SUATU KETIKA, beribu tahun selepas ‘zaman purba’, muncul seseorang yang cukup merasakan dirinya ‘serba betul’ dan ‘cukup hebat’ serta pernah berkuasa mengomel pedas mengenai nasihat.
Dalam shahibul hikayat, bukan dongeng tetapi sedikit sifat ‘ego’ dan ‘taksub kepada pendapat sendiri’. Penguasa itu berkata: sesuatu nasihat itu bukan arahan, maka nasihat tidak wajib dipatuhi. Nasihat hanyalah nasihat, berupa pendapat, maka ‘ia tidak perlu diikuti’. Ya benar, nasihat hanya pendapat, bukanlah perintah. Biarpun nasihat itu ada baiknya untuk kebaikan yang lebih besar.
Dalam Islam, nasihat mempunyai kedudukan yang sangat tinggi, sebagai pedoman, input untuk berfikir dan panduan untuk melakukan sesuatu berdasarkan sebab dan akibat. Nasihat ada pertalian yang cukup kuat dengan moral. Moral pula cerminan kepada perilaku, pertuturan dan adab. Sebab itulah Islam disimpulkan sebagai agama yang tujuan besarnya ialah memperbaiki akhlak manusia.
Atas prinsip itulah Islam dibina dan dikembangkan. Semasa hayat Rasullullah SAW, nasihat cukup menjadi panduan yang cukup jelas, dan kerana itulah Allah SWT sentiasa memberikan nasihat sebagai peringatan. Bahkan dalam salah satu firman-Nya, Allah SWT menjelaskan: Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal sholeh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-berpesan dengan sabar.” (al-Asr: 1-3).
Ungkapan ‘berpesan-pesan’ kalau dalam istilah bahasa Melayu, kata asasnya ialah pesan. Menurut Kamus Dewan (edisi keempat, 2007: 1196), pesan adalah: (1) amanat (nasihat, permintaan, suruhan dan lain-lain) yang diterima (diteruskan) kepada orang lain; (2) amanat (nasihat, wasiat dan lain-lain) yang penghabisan daripada orang yang akan meninggal; dan, (3) permintaan barang untuk dibeli, tempahan.
Berpesan ialah (1) meminta supaya amanahnya (kehendaknya, nasihatnya, suruhannya dan lain-lain) diterima atau diteruskan kepada orang, memberi pesan (kepada); (2) memberi nasihat (amanat, wasiat dan lain-lain) ketika hampir akan meninggal; dan, (3) membuat permintaan (untuk membeli dan lain-lain barangan), menyuruh membuatkan (menyediakan, mengirimkan), menempah.
Secara mudahnya, dalam konteks perbincangan ini, pesan disinonimkan dengan nasihat dari seseorang kepada seseorang (kecuali nasihat Allah SWT kepada Rasullullah SAW boleh disinomimkan sebagai perintah; atau nasihat seorang ayah kepada anaknya, tetapi tidak sampai ke tahap perintah). Misalnya, sebelum keluar rumah untuk ke sekolah, ayah atau ibu sentiasa memberikan ingatan: belajar betul-betul dan di sekolah jangan nakal. Tanpa jemu pesan itu diberikan setiap hari sehinggalah anak itu sudah mencapai tahap matang, yakni boleh berfikir dan membezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara.
Dalam konteks ilmu komunikasi, pesan adalah yang disampaikan oleh seseorang kepada seseorang, dan ia disinonimkan dengan perkara yang dipindahkan daripada seseorang kepada seseorang. Proses pemindahan itu akan mencapai sasarannya apabila bahan itu diterima dan mendapat responden balik sama ada dalam bentuk lisan atau bukan lisan (nonverbal). Ia mungkin berkembang lebih lanjut sehingga membentuk ‘kefahaman’ atau ‘mutual understanding’ dan juga mungkin berlaku reaksi balas yang bertentangan (konflik).
Dalam perkamusan politik, nasihat hanya sebagai nasihat, kecuali orang yang memberikan nasihat itu adalah mereka yang menduduki kuasa tertinggi, atau seseorang yang sangat dihormati, misalnya seorang tokoh agama yang cukup zuhud dan beramal sholeh. Tetapi, ia masih belum boleh dikategorikan sebagai arahan atau ketetapan yang mesti dipatuhi.
Dalam hal ini, satu contoh klasik ialah sikap dan pendirian Dr Mahathir selepas menang jawatan Presiden UMNO pada bulan April 1987. Sebagai orang yang berkuasa dan mempertahankan jawatan, Dr Mahathir mengulas tentang kemenangannya di akhir PAU tahun tersebut dengan mengambil sebuah kisah Aesop popular, iaitu kisah seekor singa dan seorang manusia yang menolongnya.
Seorang manusia menemui seekor singa yang sedang mengerang kesakitan. Salah satu kaki singa tertusuk duri. Seorang manusia akhirnya membuat keputusan membantu singa agar kesakitan dapat diatasi. Selesai duri itu dicabut, singa dapat berjalan lebih baik walaupun sedikit terhencot-hencot.
Sebagai sifatnya binatang dalam kategori karnivor, rasa ghairahnya terhadap manusia itu muncul dalam naluri singa. Mungkin kerana sudah berhari-hari ‘menahan sakit’ maka diterkamlah manusia yang menolongnya, dan seluruh daging itu dimakan dengan lahapnya. Inilah yang berlaku kemudiannya.
Sebaik sahaja menang, kumpulan yang menentang Dr Mahathir membuat keputusan melepaskan jawatan yang disandangnya, kerana mereka yakin Dr Mahathir akan ‘terkam’ mereka. Jadi, sebelum diterkam, lebih baik lari terlebih dahulu. Kisah ‘lari’ itu dilihat cukup bermaruah daripada ditendang keluar, sebagaimana Dr Mahathir menendang keluar Anwar pada tahun 1998, yakni lebih sedekad kemudian.
Bila ditendang keluar, sakitnya begitu perit. Kecualilah ditendang keluar atas pertelagahan yang begitu besar, setelah tidak ada lagi jalan damai yang boleh direncanakan. Anwar mungkin boleh menceritakan ‘perit’nya bila dipecat, dan hingga sekarang cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri belum kesampaian, bahkan semakin berliku selepas ‘perkongsian aspirasi’ kali kedua terputus.
Kisah ‘ditendang keluar’ cukup memilukan Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat sebagaimana diceritakan dalam biografinya, UMNO:Akhir Sebuah Impian (2009). Allahyarham pernah dikembirikan bila dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia dan menjadi orang yang sangat cemerlang memulihkan imej Dr Mahathir dan UMNO (B) selepas krisis UMNO 1988.
Dengan melancarkan program Semarak (Setia Bersama Rakyat), keyakinan penjawat awam mengenai kepimpinan Dr Mahathir dapat dipulihkan manakala menghidupkan semula UMNO yang diharamkan terus menjadi ingatan sehinggalah Allahyarham digugurkan dalam kabinet pada tahun 1999, dan tidak dicalonkan dalam PRU ke-10 (1999).
UMNO diharamkan setelah Kumpulan 11 memfailkan saman untuk membatalkan kemenangan Dr Mahathir selepas tidak mengendahkan rayuan mereka agar diadakan pemilihan semula. Asas yang digunakan ialah terdapat 30 cawangan (daripada empat bahagian) yang belum diluluskan pendaftarannya, terdapat beberapa orang perwakilan yang namanya ada dalam cawangan yang belum sah membuang undi (memilih) dalam perebutan jawatan tersebut. Ini bermakna, UMNO dapat diselamatkan jika Dr Mahathir mendengar nasihat kumpulan 11 (asalnya 12 orang).
Apa yang berlaku ialah mudah dan berkaitan dengan nasihat yang tidak dipedulikan oleh Dr Mahathir. Kerana keengganan Dr Mahathir itulah kumpulan 11 mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan pengisytiharan keputusan pemilihan tersebut tidak sah. Itu sahaja tujuan mereka, dengan tujuan satu pemilihan semula dapat diadakan dengan perintah mahkamah. Tidak ada siapa menjangkakan, keputusan mahkmah pada bulan Februari 1988 sangat mengejutkan, UMNO diharamkan.
Ironinya, dalam beberapa perkara yang lain, Dr Mahathir bukan sahaja kecewa bila nasihatnya tidak ‘didengar’ atau diambil sebagai keputusan yang perlu dilaksanakan. Ia berlaku dalam sebahagian masa sehingga beliau dilihat cukup kontroversi dan berusaha mengubah tradisi, daripada tradisi memilih pemimpin dan pembinaan dasar-dasar pembinaan negara. Setelah merasakan kedudukannya bakal tergugat, bila UMNO (baru) berjaya ditubuhkan, Dr Mahathir menjadi arkitek untuk menyekat pertandingan jawatan tertinggi parti atas alasan ‘menyekat perpecahan’. Upaya tersebut telah melanjutkan tempoh kekuasaan Dr Mahathir sehingga membuat keputusan meletakkan jawatan (22 Jun 2002) dan menarik balik sejam kemudian.
Pengumuman bersejarah itu: “Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan perletakan jawatan saya sebagai presiden Umno dan semua jawatan yang dipegang oleh saya dalam parti, perletakan jawatan saya sebagai pengerusi Barisan Nasional (BN) dan semua jawatan dalam BN” cukup meletakkan semula kedudukannya, melenyapkan kritikan-kritikan, dan sebahagian kesilapan-kesilapan dilupakan untuk beberapa kita.
Saya teringat salah satu ucapannya yang cukup berkesan pada tahun 1982, ketika merasmikan satu majlis di Kem Bina Semangat Kemaman, Terengganu. Secara penuhnya ucapan Dr Mahathir tersebut tidak dapat saya ingatkan, tetapi tema yang jadikan nasihat kepada pemimpin-pemimpin UMNO ialah perihal ‘perebutan kekayaan’ akan menyebabkan parti berpecah. Akibat berebut kekayaan, semangat dan perjuangan parti pudar. Parti akan menjadi lemah, dan ia benar-benar belaku ketika Dr Mahathir masih hidup.
Ia belaku pada tahun 1988, UMNO diharamkan kerana berleluasanya politik wang. Bahkan ada yang beranggapan, bagi seseorang ketua bahagian (KUB), untuk mengekalkan kedudukannya, ia melibatkan perbelanjaan cukup besar. Soal berkhidmat untuk parti tidaklah sehebat semangat untuk merebut jawatan kerana, jawatan itu menjadi batu loncatan meraih kekayaan. Oleh itu kita tidak hairan, ada KUB terpaksa mencari wang, mendapatkan kontrak kerajaan demi kelangsungannya di bahagian. Bahkan, ada bekas seorang timbalan menteri memberitahu, untuk kekal mengetuai bahagian, dirinya memerlukan tidak kurang daripada RM 1 juta setahun.
Sebabnya, pemimpin cawangan memohon dana untuk pelbagai aktiviti, menaja perbelanjaan lawatan sambil belajar (popularnya ketika itu ialah ke Indonesia), meraikan sesuatu perayaan, dan juga menaja ahli ke PAU (Perhimpunan Agong UMNO) di Kuala Lumpur (duit poket, bayaran penginapan dan sewa bas atau minyak kereta). Ia menjadi lebih besar jika membabitkan pemilihan. KUB kadangkala bertindak sebagai ‘power broker’ kepada seseorang atau warlords. Itulah sebabnya setiap kali PAU berlangsung, suasana riuh rendah menghidupkan suasana ruang beli-belah (di PWTC) dan pusat-pusat beli belah di ibu negara (Sogo, Putra Mall dan Jalan Tuanku Abdul Rahman).
Kemeriahan sebegitu tidak lagi dirasakan setelah BN tewas dalam PRU ke-14. Akibat tewas, PAU 2018 tidaklah semeriah PAU sebelumnya. Tahun 2019, walaupun ada pemilihan berlaku, kemeriahannya berbeza cukup jelas, tidak ramai lagi pemerhati dan juga ahli-ahli UMNO hadir, kerana beberapa orang KUB telah berubah pendirian politik, dan tidak sedia ‘melabur wang’ lebih banyak.
Apatah lagi dalam keadaan dana parti dibekukan manakala tekanan terhadap parti sedang meningkat. Setelah berlakunya pandemik COVID-19, walaupun Pakatan Harapan sudah ‘terlucut kuasa’, situasinya berubah lebih 180 darjah. PAU dilaksanakan secara maya, manakala PWTC bertukar nama kepada WTC (World Trade Center, di mana P sebagai singkatan Putra dibuang).
Projek pembesaran PWTC terhenti. Bangunan letak kereta dan stesen bas putra hanya tinggal ‘terkurung dalam zink biru’ di mana tiada kerja-kerja selanjutnya. Ia menjadi seolah-olah kawasan yang cukup menarik untuk ‘hantu’ bermastautin, tetapi agak bernasib baik, kerana PKP, ia tidak dicerobohi oleh ‘mat gian’.
Kenapa BN kalah dan hilang kuasa? Ada beberapa sebab yang boleh kita cari. Sebab pertama, menurut sesetengah pihak kerana Najib ‘tidak mendengar nasihat’. Setelah isu 1MDB meletup, reaksi politik akibat pemecatan Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie Afdal menjadikan UMNO sedikit tergelonsor imejnya. Ia menjadikan kedudukan Dr Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz sebagai antagonis yang cukup kuat untuk mencabar Najib.
Dalam situasi pembentukan Pakatan Harapan masih kelam-kabut, Najib pernah dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Rakyat dan mengisytiharkan PRU ke-14. Najib tidak berbuat demikian, Najib belum ‘dapat ilham’ sehingga hampir tamat tempoh. Kelengahan itu menyebabkan Pakatan Harapan mempunyai masa untuk memperkemaskan kedudukan dan mencapai persefahaman lebih baik dengan parti-parti yang bergabung, memujuk Anwar agar menerima Dr Mahathir untuk memimpin PH.
Kedua, Najib tidak mendengar nasihat daripada ‘inner circle’ sebaliknya lebih memihak kepada pendapat dan pandangan ‘kumpulan luaran’, terutama dalam pemaparan imejnya di media antarabangsa. Sebelumnya, Najib dipersoalkan apabila melantik AAPCO sebagai agensi perhubungan awam untuk mempositifkan imejnya di peringkat antarabangsa. Pelantikan tersebut dipersoalkan, termasuk penggunaan slogam 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pecapaian Diutamakan. Selain daripada itu, Najib lebih mengutamakan kaedah pelaporan prestasi (GTP dan sebagainya) dengan menggalakkan pelbagai pembinaan indeks, yang bagi masyarakat awam ia hanya sekadar ‘indah khabar dari rupa’.
Ketiga, berlaku kebosanan ‘burnout’ dalam kalangan penjawat awam terutama dalam kalangan pelaksana, kerana kaedah pelaporan yang ditetapkan oleh PEMANDU (Idris Jala yang sangat takjub agensi perunding McKinsey) berusaha menerapkan sebanyak mungkin kaedah tersebut yang kadangkala sentiasa berubah-ubah. Laporan tetap disediakan oleh penjawat awam, tetapi laporan akhir disunting, dianyam dan dilakukan menurut perspektif perunding, yang kadangkala berbeza daripada draf yang disedia, dipersetujui dan dibahas dalam pelbagai makmal.
Cara perundingan antarabangsa mengeluarkan laporan dan membuatkan cadangan cukup mengingatkan kita dengan pendedahan John Perkins dalam Confessions of Economic Hit Man (2004). Pendedahan itu berdasarkan pengalamannya sebagai ‘economic hit man’ dalam perundingan projek dan pembangunan di Timur Tengah, iaitu di negara-negara kaya hasil minyak, yang turut membawa makna pergantungan kepada barat, terutama Amerika Syarikat.
Rupa-rupanya agensi perundingan itu ada ‘kepentingan’. Dengan laporan yang dikeluarkan ada banyak kelemahan di peringkat pelaksanaan membuka peluang baharu untuk membuat kajian mandalam dan mengeluarkan laporan baharu untuk diambil tindakan oleh agensi kerajaan. Ini berlaku ke atas ‘overhaul sistem pendidikan’.
Sebelumnya, perunding luar melaporkan arah tuju pendidikan di Malaysia tidak mungkin mencapai tahap berdaya saing di peringkat antarabangsa, dan keputusan ujian PISA, TIMMS yang dikendalikan oleh OECD cukup menyedihkan, bahkan pada suatu ketika kalah dengan pelajar sebaya di Vietnam, Taiwan dan beberapa negara lain.
Bukan semua orang terkejut. Bahkan politikus dalam kalangan pembangkang menggunakan data tersebut untuk memperlekehkan Sistem Pendidikan Kebangsaan. Mereka memperlekehkan prestasi pencapaian pelajar, kualiti guru, sokongan sistem dan pembinaan kurikulum. Akhirnya, McKinsey menjadi perunding untuk merombak dan mengkaji sistem pendidikan, maka lahirlah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Lebih dua puluh juta ringgit dibelanjakan untuk membayar khidmat perunding. Bagaimanapun, yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan PPPM ialah kakitangan KPM sendiri, mereka terpaksa mengorbankan tugas hakiki masing-masing, bersengkang mata dan memelas pemikiran dalam makmal (selama lebih dua tahun), menguruskan townhall, membentuk instrument dan menterjemahkan inisiatif, akhirnya membawa kepada beberapa boomerang. ((BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments