Sejak virus corona mula dikesan di Wilayah Hubei, China pada penghujung tahun 2019, kita masih melihat serangan makhluk kecil itu tidak akan membahayakan lebih ramai orang, kerana wabak itu hanya berlaku akibat keghairahan masyarakat China memakan makanan yang bersifat eksotik. Sebab itulah tindakan awal yang dilakukan ialah menutup sebuah pasar basah yang terkenal dengan bahan dari alam yang dianggap eksotik, dan sekaligus menafikan bahawa khasiat makanan eksotik untuk kekebalan diri dan meningkatkan kesihatan seseorang.
Bayangan itu akhirnya menjadi sebuah mitos, kerana virus corona begitu cepat merebak, daripada hanya sebagai epidamik di China telah menular sebagai pandemik dan kebimbangan baharu kepada masyarakat dunia. Selepas dikejutkan dengan jumlah mereka yang positif dan berita mengenai kesesakan hospital sedia ada di Wilayah Hubei, inisiatif kerajaan China membina hospital segera, negara Itali turut menerima parah. Itali akhirnya menjadi negara kedua selepas China dengan jumlah pesakit yang bukan sahaja tidak dapat diberikan rawatan untuk kesemuanya sehingga mencecah kematian besar, gambaran mula diberikan bahawa sejauh mana hebatnya sistem penjagaan kesihatan, ia belum mampu menamatkan serangan virus yang menyebabkan kematian akibat sesak nafas.
Selepas Itali, negara-negara Eropah turut berhadapan dengan situasi yang menakutkan. Antaranya Sepanyol, Perancis, Britain dan Jerman. Ia kemudian turut mencapai tahap kebimbangan di Iran, Arab Saudi sehinggalah proses menunaikan Rukun Islam Kelima terpaksa ditangguhkan bagi Musim Haji 2020. Selain penangguhan ibadat Haji, ibadat sunat atau Haji Kecil juga tidak dibenarkan.
Dalam beberapa minggu kemudian, wabak itu berkembang ke Amerika Syarikat, Brazil dan beberapa buah negara Afrika. Amerika Syarikat kemudiannya mula mengatasi mana-mana negara sebagai negara yang mempunyai jumlah kes positif yang terbanyak, juga kes kematian yang tertinggi. Dalam kelam-kabut itu, pendekatan-pendekatan untuk mengawal mobilisasi manusia mula dilaksanakan, yang kemudiannya dikenali sebagai ‘perintah berkurung’ ataupun ‘sekatan pergerakan’.
Malaysia melakukan sekatan pergerakan mulai 18 Mac 2020; juga menutup pintu masuk rakyat asing sama ada sebagai pelancung atau pekerja bagi membendung merebaknya wabak itu sebelum ia berkembang ke tahap yang tidak dapat dikawal. Selain mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang melakukan perjalanan rentas negeri, sektor ekonomi turut diberhentikan (kecuali sektor peruncitan dan entiti yang menghasilkan produk makanan, perubatan dan perkhidmatan kritikal), sektor pendidikan ikut mengalami perencatan operasinya.
Peperiksaan berpusat bagi tahun 2020 ditangguhkan, kaedah bekerja dari rumah mula diperkatakan, begitu juga konsep pendidikan dari rumah. Bagaimanapun, ia juga membangkitkan pelbagai masalah, termasuk kemudahan gajet dan masalah pasaranan (internet, bahan kursus atau bahan pendidikan –courseware– dan penterjemahan kurikulum). Ada aduan, pada tahun 2020, guru-guru lebih banyak memaksakan ibu bapa untuk membuat cetakan bahan yang dihantar menerusi elektronik, untuk diberikan kepada anak-anak sebagai ‘kerja rumah’.
Sebahagian ibu bapa bukan sahaja mengeluh, bahkan bertempik atas alasan ‘guru telah membebankan peranan itu kepada ibu bapa’ apabila ibu bapa perlu bersama menyiapkan ‘kerja rumah’. Ia menambahkan keriuhan sekaligus kebosanan ibu bapa yang dalam masa yang sama ‘sangat letih’ untuk menyediakan juadah harian, setiap masa muncul keinginan untuk makan kerana tiada aktiviti di luar. Situasi ‘rasa lapar’ semakin cepat, maka tidaklah hairan apabila muncul pelbagai anekdot media sosial; penciptaan resepi baharu, suami belajar memasak’ menu PKP dan lagenda ‘roti gardenia’; kenaikan bil elektrik, tiktok PKP dan .
Setakat ini, COVID-19 telah menjangkiti hampir setengah juta penduduk Malaysia, di mana dari segi statistiknya, Malaysia berada di tangga ke-10 dunia berdasarkan jumlah jangkitan kes bagi setiap juta orang pada 10 Mei lalu. Peningkatan yang begitu ketara dan menakutkan berlaku pada gelombang ketiga, yakni bermula pada awal tahun ini dan jumlah jangkitan baharu pertama kali melepasi 6,000 kes pada kenyataan akhbar KP Kesihatan pada hari ini (19 Mei 2021). Ramai juga merasa bimbang untuk beberapa hari akan datang, kemungkinan akan berlaku pertambahan kes yang lebih besar ekoran sikap degil segelintir masyarakat melihat COVID-19 itu hanyalah permainan konspirator, bukan virus semula jadi dan ia adalah penjanaan para saintis yang didorong oleh kepentingan politik dan perniagaan.
Kepentingan politik didakwa sebahagian besarnya adalah hasrat China untuk mengurangkan jumlah penduduknya yang terlalu ramai dan dilihat bercanggah dengan dasar kependudukan baharu yang membenarkan setiap keluarga mempunyai dua anak. Sebelumnya, China menetapkan dasar, satu keluarga seorang anak. Dasar itu nampaknya telah gagal untuk proses penggantian penduduk secara semulajadi, maka ia ditukar kepada dasar satu keluarga dua orang anak.
Sama ada ia berupa dakyah mahupun bersifat post-truth, kita juga mendapat input bahawa China sebenarnya telah mencuri virus itu dari sebuah makmal penyelidikan virus di Amerika Syarikat. Virus itu kemudiannya dikembangkan oleh dua orang pakar virus China yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat, yang kemudiannya diselidiki secara mendalam di sebuah makmal yang terletak di Hubei. Akhirnya, virus itu telah menjangkiti penduduk Wilayah Hubei, yang kemudiannya menular kepada orang lain di seluruh dunia menerusi pelancongan.
Bagi sesetengah pencipta teori konspirasi beranggapan, penyebaran virus disengajakan berlaku pada akhir tahun 2019, kerana pada awal tahun 2020, masyarakat China yang berwang akan melancong ke seluruh dunia dan menyebarkannya kepada masayarakat dunia. Akhirnya, sentiment itu benar-benar mengakibatkan warganegara China, Amerika-China dan keturunan Cina menerima kesan negatif, bukan sahaja dipandang jijik bahkan dilarang berada di premis-premis tertentu.
Situasi itu kemudiannya menukarkan perspektif pandemik, coronavirus diberikan nama oleh WHO bagi menggantikan panggilan sementara Virus Wuhan. Kini, ketakutan dan kebimbangan kepada keturunan China sudah berkurangan, tetapi, virus it uterus merebak dengan cepatnya. Dilaporkan varian daripada India dan Afrika Selatan sangat ganas, tidak bergejala dan kadar kematian adalah lebih besar. Perkembangan ini meletakkan lebih banyak kebimbangan, dan dalam masa yang sama menghakis sedikit keyakinan bahawa penemuan virus mampu untuk membendungnya. Apa yang diketahui, mereka yang sudah mengambil dua dos suntikan juga berhadapan dengan jangkitan tersebut. Pada mereka, virus itu menjadi perihal yang utama untuk membolot keuntungan daripada stigma bimbang dan kemunculan emosi takut.
Berhubung dengan penularan jangkitan, sesekali kita mula berfikir dan kadangkala mengelamun tanpa ada penyelesaiannya. Kita bertanya, apakah akan berlaku seterusnya. Apa yang akan kita hadapi sekiranya COVID-19 terus menjadi ancaman dan jika COVID-19 berakhir bagaimana kita boleh meneruskan hidup setelah lebih setahun kita mampu bertahan.
