Akhir-akhir ini saya seperti berfikir semula perihal erti persahabatan. Ia mungkin disebabkan usia dan persekitaran telah menjadikan saya merenung kembali saat-saat indah dalam persahabatan. Saya merenung berdasarkan banyak perkara dan kriteria, termasuk menyelongkar kembali khazanah foto  juga ingatan-ingatan yang  dimulai dengan usikan rakan-rakan menerusi kumpulan WhatsApp mahupun friendlist Facebook.

Saya tidak mahu merepek atau menghukum rakan-rakan yang marah, memuatnaik gambar yang dianggap ‘tidak sopan’ kerana zaman itu bertudung bagi seorang perempuan bukan lumrah wanita zaman sekarang. Saya tidak juga mempersoalkan bagaimana ada yang mengkrtitik pemakaian tudung seumpama fesyen. Setiap kali pola baharu fesyen, ramai yang berpusu-pusu untuk mendapatkannya, takut  ketinggalan zaman, ikut mahu menjadi trendy.

Memang benar, rakaman foto ‘tidak bertudung’ tidak manis , seperti juga bila memfotokan diri tanpa pelitup muka di era semua kena patuh SOP ini. Takut nanti dituduh langgar SOP dan kena kompaun ribuan ringgti. Zaman sekarang, zaman berfesyen dan penuh rambu-ramba (Maaf Noshila Amin kerana meminjam tajuk lagu popularnya). Banyak sekali rekaan tudung dan juga jenama yang saling tidak mahu kalah dalam pasaran.

Ada duta, dan ada gaya. Semuanya cantik, tetapi, dalam diri seseorang pemakainya, ada yang masih belum cantik sebagaimana diilhamkan dari falsafah bertudung pada pandangan agama. Ya! ada adegan berbalut di kepala, tetapi sendat hingga menampakkan sebahagian yang patut dijaga dan tidak dipamerkan secara ‘seksis’.

Bagaimanapun, masa  lalu  sudah berlalu, tidak boleh diundurkan. Foto yang lama tetap menyimpan kenangan dan nostalgia. Terpulang kepada anda untuk mentafsirkannya, sama ada boleh dimuatnaik atau tidak. Anda perlu menyatakan pendapat, itu hak dan kebebasan anda, juga hak untuk mendorong untuk menyiarkannya. Biarpun kadangkala dilihat subjektif dan cerewet. Tetapi itulah hakikatnya manusia yang wajar seseorang memahaminya. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Sebaiknya tetapkanlah ‘peraturan komuniti’, jika kelestarian silaturrahim itu mahu dikekalkan dalam kumpulan WhatsApp atau Facebook mahupun Telegram.

Keluar masuk, ahli kumpulan –bukan kerana bermasalah dengan admin, tapi ada masalah dengan yang lain yang suka mengecam atau perli, juga saling mengingatkan—boleh buka kumpulan yang baharu. Tetapi, admin tetap berkuasa, membenar atau menolak keahlian seseorang. Tak mengapa, kalau semua ahli tidak setuju dengan admin, tinggalkanlah admin sorang-sorang, dia akan tahu sejauhmanakah populariti atau posisinya di mata rakan-rakan yang pernah menganyam pengalaman bersama, suatu ketika, termasuk zaman persekolahan.

Tapi, harus ingat setiap kali anda membuat pengeposan atau komen, lama-lama orang lain akan dapat membaca pola fikiran anda. Orang lain akan dapat meramalkan jenis peribadi anda. Orang lain akan bercakap tentang anda. Orang lain akan mengetahui siapa sebenarnya anda setelah ada masanya berjarak dalam dunia persahabatan.

Apa pun keputusan dan pendirian seseorang, secara nalurinya manusia adalah gemar bersosial. Sebagai makhluk bersosial, manusia melakukan interaksi sepanjang masa, kecuali setelah terhalang oleh banyak perkara: kerosakan peranti; kebencian ataupun ‘marahkan pijat kelambu dibakar’;  dan halangan lain seperti keuzuran, masa dan ketentuan-ketentuan tertentu.

