Dua istilah ini cukup memancing minat saya dan mungkin bakal menimbulkan lebih banyak perdebatan, atau mungkin lebih besar lagi daripada isu asal, iaitu keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk menangkap pendatang asing alias ‘haram’ (tiada dokumen yang sah) atau dipanggil PATI, ‘jika mereka keluar’ sama ada untuk ‘vaksinisasi’, ataupun ‘mencari barang keperluan’ dengan pihak berkuasa. (Predeep Nambiar, Beri vaksin, bukan hukuman penjara kepada pendatang tanpa izin, kata aktivis, Free Malaysia Today, June 8, 2021)
Dari perspektif undang-undang, seseorang yang memasuki mana-mana negara tanpa dokumen yang sah, atau terus tinggal di sesebuah negara ini selepas tamat tempoh visa, atau ‘membuang dokumen selepas tamat tempoh kebenaran tinggal’ dan salah guna visa adalah satu kesalahan. Tidak ada mana-mana negara moden yang melihat kesalahan itu sebagai sesuatu yang absah dan perlu diberikan perhatian, undang-undang tetap undang-undang, bukan permainan ‘gelap-cerah’. Setiap PATI yang ditangkap atas kesalahan peraturan imigresen akan ditahan, dibicarakan dan seterusnya dibuat keputusan agar negara asal mengambil tanggungjawab, menguruskan ‘kepulangan’ atau ‘dihantar pulang’.
Itu adalah prinsip asas, prinsip yang perlu difahami sebelum membelok kepada persoalan ‘kemanusiaan’ dan ‘belas kasih’. Tindakan ‘pemutihan’ hanyalah satu opsyen, bukan pilihan yang boleh dilaksanakan secara berulang-ulang. Jika ia adalah pilihan penyelesaian, sampai bila pun isu PATI tidak dapat diselesaikan. Sebab itulah tempoh pemutihan ada hadnya, dan bukan boleh dilaksanakan sepanjang masa tanpa had.
Apabila aktivis ‘kemanusiaan’ memperjuangkan kerajaan perlu memberikan keistimewaan kepada PATI, maka muncullah kebenaran daripada peribahasa Melayu yang cukup terkenal, tiada beban batu digalas. Ertinya, PATI sudah banyak mendatangkan pelbagai masalah, dari masalah sosial, politik hinggalah masalah ‘hakisan nilai-nilai agama’ maka, dengan memberikan kelonggaran menerima vaksin, ia akan menjejaskan perihal belanja ‘dari wang pembayar cukai’.
Malaysia meletakan sasaran, 80 peratus daripada penduduk menerima suntikan vaksin sebanyak dua dos. Ini bermakna, penduduk Malaysia yang bukan warganegara boleh mendapatkan suntikan vaksin sekiranya mereka mempunyai dokumen sah. Setakat ini pemberian vaksin adalah percuma, yakni ditanggung oleh pembayar cukai. Apakah mengaitkan pertalian ini boleh dianggap ‘logik salah’ atau ‘bertentangan dengan teori sains.”?
Tentunya jawapan itu yang dimaksudkan oleh aktivis yang cukup sayang kepada PATI. Seperti kata Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin, jika pertubuhan-pertubuhan sealiran dengan dengannya, dan sebelanga dengan aktivis yang menyuarakan tindakan itu sesuatu yang difikirkan ‘logik salah’ dan ‘bertentangan teori sains’ dipersilakan untuk menanggung atau membiayai mereka dan ‘ambil mereka’.
Saya melihat sangat tidak menepati nilai kemanusiaan itu sendiri kerana sebagai manusia, kita sangat tertakluk kepada norma, perturan, adab dan juga undang-undang di mana ‘langit dijunjung dan bumi di pijak’ Bahkan, peribahasa Melayu mengajar kita bahawa jangan sampai ‘itik di air mati kehausan dan ayam dikepuk mati kelaparan.”
Ertinya, berapa banyak lagi wang perlu dibelanjakan untuk membeli vaksin, jika PATI diberikan vaksinisasi secara percuma. Bukankah, jika perbelanjaan itu digunakan untuk tujuan yang lebih penting dan mendesak kepada rakyat Malaysia yang semakin ‘sukar’ dalam tempoh pandemik dan terperuk dalam ‘emosi terkurung’ sejak PKP dilaksanakan? Apakah priority yang haru dipilih, ‘menyusui kera’ atau tidak peduli ‘kesusahan rakyat’?
Dalam mana-mana teori bernegara moden, atau pramoden rakyat sendiri sangat diutamakan sebelum melebarkan ‘kebajikan’ kepada orang lain. Apakah itu belum cukup untuk difahami mengenai pendekatan pengurusan rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat? Tidak perlu kita telesuri semula apa yang berlaku, ada negara berusaha menafikan kerakyatan penduduknya kerana perbezaan etnik, agama dan pendirian politik seperti ‘pembersihan etnik Rohingya di Myanmar, Palestin di Gaza, Uighur di China dan komuniti Islam di wilayah Assam?
Sepatutnya inilah perjuangan kemanusiaan yang paling besar dan dijadikan fokus, kerana ia membabitkan penduduk asal dan mereka yang sudah beratus tahun membina kehidupan di negara berkenaan, bukan PATI yang hanya masuk ke negara ini kerana mencari pendapatan secara haram. Bayangkan, apa sudah berlaku pola kehidupan masyarakat apabilan ramai PATI seperti membentuk koloni di sesebuah kawasan? Apakah peranan dan fungsi aktivis kemanusiaan dalam ‘menyahkan PATI’, dan bukan mempertahankan PATI yang pada prinsipnya sudah melanggar undang-undang dan peraturan sosial?
Apakah aktivis kemanusiaan itu akan perjuangkan ‘sampai mati’ sehingga asas kemanusiaan yang mereka hasratkan itu sehingga timbul di permukaan atau sampai ke titik dipertimbangkan Hadiah Nobel Kemanusiaan? Apakah mereka akan dinobatkan sebagai ‘hero yang salah’ dengan menjadikan PATI sebagai pemilik dokumen sah dan akhirnya diterima sebagai penduduk tetap ataupun warganegara?
Tidak cukupkah dengan kisah Rohingya yang diberikan ‘perlindungan di Malaysia’ yang sangat kuat tekadnya untuk ‘menakluk Selayang’ atau sekumpulan rakyat asing dari Bangladesh mahukan ‘Sungai Buloh’ diberikan kepada mereka?. Sanggupkah kita melihat perilaku PATI memelihara kambung dalam ‘rumah pangsa’ atau ‘memangkas buah durian yang hampir masak’ pada waktu malam kerana ‘musang king dan duri hitam’ cukup tinggi harganya? Memang benar, bukan semua PATI terbabit dengan ‘kegiatan haram’, tetapi kecenderungan terhadap itu telah dibuktikan ada.
Bahkan pernah dikaitkan pula penerobosan nilai-nilai agama oleh rakyat asing yang bermastautin di negara ini dalam banyak perkara. Antaranya, berkahwin dengan rakyat tempatan hanya kerana ini mendapat lesen untuk berniaga, walaupun wanita yang dikahwini itu adalah ‘sangat berusia’. Matlamat menghalalkan cara, dan akhirnya menimbulkan pelbagai implikasi ekonomi dan sosial. Perniagaan juga ada situasi tidak jujur, seperti menipu dengan mempamerkan beberapa ayat al-Qur’an kerana ingin menarik orang Islam berbelanja, kerana perkara yang sangat dipentingkan oleh umat Islam ialah ‘halal’, dan memang juga berlaku, warganegara Malaysia pun juga ada teknik untuk menipu dalam hal seperti itu.
Umpamanya menggunakan logo halal palsu, logo halal tamat tempoh, mengasosiasikan jenama dengan jenama Melayu-Islam dan bertulisan Jawi, berkopiah dan menggaji beberapa orang pekerja Islam sebagai ‘frontliners’, walhal ‘kesucian proses dan bahan mentah’ cukup diragui sebagai ada iklan ‘no pork no larks’.
Benar tidak ada ‘pork’ dan ‘lark’ tetapi, ada bahan-bahan lain yang dicampurkan tidak disahkan halalnya, seperti campuran rempah-ratus, bahan perisa, dan cara ianya dimasak, diproses dan kadangkala disimpan bercampur dengan barangan yang diragui status halal dan tidak halal. Ia sentiasa berlaku, dan kisahnya banyak kita temui setiap kali ada laporan premis yang menyediakan makanan diarah tutup kerana masalah halal dan tidak bersih daripada perspektif syariat.
Ada PATI diberikan tanggungjawab menguruskan penyajian makanan, yang kadangkala amat diragui prinsi kebersihan. Dilihat daripada cara memprosesnya juga kadangkala menjijikkan. Bahan mentah tidak dibersihkan dengan betul, kehanyiran ikan yang dimasak cukup meloyakan, dan ada cerita pengusaha makanan mengambil semula lauk-lauk yang tidak habis dimakan, dibasuh, dipotong dan dimasukkan semula ke dalam periuk lauk untuk dijual semula.
