Kilas ikan di air ‘sudah kenal jantan atau betina’. Itu adalah salah satu daripada begitu banyak kearifan tempatan (local wisdom). Seseorang itu dianggap arif atau bijaksana kerana tiga perkara: pengetahuan yang dimilikinya, pengalaman, dan cara ianya bertindak atau memberikan pendapatnya. Tetapi, dalam dunia yang falsafahnya semakin bercapah, mereka yang hanya digelar arif ialah yang berkerjaya sebagai hakim atau peguam. Kenapa gelaran Yang Arif itu hanya kepada peguam atau hakim? Sebabnya ialah seseorang hakim atau peguam dalam kesehariannya bercakap dan berfikir untuk mencari kebenaran, yakni kebenaran berdasarkan apa yang tertulis dalam sesuatu undang-undang.
Seorang hakim atau peguam, mereka bukan penggubal undang-undang, mereka adalah pelaksana. Mereka yang menggubal undang-undang ialah ahli politik, atau orang yang berkuasa dalam sesebuah pemerintahan atau organisasi masyarakat. Orang yang berkuasa, mungkin berasal daripada latar belakang undang-undang, tetapi ia bukan satu syarat wajib. Dalam sistem politik moden, mereka yang bergelar politikus dan seterusnya penggubal undang-undang boleh datang daripada pelbagai latar belakang kerjaya, pengetahuan, pengalaman dan orientasi pemikiran. Tetapi, mereka tidak digelar Yang Arif. Mereka digelar Yang Berhormat.
Bila sesuatu ‘kecelaruan’ atau situasi politik timbul dalam sesebuah pemerintahan, Yang Berhormatlah menjadi golongan yang sangat sibuk. Mereka sibuk untuk membuat cadangan, dan juga mencari kesempatan (peluang), menonjolkan diri untuk mengemukakan penyelesaian atau dalam istilah sekarang ‘membaiki kerosakan’. Istilah ‘membaiki kerosakan’ menjadi sangat popular ialah pada tahun 2017, yakni ketika Dr Mahathir berusaha kembali untuk merebut kuasa politik selepas lima belas tahun ‘tidak berkuasa’.
Selepas ‘bersara’ dalam beberapa tahun Dr Mahathir kembali ke ruang politik khabarnya kerana tidak berpuas hati dengan pengganti yang dipilihnya sendiri. Dr Mahathir muncul sebagai pengkritik dan pengecam terbesar sehingga menjadikan iklim politik dalam kalangan orang Melayu cukup tidak lagi dihormati, maka Pilihan Raya Umum ke-12 (2008) ada kegelinciran pengaruh dan hakisan keyakinan.
Akibatnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan (April 2009) dan serahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, tokoh yang juga ditunjuki oleh Dr Mahathir. BN hanya menang 140 kerusi parlimen dan barisan pembangkang memenangi 82 kerusi. Kemenangan itu menyebabkan barisan pembangkang bersemangat untuk mencuba menggugat sistem pemerintahan, dengan pelbagai tindakan anarkis, desakan dan menggunakan PRK sebagai senjata ‘membentuk imej’, termasuk mencetuskan fenomena Road to Putrajaya.
Najib juga tidak lama mendapat sokongan Dr Mahathir. Najib dipersoalkan dalam banyak perkara secara cukup strategik oleh Dr Mahathir dan melakukan penentangan lebih terbuka apabila Mukhriz kalah dalam pemilihan merebut jawatan Naib Presiden UMNO dan kemudiannya disingkirkan dari jawatan Menteri Besar Kedah (jawatan yang ditawarkan kepada Mukhriz sekiranya BN menang di Kedah dan menjadi sebahagian sebab Dr Mahathir kembali menyertai, membantu berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12).
Secara bijaknya Dr Mahathir mengeksploitasi laporan audit mengenai 1MDB, sebuah badan pelaburan yang dikembangkan daripada TIA (Terengganu Investment Authority) di mana Najib adalah ‘king maker’. PRU ke-13 kedudukan gabungan pembangkang semakin kuat, Najib dilihat ‘gagal’ untuk menunjukkan kehebatan kepimpinannya berbanding dengan mana-mana Perdana Menteri sebelumnya. Penguasaan BN merosot dan hanya tinggal 133 kerusi. Indikasi awal sudah ada petunjuk, tanpa kerja keras dan pemulihan imej yang berkesan BN akan tewas. Ia menjadi kenyataan dalam PRU ke-14.
