ADA tiga kriteria menjadi titik peralihan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) (diumumkan pada 15 Jun 2021): jangkitan baru harian di bawah 4,000 kes; 10 peratus rakyat Malaysia divaksin; dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital kerajaan berada tidak lagi kritikal (melebihi daripada kapasiti sebenar).
Sekiranya tiga kriteria ini dapat dicapai, maka ‘total lockdown’ akan beralih ke fasa seterusnya, semua sektor (termasuk sosial) dibuka sepenuhnya dalam fasa 4 (November atau Disember 2021). Di mana dasar pemberdayaan awam dalam tempoh krisis dan kaedah pemulihan (rekayasa) pasca COVID-19?
PPN dijolokkan sebagai ‘exit policy’ yang sangat terlewat (dilancarkan setelah ‘kapal hampir karam’) dan di dalamnya tidak mengandungi mekanisme membantu rakyat (ibarat menjual burung sedang terbang), juga sebagai usaha meraih simpati untuk memperpanjangkan hayat politik lantas difahami sebagai ‘jalan ditunjuk keluar’ (meletakkan jawatan atau mempercepatkan PRU ke-15).
Di awal ‘darurat kesihatan’ (dilaksanakan pada 12 Mac 2021 hingga 1 Ogos 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 digazetkan pada 11 Mac 2021 P.U.(A) 110), selama tujuh belas hari tidak berlaku peningkatan jangkitan harian melebihi 4,000 kes dan yang tertinggi ialah pada 24 Februari dengan 3,545 kes.
Bulan Mac, hanya dua kali jangkitan baharu melebihi 2,000 kes, iaitu pada 4 (2,065 kes) dan 5 Mac ( 2,154 kes) manakala terendah ialah pada 29 Mac (941 kes). Ini menampakkan bahawa ada ‘kebenarannya’ tujuan sebenar ‘darurat’ dipohon, iaitu ‘mencari laba di atas kesusahan rakyat’ dan ‘mengelakkan tekanan politik agar segera berundur.
Sebelumnya, PM ke-8 gagal mendapat perkenan Yang di Pertuan Agong (YDPA) untuk diisytiharkan darurat atas sebab yang sama (memutuskan rantaian COVID-19). Permohonan itu dibuat (begegas ke Istana di Kuantan pada 24 Oktober 2020 dan dua hari kemudian (26/10/2020)), selepas bertemu Raja-raja Melayu, YDPA menolak permohonan tersebut selepas ketua pembangkang menghadap YDPA (13 Oktober 2020) untuk menjelaskan sokongan yang sudah diperoleh (hampir dua pertiga:‘saya ada nombor yang cukup’) dan PM ke-8 patut meletakkan jawatan atau berundur (tidak cukup majoriti).
Kegagalan itu bermakna ‘kegagalan moral terbesar’ PM ke-8 yang dipilih berdasarkan ‘kuasa budi bicara’ YDPA akibat kemelut politik selama seminggu selepas Langkah Sheraton (23 Februari 2020) dan peletakan jawatan PM ke-7 dan pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM atau Bersatu).
Bagaimana pun bekas PM ke-7 masih memegang jawatan PM (interim) sehingga penggantinya dapat dilantik, maka ‘melalaklah’ politikus memerihalkan siapakah calon yang layak dan mewakili Pakatan Rakyat yang sudah berada dalam ‘gerabak yang tergelincir’. Juragan-juragan bertempik, berteriak ke hulu dan ke hilir tetapi akhirnya Tan Sri Mahiaddin Mohd Yassin dipilih berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a).
Mahiaddin mendapat sokongan daripada PAS, UMNO, MIC, MCA, GPS dan beberapa wakil rakyat dari Sabah. Dilaporkan sehingga 18 Mei 2020, Mahiaddin mempunyai sokongan 112 wakil rakyat berdasarkan kedudukan ahli-ahli Dewan Rakyat di blok kerajaan semasa Pembukaan Sidang Dewan Rakyat setengah hari (Titah YDPA) tanpa ada perbahasan dan dibuka perbincangan ‘undi percaya’ kepada PM yang dikemukan oleh Dr Mahathir, Tengku Razaleigh dan Shafie Afdal.
Sebelah petangnya, Dr Mahathir mengadakan sidang media akibat tidak puas hati ‘tiada perbahasan’ namun kelibat Anwar Ibrahim tidak kelihatan. Ini menggambarkan Pakatan Harapan sudah tidak ada penyatuan dan solidariti sehinggalah timbul pula cadangan gandingan baharu (dari Dr Mahathir) bahawa Shafie Afdal sebagai calon PM manakala Anwar dan Mukhriz calon Timbalan Perdana Menteri (dua jawatan).
Akhirnya semula ditolak oleh Pakatan Harapan dan hanya menerima Anwar Ibrahim sebagai calon paling layak untuk jawatan tersebut, yang dipersetujui oleh DAP, Amanah dan PKR. Dr Mahathir kemudiannya bersama empat lagi penyokongnya (Mukriz, Amirudin, Mazlee dan Syed Saddiq) secara automatik terlucut pula keahlian Bersatu berdasarkan perlembagaan parti.
Syed Saddiq membuat keputusan menubuhkan sebuah parti baharu (Muda Malaysia) dan Dr Mahathir menubuhkan Pejuang, manakala Mazlee mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat untuk menumpukan kerja-kerja dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskannya. Ia kemudian sedikit kecoh apabila Dr Shaharudin Mohd Salleh (Sri Gading) setelah tidak lagi mematuhi fasal 10.2.2 dan 10.2.3 perlembagaan Bersatu.
Kedua-dua parti baharu tidak mendapat kelulusan Jabatan Perdaftaran Pertubuhan, dan mengenai MUDA Malaysia. Akhirnya penolakan tersebut membuka cabaran di mahkamah. Mahkamah Tinggi mengarahkan Menteri Dalam Negeri (melanggar kewajipan statutory, Seksyen 18 Akta Pertubuhan) membuat keputusan berhubung dengan status pendaftaran Pejuang dalam tempoh 14 hari (25 Jun 2021).
Kemenangan awal ini memberikan sedikit kemenangan moral kepada Pejuang dan sedikit sebanyak menjejaskan imej Menteri Dalam Negeri, yang juga Setiausaha Agung Bersatu yang dikaitkan sebagai perancang utama perubahan pucuk pimpinan di beberapa negeri (Perak, Kedah, Johor dan Sabah) dan ‘membunuh UMNO’. Beliau juga dikatakan ada ‘masalah peribadi’ dengan Anwar Ibrahim dan pernah menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa pentadbiran PM ke-6.
Selepas BN tewas dalam PRU ke-14, Hamzah Zainudin merupakan ‘kumpulan katak’ (tujuh orang: Dr Latiff Ahmad, Mas Ermiyati Samsudin, Shahabudin Yahya, Hamzah Zainudin, Ikhmal Hisham Ahmad, Rosol Wahid dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh) yang melompat ke Bersatu secara berjemaah pada bulan Februari 2019.
Bagaimanapun, Mustapha Mohamed ‘lari’ lebih awal ke Bersatu (26 Oktober 2018) selepas tidak berjawatan menteri dan sikap ini boleh difahami daripada sifatnya yang ‘oportunis dalam diam’ sebagaimana pernah berlaku selepas tewas dalam PRU ke-10 (1999), yang dijolokkan ‘seperti orang gila bila tiada kerja’. Beliau bukanlah seorang ahli politik yang berpotensi untuk naik ke atas, sebaliknya dikenali sebagai ‘politikus-birokrat’. Hanya mampu bersaing setakat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan pernah tewas merebut jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1995.
Sebelum pemilihan UMNO terakhir (2018), Mustapha Mohamed turut dicadangkan bertanding jawatan Presiden UMNO, tetapi hanya membuat keputusan bertanding AMT. Beliau mempunyai ‘hubungan kekeluargaan’ dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin yang juga dianggap sebagai orang yang membawa dan banyak membantunya dalam arena politik.