Kita mungkin ingat kisah yang pernah berlaku di Terminal Bas Bersepadu di Salak Selatan. Kita ingat dengan kisah membasuh pinggan mangkuk menggunakan air yang bertakung di dalam lopak. Kita ingat kisah membasuh penyedut minuman yang sudah digunakan untuk digunakan semula. Semuanya itu mengajarkan kita perihal pelanggaran undang-undang dan adab.Apakah kita sanggup mempertahankan perlakuan sedemikian?
Suatu ketika kita digemparkan dengan Awang Hitam, kini kita digemparkan pula dengan ‘judi online’, yang semuanya ada kaitan dengan bukan warganegara. Awang Hitam masuk ke negara ini menggunakan ‘visa pelajar’, akhirnya mereka tidak belajar, dan melakukan pelbagai aktiviti termasuk menipu, pukau dan membuat kecoh setiap malam minggu di kawasan kediaman tanpa mempedulikan penduduk tempatan. Rakyat tempatan berada dalam ketakutan, rakyat tempatan turut terjebak dengan pelbagai penipuan dan sindiket sebagai ‘kaldai dadah’. Apakah itu belum cukup untuk mendefinisikan ‘logik salah’ dan ‘teori sains’.
Teori sains hanya bukan melihat kisah betapa contagiusnya virus disebarkan. Teori sains juga perlu digunakan untuk memahami tingkah laku manusia, dan bagaimana munculnya kesan Lucifer atau berkembangnya jenayah atau perlakukan tidak bermoral dalam komuniti walhal sebelumnya sangat terkawal dan jarang-jarang berlaku.
Benar, virus COVID-19 sudah berlegar dalam komuniti. Bermakna, untuk membendung atau memutuskan rantaian, komuniti telah dibuktikan sangat bergantung kepada vaksin, maka semakin ramai divaksin potensinya untuk menjadi ganas dan sangat contagious dapat dielakkan. Komuniti pula sudah bercampur, antara warganegara dan bukan warganegara, termasuk PATI. PATI memang kita tahu, kehidupan mereka seharian adalah sangat sesak, berhimpit-himpit dalam satu rumah, di rumah-rumah kongsi dan juga rumah haram di kawasan sedikit terselindung.
Ada di beberapa kawasan PATI tidak takut lagi dengan sesiapa, boleh membina rumah dan jika rumah itu disewa mengubahsuai rumah sehingga dari dalam umpama ‘sarang merpati’ dan bilik bertambah daripada asal. Setiap bilik dihuni oleh satu keluarga, bermakna PATI cukup cekap melipatgandakan pendapatan, memecahkecil untuk disewakan kepada PATI yang lain. Hal ini juga satu kesalahan, maka sepatutnya aktivis kemanusiaan perlu bekerjasama membenterasnya kerana ia jelas melanggar nilai-nilai kehidupan dan kemanusiaan (eksploitasi ruang dan keselesaan demi mencari keuntungan mudah). Di manakah lojik yang diperjuangkan?
Sepatutnya jika PATI itu jujur, memegang makna kemanusiaan sebagaimana sifatnya yang asli, dia akan mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal kerana terus tinggal sebagai PATI banyak risikonya. Kita tahu, kerana status mereka adalah PATI mereka sangat mudah dieksploitasi oleh majikan yang sangat ‘selfish’—mahu untung besar dan kaya cepat—sehingga ada di antaranya ‘dijual’ sebagai ‘pelacur’ dan dikawal sebagai ‘pekerja seks’. Hal sedemikian tidak pernah selesai, kerana perniagaan sedemikian sangat menguntungkan, biarpun ada ketikanya diserbu oleh pihak berkuasa.
Berapa ramai PATI yang dieksploitasi untuk tujuan tersebut atas penyamaran ‘pekerja sosial’, ‘pelayan bar’, ‘teman berkaraoke’ atau ‘peneman sosial –social escort’. Kisah platform ‘sugarbook’ masih belum selesai, tetapi ada pula yang memperjuangkan kebebasan dan keselesaan ‘sugarbaby’ yang mendapat ‘rezeki’ daripada ‘sugardaddy’ yang kaya dan berwang. Bukankah itu gambaran masyarakat Malaysia juga sedang sakit; Sakit Moral dan Wabak Hedonisme? Sugardaddy dan sugarbaby juga melakukan pelanggaran moral, bahkan menyalahi undang-undang, maka apakah makna ‘kemanusiaan’ yang hendak dipertahankan?