Kalau dalam PRU ke-13, Najib dilihat sebagai PM pertama yang tidak dapat mengulangi sejarah cemerlang PM sebelumnya dalam PRU pertama secara langsung di bawah kepimpinannya, maka Dr Mahathir dilihat sebagai ‘juru selamat’ yang akan bekerja keras ‘membaiki kerosakan’, termasuk membaiki kerosakan sendiri selama 22 tahun sebagai PM ke-4 (1981-2003).
Harapan rakyat Malaysia cukup besar, maka kemenangan itu digambarkan sebagai satu bentuk peristiwa dan harapan yang sangat mengujakan, euforia. Sayangnya, guruh berdentum hujan tidak juga muncul. Bukan hanya panas memanjang, tanah merekah dan ribut memanjang. Akhirnya, hayat kepimpinan yang membentuk euforia menjadi pendek, rakyat mula ‘memberontak’, dan sekutunya dalam PH semakin betindak ‘liar’ sehingga memaksa Dr Mahathir melepaskan jawatan kerana yakin ‘tidak lagi mendapat sokongan’.
Politik Malaysia bercempera lagi. Dr Mahathir kembali meroyan, Anwar kembali ‘mengaum seperti singa lapar’ selepas PKR berantakan, Lim Guan Eng ‘meratib sedih’ seumpama ‘burung pungguk’ manakala Mohamad Sabu dengan ratibnya ‘haram jadah’, Mujahid mula faham dan sedia menjilat kata-katanya sendiri ‘Saya Menteri, Saya Bukan Bodoh’ setelah sedia menggunakan platform media sosial (yang dikecam tidak akan melayan pengkritiknya dan ‘saya tahu siapa’) membebel. Kesemua perlakuan, budaya politik bertukar bentuk, menjadi sangat tidak bijaksana lagi, sangat tidak mencerminkan keterbalikan sifat kearifan.
Beberapa hari lalu muncul satu gagasan yang mengejutkan daripada Dr Mahathir untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia, yang katanya, cukup baik dan berkesan setelah perancangannya selepas meletakkan jawatan dan berusaha kembali untuk dilantik semula sebagai PM telah gagal. Gagasan itu ialah menubuhkan satu bentuk pentadbiran yang dinamakan Majlis Pemulihan Negara, tujuannya ialah memandulkan kuasa ahli politik yang berkuasa atau menidakkan apa yang sedang ditangani oleh gabungan pemerintahan kerajaan di bawah Perikatan Nasional yang dinilai bermasalah.
Perikatan Nasional memang ‘sangat bermasalah’. Gabungan yang tidak serasi setiap hari hilang fokus dan kiblat dalam menentukan fungsi pemerintahan. Setiap hari ada keluh kesah, setiap parti tidak bertindak sehaluan, masing-masing seperti enau dalam belukar, ingin menonjolkan pucuk masing-masing walaupun terpaksa memanjat pokok yang lain. Kalau tidak boleh ‘naik menegak’ akan dicuba ‘naik melintang’ walaupun terpaksa mengikut kaedah berliku dan menenggek seperti dedalu. Apa yang penting ialah ‘membunuh UMNO’, hasrat yang sama Dr Mahathir ketika berkuasa, dengan menekan dan ‘mengembirikan UMNO’.
Dr Mahathir ‘gagal’, Muhyiddin juga gagal, Azmin juga gagal, tetapi kesannya tetap membawa imej bahawa Perikatan Nasional bukan lagi platform politik yang menyatukan Melayu-Islam, imejnya sebagai kepimpinan Melayu-Islam sudah berkecamuk dan bermasalah, melengkapkan ‘sad song’, Melayu-Islam tidak mungkin dapat bersatu selama-lamanya.
