Ada banyak cerita yang dilaporkan mengenai ‘pendirian tidak konsisten’ dan kelemahan tindakan menteri-menteri kabinet dalam menangani isu berkaitan kehidupan rakyat ketika pandemik COVID-19:  dari SOP yang berubah-ubah hinggalah kepada rencana membantu rakyat agar keluar daripada  belenggu kesukaran.

Selain sistem penguatkuasaan kesalahan melanggar SOP yang  melengkapkan senarai ‘kompaun dua darjat’, cara kerja menteri-menteri sejak lima belas bulan berkuasa jelas mencerminkan  kisah “kerajaan gagal”:  kenaikan harga barangan (sebab harga makanan ayam naik, harga minyak sawit mentah meningkat); buka-tutup kilang dan premis perniagaan; kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (online, offline dan off-site); ‘tutup pintu depan, buka pintu belakang’;  moratorium automatik kedua;  dan sebagainya.

Selain desakan agar Perdana Menteri ‘menukarkan barisan kabinet’ bila menteri-menteri daripada Bersatu, ‘katak-katak PKR dan UMNO’  tidak cukup berprestasi (kecuali melobi dan ‘mencuri/membeli ahli’ , mencari peluang ‘membunuh parti yang dianggap musuh dan kurang mesra’  walaupun telah membantu membentuk kerajaan Perikatan Nasional; menukarkan kerajaan-kerajaan negeri; dan ‘projek hias diri’), beberapa orang menteri kabinet didesak meletakkan jawatan.

Terbaharu, sebuah platform mengumpul pendapat awam telah berjaya mengumpulkan sokongan lebihi sasaran pertama (200,000 petisyen) dalam tempoh dua hari, kini  menuju ke sasaran kedua (300,000 petisyen),  agar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI) yang ‘buka pintu belakang’ meletakkan jawatan’ atau dipecat. Stelah lima belas bulan, sebagai menteri kanan yang paling kanan, tidak ada kejayaan besar yang ditunjukkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, termasuk membawa masuk pelabur-pelabur asing.

Beliau telah gagal, bukan tahap gagal yang boleh dimaafkan, tetapi gagal total, lebih  menumpukan perhatian agar kekal sebagai wakil rakyat di Gombak. Sebelumnya, konco-konco Azmin didakwa cuba melobi pemimpin PAS agar ‘tidak bertanding’ dan ‘bekerjasama dengan UMNO’ – ada tawaran lumayan menanti — sebab beliau cukup takut dengan gandingan dua parti Melayu-Islam terbesar itu menjadi kenyataan,  dan pemuafakatan tersebut kekal bertaklid, tidak akan ‘saling membunuh’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan  Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun yang pernah berkontroversi meniru suara Nobita bagi ‘memecahkan kebosanan rumah tangga’ akibat ‘emosi terperuk’, kembali menjerut kontroversi dengan penampilan baharunya yang cukup berbeza. Rupa-rupanya, dalam musim COVID-19,  beliau  mengambil peluang untuk mengikut program diet dan senaman,  yang kemudian kantoi,  ‘kebenaran’ tidak menyebelahinya. Beliau  didakwa melakukan pembedahan ‘memotong pendek usus’ kalaupun tidak serentak   ‘menyedut lemak’.

Menteri Pengajian Tinggi sudah tiga kali timbulkan kontroversi : arahan para pelajar IPT ‘kosongkan kampus’ dan boleh terus berada dalam kampus; pertandingan video pendek ‘tik-tok’; dan terbaharu melengah-lengahkan pelantikan Naib Canselor di lima buah IPTA. Tidak banyak dasar yang diputuskan untuk meningkatkan prestasi IPTA, hanya sekadar ‘tunggu dan lihat’. Ia seumpama burung nuri dalam sangkar yang menunggu kehadiran tetamu untuk diucapkan ‘Selamat Pagi’ atau apa-apa sapaan yang ‘diajar’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Redzuan atau  menteri kereta terbang seperti ‘selesa dengan kesejukan  kolam’, tidak ada lagi rancangan hebatnya untuk ‘menguji kereta terbang’ lagi selepas tidak dibenarkan. Mungkin kerana tidak dibolehkan menghisap cerut dalam restoran, beliau seakan terputus ilham. Dengan trauma  virus corona,  tiba-tiba ‘hidup’ mengkritik tindakan ‘kerajaan’  memecatnya dalam Majlis Keselatan Negara, dan mengkritik pula cara kerajaan menangani pandemik COVID-19 (pemberian vaksin). Waduh, apa kena jang?