Kini, beliau seolah-olah tenggelam walaupun dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, tiada arah dan perancangan yang dikeluarkan sejak memegang jawatan itu lebih lima belas lalu. Mungkin kerana beliau turut terkesan dengan ‘emosi terperok’ akibat COVID-19, “tiada ilham” kerana tidak dapat buat tinjauan di luar negara, sebagaimana pernah sibuk semasa menerajui MITI semasa pentadbiran PM ke-6.
Bulan April, selama 14 hari berturut-turut berada di bawah 2,000 kes sehari dan mula meningkat kepada lebih 2,000 kes pada 15 Mac, kekal selama seminggu. Pada 28 Mac, jangkitan baharu memperlihatkan penambahan yang ketara, iaitu mula mencecah lebih 3,000 kes sehari.
Keadaan menjadi lebih menggerunkan bila memasuki bulan Mei, di mana buat pertama kali mencanak: ke lebih 6,000 kes pada 19 Mei (6,075 kes); melintasi 7,000 kes 25 Mei (7289 kes); melepasi 8,000 kes pada 28 Mei; dan keesokannya (29 Mei) sampai ke kemuncaknya 9,020 kes.
Kesannya, pada 1 Jun 2021 ‘total lockdown’ dimulakan. PKP 3.0 menimbulkan pelbagai kontroversi, bila berlakunya dua keputusan berbeza antara ‘tutup pintu depan’ dan ‘buka pintu belakang’. Daripada perspektif (dasar yang tidak seragam) cukup membuktikan bahawa barisan kabinet tidak ada kata sepakar yang jelas, ada pergerakan untuk ‘menikam dari belakang’.
Ia bagaikan suatu pengulangan yang pernah berlaku dalam Pakatan Harapan sehingga terpaksa melucutkan kuasa selepas 22 bulan memerintah. Tanpa ‘darurat kesihatan’ fenomena sedemikian akan menjadi lebih serius kerana masing-masing berusaha untuk mengukuhkan kedudukan politik dan ingin mencari populariti walaupun merosakkan imej Perikatan Nasional.
Secara semulajadinya, Perikatan Nasional adalah gabungan yang sangat rapuh dan boleh tumbang bila-bila masa kerana pembentukannya banyak memberikan faedah kepada kumpulan ‘pelompat’ atau lebih dikenali sebagai ‘katak politik’ dalam Bersatu (PPBM).
Sejak PKP dikuatkuasakan, jangkitan baharu tidak turun dengan banyaknya sebagaimana diharapkan bahkan boleh dianggap gagal kerana dalam dua minggu pertama masih berkisar antara 4,949 kes (14/6) hingga ke angka tertinggi (bulan Jun 2021) 8,209 kes (3 Jun).
Sebahagian besarnya berlegar antara 5,000 ke 6,000 kes sehingga 26 Jun, dua hari sebelum dua minggu kedua ‘total lockdown’ berakhir. Daripada data tersebut membayangkan kemungkinan ‘total lockdown’ akan disambung ke fasa ketiga selepas 28 Jun selama dua minggu lagi.
Jika diambil tarikh pelaksanaan PKP 1.0 yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020, bererti ‘suasana terkurung’ masyarakat Malaysia telah menjangkau ke-467 hari, iaitu PKP 1.0 (18 Mac-31 Ogos 2020), PKPP, PKPB, PKP 2.0 (13.1.2021- 4.3.2021) dan PKP 3.0 (1.6.2021-28.6.2021?).
Ini bermakna sudah lama rakyat Malaysia berada dalam keadaan ‘tertekan’ sehingga menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia hampir 120,000 panggilan memohon bantuan sokongan psikologi sejak PKP dilaksanakan lebih setahun lalu.