Kemanusiaan, berasal dari kata manusia. Manusia adalah yang berakal dan cukup memahami dirinya sendiri. Manusia yang memahami dirinya sendiri akan mempertahankan dirinya daripada dicerobohi, dan dieksploitasi oleh orang lain. Maka, seharusnya mereka berjuang atas prinsip ‘kemanusiaan’ perlu menjadikan pelanggaran itu sebagai asasnya, bukannya mempertahankan manusia yang melanggar adab, budaya, modal dan peraturan (undang-undang).
Kalaupun ingin membantu, bantulah secara berhemah dengan memperbetulkan kesalahan yang dibuat, termasuk melegalisasikan PATI yang menasihat atau menguruskan urusan mendapatkan dokumen yang sah. Bukan hanya tahu melalak, dan menjolok pemerintah untuk melenturkan undang-undang, ia adalah tindakan yang sangat merbahaya kepada kesejahteraan sosial dan kedaulatan undang-undang.
Rakyat yang bertanggungjawab, dan setiap daripada kita sangat cintakan kehidupan yang harmoni (harmoni bermakna tiada gangguan sosial, persekitaran, pencemaran budaya, jenayah dan perlakuan moral –boleh bersuami lebih dari seorang, membentuk koloni haram dengan subkultur tersendiri (import budaya anarkis, songsang dan bilazim serta memaksa orang lain menerimanya), menuntut yang bukan hak mereka dan sebagainya—perlu disempadankan dengan undang-undang, bukan hanya atas nama kemanusiaan. Kerana terlalu berkiblatkan kemanusiaan, maka semua statusquo dan legasi akan berubah dan berkecamuk, yang akhirnya melahirkan masyarakat yang mengherokan ‘penjahat’, ‘penjenayah’, ‘pengkhianat’, ‘petualang’ dan pelanggar undang-undang.
Jangan jadikan pademik COVID-19 sebagai alasan untuk ‘melanggar undang-undang’ atas alasan ‘kemanusiaan’ kerana undang-undang itulah yang akan mengekalkan erti kemanusiaan secara betul dan beradab. Ya, jika pemberian vaksin dijadikan senjata, eloklah dikumpulkan semua PATI agar dibantu untuk mendapatkan dokumen yang sah sebelum dibolehkan menerima vaksin. Kalaupun dibenarkan, setelah dokumen yang sah tersedia, mereka perlukan membayar kos vaksinisasi, agar ia adil kepada rakyat Malaysia. Inilah hakikatnya, bukan membela PATI tanpa ada pertimbangan undang-undang dan hukum moral, kerana moral itu sangat berkaitan dengan tingkahlaku, termasuk ‘melanggar adab’ dan norma sesebuah negara atau komuniti.
Memang kita akui, ada kluster tembok yang turut menaikkan kes COVID-19. Mereka boleh diberikan vaksinisasi kerana sedang menjalani hukuman, termasuk melanggar peraturan imigresyen, berbanding PATI yang masih bebas. Kerajaan sudah lama bertolak ansur dengan mereka, untuk tampil menjalani proses pemutihan, tetapi mereka tetap enggan kerana melihat negara ini banyak kelebihan, termasuk mencari dan ‘mencuri’ rezeki.
Banyak peluang yang mereka boleh eksploitasi, menggunakan rakyat tempat untuk ‘meraih simpati’ dan membantu ‘meraih kekayaan’, memanipulasi situasi dan juga menjerat ‘rakyat tempatan’ untuk menukar status sebagai penduduk tetap atau alasan memohon kewarganegaraan (berkahwin dengan rakyat tempatan) dan sebagainya.
Tapi pademik COVID-19 adalah masa terbaik untuk kerajaan untuk mengurangkan jumlah PATI kerana mereka juga hidup dalam ’emosi terkepung’ dan sedang mencari jalan keluar untuk dimaafi di atas pelanggaran undang-undang dengan alasan kemanusiaan, perlukan vaksinisasi. Vaksin adalah isu yang lain, bukan alasan untuk tujuan kemanusiaan. Simpati tetap ada, tetapi PATI seharusnya lebih bersimpati dengan kerajaan, rakyat tempatan sebelum boleh menuntut pertimbangan kerana sebelumnya, mereka sudah banyak melakukan kesalahan moral, adab, budaya dan peraturan, yang kadangkala bersifat politik dan ugutan.
Semuanya itu sudah cukup mengingatkan, dan juga meresahkan.
Mahanor Saleha
Recent Comments