Saya jadi sedikit ‘hilang semangat’. Fenomena yang pernah berlaku dalam kerajaan sebelum ini (PH)  juga memperlihatkan ‘ketidaksepakatan’ dalam kalangan menteri-menteri. Mereka ‘menari dan berlari’ dengan rentak berbeza walaupun berada dalam kerajaan yang sama. Fenomena itu seolah-olah bermula kembali dalam Perikatan Nasional: UMNO persoalkan agihan jawatan kabinet, meneruskan perbicaraan pemimpin yang dituduh rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram. Sampai ‘jalan sekerat’, buat rundingan untuk menjatuhkan kerajaan yang dibentuk bersama, tetapi kali ini  dengan bakal Perdana Menteri Menanti paling lama dalam sejarah politik dunia.

Fenomena kedua, saling berusaha membentuk ‘kedudukan parti’ dan menterjemahkan tindakan masing-masing adalah lebih baik. Fungsi menteri kabinet lebih berorientasikan pengukuhan kedudukan dan kuasa parti masing-masing. Bukan untuk mensejahterakan rakyat, kerana rakyat itu hanya ‘kuda trojan’ dan komoditi yang boleh diatasnamakan ‘kehendak’ dan ‘perjuangan membela rakyat’. Falsafah politik begitu adalah sangat berkecamuk dan jauh daripada apa yang dikehendaki oleh Islam, kemaslahatan rakyat. Etikanya sudah kehilangan makna dan sentuhan.

Fenomena ketiga, secara diam-diam (sulit), ada gerakan saling menjatuhkan sehingga terbentuknya perpecahan dalaman,  terutama UMNO. UMNO sepatutnya lebih menumpukan perhatian ‘membaiki kerosakan’, bukannya ‘mengawal kerosakan’ kerana ‘kerosakan itulah menyebabkan orang Melayu menolaknya pada pilihan raya umum ke-14. Keadaan ini menyebabkan UMNO bertambah rosak dan sangat mengecewakan sebahagian besar orang Melayu, terutama dalam kalangan anak muda.

Keempat, slogan ‘membaiki kerosakan’ kerajaan terdahulu beralih kepada ‘menambahkan kerosakan’ , maka rakyat sudah mula bertanya dan mengharapkan Pilihan Raya Umum ke-15 segera diadakan. Kenapa? Malaikat pun membuat silap; Nabi pun berbohong; Manifesto bukan kitab suci; Rakyat tidak sepatutnya mengharapkan bantuan kerajaan kerana era itu sudah berlalu. Tongkat perlu dibuang.

Kini rakyat sedang membandingkan. Kalau PH telah melakukan kesilapan ‘menangani penularan COVID-19’ di peringkat awal, PN juga melakukan kesilapan yang lebih besar bila meminta proklamasi darurat. Darurat dianggap sebagai langkah menyambung ‘hayat politik’. Setakat ini, darurat dilihat tidak cukup berkesan menurunkan jumlah jangkitan kes baharu dengan banyaknya setiap hari.  Ada pelbagai kelemahan yang sepatutnya tidak berlaku dan kesilapan dalam mentafsirkan ‘darurat kesihatan’. Bukan Tipah sahaja yang ‘rasa tertipu’ bahkan Mat Skoding pun mula berfatwa macam-macam. Ini membuatkan Abah semacam ‘malu-malu’ dan dengan hati yang berat terpaksa menerima sindiran “Perdana Menteri Bodoh”.

Setakat ini, walaupun rakyat masih mampu bertahan, rakyat sedar COVID-19 adalah ancaman terbesar, dan tidak mahu kesannya menimbulkan ketakutan yang lebih besar,  rakyat tetap kesal dengan  ‘konco-konco katak PN’  terhadap langkah untuk menukarkan kerajaan Sabah. Akibatnya, jumlah mereka yang dijangkiti naik sangat mendadak selepas Shafie Afdal mendapat perkenan membubarkan ‘DUN Sabah’. Ia berlaku kerana Bersatu mahukan Parti Warisan hilang kuasa, Shafie kekal bertahaluf siyasi dengan PH. 

