SinoPharm adalah vaksin yang dikeluarkan oleh China National Pharmaceutical Group Corporation (CNPGC) yang berpengkalan di Wuhan, wilayah pertama dikesan COVID-19. CanSino Biologic merupakan syarikat dari China ketiga yang berjaya membangunkan vaksin COVID-19, CanSino.

Rusia membangunkan vaksin yang dikenali Sputnik V manakala Amerika Syarikat mempunyai dua jenama iaitu Moderna dan Johnson and Johnson selain hasil perkongsian dengan BioNTech, Pfizer.  Aztra Zeneca adalah perkongsian antara dua buah syarikat, iaitu British (University Oxford) dan Sweden. Vaksin COV-Iran dijangka dapat digunakan menjelang suku ketiga tahun ini dan kini sedang berada di peringkat ketiga ujian klinikal. Ertinya, dengan kemunculan pelbagai jenama vaksin tidak lagi menjadi masalah kepada sebahagian negara, terutama negara-negara yang berhadapan karenah birokrasi EU walaupun dinafikan oleh dutanya.

Pada masa sekarang terdapat persaingan perdagangan vaksin yang besar antara blok barat dengan China. Indonesia menjadikan vaksin SinoVac dan SinoPharm menjadi pilihan utama, juga oleh beberapa negara lain, antaranya Turki, Brazil, Chile, United Arab Emirate, Bahrain, Singapura dan Malaysia. Sebahagian negara mempelbagaikan jenis vaksin misalnya Malaysia dan Singapura, telah membeli Pfizer BioNTech, Astra Zeneca, SinoVac dan SinoPharm.

Bagi golongan yang berusia (warga emas) dan mereka yang berisiko, diberikan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada peringkat awal, dan kini, ia mula turut diberikan vaksin AstraZeneca yang pernah dilaporkan ada potensi boleh menyebabkan darah beku. Bagaimanapun kesan itu adalah tersangat minimum sebagaimana dilaporkan dalam jurnal perubatan yang berwibawa. Akibat pemberian berbeza, timbul pula dakwaan bahawa berlaku diskriminasi antara Islam dan bukan Islam, yang kemudiannya dakwaan itu dibuka kertas siasatan oleh PDRM. Bagaimanapun, seorang lelaki India yang membuat dakwaan tidak benar tersebut dikatakan berada di Jerman sejak tahun 2017 dan PDRM sedang berusaha menyiasatnya secara terperinci.

Sebaik sahaja Donald Trump mengambil alih pentadbiran Amerika Syarikat 20 Januari 2017, dasar luar Washington mengalami perubahan besar, di mana tumpuan lebih besar  dilakukan di Timur Tengah berbanding rantau Asia Pasifik. Sebaik sahaja menduduki Rumah Putih, Trump membatalkan Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) dan ini memudahkan China melaksanakan BRI secara agresif.

Begitu juga dengan sikap Trump telah menyebabkan China semakin berani memasuki perairan Laut China Selatan dan  sanggup menghidupkan kembali tuntutan ke atas pulau-pulau yang berada di dalam perairan tersebut  sebagai sebahagian wilayahnya dengan menggunakan Garis Putus Sembilan. Sebenarnya sebelum dikenal sebagai Laut China Selatan, ia sudah dikenali sebagai Laut Champa, yang merupakan sebahagian daripada Lautan Pasifik.

Pemcerobohan kapal perang Republik Rakyat China (RRC) di perairan Laut Champa berlaku setiap tahun sejak tahun 2011. Tahun 2013, pencerobohan RRC  meningkat terutama di kawasan Beting Patinggi Ali (BPA), Beting Raja Jarom (BRJ) dan Beting Serupai (James Shoaf) yang berada dalam kawasan EEZ Malaysia.

Antara  2013 sehingga Februari 2014, berlaku pencerobohan melibatkan 16 aset tentera laut People’s Liberation Army Navy (PLAN) dan China Maritime Sirveillance (CMS) sebanyak 7 kali.

Awal bulan ini dilaporkan PLAAF telah menceroboh ruang udara Malaysia dan pada 3 Jun 2021, Wisma Putra menghantar nota bantahan kepada Duta China ke Malaysia, iaitu sebelum Menteri Luar Malaysia dan China bertemu di Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN dan China pada 10 Jun 2021 di Chongqing, China.

Semasa tempoh pentadbiran Donald Trump (2017-2020), China bertindak sebagai ‘pengawal’ Laut China Selatan.  Apabila tiada lagi kelibat tentera Amerika Syarikat.  China semakin berani untuk menyiapkan pengkalan tenteranya di Kepulauan Spartly, yang menjadi rebutan antara Malaysia, Vietnam, Brunei, Taiwan, Filipina dan juga China.

Kedudukan kepulauan Spratly adalah di luar EEZ China  (200 batu nautika). China membuat tuntutan bersandarkan Garis Putus Sembilan (Nine-line Dash- NLD), sehingga membabitkan 80 peratus keluasan Laut China Selatan yang kaya  minyak dan gas asli. Selain itu, China turut membuat tuntutan ke atas Pulau Natuna (Indonesia) dan Kepualaun Riau.

China mendakwa NLD muncul lebih awal daripada United Nation Convention of the Law of the Sea (UNCLOS) 1982, iaitu pada tahun 1947, selepas Perang Dunia II.  Asalnya ialah sebelas garis putus-putus. Dua garis putus-putus itu kemudiannya dihapuskan pada tahun 1950-an apabila China membatalkan tuntutan ke atas Teluk Tonkin,  sebagai isyarat menyokong rakan-rakan (Vietnam Utara, Cambodia dan Laos) yang dikuasai oleh komunis. (https://www.wartaekonomi.co.id/read265313/apa-itu-nine-dash-line-atau-9-garis-putus-putus-yang-china-klaim-di-laut-natuna).

Walaupun asas tuntutan tersebut tidak diiktiraf oleh PBB, China yang digelar ‘penjajahan haram’ tidak mempedulikannya. China mula membina pengkalan maritim dan lapangan terbang di Kepulauan Spratly tahun 2014. Tahun 2018, China mengeluarkan foto mengenai pengkalan tentera yang sedang dibangunkan itu dan 2020 mula mengintai peluang untuk menjajah Beting Patinggi Ali (selama hampir dua bulan), yang didakwanya sebagai titik akhir NLD yang berada dalam EEZ Malaysia .

Dalam pencerobohan terbaharu, 16 buah pesawat Tentera Udara RRC (PLAAF) telah menghampiri ruang udara maritim Malaysia, dan pesawat Hawk 208 TUDM berjaya melakukan pintasan  amaran.  PLAAF menggunakan pesawat dari jenis Ilyushin II-76 dan Xian Y-20, pesawat pengangkut.

Pesawat Hawk 208 adalah pesawat tempur dan ketika membuat pintasan amaran, mood tempur telah dimatikan. Ini dapat mengelakkan insiden yang lebih teruk, termasuk kematian di mana tidak diketahui apakah pesawat pengangkut itu digunakan untuk mengangkut orang atau minyak ke Kepulauan Spartly.  Tindakan TUDM itu dilihat selari dengan undang-undang antarabangsa, International Civil Aviation Organization (ICAO).

Bagaimanapun China memberikan respon bahawa itu adalah rutin latihan biasa PLAAF dan bukan pencerobohan. China tidak mengiktiraf EEZ dan mendakwa Beting Patinggi Ali adalah titik terakhir wilayah yang menjadi miliknya. Tektik yang digunakan oleh China itu dikenali sebagai Grey Zone Tactics, Tektik Zon Kabur, di mana ruang udara dan  zon maritim yang dimiliki oleh Malaysia sebagai Zon Kabur.

Setelah terkesan sedikit sebanyak dengan ‘debt-trap diplomacy’ yang diberikan oleh Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB), China dijangka akan menggunakan penawaran vaksin SinoVac dan SinoPharm sebagai satu lagi strategi untuk meningkatkan penguasaannya di beberapa buah negara,

Agresifnya China dapat dikesan daripada BRI, kemudian debt-trap diplomacy dan kini menjangkau kepada “charm offensive strategi” melalui penjualan dan pemberian vaksin, yang asasnya dapat dikesan dimulakan oleh pengganti Mao Tze Tung dengan dasar pintu terbuka.

China semakin agresif selepas berakhirnya Perang Dingin, iaitu runtuhnya Tembok Berlin pada 9 November 1989. Ketika itu, Amerika Syarikat sudah mula merasakan kemenangan besar demokrasi dan kapitalis liberal, yang kemudiannya digelar oleh Francis Fukuyama sebagai Penamat Sejarah (End of History). Secara tidak langsung, ketakutan masyarakat dunia terhadap komunisme dan sejarah keras komunisme semakin memudar.

China memulakan dasar liberal ke atas ekonomi pada tahun 1978, iaitu dua tahun selepas kematian Mao Tze Tung (9 September 1976) oleh Deng Xiaopeng.  Ia kemudiannya diteruskan Zhu Rongji (1997-2004),  Wen Jiabao (2004-2013) dan Li Keqiang (sejak 2013). Li Keqiang dijangka akan memerintah China sehingga tahun 2023. Adunan falsafah komunisme dan kapitalisme itu telah menyebabkan China muncul sebagai kekuatan ekonomi dunia kedua terbesar sejak berjaya mengatasi Jepun dan Kesatuan Eropah sedekad lalu.

Amerika Syarikat bimbang dengan pertumbuhan ekonomi domestik, dan kedudukan perdagangan serta agresifnya China membuat pelaburan dan membeli pelbagai platform perniagaan (automobil, industri hiburan, perkhidmatan pengangkutan dan sebagainya) di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat. Begitu dnegan kebanjiran ekspatriat dan dagang China memasuki Amerika Syarikat, termasuk menguasai beberapa firma teknologi di Lembah Silikon, California. California merupakan negara terkaya dan termaju di Amerika Syarikat dalam teknologi baharu.

Dalam tempoh kurang dua puluh tahun lagi China dijangka dapat memintas kedudukan ekonomi Amerika Syarikat.  Sebab itu Donald Trump melihat China sebagai cabaran utama dan perlu dihalang kemaraannya melalui  perang perdagangan. Akibatnya, China melakukan tindakan yang sama. Kini, China berhadapan pula dengan tindakan undang-undang daripada pemilik jenama antarabangsa akibat wujudnya ‘third shift‘ dalam sektor perkilangan untuk mengeluarkan produk tiruan dengan menggunakan formula mengilang produk antarangsa melalui kontrak pengilangan.

China juga tidak bersedia menaikkan nilai mata wang remimbinya bagi membolehkan harga produk dari China meningkat. Bagi China, dengan tidak melakukan hal tersebut dan peraturan gaji minimum kos pengeluarannya akan menjadi sangat rendah. Kesan daripada amalan tersebut, jenama antarabangsa mula mengadakan kontrak pengeluaran dengan pengilang-pengilang di China, yang akhirnya formula itu mendorong pengilang-pengilang mengeluarkan produk berlebihan dan berkongsi dengan pengilang-pengilang lain yang tidak mempunyai obligasi kontrak. Sebab itulah produk tiruan yang dihasilkan hampir menyerupai produk asli, dan China menjualnya dengan harga yang murah. Hal ini dapat dilihat daripada peningkatkan industri telekomunikasi China, yang asalnya mengilang telefon pintar jenama Amerika Syarikat, Apple.

Begitu juga dengan pengeluaran motosikal Jepun berjenama Yamaha di China. Akhirnya, produk dari China menjadi lebih luas pasaran dan bersaing pula daripada kecanggihan teknologi. Firma-firma dari China dikatakan telah berjaya mendapa tbanyak faedah daripada penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan di Amerika Syarikat menerusi mobiliti pakar dan pembabitan rakyatnya di seberang laut. Formula itu kemudiannya diberikan epada irma-firma China untuk dikeluarkan dalam bentuk produk akhir sama ada secara kontrak pengilangan ataupun ‘techno bandit‘ seperti pernah berlaku di Jepun selepas Perang Dunia II.

Tanpa mempedulikan Amerika Syarikat, China memasuki negara-negara yang kurang diberikan perhatian (hubungan tidak mesra dengan Amerika Syarikat atau Barat) dan  berjaya mengubah perspektif pelaburan asing. Di sesetengah negara, China menjadi pelabur asing terbesar. Tidak cukup dengan itu, China bersedia membangunkan infrastruktur mega di beberapa buah negara dan membantu membiayai (memberi hutang) bagi membangunkan projek-projek infrastruktur mega yang dicadangkan.

Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh negara-negara Barat,  China menggunakan syarikat di bawah sayap pelaburan milik kerajaan. Jika syarikat-syarikat Amerika dilihat sebagai ‘economic hit man’, China pula menjadikan ‘debt trap diplomacy’ sebagai kekuatan  ‘mencengkam’ negara-negara yang berhutang setelah tidak mampu membayar balik hutang pelaburan dengan memiliki aset-aset yang dibina itu. Ini dikatakan sudah berlaku di Sri Lanka dan beberapa buah negara Afrika. Bahkan ada negara mengalami keadan yang terbalik, di mana mata wang rasmi negara mereka semakin tidak bernilai berbanding remimbi.

Semasa berlangsungnya sidang G7 (Negara-Negara Maju), China dikritik dan dicabar dengan strategi Build Back Better World  (B3W) Partnership sebagai alternatif BRI (Belt and Road Initiative). Bagaimanapun, China dengan tegasnya memberi respon, kelompok kecil tidak akan dapat memerintah dunia, yang ditujukan kepada G7.

Ini bermakna, dalam tahun-tahun selanjutnya kita akan melihat betapa hebatnya persaingan kuasa antarabangsa, termasuk kelicikan negara-negara kuasa besar (Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah) menterjemahkan dasar mereka, termasuk birokrasi penjualan dan pembekalan vaksin kepada negara-negara bukan sekutunya.

Hal ini tidak dilakukan oleh China. China menawarkan vaksin dengan harga yang lebih murah dan sanggup membekalkan vaksin secara bayaran tertangguh. China dikatakan sangat bersetuju apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyeru negara-negara G7 mengetepikan sementara soal harta intelek mengenai vaksin, demi membantu negara-negara sedang membangun keluar daripada pandemik COVID-19.

Melihat kepada perkembangan dan sikap China itu, dalam communique G7 di akhir perjumpaan tersebut berikrar untuk menderma 1 bilion dos vaksin menjelang 2022, dan berusaha memendekkan masa produksi vaksin dari 300 hari kepada 100 hari.

Apabila G7 menggantungkan sementara persoalan harta intelek, China lebih terkedepan dengan membenarkan negara-negara tertentu mengeluarkan vaksin SinoVac dan SinoPharm di luar China berdasarkan formula yang bakal dikongsikan. Kini, vaksin China telah diterima di 69 buah negara dan akan menampakkan China boleh memenangi perang vaksin kali ini.

Apabila bekas negara berideologi komunis di Eropah, Hungary, Slovakia dan Republik Czech kecewa dengan birokrasi EU, membuatkan keputusan membatalkan tempahan dan memilih vaksin Sputnik V (tahap keberkesannya 92 peratus). sekali lagi menjadikan pengeluar vaksin di EU (Astra Zeneca, Pfizer BioNTench, Moderna dan Johnson & Johnson) berusaha mempercepatkan penambahan bekalan kerana ia bakal menjadikan lebih banyak lagi negara akan beralih arah.

Bila ini berlaku, imej EU dan Amerika Syarikat khususnya G7 akan dilihat tidak bersedia mempercepatkan vaksinisasi, dan cuba berpolitik dengan negara-negara tertentu. Dalam situasi sedemikian, China mengambil peluang dan akan diikuti oleh Rusia, akhirnya, hasrat B3W akan dilihat tidak sehebat BRI.

China semakin berjaya menonjolkan imejnya sebagai sebuah kuasa besar yang cukup pemurah dan berperikemanusiaan, maka tidak hairanlah apabila Duta EU ke Malaysia menafikan karenah birokrasi telah menyebabkan vaksinisasi di Malaysia ‘lambat’ dan bermasalah. EU tidak mahu dipersalahkan dan dilihat menggunakan vaksin sebagai ruang berpolitik.

Bagaimanapun, sudah banyak negara memahami bahawa EU tidak mampu melakukan ‘charm offensive’ seperti China,  dalam usaha membina hubungan antara negara, yang kini semakin menampakkan  strategi ‘diplomasi vaksin’.  Sebelumnya, G7 didakwa tertunduk dengan kesan ‘ping pong diplomacy’ selepas Perang Dunia II. Jadi selepas ini akan muncul semula sekali lagi dunia bipolar, bukan lagi adi kuasa tunggal, iaitu Amerika Syarikat.

Sebelum berakhirnya Perang Dingin, Rusia memainkan peranan bersama Amerika Syarikat membentuk bipolar. Dua kuasa besar ini saling berlawanan, termasuk perlumbaan ke angkasa lepas. Kini, perlumbaan tidak lagi berlaku, sebaliknya, saling berkongsi setesen penyelidikan angkasa lepas.

Apakah menerusi ‘diplomasi vaksin’ ini akan berakhirnya peranan Amerika Syarikat sebagai polis dunia? Ia adalah satu soalan yang cukup besar, dan hanya masa akan menentukan. Joe Biden terpaksa berhadapan dengan situasi ini dengan tindakan yang hati-hati. Jika tidak, beliau akan ditolak oleh pengundi sebagaimana Donald Trump ditolak untuk penggal kedua. Jika boleh mengimbangi kuasa ekonomi China dan mengembalikan peranannya di Laut China Selatan, ia dianggap cukup membanggakan.

Sebab itulah Joe Biden sudah menunjukkan minatnya untuk meneruskan perang perdagangan dengan China dengan menambahkan senarai produk China yang akan dikenakan tariff yang tinggi. Sama ada perang perdagangan menjadi lebih terbuka atau secara rahsia, ia akan dilihat selepas pandemik COVID-19 berakhir atau tidak lagi menjadi ancaman terbesar.

Dalam perang vaksin, Doug Ford, Presiden Wilayah Ontario, daerah  terbesar di Kanada telah pun membuat pengakuan bahawa mereka telah kalah dalam perang vaksin dan varian COVID-19 sejak bulan April lalu. Apakah pengakuan ini akan menzahirkan teori domino kali ini selepas Amerika Syarikat gagal membuktikannya dengan menyertai Perang Vietnam dan seterusnya melancarkan Perang Dingin dengan komunisme.

Dalam perkembangan terbaharu, China dijangka akan menangguhkan bekalan vaksin ke Ukraine selepas pemimpin negara terbabit menjadi negara ke-45 menyatakan sokongan Sidang Majlis Keselamatan PBB mengenai hak asasi etnik Uighur yang dikaitkan dengan kekajaman dan pembersihan etnik.

Ukraine awalnya membeli sejumlah 5 juta dos Sinovac dari China, dan setakat ini masih berbaki 500,000 dos belum dihantar dan menurut satu laporan, China sengaja melewat-lewatkan penghantaran ekoran pendirian Ukraine terhadap etnik Uighur yang dizalimi.

Ekoran kontroversi kenyataan menteri penyelaras COVID-19 berkenaan sikap negara-negara kaya membeli bekalan vaksin berlebihan dan kemudian dikritik oleh Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia, Khairy Jamaludin memberikan jawapan berlaku silap faham yang dilabelkan ‘antara durian dan rambutan’.

Duta EU bercakap mengenai kelulusan dan penghantaran oleh Kesatuan Eropah permohonan Malaysia membeli vaksin yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar vaksin di Eropah bukan menjawab bagaimana EU memberikan kelulusan kepada negara-negara maju membeli vaksin melebihi jumlah penduduk.

Ini bermakna, vaksin menjadi sebahagian ‘senjata politik’ terbaharu oleh negara-negara maju, negara pengeluar untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kepentingan kemanusiaan sejagat menerusi peraturan birokrasi yang dibentuk oleh Kesatuan Eropah dan juga kerajaan China.

Kamarun KH

Translate »