Cadangan terbaharu Dr Mahathir itu dapat dibaca secara ‘terbalik’ apa yang dibebelkan. Selepas mengadap Yang di Pertuan Agong (YDPA) pada Khamis lalu (10.6.2021), Tun Dr Mahathir mengemukakannya untuk menyelesaikan Kemelut Politik 2.0 ekoran dakwaan ‘kerajaan gagal’. Di situ sudah membayangkan, ‘kerajaan gagal’ sebenarnya bermula daripada Tun Dr Mahathir sendiri sehingga membingitkan Kemelut Politik 1.0, yakni bermula daripada kegagalannya ‘mematuhi keputusan’ Majlis Pakatan Harapan yang membawa kepada munculnya Langkah Sheraton.
Apakah cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara itu sebagai ‘tindakan pembetulan dari luar kerajaan’ oleh Dr Mahathir untuk kembali berkuasa? Sebelumnya beliau sangat bersungguh-sungguh menjelaskan bahawa telah didatangi oleh banyak pihak agar memimpin semula pentadbiran politik, yang bagi kebanyakan orang dilihat bukan ‘membaiki kerosakan’ tetapi ‘melakukan kerosakan’ yang lebih besar dalam situasi ‘tanpa parti dan tanpa kuasa’.
Menariknya, cadangan Dr Mahathir itu muncul selepas beberapa siri kegagalan untuk menjatuhkan Muhyiddin – usul undi percaya di Dewan Rakyat, dakwaan kerajaan tidak sah, dan pelbagai persepsi buruk—yang ditambah dengan rasa terkucil setelah YDPA bersetuju untuk menguatkuasakan darurat selama. Usaha untuk membuat desakan menamatkan darurat atau mencabar nasihat Muhyiddin sudah menampakkan ‘jalan buntu’ maka, dalam kesempatan itulah dicadangkan kaedah pentadbiran dalam bentuk MAGERAN.
Boleh dibaca apa natijah Dr Mahathir. Bila tidak berjaya menggunakan pelbagai opsyen yang ada, Dr Mahathir merujuk kepada kuasa budi bicara YDPA. Ada sesuatu keanehan dan tidak kena di situ. Ramai rakyat Malaysia masih ingat, Dr Mahathir adalah orang yang paling kuat berusaha untuk ‘menghina’ institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana dilakukannya semasa berkuasa sebagai PM ke-4. Bukan setakat pindaan imuniti, bahkan, berusaha memaksa Raja-Raja Melayu meluluskan undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat. Maknanya, konsep kuasa adalah ditentukan oleh penggubal undang-undang secara mutlak, yakni politikus. Dr Mahathir seolah-olah ingin mengulangi sejarah klasik Justice Bao.
Kenapa perlu MAGERAN? Adakah kerana Dr Mahathir sengaja mahu menjungkirbalikkan (distortion) politik Malaysia sekali lagi? Apakah itu adalah solusi terbaik untuk menjatuhkan Perikatan Nasional yang dikatakan ‘kerajaan pintu belakang’, ‘kerajaan tebuk atap’ ataupun dalam istilah Dr Mahathir ‘kerajaan tidak sah’?
Pertanyaan-pertanyaan sedemikian memerlukan banyak penelitian semula perihal sejarah mengenai konsep pentadbiran di bawah MAGERAN. Mujurlah ada sedikit bantuan daripada pengalaman MAGERAN pada tahun 1969 dalam skala nasional dan pengalaman Kelantan pada tahun 1977 dalam skala yang lebih kecil. Sedikit sebanyak dapat membantu, walaupun ada kemungkinan tidak serupa, sekurang-kurangnya semangat dan hukumnya ada persamaan.
Secara penuhnya kependekan MAGERAN itu ialah Majlis Gerakan Negara. MAGERAN adalah satu konsep pentadbiran yang mengabaikan peranan dan fungsi parti-parti politik. Kuasa yang diperoleh oleh parti-parti digantung, manakala urusan pentadbiran akan dilaksanakan oleh satu pasukan atau jawatankuasa yang dilantik dibawah peraturan darurat. Kuasa pentadbiran akan dikembalikan bila kuatkuasa darurat ditamatkan. Kebiasaannya selepas penilaian daripada perspektif keselamatan tidak lagi menjadi ancaman.
Pada tahun 1969, MAGERAN dilaksanakan ekoran rusuhan politik yang menjejaskan ketenteraman awam: rakyat berada dalam ketakutan terutama di bandar-bandar besar di Pantai Barat, suara politikus selar menyelar antara satu sama lain dan terhentinya kegiatan ekonomi atas ‘rasa bimbang’ itu. Fungsi politikus sebagai pembuat dasar perlu digantung, jika tidak, ketenteraman awam tidak dapat dipulihkan. Tun Razak dilantik sebagai ketua pentadbiran berdasarkan konsep MAGERAN. Tun Razak adalah politikus, yang ketika itu ialah Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Pengerusi (Presiden) UMNO. Ia membayangkan satu permulaan kepada perletakan jawatan Perdana Menteri, suatu manifestasi kegagalan (juga kelemahan) dasar dan kaedah pelaksanaan dasar.
Tahun 1977 berlaku kekecohan politik di Kelantan ekoran perbalahan besar antara kumpulan yang dipimpin oleh Datuk Asri bin Haji Muda dengan Datuk Haji Mohamad Nasir: tuduh menuduh gadaian tanah seluas 350,000 ekar kepada Syarikat Timbermine; membekukan tanah seluas 240,000 ekar di sempadan Kelantan-Perak; dan membawa Syarikat Tembakau ke mahkamah bila dijadikan sebagai penjamin. (Rozimi Nasir, Kelantan 1977: Politik dan Pergolakan, 2016, hal. 43). Sebenarnya krisis itu bermula dari dalam PAS. Timbul tidak puas hati bila Datuk Haji Mohamad Nasir yang disokong oleh UMNO dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan, sedangkan sebahagian besar pemimpin PAS mahukan Wan Ismail Wan Ibrahim, yang dikatakan turut disokong oleh Sultan Kelantan.
Ia berlaku selepas PRU 1974, iaitu pilihan raya pertama pemuafakatan parti-parti politik yang lebih besar akibat Tragedi 13 Mei 1969, di mana PAS ikut serta bergabung bersama-sama Perikatan (UMNO, MIC dan MCA), dan Gerakan (yang ditubuhkan untuk ‘menggantikan’ DAP yang sangat berkiblatkan kepada Singapura (ideologi politik Lee Kuan Yew) yang tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia (Subky Latif, Barisan Nasional Digugat dan Digigit, 1978, hal. 27-38). UMNO melihat pemilihan itu satu kebaikan kepada parti manakala PAS melihat ia adalah suatu ‘malapetaka’ maka muncullah Kumpulan 16 (kemudian menjadi Kumpulan 20) dari dalam PAS memulakan usul ‘undi tidak percaya’. Ia menjadi semakin tegang apabila Datuk Mohd Nasir dipecat dan Datuk Mohd Nasir pula mempertahankan kedudukanya sebagai Menteri Besar Kelantan atas lantikan Barisan Nasional, bukan lantikan PAS.
Asri memberikan tujuh sebab kenapa Mohd Nasir dipecat: tidak mengikut dasar parti; pecah amanah; ingkar arahan parti; mengecam pucuk pimpinan (tentunya mengecam Asri); menjatuhkan imej parti, memihak kepada golongan lain daripada parti sendiri; dan lemah dalam urusan pentadbiran. Bagaimanapun, faktor itu tidak membantu Asri daripada didakwa sebagai punca perpecahan dalaman, sebaliknya, Mohd Nasir dilihat sebagai seorang pemimpin yang jujur dan bersih.
Persengketaan politik itu telah menyebabkan keadaan keselamatan di Kota Bharu dan Kubang Kerian ‘panas’ maka untuk mententeramkan ‘perbalahan dalaman’ yang telah membuak ke luar secara meluas, dan kemuncaknya ialah pada 19 Oktober 1977 (demonstrasi di Kota Bharu bertukar ganas). Pada 25 Oktober 1977, Dr Mahathir (Timbalan Perdana Menteri) mengemukakan cadangan penyelesaian. Kerajaan yang dipimpin oleh Mohd Nasir hendaklah meletakkan jawatan dan sebuah kerajaan baharu akan ditubuhkan. Namun, disebabkan situasi politik bertambah panas, akhirnya pada 8 November 1977, Perdana Menteri, Tun Hussein Onn membentangkan Rang Undang-Undang Kuasa-Kuasa Darurat (Kelantan) dan diluluskan selepas bersidang selama lapan jam dengan 118 menyokong dan 18 menentang.
Ertinya, Dr Mahathir ingin menonjolkan diri sekali lagi, mengulangi apa yang pernah dilakukannya ketika menamarkan krisis politik di Kelantan pada tahun 1977, iaitu 44 tahun lalu.
MAGERAN di Kelantan berlangsung selama 96 hari. Kesannya, kekuatan politik PAS selama 19 tahun (1959-1978) berjaya dilumpuhkan di mana PRU 1978, PAS hanya menang dua kerusi daripada keseluruhan 34 kerusi DUN Kelantan. Ia turut menjadi kemenangan besar buat UMNO, kerana sebelumnya sangat sukar untuk menjatuhkan PAS. Namun, setelah berlaku krisis besar UMNO pada tahun 1987/1988, PAS kembali mengepakkan sayapnya sehingga berjaya mencengkam politik Kelantan seumpama dicengkam kuku helang. Walaupun beberapa percubaan dilakukan, UMNO terus gagal sehingga kini.
Jika tanpa MAGERAN, mungkin penguasaan PAS tidak akan terputus di Kelantan. Biarpun Dr Mahathir telah berusaha selama 22 tahun untuk menjatuhkan PAS, beliau telah gagal. Kegagalan itu turut dirasai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi walaupun semasa PRU ke-11 (2004) ada petunjuk boleh mengubah keadaan, dan kemudian diterima badi yang sama oleh Najib.
Kalau MAGERAN 1969 dilihat sebagai strategi politik Tun Razak untuk membentuk sistem satu parti, MAGERAN di Kelantan adalah titik yang menjadikan PAS berpecah belah, maka usaha Mahahir mencadangkan Majlis Pemulihan Negara adalah mempunyai kecenderungan yang lebih besar, membunuh peluang Anwar Ibrahim sekali lagi dan melumpuhkan Bersatu yang telah ‘menolak’nya walaupun beliau adalah pengasasnya. Itulah permainan politik yang cukup licik oleh Dr Mahathir, membunuh tiga atau lebih burung dengan satu batu lastik.
Dr Mahathir masih merasakan dirinya kuat dan mampu melakukan lompatan yang lebih hebat daripada apa yang dilakukannya pada PRU ke-14. Beliau bukan sahaja berjaya ‘membunuh UMNO dan BN’ bahkan membunuh pemimpin-pemimpin UMNO yang dianggarp tidak sebulu dengannya. Kali ini, beliau cuba melakarkan bayangan ‘pembunuhan peluang’ yang lebih besar, dan akhirnya, beliau akan kekal sebagai “King Maker”, jika Majlis Pemulihan Negara menjadi kenyataan.Ia dapat mengubat luka akibat terlucut kuasa dalam episod Langkah Sheraton. Trauma dan fobia rakyat terhadap Mahathirisme akan berubah dan Mahathir akan dianggap tokoh yang sangat hebat dalam sejarah perjalanan politik Malaysia moden, bukan sekadar Negarawan Terbilang.
Mahathir terus bermain dengan retorik. Kini, setelah sekali lagi diberikan peluang untuk menyatakan pendirian dalam rencana menurunkan jumlah kes jangkitan COVID-19, Mahathir mengambil kesempatan mencadangkan pentadbiran kabinet yang diketuai oleh Muhyiddin digantikan dengan MAGERAN. Namun orang awam masih tertanya-tanya apa maksud Dr Mahathir “MAGERAN tanpa darurat’? Ketika ini, Malaysia masih berada dalam period ‘darurat kesihatan’ sehingga Ogos, iaitu dalam tempoh hampir enam bulan selepas diisytiharkan pada bulan Mac lalu. Mahathir sebenarnya merasakan Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh YDPA adalah ‘tidak sah’ atas kapasiti kedudukan Muhyiddin semasa menasihatkan baginda. Muhyiddin ‘tidak mempunyai majoriti’ dan kerana itu ‘tidak layak’ memberikan nasihat kepada YDPA.
Itu hanya daripada perspektif politik. Ia sama juga dengan bantahan PH terhadap pemilihan Muhyiddin berdasarkan kuasa budi bicara YDPA. Dipersoalkan tentang kuasa yang menentukan, walhal Mahathir ketika mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pun bukan dipilih secara mutlak oleh pengundi. Mahathir juga seperti Muhyiddin seorang Ahli Parlimen. Dalam undang-undang Malaysia, seseorang wakil rakyat yang mendapat sokongan majoriti boleh dilantik sebagai PM (lazimya, yang beragama Islam).
Sebelum meletakkan jawatan, Dr Mahathir membuat keputusan yang tidak sesuai dengan semangat PH. Beliau membuat keputusan bersendirian dan tentunya boleh dibaca oleh orang ramai, itulah hebatnya Dr Mahathir. Kalau ‘saya terlucut kuasa, Anwar juga perlu menanggung kekecewaan’.
Begitulah sehingga cadangan terbaharu Dr Mahathir turut memperlihatkan sikap dan pendirian yang sama, beliau mencadangan MAGERAN kerana mahu menyekat kemaraan Anwar Ibrahim dan dalam masa yang ‘membunuh Muhyiddin’. Politik ‘pecah dan perintah’ sangat bersebati dalam jiwa Dr Mahathir, dan sebab itulah ramai yang mahukan beberapa nama tokoh yang sangat kuat percaturannya tidak lagi muncul, kerana telah banyak kerosakan dan kesusahan telah berlaku, rakyat mahukan negara ini bebas daripada ‘bayangan semalam’ yang sangat mengecewakan.
Rakyat mahukan semua ahli politik, tanpa mengira parti dan posisi bersatu hati melaksanakan tanggungjawab membantu mengekang COVID-19, bukan hanya sekadar menderma lima keping pelitup muka pada peringkat awal PKP, sekarang tidak ‘nampak batang hidung’. Bila angka jangkitan baharu meningkat, kembali bersuara lantang, seolah-olah sudah bertelur sebiji mahukan gempita senegara.
Apakah hidup politikus sekadar percayakan kepada andaian (kepala otak dia)? Di mana nilai dan semangat politikus ‘membantu rakyat’ bukan hanya sekadar mengedar nasi bungkus dan mendesak Sidang Parlimen dibuka. Rakyat boleh menerima mereka, turun ke bawah, menjengok dan membantu meningkatkan bilangan penerima vaksin, bukan sekadar mengecam MySejahtera. Kalaupun MySejahtera bermasalah, sama-samalah atasinya, bukan hanya bersiul seumpama ‘samseng Kampung Dusun’.
Secara jelasnya ramai yang tidak bersetuju dengan cadangan MAGERAN jika dimaksudkan untuk mengetepikan barisan kabinet sepenuhnya. Tetapi, jika MAGERAN itu bermaksud, Mahathir Geramkan Anwar ada sedikit kelucuan yang boleh diterima, yakni dengan syarat Mahathir juga tidak muncul sebagai aktor politik yang sarkastik pendiriannya. Mahathir tidak perlu dilibatkan dalam pemilihan barisan kepimpinan baharu, kerana Mahathir dan Anwar sudah terlalu banyak mengeruhkan perjalanan politik di Malaysia.
Kededuanya sudah cukup membosankan, dan perlu diberikan sijil BER – beyond economic repair. Termasuk sama ialah beberapa orang pemimpin UMNO, DAP, dan juga PAS. Malaysia perlukan kepada pemimpin pelapis yang belum tercemar dan sedang mengheret bagasi berat. Selagi ada pemimpin sedemikian, selagi itulah politik Malaysia terus berkecamuk dan sukar untuk dinyahkan ketidaktentuan halanya.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments