selain ulama-ulama berperanan sebagai penasihat sultan dan tumbuhnya sistem pendidikan Islam tradisi di semua daerah,  sebahagian besar mukim dan kampong tanpa sekatan oleh pemerintah.  Selepas Perjanjian Bangkok 1909, negeri-negeri Pantai Timur dan Utara (selain Pulau Pinang) diserahkan oleh Siam kepada Inggeris, manakala Patani menjadi sebahagian daripada wilayah Thailand secara rasminya.

Ini bererti, secara legitimasinya, Patani sudah kehilangan kawalannya terhadap Kelantan, Terengganu dan Kedah. Kesannya, ulama-ulama Patani mula berhijrah ke tiga buah negeri tersebut selain bermastautin di Mekah dan sebahagiannya menjadi tenaga pengajar yang cukup berpengaruh di Haramain.  Mereka  berjaya memperkenal, mengarang, menterjemah dan mengadaptasikan karya-karya berkaitan dengan ilmu-ilmu Islam. Kitab-kitab itu kemudiannya dikenali sebagai Kitab Jawi atau Kitab Kuning. Kitab-kitab itulah yang kemudiannya digunakan secara meluas sebagai teks pendidikan tradisi Islam (pondok dan pesantrean) di Tanah Melayu, Indonesia, Patani dan di Kemboja (sebelum munculnya Perang Indochina 1946-1954 dan  1955-1973).

Inggeris tidak menguasai secara langsung negeri-negeri Melayu tersebut disebabkan tidak mempunyai sumber mineral yang besar sebagaimana timah di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Atas sebab itulah perkembangan pendidikan Islam cukup subur dan memberikan sumbangan utama dalam pembentukan jati diri umat Islam,   bukan sahaja bagi penduduk tempatan bahkan menerima para pelajar dari pelbagai negeri dari  Semenanjung dan dari Alam Melayu (Sumatera, Jawa, Brunei Darussalam, Kemboja dan Kepulauan Borneo).

Pada suatu ketika, ada pandangan yang cukup menarik mengenai perkembangan pendidikan Islam,  jika tidak berkemampuan pergi menuntut ke Haramain, seseorang itu dianggap sudah cukup berpendidikan bila tamatnya pendidikan pondok di Kelantan ketika era kemuncaknya, 1930-an sehingga Perang Dunia II. Selepas mendapat pendidikan awal di Kelantan atau Terengganu, para pelajar lepasan pondok sebahagian kecilnya menyambung pengajian ke Haramain, untuk beberapa tahun sebelum pulang ke tanah air meneruskan tradisi pendidikan Islam ataupun diterima menduduki pelbagai posisi dalam kerajaan, sama ada sebagai mufti, imam ataupun dilantik sebagai pendakwah.

Meskipun selepas Perang Dunia II, pendidikan Islam tradisi berhadapan dengan cabaran dan persaingan  pendidikan moden yang lebih berstruktur kurikulum, diajar oleh guru-guru terlatih (pedagogi dan ilmu psikologi pendidikan), peluang pekerjaan yang lebih luas lepasan sekolah vernakular (di pejabat-pejabat cawangan kolonial), konsep dan asas pendidikan Islam turut mengalami perubahan bentuk dan kaedah pengajarannya di Tanah Melayu. (Haji Abdullah Ishak, Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, 1995).

Hal yang sama turut berubah di Haramain dan juga seluruh pusat-pusat pendidikan di Timur Tengah dengan sistem pendidikan berbentuk kuttab, madrasah dan sekolah-sekolah moden, juga mula berkembang kepada pendidikan lebih tinggi. Di Mesir, sudah diperkenalkan sistem pendidikan tinggi berasaskan model dan kurikulum yang dibentuk oleh ulama-ulama Azhar (sejak tahun 969). Universiti al-Azhar merupakan universiti kedua tertua selepas Universiti al-Qarawiyyin, Fes, Maghribi (859). Universiti Nizamiyyah pula ditubuhkan pada tahun 1065 menjadi cukup terkenal setelah mendapat sentuhan daripada al-Juwandi dan seterusnya selepas pembabitan al-Ghazali. Lain-lain cawangan pendidikan Nizamiyyah terdapat di Naishpur (tempat al-Ghazali pernah belajar), Baikh, Amol, Herat dan Isfahan yang diasaskan oleh Nizam al-Muluk, perdana menteri Dinasti Saljuk yang dipimpin oleh Sultan Malik Syah 1 ketika itu.

