Mereka mengikat tali pertunangan pada 1 November 2020, dan berkahwin pada 27 Mac 2021. Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifly mengakadnikahkan mereka berdua, bahkan beberapa tahun lalu, semasa bertugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan menasihatkan Neelofar ‘mengenai kontroversi’ majlis pelancaran  Koleksi Neelofar Hijab di sebuah kelab hiburan, The Zouk, Kuala Lumpur (Februari 2018).

Datuk Dr Harun Din juga pernah memberikan nasihat kepada ibu Neelofar, Datin Noor Kartini Noor Mohamed supaya membawa suaminya, Abdul Halim Khan dan Neelofar untuk mengerjakan ibadah Haji. Selepas menerima nasihat tersebut, Neelofar menunaikan Fardhu Haji (2016), juga membangkitkan kontroversi: kontroversi kuota dan tarikh pendaftarannya. Tahun 2019, Neelofar sekali lagi menunaikan Fardhu Haji bersama ahli keluarganya. Bagaimanapun, kontroversi 2016 reda apabila pemergian Neelofar ke Mekah menggunakan visa haji swasta, bukan diuruskan oleh Tabung Haji.

Cerita Neelofar: “Setiap kali saya berdoa soal jodoh, setiap kali itu saya pasti menangis. Sejujurnya, saya memang rasa sedih. Bukan di Tanah Suci saja tapi di mana-mana saya akan berdoa tentang hal ini. Saya akan berdoa supaya Allah mempertemukan jodoh saya dengan orang baik, bukan sahaja boleh membahagiakan saya, tetapi membahagiakan orang sekeliling saya.”

Kontroversi Neelofar tidak berakhir setakat itu. Akibat terjangkit dengan nilai-nilai yang dikaitkan dengan media sosial, kisah percutiannya ke Langkawi (dikatakan berbulan madu), mengunjungi Nilai 3 (beli karpet), tanpa merakam MySejahtera, perjumpaan keluarga Aidilfitri semakin menjadikan pasangan itu tidak terlepas daripada kecaman netizen. Beberapa hari lalu, ibunya turut terpalit dengan kontroversi komen terhadap Sultan Johor berhubung ‘total lockdown’.

Biarpun sudah meminta maaf, memadamkan hantaran tersebut, membuat laporan polis kerana kesilapan pengendali akaun media sosialnya, apa yang memancing perdebatan awam ialah komen Tengku Mahkota Johor (TMJ) : “Buat masa ini saya tidak mahu melayan orang gila atau benda gila. Saya hanya mahu memberikan tumpuan untuk Membantu Rakyat dalam setiap aspek dengan apa sahaja cara yang saya mampu”.

Datin Kartini pernah menimbulkan kontroversi bila mendaftar “Harimau Menangis” sebagai cop dangangan keluaran Syarikat Noor Khan Enterprise. Tujuannya adalah “melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan perkataan ‘Harimau Menangis’ pada bungkusan produknya.” (Sinar Harian, 13 Januari 2021). Akibat kontroversi dan dikecam oleh pelbagai pihak, permohonan mendapatkan cop dagangan ‘Harimau Menangis’ ditarik balik (Sinar Harian, 14 Januari 2021). Permohonan pendaftaran dibuat pada bulan November 2020.

Heboh sedemikian mungkin tidak berlaku sekiranya tidak dipamerkan dalam media sosial. Ini bermakna media sosial boleh menyesakkan lagi pemikiran seseorang, walaupun apa yang dipaparkan ada niat yang baik. Tetapi niat yang baik itu adalah subjektif kerana sesuatu difikirkan baik ‘oleh kita’ belum tentu dapat tersebar sebagai kebaikan sebagaimana yang kita fikirkan.

Berasaskan kepada kes tersebut, dapat dikatakan media sosial cukup berkuasa untuk ‘memaksa seseorang’ agar bersikap lebih adil, bertindak berdasarkan norma dan ketetapan yang sedang dipakai, kerana setiap kesilapan yang dibuat dipersepsikan sebagai mencabar sesuatu norma yang sudah diterima. Apatah lagi jika norma itu disusuli dengan peraturan dan undang-undang semasa.

Kes yang sedang hangat diperkatakan, seolah-olah berlaku ‘perang’. Seorang artis veteran, Catriona Ross memuat naik komennya mengenai kedegilan segelintir rakyat Malaysia ‘balik kampung’ setelah mendengar kerajaan akan menguatkuasakan perintah ‘lockdown’. Ketika itu sudah diputuskan tiada ‘rentas negeri dan rentas daerah’ kerana COVID-19 menggila. Seminggu menjelang Aidilfitri, khususnya pada Khamis, Jumaat dan Sabtu kesesakan dilaporkan berlaku di Tol Gombak menuju ke Pantai Timur. Diberikan lebih 1,000 kenderaan diarah berpatah balik.

