Dalam menangani sebarang perselisihan faham yang membabitkan elit politik atau penguasa, sudah sewajarnya golongan ulama tampil ke hadapan bagi menjernihkan kekusutan yang berlaku. Ini seperti mana Iman Al-Ghazali yang memainkan peranan besar dalam mendamaikan konflik sektarian dan kekacauan politik yang berlaku dalam masa pemerintahan Saljuk menerusi nasihat politik yang didokumentasikan dalam kitab TIbr fi Nasihat al-Mulk. Justeru amatlah dialu-alukan sekiranya golongan ulama atau mufti memainkan peranan sebagai penghubung dan sekali gus sebagai pendamai pihak-pihak yang bertelingkah.
Dalam Ihya Ulumuddin yang menjadi kitab magnum opus, al-Ghazali menjelaskan bahawa krisis penguasa sebenarnya adalah berpunca daripada krisis ulama. Beliau mengatakan: “Sesungguhnya, kerosakan rakyat disebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh kerosakan cinta harta dan kedudukan, dan barang siapa dikuasai oleh cita-cita duniawi, ia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil. Allah-lah tempat meminta segala persoalan.” (Imam al-Ghazali, Ihya’ Ulumuddin, Juz II, hal. 381).
Justeru dalam konteks Malaysia, hari ini kita dapati berlakunya krisis yang melanda kepimpinan negara salah satunya disebabkan kurang berkesannya peranan dan fungsi ulama bagi menasihati umara (pemimpin). Sebagai golongan yang dihormati dan dipandang tinggi dalam sebuah negara Islam, ulama boleh memainkan peranan besar bagi menasihati pemimpin negara ketika ia dilihat menyimpang daripada jalan yang sepatutnya. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Ghazali, kepada ulamalah harapan rakyat untuk menyaksikan pemimpin berada dalam landasan yang betul kerana ulama diberi kekuatan menyampaikan amar ma’ruf nahi munkar tanpa rasa takut ditangkap atau kehilangan jawatan.
Sayangnya ketika pertelingkahan kuasa berlaku yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara, tidak muncul ulama-ulama yang berani memainkan peranan bagi menjernihkan suasana sedangkan menurut al-Ghazali, ulama hendaklah berfungsi sebagai pihak yang menasihati umara.
Pada zaman al-Ghazali, ulama memainkan peranan yang cukup besar bagi mempastikan pemerintah tidak bertindak sewenang-wenangnya, tidak rasuah dan tidak menyelewengkan amanah yang diberikan rakyatnya. Membisunya para ulama hanya akan menyebabkan timbulnya kezaliman dari pemerintah yang sedang berkuasa. Para ulama pada zaman al-Ghazali tidak mengenal erti takut dalam menyatakan kebenaran. Oleh sebab itu, mereka mengawasi pemerintah sedaya upaya kerana mereka tahu bahawa orang yang mati dalam hal ini termasuk sebagai syuhada (mati syahid).
Dari Jabir RA, Nabi SAW menegaskan dalam sabdanya yang bermaksud: “Sebaik-baik syuhada adalah Hamzah bin Abd al-Muthalib, kemudian orang yang berdiri di hadapan imam lalu memerintahnya (berbuat ma’ruf) dan mencegahnya (dari berbuat yang munkar) kerana Allah, lalu ia terbunuh untuk itu.” (Ibnu Majah dengan sanad Shahih).
Pada asasnya, institusi ulama di Malaysia banyak diwujudkan seperti mana kewujudan institusi mufti sama ada di peringkat persekutuan mahupun peringkat negeri. Mereka telah cuba memainkan peranan sebagai pihak yang memberi nasihat kepada pemimpin kerajaan atas isu-isu tertentu yang membabitkan kepentingan rakyat. Institusi ulama wujud di luar kuasa kerajaan dan berperanan sebagai entiti masyarakat sivil seperti persatuan ulama dan pertubuhan Islam yang lain. Akan tetapi seringkali peranan mereka tenggelam dengan isu politik yang lebih besar dan kedengaran gaungnya bergema lebih nyaring. Kadang kala ulama juga dilabel partisan dan menyebelahi satu pihak kerana mempunyai pendirian yang sama terhadap sesuatu isu.
Hakikatnya, institusi ulama mungkin belum boleh dilihat berjalan dengan baik dan berkesan hanya kerana wujud segelintir ulama yang lebih cenderung untuk berpolitik serta membentuk gaya kepimpinan yang eksklusif, berada dalam kelompoknya dan hidup secara berasingan. Apabila ada ulama yang berdampingan dengan pemimpin yang berkuasa, ulama berkenaan dikaitkan pula dengan istilah ‘ulama suu’, ulama yang boleh dibeli dan tidak membuat penilaian secara berilmu.
