Perbalahan akidah

Sesungguhnya perbalahan akidah dan hukum-hakam tidak harus dibawa,  merugikan umat, sama ada menyekat pembangunan dan kemajuan, mahupun membawa kepada kelemahan pemerintahan di negara mereka.

Tiada guna perbalahan yang berterusan sekiranya membawa kepada kelemahan dan yang lebih parah, kehilangan kuasa dan tanah air umat Islam yang sah. Jika jurutera dan arkitek berbalah, mungkin bangunan yang dibina akan runtuh, tetapi perbalahan akidah dan hukum- hakam membawa implikasi perpaduan ummah, kerana kesatuan turut diumpamakan bina-binaan juga (bunyanun marsus).

Kehilangan tanah air akibat perpecahan lebih parah dan besar dosanya dari keruntuhan satu bangunan.  Firman Allah SWT: “Dan Janganlah anda berbalah, maka anda pasti gagal dan pasti hilang kekuatan”.

Firman Allah SWT lagi: “maka jika anda  bertelingkah pada apa perkara sekalipun, maka kembaliah kepada Allah dan Rasul”. Inilah solusi Islam yang wajib dipatuhi dan menjadi pilihan wajib setiap pemimpin Islam dalam semua peringkat.

Malanglah kepada umat ini, jika ada pemimpin mereka yang bekerja keras dan kononnya berjuang, tetapi nampaknya untuk kepentingan duniawi semata-mata.

Pemikiran masyarakat harus dipimpin dengan prinsip dan kaedah yang jitu dan jelas,  berdasarkan ilmu dan penyelidikan yang dilakukan supaya kekuatan Islam yang berdiri di atas perpaduan umatnya terus kukuh dan tidak lemah.

Pasukan pendokong perpecahan  (attafaruuq) adalah sedang berada di tebing neraka yang menolak satu nikmat yang menyatupadukan hati-hati mereka sehingga menjadi sahabat, selepas mereka bermusuh-musuhan.

Allah SWT sifatkan mereka diselamatkan Allah dari pinggir neraka,  yang para pendokong perpecahan sedang berkumpul-kumpul di situ untuk melihat longgokan habuan keduniaan masing-masing.  ولا تفرقوا واعتصموا بحبل الله جميعا

Negara-negara Islam ini turut memenuhi aspirasi masyarakat antarabangsa, justeru bersama mendokong demokrasi dan memberi kebebasan  kepada semua rakyat,  untuk bergerak dan mengamalkan agama masing-masing, selaras dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan negara-negara Islam ini.

BACA JUGA: MELESTARIKAN ISLAM DI ALAM MELAYU KONTEMPORARI,   https://omiw.com.my/Web/2021/06/17/melestarikan-islam-di-alam-melayu-kontemporari/

BACA JUGA: MELASTARIKAN ISLAM DI ALAM MELAYU KONTEMPORARI (II), https://omiw.com.my/Web/2021/06/18/melestarikan-islam-di-alam-melayu-kontemporari-ii/

BACA JUGA; MELASTARIKAN ISLAM DI ALAM MELAYU KONTEMPORARI (III), https://omiw.com.my/Web/2021/06/19/melestarikan-islam-di-alam-melayu-kontemporari-iii/

Tiada sedikit pun wujud diskriminasi atas sebab-sebab agama dan bangsa. Semua rakyat adalah sama di bawah undang-undang yang termaktub dan dilaksanakan di ketiga-tiga negara Islam ini. Islam agama rahmat untuk semua. Lakum dinukum wa liya din.

Islam sebagaimana kata-kata khalifah Umar RA “Tiada Islam kecuali dengan pemerintahan dan tiada pemerintahan kecuali dengan jamaah dan tiada jamaah kecuali dengan ketaatan”.

Rasulullah SAW juga memberi amaran, sesiapa yang keluar dari jemaah mengundang dirinya ke dalam neraka. Jemaah adalah satu dan tentulah jemaah yang dimaksudkan ialah rakyat jelata dalam sesebuah negara Islam yang berketuakan seorang amir atau pemerintah yang dikenali sebagai ulul amri.

Tuntutan Islam ini telah berlaku di tiga negara Islam di Alam Melayu dan wajib disyukuri dan dipertahankan jika dibandingkan dengan kaum minoriti Islam yang tidak menikmati kelebihan ini.

Umat Islam yang mempunyai kuasa pemerintahan lebih baik dari mereka yang berada dalam sesebuah negara bukan Islam, di mana mereka adalah kaum minoriti Islam. Justeru pemerintahan harus diteguhkan dengan sokongan demi kemaslahatan umat Islam dan kepentingan agama, yang lebih terpelihara dari dibuai oleh hawa nafsu pihak tertentu yang mementingkan cita-cita keduniaan semata-mata.

Maqasid Syariah

Islam jenuh dengan teori-teori politik yang harus dimuktamadkan demi kestabilan negara dan demi nama baik Islam dan maruah ummah. Wasatiyyah bersama maqasid syariah dan konsep akhaffu dhararain serta fiqh keutamaan dan al-maslahah al-ulya lil ummah harus mendahului perjuangan umat Islam.  Alam Melayu boleh berada kukuh atas landasan ini demi kebahagiaan dan kemakmuran serantau.

Firman Allah SWT dalam surah Taha: “Al-Quran bukanlah diturunkan untuk membawa penderitaan bahkan membawa kesembuhan dan rahmat.

“Allah yang menjadikan anda di permukaan bumi ini dan anda menjadi ejen pembangunan di atas persadanya”.

Dan seterusnya: “Kamu adalah sebaik umat yang dilahirkan kepada sekalian manusia” dan juga “Kami menjadikan kamu satu umat yang bersifat wasata sebagai saksi-saksi kepada manusia seluruhnya dan Rasul sebagai saksi kepada kamu sekalian”.

Ayat-ayat al-Qur’an yang disebut itu memerlukan ruang bumi untuk dimajukan dan direalisasikan. Satu tanggungjawab yang besar ke atas umat Islam seluruhnya, justeru ianya merupakan kewajipan terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT jua: “Bagi Allah keagungan dan bagi RasulNya serta para mukminin seluruhnya” (al-munafiqun).

Ulama pernah disoal: Adakah umat Islam kini berdosa justeru dilanda kelemahan dan ketinggalan atau kemunduran? Suatu gejala yang ternyata bercanggah dengan maksud keagungan yang disebut di dalam ayat di atas. Umat hilang kekuatan kerana perbalahan dan perpecahan.

Kelemahan terbesar umat Islam ialah perpecahan sesama sendiri yang sukar disatukan. Perpecahan ini membawa kepada kemunduran dan kehilangan kekuatan terutamanya dalam ekonomi, politik dan sosial.

Justeru untuk maksud tersebut, kesatuan dalam akidah dan mazhab yang sama harus dilaburkan dengan sepenuhnya untuk membina perpaduan ummah yang lebih besar bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa di rantau ini khasnya.

Cabaran-cabaran yang dihadapi umat Islam di rantau Melayu mutakhir ini ialah idea-idea yang mendakwa salafi yang yang menolak bidaah hasanah dan apa sahaja amalan yang kononnya tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan Baginda SAW.

Akibat kegersangan hikmah dan kecangkatan ilmu serta ketertutupan minda, maka ianya membawa kepada fitnah perpecahan dan kebencian sesama sendiri. Ramai tokoh-tokoh ulama besar Islam yang dikenali umum turut digerhanakan oleh kumpulan ini merangkumi Al-Asy’ari dan rangkaian ulama’nya yang terdiri dari penyokong tasawuf dan falsafah semua sekali.

Kaedah Ilmiah

Hakikat Islam seluruhnya adalah mengikut kefahaman mereka dan ulama’ mereka dari dahulu sehingga sekarang. Tiada ada kaedah ilmiah yang jelas menjadi pegangan mereka. Justeru pernah misalnya demokrasi dikafirkan oleh kumpulan ini tetapi kini menjadi medan disertai bersama untuk merebut kuasa dalam dunia demokrasi yang bebas ini.

Juga ditambah dengan fahaman-fahaman liberal, plularisme dan sekularisme yang dimport dari luar yang turut mengganggu perjalanan akidah yang diimani oleh umat Islam di rantau ini. Mungkin pendekatan dialog dan diskusi lebih bermanfaat untuk membenteras fahaman-fahaman dari luar itu dari penyalahan dan penghukuman semata-mata. 

Sejarah menyaksikan banyak polemik pemikiran dihadapi dalam masyarakat Islam namun ianya dapat digerhanakan dengan hujjah-hujjah ilmiah sementara assawadul a’zam umat atau majoriti umat Islam terselamat dari fahaman-fahaman asing itu.

Mungkin liberal hari ini tidak dapat lari dari liberalisme yang diperjuangkan oleh golongan Muktazilah yang turut dihukum sesat dan menyeleweng. Manhaj kritikan oleh Imam al-Ghazali masih relevan untuk diteliti bagi menghadapi aliran-aliran pemikiran manusia. Ianya harus difahami dengan sedalam-dalamnya terlebih dahulu sebelum disanggah dan ditentang.

Mungkin dalam kontek ini idea-idea salafi yang lebih sukar diselesaikan, kerana ianya isu-isu dalaman ummah yang berkaitan dengan perkara-perkara keagamaan semata-mata.

Fahaman yang menolak pegangan mazhab dan lain-lain amalan umat Islam yang diwarisi dianggap sebagai bidaah dan sesat telah membawa kepada ketidakmesraan hubungan dan perpecahan yang sangat dilarang oleh Allah SWT:  “Janganlah anda menjadi mereka yang berpecahbelah dan berkhilaf-khilaf selepas didatangi keterangan-keterangan dan bagi mereka azab yang besar”. Apakah perbalahan ini terkecuali dari maksud ayat-ayat suci al-Qur’an ini?

Islam dan keilmuannya

Kumpulan ini menolak ilmu-ilmu tasawuf, falsafah dan mantiq sedang ilmu-ilmu inilah yang meneguh dan mempertahankan akidah ASWJ oleh Abu al-Hassan al-Asy’ari dan ulama’-ulama’ ASWJ abad berabad. Ilmu-ilmu inilah yang mengangkat Islam dan keilmuannya di Dunia Barat bersama-sama nama-nama tokoh Islam yang terkenal.

Mungkin 80% umat islam global mendokong mazhab ASWJ adalah hasil kelojikan akidah ini dalam menangani semua polemik pemikiran yang tercetus sepanjang zaman. Kita sentiasa berada dalam zaman polemik pemikiran bahkan tertubuhnya ASWJ pun hasil dari kemenangan satu polemik akidah dengan golongan Muktazilah yang dominan dalam perkembangan pemikiran Islam pada kurun ketiga Hijrah dahulu.

Satu warisan pegangan yang dipertahankan abad demi abad merentasi global dengan hujah ilmiah bersalutkan mantiq dan daya keintelektualan yang ampuh.

Dalam melestarikan Islam di Alam Melayu asas akidah harus diperkasakan. Pendekatan UNISSA menjadikan akidah ASWJ sebagai subjek teras kepada semua pelajar di Universiti ini adalah sesuatu yang harus menjadi ikutan kepada institusi pengajian tinggi Islam di negara Islam khasnya di ASEAN.

Platform pendidikan

Ini bagi memahamkan jenerasi akan datang kepentingan akidah dalam sesebuah negara dan kesahihan akidah Islam yang kita dokongi. Ianya juga menjadi sumber perpaduan rakyat dan mereka bolehlah menumpukan tenaga dalam membangunkan negara dengan keilmuan dan kepakaran masing-masing.

Al-Azhar as-Syarif harus terus menjadi platform pendidikan ummah global, yang terus menerus mempertahankan akidah ASWJ dengan mempunyai kemampuan, kepakaran para ulama’nya dalam mendidik anak-anak Islam dari seluruh dunia. Ianya adalah dianggap kubu dan gerbang ASWJ selama ini bertaraf global, yang mungkin kemampuannya sukar ditandingi oleh institusi Islam yang lain.

AlAzhar boleh menjadi rujukan kepada umat Islam sepanjang masa justeru memiliki pakar-pakar agama dalam pelbagai bidang yang terasuh dan terdidik dalam tradisi ilmu Islam yang dapat dipertahankan.

Wasatiyyah adalah pendekatan yang akan mengiringi perkembangan Islam seterusnya,  dan tanpa wasatiyyah lompang-lompang kekerasan, kejumudan, kemunduran dan pelampauan akan terbina di hadapan laluan-laluan menegakkan Islam.

Kini WOAG bersedia bersama mewakili al-Azhar selaku institusi terbesar pendidikan Islam (yang kini berusia 1082 tahun) bersama memperkasakan wasatiyyah demi kelestarian Islam selaku agama pembawa rahmat dan kesejahteraan kepada manusia seluruhnya.

Mengupas idea baharu

Justeru sesuai dengan ICON IMAD ke X ini, para penyelidik di Alam Melayu harus bangun mengupas idea-idea baru dan memperkasakan tradisi pemikiran Islam yang telah berkembang dalam masyarakat sebagai asas-asas kepada gagasan-gagasan baru yang lebih realistik dan praktikal.

Polemik-polemik pemikiran yang berlalu dalam sejarah dan di rantau lain yang mempunyai latar belakang yang tersendiri harus dimuktamadkan dengan satu saringan ilmiah yang cemerlang. Supaya tenaga-tenaga yang ada dapat dicurahkan untuk pembinaan kekuatan ummah melalui perpaduan yang kental, pendidikan dan penyebaran pemikiran yang benar.

Prof Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

 

Translate »