Beberapa hari selepasnya, tersebar pula video pendek kedegilan segelintir rakyat Malaysia meredah jalan-jalan tikus (juga jalan treler balak) untuk pulang ke kampong hanya kerana ingin meraikan Aidilfitri bersama keluarga. Menurut laporan, mereka yang merentas negeri menerusi jalan-jalan utama, kebanyakannya mempunyai kebenaran. Catriona Ross mempersoalkan bagaimana dengan alasan-alasan menemui keluarga PJJ begitu ramai, sedangkan sebelum itu tidak sesesak sebegitu.

Akibat ‘ziarah Aidilfitri’ menyebabkan muncul Kluster Ziarah Raya; dah ada satu keluarga dijangkiti COVID-19 dan jangkitan baharu mencecah 9.020 kes (29 Mei 2020), iaitu dua minggu selepas sambutan hari pertama Aidilfitri (13 Mei 2021), suatu tempoh yang dianggap ‘paras psikologi’ dalam norma baharu pandemik. Pada 27 Mei 2021, kes jangkitan baharu ialah 7,857 kes, sehari selepasnya melonjak kepada 8,290 kes. Kes jangkitan harian mula melepasi 6,000 sehari ialah pada 19 Mei 2021 dengan catatan 6,075 kes dan sehari sebelumnya ialah 4,865 kes.

Berlaku ‘bingai membingai’ apabila seorang artis, bekas kumpulan In-Team, Suhaimi Saad menempelak Catriona Ross dengan mengesyorkan ‘Simpan La Kau Punya Bodoh dan Bingai Tu…Jangan Tunjuk Sangat Nanti Orang Meluat.” Alasan Suhaimi, “Kau kena faham yang masalah dan keperluan  orang ini tidak sama. Jangan buat baju satu saiz, lepas tu nak paksa semua orang pakai baju dengan saiz yang sama. Tu lagi bingai.”

Respons Catriona Ross juga menarik, “Bagi saya , kita tak akan menang berdebat dengan orang yang tak mahu belajar. Kepercayaan saya tetap sama…tak berubah hanya disebabkan satu manusia itu.” Apa maksudnya, mungkin ramai kenal siapakah sebenarnya bekas penyanyi nasyid yang merupakan suami Ina Naim, bekas kekasih Mawi, pemenang Akademi Fantasia 3 (2005).

Suhaimi dilihat sangat pelek orangnya apabila tidak bersedia menghantar anak-anak ke sekolah. Sebabnya:

(1) tidak percaya kepada sistem pendidikan (berubah dan tiada dasar yang jelas);

(2) Ibu bapa adalah bertanggungjawab mendidik anak-anak, bukan guru, bukan sekolah;

(3) Tidak perlu buang duit untuk kos petrol, bayar tol, beli buku dan keperluan sekolah kerana kita sudah ada teknologi, ilmu dan informasi boleh didapati hanya dihujung jari, Memang ramai anak-anak ke sekolah, tetapi bukan semua belajar;

(4) Banyak membuang masa di atas jalan raya (menghantar dan mengambil), menunggu anak di hadapan sekolah dan sistem pendidikan kita mengambil masa yang lama bagi seseorang pelajar mencapai hasrat dan cita-citanya;

(5) Demi Allah, saya sayang anak-anak dan isteri, sampai tak sanggup berpisah hatta hantar anak-anak ke sekolah. Misalnya, anak pindah belajar di Kelantan, sedangkan saya orang Pahang dan Ina orang Johor. Kalau hidup 100 tahun pun, belum tentu  kita mampu jaga dan tentukan nasib anak-anak kita;

(6) Cara kerja penyanyi tidak sama macam cik gu, macam kerja kilang dan kerja pejabat. Waktu kerja pun tak menentu, cuti pun tak tentu….kerja ini tidak memudahkan untuk hantar dan ambil anak disekolah’ dan

(7) Terbaca Hadis tentang Dajjal dan Akhir Zaman.  Memahami Hadis itu, fitnah akhir zaman dan realiti hidup masa ini,  Suhaimi Saad (ss) pilih  untuk ‘ikat’ anak-anak dan isteri di rumah.

(dipetik dan disesuaikan dari https://www.mingguanwanita.my/penyanyi-suhaimi-saad-jelaskan-kenapa-tak-hantar-anak-ke-sekolah-kerana-7-sebab-ini/)

Suhaimi Saad juga pernah kontroversi mengenai pengambilan ubat-ubatan (hospital). Beliau berkongsi tabiatnya itu di facebook, membuang ubat-ubatan yang diperoleh dari sebuah hospital kerajaan di Kota Bharu (April 2018) Bila kena kecam, Suhaimi memberitahu “Saya pun tak biasa dengan hospital dan tak tahu mengenai kewujudan kaunter pemulangan ubat. Sekembalinya ke rumah, saya buang jelah”. Ubat itu tidak perlu kerana “Saya tahu mengenai diri saya. Saya tiada masalah buang air. Jadi, tiada guna ubat itu diberi kepada saya.”

Perilaku Suhaimi itu mendapat reaksi seorang doktor, lalu menulis surat terbuka pada 17 April 2018. Menurut Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kunjungan Suhaimi Saad ke hospital hanya untuk “mendapatkan diagnosis dari doktor. Tetapi setelah slip ubat atau preskripsi dari doktor, anda ambil ubat tersebut kemudian buang ke dalam ‘dust bean’ itu adalah perbuatan menjengkelkan.”

Teguran itu kemudian disindir oleh Suhaimi dengan memberitahu: “tindakan seorang doktor menulis surat terbuka kepadanya sekadar satu tektik menumpang populariti atas isu yang sedang tular. (https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2018/04/19/penjelasan-buang-ubat-hospital)

Polemik menjadi semakin panjang, tetapi akhirnya orang dapat membaca peribadi sebenarny seseorang, kerana apa yang diluahkan menerusi media sosial, sebahagiannya mengalir percikan psikologi diri. Itulah sebabnya, kalau nak marah, sangat gembira mahupun rasa kehilangan, tidaklah perlu memuatnaikkan secara berlebihan. You Get What You Deserve.

Kita hanya nampak kita ‘sangat cerdik’ tetapi orang lain nampak kita sebenarnya ‘sangat bodoh’. Hati-hatilah bila bersosial di dalam media sosial, sangat banyak jerat terpasang dan perangkap samar yang boleh meletup.

Fenomena ‘haru biru; bukan lagi khusus merupakan krisis identiti Generasi Milineal, bahkan ikut terjangkit kepada Generasi Baby Boom, The Echo Baby Boom mahupun The Baby Burst. Generasi Pre Baby Boom mungkin boleh mengelak, kerana mereka tidak terlalu bergantung kepada gajet. Generasi Baby Boom semakin melanjutkan masa aktifnya dengan gajet sehingga ada yang meniru habit Generasi Y atau X, handphone adalah ‘teman’ yang paling rapat sehingga tidur menggenggamnya.

Ia menjadi fenoma yang bukan sahaja ‘haru biru’ bahkan semakin ‘gila’; akibatnya ikut percaya apa mesej yang dibaca dan melupakan psikologi manusia, touching each others adalah formula paling mujarab menggapai kebahagiaan, bukan touching to the screen. It’s bluffing, tegur seorang pakar psikologi bila mengkritik  media sosial sebagai lahan subur ilusi dan utopia.

Menurut Kamus Dewan (2007), ilusi membawa maksud: “tanggapan tidak benar dan mengelirukan” (hal. 567)  dan utopia ialah “ideal yang terlalu sempurna (sesuatu yang tidak mungkin dapat diwujudkan” (hal.1785).

Oxford English-Malay: Compact Advanced Learner’s Dictionary (2007) mendefiniskan ilusi (illusion) sebagai ‘(1) idea, kepercayaan, atau tanggapan palsu; khayalan; dan (2) hal yang dipercayai wujud oleh seseorang sedangkan ia tidak betul, persepsi palsu; ilusi”  (hal.711) manakala Utopia ialah ‘tempat atau keadaan alam khayalan di mana semua yang ada di dalamnya itu sempurna,utopia” (hal.1643).

Ilusi berasal daripada perkataan Latin, iaitu illusion, yang bermaksud konsep atau imej itu muncul menerusi imajinasi (khayalan) atau muncul akibat penipuan pancaindera. Ia tidak mempunyai kaitan dengan realiti. Ilusi juga dikaitkan dengan herotan persepsi. Daripada perspektif psikologi, ilusi membawa pemahaman tentang mirage (Sesuatu yang kelihatan seperti nyata, sebenarnya tidak)

Utopia biasanya digunakan dalam menggambarkan pemikiran politik. Tetapi dalam bidang-bidang lain. Asal istilah ini adalah daripada perkataan Yunani (Greek), yang diimport oleh Thomas More pada tahun 1516 apabila cuba menggambarkan tentang sebuah pulau rekaan di Lautan Atlantik. Thomas menggambarkan dua bentuk masyarakat yang ideal dan terancang, kemudiannya melahirkan beberapa konsep lain seperti dystopia, menjadi lawannya.

Kalau Utopia dikaitkan dengan ‘masyarakat atau negara yang sempurna’, dystopia pula ‘masyarakat atau negara yang tidak diingini’ atau dipanggil masyarakat sakit, bobrok ataupun lintang-pukang. Kesan media sosial juga mewujudkan suasana ‘lintang pukang’ dan kerana itulah juga media sosial dipersepsikan sebagai dunia kecil dystopia, selain dipenuhi khayalan (indah khabar dari rupa). Hal itulah menyebabkan media sosial sangat berjaya dalam memperdagangkan ‘kecelaruan’ dan apa yang kita kenal sebagai ‘hoax’ dalam situasi yang kecil manakala di peringkat lebih luas ialah post-truth.

Kamarun KH

Translate »