Semakin sehari semakin pudar semangat seorang lelaki meskipun kehidupannya tidaklah sesukar lain-lain lelaki yang hilang punca pendapatan dan pekerjaan akibat pandemik COVID-19 setelah wabak yang membunuhnya menghalang mobilisasi.
Selepas sembahyang Subuh beberapa hari lalu, lelaki itu merenung ke luar jendela: tiada tanda hari akan hujan, langit sentiasa cerah tetapi detik hatinya dilanda resah yang cukup menguji kesabarannya. Selama ini, lelaki itu ‘sangat sabar’ meskipun leteran bertalu-talu kerana suasana bosan #dudukdirumah mula menyelubungi kehidupan selepas bersara.
Lelaki itu bukan bosan #dudukdirumah, tetapi kerana rasa bosan itu timbul kesan pertukaran suasana kehidupan. Setelah bersara, tidak banyak aktiviti hariannya yang memungkinkan ‘beban tanggungjawab’ tidak menjadi persoalan kepada seorang wanita yang bergelar isteri.
‘Beban tanggungjawab’ itu kerana si isteri perlu melipatgandakan peranannya sebagai pengkhususan di dapur, memasak dan sebagainya, sedang seorang lelaki lebih banyak menghabiskan masa dengan aktiviti lain, berfikir, merenung dan sebagainya.
Awal persaraannya, lelaki itu tidak ada rasa jemu kecuali sesekali terasa ‘kehilangan, rakan-rakan semakin berjauhan dan sesekali terasa ‘rindu’ suasana sesak di waktu pagi dan petang pada hari-hari bekerja: pagi sesak nafas kerana ‘mengejar mesin perakam waktu’ dan petangnya, ‘kejang kaki’ kerana kenderaan berengsot-engsot di jalan raya, lebih menyiksakan bila ‘hujan petang’.
Berpuluh tahun lelaki itu ‘alami’ dan sejak bersara empat tahun lalu, kesesakan itu sudah ditinggalkan dengan pelbagai ‘nostalgia’ dan ‘cerita duka’ yang menjadi sebahagian daripada pengalaman yang cukup bermakna.
“Bersara tidak bermakna tidak cabaran”. Lelaki itu teringat pesan seorang ‘lelaki tua’ ketika mereka saling berbual-bual di suatu stesen komuter. Masing-masing ‘bosan’ kerana komuter bukan sahaja ‘lewat jadual perjalanan’, bahkan terlalu sesak penumpang menunggu sehingga bentuk barisan pun sudah tidak diketahui garis sebenar kecuali ternampak awalannya.
Kata-kata cukup bermakna, dan lelaki itu semakin merasakan cabarannya cukup besar: tahun-tahun awal ialah bagaimana menyesuaikan dengan persekitaran baharu, kemudian bagaimana belajar menggunakan waktu yang cukup banyak agar tidak sekadar –makan, tidur, bangun dan makan, tidur, bangun sahaja – mesti ada aktiviti yang berfaedah, selepas selesai sholat lima waktu, membaca atau mentelaah beberapa halaman kitab atau buku, dan membina hobi baharu.
Dua tahun pertama tidak rasa ada bosan dan ‘putus harapan’. Masih bebas untuk ke sana ke mari walaupun sekadar ‘jalan-jalan cari makan’ atau bertemu kawan-kawan (reunion atau menyambung silaturrahim) dan menghirup udara segar (melancong dan sesekali pulang kampung).
Namun sejak PKP, semuanya sudah tergendala: sudah dua kali Aidilfitri terpaksa disambut ‘tanpa ziarah dan kehadiran anak cucu’; tiada sembahyang sunat Aidilfitri di masjid atau surau; Aidiladha juga sangat ‘minimum’, dan kali ini, tidak ada upacara korban secara individu dibenarkan walaupun sebahagian besar lokaliti dilepaskan daripada kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), maknanya, anak cucu dan sahabat handai masih tidak dibenarkan ziarah menziarahi.
Hari itu, bukan itu sahaja yang membelenggu resah dan rasa tidak tenteram lelaki itu. Ada beberapa persoalan yang cukup deras mengalir dalam kotak fikirnya. Sejak selesai Subuh, dirinya diasak dengan leteran seorang isteri: mengungkitkan tentang beberapa rasa terkilannya sejak dirinya #dudukdirumah.
“Sakit macam macam mana sekali pun, selagi boleh bangun, tidak pernah ponteng memasak”, tukas dia yang kelihatan cukup tinggi nada suara walaupun lelaki itu berpura-pura ‘tidak mendengar’nya. Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya, membiarkan hal-hal itu berlalu begitu sahaja kerana ungkapan itu bukan kali pertama didengarnya, cukup biasa dan lumrah, apatah lagi bila anak-anak yang sudah besar masih ‘belum bangun’ biarpun jelas period hari sudah bertukar.
Tiga orang anak ‘tinggal bersama’: kesemuanya perempuan, dua daripadanya sudah berkahwin dan masing-masing sudah beranak. Seorang lagi, sedang menunggu COVID-19 berakhir untuk memulakan hidup baharu sebagai sepasang suami isteri.
