Sedarkah kita sepanjang berada dalam ‘era emosi terperuk’ akibat norma baharu telah mengubah cara berfikir, bertindak dan seterusnya membuat keputusan.
Kalau sebelumnya, bila isteri tidak menyediakan juadah, kita mengambil keputusan keluar rumah menujuk ke kedai mamak untuk segelas teh tarik dan sekeping roti canai kuah banjir.
Jika anak-anak bising membingit, kita ambil keputusan untuk membawa mereka bersantai di restoran makanan segera seperti KFC, Pizza Hut, McDonald dan boleh bersantai di Kompleks Beli Belah, terutama yang ada disediakan perkhidmatan amusement dan permainan kanak-kanak.
Kini, semuanya terpaksa kita lupakan kerana semuanya sudah terhalang. Mahu tidak mahu, layanlah sekadar termampu kerenah anak-anak dan sambil menonton televisyen yang disogokkan dengan cerita ‘entah apa-apa’ dan ‘berulang-ulang’. Apa pun, terpaksa menerima kenyataan, dan jika enggan melayan, tidur lagi.
Agak meletihkan ialah si isteri. Bukan sahaja terpaksa bekerja lebih had sehingga terasa sangat ‘burn-out’ dari awal pagi hingga lewat malam, setiap ahli dalam keluarga hanya ‘tahu nak makan’.
Bukan sahaja buntu, bahkan sangat kehabisan idea untuk memikirkan menu. Maka, itulah sebabnya sepanjang PKP, sangat banyak menu baharu yang kita dengar tercipta, secara tidak sengaja atau spontan hanya kerana ‘buku resepi’ sudah habis ‘dibaca’. Ada ‘ulam maggie’, ada ‘roti cicah perencah cabonara’, ada ‘menu singang’ kerana percaya mampu mencegah jangkitan COVID-19, juga ‘hebatnya air kelapa’.
Semakin sehari semakin besar belanja. Sebabnya, setiap ketika ‘lapar’ sehingga ada yang mengeluh, makin lama makin membiak ‘lemak diternak di sangkar kulit’ dan ‘rongga badan’. Mujurlah, PKP 2.0 dan PKP 3.0 membenarkan senam pagi atau petang dilakukan di luar rumah, tetapi bukan dalam kejiranan yang lain. Kalau dalam PKP 2.0, sangat popular aktiviti berbasikal, nampaknya dalam PKP 3.0 ada kejatuhan ketara ‘geraf kayuhan’ kecuali dalam kalangan mereka yang tegar.
Biarpun dalam edah PKP kita boleh menjimatkan perbelanjaan petrol kerana tidak perlu ke pejabat dan boleh buat ‘kerja dari rumah –work from homes’, tidak sibuk menghantar anak-anak ke sekolah semuanya berjalan kaedah ‘belajar dari rumah –PdR’, tahap perbelanjaan tidak menurun bahkan ikut bertambah.
Ia bertambah kerana harga barangan naik, dan untuk membeli makanan sudah dimasak secara ‘online’ juga kena bayar kos penghantarannya. Ini bermakna kos sara hidup turut meningkat. Minyak masak semacam tidak ada lagi kawalan harga, dari RM 21.30 telah meningkat kepada RM 33.35 (5 kilo jenama Saji, ada yang menjualnya sehingga RM 34, Sinar Harian, 8 Jun 2021).
Menariknya, harga terendah adalah ketika GST dan harga sekarang dengan SST. Dan, ini mengingatkan kepada isu harga barangan yang naik sekitar tahun 2007 – atau dikenali bread and butter – dan perbandingan visual, RM 50 tidak penuh satu troli.
Pilihan Raya Umum 2008, isu ini mempengaruhi keputusan, walaupun harga petrol diturunkan, BN hanya menang 140 kerusi, kuasa dua pertiga di Dewan Rakyat berjaya dinafikan manakala lima buah negeri BN kecundang (Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan (PAS kekal memerintah) walaupun 2004 keadaannya ibarat ‘telur di hujung tanduk’).
Baru-baru ini timbul juga perkara yang sama mengenai kenaikan harga ayam sehingga RM 10 sekilogram. Menteri memberikan jawapan, tidak dapat dielak kerana berlaku kenaikan harga makanan ayam yang diimport. Tetapi, apa jawapan menteri kali ni, apakah kerana harga minyak kelapa sawit telah meningkat dan ‘harga baja pokok kelapa sawit yang diimport naik’ atau kerana eksport meningkat?
Jangan nanti ada jawapan bodoh, kalau harga naik jangan beli ‘ayam’, kalau tak bayar tol jangan guna lebuhraya, malu mengaku dari Malaysia, kalau hudud dilaksana akan pindah ke luar negara, atau ‘tidak buat kerja’ sebab mulai bulan Jun elaun disumbangkan kepada dana menangani COVID-19.
Bukan itu sahaja, oleh kerana setiap ahli keluarga berada di rumah, penggunaan elektrik juga meningkat lebih separuh daripada sebekum PKP. Biarpuun TNB bersimpati, tidak melakukan pemotongan semasa tempoh PKP, rebat dua peratus tidak banyak membantu.
Bil elektrik kena bayar dengan harga yang telah dibilkan, sebelum kemudahan ‘bayaran minimum’ dan ‘tiada pemotongan elektrik’ dimansuhkan. Jumlah rebat tidak cukup membayar penalti lewat, kerana arahan ‘penangguhan’ telah dicabut oleh Tenaga Nasional Berhad.
Rakyat terpaksa harungi kesukaran itu kerana ia memang ‘kesengsaraan rakyat’ bukan ahli politik yang hanya memikirkan bagaimana untuk kekal berkuasa, dan juga mencaturkan siapa dan siapa akan keluar ‘pintu belakang’ dan masuk ‘pintu depan’.
Peminat-peminat politik juga tidak kurang ‘hebat menganalisis’, kadangkala lebih hebat daripada analisis Micheavili mahupun Thomas Hobbes, Emmanual Kant dan professor-professor sains politik perihal apa yang bakal berlaku dalam kesepakatan Perikatan Nasional, kes Najib dengan 1MDB (SRC International dan LHDN) dan isterinya dengan projek solar ke sekolah-sekolah, serta apa kesudahannya nanti dengan desakan agar membuka Sidang Parlimen.
Darurat, pembelian vaksin, vaksinisasi dan akhir-akhir ini isu ivermectin sebagai ubat bagi merawat pesakit COVID-19 yang dikatakan berjaya digunakan di India untuk mengurangkan kes jangkitan baharu. Beberapa orang doktor, menggesa penggunaannya dan tidak kurang juga mempersoalkan kerajaan menyahkan potensi ketum sebagai bahan perubatan, di mana ia sudah dikomersialkan oleh sebuah syarikat di Jerman dengan jenama Kratom MALAY atau Malaysian Kratom (Mitragyna Speciosa).
Tersebar pula berita, Union Health Ministry and Family Welfare sudah tidak lagi menggunakan ivermectin dan doxycycline bagi mengubati pesakit COVID-19 di India (https://.indiatoday.in/coronavirus-outbreak/story/revised-health-ministry-guidelines-stop-usage-of-ivermectin-doxycycline-in-covid-treatmen-1811809-2021-06-07).
Ertinya, COVID-19 tidak berkesan untuk dirawat walaupun dakwaan berdasarkan laporan, ia adalah kejayaan India menurunkan kes jangkitan baharu harian ketika kemuncaknya ialah hampir 300,000 (sejak 22 April 2021 selama 20 hari berturut-turut, https://www.cgtn.com/special/Latest-on-COVID-19-pandemic.html) kepada 86,498 (Jumlah kes 29 juta: sembuh 27.3 juta dan kematian lebih 351 ribu sehingga jam 8.00 pagi 8.6.2021, https://www.google.com/search?q=covid19+in+india&oq=covid19+in+india&aqs=chrome..69i57j0i10i131i433j0i10j0j0i10l6.8303j0j4&sourceid=chrome&ie=UTF-8).
Ia disifatkan sebagai perangkaan terendah dalam tempoh 66 hari, dan ia bakal dipertimbangkan untuk melonggarkan perintah berkurung dari 7 pagi hingga 7 malam di semua wilayah yang diancam pandemik COVID-19 di India. (https://indianexpress.com/article/india/coronavirus-india-live-updates-lockdown-relaxations-covid-vaccines=7347240/) Ertinya, ia cepat turun kerana adanya ‘lockdown’ dan program vaksinisasi.
Malaysia sedang melaksanakan dua tindakan tersebut, biarpun ‘total lockdown’ dilihat seolah-olah ‘dibolosi’ oleh MITI yang membenarkan 128,150 syarikat dengan membabitkan 1.57 juta pekerja beroperasi (Free Malaysia Today, 3 Jun 2021). Akibat ‘keluar pintu belakang’, Menteri Perdagangan dan Perindustrian didesak supaya dipecat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, ‘tidak berprestasi –not perform’, tidak hormat keputusan ‘tutup pintu depan’ yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaacob.
Undian secara online ‘petition online’ mendekati 216,000 persetujuan setakat 7.00 malam 8.6.2-2021, melebihi sasaran awal 200,000 sokongan (5 Jun 2021, https://www.thevibes.com/articles/news/30086/petition-calling-for-azmin-to-step-down-nears-200000-signatures-in-3-days). Sasaran baharu ialah 300,000 dan ia merupakan yang tertinggi setakat ini di situs Change.org).
Persoalannya, adakah Azmin akan dipecat? Ada kenyataan bahawa beliau akan kekal dalam kabinet tetapi mungkin ditukarkan portfolionya. Kenapa tidak dipecat? Muhyiddin sangat memerlukan Azmin kerana beliau ada ‘aset’ untuk mengekalkan kedudukan sebagai Perdana Menteri.
Bersatu secara ‘batang tubuh’ tidak ada kekuatan, dikuasai oleh ‘katak-katak UMNO dan PKR’, maka sekiranya UMNO benar-benar membuat keputusan keluar PN sekarang, Muhyiddin hanya mungkin ‘bernafas dengan nyawa darurat’.
Setiausaha Bersatu, Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri semakin dilihat cukup banyak liabiliti, termasuk menjadi orang yang merancang ‘kejatuhan kerajaan Negeri Sabah’ dan seterusnya meningkatkan kes COVID-19 bila diadakan Pilihan Raya Negeri Sabah 26 September 2020. Selepas PRN, Sabah mencatatkan kes COVID-19 yang tertinggi di Malaysia dan beberapa bulan kemudian, dijuarai oleh Selangor.
Setakat ini, kumulatif kes (sehingga 8 Jun 2021) ialah (1) Selangor 205,044; (2) Sabah 64,556; (3) Kuala Lumpur 63,838; (4) Johor 62,354; (5) Sarawak 52,581; (6) Pulau Pinang 31,091; (7) Negeri Sembilan 31,048; (8) Kelantan 30,687; (9) Perak 22,828; (10) Kedah 20,794; (11)Melaka 14,023; (12) Pahang 10,982; (13) Terengganu 10,094; (14) Labuan 5.152; (15) Putrajaya 2,041; dan (16) Perlis 539. Kes kematian tertinggi ialah pada (1) 2 Jun 2021 dengan 126 orang; (2) 5 Jun 109 kematian; (3) 3 Jun 103 kes; (4) 6 Jun 87; (5) 4 Jun 86, (5) 7 Jun 82; dan (8) 8 Jun 76; di mana dalam tempoh 8 hari terdapat 740 kes kematian. Satu tahap yang cukup menakutkan). Ia merupakan lebih separuh daripada kes kematian pada bulan Mei 2021, iaitu 1,289 orang.
Begitu juga dengan tahap penggunaan katil ICU sudah mencapai 104 peratus (6 Jun 2021) dan ini menurut Tan Sri Dr Nor Hisham Abdullah, “kadar penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.”
Kematian di rumah (brought in dead –BID)turut meningkat akibat COVID-19. Terbaharu (7.6.2021), sepasang warga emas ditemui mati di ruang tamu rumah mereka di Taman Scientex, Pasir Gudang Johor.(Astro Awani, 8 Jun 2021). Bulan Mei 2021 ada 106 daripada keseluruhan 386 kes BID. (Utusan Malaysia, 31 Mei 2021). (Bersambung)
Kamarun KH
Recent Comments