Manusia tidak boleh hidup tanpa ada teman, bahkan kita sering membaca kehidupan sepi mereka yang berusia bila tiada seseorang di sisi. Kita mungkin pernah terbaca bagaimana fenomena itu semakin berkembang di Jepun dan Korea Selatan, akibat runtuhnya sistem kekeluargaan setelah tibanya tahap persaraan salah seorang pasangan. Fenomena tersebut (sepi seorang diri) disebut kodukushi di Jepun yang berlaku dalam keadaan masyarakat berhadapan dengan  super aged society. Ya! Malaysia juga sedang menuju ke arah itu, jumlah warga emas bertambah setiap tahun.

Kodukushi terus meningkat di Jepun, ia juga di Korea Selatan, bahkan Malaysia turut mengalami fenomena serupa disebabkan faktor kerjaya, tekanan ekonomi (pencarian keselesaan) dan juga perubahan sosio-budaya. Jepun merupakan negara yang mempunyai kadar warga tua yang tertinggi di dunia, juga mengalami kes penceraian di usia emas cukup besar. (Kamarun KH, “Semakin Lama Semakin Pelik’, https://omiw.com.my/Web/2020/11/18/semakin-lama-semakin-pelik/).

Jepun juga berhadapan dengan warga emas (wanita) lebih memilih untuk hidup dalam penjara kerana pelbagai masalah vandalisme dan sengaja melakukan jenayah kecil (misalnya mencuri sebuku roti di pasar raya). 

Penceraian di usia tua di Korea Selatan makin berkembang  sehingga dianggarkan lebih 25 peratus atau membabitkan 33, 140 pasangan yang sudah hidup bersama selama lebih 20 tahun bercerai. Tahun 2014. (https://www.voaindonesia.com/a/angka-perceraian-senja-capai-rekor-di-korea-selatan/3056128.html).

Ini menarik minat kita mengenai apa yang sedang diperkatakan oleh orang terkaya di dunia, Bill Gates dan Melinda yang sah bercerai selepas 27 tahun hidup bersama. Sebabnya mungkin pelbagai, dari masalah komunikasi hingga ada orang ketiga, Atau, dalam fenomena media sosial. kerana bertemu semula dengan kekasih lama.

Di Korea Selatan, generasi milenial berhadapan dengan situasi honjok, bujang terlajak memilih hidup bersendirian, hidup tanpa pasangan  sampai mati. Negara sudah dianggap sebagai ‘neraka’ kerana budaya dan aturan yang menghimpit. (https://tirto.id/pilihan-jadi-honjok-lajang-penyendiri-menikahi-diri-sendiri-dfar). Bila kesendirian itu dianggap sudah tidak lagi bersahabat, ada kecenderungan ‘bunuh diri’.

Biasanya, kerana masa terlalu banyak bersama, dalam tempoh persaraan itu berdetik pula ‘rasa benci’ dan kata hati, “hidup bersendirian adalah lebih baik, tidak ada kerumitan dan penasaran untuk melayani seseorang”, yang kadangkala kuat berleter, mudah marah dan tidak boleh ditegur. Sebelumnya, jarang berlaku kerana masing-masing berikhtiar untuk menghabiskan masa berkualiti, pada saat-saat ada hari panjang untuk bersama. Hari-hari biasa sibuk dengan kerjaya.

Manusia adalah makhluk yang memerlukan kehadiran manusia lain. Walaupun kehidupan semakin berkembang (pengalaman dan perubahan persekitaran), moden dan teknologi membantu memudahkan  komunikasi,  sokongan material dan penyuapan kehendak psikologi, konflik juga berlaku dalam perhubungan sosial,  termasuk  dengan orang yang paling rapat sekali atau pasangan yang sudah lama menjadi teman. Bahkan, ada hal remeh membuatkan mereka bercerai, seperti ‘bau ketiak’, ‘ikan kering’, hinggalah kepada persoalan perubahan psikologi kendiri.

Secara sedar kita sering dihadapkan ‘santapan mengomel’ atau mempersoalkan sesuatu dalam media sosial. Media sosial adalah satu-satunya saluran yang ada dan boleh digunakan untuk menyatakan ‘hal-hal peribadi’ hatta kisah isteri yang sudah tidak lagi memberikan perhatian kepada suami, lebih melayani karenah para cucu. Lebih mengingati cucu daripada suami atau isteri. Jangan terlalu obsess, ‘digital vertigo’ tetap ada dan sentiasa berlaku.

Seperti tulis MZ Nafan, “Ada satu adagium dalam kaidah fikih (hukum Islam) yang sepertinya tepat dengan kondisi ini. Ridlo bi syaiin ridlo bi maa yatawalladu minhu, ketika kita menyukai/rela akan sesuatu, maka kita pun harus rela menerima turunan dari sesuatu itu. Jika kita menyukai bermedia sosial yang gratis itu, maka kita pun harus rela pada ketentuan layanannya.

Sebenarnya, kata Mz Nafan lagi, “media sosial lebih memahami jati diri kita daripada diri kita sendiri.” Nah jelas membuktikan bahawa cara kita menggunakan media sosial mencerminkan peribadi, bahkan ‘kita secara sukarelanya menjual diri’. Tanpa kita sedar kesan tersembunyi itu boleh dibaca oleh orang lain, apabila sering mengepos ‘selfie’, menulis sesuatu yang boleh menarik likes atau komen yang besar, yang akhirnya menjadi berkecamuk dengan iklan yang masuk. (MZ Nafan, “Ketika Bermedsos, Tanpa Disadari Kita Sedang Menjual Diri,” https://www.qureta.com/next/post/ketika-bermedsos-tanpa-disadari-kita-sedang-menjual-diri)

Menurut pandangan klasik (Aristoteles),  manusia tidak boleh hidup terasing atau bersendirian, tetapi fenomena itu secara fizikal sudah semakin meluas berlaku. Nasib baik ada media sosial, masih ada kisah persahabatan dan dapat kita memahami digital friendship, yang kadangkala lebih banyak pura-pura dari ikhlas atau ada udang di sebalik batu. Tetapi, kita tidak pula menolak, ada kebaikan dan kelebihan bila bermedia sosial. Kita tahu, dalam tradisi falsafah ada watak Janus.

Janus dikaitkan dengan teknologi. Janus bermuka dua (bukan bermuka-muka), ada dua pasang mata. Muka pertama melihat ke depan dan muka kedua, berada di belakang. Muka pertama meneropong masa depan, manakala sepasang mata di belakang melihat kepada masa silam. Masa silam ialah sejarah, masa depan ialah kehidupan yang sedang dan akan dihadapi. Itulah, kadangkala masa silam sangat berpengaruh dan membentuk kawalan kendiri perihal baik dan buruk. Namun, kadangkala masa depan meninggalkan kesan berkecamuk kerana sepasang mata sangat tertarik dengan indah yang terlalu subjektif dan keseronokan yang menggoda.

Orang yang bahagia hidupnya ialah mereka yang mampu mengimbangi kehidupan yang sedang dilaluinya antara masa silam dan masa depan. Sebab itulah para ulama memberikan perhatian dan panduan. ambillah ‘keseronokan dunia’ secara berpada-pada. Jika berlebihan, ia cenderung merosakkan, Ia menjadi tamak, haloba dan sangat prejudis atau negatif (dengki, khianat, dan juga menipu).

Mereka itu adalah golongan yang sangat cintakan dunia (video seorang wanita pengasas kosmetik di Kelantan, cukup memualkan dengan aksi dan kata-kata seksis sehingga tidak segan mengakui dirinya ‘tidak suka bersembahyang’ dan ‘tidak tahu berwudhu’). Paparan video tersebut bukan sahaja memalukan semua wanita, bahkan dilihat sangat menghina agama. Bila dipolitikkan, akan terkeluar pula andaian, apakah itu kesan daripada slogan ‘Membangun Bersama Islam’? Saya tidak berhasrat berpolimek.

Saya hanya berhasrat menjelaskan, kerana haloba dan cintakan dunia, setelah kaya ramai yang cuba menjadi ritak dan sombong. Banyak kisah, banyak cerita, dan banyak yang dapat kita tonton. Bukan sahaja mempamerkan ‘wang berkepuk-kepuk’, bahkan rumah agam dan terlalu mewah, deretan kereta berjenama (Ferrari, Lamboghini atau Bugati) sedangkan yang membantu ‘mengkayakan’ orang itu hanya mampu membeli MyVi dan Saga (second hand). Jurang kehidupan yang sangat jauh jaraknya.

Mereka yang membeli sangat teruja untuk menukarkan warna wajah, rupa fizikal dan berhias untuk kelihatan anggun di luar adab bertabaruj. Sepatutnya, seorang isteri berhias untuk suaminya, bukan untuk dilihat cantik dan dipuji masyarakat di luar rumah tangga. Kiprah kehidupan sudah jauh tersasar. Semakin membudaya nilai dan budaya konsumerisma, budaya yang dikaitkan dengan istilah penyelewengan kiprah oleh barat menerusi strategi penjajahan budaya dan pemikiran, yakni 5 F – filem (kecelaruan kesan media), fun (keseronokan dalam bentuk hiburan), fesyen (pseudo self presentation dan self attraction), free thinkers (kebebasan memilih dan bertingkahlaku –kubur masing-masing atau air dan minyak tidak bercampur) dan futurisk (hanya masa depan bukan masa silam – sejarah hanya sejarah, bukan pembimbing atau ikhtibar).

Hasilnya, ramai yang lebih percaya untuk berkonsultasi dengan Pak Pandir daripada pakar sebenar (Tom Nichols, The Death of Expertise, 2017). Ramai yang percayakan kata-kata selebriti dan ingin kelihatan sepertinya. Walhal mereka itu hanyalah berlakon dan bukan mempamerkan peribadi sebenar. Misalnya, kerana Gwyneth Paltrow adalah seorang artis, ramai (wanita) yang percayakan petuanya bagaimana membantu kecergasan organ seks. dengan mengewapkan mugworth dan wormwood ke vagina, dapat membantu menyeimbangkan hormon reproduksi. 

Paltrow (salah sebuah filem lakonannya yang terbaik ialah Shakespeare in Love, 1998)  bukan pakar vagina atau doktor sakit puan. Ramai juga menolak berjumpa dan berkonsultasi dengan pakar, tetapi lebih bersedia percayakan apa yang diperoleh secara online, sebab terpenjara dengan semua pengetahuan boleh diakses menerusi internet. Apa pun, tulis Tom Nichols, “internet membuat kita lebih kejam, bersumbu pendekm dan tidak mampu melakukan diskusi yang berfaedah“, mengubah cara kita berfikir menjadi lebih buruk (hal.134), dan “tersesat di mesin pencari” serta ‘pengetahuan palsu‘ sebagai model baharu ketidaktentuan (hal. 74). Frasa maklumat dihujung jari turut membentuk ‘bias konfirmasi‘ dan kesan ‘kecurigaan populis‘. (edisi terjemahan bahasa Indonesia, Matinya Kepakaran: Perlawanan Terhadap Pengetahuan yang Telah Mapan dan Mudaratnya, (diterjemahan oleh Ruth Meigi P), Jakarta: PT Gramedia, 2018).

Biarpun ada yang bertemu jodoh menerusi perkenalan di dalam media sosial, kisah penipuan internet juga sangat menakutkan. Seperti kata Aristoteles, manusia tidak akan berhenti ikhtiar, menggali potensi dan mencari kawan, kerana manusia adalah makhluk yang berperasaan, ingin dikenali dan disayangi. Itulah munculnya kata-kata peransang yang cukup berpengaruh: satu musuh adalah terlalu ramai, tetapi seribu kawan amat sedikit.”

Sahabat adalah orang yang berada di sekitar kita, mereka atau dia sentiasa siap untuk membantu, tetapi hati-hati kerana banyak juga ‘musang berbulu ayam’. Kenalilah lebih baik sosok peribadinya, walaupun kita pernah belajar sekelas atau sama satu sekolah. Itu kisah zaman kanak-kanak atau remaja, tetapi sekarang ialah masa kita memikirkan ke manakah destinasi akhir atau sudah siapkan bersedia ‘untuk mati’?

Persiapan untuk mati, bukan sahaja menambahkan ritual ibadat, ia juga ada kaitannya dengan jalinan persahabatan dengan sesama manusia.

Teman adalah sosok yang berada di sekitar kita yang akan selalu siap membantu temannya dalam tumbuh dan berkembang ketika menjalani keseharian hidup. Mengenal dengan baik secara dekat dari seorang teman, membuat kita bisa belajar mengenai bagaimana bersikap dalam membangun suatu relasi. Entah itu relasi hubungan kekasih antar pasangan, relasi orang tua dan anak, relasi antar saudara, serta bagaimana menjalin relasi dan komunikasi dengan sesama kita yang lebih luas lagi. Dalam konteks yang dimaksud di sini adalah persahabatan.

Dalam bab terakhir (kitab ke-40) Ihya Ulumuddin, hujjatul Islam, Imam al-Ghazali berkisah mengenai persiapan ‘untuk mati’. Bab itu, Zikri al-Maut wa ma Baidahu, manusia pada asasnya terbahagi kepada tiga golongan, iaitu: (1) mereka yang tenggelam dalam duniawi; (2) Orang yang bertaubat dan sentiasa ingat tentang kematian; dan, (3) orang ‘arif, sentiasa ingat pada kematian kerana kematian itu adalah saat bertemu dengan “Kekasih” dan seorang yang mabuk cinta, tak pernah ‘lupa janji’ untuk bertemu dengan orang yang dicintainya.

Sikap zuhud (menjauhi kepalsuan dan kesenangan duniawi) adalah jalan terbaik untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, kerana kepada-Nya kita akan dikembali setelah diciptakan dari segumpal ‘air mani’ dan berkembang menjadi foetus, dilahirkan sebagai seorang bayi, membesar dan menikmati hidup, hanya dalam batas waktu tertentu -72.6 tahun bagi lelaki dan 77.6 tahun bagi perempuan. (Sri Rahayu Kartika Amri, ‘Rakyat Malaysia Kini Hidup Lebih Lama:, Harian Metro, 1 Disember 2020)

Walaupun anda seorang perempuan, perlu ingat bahawa inilah adalah purata berdasarkan perkiraan statistik dan kemajuan dalam peningkatan kesihatan, ia tidak bermakna kita harus tidak bersiap sedia berhadapan dengan kematian. Sepatutnya, kita sentiasa bersedia untuk itu, kerana tarikh kematian sebenar seseorang tidak kita ketahui dengan tepat, Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya. Apatah lagi dalam situasi sekarang, kita dibelenggu oleh pandemik COVID-19.

Bagaimana kalau anda membaca coretan Dtk Harris:

Seorang pemuda berbadan obesity di antara berat 150 kg – 180 dihantar masuk di bilik yang sama denganku. Umur belum berusia 30-an.

Bilik kami untuk yang perlu menggunakan bantuan gas oksijen. Dia datang macam biasa, boleh bual  macam biasa taklah nampak lelah sangat. Dia meminjam telefonku untuk menghubungi saudaranya menghantar barang. Barangnya sekejap dah diterima dari keluarga. Dia berbual-bual panjang dengan saudaranya. Tengok dia relax saja dan jururawat siap layannya dengan  baik  bantu ajust [adjust] katilnya.

Daku telah dipindahkan ke bilik baru. Sempat saja duduk dengan tak sampai sehari. Keesokan harinya beliau telah pergi selamanya dengan covid yang hadir ini. Sungguh daku tak sangka cepat sungguh covid membawa pergi tanpa lama tanpa syarat panjang.

Seorang orang tua Cina sebelah ku juga begitu. Dia awal cakap dengan pegawai perubatan dia nak mati saja. Dia ada minta nak pergi tandas tapi dia tak mampu nak bangun sebab diarah buang dalam pampers saja. Selang sehari dia tidur sebelah ku tanpa bunyi derita sakit tanpa bunyi sesak yang nafas kuat lalu dia telah pergi buat selama-lamanya. Sudah tiga orang meninggal setiap hari.