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin yang juga Setiausaha Agung Bersatu (selepas Langkah Sheraton) cukup cergas untuk melakukan ‘coup de tat’ . Beliau sudah berjaya memporak-perandakan politik Kedah,  mengetepikan Menteri Besar yang tidak tamat belajar dari Edith Cowan University,  hanya kerana sangat kental menyokong Tun Dr Mahathir,  menyihir untuk menjatuhkan Datuk Dr Shaharudin di Johor, dan juga ‘mendorong UMNO’ menumbangkan PH di Melaka. Namun, usaha di Negeri Sembilan gagal kerana PN ‘tidak cukup kuat’. Mungkin nak menghasut di Pahang rasanya tidak cukup ‘spinach’.

Apatah lagi bila bekas ‘veteran UMNO’ yang pernah ‘membakar jambatan’ sangat tidak konsisten dengan parti yang dipeluknya. Rakyat sudah mempersoalkan ‘kiblat politik’nya, dan ada yang mengibaratkannya seumpama ‘ulat beluncas’ – bergayut dan memakan daun-daun dari pokok yang subur- sebelum bermetamoforsis membentuk ‘rama-rama yang cukup indah’ dan berwarna-warni. Daun pokok yang hijau merenggeh, fotosintisis pokok terbantut dan mengambil masa untuk menumbuhkan pucuk baharu. Itupun kalau pokok itu masih kuat akarnya.

Menteri Pendidikan juga hebat dikritik. Akibat ‘tutup dan buka sekolah’ telah memunculkan Kluster Pendidikan,  dalam kalangan guru dan murid-murid, hanya membuka sekolah untuk tempoh yang pendek sedangkan COVID-19 masih mengganas dalam komuniti. Beliau juga dikritik kerana pelan pengajaran dan pembelajaran alternatif (pengajaran dan pembelajaran dari rumah, ringkasnya PdPR) tidak ‘cekap’ dan kadangkala cukup membebankan ibu bapa.

Walaupun para guru bertungkus-lumus menyiapkan ‘bahan pengajaran dalam talian’, tidak semua kawasan mempunyai akses internet dan kemudahan wi-fi . Kita sedia maklum ia adalah kelemahan pelaksanaan dasar ‘merapatkan jurang digital’ antara kawasan, wilayah dan juga rakyat. Kisah wi-fi percuma dalam kawasan-kawasan tertentu juga sangat meletihkan kalau nak ditelusuri  satu persatu janji dan harapan yang pernah diberikan oleh ahli politik. Pelaksanaannya seperti menyakat sampah di Sungai Gombak dan Sungai Kelang: duit habis,tenaga habis manakala hasilnya sangat minimum. Ada juga hasil hanya seketika tetapi khabarnya gegak gempita seluruh alam, selepas itu hanya tinggal nama  KampungTanpa Wayar ataupun Internet Desa.

Kampong Tanpa Wayar, Internet Desa dan seumpamanya sangat bersifat ‘panadol pilihan raya’, juga dengan gemuruh  Notebook 1 Malaysia (B40), chromebook kepada guru-guru. Hayatnya tidak panjang, lebih bersifat one-off. Akibatnya, bila berlakunya PdPR, timbul isu asas yang cukup meresahkan, yang sepatutnya tidak lagi merupakan masalah besar. Bertahun dasar digubal, pelbagai pengumuman dibuat, berbilion ringgit wang dibelanjakan, semuanya tidak mencapai sasaran,  merapatkan jurang digital.  Sudah lama dimulakan projek Multimedia Super Corridor (MSC), beribu pakar dibawa berunding, maka dapatlah rakyat sebut apa itu Sekolah Bestari, Kerajaan Elektronik, Smart Learning, dan sebagainya.

Sayangnya gempita hanya seumpama menembak bunga api ke angkasa pada malam menyambut tahun baharu. Sekolah Bestari, MySchoolNet, VFrog, pembelajaran maya, BestariNet hanya tinggal sebagai dokumen untuk cukup sedih untuk dibaca kerana ia sudah disuratkan sebagai gagal. YES! bukan sahaja bertukar menjadi NO! Dah bertatahkan calitan hitam dalam hukum politik yang cukup kejam. Barangkali ada benarnya kata Pete Gede, kematian bukan kerana sakit atau sesak nafas. Kematian kerana dibunuh oleh pembunuhan politikus yang kejam demi sebuah keangkuhan. Apakah makna keangkuhan? Akulah yang bekuasa, dan aku  mesti mengubahnya sebagaimana yang aku mahu.  Lebih dahsyat daripada kisah pantai yang berubah bila tibanya musim tengkujuh.

Hal sedemikian tidak berlaku di negara-negara lain, sesuatu dasar yang bagus dan dapat memberikan manfat besar kepada rakyat akan diteruskan walaupun berlaku perubahan kepimpinan dan pertukaran parti politik. Misalnya, Perang Perdagangan yang dilancarkan oleh Donald Trump diteruskan oleh Joe Biden. Beberapa hari lalu, Joe Biden mengeluarkan senarai tambahan  produk dari China yang dilarang atau bakal dikenakan tariff yang tinggi. Nasionalisme Amerika Syarikat tetap kekal. Bukan seperti Malaysia, yang kekal ialah bagaimana ‘membolot kekayaan peribadi’.

Hari ini, kita masih terkial-kial dengan  kelajuan internet. Sangat bersemut-semut  dan jurang digital masih diraptkan walaupun sudah lebih tiga puluh tahun bercakap dan dirangkakan pelannya. Bila PdPR dilaksanakan, kemudahan tersebut dipersoalkan. Walaupun  PdPR mungkin boleh dikecualikan, kerana ia berjalan dalam situasi ‘darurat’ dan di luar sekolah, ia tetap akan dikenang sebagai suatu percubaan yang boleh jadi gagal dan tidak mencapai apa yang diinginkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2012-2025, iaitu Kemenjadian Murid. KPM hanya ada masa sekitar empat tahun lagi untuk meletakkan sistem pendidikan di Malaysia berada dalam kelompok sepertiga di atas (terbaik), termasuk pencapaian penilaian pelajar di peringkat antarabangsa (TIMMS dan PISA) mahupun mendepani cabaran masa depan.

Sebelumnya, kita dihebohkan dengan Industrial Revolution (IR) 4.0. Tetapi dalam kecamuk politik selepas PRU ke-14, tiada lagi kedengaran. Tiada lagi disebut IR 4.0, tiada lagi Kanvas Lanskap Belia (TN50). Setiap hari disebut, kerajaan gagal, kerajaan pintu belakang (tebuk atap), rasuah sana penggubahan wang sini sehingga anak kecil pun dah pandai bercakap dan mengeluh.

Mampukah? Ini merupakan soalan yang bukan sahaja perlu dijawab dan dipertanggungjawabkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin secara langsung kerana beliau adalah arkitek dan pencetusnya. Berbilion-bilion telah dibelanjakan untuk menzahirkan aspirasi sistem dan aspirasi murid. Jangan ikut dilihat  kecundang seumpama Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mempertingkatkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang kedudukannya seperti misteri MH 370. Sepatutnya, pada tahun 2021, semua pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa Melayu selepas softlandingnya dibuat pada tahun 2011, kecuali di kelas-kelas yang diuluskan DLP (Dual Language Programme).

Ketika isu ‘tiada gajet’  yang berlaku semasa  PKP 2.0  diumumkan langkah penyelesaiannya dengan peruntukan sejumlah wang untuk membeli komputer riba, hingga sekarang tidak nampak adakah ia sudah dibeli dan diagihkan kerana PdPR akan bermula tiga hari lagi , iaitu pada 13 Jun 2021 (selama 25 hari). PdPR juga mungkin akan berlanjutan sekiranya jumlah kes baharu tidak dapat dikurangkan kepada angka yang dianggap “selamat” atau “terkawal”.

Dalam masa yang sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia masih ‘membisu’ dengan pelan merapatkan ‘jurang digital’ sebab mungkin ‘seronok’ membaca laporan para pelajar bersusah payah mendaki ‘kawasan tinggi’,’memanjat pokok’ dan ‘belajar di atas bumbung’. Atau sedang memelas minda untuk merencanakan program yang akan dilaksanakan olehJ-Kom,agensi yang sangat rapat dengan obligasi politik parti politik yang memerintah seperti pernah dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, dan akhirnya dibubarkan oleh Pakatan Harapan.

Solusinya bukan pada masa ini, tetapi entah berapa tahun lagi akan dapat dilakukan kerana ber’tasawul’ dengan teknologi 5G, sedangkan teknologi 4G pun masih terkial-kial dan sukar mencapai momentum 30 atau 50 kilobait sesaat. Lumrahnya, kelajuan wi-fi di rumah sangat lemah, bukan sahaja di luar bandar, bahkan di Kuala Lumpur sendiri.

Misalnya, pada ketika rencana ini ditulis (8.30 pagi, 10.6.2021), kelajuan Unifi (yang dipertingkatkan Mesh berada pada tahap 0.12 kilobait sesaat, menyebabkan proses muat turun (downloading) ‘sangat bersemut-semut’, walhal iklannya cukup hebat. Hari ini PdPR belum lagi, tetapi keadaannya akan menjadi ‘lebih parah’ sekiranya pembelajaran secara dalam talian itu dilaksanakan sebaik sahaja ‘‘sekolah di rumah’ bermula Ahad atau Isnin ini.

Jika kita membaca akhbar, melayari media dalam talian, mengakses media sosial, hanya beberapa nama orang menteri menjadi cukup terkenal selain Perdana Menteri,  yang sudah digelar “PM Bapa Pengumuman”. Setiap hari ada berita daripada Menteri Kanan Pertahanan kerana sejak beliau dilantik, setiap hari akan muncul memberitahu apa yang berlaku dan apa yang akan berlaku dalam tempoh ‘menurunkan kes jangkitan COVID-19’ ini.

Kemunculannya pada peringkat awal didakwa untuk ‘promosi batik’, kemudian SOP yang bertukar-tukar, tutup pintu depan dan kini, heboh dengan kompaun tidak mengemaskinikan MySejahtera, akibat tafsiran arahan yang sangat tidak berpiawai oleh pegawai pelaksana. Mujurlah Majlis Keselamatan Negara (MKN) cepat mengeluarkan kenyataan, jika tidak ‘parah’ beliau akan dibelasah walhal sudah 15 bulan ‘tidak kecundang muncul’. Mungkin kerana kekerapan muncul itulah Datuk Ismail Sabri Yaakob sedikit sebanyak ‘menurunkan populariti’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin. Mungkinkah itukah sebabnya telah mendorong Tan Sir Muhydin muncul untuk membuat pelbagai pengumuman secara langsung di skrin televisyen? 

Ismail Sabri adalah Naib Presiden UMNO. Dalam persepsi rakyat umum,  ‘jika tiada menteri’ daripada UMNO, Perikatan Nasional akan ‘runtuh’ dan ‘sangat gagal’,  bukan lagi sekadar ‘kerajaan gagal’. Secara zahirnya memang begitu, kerana UMNO adalah penyumbang terbesar dalam PN, walaupun Bersatu tetap mendominasinya.

Tugas lebih besar menangani COVID-19 diberikan kepada dua orang menteri daripada UMNO,  Ismail Sabri Yaacob dan Khairy Jamaludin manakala menteri-menteri daripada Bersatu seumpama ‘main telur’ (pinjam istilah yang pernah dipopularkan oleh Mat Sabu). Ini kerana Muhyiddin mungkin sudah mengenai setiap orang menteri daripada UMNO, kerana sebelumnya mereka bersama-sama UMNO. Muhyiddin sangat tidak yakin dengan menteri daripada Bersatu, kerana mereka bukan sahaja kurang berpengalaman, bahkan ‘sangat luar biasa’ keinginan politiknya, terutama ‘katak-katak’.

Biarpun pemberian vaksin  dikritik oleh salah seorang bekas menteri daripada DAP, yang pernah menjawat jawatan yang dipegang oleh Khairy Jamaludin sekarang, tidak ramai yang ambil kisah kerana itu adalah ‘kerja pembangkang’. Pembangkang hanya tahu belasah, sebab itulah bila menjadi kerajaan mereka masih mengamalkan ‘budaya pembangkang’ dan tidak melihat kepada kemudahan dan bekalan vaksin itu sendiri. Sebabnya masa berada dalam kabinet mereka belum tamat belajar, masa 22 bulan tidak cukup untuk memahamkan mereka dengan budaya dan organisasi kerajaan. Hal itu pernah diberikan amaran oleh Tun Daim Zaunudin, tempoh enam bulan pertama ‘sudah cukup untuk belajar’ tetapi mereka perlukan masa yang ‘sangat lama’ sehingga ‘sudah tersungkur’ pun masih belum faham.  Permintaan terhadap vaksin begitu besar, dan ia boleh dibekalkan berdasarkan kemampuan pembuatnya, maka sebab itulah ia memerlukan masa.

Vaksin pula memerlukan ‘penjagaan rapi’ dan untuk menyediakan peti penyimpanannya tidaklah semudah membeli peti sejuk secara dalam talian, atau ke kedai elektrik membuat pilihan. Begitu juga peralatan-peralatan lain untuk menampung peningkatan kes positif di mana kadar penggunaan bilik ICU di hospital sudah dilihat kritikal. Untuk membeli katil bagi kegunaan pesakit yang kritikal, bukan semudah membeli di kedai perabut, dan tentunya ingat bagaimana sukarnya membeli pelitup muka ketika PKP 1.0 diperkenalkan.

