SEMAKIN lama PKP dilaksanakan, semakin banyak naratif negatif dicipta, disebar dan akhirnya mencetuskan fenomena ‘kerajaan gagal’. Istilah kerajaan gagal merujuk kepada pemerintahan yang tidak berjaya mengatasi sesuatu masalah, dan biasanya masalah itu ada kesan besar kepada kehidupan masyarakat.

Istilah kerajaan gagal awalnya bersifat politik, yakni pelabelan yang ditujukan oleh seseorang politikus kepada seseorang politikus lain, misalnya politikus pembangkang. Itu adalah resam politik yang membudayakan kerana seorang atau parti politik pembangkang akan menyatakan pendiriannya terhadap apa yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai ‘gagal’ sebagai strategi politiknya.

Namun, sejak kerajaan mengambil keputusan mengisytiharkan darurat pada awal tahun ini, istilah ‘kerajaan gagal’ sudah berakar dalam minda sebagai rakyat, seolah-olah sudah termakan dengan label propaganda politikus yang cukup oportunis, termasuk politik dalam kerajaan Perikatan Nasional sendiri.

Istilah ‘negara gagal’ saya tidak boleh terima.  Malaysia masih ada dan belum tenggelam sebagaimana lenyapnya sebahagian bumi Palestin akibat kerakusan Pakatan Zionis Antarabangsa yang dibantu oleh kuasa-kuasa penjajahan barat (Amerika Syarikat, Perancis dan Britain) menjayakan tuntutan ‘Tanah Yang Dijanjikan’. Atau, seluruh kehidupan masyarakat dan sistem pemerintahan kacau-bilau manakala perjalanan pentadbiran negara dalam situasi hura-hara, orang ramai keluar ke jalan-jalan raya memberontak sebagaimana berlaku di Tunisia dan Mesir di awal tahun 2011, permulaan Revolusi Arab.

Istilah ‘kerajaan gagal’ saya boleh terima sebahagiannya, kerana kerajaan sekarang iaitu Perikatan Nasional memperlihatkan perilaku aktor-aktor di dalamnya setiap hari bercakaran kerana perebutan kuasa. Akibat tunduk kepada ‘hawa nafsu’ itu menyebabkan sebahagian rakyat bukan sahaja muak, marah, bising sana bising sini, malah mahukan Perdana Menteri meletakkan jawatan. Itu ada sedikit kaitan dengan lojik ‘kerajaan gagal’ tetapi tidak bermakna kegagalan itu adalah faktor mutlak disebabkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Setakat ini kita belum pasti berapa ramaikah rakyat Malaysia benar-benar mendesak Tan Sri Mahiaddin meletakkan jawatan kerana apa yang kita ketahui desakan itu dimulakan oleh politikus. Politikus ada dua jenis. Pertama, politikus yang terlucut kuasa selepas berlakunya ‘kegelinciran landasan’ sebaik sahaja pemandu gerabak kereta api vintage tersilap membaca signal perjalanan. Kedua, politikus yang perangainya seperti tikus, pantang mendapat labu hendak dibaikinya kerana tidak sukakan bentuk labu yang membulat tetapi tidak licin seperti bebola ikan atau daging.

Kalau politikus terlucut kuasa kita panggil pembangkang, maka politikus ‘dalam kerajaan’ kita nak panggil apa? Kededuanya adalah sangat oportunis dan percakapan sehariannya sangat sarat dengan ‘kebencian’ dan ‘rasa cemburu’. Akibatnya, politikus pembangkang menikam secara terbuka manakala politikus dalam kerajaan ‘menikam dari belakang’ atau ‘gunting dalam lipatan’.

Namun, antara politikus yang menikam secara terbuka dan ‘gunting dalam lipatan’, semuanya sama-sama bahaya. Bahaya politikus pembangkang ialah boleh membuat apa-apa tuduhan, walaupun berdasarkan fakta yang sedikit (atau separuh benar) dan dipusingkan sebesar-besarnya sehingga padang bola sepak pun terasa tidak cukup untuk menampung pergerakan gasing yang dilontarkan.

Politikus yang ‘menikam dari belakang’ tidak membuat balingan seperti gasing, tetapi balingannya mungkin sama bahaya bila terkena peluru yang dibalingkan seperti acara sukan ‘lontar peluru’ yang sangat mengharapkan boleh mencapai sasaran.  Sasaran yang dimaksudkan ialah memecahkan rekod untuk menekan Perdana Menteri berundur dengan harapan baharu, sama ada jawatan itu diserahkan kepada mereka ataupun diadakan pilihan raya semula untuk rakyat tentukan keputusannya.

Secara psikologinya mengapa seseorang itu sangat suka melihat orang lain ‘tidak betul’ dan tidak melakukan tanggungjawab yang sebaik-baiknya? Sebab selagi bernama manusia, sifat dan tingkah lakunya memang begitu, nampak kuman di seberang sungai tetapi tidak nampak gajah di kelopak mata.

Politikus pembangkang menggunakan asas yang cukup hebat dipertikaikan sekarang ialah peningkatan kes baharu jangkitan COVID-19 yang sejak kedengaran desakan PM berundur, angkanya terlalu besar sehingga ada yang membuat ramalan kalau pada 6 Julai kesnya ialah lebih 6000, keesokannya (7 Julai) meningkat kepada lebih 7000, sehari selepasnya menjadi lebih 8,000 kes, pada 9 Julai jadi lebih 9,000 kes maka pada 10 Julai bakal melonjak ke lebih 10,000 kes. Ramalan pada 10 Julai nampaknya meleset kerana kes sebenar ialah 9,353 iaitu meningkat sebanyak 173 daripada 9,180. Maka pada 11 Julai  tidak timbul ramalan bakal mencanak kepada lebih 11,000, ianya berlegar setakat 9,105 kes, kurang 75 kes daripada angka asas tertinggi yang digunakan untuk meramalkan kenaikan pada 9 Julai lalu (9,180 kes). Semalam pula, kes jangkitan baharu sedikit menurun kepada 8, 574 kes.

Akibat peningkatan kes itu sebilangan oportunis mengaitkannya sebagai kegagalan kerajaan setelah melakukan ‘total lockdown’, yang tersasar daripada tujuan kawalan tersebut dilaksanakan. Apa yang tidak dibincangkan ialah kaitannya secara langsung dengan tindakan meningkatkan ‘swab test’ yang diwajibkan ke atas semua penghuni atau penduduk yang terlibat dalam PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Yang di Perketatkan). Ini dapat dilihar daripada pertambahan kes baharu di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Sebab kedua ialah tafsiran yang bercapah terhadap  ‘esential service’ yang dikenal pasti suatu kesilapan yang wajar dipertanggungjawabkan kepada MITI, khususnya menteri kanan Azmin Ali. Akibat ‘buka pintu belakang’ beberapa penipuan terhadap surat kebenaran beroperasi berlaku, antaranya berselindung di sebalik ‘esential service’ sedangkan kilang-kilang berkaitan adalah ‘pengeluar arang kayu (charcoal)’, ‘pengeluar alat ganti kenderaan’, dan sebagainya. Ada juga menyalahkan surat kebenaran untuk ‘merompak’.

Sebab ketiga ialah berlaku kesesakan di pusat pemberian vaksin. Kesesakan itu berlaku apabila rakyat mula sedar, pengambilan vaksin boleh membantu setelah kes-kes jangkitan baharu cukup tinggi bilangannya. Pada peringkat awal pemberian vaksin, ada keingkaran yang cukup besar. Terdapat laporan bahawa sejumlah 10,000 orang mungkir temu janji di Kelantan, 11,000 orang di Kelantan dan lebih 9,000 orang di Negeri Sembilan.

Hal ini disebabkan persepsi buruk terhadap pengambilan vaksin. Beberapa komen yang ditular dalam media sosial telah meningkatkan tahap ketidakpercayaan, termasuk hantaran yang mengatakan tanpa vaksin pun lebih ramai bilangan mereka yang dapat dipulihkan berbanding jumlah kematian. Kisah-kisah berlaku terhadap mereka yang sudah disuntik vaksin sama ada mitos atau realiti terus ditular misalnya perihal orang yang sihat mati selepas disuntik, kematian dalam kalangan petugas hadapan selepas disuntik (seperti dakwaan audio Mak Teh), hilang ingatan (kecelaruan mental), serta kritikan-kritikan daripada orang perseorangan atau kumpulan anti-vaksin (sebagai konspirasi, agenda kapitalis Yahudi, ketamakan firma kesihatan dan penjual vaksin, dan suatu daripada teknik perang perdagangan Amerika Syarikat dengan China).

Keempat, ada pandangan yang cukup ekstrem mengatakan bahawa COVID-19 itu bukan realiti, maknanya virus corona bukanlah virus semulajadi, ia adalah ciptaan pihak-pihak tertentu setelah terdedahnya satu laporan ‘kecurian’ daripada sebuah makmal di Amerika Syarikat. Virus itu kemudiannya dikembangkan di sebuah makmal di Wilayah Hubei, Wuhan, China. Dalam laporan yang tidak sahih itu, tujuannya adalah berkiblatkan kepada politik. Ada yang mentafsirkan sebagai usaha kerajaan China untuk mengurangkan jumlah penduduk, kerana beberapa sebab.

