Percubaan untuk memahami hubungan antara agama, khususnya antara Islam dengan Kristian, bukanlah sesuatu yang baharu dalam sejarah peradaban dunia. Sejarah Islam sendiri memberi satu bentuk hubungan yang akrab dengan penganut bukan Islam. Ini dapat diperhatikan melalui kehidupan masyarakat bukan Islam dalam Piagam Madinah.
Dengan keganasan kaum yang semakin memuncak dalam masyarakat pelbagai kaum di merata-rata tempat hari ini, maka perlu ditekankan betapa pentingnya dialog antara kaum, agama, budaya atau peradaban diadakan sebagai satu interaksi dalam mencari penyelesaian yang dapat memberi kebaikan kepada manusia sejagat.
Perkataan ‘dialog’ berasal daripada istilah bahasa Inggeris, dialogue yang bermaksud (1) perbicaraan, perbualan, percakapan (2) bertukar-tukar pendapat, dan (3) bersoal jawab. Maka, ‘dialog’ boleh diertikan sebagai “suatu percubaan antara dua pihak yang berlainan pendapat, kepercayaan atau pandangan untuk melakukan satu aktiviti pertukaran pendapat dengan tujuan menambah pengetahuan, meningkatkan kefahaman dan seterusnya membolehkan wujudnya sikap saling memahami antara kedua-dua belah pihak”.
Dialog juga disebut sebagai mujadalah, muzakarah, dan bertukar-tukar fikiran. Melalui dialog, dua pihak (atau lebih) dapat mempelajari suatu kebaikan kedua-dua belah pihak serta melenyapkan keraguan yang timbul sebelumnya.
Sudah sampai masanya kita kembali kepada metodologi peradaban Islam lampau yang menjadikan `dialog antara peradaban’ dan `dialog antara agama’ khususnya antara Islam dan kristian sebagai jalan penyelamat umat manusia dan dunia yang semakin kucar-kacir, seolah-olah tidak tentu hala tujunya.
Dialog ini bertujuan untuk cuba memahami beberapa persamaan kedua-dua agama ini kerana dengan cara itu hubungan antara kedua-dua belah pihak akan menjadi lebih akrab. Perbincangan dengan pandangan yang berbeza adalah ruang kedua-dua belah pihak untuk saling belajar antara satu sama lain sehingga pihak masing-masing dapat mengubah pandangannya dan meningkatkan kefahaman agamanya.
Usaha ke arah perdamaian ini akan memberi ruang kepada umat Islam untuk mengenali dan memahami peradaban Barat (Kristian) dan mengambil manfaat daripada sumbangan-sumbangan mereka tanpa mengabai mahupun menggadai agama dan metodologi sendiri.
Agama Kristian telah menjalinkan hubungan dengan agama Islam lebih dari 14 abad. Sejarah Peradaban Islam pernah mencatatkan bahawa keinginan untuk mempereratkan hubungan Islam dan Kristian terserlah setelah dunia Barat menyedari bahawa cara kekerasan yang dilakukan dalam Perang Salib tidak berkesan menghentikan perluasan kuasa khalifah Islam, terutama ketika Constantinople jatuh ke tangan tentera Muslim pada tahun 1453.
Beberapa tokoh Kristian mula mempertimbangkan idea untuk berdialog secara intelektual bagi mempereratkan hubungan Islam dan Kristian. Tokoh Kristian ini terdiri daripada paderi-paderi seperti Yohannes dari Segovia, paderi Kristian Sepanyol Nicholas dari Cusa dan Aeneas Silvius dari Jerman.
Paderi Katolik Louis Massignon yang juga merupakan seorang sarjana Perancis pernah memberi pandangan peribadinya yang positif mengenai Islam. Massignon percaya bahawa Islam merupakan ekspresi daripada keyakinan monoteisme yang asli lagi unggul serta mempunyai misi spiritual yang positif dan jelas. Menurutnya, orang Kristian terhutang budi kepada umat Islam.