Ia bukan sahaja menjadi alat yang cukup diperlukan, bahkan dijual dengan harga yang cukup mahal sehingga dikawal ke tahap RM 80 atau di bawah RM 100 sekotak. Kini, isu pelitup muka tidak menjadi masalah kerana harganya cukup murah, lebih murah daripada harga sebelum PKP. Pelitup muka kini bukan lagi berkisar daripada isu harga, tetapi isu ‘tidak memakai pelitup muka’. Jika diambil perangkaan jumlah kompaun melanggar SOP, tidak memakai pelitup muka adalah yang terbesar, dan diikuti tidak mengimbas MySejahtera atau merekodkan kehadiran di sesuatu premis.

Biarpun menggunakan pendinding muka (face shield), pelitup muka (face mask) adalah kemestian. Itulah yang berlaku apabila bekas pengerusi prasarana, Tajudin Abdul Rahman didenda RM1,5000. Imejnya cukup terjejas kerana terbalik mengenakan pendinding muka, tidak memakai pelitup muka dan dipecat oleh Menteri Kewangan, yang sedang dipersoalkan peranannya untuk membantu rakyat.

Rakyat tetap melihat Menteri Kewangan gagal dalam membantu rakyat kerana sangat menjaga ‘keuntungan bank-bank’ apabila ‘tidak sanggup’ mengarahkan bank-bank untuk memberikan moratorium secara automatik selama tiga atau enam bulan bagi kali kedua. Kali pertama Menteri Kewangan boleh berkolaborasi dengan bank-bank komersial yang dikawal selia oleh Bank Negara, tetapi kenapa kali ini berdalih ‘ia adalah hak bank’ dan Menteri Kewangan tidak boleh ‘campur tangan’.

Keengganan tersebut membawa natijah dan memanjangkan lagi senarai ‘kerajaan gagal’. Sebelum itu, beliau turut enggan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sebahagian caruman untuk membantu ketika dalam kesukaran. Dahlah persoalan peningkatan hutang negara lebih RM 115 bilion dalam tempoh lima bulan cukup memaksa rakyat mula berfikir, apakah PN masih memalu ‘gendang lama’?.Seperti bernasnya cadangan bekas Menteri Kewangan,selama-lamanya akan bermain wayang,kerajaan boleh pinjam wang untuk bantu rakyat. Ketika mementaskan wayang dalamPH, tidak pula bercakap sedemikian apabila rakyat mempersoalkan pelan pemulihan ekonomi untuk rakyat.Sebaliknya, berusaha untuk membayar hutang. Akhirnya meletup, bukan jumlah hutang semakin berkurang,bertambah dengan hutang negara dalam dominasi Yen.

Setiap tindakan menteri-menteri yang bukan daripada UMNO cukup banyak ‘bola tanggung’ yang dihantar, termasuklah menteri-menteri dari PAS yang merasakan kedudukan mereka cukup selesa dan sedia bekerjasama membentuk Perikatan Nasional secara sah.

Dr Khairudin yang menambah at-Takiri di belakang namanya, benar-benar sedang di’takir’.  Pada masa ini,  selepas ter’takir’ dengan hadiah SUV untuk hari jadi isteri (sebelum jadi menteri), langgar SOP kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara (dah senyap sebab tolak gaji dan elaun), kini tersembul pula perihal ‘ditahan dalam sekatan jalan raya’ beberapa hari selepas Aidilfitri, penjualan tanah Lembaga Getah Malaysia (LGM) dibawah harga pasaran, pelantikan pengerusi LGM (bukan rakyat tempatan dan tidak berkelayakan kerana sebelumnya menguruskan badan korporat kerajaan TDM, gagal melengkapkan laporan tahunan syarikat dan menanggung rugi besar), dan juga ada ‘dakwaan’ bahawa beliau turut memainkan peranan untuk menjatuhkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Samsuri (bekas pensyarah aeroangkasa dan bekas setiausaha politik Presiden PAS).

Biarpun isu itu dikatakan ‘fitnah’ selepas Menteri Besar menghadap Sultan Terengganu, ia tetap akan meninggalkan ‘parut’ dalam politik Terengganu di mana UMNO sudah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan PAS berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

UMNO cukup terkilan dengan tindakan Menteri Besar yang tidak mengagihkan dana COVID-19 membantu rakyat dan peruntukan untuk setiap wakil rakyat. Biarpun infografik ditular, peruntukan setiap wakil rakyat UMNO sebanyak RM 250,000 adalah empat kali lebih kecil daripada peruntukan untuk wakil rakyat PAS berjumlah RM 1,000,000 setiap kawasan.