Sebab pertama ialah China berhadapan dengan jumlah penduduk yang sangat besar. Kesan daripada ‘dasar buka pintu’ negara itu memerlukan tanah yang lebih banyak untuk pembangunan projek mega, kawasan industri dan mengurangkan keluasan tanah untuk pertanian. Sebab kedua, sebagai reaksi balas strategik terhadap Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana ikut berada dalam telunjuk Washington bersetuju dengan perang perdagangan. Jika pengembangan virus itu berjaya, China bakal menjadi pembekal vaksin yang paling cepat dan utama kerana kajian terhadapnya sudah dilaksanakan lebih awal, China sudah membuat persiapan berbanding negara-negara barat yang hanya masih dalam peringkat kajian dan pengembangan di makmal.

Itulah pengetahuan awal yang melekat dalam pemikiran sebahagian daripada kita sebaik sahaja wabak tersebut mula melanda Wuhan pada bulan Oktober 2019. Ia menjadi cepat berkembang ke seluruh dunia akibat mobilisasi manusia sendiri. Semasa mula dikesan, belum ada sekatan kemasukan pelancong asing terutama daripada China, bahkan di Malaysia ketika itu sedang dilaksanakan kehadiran pelancong dari China tanpa visa.

Tahun 2020 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan. Sebab itulah Dr Mahathir menegaskan, pintu masuk Malaysia tidak perlu ditutup kerana lebih dua juta orang pelancong (yang berada dalam negara) dari China ‘di mana nak sumbat (ditempatkan’. Ia kemudian disokong dan dirayu oleh Lim Guan Eng dengan berkata: mereka ada duit dan jangan diskriminasi pelancong dari China. Kes pertama telah dikesan setelah pelancong dari China memasuki negara ini dari Singapura. Namun mereka kemudiannya dikuarantin di sebuah hotel di Johor Bahru. Wabak tersebut sudah diisytiharkan sebagai apademik di China.

Bulan Mac 2020, berlaku pertukaran kerajaan akibat peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-7. Pada 12 Mac 2020, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) meletakkan penularan COVID-19 sebagai pandemik kerana  ia sudah merebak dengan pantasnya ke Eropah, Amerika Syarikat, Amerikat Selantan, Timur Tengah dan beberapa buah negara Afrika. Malaysia tidak terkecuali dan menurut laporan, pada 18 Mac 2020 berlaku jangkitan kepada 117 kes. Kesan daripada itu, kerajaan mengisytiharkan PKP untuk mengawal penularan virus dalam kalangan masyarakat.

PKP selama dua mingggu kemudiannya dilanjutkan sehingga 3 Mei (selama 47 hari) sebelum ditukarkan kepada PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat), PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 13 Oktober 2020. Jangkitan COVID-19 meningkat semula kesan daripada PRN Sabah yang diadakan pada 26 September 2020, akibat ‘hawa nafsu politikus’ daripada Bersatu untuk menukarkan pentadbiran kerajaan Sabah.

PKPB mula diperkenalkan semula pada 14 Oktober 2020 di mana ketika kes jangkitan baharu melonjak kepada lebih 200 kes sehari mulai 1 Oktober 2020. Sehari sebelum PKPB 2.0, terdapat 66o dan seterusnya meningkat kepada 957 kes pada 1 November 2020. Pada 12 Januari 2021, darurat kesihatan diisytiharkan dan jangkitan pada hari itu ialah 3309 kes. Setelah lebih bulan darurat kesihatan dilaksanakan, kes jangkitan tidak juga berkurangan seperti yang diharapkan, malah meningkat kepada 9,020 pada 29 Mei 2021.

Dua hari kemudian, Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat ketetapan baharu, yakni melaksanakan PKP 3.0 yang dikatakan berbentuk ‘total lockdown’. PKP 3.0 juga gagal mencapai sasarannya apabila kes melonjak kepada 9,353 kes pada 9 Julai lalu, dan ini menjadi ‘tekanan kemuncak kepada Mahiaddin’ untuk meletakkan jawatan. Ia ditambah dengan tekanan daripada beberapa orang pemimpin UMNO yang tidak berada dalam kabinet Perikatan Nasional manakala mereka yang diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri tidak berhasrat menambahkan tekanan tersebut.