John L. Esposito merupakan seorang lagi sarjana Barat yang mempunyai pandangan positif mengenai Islam. Beliau yang pernah berguru dengan al-Faruqi menyatakan bahawa gerakan-gerakan Islam tidaklah menakutkan seperti yang digambarkan menerusi media-media Barat. Menurut Esposito, apa yang harus segera dikembangkan dalam hubungan Islam dan Barat ialah dialog antara peradaban, iaitu antara agama untuk menyingkap ketertutupan yang selama ini menyelimuti hubungan antara agama.
Satu persidangan antarabangsa mengenai misi gerakan Kristian dan Dakwah Islamiah di Chambessy pernah diadakan pada tahun 1976. Persidangan ini telah diatur oleh Dewan Gereja Dunia di Geneva dengan kerjasama Yayasan Islam Lancaster dan Oak Coleges Birmingham. Ia bertujuan mencari titik-titik persamaan dan persefahaman antara kedua-dua agama ini.
Sejarah mencatatkan bahawa pada pertengahan kedua abad ke-20 setelah tamat Perang Dunia II, dialog antara agama telah menjadi satu pokok persoalan yang penting di kalangan agama-agama di dunia. Dialog ini lebih bersifat dialogue of life atau ‘dialog hidup bersama’. Namun, melihat perkembangan akhir tahun 1992, agama-agama di dunia masih berada dalam ketegangan yang jauh dari sifat toleransi.
Dalam agama Kristian, dialog antara agama secara mendalam mula dibicarakan oleh Konsul Vatikan II dalam pada 1961. Dialog antara agama oleh Dewan Gereja-Gereja Sedunia pernah diadakan pada tahun 1971. Demikian juga agama Islam, di mana satu Kongres Islam Sedunia pernah diadakan di Karachi.
Rentang waktu yang panjang dan terus-menerus itu telah menjadi saksi kepada berbagai-bagai perubahan dan naik turunnya batas-batas kebudayaan antara keduanya. Ia diikuti zaman panjang konfrontasi sekali gus kerjasama yang produktif. Dari sejak permulaan sejarah mereka, Islam dan Kristian memang mempunyai suatu bentuk hubungan yang seimbang – kedua-duanya memiliki potensi untuk saling berkonflik dan sekali gus juga saling mengadakan dialog yang lebih konstruktif.
Sebab utama berlaku konflik ialah kerana penganut kedua-dua agama (Islam dan Kristian) masing-masing mendakwa diri sebagai pengikut agama yang lebih unggul dan beranggapan agama merekalah yang benar.
Islam menganggap bahawa setiap manusia berhak memilih jalan hidup dan kepercayaan masing-masing sebagaimana resam manusia yang diciptakan secara berpuak-puak. Tujuannya adalah untuk saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan baik, bukannya serang menyerang atau fitnah menfitnah
Kewujudan masyarakat majmuk adalah suatu sunnah llahiah. Ia merupakan manifestasi kekuasaan dan kehendak Tuhan yang tidak boleh dijadikan alasan oleh manusia untuk tidak memikirkan satu bentuk hubungan yang harmoni. Menjadi tanggungjawab manusia yang berbeza-beza anutan dan kepercayaan (seperti Islam dan Kristian) untuk saling mengenal sebagai memenuhi tuntutan kehidupan.
Kemajmukan juga bermakna wujudnya perbezaan intelektual dan keagamaan; tradisi intelektual manusia turut berbeza. Proses pemahaman agama kadangkala mengundang masalah dan konflik. Masalah yang dihadapi bukan hanya mencakupi isu sosial atau masyarakat tetapi lebih cenderung kepada masalah teologi yang turut disempitkan oleh fahaman tradisi dan ikatan primodial.
Konflik sering timbul disebabkan oleh kejahilan yang disertai dengan rasa kesangsian dan permusuhan terhadap satu sama lain. Ini seterusnya menghalang pihak-pihak yang terlibat daripada menjalinkan hubungan yang akrab dan maju.
