Bagaimana Yahudi melakukan ‘mind framing’

Seperti dinyatakan oleh Muhamad Asad, Zionis menuntut Palestin sebagai hak mereka, dan kehadiran di Palestin bukan sebagai penjajah, tetapi mereka kembali ke Tanah Yang Dijanjikan. Mereka menggunakan alasan agama, tetapi cuba menghina terhadap orang Arab dan Muslim, dengan melemparkan tuduhan seolah-olah Islamlah yang menyebabkan Yahudi dihalau.

Sedangkan sejarahnya, Islam pernah menawarkan tempat kepada mereka dan memberikan ruang untuk hidup bersama-sama, sebagaimana berlaku di Andalusia semasa pemerintahan Umaiyyah, dan juga selepas Khalifah Umar al-Khattab berjaya menawan semula Baitulmaqdis.

Zionis juga cuba menggunakan emosi, yakni membangkitkan rasa takut kepada sebahagian besar keturunan Yahudi di Eropah terhadap ancaman yang diterima oleh kelompok anti-semitik sebagaimana pernah berlaku pada Perang Dunia II. Atas rayuan ketakutan itulah mereka sebenarnya berusaha menggalakkan lebih ramai keturunan Yahudi agar berhijrah ke Palestin demi kelangsungan negara haram Yahudi. Apa yang dimahukan ialah keturunan Yahudi dapat mengatasi jumlah penduduk Arab, dan membentuk kaum majoriti.

Dengan cara ini mereka akan dapat memperlekehkan penduduk asal, termasuk mengugut agar berhijrah ke negara-negara Arab, dan memaksa menyerahkan tanah-tanah yang diduduki sekian lama untuk dibina petempatan haram Yahudi. Ini telah dilakukan sejak tahun 1947, dan tentangan terakhir yang berlaku pada sebelum Gaza diserang juga ada kaitan dengan ugutan jika enggan menyerah.

Dalam istilah Jason Stanley, terdapat dua jenis propaganda, penyokongan (supporting) dan pelemahan (undermining). Apa yang dilakukan untuk membentuk propaganda penyokongan, ialah menggambarkan bahawa penduduk Palestin, khususnya briged al-Qassamlah yang memulakan serangan ke atas Israel, dan Israel bertindak menyerang kembali sebagai tindakan ‘mempertahankan diri’. Akhirnya, Israel mendapat dokongan White House, Joe Biden menyokong dan tidak memberikan tekanan. Strategi itu dinamakan sebagai ‘quite diplomasi’ atau diplomasi diam dan dalam masa yang sama meluluskan permohonan Israel membeli senjata bernilai USD$730 juta.

Media Israel membuat pelaporan yang berat sebelah, dan menggambarkan kehancuran beberapa petempatan Palestin di Gaza, termasuk tersembannya sebuah bangunan 15 tingkat yang turut menempatkan perwakilan akhbar asing. Wartawan asing bukan sahaja dij\halang, bahkan turut diancam agar melaporkan kegagalan tentera Israel dan kekejaman mereka menggelidah rumah-rumah penduduk Gaza tanpa sebab yang wajar. Namun semua usaha melemahkan penduduk Gaza tidak berhasil.

Tindakan al-Qassam melancarkan lebih 320 serangan menyebabkan dua lapangan terbang Israel rosak dan tidak dapat beroperasi beberapa hari. Tularnya pekerja sebuah pelabuhan di Itali untuk memunggah senjata untuk dikirimkan ke Tel Aviv menampakkan bahawa Israel semakin dibenci oleh masyarakat antarabangsa. Apa yang berlaku dalam tempoh 11 hari itu membawa kepada perubahan bersejarah, Israel sebenarnya semakin kehilangan pendokong dan sokongan daripada masyarakat antarabangsa.