Dua orang yang sudah berkahwin, masih tinggal bersama. Seorang kembali tinggal bersama ketika sarat mahu melahirkan, dan tinggal bersama walaupun anak pertamanya sudah pun berusia lapan tahun. Kedua, seorang lagi ‘kembali’ tinggal bersama semasa sarat mengandung ‘anak kedua’, dan anak itu selamat dilahirkan lebih empat bulan lalu. Ertinya, suasana di rumah cukup membingitkan, yang kadangkala cukup seronok melihat telatah ‘anak cucu’ dan kadangkala ‘cukup bosan’ bila berlaku pertengkaran antara mereka.
Lelaki itu tidak pernah beritahu, sebaliknya sentiasa berusaha untuk melengkapkan keperluan dapur walaupun kadangkala terasa tidak cukup: belum sampai waktunya, wang pencen bulan itu hanya tinggal beberapa ringgit.
Sebelumnya, tidak terasa sangat peritnya, dirinya termasuk dalam kalangan M40, walaupun kadangkala ‘juga sesak’ ketika masih bekerja. Kadangkala ada sedikit pendapatan tambahan yang boleh membantu: menulis dan menyunting bahan-bahan penerbitan.
Sejak PKP dan politik negara berubah, tiada lagi pendapatan sampingan. Lelaki itu tidak pernah berhenti menulis, kerana sayangkan ‘kemahiran’ yang ditempa bertahun-tahun hilang begitu sahaja. Lelaki itu akan terus menulis, walaupun apa yang ditulis itu ‘tidak sempurna’, kadangkala terpaksa ditinggal tanpa ‘akhir’ dan hanya mampu berkongsi di media sosial tanpa ada imbuhan atau sagu hati. Itulah yang dilakukan setiap hari sebagai aktiviti menolak ‘rasa bosan’ akibat terkurung dan tidak mahu ‘membunuh’ flow of idea and thinking process’.
Bagi lelaki itu, selain ‘tidak mahu hilang kemahiran’, dirinya tetap menganggap apa yang dilakukan itu sebagai satu aktiviti yang ‘berfaedah’, atau kadangkala diistilahkan sebagai ‘sedekah pengetahuan’, bukan mengharapkan royalti atau populariti.
Populariti tidak lagi penting, sebab lelaki itu bukan ada hasrat memasukki dunia politik atau dipilih menjadi calon pilihan raya. Bahkan, lelaki itu tidak menjadi ahli mana-mana parti politik, walaupun kadangkala menulis hal-hal yang berkaitan politik.
“Saya tidak ada minat menyertai politik, tetapi saya cukup berminat untuk memahami dan terlibat dalam politik,” balasnya ketika ada rakan-rakan membuat komen: “kau cukup handal bercakap, tetapi penakut bermain politik secara langsung.”
Kadangkala sindiran itu dijawab atau dibalas, tetapi dalam kebanyakan masa dibiarkan berlalu atas alasan, tidak ingin bertekak dengan segelintir perangai manusia yang tidak boleh menerima kritikan dan hilang fokus makna politik kerana ada sesuatu yang dianggap jumud sehingga hampir ke tahap ‘kultus’.
Sesekali lelaki itu teringat kepada kata-kata pujangga: orang yang bijak bercakap mengenai fakta, orang yang pandai bercakap mengenai ‘diri sendiri’ manakala orang bodoh bercakap mengenai ‘peribadi’.
Saya tidak tahu kebenaran mutlak ungkapan itu, tetapi saya teringat kepada pesan yang cukup jelas daripada ramai ulama dan bijak pandai dunia, walaupun saya bukanlah dalam kalangan mereka.
Saya banyak menimba idea dan pengetahuan daripada pembacaan walaun Hamka, seorang tokoh ulama yang cukup terkenal di nusantara (dunia atau Alam Melayu) pernah mengungkapkan seolah-olah begini: ketika saya membaca sebuah buku, saya anggap diri saya cukup mengetahui, tetapi apabil saya membaca lebih banyak buku (juga kitab), saya rasakan saya masih belum cukup pengetahuan.
Ada yang membuat telahan: Semakin banyak membaca semakin ‘bodoh’ diri seseorang, kerana semakin keliru dengan pelbagai pandangan dan pendekatan dalam berpendapat.
Saya cukup kagum dengan apa yang pernah ditulis oleh al-Ghazali, bahawa pengetahuan yang dimiliki oleh manusia hanya seumpama setitik air di lautan. Ini bermakna, ilmu pengetahuan itu cukup banyak, tidak akan habis diceduk. Ilmu tidak akan berkurangan, tetapi kudrat manusia kadangkala ada hadnya, termasuk kemampuan untuk berfikir walaupun ada yang berkata, segenius Albert Einstein pula belum sampai 100 peratus penggunaan otaknya, tahap ukuran IQ ialah 160.