Menurut dakwaan Pengerusi UMNO Negeri, juga bekas Menteri Besar Terengganu yang pernah ‘berseteru dengan Najib’, Datuk Ahmad Said, peruntukan itu tidak disalurkan. PAS juga tidak ikhlas dalam menterjemahkan Pemuafakatan Nasional. Tiada jawatan EXCO dilantik daripada UMNO sedangkan UMNO mempunyai 10 kerusi di Terengganu.

Tindak-tanduk politik PAS itu juga memperlihatkan percubaan desperado, tidak adil kepada rakyat yang memilih UMNO walhal ia adalah hak dan prerogatif rakyat, bukan hak mutlak PAS untuk ‘menghukum’.

Seorang lagi menteri daripada PAS yang merupakan ahli keluarga bekas Menteri Besar Kelantan (yang paling lama berkuasa, Nik Abdul Aziz Nik Mat), Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili Parlimen Kubang Kerian tetap dilihat gagal membantu Kelantan dalam menyelesaikan kemelut bekalan air bersih.

Ia menyendukan rakyat  apabila menjawab, Kelantan dapat selesaikan masalah itu dalam tempoh tiga puluh tahun, kerana sebagai menteri yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan, beliau sebenarnya ‘tidak berbuat apa-apa’ kecuali menghidu ‘air sungai yang tercemar’ ataupun melawat kilang-kilang yang diarahkan tutup akibat melepaskan enap cemar ke sungai. Itu sahaja kerja menteri, yang sudah tidak lagi ‘berpuisi’ sebab ‘menang pilihan raya’ dan ‘dah gumbira’ jadi menteri.Setakat ini walaupun jawapannya tidak ‘memancing’, ia masih lebih rasional berbanding jawapan Timbalan Menteri Besar Kelantan:air Sungai Kelantan tidak boleh dicampur dengan klorin;air keruh kerana paip biru (BN) air hijau (PAS),tidak serasi; dan, tiada air paip pun boleh lawan UMNO dan menang jadi EXCO.

Itulah kisah besar kegagalan barisan menteri kabinet menteri Perikatan Nasional, yang belum lagi diberikan jolokan ‘ramai menteri pasola’ oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan. Agaknya kerana Tok Mat tidak mahu membuat generalisasi yang sama, seperti pernah diberikan kepada menteri-menteri Pakatan Rakyat. Tok Mat nak  ‘jaga hati’ rakan-rakan UMNO yang berada dalam kabinet, dan tidak mahu ‘kerana beberapa titik nila maka rosaklah susu sekolam’ nanti.

Sehari dua ini muncul pula kisah, mungkinkah akan berlaku perubahan kerajaan? Semalam Tan Sri Muhyidin, Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dikatakan sudah ‘menghadap’ Yang di Pertuan Agong, dan telah disahkan oleh kenyataan media Istana Negara. Dalam tempoh beberapa hari ini, beberapa orang lagi pemimpin parti akan juga menghadap dan seterusnya akan diadakan perjumpaan Yang di Pertuan Agong dengan Raja-Raja Melayu pada 16 Jun 2021.

Secara jelas tidak ada khabar apakah pertemuan itu bersangkut paut dengan pertukaran kerajaan. Apa yang dilaporkan lebih banyak tentang usaha membendung  jangkitan COVID-19, biarpun dalam bentuk ‘satu persoalan’ tersiar sebuah rencana yang ditulis oleh Pegawai Penerangan dan Perhubungan, Pertubuhan Ikram Malaysia, yang diterajui oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik, Kepimpinan Negara Bakal Bertukar?, Malaysia Dateline, 10 Jun 2021.

Saya tidak fikir ‘kerajaan’ akan bertukar dalam tempoh terdekat. Tetapi kemungkinan membatalkan ‘proklamasi darurat’ lebih awal akan berlaku dan membenarkan Sidang Dewan Rakyat berlangsung sama ada secara hibrid atau dalam talian bagi membolehkan wakil-wakil rakyat yang ‘gian bercakap’ dapat bercakap untuk membuktikan ‘keunggulan diri dan pemikiran’ biarpun ia hanyalah retorik. Memang kita tahu, selama berada dalam ‘barisan pembangkang’ cakap mereka ‘cukup bernas’ tetapi bila diberikan peluang ‘dalam kerajaan’ lain pula jadinya. Juga kita tahu perangai mereka, semasa berada dalam kerajaan kerusi wakil rakyat ‘kerajaan’ sentiasa kosong kerana ‘tidak tahan sejuk’. Sekarang lain pula ceritanya, dalam gelora COVID-19 berusaha ‘menangguk di air keruh.’

Ya! Kita tahu Lim Guan Eng memang cukup terkenal dengan jenama e-wallet RM 30;  Mat Sabu dengan imej ‘astronut’ yang syok ke sana ke mari ‘naik helikopter’; Dr Mahathir masih tidak berpuas hati  ‘nak lagi jadi Perdana Menteri’; Anwar Ibrahim (dengan Jaguar XJ) belum tamat tempoh “Perdana Menteri Menanti”; dan Shafie Afdal yang hilang jawatan Ketua Menteri dan tergelonsornya Parti Warisan.

Rakyat bukan mahukan ‘kerajaan bertukar’ dalam tempoh terdekat sebagaimana diandaikan oleh Atriza Umar. Apa yang rakyat mahukan ialah “COVID-19 segera hilang” untuk membolehkan kembali menjalani hidup dengan norma biasa. Rakyat sudah ‘bosan’ dan ‘muak’ dengan norma baharu, kerana semuanya terhad dan tersekat. Rakyat masih boleh bertahan, tetapi rakyat inginkan kerajaan Perikatan Nasional membuat perancangan masa depan yang lebih baik, termasuk mempercepatkan vaksinisasi agar matlamat 80 peratus tercapai.

Rakyat mengharapkan lebih banyak pusat pemberian vaksin dibuka, termasuk menggunakan klinik-klinik swasta yang ada di seluruh negara dengan vaksin percuma. Ia dapat mengatasi kekangan kekurangan para demik di pusat-pusat vaksinasi kerajaan dan berlaku kesesakan melampau seperti pernah berlaku di Pusat Dagangan Dunia  (WTC), yang sudah hilang nama asal,  Putra World Trade Center (PWTC) selepas UMNO hilang kuasa. Tidak tahu apa sebabnya, yang ramai rakyat tahu ialah ia masih kekal milik UMNO kerana status sebahagian tanahnya masih milik Tengku Razalaiegh Hamzah, jika tidak sudah lama ‘tergadai’ atau berpindah milik.

Apa yang kita dapat pelajari selepas Pakatan Harapan hilang kuasa ialah ‘kehilangan aset negara’ dan selepas Perikatan Nasional membentuk ‘kerajaan gagal’, juga ada penjualan aset dan peningkatan hutang negara begitu besar, rakyat semakin terhimpit dengan pelbagai kesukaran dan ‘janji’. Tahun 2018, rakyat percayakan ‘bunyi guruh, lalu dicurahkan air di dalam tempayan’ dan sekarang, rakyat sebahagiannya sudah menyesal dengan ‘pilihan yang tidak menepati’.

Sayangnya, dalam psikososial dan pertarungan politik tersebut UMNO tidak mampu membetuli kesilapan, masih ramai ‘penjilat (bulldog)’ yang mempertahankan warlords, seumpama keluh trio Kenny, Remy dan Martin: “Kita asyik membicarakan, Persoalan hidup dan pilihan, Serta kejujuran semakin berkurang, Masih tiada bertemu jawapan.”

Akhirnya, kita berhadapan pula dengan situasi: “Hingga amat menakutkan, Menghadapi masa depan ; Seolah telah terhapus; Sebuah kehidupan yang kudus.” [nyanyian Kenny, Remy dan Martin, Suratan atau Kebetulan, lirik Habshah Hassan dan Kenny Tay, Warna Chapel Music (Malaysia) Sdn. Bhd., 1986).

Kededua fenomena politik itu akan terus berlaku dan apa yang sedang berlaku, ada kebenarannya ‘kerajaan gagal’ dan sekaligus, peranan yang sedang dilakonlayarkan oleh desperado politik. Rakyat tidak sepatutnya terperangkap, kerana yang menggambarkan ‘kerajaan gagal’ bukanlah semua rakyat, ia hanya muncul daripada oportunis politik, dan dikemundangkan dengan gempitanya oleh ‘bulldog’, walaupun suara-suara menteri kabinet gagal sudah jelas kedengaran,  bahkan sekarang Azmin Ali sedang hangat didesak dipecat segera. (Change.org. pada jam 10.48 pagi 10 Jun 2021 sudah ada petisyen seramai 234,149 netizen mahukan Azmin dipecat).

MONOSIN SOBRI

Translate »