SOP (Standard Operating Procedure) bermaksud tatacara pelaksanan sejagat yang dirangka untuk membolehkan sesuatu peralatan dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Pada mulanya, SOP lebih tertumpu kepada tatacara menghidupkan sesuatu perjalanan mesin atau peralatan secara teratur. Misalnya, sebelum mula menghidupkan enjin kenderaan, seseorang itu perlu memasukkan kunci ke dalam perumahnya sebagai langkah penyambungan gerakan yang membabitkan pancutan bahan api, yang disambungkan seperti bateri dan mekanisme enjin.
Jika pada permulaannya terdengar bunyi yang tersangkut-sangkut, kita akan mengetahui dua perkara asas kenapa enjin kenderaan ‘hidup’ atau ‘gagal dihidupkan’, iaitu bekalan kuasa dalam bateri dan keadaan penghidup (starter). Sebelum itu, kita hendaklah mempastikan kedudukan gear dan brek agar semasa melakukan tuil kunci yang sudah berada dalam perumahnya. Tanpa memberikan perhatian kepada dua ‘pengawal’ itu akan menyebabkan kereta akan melompat sebaik sahaja kunci dituil. Ia sangat membahayakan.
Sesuatu SOP adalah berbeza antara jenis kenderaan. Ini bermakna, SOP itu adalah panduan untuk menggguna, menyelenggara dan memberikan panduan bagaimana menjaga kenderaan tersebut daripada alami kerusakan serius, dan juga keselamatan pengguna. Idea itu kemudiannya dikembangkan dalam tatacara pengendalian yang lain, dari bersifat mekaninal hinggalah kepada penularan penyakit berjangkit. Ia dibentuk berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kaedah yang pernah dikuasai oleh manusia.
Dalam peradaban manusia, ada beberapa penyakit berjangkit yang mudah merebak. Sebelumnya, kita mendapat pengalaman bagaimana Spanish Flu berjaya dikawal. Beberapa tahun lalu, manusia berjaya mengawal penularan wabak selsema burung (H1N1), JE (Japanese Encephalitis) yang cukup menakutkan penduduk Kg Sawah, Pacitan dan Bukit Pelanduk di Port Dickson, Negeri Sembilan, SARS dan MERS, TB (Tuberculosis), cacar (cacar air, cacar api, cacar monyet, cacar lembu dan moluskum kontangiosum), rabbies, malaria, taun dan kini COVID-19.
Kesemua penyakit berjangkit berjaya ditangani oleh kepakaran manusia setelah mereka berjaya mencipta beberapa kaedah mengawalnya, kecuali COVID-19. Cara pertama manusia melakukannya ialah dengan mengenal pasti penyebabnya (punca jangkitan), cara wabak itu berjangkit (communicable), dan seterusnya mencari penyelesaian dengan menyelidiki bahan-bahan yang boleh menghalanginya (vaksin) serta ubat-ubatan yang dapat menyembuhkannya dan bagaimana mengelakkan wabak itu daripada berjangkit.
Dari perspektif mengawal atau mengelakkan jangkitkan itu manusia memikirkan proses kawalannya yang kita kenali sekarang sebagai SOP. SOP ini lebih berbentuk bagaimana mengawal disiplin diri daripada mendekati virus yang boleh menyebabkan seseorang itu dijangkiti. Ia adalah langkah pertama sebelum manusia berjaya menemui ubat untuk menyembuhkan seseorang yang sudah dijangkiti dan mencipta vaksin bagi mengelakkan seseorang yang belum dijangkit dapat melawan penyakit tersebut sekiranya dijangkiti oleh virus, di samping memperkuatkan sistem pertahanan orang yang sudah sembuh daripada wabak berkenaan.
Secara umumnya, SOP bukanlah satu tatacara yang rigid, kecualilah setelah manusia memperoleh data lengkap mengenai sesuatu bentuk kawalan yang pernah dipraktikkan sebelumnya. Dengan menetapkan beberapa panduan, manusia berjaya mengawalnya seperti SOP mengawal jangkitan penyakit cacar, JE, malaria dan juga taun. Bagi COVID-19, belum ada satu bentuk SOP yang benar-benar berkesan walaupun ada dalam kalangan rakyat negara ini mula memuji langkah pembendungan yang berjaya dilaksanakan di Brunei Darussalam dan Singapura.
Brunei Darussalam adalah sebuah negara kecil yang mengamalkan sistem monarki. Singapura adalah negara pulau yang mempunyai undang-undang yang cukup ketat dan mudah dikawal pintu masuk atau pintu keluar. Ia berbeza dengan Malaysia mahupun negara-negara Asia Tenggara lain di Asia Tenggara seperti Vietnam, Kemboja, Laos, Filipina dan Thailand.
Daripada perspektif jumlah mereka yang dijangkiti COVID-19, sejak epidemik itu dikesan suku terakhir 2019, Indonesia merupakan negara Asia Tenggara yang paling ramai dijangkiti sehingga kini (10 Julai 2021): (1) Indonesia dengan 2,491,006 orang dijangkiti dengan 65,457 kematian; (2) Filipina dengan 1, 467,119 kes dan 26,186 kematian; (3) Malaysia dengan 827,191 kes dan 6,067 kematian; (4) Thailand sebanyak 326,832 kes dengan 2,625 kematian; (5) Myanmar 180,055 kes dan 3,621 kematian; (6) Singapura dengan 62,624 kes dan 36 kematian; (7) Kemboja (Kampuchea) 59,978 kes dan 881 kematian; (8) Vietnam 26,608 kes dan 110 kematian; (9) Laos dengan 2,630 kes dan 3 kematian; dan (10) Brunei Darussalam dengan 268 kes dan 3 kematian. (Rujuk: https://www.aseanbriefing.com/news/covid-19-vaccine-roll-outs-in-asean-asia-live-updates-by-country/)
Di empat buah negara terbesar di Asia Tenggara (Indonesia, Thailand, Filipina dan Myanmar) kes baharu COVID-19 menunjukkan kenaikan yang ketara akibat varian yang lebih baharu, iaitu varian Delta yang mula dikesan di India menjadikan Malaysia bukan berkeseorangan dilihat gagal menangani penularannya yang telah gagal SOP. Berdasarkan perangkaan pada 10 Julai 2021, kes jangkitan baharu di Indonesia ialah 35,094 kes dengan 826 kes meninggal; Thailand dengan 9,326 kes dan 91 kematian; Malaysia dengan 9,353 kes dan 87 kes kematian; dan Filipina dengan 5,675 kes dan 96 kes kematian.
Berdasarkan kenyataan bahawa sesuatu SOP yang dilaksanakan di Malaysia, ia diputuskan oleh satu jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, iaitu Majlis Keselamatan Negara, bukan rencana yang dibuat secara ‘semberono’ sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak, bukannya ‘kehendak Perdana Menteri’. Memang, sebagai seseorang yang bertanggungjawab dalam sesebuah negara, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melaksana atau membatalkan sesuatu SOP dalam mengawal sesuatu wabak yang melanda.
Tetapi, sebelum dilaksanakan, Perdana Menteri akan berbincang dan berbahas mengenai implikasi atau kesan SOP itu. Nasihat atau pandangan itu akhirnya dipersetujui bersama yang kemudiannya dibentuk sebagai SOP, termasuk ketika berusaha melandaikan kes jangkitan COVID-19 selepas hampir seminggu wabak itu dikelasifikasikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO mulai 12 Mac 2020), yakni pada 18 Mac 2020 dengan mengisytiharkan seluruh negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak PKP dilaksanakan, pematuhan SOP menjadi sesuatu yang cukup membuktikan keingkaran rakyat Malaysia sehingga memaksa kerajaan mengambil keputusan untuk menambahkan jumlah kompaun daripada RM 1,000 kepada RM 10,000 bagi pelanggaran oleh individu dan RM 1,000 kepada RM 50,000 yang dilakukan oleh organisasi (kilang, syarikat perniagaan dan sebagainya).
Kenaikan kompaun dimulakan pada 11 Mac 2021, yakni selepas dua bulan darurat kesihatan dilaksanakan (11 Januari 2021) Setiap hari kita mendengar ada pelanggaran SOP dilakukan atas pelbagai alasan, yang kadangkala disengajakan untuk mencabar tugas dan peranaan pihak berkuasa. Kenaikan bayaran kompaun itu dibuat berdasarkan kes-kes pelanggaran SOP didakwa tidak cukup menakutkan, yang pada awalnya sekadar diberikan ‘amaran’ oleh pihak berkuasa dan seterusnya mengeluarkan surat saman di atas kesalahan, hingga kini masih ramai lagi yang ingkar walaupun jumlah kompaun dinaikkan. Kesalahannya ialah tidak memakai pelitup muka, melanggar larangan rentas daerah dan negeri, tidak merekodkan pergerakan (mendaftar kehadiran di sesuatu premis sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau catatan di sesebuah premis), tiada penjarakan sosial dan sebagainya.
Selain pelanggaran tersebut, terdapat juga keputusan yang berbeza oleh dua kementerian berkenaan tafsiran dibenarkan beroperasi oleh beberapa sektor ekonomi sehingga menjadikan kes jangkitan baharu cukup mencemaskan. Oleh sebab tafsiran ‘esential services’ yang berbeza, maka semakin melonjak kes jangkitan baharu berdasarkan ‘buka pintu belakang’ terhadap sektor pembinaan, perkilangan dan premis perniagaan. Hal itu menyebabkan sebuah kementerian yang mengeluarkan surat kebenaran dilihat sebagai punca terbesar menyumbang lonjakan walaupun secara dasarnya ‘total lockdown’ telah dilaksanakan mulai 1 Jun 2021.
Ketika awal pelaksanaan PKP, ramai juga dalam kalangan alim ulama mempersoalkan tindakan kerajaan (menerusi kuatkuasa peraturan oleh pihak berkuasa agama) menutup rumah-rumah ibadat bagi mengelakkan perhimpunan ramai. Akibat penutupan tersebut, ada juga dalam kalangan ustaz-ustaz mempersoalkannya kerana melihat bahawa masyarakat Islam adalah lebih terhindar daripada jangkitan kerana sentiasa mengamalkan ‘kebersihan diri’ menerusi pengambilan wudhu’ yang dikatakan memadai, dan tidak perlu kepada sanitizer yang mengandungi alkohol.
Bagaimanapun, akhirnya penggunaan sanitizer menjadi amalan yang lazim. Tetapi setelah merasakan sanitizer juga tidak dapat menurunkan kes jangkitan, penggunaannya tidak lagi menjadi sesuatu yang wajib sebagaimana dalam tempoh PKP 1.0 dan PKP 2.0. Dalam PKP 3.0, penggunaan sanitizer semakin dilupakan termasuklah dalam kalangan mereka yang sudah beranggapan pengambilan vaksin akan menjadi ‘pelindung’ yang hebat. Awalnya, pengambilan vaksin dipertikaikan dengan persoalan hukum agama, perbandingan mereka yang sembuh tanpa ubat dan vaksin lebih besar, konspirasi penjualan vaksin (kapitalis Yahudi, kejujuran negara-negara pembekal atau pengeluar, penguasaan taikun yang berselindung di sebalik tindakan kedermawan, percubaan mengawal pertambahan penduduk dan kawalan ke atas manusia menerusi konsep ‘sijil digital, hinggalah kepada persoalan ‘kematian’ yang dilihat sesuatu yang ‘pasti’ dan lebih rela tanpa suntikan sekiranya itu adalah ajal yang telah ditentukan.
Peringkat awal vaksinisasi mendapat pelbagai reaksi awam, bahkan ada dalam kalangan yang enggan mendaftar, enggan mematuhi temu janji pengambilan vaksin dan juga rasa takut terhadap picagari (jarum suntikan). Ia menjadi bertambah menakutkan apabila ditular pelbagai laporan kononnya selepas mengambil vaksin ada yang mati, hilang ingatan, kotak fikir terganggu dan ditemukan penawar yang lebih mujarab (mitos minum air kelapa, air rebusan serai, daun semambu, lemon, minum air panas, minuman air limau nipis dicampur bunga cengkih, menghirup kuah ikan singgang, dan sebagainya). Ia kemudian menjadi sedikit ‘kesan boomerang’ apabila terdapat laporan bahawa India berjaya mengawal COVID-19 dengan rawatan pil ivermectine yang digunakan dalam ubat cacing.