Otak hanya sekadar tiga peratus daripada keseluruhan berat tubuh manusia, tetapi menggunakan 20 peratus daripada tenaga yang terhasil dalam diri seseorang. Ada lagi pendapat mengatakan bahawa secara puratanya manusia menggunakan hanya 10 peratus daripada pontensi otaknya, selebihnya tidak digunakan.
Iklan susu kanak-kanak sering digambarkan bahawa otak dihubungkan dengan synepse dan setiap kali berfikir, muncul synepse yang baharu. Bila otak tidak digunakan, ia akan menyebabkan synepse ‘mati’ dan kerana itulah bagi orang yang malas seringkali kita dengar ungkapan ‘pening’ atau ‘otak beku’ dan tidak ‘boleh fikir’.
Saya juga cukup bersetuju apabila John Medina, seorang pakar psikologi sosial menerangkan perbezaan antara lelaki dan wanita yang sangat saling melengkapi dalam kehidupan, bukan saling mencari ‘masalah’ apatah lagi dalam mengatasi kesulitan hidup berumah tangga ketika dilanda musibah dan juga ketika ‘bersenang-senang’.
John Medina cukup terkenal dengan pemahaman dan pendekatan yang dinamakan Brains Rules atau dalam bahasa mudah ialah ‘peraturan otak’ atau kaedah berfikir. Buku pertamanya, Brain Rules: 12 Principles for Surviving and Thriving at Work, Home, and School (2008 dan disemak semula 2014), John Medina memberikan pemahaman asas kepada kita bahawa secara semulajadinya, wanita mempunyai ‘rakaman memori’ lebih besar daripada lelaki.
Disebabkan oleh perbezaan itu, wanita lebih dedikasi melaksanakan kerja-kerja yang bersifat rutin, lebih berperasaan, dan kemampuan mengingati lebih tinggi selain mempunyai keadaan fizikal yang berbeza (pinggul yang lebih besar daripada lelaki), serta estatika.
Sebab itulah dalam ‘perselisihan’, seseorang wanita mampu mengingati semula insiden-insiden yang kecil dan remeh (bagi seorang lelaki) dan insiden-insiden tidak jemu diungkit-ungkitkan. Oleh sebab nilai estatikanya cukup tinggi, maka setiap wanita menjadi semakin obsess dengan kecantikan, maka itulah sebabnya penjualan produk khusus lebih banyak berkaitan wanita berbanding lelaki.
Dalam satu kajian gelagat pengguna, lebih 70 peratus wanita mengetahui jenama-jenama besar dalam insdustri kosmetik, makanan tambahan dan terpengaruh dengan fesyen sehingga cukup suka digelar ‘trendy’.
Dalam komunikasi keluarga misalnya, wanita adalah kumpulan yang cukup banyak menghabiskan masa dengan ‘bercakap-cakap’ sehingga ada ungkapan hal itu berlaku kerana wanita ada ‘dua mulut’. Lelaki kurang bercakap, tetapi banyak berfikir dan ‘memendam perasaan’ kerana mempunyai ‘dua kepala’. Sebab itulah apabila muncul seorang lelaki yang suka mengomel ia dikatakan seperti ‘perempuan’, banyak bercakap dan mengomel.
Ada juga ungkapan bahawa wanita ‘mulut’nya adalah lebih laju daripada ‘otak’ kerana dalam keadaan tertentu boleh mengeluarkan ungkapan-ungkapan yang cukup berbisa, yang kadangkala bersifat spekulatif.
Hal inilah mungkin merupakan sebab utama penceraian dalam kalangan pasangan berusia. Pada zaman kanak-kanak, saya sering menyaksikan bahawa semakin berusia seseorang, semakin matang fikiran. Tetapi, keadaan sekarang sudah berbeza, Biarpun daripada pelbagai aspek, fikiran manusia semakin matang, tetapi kadangkala tindakan mereka tidak menunjukkan ‘kematangan’, ada pengaruh yang cukup kuat ketika sesuatu perilaku itu ditunjukkan.
Banyak contoh yang kita dapat pelajari kalau kita rajin memerhati dan melihat gelagat seseorang. Misalnya, tindakan mengepos bahkan kadangkala setiap hari wajah berselfie, sama ada membuktikan diri berada di sesuatu tempat, berbusana cantik dan trendy, juga menu-menu tertentu.
Ketika permulaan PKP, disebabkan ramai wanita dan suami ‘bekerja dari rumah’ atau berada di rumah, bagi menghilangkan kebosanan akibat ‘terperuk’, maka mukabuka, instagram dan sebagainya penuh dengan aktiviti untuk berkongsi, yang kadangkala dibingkaikan perasaan ‘riyak’.
Tidak mengapa, jika ia berbentuk pengkongsian pengetahuan atau amalan baik. Sekurang-kurang perkongsian itu menambahkan ‘pahala’ bukannya memperbanyakkan saham dosa. Misalnya, jika berkongsi resepi masakan, petua masakan lebih sedap, tips menghiasai rumah agar kelihatan cantik dan menarik, berkongsi hobi dan aktiviti keluarga, bagaimana mengharungi ‘emosi terperuk’ dan sebagainya. (BERSAMBUNG) MAHANOR SALEHA
Recent Comments