Perangkaan ini menjelaskan kumpulan yang sangat tertekan ialah mereka yang kehilangan punca pendapatan akibat penutupan sektor ekonomi, sosial dan pelancongan. Kumpulan yang hilang pendapatan itu tidak mendapat sokongan oleh kerajaan yang memerintah, sebaliknya barisan kabinet lebih menumpukan perhatian terhadap politik untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu yang dikawal oleh ‘kumpulan katak’. Kumpulan ini ‘cukup buas’ dan sanggup melakukan apa sahaja cara untuk menjayakan matlamat melumpuhkan UMNO.
UMNO yang menjadi parti terbesar dari segi jumlah kerusi dalam Perikatan Nasional rasa terpinggir dengan tindakan Bersatu yang sangat mengawal. Walaupun mempunyai jumlah kerusi yang lebih kecil, pembahagian jawatan dalam kabinet menunjukkan sikap tidak ikhlas dan mengecewakan bila mana dalam empat menteri kanan, menteri kanan daripada UMNO paling rendah kedudukannnya dan tidak boleh mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya PM berhalangan.
Lebih mengecewakan ialah dua menteri kanan adalah dalam kalangan Ahli Dewan Negara yang dilantik dan salah seorangnya dibolehkan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri sekiranya Menteri Kanan yang paling kanan (MITI) juga berhalangan. Sesuatu yang cukup ‘janggal’ dalam penentuan kekananan seseorang menteri.
Sepatutnya menteri yang paling kanan adalah mereka yang paling berpengalaman lama dalam kabinet. MITI hanya sekadar berpengalaman kurang dari dua tahun (diumumkan pelantikan pada 18 Mei 2018), dan semakin ‘membuak-buak konflik dengan Anwar’. Azmin tiada ada dalam senarai calon menteri cadangan PKR. Azmin adalah antagonis dalam PKR kerana tidak bersetuju Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan PM daripada Dr Mahathir sebelum PRU ke-15 atau peralihan kuasa sebelum tamat tempoh sepenggal.
Azmin juga ada masalah dengan Rafizi Ramli, orang yang cukup dipercayai oleh Anwar sebagai perancangn strategi. Walau bagaimanapun, PRU ke-14 Rafizi tidak berhasrat bertanding dan memberikan fokus kepada agensi penyelidikan ‘big data’ (marketing research and analytics) yang cukup kuat berperanan sebagai badan propaganda PKR (Invoke Malaysia, ditubuhkan pada tahun 2016).
Ketika itu, Azmin adalah Menteri Besar Selangor yang pernah mengecewakan Anwar apabila pencalonan Wan Azizah tidak mendapat perkenan Sultan Selangor dan mendapat sokongan PAS, selepas Langkah Kajang 2014 manakala Menteri Kanan Pendidikan PRU Ke-14 tewas di Ketereh) hanya sekadar Timbalan Menteri (Hal Ehwal Ekonomi) hampir 20 bulan (17 Julai 2018-24 Februari 2020).
Jika sokongan psikologi dan kaunseling tidak diberikan serta pendekatan tidak berkesan, akan menimbulkan masalah kesihatan mental yang lebih serius terutama sehingga membuat keputusan membunuh diri, peningkatan kadar penceraian dan kecenderungan jenayah ‘terpaksa’ demi untuk meneruskan hidup.
Contoh yang sangat jelas ialah kejadian yang berlaku pada 25 Jun 2021 di sebuah pangsapuri di Jalan Raja Uda, Butterworth. Seorang lelaki (berusia 26 tahun) mati akibat terjun dari tingkat 10 kerana mengalami kemurungan setelah perniagaannya gagal akibat pandemik COVID-19.
Dan, ini bukanlah kes pertama. Sudah beberapa kes yang dikaitkan dengan kegagalan perniagaan dan komitmen kewangan yang tidak dapat dipenuhi akibat pandemic COVID-19, di mana premis perniagaan tidak dibenarkan beroperasi dan mobiliti rakyat disekat.
Berdasarkan kenyataan Polis di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pandemik COVID-19 telah dikenal pasti sebab utama tindakan bunuh diri dan cuba bunuh diri. Rekod PDRM, antara 18 Mac hingga Oktober 2020 terdapat 266 kes bunuh diri berlaku di seluruh negara, dengan purata 1.34 orang setiap hari atau 4 orang setiap tiga hari (226 kes/198 hari =1.3434 kes).
Di Pulau Pinang, menurut Ketua Menteri (Utusan Malaysia, 21 Jun 2021) purata bunuh diri ialah 10 orang sebulan antara Januari hingga Mei tahun ini, kesan yang dapat dikaitkan dengan impak pandemik COVID-19. Dalam tempoh berkenaan, terdapat 19 kes cuba bunuh diri berlaku di Pulau Pinang.
Berdasarkan profil ‘bunuh diri’, lebih 80 peratus adalah kumpulan umur 19-60 tahun. Kohort ini adalah mereka yang dikategorikan sebagai Golongan Pekerja Aktif (syarat minimum pekerja ialah 18 tahun manakala umut 60 tahun adalah umur persaraan). Kumpulan umur ini mempunyai komitmen kewangan yang tinggi: bayaran pinjaman perumahan, bayaran pinjaman pendidikan, bayaran sewa beli kenderaan, tanggungan keluarga dan perbelanjaan utiliti.
Jika berlaku perubahan kendiri, iaitu terpaksa ‘hilang punca pendapatan’ kohort inilah yang paling banyak tertekan, yang kemudiannya berhadapan dengan masalah kemurungan. Kemurungan adalah petunjuk awal kepada bunuh diri dan percubaan bunuh diri.
JBPM pula melaporkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, perilaku cuba bunuh diri telah meningkat lebih besar berbanding sebelum pandemik COVID-19. Kebanyakan perilaku cuba bunuh diri membabitkan terjun dari bangunan tinggi dan kerana itulah JBPM meningkatkan kemahiran menyelamat yang membabitkan bangunan tinggi biarpun ada laporan kejadian yang sama berlaku di atas jambatangan menyeberangi sungai ataupun merentasi Selat Melaka.
Kebiasaannya, menurut JBPM percubaan bunuh diri di kawasan sungai lebih mudah diketahui oleh orang awam kerana ia adalah laluan dan kerap kalinya ada saksi. Saksi boleh ‘menahan’ atau memujuk agar tidak melakukan tindakan yang boleh memberikan kesan buruk kepada ahli keluarga. Percubaan bunuh diri atau bunuh diri terjun daripada bangunan tinggi berbanding terjun ke sungai atau laut, di bangunan tinggi kadangkala tidak dapat dikesan lebih awal, kecualilah pelakunya sangat teragak-agak untuk melakukannya.
Peningkatan kejadian bunuh diri dan cubaan bunuh diri banyak dipengaruhi oleh kelemahan sistem sokongan yang ada, termasuk pelaksanaan pelbagai program pendidikan psikologi yang sepatutnya dimainkan oleh pihak berkuasa, terutama mengenai pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.
Setakat ini, menteri yang bertanggungjawab tidak menyediakan program khusus bagaimana menangani masalah kemurungan akibat pandemik COVID-19. Sebaliknya menteri bertanggungjawab lebih mengutamakan penampilan peribadi dan hanya mengeluarkan cadangan meniru suara Nobita jika berhadapan dengan masalah dalam rumah tangga akibat ‘rasa terperuk’ terlalu lama.
‘Exit policy’ yang dibentangkan oleh PM pada 15 Jun 2021 juga tidak mempunyai aktiviti dalam menangani perubahan psikologi rakyat ketika berhadapan dengan masalah-masalah perubahan diri dan persekitaran akibat pandemik COVID-19. Walaupun ada usaha untuk membantu kumpulan B40, dengan sedikit bantuan kewangan, ia adalah satu langkah yang gagal kerana tidak dapat mengatasi kesukaran hidup dalam tempoh yang panjang.
Bahkan, ada andaian bahawa COVID-19 tidak akan mudah ‘lenyap’ dan penduduk bumi diingatkan agar bersedia untuk hidup bersamanya. Ada juga pandangan, walaupun virus corona boleh dilemahkan menerusi pengambilan vaksin, proses pemulihan ‘sengsara COVID-19’ belum tentu dapat dipulihkan dalam tempoh dua tahun: belum tentu dapat mengembalikan pekerjaan yang pernah hilang, memulihkan kesakitan dan kembali ke kehidupan normal sebelumnya.
Jika runtuhnya World Trade Center pada 11 September 2001 dikatakan titik perubahan hubungan Islam dan Barat, maka COVID-19 akan mengubah perspektif kehidupan individu secara keseluruhannya di samping geopolitik akibat ‘perang vaksin’. Ada pihak yang cuba mengawal (meletakkan syarat dan bersifat birokratik) ke atas penjualan vaksin, ada negara bersedia memberikan vaksin bagi meningkatkan imej politik menerusi ‘charm defensive strategy’.
Mungkin pada masa akan datang akan berlaku kembali konsep dunia bipolar setelah berakhirnya Perang Dingin selepas Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Barat (kapitalis dan demokrasi) dan Jerman Timur (komunisme) berjaya diruntukan pada bulan November 1989.
Kerajaan Perikatan Nasional diterjah dan dikecam kerana enggan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan simpanan mereka bagi mengurangkan ‘tekanan kewangan’ yang akhirnya dilihat ‘boleh mengalihkan sokongan rakyat’ telah melakukan ‘u-turn’. Nampaknya, PN amat terpengaruh dan mengulangi ketidakcekapa kepimpinan dasar PH yang amat dikenali sebagai kerajaan ‘u-turn’ dan dipenuhi dengan ‘menteri pasola’.
Pendirian kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak mengarahkan bank-bank perdagangan memberikan moratorium kali kedua turut memanjangkan senarai kegagalan kerajaan. Ini kerana walaupun PKP 3.0 ada sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, masih ramai yang tidak dapat mencari rezeki terutama peniaga-peniaga kecil pasar malam, pasar minggu dan gerai di pinggir jalan.
Ertinya, dalam tempoh ‘total lockdown’ ada keputusan dua atau tiga darjat berlaku di mana sektor perkilangan diberikan kelonggaran dan kebenaran beroperasi walaupun tidak seratus peratus berkaitan dengan pengeluaran makanan dan ubat-ubatan. Sebab itulah dalam tempoh PKP 3.0 berlaku lonjakan kes jangkitan COVID-19 di mana lebih 60 peratus adalah dari Kluster Tempat Kerja (kilang dan tapak pembinaan).
Hakikat itu menggambarkan satu lagi kegagalan Perikatan Nasional menangani pandemik COVID-19, bila dua pintu berbeza posisi: pintu depan ditutup, pintu belakang terbuka; tiada keselarasan pelaksanaan dasar (arahan).
Dalam tiga kriteria yang ditetapkan bagi membolehkan peralihan fasa ‘exit policy’, bilangan katil yang boleh digunakan di ICU menampakkan petunjuk positif, manakala dua lagi kriteria ia cukup mengecewakan. Kriteria jumlah penduduk yang mendapat suntikan vaksin masih rendah, iaitu belum mencecah 10 peratus dan semakin lambat mencapai sasaran maka semakin panjanglah masa ‘total lockdown’. Kini, disandiwarakan sebagai ‘total- look- daun’ dan juga bakal bertukar kepada ‘slowdown’ kepada ‘selok-down’ atau dalam loghat Pantai Timur ‘selok kera’.
Seumpama diserang ‘kekejangan melampau’ (angin ahmar) yang boleh, pergerakan terhad, degup jantung tidak normal dan akhirnya terpaksa menyerah kepada takdir untuk menentukan sama ada hidup atau mati. Harga barangan meningkat, pendapatan tidak ada, keperluan fisioloji sentiasa ada, maka apakah akan berlaku situasi ‘memecah masuk pasar raya’ sebagaimana pernah berlaku ketika ‘bah termenung’ suatu ketika dalam #kitajagakita untuk #lindungiorangtersayang yang juga kesempitan hidup?