Contohnya, ketegangan Islam-Kristian berakar umbi daripada interaksi yang berasaskan sikap yang beranggapan bahawa pihak masing-masinglah yang paling benar. Masing-masing menganggap merekalah pengikut agama yang unggul. Mereka bersaing untuk menyebarkan dakwah. Saingan ini kadang-kadang membawa ketegangan dan menyukarkan wujudnya situasi yang saling memahami dan menghormati antara Islam dan Kristian. Kadangkala keadaan menjadi bertambah sukar kerana didorong oleh kepentingan politik mahupun teologi.
Seperti kata Alwi Shihab dalam bukunya Islam Inklusif, persoalan mana yang paling benar atau salah, bukan tujuan dialog. Yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog antara agama ialah mencari titik temu. Titik temu antara agama boleh membendung permusuhan dan peperangan yang berpanjangan.
Penganut setiap agama bertanggungjawab untuk membudayakan sikap keterbukaan, menerima perbezaan dan menghormati kemajmukan, disertai ketaatan dan komitmen terhadap agama masing-masing. Islam bukan hanya bertujuan mempertahankan kewujudannya sebagai agama, tetapi juga mengakui kewujudan agama-agama lain dan memberikan hak untuk berdampingan sambil menghormati penganut agama lain.
Sejarah Islam, seperti yang dinyatakan dalam sirah Ibnu Ishaq, ada mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah dikunjungi oleh serombongan delegasi Kristian Najran (penganut Katholik) yang dipimpin oleh Abd. Al-Masih Al-Ayham berserta seorang paderi yang bernama Abu Harith bin Alqama. Nabi dikatakan telah mengizinkan rombongan ini melakukan upacara sembahyang mengikut kepercayaan mereka di Masjid Nabawi.
Sikap bersahabat orang Kristian (Nasrani) juga ditunjukkan melalui penerimaan dan perlindungan yang diberikan oleh penguasa Habsyah ketika umat Islam berhijrah ke daerahnya untuk menyelamatkan diri daripada penganiayaan kaum musyrikin Makkah.
Al-Quran menyatakan bahawa orang yang paling dekat persahabatannya dengan lslam ialah orang-orang Nasrani.Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud:Sesungguhnya kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata;”Sesungguhnya kami adalah orang-orang Nasrani.” Yang demikian itu disebabkan kerana diantara mereka itu(orang-orang Nasrani) terdapat pendeta-pendeta dan rahib-rahib(juga) kerana mereka tidak menyombongkan diri.
Demikian juga ketika Rasulullah SAW mengirim surat dakwah kepada pemimpin Nasrani (di luar Semenanjung Arab) seperti Muqauqis dan Heraclius. Walaupun tidak mengikut seruan Rasul, mereka menghormati utusan Nabi. Bahkan, Muqauqis sendiri mengirim hadiah kepada Rasulullah SAW yang juga diterima dengan baik oleh Baginda. Oleh kerana sikap orang Nasrani yang bersahabat terhadap umat Islam, maka umat Islam pun memperlihatkan hal yang serupa kepada penganut agama Kristian berbanding kepada orang Yahudi pada peringkat awal perkembangan Islam.
Sikap Nabi Muhammad SAW terhadap umat Kristian ini diteruskan oleh pemimpin Islam selepasnya. Khalifah Abu Bakar pernah berpesan kepada tentera Muslim agar tidak mengganggu kebebasan dan menodai kesucian agama lain. Demikian juga Khalifah Umar al-Khattab yang pernah membuat perjanjian dengan umat Kristian Kota Aelia (sekarang Jerusalem).
Baitul Hikmah, pusat ilmu pengetahuan yang didirikan ketika pemerintahan al-Makmun pernah dipimpin oleh sarjana Kristian, Hunain bin Ishak. Sikap toleransi juga ditunjukkan oleh penguasa Islam di seluruh Afrika Utara, Mesir dan Turki di mana umat Yahudi menikmati kebebasan beragama dan ekonomi yang hampir sempurna selama beberapa abad.
Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama. Islam tidak pernah memaksa penganut lain untuk menganuti Islam. Bahkan, Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain dengan prinsip dan etika tertentu.
Islam menganjurkan prinsip toleransi, mementingkan nilai moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam tidak menganjurkan perilaku negatif dan tindakan ganas seperti membakar pusat-pusat ibadah agama lain. Islam menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian. Inti dasar Islam sebenarnya membentuk perilaku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk.
Quraish Shihab dalam buku Wawasan al-Quran(Mizan, Bandung 1966) menyatakan, “Para pendeta ketika itu relatif berhasil menanamkan ajaran moral yang bersumber dari ajaran Nabi Isa a.s. sedang para rahib yang mencerminkan sikap zuhud (menjauhkan diri dari nikmat duniawi dengan menumpukan kepada ibadah), berhasil menunjukkan contoh kehidupan yang baik. Keberhasilan itu didukung pula oleh tidak adanya kekuatan sosial politik dari kalangan mereka di Mekah dan Madinah, sehingga tidak ada faktor yang membawa kepada pergeseran antara kaum Muslim dengan mereka.”
Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 8 yang bermaksud, “Jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan”, memperingatkan umat Islam supaya menahan diri daripada menekan apa lagi menindas umat agama lain.
Montgomery Watt menulis dalam bukunya, Prophet and Statesman (Nabi dan Negarawan), “Saya menganggap Muhammad adalah benar-benar seorang Nabi dan saya berpendapat bahawa kita (umat Kristian) harus mengakui hal ini berdasarkan prinsip agama Kristian yang menyatakan bahawa ‘Dari buahnya engkau akan mengetahui benar atau tidaknya sesuatu usaha’. Ini disebabkan sepanjang masa, Islam telah melahirkan banyak orang yang lurus dan suci.”
Namun, fenomena untuk mencari titik temu demi keamanan sejagat agak sukar kerana dihalangi oleh sikap fanatik sesetengah penganut agama masing-masing. Kegagalan dalam mengembangkan sikap toleransi seperti yang dituntut oleh agama akan membangkitkan sayap radikal Muslim atau Kristian.
Di Ireland Utara, penganut Katholik dan Proteston saling bermusuhan. Di Timur Tengah, ketiga-tiga cucu Nabi Ibrahim – umat Yahudi, Kristian dan Islam – saling menggunakan bahasa kekerasan. Di Sri Lanka, kaum Buddha dan kelompok Hindu bercakaran. Yang paling menyayatkan hati, agama dijadikan elemen utama dalam mesin penghancuran manusia – suatu kenyataan yang sangat bertentangan dengan ajaran semua agama di atas permukaan bumi ini.
Selain sikap keterbukaan antara penganut agama Islam dan Kristian di Malaysia, pola pemikiran juga penting bagi mengukur asas atau percubaan untuk mengadakan dialog antara agama bagi mendapatkan persefahaman dan kefahaman sikap terhadap agama-agama lain. Melalui kefahaman inilah akan dapat mengurangkan salah faham dan prasangka buruk terhadap penganut agama lain.
Masyarakat Islam dapat memahami bentuk dan sifat penganut agama lain. Orang bukan Islam pula dapat memahami gaya hidup dan falsafah kehidupan orang Islam. Hubungan yang komunikatif juga akan membolehkan orang bukan Islam memahami Islam lebih baik serta memulihkan imej Islam yang sering dilabelkan negatif.
Perbuatan negatif bukan hak eksklusif sesuatu masyarakat atau umat Islam sahaja. Perilaku negatif merupakan perbuatan yang melampaui sempadan dan pegangan agama dan ia berlaku di mana-mana, oleh sesiapa saja yang tidak mengikuti garis panduan kehidupan beragama.
MOHD SHAUKI ABDUL MAJID
Recent Comments