Islam yang mula tersebar meluas pada zaman Khalifah ar-Rasyidin telah menukarkan rupabentuk kebudayaan penduduk Alam Melayu di mana nilai-nilai budaya sebelumnya (Hindu, Buddha dan animism) disesuaikan, walaupun tidak berjaya melenyapkan kesemuanya pengaruh-pengaruh tersebut. Menariknya, selepas munculnya kuasa-kuasa penjajahan yang lebih agresif –Portugis, Belanda, Inggeris, Sepanyol, Perancis dan Amerika Syarikat –penghayatan Islam dan amalannya terus kekal sebagai benteng pertahanan jati diri yang kuat.  Ini bermakna,  ada sesuatu yang mendasari keyakinan umat Islam, yakni akidah yang berjaya disemai dalam setiap pemikiran dan tingkah laku penganutnya. (Shukri Ahmad, Pengaruh Pemikiran Ulama di Semenanjung Malaysia Akhir Abad ke-20, 2011).

Bertolak daripada itulah Islam telah muncul sebagai satu bentuk peradaban yang cukup besar dan lebih lama bertahan dalam sejarah. Jika diambil daripada permulaan Islam sebagai cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT menerusi Nabi Muhammad SAW, ia hanya bermula sekitar tahun 622, iaitu sebagai sebuah model pemerintahan Islam di Madinah.  Di Madinah inilah terdapat struktur pemerintahan yang cukup menarik sehingga dilihat sebagai model ‘negara Islam’  walaupun istilah itu tidak pernah muncul secara rasmi dalam sejarah Islam. Model pemerintahan di Madinah juga dikatakan menjadi asas kerangka pembentukan masyarakat madani (civil society) yang menjadi perbincangan popular dekad-dekad terakhir  Abad ke-20, yakni selepas munculnya konsep ‘good governance’ oleh World Bank pada tahun 1989.

Sebenarnya ‘good governance’ telah lama muncul dalam politik Islam sekurang-kurangnya boleh kita tinjau daripada zaman pemerintahan Umar al-Khattab (634-644), Umar Abdul Aziz (717-72) dan juga  Nurudin Mahmud Zanki (1146-1174). Umar al-Khattab ialah Khalifah ar-Rasyidin kedua dan merupakan datuk kepada Umar Abdul Aziz, Khalifah Empayar Umayyah ke-6 manakala Nurudin adalah gabenor Syam dari Daulah Zankiyyah yang bernaung di bawah Empayar Abbasiyyah. Jika Umar Abdul Aziz mencotohi datuknya, Umar al-Khattab, Nurudin Mahmud Zanki menjadikan Umar Abdul Aziz sebagai acuan dasar dan pentadbiran. Selepas itu, Salehuddin al-Ayubbi melanjutkan tradisi pentadbiran dan pemerintahan berdasarkan prinsip ‘good governance’.

Mengapa Islam muncul sebagai sebuah peradaban yang besar? Didalamnya terletak satu asas yang cukup kuat, yakni pemberdayaan ilmu dalam kalangan penganutnya, di mana tunjangan ilmu bukan sahaja menjadi lowongan penting memenuhi ritual wajib, turut dimotivasikan dalam semua perilaku yang beradab, termasuklah persoalan pemikiran, pembentukan masyarakat dan juga pembangunan sumber manusia.

Pemberdayaan ilmu dalam Islam adalah lebih meluas berbanding agama-agama samawi sebelumnya, kerana pengetahuan agama yang dipelajari menjadikan mereka lebih terkongkong kepada tafsiran dan kuasa yang dipegang oleh gerejawan. Dalam Islam, disebabkan sistem pendidikannya ialah untuk membina ketahanan dan jatidiri setiap pemeluknya, ia menjadikan pemeluknya bukan sahaja lebih terbuka mindanya, bahkan berupaya mencipta ilmu-ilmu baharu yang cukup bermanfaat dalam kehidupan manusia berteraskan prinsip adab dan keadaban, selari dengan hakikat Islam itu sendiri sebagai ‘ajaran untuk memperelok akhlak’.

Misalnya, dalam penulisan kitab yang dilakukan ulama-ulama silam abad pertengahan cukup jelas menjadi sumber kekuatan pemikiran dan perilaku umat Islam secara lebih memahami apa tujuan sebenarnya manusia dilahirkan, bukan merebut kekayaan dunia secara tamak, monopolistik dan membentuk persaingan kuasa sebagaimana dibuktikan dalam peradaban-peradaban sebelum Islam. Misalnya, dalam peradaban-peradaban klasik perkembangan pemikiran sangat berkait dengan penyemarakan kepercayaan yang bersifat mitos dan adu domba otot (kekuatan) ketenteraan. Pola budaya itu kemudiannya berjaya disingkirkan oleh peradaban Islam sehingga menampakkan sumbangan yang cukup besar kepada pemahaman dan keperluan pembentukan sebuah masyarakat yang lebih mapan dan stabil dalam aspek kerohanian selari dengan tasawur (worldview) Islam.

Peradaban Islam telah memberikan sumbangan besar kepada peradaban dunia kerana ilmu-ilmu yang lahir dari kalangan para ulama-ulama Islam telah membuka minda masyarakat Eropah yang ketika itu berada dalam fasa zaman kegelapan (dark ages) yang begitu lama akibat kawalan penguasa gereja dan amalan feodalisme dalam sistem pemerintahannya. Ia merupakan halangan terbesar yang berjaya dilakukan oleh penguasa-penguasa agama Kristian, hanya disebabkan oleh pemikiran monopolistik dan amalan sistem pemerintahan yang bersifat authoritarian dalam sistem feudal.

Akibatnya, selepas terpengaruh dengan pendekatan dan kegemilangan peradaban Islam di mana Islam yang cuba mengadaptasikan pemikiran-pemikiran klasik daripada peradaban kuno Yunani, telah membuka kefahaman baharu dan galakan penganut-penganut Kristian untuk mempelajarinya daripada kaedah pendidikan Islam. Akhirnya mengakibatkan munculnya revolusi pemikiran di Eropah sehingga ada gerakan untuk menghapuskan kongkongan gerejawan dan feudalisme dalam kalangan elit politik dan ilmuan-ilmua yang muncul kemudian menerusi kaedah dan pendekatan yang bersifat ‘nyah agama’ yang kita kenali sebagai sekularisme. (Raghib as-Sirjani, Sumbangan Peradaban Islam Pada Dunia, edisi terjemahan, 2011).

Kenapa Islam muncul sebagai bentuk peradaban yang paling lama berkuasa? Ia adalah satu jawapan yang perlukan penelitian terhadap sejarah bangkitnya peradababan-peradaban Islam sejak Islam hadir sebagai ‘cara hidup’ dengan manhaj keilmuan yang cukup jelas. Bahkan permulaan Islam itu sendiri berasaskan proses ilmu yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang ‘ummi’ (buta huruf) menerusi malaikat Jibril dalam kalam yang cukup kuat iaitu “iqra” (bacalah). Ia adalah satu permulaan yang membawa kepada pengembangan tradisi ilmu di mana Nabi Muhammad SAW merupakan seorang pendidik, yang turut memainkan peranan yang cukup besar dalam pembinaan jatidiri umat Islam. Hingga kini, nama Nabi Muhammad SAW adalah insan teladan yang paling banyak sekali disebut berbanding nabi-nabi lain dan riwayatnya sendiri hidup dalam pemikiran masyarakat Islam dan bukan Islam.

Seorang pengkaji dari barat, Michael Hart misalnya pada tahun 1978 ketika menerbitkan buku The 100: A Ranking of the Most Influential in History memposisikan Nabi Muhammad SAW sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah. Nabi Muhammad SAW lebih berpengaruh daripada Nabi Isa AS yang dianggap oleh penganut agama Kristian sebagai Imam Mahadi yang bakal muncul untuk menyelamatkan dunia sebelum kehancurannya, walaupun dari segi kuantitinya penganut Kristian adalah lebih besar berbanding pemeluk-pemeluk agama lain. Ini mungkin kerana tradisi peribadatan penganut Kristian sudah berubah kepada ritual mingguan menyebabkan mereka semakin melupai Jesus yang dianggap sebagai ‘juru selamat’ dan juga ‘anak Tuhan’.

