Pondok-pondok tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di Tanah Air berupaya memainkan peranan penting dalam Kebangkitan Ahli Sunnah Wal Jamaah Abad 21 jika institusi ini dapat membangkitkan semula dinamika tradisi ilmu-ilmu Islam yang berkembang dalam Peradaban Islam secara lengkap dan menyeluruh. Untuk tujuan tersebut maka pondok-pondok tradisi di Tanah Air perlulah menanda-aras pengisian dan struktur pengajian mereka. Generasi baru para pelajar, pendakwah dan asatizah malah alim-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bakal lahir dari pondok-pondok tradisi ini perlu dipersiapkan dengan tradisi keilmuan Islam yang mendalam dan meluas demi menghadapi cabaran-cabaran baru Abad 21 yang ternyata lebih rumit berbanding sebelum ini.
Harapan besar kepada kebangkitan semula realisasi asal dan asli pondok-pondok tradisi di Tanah Air merupakan sebahagian dari jawapan bagi kegagalan sistem pendidikan Islam arus-perdana dalam membina jati-diri yang jazam terhadap pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari peringkat paling rendah sehingga peringkat paling tinggi di negara kita ketika ini. Mewarisi sistem dan struktur pendidikan penjajah yang digabungjalinkan dengan pendekatan pengajian Islam aliran modenis dan reformis Islam yang diasaskan sejak awal abad ke 20, pendidikan Islam semasa ternyata tercabut dari akar tradisi keilmuan Islam yang bersepadu menggabungkan Iman-Islam-Ihsan secara organik dalam penyampaiannya menjadi sekadar subjek-subjek matapelajaran tanpa sebarang falsafah/dasar/ikatan khusus.
Kebangkitan semula pondok-pondok tradisi bermaksud penegasan semula struktur dan sistem pendidikan Islam berdasarkan Tauhid-Fekah-Tasawwuf sebagai manifestasi Iman-Islam-Ihsan yang mencernakan aqidah-syariah-akhlak dalam keperibadian individu muslim dalam peradaban Islam. Penggarapan pendidikan menyeluruh insan sebagai individu nazari, amali dan akhlaqi/adabi yang menjadi intipati pendidikan Islam sebelum zaman penjajahan dan era modenis dan reformis Islam telah hilang dari tumpuan dan matlamat pendidikan Islam semasa. Aplikasi pedagogi kognitif, psikomotor dan afektif pendidikan semasa ternyata sangat terpisah-pisah dan tidak berupaya mencetuskan kesatuan diri nazari, amali dan akhlaqi/adabi seperti yang dibina dari aplikasi Tauhid-Fekah-Tasawwuf.
Persoalannya adakah pondok-pondok tradisi bersedia menggalas tanggungjawab besar yang diharapkan kepada mereka bagi menjayakan Kebangkitan Ahli Sunnah Wal Jamaah Abad 21 ini? Apakah kenyataan atau realiti yang sedang melanda pondok-pondok tradisi dalam pelbagai dimensi yang menjadikan mereka tersisih dari arus-perdana pendidikan Islam Tanah Air? Adakah pondok-pondok tradisi akan kekal dipinggiran ketika umat sedang mendambakan pendidikan Islam yang menepati tujuan dan matlamat kehidupan muslim sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di mukabumi ini dalam kerangka menghayati Iman-Islam-Ihsan sebagai intipati Islam sebagai Al-Din yang bersifat pemikiran sekaligus peradaban.
Bagi merealisasikan harapan baru umat Islam Abad 21 selepas kegagalan agenda pendidikan modenis dan reformis Islam Abad ke 20, maka pondok-pondok tradisi perlu mula mengatur langkah dan menyusun institusi mereka sekiranya mereka ingin menjadi bahagian penting dalam Kebangkitan Ahli Sunnah Wal Jamaah Abad 21 ini. Pondok-pondok tradisi mestilah berupaya menggarap struktur, sistem dan model pengisian, silibus dan kurikulum pendidikan Islam yang benar-benar mewakili tradisi keilmuan Islam dari sekarang. Misalnya penelitian yang khusus mesti dilakukan bagi memenuhi keperluan disiplin Ilmu-Ilmu Alat, Ilmu-Ilmu Hikmah dan Ilmu-Ilmu Syara’ di pondok-pondok tradisi. Pondok-pondok tradisi dalam konteks abad 21 bukan lagi cukup sekadar memenuhi pengisian Islam Melayu Nusantara tetapi menjadi pusat pengisian ilmu-ilmu tradisi Islam global.
Dalam memenuhi Ilmu-Ilmu Alat, selain dari menyediakan program Bahasa Arab yang lengkap dan mantap, pondok-pondok tradisi perlu mengembalikan dinamika Ilmu-Ilmu Alat yang terabai dan tidak diajarkan secara berkesan ketika ini ialah ilmu mantiq dan ilmu adab al-bahth wal munazarah yang menjadi punca utama pelajar, pendakwah, asatizah malah alim-ulama Islam gagal mengungkapkan Islam dengan kaedah yang rasional dan berhikmah dalam menghadapi cabaran semasa. Banyak perkembangan semasa yang memerlukan ilmu-ilmu mantiq dan adab al-bahth wal munazarah menjadi ilmu wajib bagi para penuntut ilmu-ilmu Islam terutama dalam dunia media sosial dan komunikasi terbuka dari pelbagai sumber hari ini.
Dalam memenuhi Ilmu-Ilmu Hikmah atau Ilmu-Ilmu Nazariyyah, pondok-pondok tradisi mestilah mengajar kembali ilmu epistemologi dan metafizik (ilm al-ilahiyyat) demi menghadapi pelbagai syubhat ilmu, aqidah dan ideologi yang sedang melanda umat Islam ketika ini. Begitu juga pondok-pondok tradisi wajar didedahkan kepada ilmu-ilmu semasa dalam bidang sains dan teknologi yang berkaitan bagi membolehkan mereka mengetahui cabaran sebenar dunia luar dan mereka sendiri boleh mengusulkan cadangan-cadangan praktikal menghadapinya. Ilmu-ilmu Hikmah ini juga meliputi perhatian kepada ilmu-ilmu sains sosial dan kemanusiaan seperti ilmu etika, politik dan ekonomi. Dengan pendedahan ini pondok-pondok tradisi akan menjadi lebih berdaya-saing dalam mendidik kehidupan umat.
Dalam memenuhi Ilmu-Ilmu Syara’ yang merupakan tunggak kekuatan pondok-pondok tradisi sudah tentu paling kurang empat bidang ini diberikan perhatian khusus iaitu 1) Ilmu Riwayah bagi Al-Qur’an (Ilmu Qiraat misalnya) dan Al-Hadith (Ilmu Riwayat al-Hadith itu sendiri); 2) Ilmu Tafsir termasuk Tafsir Al-Qur’an dan Dirayah al-Hadith; 3) Ilmu Aqliyyah Syar’iyyah iaitu Ilmu Kalam dan Ilmu Usul-Fiqh; dan 4) Ilmu Amaliyyah Syar’iyyah iaitu Fekah dan Tasawwuf. Kesemua Ilmu-Ilmu Syara’ ini memiliki tradisi dan isnad yang panjang dalam tradisi keilmuan Islam yang perlu diberikan keutamaan disamping penghuraian yang kontemporari yang mesti diperkenalkan kepada para penuntut agar mereka nampak hubungan Ilmu-Ilmu Syara’ ini dengan kehidupan semasa.
Pondok-pondok tradisi Ahli Sunnah Wal Jamaah di Malaysia mesti insaf bahawa dipundak mereka terdapat amanah besar bagi menjayakan semula sistem pendidikan bersepadu Iman-Islam-Ihsan sebagai alternatif dari kegagalan sistem pendidikan Islam modenis dan reformis Abad 20. Keinsafan ini memerlukan pondok-pondok tradisi berganding-bahu antara satu sama lain melengkapi kekurangan yang ada. Umat Islam tidak boleh dibiarkan terus-terus meraba-raba mencari sistem pendidikan Islam yang sebenar disaat mereka telah menyedari kebobrokan sistem pendidikan Islam arus perdana yang berorientasi kognitif, peperiksaan dan kebendaan semata-mata. Pondok-pondok tradisi di Tanah Air perlu memulakan gelombang Kebangkitan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Tanah Air dengan kebangkitan semula pendidikan dan pengisian asli dan asal Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu pendidikan dan pengisian Iman-Islam-Ihsan secara bersepadu dan menyeluruh.
Sumber: Dr Amran Muhammad, https://www.facebook.com/ISSIMalaysia/posts/5441799645894722
Recent Comments