Ketika Tan Sri Sidek Hassan adalah Ketua Setiausaha Negara (KSN), beliau memperkenalkan kaedah pengurusan perkhidmatan penjawat awam (kenaikan pangkat, gaji dan imbuhan) dan dua pendekatan sistem penyampaian yang cukup kontroversi. Dalam pengurusan perkhidmatan penjawat awam, dipekernalkan ‘exit policy’ , kaedah untuk menamatkan perkhidmatan seseorang penjawat awam yang dikatakan kurang berprestasi.
Juga perihal kenaikan pangkat penjawat awam. Akhirnya, ‘exit policy’, yang berkaitan kedudukan penjawat awam peringkat tertinggi digantikan dengan kaedah penyambungan kontrak berdasarkan prestasi. Sebelum dilaksanakan, mereka yang berada di jawatan JUSA perlu membuat pilihan, beralih kepada sambungan perkhidmatan secara kontrak, ertinya jika tidak berprestasi, perkhidmatan mereka boleh ditamatkan. Mereka tidak lagi tertakluk kepada skim sebelumnya, boleh lagi berkhidmat selagi tidak dikenakan tindakan disiplin (dipecat atau dibersarakan) atas kesalahan yang dilakukan atau tidak berprestasi.
Dalam aspek sistem penyampaian, beliau memperkenalkan ‘no color blind’ dan ‘no wrong door policy’ menyebabkan melimpah aktiviti penyumberluaran – outsourcing dalam perkhidmatan awam. Kesannya cukup jelas, bersemaraklah syarikat-syarikat yang dibawa masuk untuk melaksanakan perkhidmatan awam sehingga menimbulkan suasana ‘brain drain’. Di situlah kemudianya timbulnya ‘pembenihan silang – cros fertilisation’, iaitu pekerja swasta yang cemerlang boleh dilantik dalam sektor awam secara kontrak.
Antara bidang yang sangat kontrobersi ialah kedudukan Ketua Komunikasi Korporat (KKK) di hampir semua kementerian, ia dijadikan jawatan terbuka. Mereka yang berpengalaman beberapa tahun (tanpa perlu lulus peperiksaan kerajaan) boleh dilantik sebagai KKK walhal tidak memahami budaya kerja organisasi. Mereka itu mungkin hanya beberapa tahun bekerja sebagai wartawan, hanya berpengalaman menulis berita tetapi tidak berpengalaman dalam bidang pengurusan.
Penjawat awam dikatakan telah gagal ‘mempromosi imej’ kementerian atau agensi kerajaan kerana pelbagai sebab, maka diperlukan profesional untuk menguruskannya. Ideanya nampak baik dan menarik, tetapi akhirnya KKK tidak juga mampu menguruskan persepsi sehingga BN tersungkur pada tahun 2018, yakni sepuluh tahun ‘delivery system’ yang dikatakan gagal’ itu diperbaiki. Itu berlaku selepas PRU ke-12, di mana kedudukan BN adalah 140 kerusi dari 222 kerusi yang dipertandingkan. BN masih berkuasa, tetapi tidak cukup dua pertiga dan hilang kuasa di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan tergugat di WP Kuala Lumpur serta gagal ‘merampas Kelantan’.
Sebagai seorang yang ada sedikit pengalaman memahami gerak-geri politik, saya pernah dimarahi oleh salah seorang KSU kerana bercakap apa yang saya fikir dan pengalaman mencerap di lapangan. Ungkapan saya ialah ‘apa peranan penjawat awam? Adakah untuk mempertahankan ahli politik agar sentiasa menang? Sedangkan ahli politik sendiri tidak bersedia untuk menang?”
“Ah mengarut! Mana ada ahli politik tidak mahu menang?“Sergah KSU berkenaan, sudah berada di tahap JUSA A tetapi masih bersikap seperti kerani sekolah.
“Ya! Saya ada bukti. Kalau mahu menang, calon perlu bekerja lebih keras untuk menang, bukan mengharapkan bantuan penjawat awam untuk berkempen. Penjawat awam dilarang berpolitik. Ahli politik pula marahkan penjawat awam bila kehadiran mereka tidak disukai oleh pengundi, maka penjawat awamlah yang kena buat aktiviti untuk menghadirkan calon tersebut dan beri peluang bercakap? “, terang saya, “Saya umpamakan seperti seorang boxer, penjawat awam adalah spectator. Kalau boxer kalah, apakah spectator dipersalahkan. Sepatutnya, untuk menang, boxer kena kerja lebih keras dan bijak bertindak. Spectator hanya membantu memberitahu kelemahan boxer yang menjadi lawan'”.
Akhirnya, saya ‘dikolamkan’. Tidak mengapa, atas nama kebenaran saya tidak membantah kerana saya sedar, semasa berada di tahap ‘mentimun’ macam mana pun akan terluka bila berhadapan dengan ‘durian’. Tidak lama melekat ‘dikolam’ akhirnya saya ditukarkan ke sebuah jabatan kerajaan, maka saya mengambil inisiatif sendiri untuk seboleh-bolehnya tidak lagi bercakap mengenai politik.
Saya mengambil keputusan menjauhkan diri daripada orang politik kecuali berkaitan dengan kerja-kerja yang bersangkutan dengan menjawab aduan dan memantau isu-isu dalam media sosial yang cukup negatif dan meluas rasa tidak puas hati, mempersoalkan orientasi dan keputusan kerajaan. Saya bertindak sebagai ‘pengumpul’ dan seterusnya ‘membuat sedikit analisis’ yang membabitkan perkara yang bersifat ‘operational‘ atau ‘day to day‘, yakni bukan bersifat dasar.
Keputusan untuk ‘nak buat apa’ dan ‘bagaimana’ saya serahkan kepada KKK yang ‘cukup berpengalaman’ dan ‘profesional’ hasil pengalaman di organisasi swasta. Akhirnya, saya lihat dan merenung, konsep penyumber-luaran –outsourcing, semakin berkembang, termasuklah aktiviti-aktiviti mengumpul ‘data mentah’ pemantauan media, penjawat awam semakin hilang ‘kepakaran asas’ berdasarkan bidangnya sendiri.
Ia kemudian berkembang kepada banyak perkara, bahkan untuk membuat cadangan penyusunan semula perjawatan juga memerlukan ‘pakar perunding luar’, dan keadaan semakin berkembang dalam pembangunan pelbagai aplikasi dalam talian, sehingga penjawat awam hanya berperanan sebagai penyeleras, pencetus idea dan pengawal sahaja (itu pun terhad daripada perspektif isi kandungan), tidak lagi berpeluang terbabit dalam pengalaman sebenar mencipta atau menterjemahkan ‘innovasi’.
Ia menjadi lebih parah apabila sistem manual beralih kepada automasi pejabat. Kecekapan pengurusan secara automasi, gagal melahirkan kepakaran dalaman, tetapi berjaya melahirkan kumpulan yang sudah tidak lagi kreatif dan innovatif, hanya sekadar pencetus idea dan mencari peluang-peluang daripada kelemahan itu untuk diberikan kepada pihak swasta. Semuanya jadi sedikit tergendala bila kontrak perkhidmatan syarikat (YTL Communication) tidak disambung atau dipertimbangkan untuk fasa seterusnya. Itulah yang berlaku sekarang, bila TV Pendidikan dihentikan penyiaran secara terestrial dan juga satelit digantikan dengan teknologi internet.
Bila kontrak BestariNet tidak disambung, maka tidak ada lagi kedengaran VFrog (sebahagian daripada persekitaran pembelajaran maya – VLE) dan sebagainya. Kini, ada keperluan semula untuk menyiarkan TV Pendidikan, setelah PdPR berjalan tidak mulus oleh beberapa kekangan, termasuk ketiadaan gajet dan juga kelajuan internet yang sangat bermasalah. Beberapa hari lalu bekas menteri pendidikan menulis cukup menarik perihal TV Pendidikan yang sudah berusia 49 tahun, gelombang penyiaran yang berubah-ubah dan akhirnya kepakaran dalam teknologi penyiaran dan pembentukan modul secara bergandingan -visual dan audio- tidak lagi menjadi keutamaan, ia semacam pola perucapan yang sudah cukup setakat lima minit, ala TedTalk.
TedTalk hanya sesuai untuk mereka yang sudah ada pengetahuan, bukan untuk para pelajar sekolah yang hanya baharu nak belajar dan mengenal konsep-konsep dalam ilmu pengetahuan. Mereka memerlukan perhatian, sentuhan guru dan persekitaran yang kondusif. Ada banyak masalah psiko-sosial dalam PdPR terutama dalam persekitaran keluarga ramai dan ruang rumah yang sempit. Sangat terganggu, kalau di sekolah guru sangat tertekan bila bilangan pelajar melebihi norma. Sukar untuk dikawal dan tumpukan perhatian semasa PnP (Pengajaran dan Pembelajaran — dalam kelas).
Itulah juga kelemahan teknikal dalam aplikasi MySejahtera yang dibangunkan dengan belanja RM 70 juta. Ia kelembapan dan juga kelambatan dalam menetapkan tarikh pemberian vaksin walaupun dah brdaftar sejak tiga bulan lalu.
Begitu juga dengan Exit Policy yang sangat disukai oleh Dr Mahathir pada suatu ketika. Dr Mahathir yang sangat terpengaruh dengan idea pengecilan penjawat awam turut membentuk mekanisme ke arah itu, maka kita pun faham apa itu redeployment, mansuhkan agensi dan kakitangan diserapkan ke agensi lain, dan sebagainya. Bila Dr Mahathir dilantik sebagai PM ke-7, dimansuhkan beberapa agensi kerajaan dan penjawat awam yang dilantik secara kontrak, perkhidmatannya tidak disambung. Khabarnya, satu sistem baharu akan diperkenalkan denga permulaan gaji yang lebih baik, tetapi diikat dengan kontrak. Tiada ada skim pencen untuk lantikan baharu, akhirnya Dr Mahathir sendiri telah melenyapkan euforia penjawat awam dan orang ramai. DAP cukup suka, sebabnya lebih 80 peratus penjawat awam adalah orang Melayu.
Masa Dr Mahathir memegang jawatan PM ke-4, Sidek Hassa belum memegang jawatan KSN. Kalau tidak, beliau akan dianggap cukup setia dan sangat suka dengan idea itu kerana beliau tidak pernah ada pengalaman dalam perancangan pengurusan sumber manusia. Beliau banyak terbabit dalam pengurusan ekonomi, termasuk perdagangan. Itu kecekapan dia, tetapi, ukuran ekonomi bukanlah penentu kemakmuran negara. Maka, ‘exit policy‘ yang sudah dilaksanakan lebih awal daripada tarikh sebenar terpaksa ditangguhkan. Sidek Hassan kemudiannya ‘kesipuan’ kerana ‘dipaksa membunuh janin sendiri‘.
Nasib baik Najib dapat membaca ‘kemarahan’ dan akhirnya Sidek Hassan tidak disambung kontraknya dan diberikan jawatan baharu sebagai Pengurusi Petronas selama tiga tahun (2012-2015). Kini, Sidek Hassan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EIAC) sehingga Jun 2023 (untuk temph tiga tahun).
Dalam perkhidmatan ada exit policy, dalam politk belum ada ‘exit policy‘ yang tegas dan komprehensif. Tidak lagi kedengaran ahli politik akan dinilai berdasarkan ‘kad prestasi’, juga sebagai menteri ada modul ‘KPI -Key Perfomance Index’ diterapkan secara berterusan dalam kabinet PH dan PN. Mungkin kerana amalan itu dimulakan zaman PM ke-6, maka ia tidak boleh dipraktikkan sebabnya ada matlamat politik yang berbeza dan misi yang bercapah. Sebab Najib adalah tegar dengan UMNO, maka ia tidak sesuai sebabnya UMNO sedang dusaha untuk dibunuh. Itulah tragedi politik Malaysia.
Itulah sifat politik Malaysia yang sangat lazim. Sesuatu dasar yang baik akan berubah kerana kehendak mereka yang berkuas juga berubah. Setiap orang berusaha membina legasinya dengan caranya sendiri walaupun terpaksa mengorbankan dasar dan orientasi yang cukup baik dan komprehensif. Begitulah juga usaha sedang dibuat untuk menggagalkan perspektif pendidikan yang sudah dilakarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang hanya tinggal tiga tahun lagi untuk meletakkan kedudukan pendidikan Malaysia dalam kelompok sepertiga di atas negara-negara yang cukup berkualiti sistem pendidikannya.