Kementerian Kesihatan Malaysia menafikan kemujaraban pil tersebut dalam merawat pesakit COVID-19. Setelah isu itu sedikit sepi di Malaysia, timbul persoalan yang sama di Indonesia menyebabkan beberapa hari lalu dilaporkan penjualan ivermetice kehabisan stok dalam platform pembelian dalam talian dan harganya terus meningkat. Semuanya itu menggambarkan sikap dan pendirian orang ramai terhadap kepakaran sesebuah agensi, mereka bukan sahaja melihat cara mengekang pandemik itu lemah bahkan keseluruhan jentera pentadbiran kerajaan dianggap gagal, termasuk kuat kuasa SOP.
Secara jelasnya, masyarakat lebih pandai dan bijak daripada mereka yang pakar berlaku kerana dipengaruhi oleh segolongan mereka yang anti-vaksin, kurang percaya dengan kehebatan sains (perubatan moden) dan masih kental dengan cerita-cerita mengenai kemustajaban perubatan alternative (misalnya seorang pengamal perubatan Islam mencabar KKM bila KKM meminta agar kejayaan mereka dibuktikan dengan mendakwa KKM ‘terkeluar daripada akidah’ kerana mempertikaikannya seumpama mempertikaikan amalan yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW).
Kemudian, muncul pula kumpulan-kumpulan yang cukup ghairah untuk menjual pelbagai ‘makanan tambahan’ yang didakwa mampu meningkatkan immunity seseorang walaupun secara ujian klinikal ia belum teruji. Kesemunya ini menggambarkan bagaimana manusia cukup oportunis dengan pandangan sendiri sehingga tidak mempercayai kepakaran orang lain yang membabitkan diri secara lebih berkesan.
Hal ini mengingatkan kita kepada penolakan sebahagian masyarakat terhadap cara mengawal sesuatu penyakit yang disarankan oleh pakar perubatan, termasuk lebih ramai wanita di Amerika Syarikat mempercayai petua Gwyneth Paltrow dengan formula mengenakan wap sejenis herba (mugwort dan warmwood) untuk mengatasi masalah organ peranakan wanita.
Gwyneth Paltrow hanyalah seorang aktris yang tidak pernah belajar secara rasmi dunia perubatan sehingga disifatkan telah berjaya “mempopularkan tren, membuat kekhuatiran palsu, dan mengubah kebiasaan jutaan penggemar yang lugu”, (Tom Nicols, Matinya Kepakaran, edisi terjemahan, 2017: 241). Beliau dipercayai kerana posisinya sebagai seorang artis, menurut ungkapan Timothy Caulfield (pakar kesihatan Kanada): “dia memiliki budaya yang sangat besar dan telah menciptakan label untuk dirinya sendiri, orang-orang akan menerima perkataannya.” (Tom Nicol, 2017: 230).
Hal yang sama pernah berlaku apabila seorang biduanita negara membuat komen terhadap kerangka ekonomi pada zaman Najib kerana dipengaruhi Mahathirisme, di mana suaminya adalah penyokong kuat bekas Perdana Menteri ke-4. Itulah akibat masyarakat lebih mempercayai ‘selebriti’ daripada pakar yang dilatih khusus dalam sesuatu bidang, walhal selebriti sendiri tidak memahami apa itu ekonomi selain peningkatan pendapatan sendiri dan jualan albumnya.
Begitu juga apabila ustaz-ustaz mempersoalkan kenapa masjid, surau dan aktiviti agama ‘ditutup’ akibat jangkitan COVID-19 yang cukup resah dan menakutkan. Malangnya lagi apabila mereka mendakwa bahawa larangan itu sebagai satu usaha untuk menyekat umat Islam daripada melakukan ritual ibadat, sedangkan, sebelum COVID-19, banyak pihak berkuasa agama dan pengurusan masjid kecewa dengan sambutan umat Islam sendiri dalam ritual ibadat berjemaah, kehadiran dalam majlis ilmu dan sebagainya, kecualilah diundang seseorang pendakwah popular yang hanya bercakap persoalan ibadat semata-mata. Tidak siapa menafikan bahawa ibadat adalah ‘jalan ke syurga’ tetapi kita juga sering diberitahu bahawa mereka yang beribadat sepanjang hayatnya belum tentu mendapat tempat di syurga sekiranya ia mengabaikan tanggungjawab kepada masyarakat atau orang ramai.
Ada sebuah cerita sufi, berkisar pada seorang manusia biasa dan seorang ulama. Seorang manusia biasa, apabila dia meninggal dunia, hisab kebaikannya diadili. Semasa hidupnya, manusia biasa itu sering mengalami masalah kesihatan tetapi, dia tidak melupakan peranannya sebagai individu terhadap Allah SWT dan peranannya sebagai ahli masyarakat. Dia sentiasa memberikan ingatan kepada jiran-jiran dan rakan-rakannya agar menjaga kesihatan, tidak lupa mendekatkan diri dengan suruhan dan menjauhkan diri daripada larangan-Nya, juga bersedekah secara ikhlas.
Ulama berkenaan sentiasa menghabiskan masanya dengan beribadat. Disebabkan sangat rajin beribadat, dia melupakan peranannya sebagai ahli masyarakat. Seringkali mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga kerana memenuhi seruan berdakwah secara terpilih (hanya dengan berceramah, tidak melaksanakan dengan tindakan), dan tidak bertegur sapa dengan jiran-jiran terdekat. Jika ada pun, ia berlaku secara terpilih dan jarang-jarang kerana kesibukannya berdakwah. Akhirnya, setelah dia meninggal, setiap amalannya dihitung, dia beroleh syurga.
Bagaimanapun, ulama tersebut tidak berpuashati kerana dimasukkan ke syurga di lapisan paling bawah sedangkan orang biasa yang pernah mendengar ceramah ulama itu memperoleh syurga di kedudukan yang lebih tinggi. Akhirnya, ulama itu dikatakan bertanya kepada malaikat: Kenapa dia dimasukkan ke syurga paling bawah? Malaikat pun menjawab, kerana orang biasa itu telah diuji dengan kesakitan dan dia tidak meninggalkan tanggungjawabnya kepada Allah SWT dan kepada sesama manusia. Orang biasa itu juga melaksanakan atau beramal dengan apa yang dipelajarinya daripada para alim ulama. Mendengarkan penjelasan tersebut, ulama berkenaan memohon agar dihidupkan sekali lagi untuk melaksanakan apa yang menjadi tanggungjawabnya. Jawab malaikat, ia sudah terlewat.
Ada juga sebuah cerita sufi lain yang terkenal. Perihal seorang wanita pelacur yang memberikan minum seekor anjing kehausan yang ditemuinya di padang pasir. Dengan menggunakan kasut yang dipakainya, dicedukkakn air dan diberikan minum anjing yang kehausan sehingga anjing itu kembali segar dan mampu berjalan semula. Tindakan menyelamatkan anjing daripada mati kehausan itu, dikatakan oleh cerita sufi wanita yang prihatin mendapat tempat di syurga. Wallahuaklam.
Dua peristiwa atau cerita sufi tersebut menggambarkan seseorang wajib berbuat baik, termasuk tidak menyerang seseorang pemimpin tanpa difahami masalah sebenar kenapa perlu menyerang. Sebelum mengkritik atau menyerang ‘kerajaan gagal’ dia sepatutnya melihat kegagalan itu berpunca daripada mana? Jika kita melihat daripada situasi pelanggaran SOP, sepatutnya kita mencari kaedah bagaimana untuk tidak membenarkan seseorang itu tidak mematuhinya, termasuk mengecam mereka yang sengaja dan cenderung berbuat salah. Orang seperti itu tidak perlu diberikan pembelaan, kerana mereka adalah sebahagian punca atau menjadi kontak penularan COVID-19.
Dalam konteks yang lain, sekiranya SOP melarang seseorang itu keluar rumah, maka patuhilah dan belajarlah bagaimana untuk #dudukdirumah dan mengatasi kebosanan. Kita boleh menghabiskan masa merancang aktiviti berfaedah, membaca, membantu mengemas rumah, menghafal kitab-kitab agama dan mengkhatam al-Qur’an sebanyak mungkin, belajar beribadat dengan berkesan dan lain-lainnya. InsyaAllah dengan memulakan permulaan yang sebelumnya tidak pernah atau jarang-jarang kita lakukan, ia bukan sahaja dapat menghindari ‘rasa bosan’ bahkan mampu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman terhadap ajaran agama. Ia sesuatu yang amat digalakkan oleh Islam kerana mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, termasuk mendapatkan ilmu berfaedah dan mempertingkatkan amalan agama.
Kita boleh jalani kehidupan seharian dengan tenang walaupun kita diuji dengan pelbagai kesukaran termasuk kehilangan sumber pendapatan dan halangan pergerakan. Walaupun sudah lebih setahun’kebosanan’ itu berlalu, kita masih belum kusut masai dengan pemikiran yang boleh merosakkan kesihatan mental. Kita perlu belajar berjimat cermat, tidak terpengaruh dengan jualan hebat dalam talian, dan kempen-kempen yang cukup menyebabkan kita dalam budaya pengguna. Pembelian secara online kadangkala menjadi sangat mahal dan tidak kurang juga menjadikan kita tidak berpuashati, barang yang dibeli ‘indah khabar dari rupa’.
Kita juga perlu berfikir, kerana Islam sejak lahirnya lagi telah mengingatkan setiap penganutnya tidak menjadi boros ketika mempunyai pendapatan. Sebagaimana kita diberikan teladan dalam kisah gandum tujuh tangkai. Misalnya apa yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf AS, di mana Allah SWT menceritakannya dalam al-Qur’an yang bermaksud:
“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (47)
“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (48)
“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.(49)
Al-Qur’an sudah memberikan gambaran, semasa kita mempunyai pendapatan hendaklah kita berusaha menabungnya untuk digunakan semasa gawat. Sekarang kita mengalami kegawatan, maknanya jika kita mengamalkan tabiat menabung sebaik sahaja kita memperoleh wang, kita mampu atasi masalah ‘kesempitan hidup’. Anehnya, sebahagian anak muda Islam lebih mementingkan sesuatu yang dianggap ‘trendy’ termasuk menghabiskan wang untuk menunjuk-nunjukkan kehebatan gajet, kenderaan terbaharu, fesyen semasa dan berebut-rebut bila ada jualan tudung sehingga sanggup terpacak beberapa jam sebelum premis berkenaan dibuka.
Berkenaan SOP, kita mungkin kembali kepada apa yang pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Dalam sebuah syarah berdasarkan kitab Radhius Solihin (Teman Orang-Orang Yang Sholeh) karangan Imam Nawawi, kita menemukan kaedah Rasullulllah SAW berusaha mengawal sejenis penyakit berjangkit, iaitu taun.
Pada waktu itu, taun merupakan penyakit berjangkit yang cukup ditakuti kerana ia boleh membunuh. Penyakit taun juga merupakan penyakit berjangkit yang kerap berlaku selepas berlakunya sesuatu mala petaka alam, seperti bencana banjir besar, gempa bumi ataupun kemarau yang berpanjangan.
Dalam kitab tersebut, taun dikairkan dengan tiga kefahaman. Pertama, berdasarkan tanda-tanda yang dapat dikesan menerusi pengalaman pakar perubatan (dokter). Kedua, kematian yang berlaku akibat jangkitannya, sebagaimana sabda Rasullullah SAW, yang bermaksud: “Taun adalah kematian syahid bagi setiap Muslim.” Ketiga, taun diungkapkan sebagai faktor dan penyebab kepada penyakit. Dalam hal ini, Rasullullah SAW bersabda: “Taun adalah sisa hukuman yang diturunkan kepada Bani Israil.” Dalam hadis yang lain, Rasullullah SAW menjelaskan: “Sesungguhnya taun adalah sengatan jin.” Ada juga hadis yang mengatakan taun adalah doa seorang Nabi.
Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahthani menyebut dalam kitab Enskopedi Shalat (Jilid 2), taun ( (ath-tha’un) sebagai kematian massa, yakni kematian besar-besaran (orang ramai). Selain itu ada pendapat mengatakan taun adalah sejenis penyakit menular yang terjadi akibat pencemaran udara dan seterusnya menyebabkan anggota badan lemah, yang menjangkiti ramai orang dan berlaku dalam sesuatu kawasan (daerah atau negeri) tertentu.
Sebagai usaha mengekang penularan wabak taun, Rasullullah SAW menganjurkan tiga kaedah kawalan, atau sekarang kita kenali sebagai SOP. Larangan itu ialah: (1) Duduk di rumah; (2) tidak pergi ke kawasan wabak menular dan tinggal keluar daripada kawasan yang dijangkiti; dan (3) mencari ubat dan berdoa untuk terhindar dalam keredhaan Allah SWT.
Duduk di Rumah, sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA sebagaimana dijawab oleh Rasullullah SAW: “Zaman dahulu taun adalah azab yang dikirimkan oleh Allah SWT kepada siapa saja yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menjadikannya sebagai rahmat bagi orang beriman. Tiada seseorang yang sedang tertimpa taun, kemudian menahan diri di rumahnya dengan bersabar serta mengharapkan redha Ilahi seraya menyedari bahawa taun tidak akan mengenainya selain menjadi ketentuan Allah SWT untuknya, nescaya ia akan memperoleh ganjaran seperti pahala orang yang mati syahid,” (HR. Ahmad).
Berusaha mengawal diri dengan tidak berada di tempat wabak itu berlaku dan mereka yang berada di tempat wabak itu berlaku tidak meninggalkan tempat itu adalah suatu ketetapan untuk mengekang penularannya. Dari Abdullah bin Amir bin Rabi’ah, ketika Umar al-Khattab menempuh perjalanan ke Syam dan sesampainya di Sargh, Umar mendapat khabar bahawa wabak taun sedang melanda wilayah Syam. Abdul Rahman bin Auf berkata kepada Umar bahawa Rasullullah SAW pernah bersabda: Bila kamu mendengar wabak di sesuatu daerah, maka kamu jangan memasukinya. Tetapi jika wabak itu terjadi di daerah di mana kamu berada, maka jangan kamu tinggalkan tempat itu.” Umar kemudiannya mengambil keputusan tidak meneruskan perjalanan ke Syam dan meninggalkan Sargh. (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain, Usamah bin Zaid RA meriwayatkan Rasullullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar wabak taun melanda sesebah negeri (daerah atau kawasan), maka janganlah kamu memasukinya. Adapun apabila penyakit itu melanda sesebuah negeri sedang di mana kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar dari negeri itu.” (HR. Muttafaq ‘alaih).
Berusaha berubat dan mengharapkan redha-Nya, berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan Abu Huraira, Abu Huraira, “Tidak ada penyakit yang Allah SWT ciptakan, kecuali Allah SWT telah menciptakan ubatnya.” (HR. Bukhari).
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad, Rasullullah SAW bersabda: ketika wabak melanda, dianjurkan untuk senantiasa mengharapkan redha Ilahi seraya menyedari bahawa taun tidak akan mengenainya selain menjadi ketentuan Allah untuknya, nescaya ia akan memperoleh ganjaran seperti pahala orang yang mati syahid,” (HR. Ahmad).
Dalam pembendungan COVID-19, pemakaian pelitup muka itu penting kerana virus corona berusaha memasuki rongga pernafasan manusia (hidung dan mulut) untuk mencari perumahnya. Virus corona berjangkit menerusi air liur, udara dan juga sentuhan. Untuk menghindari daripada dijangkiti menerusi pernafasan, itulah sebabnya diminta supaya memakai pelitup muka dan daripada sentuhan diwajibkan membersih tangan yang menyentuh sesuatu menggunakan air sabun dan sanitizer. Penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter bagi menghindari seseorang yang bersin atau batuk memindahkan virus corona (yang kita tidak ketahui ianya telah ada dalam kerongkong seseorang) kepada kita atau kita memindahkannya kepada orang lain.
Virus corona juga tidak dapat kita lihat kehadirannya, maka diminta supaya kita tidak berada di tempat-tempat yang mempunyai kehadiran ramai orang, dan sebab itulah masjid dan rumah-rumah ibadat ditutup sementara waktu. Perihal jangkitan dari seseorang kepada seseorang dalam persekitaran rumah-rumah ibadat sudah dibuktikan berlaku, dan pernah menggemparkan masyarakat apabila 15 orang ahli khairiah meninggal dalam tempoh dua minggu akibat COVID-19.