Lebih setahun kita hidup dalam situasi sukar. Perjalanan terbatas, dan juga sumber ekonomi ikut terjejas. Simpanan, jika ada pun ia sudah semakin menipis kerana sepanjang tempoh kawalan pergerakan, kita terpaksa berbelanja lebih besar kesan kenaikan harga makanan dan perkhidmatan. Setiap barang yang beli, sama ada secara dalam talian mahupun secara langsung di kedai atau di pasar, harganya sudah banyak meningkat sebelum kita kenal norma baharu dan erti PKP.
Ada pelbagai andaian tentang harga, ada pelbagai penjelasan untuk mewajarkan kenaikan harga. Harga ayam dikatakan meningkat kerana harga makanan ayam telah meningkat, Begitu juga dengan harga daging lembu. Tetapi, kenapa tidak diperkatakan tentang harga sayuran, yang juga telah meningkat lebih tinggi daripada sebelum PKP. Apakah sayuran itu juga diimport atau telah berkurangan keluasan tanamannya? Bagaimana dengan harga ikan, dan beberapa jenis makanan laut termasuk ikan bilis dan ikan kering. Jangan terkejut bila melihat tanda harga, sekilogram ketam sudah mencecah RM 40 seumpama sama harga dengan sekilogram Musang King.
Ya begitulah seterusnya yang perlu kita fikirkan bagaimana untuk meneruskan hidup. Kita fikirkan bagaimana untuk menggerakkan semula ekonomi diri sendiri setelah mendengar kenyataan rasmi ekonomi negara semakin meningkat prestasinya. Ekonomi tumbuh lebih baik, tetapi, siapakah yang memperoleh faedahnya. Kerajaan juga dilihat sudah kehabisan wang, maka pemberian bantuan lebih tertumpu kepada pihak-pihak tertentu, sedangkan sebahagian lagi berhadapan dengan kegagalan melunasi ansuran pembiayaan pembelian kereta, rumah dan sebagainya sebelum PKP.
Pada permulaan PKP, kerajaan menawarkan moratorium automatic kepada setiap peminjam, tetapi selepasnya, secara bersasar (memerlukan permohonan dan institusi kewangan mempertimbangkannya). Ia suatu pendekatan yang menarik, tetapi, bagaimana kerajaan mengawal harga makanan dan perkhidmatan yang dilihat semakin kurang diberikan perhatian, kecualilah setelah rakyat mengeluh harga sekilogran ayam bersih dijual RM 10 sedangkan harga sebelumnya ialah sekitar RM 8 sekilogram.
Heboh juga beberapa hari, tetapi, kawalannya hanya untuk tempoh musim perayaan. Selepasnya, pasaran akan menentukannya. Pendapatan rakyat tidak bertambah, malah ada yang masih berhadapan dengan peluang kerja setelah terhenti akibat PKP. Tapi, dari perspektf kerajaan, sektor pekerja sudah meningkat di mana ada peluang pekerjaan sudah ditawarkan kepada beberapa ratus ribu orang. Selebihnya, terpaksa ‘wait and see’, atau sebaliknya.
Akhirnya, saya merenung semula ungkapan, permainan retorik pemimpin yang dilihat cukup berbisa, bahkan tidak lagi ghairah untuk mendengar apa yang Perdana Menteri akan katakana menerusi Perutusan Khas, sudah terlalu kerap, tidak lagi ada ‘touching’ biarpun seloka Pak Atan, Kak Limah (bukan Hantu Kak Limah) dan sebagainya dinaratifkan. Saya hanya lebih bersedia mendengar, semua ahli politik bersatu membina harapan post-COVID-19 bukannya perhitungan sama ada UMNO bertanding secara tunggal ataupun PAS dan Bersatu meneruskan gagasan Perikatan Nasional.
Ramai sudah bosan melihat telingkah ahli politik, masing berusaha ‘membunuh’ sesama sendiri hanya kerana ‘kuasa’ sedangkan kuasa itu adalah amanah yang perlu diterjemahkan sebagai ‘membela rakyat’, bukannya ‘membuli rakyat’. Cukup sudah sandiwara, orang itu kahwin rahsia di Thailand, tokoh itu ada skandal dan sebagainya. Cerita-cerita itulah sebenarnya mengotorkan politik dan sangat tidak beretika, cerita gagal sejak jatuhnya dua buah gabungan parti –BN dan PH- kini sedang melanda PN pula kalau tidak segera bangkit menyelesaikan emosi terperuk akibat COVID-19.
MONOSIN SOBRI
Recent Comments