Miahiaddin mungkin sedikit kecewa kerana zaman beliaulah PPPM dirangka dengan pelibatan awam, konsultan, perbincangan pakar (dalam dan luar negara), penelitian pelbagai kertas kajian dan prosesnya cukup panjang (dari perbincangan makmal di Akademi MAS di Kelana Jaya, forum, persidangan, penulisan, dialog pendidikan dan sebagainya dari tahun 2010 sehingga selesai draf pada tahun 2012 sebelum dikeluarkan naskhah lengkap pada bulan September 2013). Mungkin ‘kecewa’ dengan Mazlee (semasa PH) dan sekarang (semasa PN) kerana PPPM tidak lagi dijadikan ‘kerangka penterjemahan dasar pendidikan’ dan orientasi pelaksanaan bagi meningkatkan lima Aspirasi Sistem Pendidikan (akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan).
Sudah begitu banyak wang dibelanjakan, mengubah perspektif dan pendekatan dalam konteks ‘kemenjadian murid’, aspirasi sistem, tahap profesionalisme guru dan infrastrukur sokongan. Tiada lagi kedengaran kumpulan SISC+ -Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan juga SIP+ – Rakan Peningkatan Sekolah), literasi dan numerasi (LINUS), penutur jati, ujian guru bahasa Inggeris (CPT – Cambridge Placement Test dan CPD –Continious Professional Development), Blended Learning, Program Transformasi Daerah, Pendidikan Abad ke-21 dan banyak lagi.
Yang muncul masa PH ialah kurikulum renang, sarapan percuma (ubahsuai dari Rancangan Makanan Tambahan dan Program Susu ke Sekolah), isu mata pelajaran sejarah (nak masukkan 1MDB), bantuan kepada sekolah-sekolah persendirian vernakular, pengiktirafan UEC (Unified Education Certificate), gembar-gembur pemulihan sekolah daif dan yang sangat terkenal ialah ‘kasut dan stoking hitam’. Semasa PN belum ada perubahan dasar yang besar kerana sesi persekolahan cukup terbantut, cuma bertukar kepada kaedah online, offline dan off-site.
dalam politik belum ada dasar yang sama walaupun wakil rakyat, menteri, timbalan menteri tidak berprestasi. Kalau dalam sektor awam, setiap penjawat awam diberikan penilaian oleh ketua unit atau setiausaha bahagian. Pegawai yang mempunyai prestasi rendah tiga tahun berturut-turut (40 peratus ke bawah) akan diberikan peringatan dan seterusnya boleh ditamatkan perkhidmatannya. Hal ini tidak berlaku dalam sektor politik, ia hanya akan ditentukan oleh parti pada musim pilihan raya seterusnya.
Belum ada ‘exit policy‘ walaupun ada tekanan daripada masyarakat untuk memecat menteri, timbalan menteri dan juga perdana menteri sendiri. Akhir tahun 2019, Mahathir juga gagal mendapat prestasi melebihi ‘cut of points’ 50 peratus. Dalam laporan itu, nampaknya barisan kabinet dari DAP dan PKR dikira berprestasi lebih baik daripada menteri-menteri daripada Bersatu sehingga ada yang mendapat skor kurang 20 peratus. Mungkin itu juga menjadikan Dr Mahathir tertekan dan secara tidak langsungnya meningkatkan ‘rasa rendah diri’ yang memaksa meletakkan jawatan (?).
Terdapat undang-undang yang boleh menyebabkan seseorang politikus hilang kelayakan sekiranya disabitkan dengan kesalahan jenayah yang membawa denda lebih RM 2,000 ke atas dan penjara walaupun sehari. Sayangnya, dalam penentuan hukuman, kadangkala ada pertimbangan yang menyebabkan seseorang wakil rakyat dikenakan denda kurang daripada RM 2,000 bagi mengelakkan PRK dilaksanakan.
Dalam kes-kes lain, wakil rakyat tidak hilang kelayakan termasuk pelanggaran SOP, yang kemudiannya mencetuskan fenomena ‘antara dua darjat’.
Selepas lebih empat bulan ‘darurat’ diisytiharkan dan sehari sebelum keputusan YDPA dan Raja-Raja Melayu mengeluarkan kenyataan agar Sidang Dewan Rakyat dibuka ‘secepat mungkin’, Mahiaddin mengumumpkan “exit policy” terhadap COVID-19.
Pengumuman ‘pelan keluar’ tersebut sangat membuktikan bahawa Mahiaddin tidak cekap dalam tindakannya sebagai pemimpin, ia mungkin dapat dikaitkan dengan kekeliruan penggunaan namanya yang sebenar. Selama ini, yakni sejak beliau menyertai politik dan menduduki pelbagai jawatan dalam kabinet, orang ramai mengenalinya sebagai Muhyiddin Yassin.
Beliau tidak pernah memperbetulkan sebutan nama yang salah itu, sehinggalah pada 3 Jun 2021, Jabatan Peguam Negara meminta agar semua dokumen rasmi hendaklah menggunakan nama Mahiaddin Yassin atau Tan Sri Mahiaddin Yassin, bukan dengan nama popularnya , Muhyiddin. Kenapa hal itu tidak dibuatkan pembetulan oleh Muhyiddin atau pegawai-pegawainya? Sekurang-kurang persoalan ini turut menyentuh persoalan integriti.
‘Exit Policy’ terbaharu, iaitu strategi untuk keluar daripada pandemik COVID-19 dikritik kerana diumumkan amat lewat selepas lebih setahun mengambil alih jawatan dan sehari sebelum Istana Negara mengeluarkan kenyataan Sidang Dewan Rakyat hendaklah dilaksanakan ‘secepat mungkin’. Apakah Mahiaddin sengaja untuk ‘memintas’ kenyataan yang bakal dikeluarkan oleh Istana Negara, setelah mendapat ilham daripada menghadap YDPA sehari sebelumnya. Persoalan ini cukup menyebabkan Mahiaddin dilihat sengaja mencari masalah dan melanggar perspektif moral dengan pihak Istana.
Mahiaddin turut dikritik kerana amalan PKP ‘sangat berubah-ubah”. Biarpun sudah dijawab semasa ‘siaran langsung tertunda’ , pindaan terhadap SOP dibuat berdasarkan keperluan semasa. Tetapi, rakyat mula menyelar Mahiaddin dengan peraturan darurat yang sudah dilaksanakan yang kemudian menambahkan pemberatnya dengan PKP 3.0 yang cukup menampakkan ‘total lockdown yang bocor’. Kenapa berlaku seorang menteri “tutup pintu depan’ dan seorang lagi ‘menteri buka pintu belakang’. Apa pun kerana ‘buka pintu belakang’ semakin jelas sektor perkilangan menyumbangkan banyak kes jangkitan baharu, sehingga melangkaui 60 peratus.
Pentadbiran Mahiaddin juga dikritik tentang amalan ‘dua darjat’ ke atas mereka yang melanggar SOP, sebelum dan semasa darurat. Dari kisah seorang wanita didenda lebih tinggi daripada seorang menteri yang melanggar kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara, hinggalah kepada tawaran kompaun sebanyak RM 50,000 kepada sepasang suami isteri penjual burger, dan seorang penjual ‘colek’ . Begitu juga dengan denda yang dikenakan ke atas pengurus kilang pembuat sarung tangan di Selangor, Top Gloves yang membentuk Kluster Top Cloves yang tersendiri dan menyumbang kepada peningkatan kes baharu untuk beberapa hari.
Atas keputusan ‘buka pintu belakang’, Azmin didesak meletakkan jawatan atau dipecat. Itulah sebabnya kluster tempat kerja sangat banyak disumbangkan daripada pembukaan kilang, termasuk kilang-kilang yang tiada kaitan pengeluaran makanan dan perubatan. Bahkan, ada laporan kilang membuat arang pun boleh beroperasi. Mendebarkan lagi ialah ada perompak menggunakan surat kebenaran daripada MITI.
Peningkatan kes baharu, pertambahan kluster tempat kerja tidak membantut Azmin ‘buka pintu belakang’, hasillah satu pungutan suara secara online menuntut beliau dipecat. Sasaran pertama sebanyak 200,000 sokongan dipenuhi dalam tempoh kurang tiga hari, dan kini sedang menuju ke sasaran kedua, 300,000 tanda tangan walaupun semakin perlahan. Contohnya, pada 22 Jun 2021 (jam 8,30 pagi) terdapat 241, 046, iaitu meningkat lebih 41,000 dalam mana 17 hari. Ini bermakna, rakyat semakin faham bahawa petisyen itu tidak membawa kepada pemecatan, dan pengalaman sedemikian sudah pun berlaku ke atas Waytaya Moorthy ketika dikaitkan denga i-Cerd, Mazlee Malik dan juga M Kulasegaran.
Mazlee meletakkan jawatan setelah dipanggil dan diberi nasihat oleh Dr Mahathir sebagai hadiah sambutan tahun baharu 2020, tahun yang turut mencatatkan secara rasminya Wawasan gagal. Dalam penjelasan peletakan jawatan, Mazlee menyebut dirinya mengambil semangat Hang Tuah menyerahkan balik kepada ‘paduka’ Mahathir dan mencebik rasa dengan cerita kegagalan projek besar – masalah internet di sekolah, kroni-kroni yang melobi tender membekalan sarapan pagi dan pengekalan tulisan Jawi dalam kurikulum Bahasa Melayu Tahun 4 di SJK (Cina dan Tamil). Bagaimanapun, Dr Mahathir hanya mengulas: Saya tidak mengatakan bahawa semua yang dilakukannya adalah salah. Ada juga perkara baik yang dilakukannya. Tetapi disebabkan oleh alasan lain itu, saya merasakan beliau perlu meletakkan jawatan dan beliau setuju. Jadi beliau meletakkan jawatan.” (Berita Harian, 6 Januari 2020).
Ramai juga yang berspekulasi sebab utama Mazlee dinasihatkan meletak jawatan ialah membabitkan BestariNet. Sementara menunggu keputusan tender penyambungan fasa kedua BestariNet, Mazlee telah mengagih-agihkan pembekalan internet ke sekolah kepada empat pemain utama telekomunikasi, dan tidak termasuk YTL Communication. Kalau itulah kemungkinan sebabnya, bererti Mahathir masih tidak terkeluar daripada Mahathirisme yang menjadi tunjang pentadbirannya selama 22 tahun (1981-2003).
Mujurlah dalam kes penjualan PLUS, Khazanah Holding membuat keputusan ‘tidak jadi’ maka kroni-kroninya sudah mula kembali sebagai ‘kura-kura’. Tidak kedengaran lagi di mana ‘kura-kura’ itu berada dan apa yang akan mereka ‘grab’ selanjutnya. Mungkinkah kumpulan-kumpulan seumpama itulah yang cuba memberikan semangat kepada Mahathir untuk kembali ke posisi Perdana Menteri untuk kali ketiga? Rakyat sudah bosan, meluat dan rasa nak termuntah apabila dicadangkan oleh Dr Mahathir Pelan Pemulihan Negara, dan cadangan itu dilicat sebagai percubaan untuk ‘berkuasa semula’ sama secara langsung atau tidak langsung.
Setakat ini belum ada menteri dalam kabinet Mahiaddin meletakkan jawatan atau diberikan nasihat melepaskan jawatan walaupun sudah memperlihatkan beberapa ‘flip-flop’ termasuk perihal mentafsirkan peraturan-peraturan dalam SOP. Begitu dengan menteri-menteri yang membawa ‘bendera Bersatu’ yang menunjukkan prestasi yang buruk dan tidak memikirkan kaedah untuk menjadikan kementerian yang dipegang itu mempunyai dasar yang cukup kuat dalam membantu mencergaskan ekonomi, mengurangkan masalah kesulitan hidup dan stigma cemas (COVID-19).
Menteri yang bertanggungjawab dalam bidang pembangunan keluarga dan masyarakat gagal mengurangkan stigma benci, terutama bekas pesakit. Ada aduan dan kecaman terhadap satu keluarga di Hulu Terengganu sehingga untuk mendapatkan barangan di kedai dalam komuniti diawasi dan dihalang. Tidak tahu apa bentuk dan program Rina Harun untuk membendung stigma benci itu. Sedangkan kita tahu, tidak ada siapa ingin sakit dan dijangkiti oleh apa pun penyakit.
KPM dikatakan cuba beralih dari isu PdPR yang bermasalah kepada pengambilan guru secara ‘one-off’ seramai 187,000 mulai Julai ini. Ia meresahkan graduan pendidikan kerana mereka sudah lama menganggur, dan kali ini mungkin gagal lagi kerana ‘mistmatching opsyen’. Tapi, mungkin ada sedikir harapan bila diumumkan akan dibentuk sistem di luar opsyen, boleh mengajar mata pelajaran lain selain pengkhususan.
Sayangnya, tidak ramai yang mempunyai opsyen sejarah, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang dilihat kritikal. Ini mungkin ruang yang lebih besar kepada graduan di luar pengajian pendidikan, misalnya komunikasi untuk mengajar bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau sejarah. Sayangnya, KPM mengakui berlaku kekurangan dalam opsyen bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan juga Sejarah. Alahai, ia sesuatu yang sangat tidak patut berlaku. ((BERSAMBUNG)
MONOSIN SOBRI
Recent Comments