Tak perlu tanya lagi datang punca dari mana dan jumpa dengan siapa sebab ada pesakit tua tidak pergi ke mana-mana hanya dia pergi ke bank sahaja sehari itu lalu dijangkiti.

Sungai Petani memang banyak kes yang melibatkan jemaah surau – Taman Desa Aman, Seri Bayu dan Masjid Berapiy. Ada juga kluster dari surau di Yan tiba ke Hospital SP. Yang banyak lagi kes melibatkan sekolah dan sektor perkilangan. Hanya kepada Allah kita mampu berserah dan redha apa yang berlaku.

#masih di Wad Kenanga. Kemungkinan kena berada di sini dalam 10 hari atau kurang. Lazimnya pesakit diubati 10/14 hari” (https://www.facebook.com/cikgu.arif.359)

Saya cukup terasa betapa ‘mati’ itu sangat dekat dengan kita, walaupun setakat ini masih tidak dijangkiti COVID-19, sudah mengambil dua dos yang dicadangkan, dan pernah menjalani kuarantin di rumah selama sepuluh hari pada awal Februari lalu (gelang merah jambu). Ia boleh berlaku bila-bila masa, entah beberapa jam selepas rencana ini siap ditulis.

Dengan sentiasa mengingati mati, jelas Iman Al-Ghazali, “Yang singkat itu waktu, yang menipu itu dunia, yang dekat itu adalah kematian, yang besar itu adalah hawa nafsu, yang berat itu amanah, yang sulit itu adalah ikhlas, yang mudah itu adalah berbuat dosa, yang susah itu adalah bersabar, yang sering dilupa adalah bersyukur.

Ertinya, dalam keseharian hidup kita, walaupun masih melihat media sosial adalah jalan terbaik mengingati rakan-rakan, kita sepatutnya menjadi lebih dewasa: tidak mudah sakit hati bila ada yang mengecam (jadikan sebagai ikhtibar dan kaedah membaiki diri); tidak sangat terpengaruh dengan likes dan komen memuji (baik bosskur, atau hebat bro); sentiasa berkongsi kebaikan (mengajak bervaksinisasi); menegur dengan baik apa kesilapan yang berlaku; tidak menunjukkan diri ‘sangat pandai’ (ada yang lebih pandai lagi); sentiasa berlapang dada dan berbicara dengan baik; dan lebih penting saling memaafkan kerana ‘esok belum tentu kita ada’.

Itulah erti persahabatan dalam media sosial, dan juga jaringan pelbagai aktiviti – reunion, mengopi dan sebagainya. Tidak jadikan media sosial tempat melempiaskan kemarahan, kalau ingin berkongsi apa yang ‘tidak setuju’ tulislah berdasarkan fakta, bukan emosi. Perkelahian secara emosi, ejek mengejek seumpama kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa. Perangai kanak-kanak boleh dimaafkan secara automatik kerana fikirannya ‘belum cukup matang’ tetapi bila kita bergaduh dalam media sosial, nampaklah ciri-ciri kebodohan sendiri.

Kita kembali menjalinkan hubungan persahabatan bukan untuk membodohkan semua rakan-rakan, kita menjalin perhubungan adalah untuk saling menyayangi dan mengingatkan kita kepada keindahan dan adab berteman. Kalaupun ada perselisihan dalam keluarga, tidak perlu mendedahkan dalam media sosial, kerana terpercik ke muka sendiri. Settle baik-baik dan bertemulah secara professional bagi menyelesaikan ‘konflik’ kerana menang itu setakat jadi arang, dan kalah tidak juga boleh diabukan.

Lho, kita adalah manusia. Kita bukan ular sawa atau ular tedung. Kita bukan saling mematikan, tetapi hidup adalah untuk membentuk suasana aman, damai dan harmoni. Ayuh, berhemahlah bila berteman, carilah kelebihan bukan kekurangan. Seperti kata Imam al-Ghazali, kita hidup dengan manusia, maka kita wajib berbuat baik dengan sesame manusia, kerana kebaikan itulah membantu kita menuai buahnya di syurga, selain iman dan ketakwaan kita secara individu kepada Alllah SWT.

KAMARUN KH

Translate »