Ia berbeza dengan penganut Islam, di mana setiap hari sekurang-kurangnya 10 kali sehari mereka menyebut kalimah syahadah di dua kedudukan setiap kali bersembahyang (tahiyat awal dan tahiyat akhir). Lafaz syahadah itu cukup jelas membuktikan keimanan seseorang, dan dalam sabdanya Nabi Muhammad SAW berkata: Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku adalah pesuruah Allah. Tidaklah seseorang hamba bertemu Allah dengan kedua-duanya (kalimah syahadah) tanpa perlu berasa ragu terhadapnya melainkan dia memasuki syurga.” (Riwayat Muslim.)

Ia menjadi lebih lagi kerana setiap masa umat Islam digalakkan bersyahadah untuk menghindari diri daripada kekufuran sebagaimana dijelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar beriman hanyalah orang-orang yang percaya pada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak berasa ragu.” (surah al-Hujurat:15).

“Apa jua perintah yang dibawa oleh Rasullullah kepada kamu maka terimalha dan amalkan. Apa juga yang dilarang kamu lakukan maka patuhilah larangan itu. Bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat berat azab siksa-Nya.” (surah al-Hasyr:7)

Selain sebagai ‘pintu masuk kepada Islam’, kalimah syahadah pengucapan kalimah itu turut memainkan peranan sebagai disiplin keyakinan dan pendirian setiap Islam terhadap Allah SWT sebagai penentu segala-galanya, dan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan yang cukup sempurna untuk diikuti.

Berdasarkan permulaan sebegini kebangkitan dan kehebatan tradisi ilmu Islam akan disoroti secara terperinci dalam penulisan selanjutnya dengan mengambil contoh kehebatan intelektual al-Ghazali sehingga hujjatul Islam itu menjadi pelopor dalam tradisi ilmiah yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana ilmuan dunia sebelumnya.

Selepasnya akan ditinjau sumbangan Ibnu Taimiyyah dalam pembentukan pemikiran masyarakat dalam pembinaan korpus falsafah berteraskan Islam yang cukup berkesan selepas al-Ghazali di samping tokoh-tokoh lain dalam dunia Islam dan Hamka, Syeikh Daud al-Fatani serta beberapa orang ulama tempatan sehingga berjaya mengekalkan peribadi umat Islam di nusantara walaupun percubaan menggugat akidah umat Islam dilaksanakan oleh pelbagai pihak bermula dengan aliran pemikiran rasional (falsafah Yunani yang hellenistik), kolonialisme, imperialisme dan neoimperialisme, sekularisme dan aliran-aliran pemikiran moden menerusi lima strategi (5F) pelumpuhan budaya – fashion (fesyen), fun (hiburan), film (filem), food (makanan) dan freedom (kebebasan berfikir, berpendapat dan memilih (termasuk agama dan tidak beragama) – hak asasi manusia) dan   menerusi rempuhan gelombang globalisasi.

Saya sengaja memetik nasihat seorang pengarang novel-novel Melayu moden terawal itu sebagai mukadimah untuk menggambarkan betapa hilangnya nilai-nilai agama dalam seruan kepada pembaharuan dan perubahan budaya yang melanda jiwa segelintir penulis-penulis Melayu untuk mengungkapkan pedoman berfikir dan berperilaku.

Memang benar kedudukan dan perubahan ekonomi itu penting, tetapi seharusnya perubahan yang dimaksudkan tidak sepatutnya melupakan pengungkapan nilai dan cara hidup Islam bagi mengelakkan ekonomi kapitalisme yang sangat menekan dan ghairah tamak untuk mencipta kekayaan tanpa peduli etika dan moral, yang tentunya ada hubungan simbiosis dengan perspektif kelima yang diharapkan oleh Azhar Ibrahim kepada cendekiawan agar tidak terus bersembunyi dalam ‘jubah kependitaan’ untuk mengubah dan mementori perjalanan peradaban masa depan.

 

Dr Alies Anor Abdul.

 

Translate »