Tuduhan sedemikian hanya menyebabkan jarak antara ulama dan umara menjadi renggang, maka sebagai pemimpin yang berkuasa, jarak tersebut perlu didekatkan melalui program-program tertentu. Tidak dinafikan, program-program berbentuk nadwah ulama dan perhimpunan ulama telah diadakan, tetapi ia hanya sekadar program bercorak ad-hoc untuk tujuan tertentu sahaja.
Oleh sebab itu, idealnya institusi ulama diletakkan dalam kedudukan bebas daripada mana-mana kepentingan kekuasaan. Kedudukan yang bebas tidak hanya menjadikan institusi ulama berwibawa dan tidak tercemar dengan kepentingan politik, malah ulama boleh memainkan peranan yang lebih berkesan dalam setiap aspek keagamaan dan kenegaraan.
Kegagalan ulama dalam menjernihkan persoalan atau krisis yang berbangkit sesungguhnya akan mencetuskan persoalan mengenai kewibawaan ulama itu sendiri. Kegagalan ulama sebagaimana yang berlaku di Iran dengan konsep wilayatul faqih-nya, akan menjejaskan kredibiliti dan kehormatan institusi ulama kerana tidak berjaya dalam menyelesaikan persoalan sosial, ekonomi dan politik.
Gambaran ini memberikan tafsiran bahawa golongan berpendidikan agama yang menerajui agensi agama bukan merupakan pemimpin yang berkesan dalam mengelola sesebuah organisasi. Hal ini kerana sifatnya terlalu mengharapkan kesempurnaan sedangkan kaedah meraih kesempurnaan tidak dapat diterjemahkan dengan baik dan berkesan.
Hakikatnya masalah yang menimpa negara juga masalah ulama. Ulama yang berwibawa bersedia memberi teguran dan nasihat dengan perasaan kasih sayang kepada umara. Begitu pula umara akan menerima teguran dan nasihat itu dengan berlapang dada disertai dengan keinsafan bahawa teguran itu bertujuan untuk mencapai kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat.
Justeru itu, persefahaman dan saling pengertian di antara ulama dan umara amat penting supaya tidak timbul jurang yang boleh membawa kepada krisis kekuasaan. Persefahaman hendaklah berasaskan kepada nilai-nilai kebaikan yang disepakati sepanjang zaman sebagai kebaikan oleh seluruh umat manusia.
Dalam karya lain al-Tibr al-Masbuk fii Nashihat al-Muluk yang menjadi rujukan penting kepada cara dan kaedah menasihati umara, al-Ghazali menyatakan ada tiga kaedah menyampaikan teguran iaitu menyampaikan kritik secara halus. Bila cara ini tidak berkesan, maka al-Ghazali menyarankan ulama untuk menulis surat. Bila cara menulis surat tidak juga membuat penguasa kembali ke jalan agama dan masih menyimpang, al-Ghazali berpendapat umara itu tak layak mendapatkan sokongan dan memutuskan hubungan dengan penguasa tersebut.
Menurut Imam al-Ghazali, ulama memainkan peranan penting untuk mendampingi seorang pemimpin dengan memberikan nasihat, pandangan dan memperbaiki setiap tindakan sekiranya pemimpin berkenaan mengambil sikap “tunggu dan lihat” dan kurang peka terhadap kepentingan umat Islam. Disebabkan ulama mempunyai kepakaran ilmu keagamaan dan pemimpin mempunyai kemahiran dalam ilmu bernegara, antara keduanya bukan sekadar saling memerlukan, tetapi juga saling berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat.
Selain berperanan sebagai penasihat kepada penguasa, ulama juga mesti bertindak sebagai pengawal dan penjaga ideologi keagamaan yang dianut di negara ini. Roh dan konsep ahlu sunnah wal jamaah harus dipertegaskan kembali. Para ulama harus mendekati semula hikmah ini.
Begitu juga dengan fenomena Islamic State (IS) yang akhir-akhir ini amat membimbangkan kita. Fahaman IS yang cuba dibawa masuk ke negara kita, tidak hanya bertentangan dengan fahaman ahlu sunnah wal jamaah yang kita pegangi, akan tetapi ia juga membahayakan keselamatan negara kerana fahaman ekstrem yang dibawa IS berpotensi menghuru-harakan keharmonian dan ketenteraman. Pandangan ekstrem dan ganas IS juga bertentangan dengan cara yang digagas al-Ghazali yang menekankan cara berdiplomasi dan menolak keganasan bagi menegur atau memperbaiki sikap penguasa.
Oleh demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kerajaan dan semua rakyat Malaysia untuk membanteras gejala kerosakan dan pencemaran akidah ini sebelum ia menular dan sebati dalam kehidupan kita. Sesungguhnya gejala ini amat berbahaya bagi umat Islam dan keselamatan negara.
Dr. Alies Anor Abdul
Recent Comments