Ulama’ Melayu
Ulama’ Melayu telah meletakkan asas-asas yang kukuh justeru disokong oleh pemerintah setempat khasnya Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua-ketua agama dan payong perpaduan rakyat jelata.
Benarlah kata-kata hadis Rasulullah SAW ada dua kumpulan berkembar: Ulama’ dan Umara’, apabila rosak ulama’ rosaklah umara’. Satu gabungan hormat menghormati yang menjurus kepada kerjasama yang erat dalam meninggikan syiar Islam dan mempertahankan kesuciannya.
Gabungan yang dipertahankan dengan tujahan nas-nas al-Qur’an dan hadis, serta ijtihad dan rasional justeru memenuhi tuntutan terbesar Islam dalam kewajipan memelihara keamanan dan keselamatan dalam masyarakat dan negara.
Pemerintah yang adil
Pendekatan ulama’ yang mendokong pemeliharaan al-kulliyat al-khams: agama, jiwa, maruah, keturunan dan harta benda dihayati sepenuhnya dan ini sebenarnya yang membawa secara praktikal kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan dalam masyarakat.
Ulama’ sangat menghormati raja-raja selaku bayang-bayang Allah di muka bumi, jika mereka adil dan para pemerintah yang dikenali sebagai ulul-amri berdasarkan firman Allah SWT: واولي الأمر منكم”“اطيعوا الله واطيعوا الرسول .
Kaedah mereka jelas, bahawa mereka adalah adil dan jika tidak adil, maka mereka adalah zalim. Tentunya tiada kezaliman dilakukan terhadap rakyat jelata maka mereka semestinya bersifat adil. Tidak boleh berlaku adil dan tidak adil secara serentak seperti yang didokong oleh Muktazilah kononnya bainal wujud wal adam.
Justeru, keadilan yang merupakan salah satu sifat Allah SWT ini bila menghiasi pemerintah, maka pasti ianya akan membawa berkat kepada rakyat dan negara. Al-Imam al-‘Adil miliki banyak kelebihan dan wajib dipatuhi dan disayangi.
Pendekatan Islam di Alam Melayu selama ini berjaya membantu melandaikan lengkok Islamofobia dan ketakutan kepada Islam, seperti yang diwar-warkan di negara Barat. Mungkin arus perdana Islam di rantau Melayu yang bersih dari sebarang unsur extremism dan terrorisme, boleh tampil mempertahankan Islam secara lebih praktikal. Ianya justeru tidak diserabuti oleh adu-dumba musuh-musuh dan dendam kesumat, yang berlanjutan hasil dari kejahatan dan kezaliman yang dilakukan masa lalu.
Lihatlah beberapa insiden berlaku di Timur Tengah, pembunuhan pemimpin negara dan tokoh politik dan agama, hasil dari salah faham tentang jihad. Islam juga menjadi perjuangan umat Islam di rantau ini, tetapi tidak sedikit pun terpalit dengan isu keganasan.
Gara-gara kefahaman takfir al-hukkam dapat dibendung secara tuntas hasil dari usaha para ulama’ terdahulu yang majoritinya kelulusan Universiti al-Azhar, bahkan ulama’ pondok sekalipun telah melalui pengajian bersumberkan kitab-kitab tulisan ulama Al-Azhar jua khasnya, dalam tiga bidang tersebut.
Kitab-kitab mereka telah tercetak dan disebarkan untuk menjadi teks-teks pengajian agama dalam kalangan masyarakat. Alam Melayu tidak terkecuali menerima hasil-hasil karangan tersebut,
Agenda pembangunan
Sesungguhnya kita harus meneliti sebab-sebab di sebalik kekuatan yang ada dalam menampilkan Islam di Alam Melayu kontemporari ini di samping memastikan ianya dapat diteruskan dengan agenda pembangunan berasaskan Islam agama dan tamadun.
Suasana yang aman dan stabil sahaja memungkinkan pembangunan bermakna, negara dan ummah dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lancar. Pertelingkahan pemikiran yang berlaku banyak membawa musibah kepada ummah dan tidak menguntungkan sesiapa pun.
Pernah diungkapkan, jika Sayyidina Ali (KW) dan Muawiyah tidak berkhilaf , pasti Islam rancak berkembang ke persada dunia meskipun ulama’ ASWJ melihat isu pertelingkahan ini adalah ijtihad masing-masing.
Kejatuhan Andalusia selepas 8 kurun dalam gengaman tangan umat Islam serta kejatuhan Uthmaniyyah dan kehilangan Palestin, serta ketidakkestabilan beberapa rantau Islam harus menjadi pengajaran untuk dikaji dan diselidik dengan ilmiah dan keinsafan di hati nurani, bukan dibelenggu taksub melulu dan ingin mencari kesalahan semata-mata.
Allah SWT mensunnahkan akan sesuatu yang berlaku itu ada sebab musababnya dan satu ibrah berharga untuk diambil pengajaran. Kepentingan agama, ummah dan negara harus diutamakan, demi masa depan yang cemerlang.
BACA JUGA: MELASTARIKAN ISLAM DI ALAM MELAYU KONTEMPORARI (II), https://omiw.com.my/Web/2021/06/18/melestarikan-islam-di-alam-melayu-kontemporari-ii/
BACA JUGA: MELESTARIKAN ISLAM DI ALAM MELAYU KONTEMPORARI, https://omiw.com.my/Web/2021/06/17/melestarikan-islam-di-alam-melayu-kontemporari/
Rekod kebaikan
Biarlah rekod kebaikan kita menjadi ingatan dan tatapan generasi demi generasi, dari dikenali sebagai pencetus perpecahan dan fitnah agama dan bangsa.
Rasulullah SAW bersabda “Dan sesiapa yang melancarkan satu Sunnah yang baik baginya pahala dan pahala mereka yang melakukannya dan sebaliknya sesiapa yang mencernakan Sunnah yang buruk maka dia perolehi dosa dan dosa-dosa pelakunya”. “Dan berbuat baiklah anda sebagaimana Allah berbuat baik terhadap anda”,
Sistem pemerintahan Melayu Islam Beraja yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam adalah satu gagasan yang cukup indah, yang mengangkat keindahan Islam di mata dunia. Rakyat lebih terpimpin dan beradab mulia dalam membina negara dan peradaban ummah.
Ianya selamat dari percakaran dan khilaf, yang mengkucar-kacirkan ummah, yang tidak kurang juga dibaluti oleh sebab-sebab peribadi, kepentingan diri dan kumpulan. Bukan oleh prinsip perjuangan suci demi bangsa agama dan negara.
Akhirnya rakyat dan negara menanggung kerugian dan pembaziran. Islam terconteng, justeru gagal menjadi sumber kekuatan dan perpaduan bangsa Melayu. Firman Allah “Dan janganlah anda menjadi mereka yang berpecahbelah dan bercanggah-canggah selepas didatangi keterangan-keterangan. Dan bagi mereka azab yang besar”.
Justeru, kita sangatlah menghargai pendekatan Negara Brunei Darussalam di bawah pemerintahan Ke Bawah DYMM Paduka Seri Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin wad-Daulah Sultan dan yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang meletakkan akidah ASWJ tercatit kemas dalam Perlembagaan Negara, bahkan turut mencatatkan dalam Perisytiharan Kemerdekaan Negara bahawa Negara Brunei Darussalam mendokong Demokrasi Bersendikan Islam Menurut ASWJ.
Pegangan mazhabiyyah
Sesungguhnya pendekatan ini memberi suatu kekuatan kepada aqidah ASWJ dan fiqh mazhab Syafie. Dan, ini sepastinya menjadikan Negara Brunei yang kita cintai ini sebagai peneraju akidah ASWJ dan pegangan mazhabiyyah yang mendokong kelestarian wasatiyyah sepenuhnya.
Ianya turut memberi satu inspirasi kepada umat Islam global apabila dua gagasan ini didokong oleh sebuah negara Islam yang dihormati.
Pegangan ini mempunyai cakupannya yang membawa kepada penyemarakan shalawat dan alunan zikir dalam penghayatan syiar Islam, dalam kalangan rakyat jelata dan orang ramai. Pelaksanaan syiar Islam dan sunnah mamduhah ini di Negara Brunei selaku Negara Zikir dengan dokongan kerajaan, telah mengangkat pendekatan ASWJ ini demi mendapatkan keberkatan Ilahi yang berpanjangan.
Berdoa, Berzikir dan Bershalawat merupakan ciri-ciri utama pembawaan ulama’ ASWJ yang diyakini akan membawa limpahan keberkatan kepada negara dan rakyatnya. Baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur.
Firman Allah “Dan sekiranya ahli-ahli kampong (warganegara) beriman dan bertaqwa nescaya kami akan limpahkan keberkatan dari langit”.
Jelas di Alam Melayu ini Islam dibawa bersama dengan akidah, syariat dan akhlak secara serentak. Ini satu kombinasi yang kuat dan kukuh, yang tradisinya berjalan merentasi segenap lapisan masyarakat di rantau ini.
Tiga kombinasi yang menatangi Islam yang disebarkan kepada masyarakat membawa bersama risalah pendidikan dan dakwah. Ini bertetapan dengan tuntutan, Islam, iman dan iIhsan, di mana Islam merupakan agama yang cukup praktikal dan sentiasa menyeru kepada kebaikan dan kebahagian manusia seluruhnya, melalui kehidupan yang sejahtera dan aman damai.
Komitmen umat Islam
Umat Islam di Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand serta rantau Asia Tenggara seperti di Kemboja dan Vietnam mempunyai komitmen Islam yang tersendiri , yang ajaran-ajarannya telah dibawa oleh para ulama’ terdahulu, yang sebahagian besar dari lepasan institusi Islam tersohor di Timur Tengah, terutamanya al-Azhar yang mendukung wasatiyyah, mazhabiyyah dan akidah al-Asyariyyah al-Maturidiyyah.
Ianya secocok dengan komitmen umat Islam di rantau ini, yang sangat cintakan keamanan dan perdamaian, melalui toleransi dalam nature kemajmukan mereka. Justeru, aliran pemikiran lain yang bercangah dengan trend ini, sukar menembusi kubu umat Islam yang dibina dengan kemas oleh kalangan ulama’ yang mendokong fahaman wasatiyyah tersebut. Susuk keharmonian kaum dan agama terserlah dalam kehidupan umat Islam di pelbagai lokasi Alam Melayu.
Kekhilafan pemikiran akidah dan politik harus dimuktamadkan, setelah umat Islam melepasi 10 kurun perbalahan yang belum kunjung padam. Perbalahan yang mengundang perpecahan yang dimurkai Allah SWT dan sekaligus menyebabkan umat Islam berselerak menjadi lemah.
(Bersambung)
Prof. Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti
Recent Comments