Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali atau lebih terkenal dengan nama Imam al-Ghazali (1058-1111) telah meninggalkan pengaruh pemikiran yang besar terhadap Islam dalam pelbagai bidang, termasuk teori kenegaraan dan falsafah. Asas tertubuhnya sesebuah negara kerana wujudnya manusia yang ramai dan saling memerlukan bagi melangsungkan kehidupan bermasyarakat.

Sesebuah negara akan menjadi kuat dan makmur apabila pemimpin berganding bahu dengan para ulama, dan kededuanya saling berinteraksi bagi membangun kemaslahatan ummah. Sebab itulah Al-Ghazali memerihalkan dengan jelas mengenai peranan ulama sebagai penasihat.

Tujuan manusia bernegara tidaklah kerana keperluan kebendaan semata-mata kerana Islam meletakkan prinsip bahawa kehidupan adalah sementara, kehidupan yang kekal ialah di akhirat. Kehidupan di dunia adalah “jambatan” untuk ke akhirat. Tujuan sebenar hidup manusia ialah meraih keredhaan Allah SWT, dan hubungan sesama manusia menjadi teras yang wajib dilakukan dalam kerangka etika bermasyarakat atau bernegara.

Seseorang pemimpin diberikan tanggungjawab yang lebih berat, dan kepimpinan bukanlah merupakan suatu keistimewaan, ia adalah tanggungjawab untuk membangunkan citra manusia secara saksama (bukan kebersamaan), adil dan tidak melanggar perintah Allah SWT.

Islam meletakkan ilmu berada di peringkat teratas, dan sebab itulah mereka yang berilmu dipanggil ulama. Ulama bertanggungjawab menasihati pemimpin dan tidak menjarakkan dirinya daripada masyarakat. Ulama tidak terperngaruh dengan kemewahan dunia. Jika ulama terperangkap dengan perangkap kebendaan dan kemewahan dunia, maka negara akan rosak walaupun pemimpin sedaya upaya mengarahkan pelbagai keupayaan membangunkan ummah.

Ulama yang mementingkan kemewahan (kebendaan) dan memburu kuasa seringkali menutupi langkah pencerahan bagi menegakkan agama. Perangkap kebendaan telah menyebabkan prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan dan tanggungjawab awam dilanggar, akhirnya orang awam mula leka dan asas kenegaraan semakin hancur.

Kehancuran sesebuah peradaban mempunyai kaitan kuat dengan persoalan moral atau etika di semua peringkat. Ulama yang mementingkan kemewahan fizikal dan pangkat, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang korup, kerana ulama juga ikut terbabit dengan rasuah.

Akhir-akhir ini, Malaysia berhadapan dengan situasi politik yang kurang memberansangkan di samping kejatuhan nilai mata wang dalam sistem ekonomi yang saling bergantung, ada ulama meletakkan dirinya ke kancah pemalsuan ilmu. Ulama sanggup menggunakan kepintaran hujahnya untuk mempengaruhi orang awam hanya semata-mata mencari populariti, yang kalau diterjemahkan ialah berusaha memasukkan dirinya dalam bingkai politik dan kuasa.

Ada segelintir ulama sanggup mengetepikan prinsip politik bermaruah apabila dalam keadaan negara sedikit bermasalah untuk menjalin hubungan dengan dunia luar atas pelbagai alasan, termasuk menjalin hubungan dan membangunkan jaringan dengan ulama-ulama di luar negara. Ertinya, ulama atau pemimpin berkenaan lebih mengutamakan pencapaian diri dan pembinaan imej luaran, sedangkan rakyat sangat mengharapkan kesepaduan pemimpin dan ulama memperbetulkan keadaan atau membaiki kerosakan.

Lebih malang lagi apabila pemimpin yang merasakan dirinya sebaris dengan ulama, mempunyai pengetahuan agama yang lebih baik, ada sedikit kuasa yang diterima atas makna amanah dan tanggungjawab. Dalam keadaan tersebutlah al-Ghazali merasakan diperlukan suatu kekuatan, kesungguhan dan iltizam para ulama untuk kembali meletakkan negara dalam landasan yang betul dan sejahtera.

Dalam keadaan nilai ringgit yang rendah, pendapat umum yang berbelah bahagi disebabkan pengaruh persepsi, ulama perlu berganding bahu memikirkan jalan penyelesaian bagi mengelakkan imej buruk terhadap negara, iaitu berusaha mempromosikan kekentalan semangat dan moral yang tinggi dalam kalangan rakyat. Ulama tidak wajar menambahkan lagi kesan beralun  (ripple effects) sehingga berpotensi menjadi ombak kemarahan rakyat (waves of rage effects).

Rakyat mula mempersoalkan kredibiliti pemimpin, semasa berkuasa dan mempunyai kuasa sanggup “mengkhinati amanah rakyat”, akhirnya rakyat berhadapan dengan kesempitan hidup dan kesukaran ekonomi. Situasi sedemikian membawa kepada kerapuhan nurani dan penggelonsoran (defisit) keyakinan.

Seorang sarjana Islam terkemuka, Abu Hasan Ali an-Nadwi menganjurkan kemantapan tindakan para ulama bagi menghapuskan kemunduran umat Islam. Punca kemunduran umat Islam mempunyai hubungan kaitan rapat dengan sikap ulama yang tidak mempunyai keberanian untuk mengajak kepada kebaikan, melakukan perubahan dan berusaha membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan.

Ulama yang berjiwa kerdil sentiasa berusaha mencari kesalahan pemimpin, kadangkala kesalahan hanya kecil tetapi diperbesar-besarkan dengan memasukkan sedikit nilai sejarah. Dalam masa yang sama, ulama berkenaan kadangkala muncul sebagai oportunis, mencari ruang untuk menjatuhkan pemimpin dengan melabelkan pemimpin dalam kategori zalim dan sombong.

Sikap ulama sedemikian dipanggil ulama su atau jahat oleh al-Ghazali. Ulama tersebut berusaha membangunkan citra diri seolah-olah dirinya sahaja yang betul, benar dan mampu menyelamatkan keadaan. Dari segi praktiknya, ulama itu sebenarnya tidak mahir dalam aspek pengurusan negara dan sukar menerima kritik. Bahkan untuk memperkirakan neraca ekonomi negara pun tidak difahaminya.

Ulama seperti itu boleh dikategorikan sebagai orang yang pandai tetapi dari segi siasahnya masih belum cukup cerdik. Dengan istilah lain, ulama itu hanya melihat dirinya sebagai intelektual walhal dalam perkara muamalah, masih tidak cukup ilmu, pengalaman dan kemahiran. Mengurus negara bukan semudah mengurus jemaah uzlah ataupun kelas bimbingan fardhu ‘ain.

Secara teorinya mereka memahami dengan baik, secara alaminya kaedah dan sahsiahnya masih belum teruji, hanya berlagak alim, merendah diri dan mudah didekati. Inilah ironinya ulama yang mengharapkan kelebihan kebendaan. Setiap percakapannya seperti “kelingking berkait”, apa yang diperkatakan terselubung pelbagai agenda halus.

Bagi membangunkan kesejahteraan ummah dalam konteks negara maslahah, al-Ghazali menganjurkan pendekatan pendidikan. Pendidikan berkesan boleh menyemai asas etika dan falsafah yang betul, akhirnya akan menghasilkan pemimpin berwibawa dan bertanggungjawab. Sebelum melakukan sesuatu tindakan atau keputusan, dibuat pertimbangan sedalam-dalamnya. Tidak bercakap semberono, kerana memikirkan kesan terhadap masyarakat.

Al-Ghazali yang hidup dan membina sudut pandangan bersandarkan pengamatan sejarah mahukan pendidikan menjadi asas pembentukan barisan pemimpin yang par excellence , bukannya pemimpin dan ulama yang takbur, sombong dan leka. Pemimpin seperti itu membahayakan masyarakat dan negara, walaupun ada ketikanya petah bercakap kerana ingin dilihat autentik. Mereka menggunakan pentas mempertahankan idealisma dan tindak tanduknya sendiri. Sebab itulah tidak berani menegur, takutkan kedudukan terancam dan kehilangan kemewahan kebendaan.

Lebih seronok ‘menyusun tuala wanita’ dan turun ke bawah membahagi-bahagikan ‘bungkusan makanan’, yang tidak sepatutnya dia lakukan. Cukup sekadar mengarahkan sekumpulan kakitangan di bawahnya. Sepatutnya ia mencetuskan pemikiran yang boleh membuka minda rakyat bagaiman berpartisipasi secara tuntas untuk keluar daripada sesuatu kemelut yang sedang dihadapi secara cepat, mudah dan berkesan. Perlu menyusun mekanisme bertindak, membantu dan sokongan berterusan, bukan bersifat ‘touch n go’.

Al-Ghazali pernah bertegas,  menolak penghormatan yang diterimanya kerana takut terbelenggu oleh kemewahan. Atas kesedaran itulah al-Ghazali melaksanakan “pengembaraan diri” dan membangunkan semula kerangka pemikiran dengan mengamati secara serius permasalahan ummah. Beliau mengemukakan landasan politik dan bernegara, yang kemudiannya dikembangkan oleh sarjana Islam selepas pemikir barat berjaya “mencuri”nya.

Melantik golongan “bermuka-muka” atau oportunis tidak wajar diberikan peluang. Mereka merupakan golongan yang boleh merosakkan keyakinan orang lain terhadap Islam. Walaupun mempunyai latar belakang pendidikan agama, mereka merupakan parasit yang beransur-ansur meruntuhkan etika politik dan bermasyarakat.

Mereka memang “haiwan” yang tidak pernah puas dan bersyukur, tamak dan suka mengkhianati prinsip agama. Mereka terus menjadi “beban berat” dalam masyarakat, berlagak seperti “jurubicara” tidak rasmi, sedangkan secara praktisnya menjadi punca atau katalis timbulnya konflik.

Rentetan daripada itu, mereka cuba sedaya upaya mempromosikan cara pandang ini dengan beragam cara. Sesetengahnya dengan menguasai jabatan agama dan institusi ‘think thank’ yang diasaskan oleh kerajaan. Sesetengahnya pula cuba menguasai tapak intelektual di universiti dan wacana umum (public discourse) melalui forum-forum ilmiah, diskusi, seminar dan sebagainya.

Tidak kurang juga berusaha menggunakan pena atau bertindak sebagai “keyboard warrior” untuk mempromosikan agenda terselubung bila diberikan peluang. Juga gila ber ‘tik-tok’ menyampaikan pandangan tidak lazim atau alternatif yang cukup bahaya dan boleh melahirkan kerosakan fatal terhadap pemikiran.

Bila di golongan pertama memainkan peranan sebagai agamawan rasmi dan ianya sering dilabel sebagai ulama kerajaan, golongan kedua pula syok sendiri di atas ketaksubannya, kerana pandangannya yang ‘paling benar’. Tanpa segan silu, kumpulan ini tidak hanya mempertikai dan menyalahkan corak keagamaan arus perdana yang telah dibina secara susah payah oleh ulama-ulama terdahulu tanpa menimbulkan huru-hara, lebih daripada itu kalangan ini mempertontonkan ‘keangkuhan intelektual’. Suatu pengalaman yang cukup bebal dan terperangkap.

Sepertimana yang boleh dibaca dan diakses dalam kolom yang tersedia terutama di lama web, idea-idea tajdid (pembaharuan) yang mereka tawarkan menyerlahkan pandangan yang kurang bijaksana. Pada asasnya, idea pembaharuan itu merupakan idea yang baik dan perlu dialu-alukan, tetapi, ia perlu disampaikan dengan cara yang betul dan mengambil berat adab dan sopan santun dalam berhujah. Ia sekaligus menjaga keutamaan berdakwah daripada membangkitkan perkara khilafiah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.

Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh Islam inginkan umat Islam terus berpecah belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan mengabaikan masalah ushul yang sepatutnya diberi keutamaan. Sejarah Islam telah mencatatkan satu daripada punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik mengenai masalah furuiyah. Itulah juga pendekatan yang diambil oleh al-Ghazali apabila mengadunkan perihal fiqih dan tasawuf sebagai kaedah terbaik dalam meraih ‘kemenangan’ dan ‘penyucian jiwa’.

Jalan utama yang baik ialah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka bagi menghadapi penyelewengan akidah serta aliran fikiran bebas serta gejala kemungkaran yang semakin bermaharajalela dalam kehidupan harian kita. Inilah perkara yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh temeh.

Dalam hal ini, Al Ghazali memberi ingatan bahawa tugasan dan peranan ulama sungguh mulia. Bagaimanapun, kewujudan ulama bagaikan berwajah dua iaitu boleh mendatangkan kebahagian dan kebinasaan selama-lamanya. Ulama yang binasa ialah ulama yang tidak dapat memanfaatkan ilmunya dan hanya pandai bercakap tetapi tidak pandai mengamalkan. Manakala ulama yang bahagia selama-lamanya ialah ulama yang sentiasa mendekatkan dirinya dengan Allah SWT dan tidak terpesona dengan kemewahan (duniawi).

Ulama yang disebut Al Ghazali sebagai ulama akhirat – lawan ulama dunia atau ulama su’- tidak mencari perkara duniawi dengan ilmunya. Ulama ini juga menolak kepada kemewahan hidup dalam soal makanan, minuman, pakaian yang indah,  perabot dan tempat tinggal yang megah.  Al-Ghazali menekankan kehidupan sederhana, zuhud dan sentiasa ‘ingatkan mati’ (amalan bersuluk).

Di zaman akhir ini, ramai manusia yang ingin meraih kekuasaan politik termasuk dalam kalangan ulama, tetapi tujuannya bukan untuk meninggikan kalimatullah, mereka hanya ingin mendapat kedudukan yang tinggi dan terhormat, tetapi lupa kepada yang Maha Tinggi. Mereka tidak sedar, ‘kenderaan’ yang mereka   tumpanginya   itu bukanlah  sebuah   kenderaan yang  dapat mendaulatkan syiar Islam. Ia adalah sebuah kenderaan yang cenderung menyerlahkan nafsu duniawi, dan juga menghina Islam.

Sehebat apapun janji untuk memakmurkan rakyat  memerangi kemiskinan dan kebodohan, tetapi bila meninggalkan misi jihad Islam, mengabaikan hukum-hukum Allah SWT, maka ia tidak akan mampu mengubah nasib bangsa dari kemalangan atau bencana. Hal ini karena nasib suatu bangsa itu ditentukan oleh seseorang pemimpin.

Jika pemimpin itu mendasarkan kepimpinannya mencari keredhaan Allah SWT dan melihatnya sebagai amanah, ia akan mencemerlangkan ‘peradaban sempurna’ tetapi hanya berteraskan materialism, maka lahirlah sebuah peradaban yang sangat bermasalah dan  saling bertentangan antara kehendak manusia yang tidak terbatas, tamak serta berkonflik.

 

Dr Alies Anor Abdul

Translate »