Kemungkinan dan kecenderungan itu tetap ada. Siapakah yang dipersalahkan jika perbuatan itu berlaku selepas tidak ada pilihan lain? Sudah ada istilah ‘menu kayangan’ akibat ‘harga kayangan’ sebab itulah sangat menarik bila tiga orang menteri beraksi makan mi segera (Maggie Mee, makanan kegemaran para pelajar sebab tidak cukup wang poket).
Akibat larangan rentas daerah dan negeri, sektor pelancongan semakin tertekan dan kemungkinan berhadapan dengan penutupan hotel dan sebagainya. Kini, jumlah hotel yang terpaksa ditutup semakin meningkat, dan ini secara jelasnya menyebabkan puluhan ribu pekerjanya hilang punca pendapatan. Ia bukan sahaja melibatkan hotel yang dikendalikan oleh syarikat tempatan bahkan yang dikendalikan oleh kumpulan hotel antarabangsa turut berbuat demikian kerana tidak lagi mampu menanggung kos operasi akibat tiada berpenghuni.
Kesemuanya memberikan gambaran Perikatan Nasional tidak mempunyai satu dasar menggerakkan ekonomi dalam situasi sukar ini dengan jelas dan sebahagian barisan kabinetnya tidak berminat memikirkan tanggungjawabnya, hanya menumpukan usaha bagaimana untuk terus dapat survival (kedudukan politik) dalam suasana politik yang semakin tidak keruan.
Cukup malang rakyat Malaysia mempunyai pemimpin yang hanya tahu bermain politik dan tidak tahu melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka. Dalam sejarah, pemimpin sedemikian sangat cenderung mengundang petaka kepada rakyat dan dalam masa yang sama rakyat berhadapan dengan sengsara, kesempitan hidup dan sangat tertekan.
Pemimpin sedemikian turut dilaknat oleh agama dan dalam Islam, pemimpin yang tidak mempedulikan rakyat dan membiarkan rakyat hidup dalam kesukaran lebih luas pintu neraka terbuka oleh Allah SWT. Mereka yang termasuk dalam kalangan orang-orang yang zalim: tidak membantu rakyat mengatasi kesempitan hidup dan merancang program sokongan moral. Walaupun ada PKP, program sedemikian boleh dilaksanakan secara dalam talian. Bukan program peraduan tik tok ataupun meniru suara Nobita.
Maksud firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.” (QS Ibrahim: 22). Juga: Barangsiapa di antara kamu yang berbuat zalim, niscaya kami rasakan kepadanya azab yang besar.” (QS al-Furqan: 19).
Siapakah orang zalim? (1) Zalim hamba kepada Rabb-nya (Allah SWT) (surah al-Baqarah: 54); (2) Zalim kepada sesama manusia (hadis, riwayat Bukhari); dan (3) Zalim terhadap diri sendiri (surah al-Baqarah: 57). Pemimpin yang zalim ialah pemimpin yang tidak mengambil peduli orang yang dipimpinnya (membantu keluar daripada kesukaran hidup, hipokrasi, dan memberi harapan palsu) dan bila orang dipimpin hidup dalam kesukaran, orang yang memimpin tidak berusaha membantu atau mencari jalan penyelesaian sebaik-baiknya.
Pemimpin itu tidak melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya dan lebih mengutamakan kedudukan peribadi (juga politik). Ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sabdanya:
Barangsiapa yang berbuat zalim kepada saudaranya, baik terhadap kehormatannya maupun sesuatu yang lainnya, maka hendaklah ia meminta kehalalannya darinya hari ini juga sebelum dinar dan dirham tidak lagi ada. Jika ia punya amal salih, maka amalannya itu akan diambil sesuai dengan kadar kezaliman yang dilakukannya. Dan jika ia tidak punya kebaikan, maka keburukan orang yang ia zalimi itu dibebankan kepadanya.” (HR Bukhari)
Mahanor Saleha
Recent Comments