Mereka yang berada di luar kabinet membuat tekanan kepada Mahiaddin untuk meletakkan jawatan dapat dikesan disebabkan oleh dua faktor. Pertama tidak berpuashati dengan pembahagian jawatan dalam kabinet dan tidak ada jawatan timbalan perdana menteri yang bakal diisi oleh calon UMNO. Kedua, menurut Ahmad Maslan ketika menggantikan Anuar Musa sebagai Setiausaha Agong BN, ialah Mahiaddin meneruskan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir, Tommy Thomas dan Latheefa Koya terhadap beberapa orang pemimpin UMNO. Proses mengheret pemimpin UMNO termasuk Ahmad Maslan sendiri dilihat sebagai ‘ tindakan zalim’ dan tidak sepatutnya diteruskan oleh Mahiaddin kerana UMNO membantu menubuhkan kerajaan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional.

Dalam tempoh ‘rasa tidak puas hati’ itu berlakulah beberapa gerakan politik untuk menjatuhkan Mahiaddin. Antaranya merintis kerjasama dengan parti-parti lain terutamanya PKR (secara tidak langsung dengan PH) yang akhirnya terbongkar sebagai agenda Zahid Hamidi, presiden UMNO yang berhadapan dengan kes salah guna kuasa dana Yayasan Bakti yang diasaskan oleh beliau sendiri. Kes tersebut sedang berjalan, dan ia mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang juga sedang berhadapan kes berkaitan penggubahan wang haram 1MDB. Najib sudahpun dijatuhkan hukuman kerana gagal membayar cukai pendapatan yang cukup besar, yakni hasil derma dan sumbangan yang diterimanya. Kes ini masih berterusan di peringkat rayuan.

Grand design itu mula terbongkar selepas bekas Setiausaha Agong BN mengeluarkan bukti surat yang ditandatangani oleh Zahid Hamidi kepada Yang di Pertuan Agong. Selepas beberapa minggu terdedah pula perbualan telefon antara Zahid dan Anwar, yang kemudiannya Zahid mengakui keaslian suaranya. Kes itu mengeluarkan ledakan yang cukup kuat apabila Zahid membuat kenyataan bahawa UMNO menarik sokongannya kepada Perikatan seolah-olah menggambarkan Mahiaddin sudah ‘jatuh’.

Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas beberapa jam Mahiaddin menaikkan pangkat kepada dua orang menteri daripada UMNO: Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (yang awalnya dijelaskan oleh Mahiaddin tiada keperluan dan sangat diharapkan ketika di awal penggabungan oleh UMNO) dan Hishamudin Hussein sebagai menteri kanan. Beberapa orang pemimpin UMNO (terutama yang berada dalam kabinet) mempertikaikan kenyataan Zahid, dan ada yang mendedahkan mereka yang menyokong Zahid hanyalah sekitar lima orang. Ini bermakna, tidak benar keputusan yang diumumkan oleh Zahid merupakan keputusan konsensus Majlis Tertinggi UMNO.

Kesan daripada ‘perbalahan dalaman’ itu akhirnya menyebabkan Zahid didesak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Semalam tersebar pula penafian bahawa Zahid bercadang untuk menyertai PKR, dan juga visual bersama Saifudin Nasution Ismail, Setiausaha Agong PKR serta Datuk Johari Abdul  sedang makan di sebuah restoran.  Ia didedahkan untuk pengetahuan oleh Anuar Musa selepas beliau dikompaun RM 2,000 akibat menziarahi dan menikmati makan tengah hari di kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagi rakyat, perjumpaan secara tidak langsung dengan Saifudin ini bakal menimbulkan pelbagai kemungkinan, termasuk ‘memujuk Zahid menyertai PKR’ kerana masyarakat memang mengetahui hubungannya dengan Anwar Ibrahim cukup rapat. Bahkan, ia mengingatkan masyarakat sikap dan pendirian Zahid terhadap Anwar ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat. Zahid cenderung membela Anwar dan pernah memberikan tekanan kepada Dr Mahathir mengenai isu yang sangat gemar diperkatakan oleh Anwar, yakni kronisme, korupsi dan nepotisme (KKN) yang cukup hebat pada tahun 1998.

Biarpun Zahid tidak mengarahkan kesemua menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Mahiaddin ‘menarik sokongan’, ia tetap menggambarkan bahawa Presiden UMNO itu berada dalam keadaan yang ‘sangat terdesak’. Ia terdesak kerana kepimpinannya sudah dipertikaikan dan dalam beberapa perkara Zahid dilihat cuba mengheret persoalan peribadinya menjadi sebahagian daripada keputusan UMNO. Sebab itulah munculnya istilah menjadikan parti sebagai ‘syarikat sendirian berhad’, yang hanya dikawal oleh seseorang yang berkuasa (memimpin). Budaya warlords dalam UMNO dilihat semakin kuat mencengkam ketika kedudukannya semakin kerdil. (BERSAMBUNG)

MONOSIN SOBRI

Translate »