Sebaik sahaja anda mendengar amaran sebegitu, apakah yang terfikir oleh anda? Ada di antara anda mungkin memikirkan ia seumpama ‘gurauan’: kerana apa yang berlaku itu belum ‘terkena pada diri sendiri’ atau orang yang terdekat dengan anda. Bagaimana sikap dan perasaan anda, ketika mendengar amaran tersebut? Apakah anda masih merasakan ‘diri masih kebal’ atau sedikit sebanyak sikap anda berubah?

Saya tersentuh kerana sejak Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Nor Hisham Abdullah muncul setiap hari lebih setahun lalu, saya melihat ‘keyakinan dan ketenangan’  melaporkan jumlah jangkitan baharu setiap hari. Daripada penjelasannya, saya memahami bahawa COVID-19 adalah ancaman yang sangat merbahaya, dan ancaman itu sangat berkait dengan habit dan perilaku kendiri, yakni diri kita. Walaupun dikritik dan dikarikaturkan, juga difitnah, beliau melaksanakan tanggungjawab itu sangat dedikasi.

Kenapa? Sebab kita seringkali membuat andaian, selagi orang terdekat dan diri sendiri tidak dijangkiti, kita merasakan ‘diri cukup kebal’; kita perlu bergerak dan keluar kerana itu adalah kelaziman seharian dan bila ‘terkurung’ kita cepat bosan sehingga ada yang khuatir, semakin lama keadaan itu berlangsung, semakin besarlah ‘ladang lemak’ berjaya diteroka; bila pergerakan terbatas, ada pula rasa rindu kepada ‘teh tarik mamak’; bila dilarang rentas negeri dan daerah, ramai juga yang cuba ‘curi-curi pulang kampung’ alasannya, teringat sanak saudara di kampong apatah lagi Aidilfitri semakin dekat; bila ‘lockdown’ diisytiharkan, dalam tempoh beberapa jam sebelum dikuatkuasakan, jalan raya sesak kerana ada yang bercadang ‘pulang kampung’ kerana keadaannya lebih selamat; dan pelbagai alasan lagi. Termasuk mencelah-celah dalam ‘jalan tanah merah’ yang digunakan untuk mengangkut buah kelapa sawit.

Walaupun PKP 3.0 berbeza dengan PKP 1.0, ada banyak lagi suara garau menyalahkan tindakan yang dilakukan. Ada yang berkata, kerana sektor ekonomi diberikan kebenaran beroperasi, sedangkan rumah ibadat (termasuk masjid) dihadkan aktiviti (sembahyang berjemaah dihadkan atau dilarang, tiada cermah agama dan perhimpunan tertentu), maka dituduh bahawa ‘ada keputusan dua darjat’ dan mementingkan ekonomi daripada agama.

Sesekali terasa ada benarnya. Tetapi, bila melihat kepada apa yang berlaku semasa PKP 1.0, beberapa hari sebelumnya wujud fenomena ‘pembelian panik’, panik balik kampong, ramai yang terpaksa ‘menganggur’, resah yang tidak bernokhtah. Setelah PKP 1.0 dilanjutkan, ramai merungut ‘hilang pendapatan’, kerana sebahagian besarnya bekerja dengan gaji harian: ada kerja ada gaji. Juga, yang dibayar gaji bulanan juga berhadapan masalah, premis ditutup dan ada syarikat tidak lagi mampu membayar gaji pekerja dan menanggung kos operasi (sewaan premis, bayaran balik pinjaman dan lebih teruk, kehilangan pelanggan).

PKP 2.0 ada sedikit kelegaan. Sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi dengan SOP. Ekonomi sedikit berkembang, dan tidaklah sampai menanggung penguncupan sebanyak RM 2.4 bilion sehari. Jelas, Perdana Menteri, ia sudah menampakkan rakyat ‘ada kerja’, walaupun tidak semua yang diberhentikan atau ‘terpaksa menganggur’ peroleh semula. Sekurang-kurangnya, ada sedikit wang untuk membeli barang keperluan, menyara keluarga dan tidak menimbulkan masalah ‘gawat’ dalam kehidupan seharian.

PKP 3.0, sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. Kedai runcit dan supermarket, restoran dan kedai ‘merpati’, boleh berniaga mula 8 pagi hingga 8 malam. Ada pekerja mengeluh, masa itu tidak sempat kerana pulang kerja, tidak boleh membeli makanan, kedai sudah ditutup. Ada juga tuan punya kedai mengeluh, waktu operasi yang terhad itu menyebabkan mereka akan kehilangan pelanggan.

Ada juga peniaga bersyukur, walaupun operasinya terhad, mereka boleh meraih pendapatan harian biarpun tidak semewah sebelum PKP, sekurang-kurangnya ‘ada wang’ walaupun sedikit. Itu bermakna mereka tahu bersyukur, dan berterima kasih kerana SOP yang ditetapkan tidak menghalang mereka meraih rezeki sebagaimana di awal pelaksanaan PKP 1.0.

Kenapa KP Kesihatan memberikan amaran ‘bersedialah hadapi keadaan lebih buruk?” Sekiranya kita memerhatikan lonjakan kes baharu, kita bersedia mengubah keputusan atau sekurang-kurang tidak lagi percaya bahawa COVID-19 adalah ‘bohong’; COVID-19 adalah REAL. Ia benar-benar berlaku, dan berlaku di seluruh dunia, kecuali negara kecil yang hubungannya luar sangat terbatas, atau wilayah yang tidak dikunjungi oleh manusia lagi. Wilayah yang boleh kita panggil terisolasi.

Bayangkan, dalam tempoh dua minggu, yakni ketika Aidilfitri memasuki hari kedua, kita mendapat laporan, jumlah kes baharu COVID-19 ialah 4,113 dan keesokannya ada sedikit peningkatan sebanyak 27 kes menjadikan jumlah 4,140. Pada 16 Mei, menurun kepada 3,780 kes dan esoknya naik lagi kepada 4,446 kes. Sehari kemudian (18/5) menokok kepada 4,865 kes, bertambah 419 kes. Ramai pula yang terkejut, pada 19 Mei bukan berlaku penurunan, tetapi lonjakan kepada 6.075 kes, rekod pertama melepasi enam ribu kes baharu sehari. Lagi terkejut, keesokannya, mencanak kepada 6, 806 kes dan menghampiri 7,000 kes pada 23 Mei. Dua hari sebelumnya, ada sedikit penurunan (21 Mei 6.493 kes dan 22 Mei 6,320 kes). Akhirnya, kita benar-benar ‘terkejut’ kes baharu harian telah melepasi 7,000 pada 24 Mei 2021, yakni selepas sebelas hari Aidilfitri.

Apa alasan lagi untuk mereka berikan? Apakah angka kematian akibat COVID-19 belum cukup besar kerana jumlah yang sembuh lebih 99 peratus? Apakah tidak cukup dengan berita, dua buah hospital sudah tidak mampu lagi menyimpan korban COVID-19 sehingga terpaksa tambahkan peti simpanan mayat menggunakan kabin (container)? Apakah rayuan petugas barisan hadapan yang sudah lebih setahun dalam keletihan tidak berkesan? Siapa lagi nak dipersalahkan? Walhal, tindakan yang paling berkesan ialah kawalan kendiri, bukan mendakwa keputusan tidak dilaksanakan ‘lockdwon’ sepenuhnya sebagai penyebab tunggal peningkatan.

Seperti juga kisah denggi, kita degil tidak menjaga kebersihan persekitaran, membuang sampah di dalam longkang, membiarkan air bertakung, dan sebagainya. Pihak berkuasa hanya boleh mengawal secara luaran (berdasarkan peruntukan undang-undang), tetapi kitalah yang wajib mengawal dari ‘dalam’. Memang kita mahukan persekitaran rumah kita cantik, dihiasi pokok-pokok hidup, tetapi, kita alpa, ada air yang membantu menternah jentik-jentik. Tanpa kita sedar, dalam balaca pokok ada jentik-jentik. Dalam basin di belakang rumah ada jentik-jentik. Kita alpa dengan pengetahuan yang kita ada, kita take thing for granted selagi belum ada laporan jiran dijangkiti denggi mahupun COVID-19. (Bersambung)

MONOSIN SOBRI

Translate »