(Ucap Utama Prof Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti di Persidangan Islam Antarabangsa Dunia Melayu ke-10 di International World Trade Center, Brunei Darussalam pada 1-3 Jun 2021 ini akan disiarkan sebanyak empat siri)

Persidangan Islam Antarabangsa Dunia Melayu kali yang ke 10 ini menampilkan tema Melestarikan Islam di Dunia Melayu Kontemporari bagi memastikan kesinambungan Islam agama Allah yang benar pembawa Rahmat ke sekalian alam ini khasnya di rantau Melayu atau Malay Archipelago yang kini dikenali sebagai rantau ASEAN.

ASEAN merangkumi 10 negara di mana tiga negara sahaja Indonesia, Malaysia dan Brunei merupakan negara-negara Islam. Umat Islam di tiga negara ini mempunyai satu bahasa iaitu Bahasa Melayu (terutamanya di Malaysia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand) sementara Indonesia mendeklarasikan sebagai Bahasa Indonesia yang juga merupakan senikata Bahasa Melayu.

Umat Islam di negara-negara lain di ASEAN ini merupakan minoriti dan umat Islam Melayu di Singapura dan Selatan Thailand juga bercakap dalam Bahasa Melayu. Umat Islam wujud di Filipina sementara di Kemboja terdapat satu komuniti Melayu dan seterusnya di Vietnam juga terdapat sebilangan umat Islam. Mereka yang merupakan kumpulan minoriti memerlukan sokongan dan bantuan dalam penghayatan akidah dan keislaman mereka.

Alam Melayu

Alam Melayu baru harus meliputi semua yang kini berada di negara-negara ASEAN dan aktiviti keilmuan harus memanfaatkan perkembangan Islam di rantau ini sebagai agama perdamaian dan kesejahteraan. Moga suatu masa setiap negara ASEAN boleh menghantar wakil masing-masing untuk pembentangan dalam persidangan akademik Alam Melayu seumpama ini.

Justeru Islam yang telah tersebar dan berkembang di Alam Melayu ini lebih dari 7 abad lamanya. Ia mempunyai kelebihan, keunikan dan kekuatannya yang tersendiri dalam amalan-amalan keislamannya, maka ianya harus dipertahankan sebagai satu alternatif kepada Islam global berdasarkan satu pendekatan yang dilaksanakan oleh para ulama’ terdahulu ketika menyampaikan Islam kepada masyarakat setempat masing-masing.

Kekuatan penyebarannya juga justeru sokongan dan dokongan pemerintah sepanjang abad selepas Islam bertapak di rantau ini. Raja-raja Melayu tampil menerima Islam dan memuliakan para ulama’ dan pendakwah di istana-istana mereka.

Sokongan ini tentu memberi laluan Islam berkembang dengan meluas menerjah ke perhatian rakyat jelata amnya. Maka tepatlah satu kata-kata hikmat Ibn Khaldun bahawa “ Manusia menurut agama raja-raja mereka”.

Tidak dinafikan pembawaan Islam buat pertama kali seawal kurun ke-12 atau 15 hasil penemuan beberapa bukti. Antaranya kewujudan Batu Bersurat di Terengganu yang ada tulisan Arab dan lain-lain penemuan termasuk kehadiran Islam dari Pasai ke Melaka. Islam dibawa oleh pendakwah dan pedagang dari Yaman dan Gujerat, India.

Sejarah kedatangan Islam boleh dirujuk kepada beberapa penulisan berupa kajian dan penyelidikan beserta dengan fakta-fakta yang konkrit oleh para sejarawan Islam dan Barat.

Brunei juga didapati menerima Islam semenjak awal kedatangan Islam ke Nusantara apabila raja pertama Brunei ialah Sultan Muhammad (1363-1402) sebelum Parameswara membuka kota Melaka tahun 1403. Islam sentiasa melalui proses kebangkitan di negara Brunei sehinggalah ke hari ini tampil menjadi Negara Islam pendokong akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Tetapi yang penting bagi kita sekarang ini ialah kehadiran Islam ke rantau ini telah bertahan melewati lebih dari 7 kurun lamanya dan Islam di rantau ini makin berkembang dan mara ke hadapan. Umat Islam di Alam Melayu sangat komited dengan Islam dan menyaksikan perkembangan ekonomi dan sosial yang membanggakan umat Islam sedunia.

Kaedah Ilmu

Justeru menjadi kewajipan kita bersama mentelaah aspek-aspek kekuatan keislaman Melayu,  berpaksikan tradisi keilmuan yang telah membina pegangan dan amalan yang sambung menyambung sehingga ke hari ini. Pendekatan ini dibina atas asas dan kaedah ilmu yang jitu dan konsisten.

Suatu saringan ilmu dan tradisi yang cemerlang oleh para ulama’ dari perkembangan pemikiran dan polemik yang bersimpang siur dalam lipatan sejarah. Barangkali kita memungut apa yang terbaik al-aslah lana wa liummatina asalkan tidak terkeluar dari landasan utama agama Islam yang mulia atau prinsip-prinsip asas Islam berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah.

Para sejarawan dan pengkaji berpendapat bahawa Islam berkembang ke Alam Melayu adalah dibawa oleh angkatan ahli-ahli sufi yang aktif berdakwah. Mereka menyampaikan Islam melalui gerbang istana dengan pengislaman raja-raja yang memberi laluan kepada rakyat jelata. Ini turut dikisahkan oleh Ibnu Batutah dalam Rehlahnya ke Alam Melayu.

Sebut sahaja tasawuf, ianya pasti terlintas terus bahawa penonjolan akhlak-akhlak mulia para pendakwah dan ulama’ ketika berinteraksi dengan raja-raja, pemerintah dan ketua-ketua kaum dan seterusnya rakyat jelata dan orang ramai. Tentu sekali akhlak-akhlak yang diwarisi secara teratur dari Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT “Sesungguhnya Engkau di atas landasan akhlak yang tinggi”.

Firman Allah SWT lagi: “Dan apa sahaja yang didatangi Rasulullah maka ambillah dan apa yang ditegah Rasulullah tinggalkanlah

Firman Allah: “Dan tidaklah Kami utuskan kamu – wahai Muhammad- kecuali membawa rahmat kepada sekalian alam”.

Hikmah atau kebijaksanaan dalam kata-kata sentiasa mendepani penyampaian Islam diiringi akhlak yang mulia dan suluk yang terpuji.

Firman Allah “Allah juga mendatangkan hikmah dan sesiapa yang diberikan hikmah maka dia diberikan banyak kebaikan”.

Pendekatan Tasawuf

Pendekatan tasawuf ini memberi satu suntikan perasaan kasih sayang (almahabbah) yang mencernakan sifat-sifat keikhlasan, toleransi, kemesraan, kesefahaman, kesabaran dan kedamaian, yang dapat memberi laluan dakwah Islam berjalan lancar tanpa bangkangan dan ketakutan.

Tasawuf itu adalah himpunan akhlak-akhlak mulia yang terdiri dari tingkah laku atau suluk yang digariskan dalam al-Qur’an disebut dalam sunnah dan dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan dan seterusnya oleh para sahabat dan ulama’ sepanjang zaman.

Mereka semua menjadi contoh teladan oleh ummah. Ianya menjadi satu doktrin keilmuan yang menyediakan panduan-panduan untuk kehidupan setelah dikonsepkan untuk menjadi jajaran amalan kepada masyarakat di semua peringkat.

Misalnya apa takrif zuhud yang sebenar? Dunia dikatakan berada hanya di tangan dan bukan bertapak di hati. Ego, takabur, ujub dan sifat-sifat mazamumah misalnya dikategorikan oleh al-Ghazali sebagai akhlak-akhlak minal muhlikat.

Al-Imam al-Ghazali (w. 1111/505) dengan kitabnya Ihya’ Ulumuddin merupakan sumber pengumpulan terbesar akhlak Islamiyyah, yang cukup relevan di sepanjang abad. Ilmu-ilmu akhlak yang disusun dan konsep yang diutarakan oleh al-Imam al-Ghazali dalam Ihya’nya telah mengundang ulama’ Melayu mengambil dan menceduknya habis-habisan.

Ini bagaikan kepintaran ulama terdahulu dalam mengenal pasti sumber-sumber (selain dari al-Qur’an dan Hadis) untuk membina kekuatan bangsa Melayu pada masa itu. Ini justeru jika merudumnya akhlak maka tamatlah riwayat sesuatu ummah itu seperti yang dinukilkan oleh penyair Ahmad Syauqi dalam madahnya. انما الاخلاق ما بقيت فان هموا ذهبت اخلاقهم ذهبوا.

Abdul Samad al-Falimbani, juga Syeikh Daud al-Fatani (ulama’ Melayu kurun ke-19 M) merupakan ulama’ terawal menterjemahkannya ke dalam Bahasa Melayu Jawi dengan nama Sairul Salikin dan Minhajul Abidin fi Ibadat Rabbilalamin. Kitab-kitab akhlak yang menjadi teks pengajian dalam pendidikan tradisi Islam Alam Melayu termasuk di masjid dan surau.  (Bersambung)

Prof. Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti

 

 

Translate »