COVID-19 bukan sahaja menjangkiti sesama mereka yang hadir beribadat, bahkan turut menjangkiti ahli keluarga masing-masing di rumah. Itulah bahayanya, maka itulah satu keputusan dibuat untuk melarang orang ramai mengunjungi rumah-rumah ibadat dalam tempoh pandemik. Orang ramai masih boleh beribadat di rumah masing-masing, dan ia tidak bermakna menutup sementara masjid atau surau sebagai halangan beribadat dan lebih mengutamakan sektor ekonomi daripada agama.
Dalam tempoh PKP, sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dengan kawalan ketat SOP ialah bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan masyarakat tidak berlaku kekurangan. Ini kerana, tanpa makanan akan menyebabkan ramai mungkin mati akibat kelaparan. Makanan sangat perlu untuk hidup dan mengekalkkan kesihatan. Namun, usaha membuka sektor ekonomi perlu dilihat dengan lebih saksama sebelum mendakwa kerajaan lebih utamakannya daripada kerja-kerja ibadat,
Ekonomi perlu dicergaskan kerana daripada situlah ia akan menggerakkan pemerolehan pendapatan. Tanpa digerakkan ekonomi, akan menyebabkan keseluruhan rakyat menderita kerananya. Semuanya itu menggambarkan bahawa tanpa menggerakkan ekonomi, negara akan lumpuh dan lebih ramai manusia akan kehilangan keupayaan membeli makanan.
Biarpun berlaku sebahagian terpaksa kehilangan pekerjaan disebabkan beberapa sektor ekonomi dan perkhidmatan terpaksa ditutup, ia tidak menunjukkan keseluruhannya telah menyebabkan rakyat kesempitan hidup. Ia akan menjadi lebih runcing jika kesemuanya ditutup, dari mana kita peroleh makanan dan ubat-ubatan.
Bagaimanapun, jika berlaku penipuan kebenaran operasi yang bukan ‘essential service’ berikanlah peluang kepada pihak berkuasa melakukan pemantauannya, kita tidak perlu merasakan ia adalah sesuatu yang menakutkan. Sebagai rakyat, kita boleh berperanan melaporkan penipuan berkenaan, bukan mendakwa sebagai keputusan yang tidak adil. Sebabnya, semakin meluapnya kemarahan ‘ketidakadilan’ itu akan menyebabkan bertukar menjadi suatu kemarahan besar, dan kita semakin terganggu untuk berfikir secara rasional bagaimana boleh kita percepatkan COVID-19 itu pergi.
Sekiranya kita cemas dengan angka mereka yang melakukan percubaan bunuh diri dan mengambil keputusan bunuh diri akibat terganggu atau kemurungan setelah kehilangan pekerjaan, kita sepatutnya berusaha memotivasikan diri dengan nilai-nilai kehidupan positif, memotivasikan diri sendiri, ahli keluarga dan rakan-rakan. Ada banyak cara untuk mengurangkan beban psikologi, meminta bantuan dan khidmat sokongan daripada ahli masyarakat yang lain.
Tindakan mengibarkan bendera putih adalah satu tindakan yang cukup menarik dan berkesan, Masih ramai rakyat Malaysia yang sedia membantu secara sukarela, dan cara itu walaupun dilihat oleh seseorang sebagai ‘langkah menyerah kalah’ sekurang-kurangnya kita sedar dan bukan selama-lamanya boleh bertahan dengan ego. Kita lupakan mereka yang mengecam, kerana sebahagian besar pengecam adalah mereka yang ‘tidak berbuat apa-apa’ walaupun mempunyai sumber, keupayaan dan wang.
Dari situlah kita boleh kenal, siapakah sahabat, mereka yang dermawan dan sebagainya, selain kita boleh kenal oportunis, serta mereka yang hanya tahu bercakap dan berpura-pura. Mereka, kalau seringkali bercakap soal agama dan kebajikan, tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab ‘bermumalat’ dengan sesama manusia itu umpama seorang manusia yang sudah hilang nilai kemanusiaannya, mereka adalah dalam kalangan golongan yang zalim, hipokrit dan munafik. Kalau mereka itu pemimpin, dia adalah seorang pemimpin yang cukup mementingkan diri dan dalam senarai mereka yang sesat.
Monosin Sobri.
Recent Comments