Juga kepada brigad al-Qassam ia membentuk imej baharu, walaupun dikepong dan ditekan, semangat dan perjuangan mereka tidak pernah luntur. Ia berbeza dengan semangat dan perjuanga Fatah,  sudah hampir menyokong Israel, dan semakin lemah. Ia turut mendedahkan bahawa pihak berkuasa Palestin yang dianggotai oleh PLO dan Fatah tidak lagi boleh dipercayainya kerana setiap bantuan dan sumbangan dari pelbagai misi kemanusiaan tidak digunakan secara berhemah dan tepat, sebaliknya, berlaku pelbagai bentuk penyelewengan. Dengan itu, ia membuka tembelang siapa sebenarnya PLO dan Fatah yang sebenar, juga sikapnya terhadap Israel.

Krisis terbaharu ini memperlihatkan solidariti penduduk Gaza, dan ketika Gaza diserang, tidak muncul wira daripada Fatah mengecam tindakan ganas Israeal. Tetapi, bila kedua belah pihak sedia melakukan gencatan senjata, Fatah mula membuat tuntutan bahawa ia adalah kemenangan bersama Palestin. Sebenarnya, kemenangan itu jika ia dilihat sebagai satu bentuk kemenangan, ia adalah hak mutlak al-Qassam penduduk Gaza.

Apakah kemenangan itu akan membangkitkan Diaspora Palestin? Sekali imbas, ada kemungkinan besar kerana hampir seluruh dunia muncul gerakan menyokong Palestin dan demontrasi agar kuasa-kuasa besar tidak lagi membiarkan Israel mengganas. Penduduk Palestin sudah lama tersiksa, 73 tahun (1948-2021), dan tidak ada tahun yang tidak muncul konflik. Hipokrasi Israel dan sikap pentadbiran Rumah Putih semakin dibenci, bahkan isu hubungan Israel-Palestin semakin meresahkan kempen politik Amerika Syarikat.

Bennie Sanders, Senator dari Vermont dan Pengerusi Belanjawan Senat Amerika Syarikat pernah berkata, sudah tiba masanya Amerika Syarikat mengawal tingkahlaku Israel, bukan membiarkan kekejamannya ke atas penduduk Palestin. Israel wajib menghormati penduduk Palestin dan bekerjasama untuk hidup secara aman dan harmoni. Ia sepatutnya dijadikan syarat oleh Rumah Putih untuk menghulurkan bantuan berjumlah USD$3.8 bilion setahun; ia wajar diberikan dengan syarat.

Jika Israel melanggar syarat tersebut, bantuan daripada wang pembayar cukai tidak wajar disalurkan. Rumah Putih wajib memberhentikannya kerana Israel tidak mendengar nasihat. Apakah Joe Biden sanggup berbuat demikian? Apakah Senat Amerika mahupun Kongress mampu berbahas dan membuat keputusan secara saksama? Jawabnya, ia mungkin sukar kerana politik Amerika Syarikat sangat dipengaruhi dan dikaitkan dengan diaspora Yahudi dan agenda Zionisme.

Secara peribadi, semua boleh memberikan pandangan dan cadangan. Tetapi, Presiden mempunyai kuasa, dan anggota senat serta konggres cukup ‘takut’ untuk berbincang secara saksama mengenai konflik Israel-Palestin, sebabnya, ada hal yang buruk menanti kemudiannya, termasuk ancaman bunuh dan usaha menyelongkar atau mencipta pelbagai propaganda memburuk-burukkan imej mereka yang sangat bersimpati dengan nasib penduduk Palestin.

Itulah hebatnya, Zionisme, walaupun jumlahnya kecil, ia mampu mempengaruhi pembuat dasar dan pembentukan dasar, termasuk dasar luar Amerika Syarikat yang cukup diberikan perhatian oleh masyarakat dunia. Sejak sekian lama Yahudi akan terus melobi, agar dasar luar Washington secara halusnya menyokong negara haram Israel.

Sejarah dan cara Yahudi melobi, walaupun pernah ditulis oleh John J Mearsheimer dan Stephen M Walt, empat belas tahun lalu (2007) masih relevan, kerana dasar luar Amerika Syarikat sangat terikat dengan suatu kelompok berkepentingan di Amerika Syarikat, Zionis, yang bukan sahaja merosak Israel bahkan mengancam keamanan sejagat. (John J Mearsheimer, Stephen M Walt, The Israel Lobby and The US Foreign Policy, 2007). (Bersambung)

Kamarun KH

Translate »